BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, September 30, 2013

[BUKU] Kitab Fadha’il Amal

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan Ahli Bait (keluarga) Baginda, para sahabat, tabi’in, pengikut tabi’in, ulama muktabar serta orang yang ikhlas meruntun jalan Baginda s.a.w sehinggalah Hari Kiamat.

Kenang-kenangan beliau mensyarahkan kitab Siyarus Salikin
di Masjid Darul Falah USJ 9, 2009.
Syeikh Ahamad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Banjari[i] pernah mengungkapkan tanda berkatnya tulisan karya seseorang. Dalam mukadimah (pengenalan) kitab kemaskini dan huraian kitab Hidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut kepada Allah Taala) karangan asal Syeikh Abdu Samad Falimbani (wafat abad ke-19), beliau mengungkapkan seperti berikut:

“Dari sudut lain kita dapat melihat keberkatan kitab ini (Hidayatus Salikin), apabila ia terus dibaca di pondok-pondok (madrasah sistem talaqqi), di surau-surau dan di masjid-masjid sebagai teks bacaan orang ramai. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kitab ini diberi berkat oleh Allah Taala dari sebab keikhlasan pengarangnya. Di samping memang terbukti pula kesan yang baik yang timbul bagi setiap orang yang mentelaahnya dengan niat mencari ilmu yang memberi manfaat dan untuk mengamalkannya.” (pp. viii, Hidayatus Salikin)
Kitab Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Samad
Falimbani rahimahullah, disemak oleh Syeikh Ahmad Fahmi
Zam Zam an-Nadwi al-Banjari

Ciri keberkatan sesuatu karya ini mengingatkan kepada kita salah satu kitab yang paling mungkin terdapat di mimbar surau ataupun masjid, ataupun di rak-rak buku setelah al-Quran seta buku Yaasin dan Tahlil. Kitab ini huraiannya dibaca hampir setiap hari di banyak surau dan masjid, setidak-tidaknya selepas waktu Maghrib atau Isyak. Kadang-kadang adanya dibaca mengisi masa ketika sebelum azan solat Jumaat. Kitab ini diberi judul Fadhilat Amal ataupun Fadha’il Amal (Kelebihan-kelebihan Amal). Kitab ini ditulis oleh al-Imam al-Allamah Hazrat Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi Rahmatullah ‘Alaih (semoga Allah merahmati beliau), seorang ulama hadith tersohor dari India pada abad ke-20.


Biodata Ringkas Pengarang

Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi merupakan seorang ulama muhaddith yang  besar jasanya kepada umat Islam. Beliau menghabiskan hayat beliau berkhidmat untuk kekasihnya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dengan belajar dan mengajar ilmu hadith selama 60 tahun. Beliau mengarang banyak kitab, kitab terbesar beliau Awjazul al-Masalik (yang selesai dikarang setelah 40 tahun ditulis) adalah huraian (syarah) kepada kitab hadith Muwatta’ yang dinukilkan oleh Imam Malik rahimahullah.

 Menurut riyawat ringkas beliau dalam Majalah Q&A Isu #16 (April 2013), Syeikh Maulana merupakan seorang yang gigih menuntut ilmu. Beliau mengutamakan perhatian dalam keberkatan belajar daripada guru. Beliau membesar dalam persekitaran ilmu dan ulama. Tidak hairanlah beliau belajar ilmu agama daripada ulama-ulama seperti ayahnya sendiri, Maulana Yahya Kandahlawi, antara lain Maulana Rashid Ahmad Gaghori dan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri.

Kitab terbesar Maulana Zakariyya; iaitu 
 kitab Aujazul Masalik, huraian kitab Muwatta' 
karangan Imam Malik r.m.h. Beliau menyusun kitab
 ini selama 40 tahun dalam
16 jilid.
Diceritakan bahawa pada tahun akhir pengajian hadith, beliau berazam untuk tidak meninggalkan pengajian sebuah hadith pun tanpa berguru. Beliau dan rakan sekelasnya Hasan Ahmad memastikan diri mereka dalam keadaan berwuduk. Kedua-duanya berpakat, jika salah seorang mereka terpaksa ke tandas atau membaharui wuduk, maka yang tinggal di kelas akan menanyakan soalan-soalan sehinggalah yang keluar tadi kembali. Akhirnya guru mereka terperasan perbuatan mereka. Pada suatu hari, apabila rakan Maulana yang bernama Hasan Ahmad tadi keluar, Maulana menanyakan soalan kepada gurunya. Tetapi gurunya ketawa dan berkata, “Tidak mengapalah, sementara kita tunggu Hasan Ahmad datang, aku akan ceritakan kamu satu kisah. Tidak payahlah aku bertaurung menjawab berkenaan kenyataan Fathul Qadir (sebuah kitab) kamu itu.”

