Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, Maha Penyayang
Selalu apabila berada di kedai buku, saya berasa amat malu. Adakalanya berasa amat geram. Kadang kala pula berasa sedih. Amat malu dan geram kerana hikmah-hikmah yang dianjurkan oleh agama Islam seringkali dimanfaatkan terutamanya oleh orang bukan Islam tetapi kita sendiri yang melupakan ajaran Islam yang mulia.
Tetapi selalu juga berasa amat sedih, kerana Islam dihentam, dilanyak dan diganyang sehabis-habisnya dengan tulisan yang mengelirukan tanpa ada balasan pun. Pendek kata, bertimbun-timbun buku yang terang lagi bersuluh menghina agama ini. Tidak kurang juga buku-buku yang mengandungi mesej tersirat yang bertujuan menghancurkan pegangan umat Islam.
Kebiasaannya, buku-buku sebegini dikarang oleh para orientalis dan liberal. Para orientalis adalah golongan yang mempelajari selok belok Islam tetapi memberikan gambaran salah tentang Islam. Manakala golongan liberal kebiasaannya ada orang yang mengakui beragama Islam tetapi mahu mentafsirkan Islam mengikut fikiran mereka sendiri. Mereka ini sering mempersoalkan Islam justeru menghasilkan pemikiran yang keliru. Mungkin mereka kebengongan dan terperangkap dalam kekeliruan mereka sendiri.
Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab bagi individu Muslim membela dan menyebarkan keindahan Islam. Para ulamak telah bertungkus-lumus sejak zaman dahulu membidas pemikiran yang meracuni pandangan umat Islam. Sedangkan orang bukan Islam juga membela dan membidas pemikran songsang ini, kenapa harus kita berdiam diri? Terasa begitu berat beban yang digalas sebagai seorang penulis. Tugasnya mendidik diri dan pembacanya. Tersilap langkah akan menimbulkan kekeliruan yang lebih besar. Semoga Allah sentiasa menunjuki sesiapa yang terlibat dalam jihad pena ini.
Saya tidak memaksudkan semua buku (yang rata-ratanya dalam bahasa Inggeris) harus ditolak. Bahkan, banyak buku yang isinya sangat bermanfaat. Terkadang, saya terfikir, adakah penulis tersebut mengambil prinsip baik yang dibawanya daripada Islam tetapi menamakan dengan istilah yang lain? Mungkin... mungkin... mungkin!
Pendek kata, ambillah yang bermanfaat dan ketepikanlah fikiran yang membahayakan. Kerana, ulama pernah menukilkan, bahawa ilmu atau hikmah itu adalah harta orang beriman yang hilang. Maka jika ia menemuinya, maka ia lebih berhak mengambilnya (Ramadhan al-Butiy, Fiqh Sirah).
Cuma, pembaca harus ada kepekaan terhadap isu yang dibincangkan, bukannya menerima secara bulat-bulat. Kerana Allah S.W.T mendidik kita supaya sentiasa berhati-hati:
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah (kesusahan) kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu." (al-Hujurat, 49:6)
Sebagai penutup, saya ingin berkongsi buku yang boleh kita manfaatkan:
Atas: Karen Armstrong telah saya perkenalkan dalam beberapa entri yang lepas. Beliau seorang pengkaji agama. Melalui tulisannya, beliau begitu terpesona akan Islam tetapi lebih-lebih lagi mengkritik pula agama Kristian. Keberaniannya dalam membela Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam ketika isu karikatur Denmark menjadikan beliau sangat dikenali dalam dunia Islam. Holy War merupakan kajian beliau terhadap pertembungan dunia Islam dan dunia Kristian dalam Perang Salib. Apabila melihat kepada situasi masa kini, beliau berpendapat bahawa peristiwa itu berulang kembali dan menganalisa dengan lebih dalam akan pengaruh Perang Salib kepada kuasa Barat kini.
Atas: A Sense of Urgency, karangan John P. Kotter diterbitkan pada tahun 2008. Apabila membaca sinopsis buku ini, saya merasakan bahawa orang lain pula yang mengingatkan saya ayat:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan pada diri mereka." (ar-Ra'ad, 13:11)
dan
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berpesan kebenaran dan berpesan kepada kesabaran." (al-Asr, 103:1-3)
Buku ini membicarakan tentang motivasi perubahan. Kita tahu kita mesti berubah. Kita tahu bagaimana untuk berubah. Tetapi kenapa kita tetap tidak mahu berubah? Pengarang, John P. Kotter membawakan senario bahawa seseorang ataupun organisasi yang berjaya harus ada semangat kesegeraan, ataupun dalam bahasa Inggerisnya a sense of urgency. Kesegeraan yang beliau maksudkan adalah bertentangan dengan rasa selesa (complacent) dan menghasilkan produktiviti yang memberansangkan. Timbul persoalan dalam diri saya. Bukankah perkara ini telah lama termaktub dalam Surah ar-Ra'ad dn Asr? Ya Allah, malunya!
John P. Kotter merupakan penulis bestseller buku Our Iceberg is Melting yang diterbitkan pada 2008.
Sekadar ini sahaja perkongsian saya. Bersihkan hati kita. Mari kita kembali menghayati sumber yang agung, al-Quran dan Sunnah! Lengkapkan diri kita dengan ilmu yang benar! Ayuh! Mari kita kutip hikmah kita yang hilang!
Berjasa Kepada Masyarakat
Wassalam
1 comment:
salam dik, foreward in 'our iceberg is melting' which is written by spencer johnson... reminds me of his another book called 'the present', which was given to me before i departed to UK. never underestimate a very thin book, because it DOES contain A LOT of simple yet forgettable advises about life. insya Allah one day akak nk review. bila agaknye tu. =P
Post a Comment