BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, January 18, 2017

Cerita Cincin dan Manisan


Tersebutlah kisah ada seorang ibu dan seorang anak. Kata Si Ibu, “Wahai anak, aku ingin engkau simpan dan jaga cincin ini.”

Si Anak pun bersetuju dan cincin itu diberikan kepadanya. Pada suatu hari, Si Anak berjalan-jalan ke pasar. Ia pun sekali-sekala berhenti dan membelek cincin yang diberikan ibunya. Gelagatnya diperhatikan oleh seorang lelaki. Lantas, orang itu pun menghampirinya.

Lelaki itu berkata, “Wahai anak, saya adalah seorang saudagar.”

Si Anak pun mengangguk seraya berkata, “Saudagar? Apa itu?”

“Saudagar maknanya orang yang membeli dan menjual barang kepada orang lain. Cincin itu nampak cantiklah, wahai adik!” puji lelaki itu.

“Ini cincin yang diberi oleh ibu saya.”

Kata orang yang mengaku saudagar itu, “Apa kata... kita bertukar barang. Seperti berdagang. Adik dapat manisan ini, dan adik tukarkan dengan cincin itu.” Si Saudagar mengeluarkan sejenis manisan yang berupa kuih.

Si Anak berasa berbelah bahagi, ujarnya, “Tak boleh. Ibu suruh saya simpan cincin ini.”

“Baiklah, cuba kamu jilat cincin kamu. Apakah rasanya?” Si Anak pun melakukan seperti yang disuruh.

“Rasa cincin ini tawar.”

“Cuba kamu rasa manisan ini. Sedap bukan?” tergiur akan manisan yang ditunjukkan Si Saudagar, Si Anak mahu juga mencuba.

“Wah, sedapnya! Saya memang lapar juga!”

“Bagaimana, kalau manisan-manisan ini menjadi milik kamu?” tanya Si Saudagar. Tanpa berfikir panjang, Si Anak pun mengambil manisan. Cincin pula sudah berada di tangan Si Saudagar.

Kisah yang dibicarakan ini merupakan isi daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Suhadi bin Roslan (Maulana Abdullah) di Masjid an-Naim Lutong pada suatu Jumaat yang lepas. Beliau mengatakan bahawa begitulah tamsilan (perumpamaan) yang digunakan oleh para ulama dalam mengungkapkan keadaan iman yang sewajarnya dipelihara.

Apabila seseorang tidak mengenal akan hakikat nilai sesuatu, ia akan mengabaikan atau memilih sesuatu yang rendah nilainya. Si Anak lebih mengenal nilai manisan yang hakikatnya lebih rendah daripada nilaian sebentuk cincin. Maka manisan itu yang dipilihnya daripada cincin mahal harganya.

Begitulah dengan kehidupan kita. Perumpamaan cincin adalah kalimah iman atau kalimah Tauhid iaitu pengakuan syahadah Laa ilaha illallah (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah). Kalimah tauhid ini merupakan kunci untuk seseorang memasuki syurga Allah dengan Rahmat-Nya. Syaitan dalam kisah ini diibaratkan sebagai saudagar yang licik itu. Syaitan akan ada pada setiap masa sebagai pencuri yang tidak putus asa memperdaya dan mencuri kunci syurga itu. Ia sentiasa menghias dunia begitu indah agar kita lupa akan hakikat iman yang membawa kepada keselamatan akhirat.

Sayyidina ‘Itban bin Malik r.a meriwayatkan bahawa Nabi bersabda, “Seseorang yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku (Nabi Muhammad ) ialah pesuruh Allah tidak akan dimasukkan ke dalam neraka atau dimakan oleh neraka. (Hadith Riwayat Imam Muslim)[1]

Oleh itu, setiap orang yang beriman hendaklah sentiasa menuntut ilmu dan mengamalkan dalam kehidupan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan Sunnah melalui para ulama yang muktabar. Agar dengan kesungguhan kita meniti jalan Sunnah Nabi Muhammad , kita diberikan kekuatan untuk taat kepada-Nya, diampuni dosa, dipelihara daripada melakukan maksiat dan memasukkan kita ke dalam syurga...semoga kita tergolong dalam sebutan Nabi yang mengakhiri tulisan ini, insya-Allah, amiin, Amiin...

Daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata Rasulullah bersabda:

“Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api.” (Hadith Riwayat Imam Tirmizi)[2]


*Saya mengharapkan agar dalam artikel ini makna yang disampaikan oleh Maulana Abdullah menepati kandungan yang beliau bicarakan. Jika ada kesilapan, berpunca daripada kelemahan saya mengingat atau memahami sepenuhnya ungkapan beliau.



[1] Hadith ke-48 bab Kalimah Tayyibah: Iman dalam kitab Muntakhab Ahadith (Hadith-hadith Pilihan), 2015 susunan Hazrat Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi m/s 20 terbitan Maktabah Ilmiah, Sri Petaling.

