BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Madrasah al-Khairat. Show all posts
Showing posts with label Madrasah al-Khairat. Show all posts

Wednesday, February 6, 2013

Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w, 1434H

Suasana sekitar program Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w anjuran kerjasama Halaqah Kemajuan Muslim (HIKAMS), Madrasah al-Khairat, Kuching dan Pustaka Negeri Sarawak. Program telah diadakan pada 3 Februari 2013, Ahad yang lepas. Tahniah diucapkan atas penganjuran. Semoga usaha seumpama ini dapat diteruskan dan disusuli dengan rajin menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di sekitar Kuching.

Saya terimbau kata-kata Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam kitab "40 Hadith Keistimewaan Rasulullah s.a.w" oleh al-Allamah Syeikh Siddiq al-Ghumari, memperkatakan bahawa cinta kepada Allah dan Rasul adalah cinta yang diusahakan. Berbeza dengan cinta ataupun naluri semulajadi  manusia mencintai ayah dan bonda, suami isteri dan anak-anak, cinta tersebut datang dengan sendirinya. Akan tetapi, cinta kepada Allah dan Rasul adalah cinta yang dicari, dipupuk dan disemai, boleh jadi menentang kemahuan peribadi dirinya, kerana cintanya itu adalah berlandaskan cinta yang hakiki kepada Allah dan Rasul...



Para guru Ahlul Bait... Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir Madrasah al-Khairat (paling kanan) dan Habib Izzudin bin Wan Kamaludin al-Aidrus, mudir Rubat Raudhatul Mustofa (memegang mikofon). Semoga Allah memberi petunjuk kepada para guru-guru ini, meneguhkan dakwah mereka, dan membuka hati-hati anak muda untuk mendekati dan mendapatkan manfaat daripada mereka... amiin.

                                      
Marilah tanam benih-benih cinta kepada Sang Kekasih-Nya, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Semailah ia, jagalah ia dan lindungilah cinta itu dengan ilmu...

Allahumma solli wasallim wabaarik 'alaih!

Sunday, January 27, 2013

Program Bedah Kitab Solat Nabi saw Menurut Mazhab Syafi'e, Kuching




Assalamu'alaikum...

Insya ALLAH Halaqah Kemajuan Islam (HIKAMS) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak akan mengadakan Program Bedah Kitab: "Solat Nabi SAW Menurut Mazhab Syafi'e" yang akan dikupas oleh anak jati Negeri Sarawak Darul Hana, al Fadhil Ustadz Muhadir Bin Hj Joll as Sanary, pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau merupakan tokoh yang tidak asing lagi yang selalu ke udara menerusi radio IKIM dan TV alHijrah (bersama Syeikh Nuruddin), pengasuh Majlis Ta'lim An-Nur (UIA) dan juga kolumnis Majalah Q & A.

al Fadhil Ustadz Muhadir Bin Hj Joll as Sanary
Berikut ialah sedikit tentatif program tersebut (tertakluk kepada perubahan):

Tarikh : 9 Febuari 2013 (Hari Sabtu)
Tempat: Dewan Syarahan YADIM, Bangunan Shahnur, Jalan Astana
Masa : 9 pagi - 5:30 petang (terbahagi kepada beberapa slot)
Yuran : RM 50 [termasuk kitab, makanan dan hands out (jika ada)]

Pendaftaran boleh dibuat melalui saudara Khairul Anwar Shazali (013-895 0345) atau saudara Amirul (
 013 - 5681422) dan tempat terhad kepada 80 peserta sahaja. Insya ALLAH, al Fadhil Ustadz Muhadir selain mengupas kitab tersebut secara terperinci, beliau juga akan meriwayatkan Hadits Musalsal Bil Awwaliyyah, Hadits Musalsal Baca Ayatul Kursi dan Hadits Musalsal Membaca Surah al Hasyr di akhir program bedah kitab kelak. 