Himpunan kitab telaahan Maulana Zakariyya, di
blog Taman-taman Ilmu dan Para Solihin.
Beliau sentiasa memanfaatkan masa untuk belajar. Apabila beliau dan bapanya Maulana Yahya Kandahlawi pulang ke kampung, mereka akan berdiskusi tentang ilmu di setiap masa yang ada. Iaitu ketika menunggu keretapi, ketika menaiki keretapi. Setelah itu  disambung lagi dalam perjalanan dari stesen keretapi ke rumah walaupun dekat. Dan kemudian perjalanan balik ke madrasah kembali. Apakah masih ada tabiat seperti ini di kalangan kita? Terlebih lagi golongan terpelajar mahasiswa?

“Sebenarnya seorang ulama tidak akan lahir sebagai ulama dengan sendiri. Malah lahirnya seorang ulama adalah melalui keberkatan berhubungan dengan ulama lain. Ini kerana ilmu bukan hanya apa yang ada di atas kertas, malah ilmu itu nur yang terpancar daripada mereka yang menerima cahaya Nubuwwah.”
(Mukadimah Taqrir Bukhari ms. 29 dan Aap Beti ms. 96, Majalah Q & A Edisi 16 (April 2013))


Sekilas Tentang Kitab Fadha’il Amal



Kediaman Maulana Zakariyya Kandahlawi, di
Di tangan penulis merupakan edisi terkini kitab Fadhilat Amalcetakan 2013. Kitab ini memuatkan bab-bab yang terlengkap di Malaysia setakat ini. Kitab ini merupakan kompilasi kepada beberapa kitab yang beliau karang, iaitu:

  1. Kitab Para Sahabat
Menghimpunkan banyak kisah daripada kalangan Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w, baik dari aspek ketakwaan, keghairahan dalam taat dan ibadat, amanah, kepahlawanan, kepatuhan dan kasih sayang yang tiada tara kepada Baginda s.a.w. Maulana mengungkapkan bahawa cerita-cerita orang yang soleh dan hampir kepada Allah ini harus dibaca berulang-ulang agar memberi kesan di hati kita. Mereka inilah insan yang terbaik pernah berjalan di muka bumi setelah Baginda s.aw. Mengasihi mereka bermakna mengasihi Rasulullah s.a.w. Mengasihi Baginda s.a.w bermakna mengasihi Allah, Tuhan Semesta Alam.

  1. Fadhilat Quran
Menghimpunkan dan menghuraikan 40 hadith tentang kelebihan membaca al-Quran.

  1. Fadhilat Solat
Menghimpunkan tentang kelebihan solat, amaran dan celaan meninggalkan solat, kelebihan solat berjemaah, amaran meninggalkan solat berjemaah, tentang khusyuk dan orang-orang soleh yang mengungguli kehidupan mereka dengan solat.


  1. Fadhilat Zikir
Menghimpunkan banyak kelebihan bacaan kalimah zikir yang sudah lazim dalam masyarakat yang mudah diamalkan, tetapi berat timbangannya di sisi Allah. Misalan, zikir Laa ilaha illlallah (Tiada Tuhan selain Allah), Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar). Saya berpandangan huraian beliau berlandaskan perkongsian pengalaman kerohanian beliau melalui tarbiyah (pendidikan) daripada masyaikh (syeikh-syeikh) beliau. Selayaknya beliau memperkatakan hal ini kerana berada di jalan berguru dan merasai kelazatan berzikir. Allahu’alam.