[2] Hadith ke-22 dalam kitab Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (2013) disusun oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki al-Banjari yang dikompilasikan oleh penerbit Galeri Ilmu.

Tuesday, January 17, 2017

Gamitan Memori Lama

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad , ahli keluarganya (Ahli Bait) dan para Sahabat Baginda. Semoga Allah melimpahi rahmat atas ulama yang Haq (Benar) dan orang-orang yang meniti jalan Baginda sehingga Hari Kiamat.

Lama benar tidak menjengah sawang ini. Maaf sudah setahun lebih tidak dikemaskini. Jika rumah yang lama tidak dihuni, lazimnya ada penghuni kerdil yang membina rumah sawangnya merata-rata di dalam rumah. Kini sawang itu dibersihkan dan harus diceriakan kembali.

Pada suatu petang, sedang saya mahu merebahkan diri berehat, ada sebuah buku yang terdampar di atas lantai: nampaknya anak-anak saya membeleknya bersama ibu mereka. Entah mengapa buku ini menggamit hati untuk menyelaknya kembali. Buku itu adalah karya Kampung Boy: Yesterday & Today oleh Dato’ Lat. Jika penulis karya klasik, Charles Dicken dianggap perakam dokumen sosial masyarakat era Victorian Britain pada akhir abad ke-19, maka saya merasakan karya Kampung Boy ini adalah dokumen sosial masyarakat Melayu-Islam era pasca Perang Dunia Kedua.

Kampung Boy

When I was a little boy in the kampong a long, long time ago there was no TV. Can you imagine?  ~Dato’ Lat, Kampung Boy: Yesterday & Today

Secara ringkas Kampung Boy menceritakan zaman kanak-kanak Dato’ Lat ketika tahun 1960-an. Tahun 1960-an adalah anggaran saya, berdasarkan satu helaian surat khabar pembalut buah berkenaan krisis peluru berpandu Cuba pada 1962 antara adikuasa Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Dato’ Lat melakarkan perbandingan kehidupan anak-anak masakini (ketika itu era 1990-an – saya ketika kecil) dan zaman beliau. Kampung Boy memaparkan kehidupan sederhana tetapi penuh dengan makna: dari segi kehidupan keluarga, permainan bersama rakan taulan, pemakaian, hidup bermasyarakat dan tidak kurang juga pengembaran yang menarik.

Jika dilihat dari sudut kehidupan moden hari ini, mungkin agak mustahil anak-anak dapat merasai pengalaman hidup kanak-kanak zaman Dato’ Lat. Melainkan di kampung-kampung yang tidak begitu terusik dengan hiruk-pikuk dan kecelaruan hidup di bandar. Saya sebagai guru di salah sebuah sekolah kampung masih merasai ‘sisa-sisa’ pengalaman Kampung Boy dalam komuniti tersebut. Pemerhatian penulis yang pernah melalui zaman televisyen dan gajet ‘pintar’, terdapat perubahan gaya hidup yang drastik sekali. Anak-anak muda terlalu banyak terdedah kepada gajet dan silau dengan ‘keajaiban’ apps game dan media sosial. Malah tidak keterlaluan gajet telah menjadi tuan kepada si anak.

Ayah dan Kampung Boy

Ayah saya lahir pada 1952 di kampung di daerah Limbang, ketika itu agak terpencil di bumi Sarawak. Jika pada tahun 1960-an, maknanya beliau sezaman dengan Dato’ Lat. Ketika saya kecil, terbit kecemburuan terhadap ayah saya. Cerita-cerita beliau mengenai zaman kanak-kanak begitu mengujakan. Apabila dibandingkan dengan Kampng Boy, terdapat persamaan Dan adakala saya merasakan zaman kanak-kanak saya tidak begitu menarik berbanding zaman ayah.

Mana tidaknya, kehidupan ayah juga mirip seperti Kampung Boy. Terjun ke dalam sungai, menjala di sungai, membubu ikan, memanjat pokok, membuat perahu daripada atap zink reban nenek, menjual aiskrim dan paling dicemburui – main perang-perang dengan senapang buluh. Bahkan – beliau dan rakan-rakan pernah dimarahi kerana bermain senapang raifal-bolt Arisaka atau Lee Enfield yang dijumpai ditanam oleh pihak penjajah!

 Saya dan Anak-anak

Apabila direnung kembali zaman kanak-kanak, tiba masanya saya pula kasihan dengan anak-anak saya. Di sebalik ‘kekecewaan’ tidak dapat merasai pengalaman seumpama zaman ayah, sebenarnya dahulu masih ada sisa-sisa kehidupan Kampung Boy – walaupun tidaklah dapat menandingi aktiviti mereka.