Jom pakat ramai-ramai kita pergi majlis 'ilmu yang merupakan taman-taman syurga dan memperbaiki kualiti solat kita kerana Junjungan kita yang mulia, Rasulullah s.a.a.w bersabda:

"Shollu kama ro'aitumuni usholli". (Solatlah kamu sebagaimana kamu melihatku solat) - Hadits riwayat al Bukhari

Bagaimana kita hendak belajar solat sedangkan kita tidak melihat Nabi s.a.a.w? Makanya, kita ambil ilmu itu dengan mempelajarinya daripada pewaris Baginda s.a.a.w iaitu para 'ulama, yang belajar dan meriwayatkan 'ilmu daripada gurunya, gurunya mengambil ilmu daripada guru kepada gurunya, berterusan sehingga ke generasi para keluarga dan sahabat rodhiyallahu ta'ala 'anhum ajma'iin, yang melihat dan meriwayatkan ilmu terus dari sumbernya ilmu Nabi kita Nabi Muhammad s.a.a.w.

Buku Solat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم Menurut Mazhab Syafi’e tulisan al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll ini pula menerangkan bahawa solat yang kita dirikan selama ini hakikatnya datang daripada bentuk solat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang telah diterangkan dengan lebih jelas oleh ulama’-ulama’ yang alim dalam empat mazhab terutama imam kita yakni Imam Syafi’e رضي الله عنه.

Justeru, hendaklah kita yakin bahawa sembahyang cara mazhab Syafi’e adalah mengikut sembahyang cara Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Cara inilah yang telah dipelajari dan ditekuni oleh masyarakat Islam di negara ini yang bermazhab Syafi’e sejak zaman berzaman. Cara inilah yang telah dan sedang diajar, malah menjadi sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah (KAFA dan PAFA) di seluruh Malaysia, di pondok-pondok dan institusi pengajian, malah ia diajar dan dikupas dalam majlis-majlis ilmu di seluruh dunia yang bermazhab Syafi’e.

Didalam buku ini terdapat kata-kata aluan daripada tokoh-tokoh Islam seperti:

1) al 'Alim al 'Allamah al Faqih al Ushuli, Tuan Guru Haji Salleh bin Musa
Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Kedah

2) Tan Sri Sheikh Haji Ismail bin Muhammad
Imam Besar Masjid Negara

3) Ustaz Dr. Hj Luqman b Hj Abdullah (anak TG Hj Lah Lubuk Tapah)
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, merangkap Mudir, Madrasah Rahmaniah, Pondok Lubuk Tapah

4) Ustaz Hafiz Haji Mustafa Lubis
Maahad Tarbiah Islamiah Derang (MTID), Pokok Sena, Kedah

5) Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi
Pengarah Urusan, Mawleed Publishing Sdn. Bhd.

Sila sebar-sebarkan... mudah-mudahan bermanfaat....

Tuesday, December 18, 2012

Ulama Itu Bawa Senjata



Diceritakan oleh Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaldin (dikenali juga sebagai Habib Izzudin), pernah seorang ulama di Hadhramaut, negara Yaman yang bernama Habib Muhammad bin Soleh al-Attas difitnah membawa senjata. Beliau merupakan mudir (guru besar) salah sebuah daripada banyak madrasah (seperti pondok) yang bernama Rubat Huraidhah. 


Ketika beliau memandu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat sekatan jalan raya. Ketua mereka mengarahkan supaya keretanya diperiksa bagi menyiasat dakwaan pihak yang berkepentingan. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami mendengar kamu membawa senjata. Di manakah senjata kamu?” askar itu menggertak.

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh
di Kpg. Segubang, Bau, Sarawak, 2010

Habib Muhammad bin Soleh al-Attas adalah seorang yang berwarakan tenang sahaja. Beliau menjawab ringkas, “ad-Du’a (Doa).”

Kata askar itu, “Apa? Di mana senjata kamu?” Sekali lagi tuan Habib digertak. Ia menjawab lagi, “Doa.”

“Di mana senjata kamu!” askar itu semakin kurang sabar. Jawabnya lagi, “Doa.”