  1. Fadhilat Tabligh
Perpustakaan peribadi Maulana
Zakariyya. Kredit untuk
 blog Taman-taman Ilmu dan Para Solihin.
Tabligh menurut ilmu akidah (perbahasan mengenai pokok pangkal pegangan keimanan) adalah salah 
satu daripada sifat wajib iaitu menyampaikan dakwah yang ada pada seorang rasul. Namun demikian, daripada semua rasul dan umat mereka, hanya Nabi Muhammad s.a.w yang mewariskan tugas dan tanggungjawab menyampaikan agama Islam kepada umatnya kepada manusia sejagat. Dalam bab ini beliau memberikan panduan dan nasihat daripada hadith Baginda Nabi s.a.w khusus bagi insan yang berkecimpung dalam berdakwah.

  1. Fadhilat Ramadhan
Bahagian kitab ini amat berguna terutama sekali sebagai menyediakan suasana untuk menyambut Ramadhan. Sebaiknya apabila tiba bulan Rejab (bulan ketiga sebelum Ramadhan), bahagian ini sudah mula dibaca. Beliau menghimpunkan hadith-hadith mengenai kelebihan Ramadhan, Lailatulqadar dan adab-adab beriktikaf dan beribadah di masjid pada bulan yang mulia itu.

  1. Kemunduran Umat dan Penyelesaiannya
Kitab Fadhail Amal ini begitu sinonim bagai kembar yang tidak dapat dipisahkan daripada satu jemaah dakwah yang kita maklumi, iaitu Jemaah Tabligh. Oleh sebab kupasan yang menyeluruh, kitab ini menjadi silibus umum jemaah tersebut dalam bekalan dakwah mereka. Walaupun begitu, tidak bermakna orang yang tidak menyertai kerja dakwah mereka tidak menatap kitab ini. Sebaliknya, orang awam juga boleh membaca dan mengambil manfaat daripadanya.

Keistimewaan Kitab Ini

1. Keistimewaan kitab ini adalah Maulana menyatakan hadith dan huraian yang bersesuaian menurut tertib panjang teks (matan) hadith. Panjang teks dan huraian tersebut adalah mengikut turutan; daripada huraian pendek dan semakin panjang. Bagi memudahkan orang awam membaca, beliau menyatakan keududukan hadith secara ringkas. Untuk kajian agamawan, beliau menyatakan dalam Bahasa Arab. Setiap hari kita boleh memperuntukkan masa yang bersesuaian dengan panjangnya berdasarkan kelapangan masa kita.

2. Beliau menghuraikan hadith lengkap daripada ayat al-Quran, hadith ataupun kisah-kisah daripada para nabi-nabi, para rasul, para sahabat, orang soleh dan para wali di mana yang sesuai. Beliau menghuraikan beserta dengan nasihat dan teguran yang ikhlas daripada pengamatan beliau sebagai ahli ilmu. Huraian adalah senang difahami. Cuma kadang-kadang terdapat istilah-istilah ataupun konsep kesufian memerlukan penjelasan lanjut.


3. Kitab ini bukan sahaja sesuai dibaca di surau ataupun masjid pada waktu luang ataupun setelah solat, akan tetapi bersesuaian juga untuk dibaca di rumah, tempat kerja ataupun di mana-mana yang bersesuaian. Bahkan, dengan kisah-kisah yang dimuatkan, kitab ini juga sesuai untuk para pendidik agama, terutama sekali Guru Pendidikan Islam (GPI) ataupun KAFA (Kemahiran Al-Quran dan Fardhu Ain).

4. Jika kita teliti, Maulana Zakariya merupakan seorang yang sangat tawaduk (rendah diri). Meskipun beliau telah mengarang banyak kitab, berguru dengan para ulama mengajarkan ilmu hadith kepada ramai anak murid, beliau sering merasai dirinya yang serba kekurangan dan daif. Dalam banyak tempat, beliau sering meminta pembaca untuk mendoakan beliau.

Faktor Memiliki Kitab Ini

Ada beberapa faktor yang mendorong penulis untuk memiliki kitab ini:

1. Pencetus utama adalah apabila penulis menatap sebuah lagi kitab Syeikh Maulana Zakariya, iaitu Shamail Tirmizi (gambar), atau lebih dikenali sebagai Shamail Muhammadiyyah. Kitab tersebut istimewa, bukan sahaja mengumpulkan hadith-hadith tentang keperibadian Baginda Nabi Muhammad s.a.w, bahkan Syeikh Maulana Zakariya telah mensyarahkan (menghuraikan) tentang hadith tersebut dengan kupasan yang amat menarik berdasarkan perbahasan ulama dan kaitan dengan kisah-kisah lain.