Sebahagian daripada kehidupan saya membesar rumah datuk di Kampung Pengkalan, Miri
dan menggamit kenangan terindah. Ketika itu masih berpeluang untuk ke kebun, melawat kandang kambing, melihat ayam belanda, membantu kenduri perkahwinan dan tahlil, dan memungut telur puyuh di reban pada waktu pagi. Di sanalah saya, adik-beradik dan saudara-mara bermain dan membesar bersama. Parit lurus yang kering dijadikan trek untuk perlumbaan kereta mini Tamiya (era Dash Yankuro). Datuklah yang paling teruja melihat kami bermain. Habis bateri, sanggup beliau bergegas untuk membeli bateri baru. Semoga Allah mengampuni beliau dan nenek, meluaskan kuburnya sebagai taman syurga, dan memasukkan beliau ke dalam syurga, amiin!

Namun terasa kasihan dengan anak-anak yang tidak lagi dapat menikmati suasana itu, kerana kehidupan sudah berpusat di rumah di kawasan perumahan. Zaman sudah berubah, dengan cepat sekali. Memetik kata-kata Dato’ Lat di halaman terakhir Kampung Boy:

For one moment his laughter took me back to my childhood days... the days when we were not really in a hurry to grow up. We took our time...

Anak Zaman Sekarang

Kenangan lama biarlah ia mengusik sekali-sekala jiwa ini. Tuhan dengan Qudrah (Maha Kuasa), Iradah (Maha Berkehendak) dan Ilmu-Nya mengatur kehidupan dengan indah sekali. Ada insan tersayang sudah meninggalkan kita. Dan kini generasi baru muncul dengan zaman yang baru. Sehingga disebutkan oleh pakar, anak-anak zaman ini adalah ‘digital baby’. Mungkin kerana gaya hidup hari ini sejak kecil lagi sudah berpaksikan kepada gajet. Dari satu sudut, terdapat kebimbangan penggunaan gajet yang berleluasa memberikan lebih banyak impak yang negatif kepada anak-anak berbanding positif. Pernah saya dan isteri menghadiri satu kursus keibu bapaan oleh Tuan Ahmad Fakhri Hamzah dan Puan Jamilah Samian pada tahun 2015, bahawa semua ibu bapa sepakat gajet adalah kebimbangan nombor satu mereka terhadap anak-anak.

Anak-anak pada usia yang kecil lagi sudah disuap dengan pelbagai video dan apps, adakala kepada tahap yang membimbangkan. Pelbagai anasir luar mengisi akal dan jiwa mereka, justeru sebagai seorang guru, merupakan satu cabaran untuk mendidik adab dan memurnikan konsep yang sudah bercampur aduk dengan anasir luar ini.

Akhlak anak-anak yang terbiasa dengan tutur kata yang kesat atau perangai yang tidak elok akan terzahir jua di sekolah. Dan tidak syak lagi, berkemungkinan besar sudah terbiasa di rumah. Selain itu, penggunaan gajet yang berlebihan membawakan mereka menghabiskan masa untuk bermain dan meninggalkan perkara yang lebih mustahak iaitu ilmu. Sukar sekali bertemu dengan anak-anak remaja dan belia yang rajin membaca buku yang bermutu tinggi. Oleh itu dibimbangi terbit generasi yang rapuh kerana serba senang atau ambil mudah, terlalu bergantung enggan berdikari dan lemah menghadapi cabaran zaman.  

Renungan

Pernah juga terfikir, jika diukur zaman ini dengan zaman lampau, zaman ini jauh begitu senang. Orang pada zaman dahulu bersusah payah untuk hidup, akan tetapi mereka dapat membina negara bahkan empayar yang luas dan hebat. Nabi Muhammad dan para Sahabat dalam kehidupan yang serba sederhana, dunia mereka takluki dengan hina dina. Para ulama bersusah payah mengembara dan menyusun ilmu. Cendiakawan menghasilkan karya agung atau leksikon yang tidak dapat ditandingi sehingga hari ini. Sebaliknya orang zaman sekarang yang terlalu senang dengan pelbagai kemudahan dan sukar untuk menghasilkan kualiti orang terdahulu.

Apapun, pentingnya fikir risau tentang keadaan iman kita, keluarga, jiran dan masyarakat terutamanya masyarakat Islam. Banyak lagi manusia yang belum menerima seruan Islam. Dalam zaman yang penuh pancaroba ini, seringkali risau juga tentang bagaimana anak-anak akan membesar nanti. Hanya kepada Allah kita berdoa, moga diteguhkan iman kita dan akhirnya hidup diakhiri dengan Husnul Khatimah (kesudahan yang baik)... amiin.

Kita akhiri dengan sepotong hadith Nabi :

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah bersabda:

“Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (syak perawi hadith) seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia.” (Riwayat Imam Muslim)[1]



[1] Hadith 28 dalam kitab Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (2013) disusun oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki al-Banjari yang dikompilasikan oleh penerbit Galeri Ilmu.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...