 “Ah, sudahlah!” Keberangan, askar itu melepaskan ia pergi. Beliau tidak berbohong. Kalau senjata api, memanglah tiada. Tetapi beliau ada 'senjata' yang lain. Daripada kitab Sairus Salikin yang dikarang oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani rahimahullah (w. 1246H / 1830M) disebutkan hadith Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w (m/s. 607):

"Doa itu senjata mukmin dan tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi." (Riwayat Hakim)

Ulama merupakan waris kepada anbiya’ (para Nabi). Maka ulama dengan ketinggian ilmu yang mereka miliki, mencerminkan akhlak yang tinggi. Lihatlah, mereka tenang sahaja menghadapi fitnah dan membalasnya dengan ilmu dan hikmah. Dirinya dikenali sebagai seorang yang tawaduk, mengasihi anak-anak muridnya. Pernah diceritakan oleh sahabat-sahabat kami, beliau memeriksa keretanya sendiri dan memandu sendiri. Jika ada anak muridnya yang kurang sihat, beliau sendiri yang hadir menziarahi mereka. Semoga Allah merahmati beliau dan perjuangannya.

Dua ulama...Habib Muhammad bin Soleh al-Attas (kanan)
dan Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir
Madrasah al-Khairat, Kuching ketika program dakwah di
Kpg. Segubang, Bau, Kuching, Sarawak.
Habib Muhammad bin Soleh al-Attas pernah berkunjung dalam ziarah dakwah beliau di negara ini. Syukur kepada Allah, dengan izin-Nya, beliau sempat bertandang ke Bumi Kenyalang pada tahun 2010. 

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di perkampungan saudara baru, Kpg. Segubang di Bau, Kuching, Sarawak pada Jun 2010. 
Dalam rangka lawatan singkat dakwah beliau, kami bersama sahabat berpeluang berkhidmat semampu yang boleh. Bukan selalu ada ulama, terutama sekali daripada jurai keturunan Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang datang ke negeri kami ini.

Kenang-kenangan 2010... sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (Abang Syed, berkain pelikat hijau) yang sekarang melanjutkan pelajaran agama di Rubat Huraidhah.
Syukur kepada Allah, yang telah mengizinkan beberapa sahabat kami yang berpeluang untuk menimba ilmu secara bertalaqqi dan bersanad di madrasah beliau di Rubat Huraidhah. Semoga mereka diberikan kekuatan istiqamah meraih ilmu dan hikmah, agar dapat dibawakan kembali, terutama ke negeri kami yang ketandusan para ilmuan yang benar. 

Mudah-mudahan ada rezeki suatu hari kelak berazam ke sana merasai suasana ilmu dan ibadah. 

Habib Izzudin al-Aidrus bersama sahabat-sahabat mengiringi pemergian
Ustaz Iman Daud (dua dari kanan) berangkat ke Hadhramaut, Yaman untuk menimba ilmu
di Rubat Huraidhah bawah kendalian Habib Muhammad bin Soleh al-Attas.
Semoga Allah meneguhkan  Tuan Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dan sahaba-sahabat agar istqamah dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini... Amiin. 

Thursday, June 28, 2012

Jumaat: Hari Raya Mingguan!

                                  
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik jika kamu mengetahui." (Surah al-Jumu'ah, 62:10)

Hari Jumaat merupakan Sayyidul Ayyam, iaitu penghulu segala hari. Pada hari Jumaat ini dikurniakan dengan pelbagai keberkatan dan kelebihan buat umat Islam khususnya. Istimewanya Hari Jumaat ini, sehinggakan Imam al-Ghazali mengungkapkan hari tersebut sebagai hari raya bagi umat Islam kerana akan kemuliaannya.