2. Pendorong kedua, iaitu amalan membaca kitab ini selari dengan salah satu daripada empat jalan untuk istiqamah dalam amalan. Saranan ini pernah dipesan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll ketika kami menziarahi beliau pada Syawal 1433H yang lalu di Kuching. Beliau mengatakan bahawa salah satu cara untuk mengekalkan motivasi dalam ibadah adalah dengan selalu mendengar ataupun membaca tentang mutu, kesungguhan dan kualiti ibadah orang-orang yang soleh.

Kenang-kenangan berhari raya dalam suasana ilmu
bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll
pada Syawal 1433H.
Terdapat banyak cerita mengenai tauladan terindah Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga Baginda, ulama, mujahid, para wali, pemimpin adil dan sebagainya sarat dimuatkan dalam huraian tentang hadith-hadith kitab ini. Tambahan pula Syeikh Maulana ada menyebutkan dalam bab awal kitab ini, ‘Kisah-kisah Para Sahabat’ bahawa kisah-kisah terbaik sepanjang zaman ini amat wajar ditatap oleh isteri dan anak-anak:

“Sekiranya mereka yang gemarkan kepada kisah-kisah yang sia-sia lagi dusta maka amalan mereka itu akan menjadi asbab untuk peningkatan agama dalam diri mereka. Begitu juga wanita-wanita di rumah dapat memperdengarkan kisah-kisah tersebut kepada anak-anak sebagai ganti kepada cerita-cerita dongeng. Ini akan mewujudkan keagungan dan kecintaan terhadap para sahabat dalam hati-hati merek serta kegemaran terhadap hal-hal agama. (ms. Iii, bab Kisah Para Sahabat)

 Syeikh Maulana juga menyebutkan bahawa menyebut nama-nama orang yang soleh akan mengundang turunnya rahmat daripada Allah. Beliau mengungkapkan kata-kata seorang ulama sufi, Imam Junaid Baghdadi menyatakan perkara yang sama. Saya pernah mendengar hal ini daripada Ustaz Azhar bin Hashim al-Hadhromi, pemimpin Majlis Ta’lim Rahmatan lil ‘Alamin ketika majlis Kuching Berselawat III pada Mac 2013 lepas yang mengungkapkan kata-kata seorang lagi ulama sufi, iaitu Imam Sufyan al-UyaynahSebagai seorang awam, saya menyandarkan sangka baik terhadap ulama berkenaan yang amanah dalam menyampaikan ilmu beliau, sungguhpun beliau tidak terlepas daripada kesalahan.


3. Membaca biografi tentang rentetan riwayat hidup Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi dalam Majalah Q & A (terbitan Galeri Ilmu) dalam edisi April 2013 (Isu #16), telah membuka hati saya untuk menatap karya beliau. Beliau amat menitik beratkan akan ‘kehadiran dan berguru semasa menuntut ilmu.’ Dan disiplin seperti inilah yang menjemput keberkatan dalam menuntut ilmu. Begitu menarik usaha beliau yang begitu bersungguh-sungguh dalam mempelajari hadith Baginda rasul s.a.w, beliau dan rakatn beliau berazam tidak mahu mendapatkan hadith dengan berguru (yang benar).

Mari Hargai Karya Ulama

Pernah saya bertanyakan pandangan mengenai kitab Fadhail Amal ini kepada seorang kenalan mahasiswa jurusan agama tahun pertama di universiti saya. Beliau mengatakan,

“Beliau adalah penjenayah hadith. Beliau banyak meriwayatkan banyak hadith daif (lemah).”
Ketika itu niat bertanyakan adalah sebagai justifikasi bahawa Jemaah Tabligh yang sering menggunakan kitab ini adalah jemaah dakwah yang dipandang miring Ungkapan beliau telah menambah stigma negatif yang tebal dalam diri.