Syeikh Abdus Samad Falimbani menghuraikan sebanyak 20 adab yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim untuk meraih keberkahan hari tersebut.  Beliau menghuraikan kitab Imam al-Ghazali yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah). Dalam menghuraikan kitab amalan seharian bagi meraih taqwa zahir dan batin, iaitu Bidayatul Hidayah, Imam al-Ghazali mengungkapkan hari Jumaat sebagai:
"Ketahuilah olehmu bahawa hari Jumaat itu adalah Hari Raya bagi orang Islam. Iaitu hari yang mulia yang telah dikhususkan oleh Allah S.W.T kepada umat (Nabi) Muhammad s.a.w. Dan pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa. Tiada membetuli akan saat itu oleh seseorang yang mukmin dengan doanya kecuali Allah akan memberi apa sahaja yang ia minta. Maka bersiaplah engkau menghadapi Hari Jumaat itu mulai dari petang hari Khamis lagi." (Bidayatul Hidayah, m/s 100)
Mungkin pada pandangan mata kita sebagai orang awam, hari Jumaat ini adalah yang lain daripada hari lain, kerana semata-mata perlu untuk menghadiri solat Jumaat dan mendengarkan khutbah. Terkadang, ada yang datang pada waktu azan dilaungkan. Ada juga yang tiba 'tepat pada masa' semasa akhir khutbah dan menunggu saat-saat solat Jumaat secara berjemaah. 

Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam memberikan kuliah Hidayatus Salikin
di Masjid Darul Falah, Subang USJ 9, 2009
 Kehadiran penulis di kuliah kitab Hidayatus Salikin mendengar kupasan daripada Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam sekitar tahun 2009 telah memberi perspektif baru, bahawa betapa sunnah dalam penghayatan Hari Jumaat selama ini telah terabai buat sekian lama. Ya, kita sibuk dengan kerja seharian, sekolah, mahupun ke kuliah universiti, sehinggakan kita tidak merasakan betapa istimewanya pada hari tersebut. Bahkan, pada hakikatnya, keseluruhan hari Jumaat tersebut (bermula petang Khamis sehingga petang Jumaat) mengandungi keberkahan yang tiada tandingnya. Puas saya mencari nota syarah kuliah tersebut, tetapi belum menemuinya untuk dikongsi bersama. Tidak mampu berkongsi semua, memadailah sekelumit sahaja...
Suasana malam Jumaat di Madrasah al-Khairat, Kuching
                                        
 Mari kita mulakan amalan Hari (dan malamnya) Jumaat sedikit demi sedikit:

1. Membaca Surah Kahfi 

Masjid Wan Alwi, Tabuan, Kuching
"Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya diterangkan baginya daripada nur barang yang antara dua Jumaat itu." (Hadith Riawat Hakim dan Baihaqi, m/s 122)
2. Membanyakkan Selawat

Dalam adab ke-15, Syeikh Abdus Samad Falimbani menyarankan untuk berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w pada malam atau hari Jumaat:

"Sayugianya engkau banyakkan membaca selawat dan salam atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat dan malamnya, iaitu terlebih daripada hari yang lain kerana kelebihan membaca selawat atas Nabi s.a.w pada hari Jumaat itu amat banyak. Dan sesetengah daripada kelebihan membaca selawat itu sabda Nabi s.a.w:
'Barangsiapa membaca selawat atasku di dalam hari Jumaat 80 kali nescaya mengampuni Allah Ta'ala baginya akan dosa 80 tahun.' (Hadith Riwayat Daruqutni)" 

Dalam kitab Fadhilat Selawat oleh Muhadith Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari al-Hasani disebutkan hadith:


2.1 Daripada Aus bin Aus r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan (Nabi) Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka perbanyakkanlah ucapan selawat ke atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku. 
Para sahabat bertanya, 'Bagaimanakah selawat kami akan dipersembahkan kepada kamu, sedangkan kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai binasa dimamah tanah.'
Maka baginda s.a.w bersabda, 'Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.' " (Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah)

Hadith yang lebih kurang sama daripada Abi Darda' juga dalam kitab tersebut. Imam Nawawi dalam kitab al-Azkar juga menyebut kelebihan membanyakkan selawat atas baginda Nabi s.a.w pada hari Jumaat. Syeikh Abdus Samad Falimbani juga menyebut agar membanyakkan tasbih dan istighfar bermula pada petang Khamis, kerana waktu tersebut sudah menyamai kelebihan pada Hari Jumaat.



Jika terdapat majlis zikir, selawat ataupun seumpamanya pada malam Jumaat, hadirlah ke majlis tersebut. Insya-Allah mendapat berkat daripada amalan-amalan tersebut. Alhamdulillah, saya diberikan nikmat untuk menghadiri Majlis Ratib al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching secara rutin pada malam Jumaat.