Setelah masa berlalu, dan adanya interaksi bersama dengan jemaah dakwah tersebut, telah merombak minda dan penyesalan. Buat sekian lama, rupanya diri menjauh daripada menatap karya daripada seorang yang Allah muliakan kerana khidmat pengarangnya kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah disedari oleh rakan dan alhamdulillah berpeluang di majlis-majlis pengajian agama daripada agamawan Ahli Sunnah wal Jamaah di Kuala Lumpu barulah ketahuan bahawa selama ini telah terpengaruh akan aliran yang memutuskan diri daripada berhubungan dengan ulama lampau. Baharu sedar bahawa didapati hadith daif itu masih dalam darjat hadith, bukan palsu dan boleh diguna untuk kelebihan amalan. Barulah tersentak terikut-ikut akan mereka berani sekali melanggar adab kepada para alim ulama yang amanah, tulus, besar jasa dan hampir kepada Allah.

Bahkan jika kita membaca riyawat hidupa Maulana Zakariya Kandahlawi, sungguh tidak beradab dan biadab sekali kita memperlakukan seorang yang Allah muliakan. Beliau merupakan seorang yang berterusan melaksakan Sunnah Baginda Nabi Muhammad s.a.w. diceritakan oleh Ustaz Muhadir bin Hj. Joll dalam buku beliau Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah, Maulana sanggup berpuasa selama 2 bulan berturut-turut sekalipun sakit berat semata-mata kerana Rasulullah s.a.w pernah berpuasa 2 bulan berturut-turut.  


Akhirnya Maulana telah diakhiri riwayat hidup beliau di kota kekasihnya, Madinah al-Munawwarah. Di mana tempatnya? Di Jannah al-Baqi’, iaitu perkuburan para Sahabat. Alangkah mulia dan beruntungnya beliau atas penghormatan ini!

Adakah masih mahu melabel beliau sebagai penjenayah hadith? Adakah orang yang berkata sedemikian mempunyai sandaran walaupun satu hadith yang sampai sanadnya kepada Rasulullah s.aw.? Ukur baju di badan sendiri. Di manakah sangka baik dan adab kita kepada para ulama?

Penutup

Akhir kata, hargailah hidup ini dengan berkorban meluangkan sebahagian masa untuk mengerti hal agama. Pernah didengar ungkapan yang lebih kurang berbunyi:

Carilah ilmu daripada ulamaJika tiada ulama, tataplah kitab merekaJika itupun tiada,Maka banyakkanlah berselawat.

Ayuh kita belanjakan sebahagian wang kita untuk menatap kitab yang ditulis oleh seorang ulama pecinta Nabi Muhammad s.a.w ini. Tataplah dengan sungguh-sungguh dan diamalkan selama mampu. Dan doakanlah kesejahteraan pengarang seperti yang dihajati beliau, al-Imam al-Allamah Hazrat Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi rahimahullah. Semoga Allah merahmati beliau, mengampuni beliau, melapangkan kuburnya dan menjadikan kuburnya daripada taman-taman syurga kerana khidmatnya atas Allah dan Rasulullah s.a.w... amiin.




[i] Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari merupakan seorang ulama Nusantara yang disegani dan dikenal di kalangan masyarakat pengajian bertalaqqi. Beliau telah menulis, menterjemah dan mentahkik pelbagai kitab. Antaranya adalah tahkik kitab karangan Syeikh Abdus Samad Falimbani iaitu Siyarus Salikin dan Hidayatus Salikin. Begitu juga penterjemahan dan tulisan kitab lain seperti Bidayatul Hidayah, Ayyuhal Walad (karangan Imam al-Ghazali r.m.h), Bustanul ‘Arifin (karangan terakhir Imam an-Nawawi r.m.h), 40 Hadith Penawar Hati, 40 Hadith Akhir Zaman dan beberapa lagi. Beliau aktif mengajar di Kuala Lumpur. Beliau telah mengasaskan sebuah madrasah Maahad Tarbiah Islamiah di Derang, Kedah. 

Monday, September 9, 2013

[BUKU] Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait

 “Sesungguhnya fahaman ini (Syiah) bukan sahaja mampu menggugat keamanan umat Islam tetapi lebih dari itu mampu memesong aqidah umat Islam.”                                         ~Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki
Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, para keluarganya di kalangan Ahli Bait, para sahabat serta orang-orang yang ikhlas meruntun jalan baginda s.aw sehinggalah Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, sekali lagi Dia telah memberi peluang untuk menatap sebuah kitab kecil tetapi mengandungi makna yang besar sekali. Kitab tersebut berjudul ‘Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait’ yang telah dikarang oleh seorang ulama muda negara, al-Musnid Dato’ Hj. Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Beliau merupakan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan juga Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kitab ini baharu dilancarkan pada 28 Ogos 2013 yang lepas.