Dalam majlis tersebut, dibacakan surah Yaasiin, susunan wirid Ratib al-Attas, doa-doa, himpunan selawat para ulama muktabar, Asma'ul Husna serta mengalunkan qosidah dan maulid indah berzikir kepada Allah dan berselawat atas Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.  Majlis tersebut dipimpin oleh mudir madrasah, Ustaz Syed Mohamad bin Awli al-Attas (digelar Habib Mohammad al-Attas). Bacaan tersebut terhimpun dalam kitab Kitab 'Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah' yang disusun oleh beliau.


2. Datang Awal ke Masjid dan Beriktikaf


Sabda Nabi Muhammad s.a.w: 

"Barangsiapa pergi ke masjid kerana sembahyang Jumaat pada saat yang pertama maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor unta. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kedua maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor lembu. Dan barangsiapa pergi pada saat yang ketiga maka seolah-olah ia menyembelih korban seekor kambing biri-biri yang bertanduk. Dan barangsiapa pergi pada saat yang keempat seolah-olah ia memberi hadiah seekor ayam. Dan barangsiapa pergi pada saat yang kelima maka seolah-olah memberi hadiah satu telur. Maka apabila keluar imam maka dilipat suratan dan diangkat akan qalam dan berhimpun segala malaikat pada sisi mimbar pada hal  mendengar mereka itu akan zikir (khutbah)." (Hadith Mutafaq 'Alaih, m/s 120)

Saya terimbau, bahawa Syeikh Fahmi Zam Zam mengatakan 'saat' yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin bermaksud jam. Jika dihitung sejak subuh sehinggalah waktu zuhur pada hari tersebut, maka jaraknya dalam lebih kurang 6 jam. Barangsiapa yang datang awal untuk tujuan solat Jumaat, maka pahala diperoleh berdasarkan kadar pahala korban yang dimaksudkan dalam hadith tersebut. Syeikh Abdus Samad menghurai panjang tentang adab dan amalan ketika di dalam masjid.

Persoalannya, masakini, mungkin atas kesibukan memenuhi keperluan kerja, persekolahan atau aktiviti seharian terkadang mendesak menyebabkan kita lewat untuk tiba di masjid. Dari semasa ke semasa, marilah kita membaiki perancangan untuk Hari Jumaat dengan lebih baik, dengan menghadirkan diri ke masjid seawal yang mungkin.


3. Membaca 4 Surah 7 Kali Usai Solat Jumaat

Dalam adab ke-17 kitab Hidayatus Salikin, Syeikh Abdus Samad Falimbani mengusulkan amalan membaca surah:

al-Fatihah x 7 kalial-Ikhlas   x 7 kalial-Falaq   x 7 kalian-Naas   x 7 kali
sebelum berkata-kata dan angkat daripada duduk. Saya juga telah mendengar amalan ini daripada Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam satu kuliah pada tahun 2009 dahulu. Beliau mengatakan bahawa amalan tersebut merupakan amalan para ulama sejak zaman-berzaman. Namun demikian, seseorang harus langsung membaca surah al-Fatihah sehinggalah an-Naas sebelum berkata-kata yang lain dan masih duduk sediakala daripada tahiyat akhir. 

Menurut Syeikh Abdus Samad Falimbani, amalan tersebut 'memeliharakan ia daripada segala kejahatan daripada satu Jumaat kepada Jumaat yang lainnya, dan lagi memeliharakan bagimu daripada syaitan.'


4. Ada Saat Mustajab Doa Hari Jumaat

Pada hari Jumaat terdapat masa doa mustajab. Ada pendapat mengatakan daripada Sayyidatina Fatimah az-Zahra' binti Rasulullah s.a.w, bahawa menurut beliau doa mustajab pada hari Jumaat adalah pada waktu Asar sehinggalah maghrib pada hari Jumaat tersebut. Berkata Syeikh Abdus Samad Falimbani dalam Hidayatus Salikin beliau:
"Sayugia membanyakkan berdoa pada hari Jumaat itu pada beberapa waktu iaitu pada:
i. waktu terbit matahari
ii. waktu gelincir matahari 

iii. waktu masuk matahari

iv. waktu iqamat

v. waktu khatib naik ke mimbarvi. ketika beriri manusia kepada sembahyang,kerana segala waktu yang demikian itu sangat diharap akan mustajab."

Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui. Ini adalah pendapat para arifin yang dibukakan mata hati mereka oleh-Nya. Adalah tidak mustahil jika mereka dikurniakan kelebihan mengetahui rahsia-rahsia-Nya seperti saat doa mustajab ini. Tidak layaklah membandingkan diri kita orang awam mutakhir seperti kita ini ini berbanding dengan orang-orang yang mempunyai darjat taqwa yang tinggi di sisi Allah.

                                     

Sebagai kesimpulan, memadailah saya mengungkapkan kata-kata Imam al-Ghazali tentang keistimewaan Hari Jumaat dalam kitab Bidayatul Hidayah

"... dan jadikanlah hari ini dalam minggumu sebagai hari yang engkau khususkan bagi akhiratmu. Mudah-mudahan ia menjadi kifarat (penebus) bagi hari-hari yang lain dalam minggu itu."

Wallahu'alam. Mohon pencerahan dan teguran atas segala salah dan silap.


Daripada rancangan 'Fattabioni' Habib Mohammad as-Seggaf dalam TV HIJRAH:


NOTAHidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut Kepada Allah Taala) merupakan sebuah kitab huraian daripada kitab Bidayatul Hidayah (sebuah karangan ringkasan kepada kitab Ihya' Ulumuddin karangan Imam Ghazali).Hidayatus Salikin ditulis oleh Syeikh Abdus Samad al-Falimbani. Kitab ini ditulis oleh ulama ini bagi membolehkan masyarakat Nusantara dapat memahami pemikiran Imam Ghazali secara lebih dekat, sejak 200 tahun yang lampau. Kitab ini disunting dan disempurnakan oleh Syeikh Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki.

NOTA: Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammadsallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.

Saturday, January 28, 2012

[Maulid 1433H] Marhaban ya Rasulullah s.a.w!


Alhamdulillah, segala Puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Penghulu segala Nabi dan Rasul, Sayyidna Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Syukur nikmat Islam dan Iman yang Allah masih berikan. Dengan nafas dan nyawa yang disambung kepada jasad, dan dengan taufik dan hidayah-Nya, masih lagi diberikan kesempatan melakukan ketaatan.

Namun demikian, ketaatan itu pernah diajarkan oleh hamba-Nya yang mulia. Bahkan, bukan sebarangan manusia, tetapi Guru yang Agung, iaitu Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam selama-lamanya atas baginda dan ahli keluarganya di kalangan Ahlul Bait. Semoga Allah mememelihara, meneguhkan mereka dan umat Muslimin secara keseluruhannya.

Alhamdulillah, kita telah beranjak sekali lagi bertemu dengan bulan yang mulia, iaitu bulan Rabiul Awal 1433H. Bulan yang dikatakan oleh ahli sufi yang tiada rupa asalnya. Akan tetapi dengan kelahiran baginda Rasulullah s.a.w ia menjadi mulia kerananya.

Ingin saya mewar-warkan satu majlis 'Marhaban ya Rasulullah!' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Abidin (Astana, Kuching), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Madrasah al-Khairat, Sukarelawan al-Falah YADIM dan Hawary Consultants pada 11 Februari 2012, Sabtu mendatang.

Dalam program tersebut, para hadirin akan bersama-sama meruntunkan bait-bait syair memuji Allah dan berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w melalui Maulid Daiba' serta qosidah-qosidah yang indah. Juga terdapat penceramah yang dijemput khas, mengutarakan akan keindahan Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian, amat mustahaklah kita mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan ilmu tentang baginda Rasulullah s.a.w dengan cara yang benar, daripada guru dan ilmu yang benar. Dan juga, jadikanlah bulan ini sebgai bulan permulaan untuk kita menghayati mahabbah (kecintaan yang mendalam) terhadap baginda Rasulullah s.a.w dengan hak. Jika sesiapa yang tidak berkenan menyambut Maulidur Rasul ini, silakanlah. Tetapi usahlah membuang masa dan tenaga hanya semata-mata mengatakan ini sungguh terlarang yakni bid'ah yang boleh menjerumus kepada kesesatan.