Kemunculan kitab ini sedikit sebanyak melegakan keresahan yang menyesakkan atas fenomena siri gelombang serangan mazhab akidah Syiah. Fahaman ini sudah menerobos segenap lapisan masyarakat, baik dalam barisan kepimpinan politik, penulisan dan media massa. Dan lebih merunsingkan lagi, pengikutnya sudah bertambah ramai. Slogan mereka menganjurkan untuk mencintai Ahli Bait (ahli keluarga baginda Nabi s.a.w), tetapi hakikatnya sebaliknya, gejala melaknat para Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan pelbagai penyimpangan yang lain tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  

Masanya tepat sekali apabila masalah penyebaran fahaman menyimpan Syiah semakin menjadi-jadi dan dibimbangi menjadi barah dalam masyarakat. Di kala saat genting ini masyarakat sememangnya memerlukan jawapan daripada para ulama dengan tuntas lagi meyakinkan. Kita tidak mahu masyarakat berpecah-belah kerana perbezaan akidah yang sudah zahir akhirnya menumpahkan darah. Lihatlah di Timur Tengah, sehingga kini pergeseran Sunni-Syiah masih berterusan seolah-olah tiada akhirnya.

Ruangan 'Bahaya Syiah' Majalah Q&A Isu  20
 Dalam masa setahun kebelakangan ini, pendedahan mengenai kesesatan mazhab akidah ini tersebar melalui laman sosial Facebook. Saya terkenangkan dahulu seorang dua sahaja remaja yang pernah bertanyakan akan kekeliruan Syiah dan Sayyidina Ali karamallahu wajhah, namun mutakhir ini saya melihat remaja khususnya sudah peka akan hal ini, bercerita akan amalan-amalan dan pegangan pelik yang mereka lakukan.


Entri kali ini bukanlah bertujuan untuk mengupas apatah lagi menghuraikan lebih mendalam. Sebagai orang awam, tanggungjawab adalah untuk menyebarkan kalam-kalam ulama yang mempertahankan keluhuran mazhab majoriti umat Islam, yang mengikuti jalan baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

Walaubagaimanapun, setelah membaca kitab ini, saya ingin kongsikan sekilas pandang mengenainya, dan berkongsi panduan asas bagi sesiapa yang baharu memahami apakah di sebalik fahaman Syiah:
     
             1.  Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa kitab ini adalah rumusan daripada telaah Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki atas banyak kitab ‘muktabar’ asli yang ditulis oleh ulama-ulama besar Syiah. Oleh sebab itu, kita akan mendapati bahawa banyak daripada pendedahan yang dihuraikan jarang pernah didengar dalam rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu (setakat pembacaan saya) sebelum ini.

      2. Kitab ini adalah ‘extension’ ataupun kupasan lanjutan mengenai mazhab akidah Syiah. Pada pengamatan saya, bagi sesiapa yang baru hendak mengenal ataupun mengkaji bermula daripada kitab ini mungkin memerlukan maklumat-maklumat asas ataupun gambaran umum mengenai kerangka mazhab Syiah, peristiwa sejarahnya dan perbezaan mazhab ini dengan mazhab akidah majoriti umat Islam, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.

          3. Terdapat sejumlah nota kaki yang menerangkan sesetengah istilah asas mengenai isu yang dibicarakan. Sebagai contoh Taqiyyah (berbohong demi agama; salah satu rukun Syiah).

     4.   Kitab ini disusun dalam perenggan-perenggan yang dihimpunkan mengikut isu tertentu.

     5. Perenggan demi perenggan banyak membicarakan percanggahan dalaman orang Syiah itu sendiri terhadap doktrin mereka lantas membersihkan para Sahabat baginda s.a.w terutamanya daripada tuduhan-tuduhan liar dan palsu mereka.

Oleh sebab itu, saya mencadangkan pembaca mendapatkan maklumat asas dahulu sebelum membaca kitab ini. Anda boleh mendapatkan penjelasan tersebut:

         1.  Kertas Kerja ‘Syiah Imam Dua Belas: Penyelewengannya dari Jalan Ahlul Sunnah wal Jamaah’
Kertas kerja ini telah disusun oleh Datuk Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh (2009) yang diterbikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri.

Prebiu:  
Kertas kerja ini menawarkan gambaran yang komprehensif mengenai mazhab Syiah (Imam Dua Belas) ini. Pengkajian mencakup mengenai asas mazhab itu sendiri dalam segenap bidang daripada sumber kitab dan ulama Syiah sendiri. Dalam bahagian kedua, dihuraikan dengan lanjut mengenai kekeliruan tentang Ahlul Bait (ahli keluarga baginda  Nabi Muhammad s.a.w). Hakikatnya dalam Ahli Sunnah wal Jamaah dianjurkan untuk mencintai Ahli Bait, menghormati dan menyanjung mereka. Tidak seperti Syiah yang mengaku mencintai sebahagian, tetapi anehnya menyingkirkan, mendendami, melaknat bahkan mendoakan kehancuran Ahli Bait yang mereka benci!

Pautan:
Bahagian I: Akidah 'Imamah' di Sisi Syiah Isna 'Asyarah
Bahagian II: Ahlul Bait Menurut Sunnah dan Syiah 

Penerbitan baru (2012) daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah himpunan penulisan akademik yang bertajuk 'Hakikat Syiah' semasa Seminar Pemurnian Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 2007. Klik untuk muat turun di pautan ini.



    3. Kitab Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Kitab ini merupakan himpunan soal jawab Syeikh Nuruddin yang terkumpul selama 12 jam, disusun semula oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Kitab ini merangkum persoalan akidah, fiqh (fekah), tasawuf (akhlak) dan umum. Terbitan PSN Publications, 2012.

Prebiu:
Pengenalan mengenai mazhab Syiah dijawab dalam bab awal kitab ini dalam bahagian akidah. Syeikh secara ringkas dan tuntas menjawab mengenai pecahan mazhab ini dan penyimpangannya. Ustaz Muhadir menyediakan nota kaki bagi sesetengah istilah (yang lazimnya dalam bahasa Arab), rujukan, ulasan lanjut dan biografi tokoh yang disebut.

 4.  Majalah Q&A

Majalah wadah penyampai Ahli Sunnah wal Jamaah ini memaparkan ruangan ‘Bahaya Syiah’ (sebelum ini ruangan Bicara Mufti oleh Dr. Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai Syiah secara konsisten. Mutakhir ini dalam Isu 21 (2013), Galeri Ilmu memberi perhatian akan 
mencintai sahabat baginda Nabi Muhammad s.a.w, secara khususnya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Juga diutarakan adalah golongan Anti-Sahabat yang begitu membenci, mendendami dan melaknat para Sahabat, tidak lain tidak bukan adalah golongan Syiah.

5. Kitab Fitnah Syi’ah

Dikarang oleh al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini diterjemahkan oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (bawah seliaan Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Diterbitkan pada tahun 2008.

Prebiu:
Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari Indonesia, al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini menghuraikan lebih mendalam mengenai doktrin Syiah. 



Saya secara peribadi mengucapkan sekalung penghargaan buat usaha yang telah dilaksanakan oleh al-Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki serta warga Yayasan Sofa yang bertungkus-lumus menyiapkan kitab ini untuk tatapan umum. Semoga Allah memberikan manfaat bagi sesiapa yang mahu mencari kebenaran. 

Semoga Allah meneguhkan dakwah mereka, melindungi daripada fitnah, semakin bersemangat dalam mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Semoga Allah jadikan orang-orang yang mengambil manfaat daripada mereka, insya-Allah. Mohon maaf segala salah dan silap yang sememangnya layak ditegur dalam bicara kali ini. Akhir kata, saya teringat akan kata-kata seorang ulama (lupa namanya):

“Sebelum kenal Syiah, kenali lah dahulu Ahli Sunnah wal Jamaah!”

Ayuh mari berpijak di jalan yang lurus. Mari tingkatkan ilmu dan amal. Ayuh pertahankan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah diwariskan kepada kita oleh Kekasih-Nya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w yang didokongi para sahabat baginda!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...