Sesungguhnya telah terbit daripada kalam-kalam ulama muktabar yang merupakan mata rantai ilmu dan cahaya daripada baginda Rasulullah s.a.w telah mengulas dengan panjang lebar, bahawa sambutan ini adalah sambutan mulia. Jika anda berminat, saya pohon agar boleh dirujuk kitab Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya oleh yang berbahagia Ustaz Muhadir bin Joll.

Bahkan, melihat kepada umat Islam kini yang semakin hari semakin jauh daripada tauladan ulung daripada baginda s.a.w, tidak keterlaluan jika sambutan Maulidur Rasul ini sampai ke tahap wajib. Pandangan tersebut merupakan pandangan daripada seorang ulama tersohor, Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 2004), pengajar Masjidil Haram di Makkah. Perkara ini telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll dalam siaran di Radio IKIM.fm pada Jumaat, 20 Januari 2012.
Kenang-kenangan bersama Ustaz Muhadir bin Joll (tengah, berjubah biru, berselendang warna perang) ketika majlis ceramah bersempena Maulidur Rasul 1432H di masjid Kpg. Senari, Bako, Kuching.

Marilah kita mengimarahkan majlis-majlis yang mengenang, memperingati, menghayati kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w yang bakal berlangsung menjelang tarikh tersebut. Ini kerana dalamnya terkandung zikir, selawat dan nasihat serta pengajaran daripada pecinta-pecinta baginda s.a.w. Semoga kita meraih kecintaan, mahabbah kita kepada Rasulullah s.a.w, sekaligus meraih cinta kepada Allah... Amiin.

Sebagai renungan penghayatan sambutan, kita dengar kisah tentang kecintaan kepada Rasulullah s.a.w daripada keturunan Ahlul Bait baginda, iaitu Habib Ali Jufri:



Allahu'alam.

Wassalam...

Thursday, November 10, 2011

Daurah Perkampungan Ilmu 2011 (DPI '11)


Madrasah al-Khairat Kuching Sarawak mengajak adik-adik dan sahabat-sahabat terutama yang berumur 11 sehingga penuntut universiti untuk menyertai Daurah Perkampungan Ilmu 2011 (DPI '11) yang akan diadakan bersempena dengan cuti akhir tahun persekolahan pada:

Tarikh: 28 Nov - 4 Dis 2011 (7 hari 6 malam)
Tempat: Madrasah al-Khairat, No. 70, Jalan Cempaka, Kampung Pinang Jawa, Kuching.
Yuran:RM 130.00 sahaja

Objektif program ini adalah:
1. Mengenal penyakit hati dan penawar bagi merawat penyakit hati melalui pendekatan menarik Halaqah Akhlak lil Banin.

2. Mempelajari & mengenal adab sebagai penuntut ilmu melalui kitab Imam Abdullah Al-Haddad iaitu Kitab Adab Suluk Al-Murid agar boleh menuju ke arah keberkatan ilmu yang diredhai dan dirahmati Allah.

3. Memperbaiki kaedah solat menurut Mazhab Syafie agar boleh menuju ke arah kesempurnaan solat.

4. Mengimbangi budaya hedonisme dengan berhibur dengan qosidah, di samping mengenal kisah agung para nabi, ulama-ulama, para sahabat & para awlia'.

5. Mewujudkan rasa cinta pada Rasulullah s.a.w melalui mengenal paras rupanya dan sifatnya agar boleh dijadikan ikutan.


Pelbagai aktivi menarik menanti anda. Semoga bermanfaat besar program ini membantu anda memantapkan diri sebagai seorang Muslim, insya-Allah. Sila klik 'Aktiviti Menarik' di bawah untuk membaca lanjut:



Berikut adalah tentatif rutin program yang akan dilangsungkan:


Sedikit pengenalan ringkas tentang Madrasah al-Khairat Kuching, Sarawak. Madrasah ini merupakan institusi yang menyediakan asas Bahasa Arab dan agama kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, dan merupakan antara institusi yang menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri Sarawak. Sejak dijalankan lebih kurang dua dekad yang lampau, Madrasah ini telah menjadi pintu kepada ramai pelajarnya berjaya melanjutkan pelajaran ke insitusi pengajian tinggi seperti di Mesir, Indonesia dan Yaman. Pada tahun 2011, seramai 3 orang pelajar Madrasah telah melanjutkan pelajaran ke Hadhramaut, Yaman.

Untuk makluman lanjut, sila hubungi:

Fazrul : 010 - 963 4716
Mimi : 014 - 590 7282

Penyertaan adalah terhad kepada 50 orang sahaja. Disarankan untuk mendaftar awal sebelum kuota penuh. Anda boleh memuat turun pamplet DPI '11 melalui pautan 4shared.com. Sila klik di sini.

Terima kasih atas sokongan padu anda!

Wassalam ;)

Thursday, April 14, 2011

Daurah Takmir Madrasah al-Khairat


Tarikh: 15-16 April 2011

Tempat: Madrasah al-Khairat di No. 70, Jln Bunga Champaka, Kpg Pinang Jawa, Gita, Kuching.

Peserta: Terbuka kepada umum

Yuran: RM0.00, tetapi terdapat tabung untuk derma

Agenda:

15 April 2011, Jumaat


- Selepas Maghrib: Bacaan Ratib al-Attas & Asma’ul Husna

- Solat Isyak

- Qosidah

- Pengajian Kitab

- Tidur



16 April 2011, Sabtu

- Qiyamullail

- Solat Subuh

- Pengajian Kitab / Qosidah


Daurah Takmir merupakan program bulanan Madrasah al-Khairat, Kuching bagi menghimpunkan kaum muslimin dan muslimat terutamanya orang-orang muda untuk sentiasa membaiki diri dengan amalan-amalan kerohanian melalui amalan zikir, selawat dan majlis ilmu.

Jika kita ambil berat akan zahir dan hal-hal keduniaan dalam diri kita, mengapakah kita terlalu berkira apabila menyangkut hal-hal bekalan kita untuk perjalanan ke kampung abadi, negeri Akhirat kita?


Marilah peruntukkan sebahagian masa, sebulan sekali untuk manfaat kita bersama. Semoga kita beroleh cahaya petunjuk-Nya, limpahan kasih sayang-Nya dan kecintaan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Rasul Penyudah Risalah Seluruh Alam…

Ameen...

Wednesday, March 30, 2011

::Majlis Ratib al-Attas::

::Majlis Ratib al-Attas::



Bawah bimbingan Ustaz Syed Muhammad bin Alwi al-Attas (Habib Muhammad)

Tarikh : 31/03/2011, Khamis
Tempat: No. 70, Jalan Champaka, Kpg Pinang Jawa (Gita), 93050, Kuching.
Masa: Bermula selepas Maghrib
Agenda:
- Pembacaan Ratib al-Attas
- Asma’ul Husna
- Solat Isyak
- Tausiyah (pengisian rohani)
- Qosidah
- Jamuan

Ratib al-Attas merupakan zikir yang disusun oleh Imam Habib Umar bin Abdul Rahman al-Attas (w. 1032 H), guru kepada Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad (w. 1132H), seorang ulama sufi yang masyhur. Mereka merupakan ulama keturunan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang hidup di Hadhramaut Yaman.

Ustaz Syed Muhammad bin Alwi al-Attas merupakan guru besar di Madrasah al-Khairat, Kuching. Madrasah tersebut merupakan institusi yang menyediakan asas Bahasa Arab dan agama kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, dan merupakan antara institusi yang menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri Sarawak. Al-Fadhil Ustaz merupakan anak murid kepada seorang ulama besar dunia Islam, Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 2004).

"Berjasa Kepada Masyarakat"

Jemput hadir ;)

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...