BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, May 22, 2008

Alas Surat Khabar

Pernahkah anda terbayangkan, anda duduk di pejabat berhawa dingin? Anda bekerja dengan selesa, bahkan peluh pun tidak ada. Sekalipun anda berasa penat lantaran tugasan, anda boleh menggeliat dan keluar makan di kantin-kantin, gerai-gerai ataupun anda pulang ke rumah menjamu selera apabila perut memberontak.

Pernahkah anda terlihat, di sebalik kaca pejabat, terletaknya "pejabat" terpinggir beberapa orang? Angin hangat dari tingkaplah penghawa dingin mereka? Makan pun beralaskan kertas surat khabar? Mungkin tiada yang sedar, lantaran sibuknya menelaah pekerjaan.

Adakalanya cemburu melihat ketabahan mereka. Mereka masih mampu mengukir senyuman sekalipun dalam keadaan demikian. Seramah-ramahnya seolah-olah tiada apa yang berlaku...

Mungkin mereka makan tidak sekenyang, tidak selazat dan tidak semewah kita. Dengarkanlah rintihan mereka. Berpuasalah. Dengan berpuasa kita berlatih menahan lapar dan dahaga. Mungkin lebih ramai yang lebih sadis nasib hidup mereka. Sekurang-kurangnya kita merasa apa yang mereka rasa.

Wallahu'alam

Monday, May 19, 2008

Resit Merah (1)

Bayu berpuput berlalu lembut. Hawa nan hangat menghembus meruangi tebing Sungai Kuching di Kampung Boyan. Alunan arus kelihatan mengalir tenang. Pantulan pencakar langit bandaraya Kuching jelas terpampang di balik permukaan sungai. Seorang insan menekan punat. Pintu keretanya dikunci.

“Ya Allah, hampir-hampir terlupa!”

Ia lantas menekan punat kunci dan membuka pintu Kancil kembali. “Alhamdulillah, ada pun,” ia menarik nafas lega. Ia mengunci keretanya kembali. Di tangannya sehelai kertas berwarna merah yang berlipat empat. Dimasukkannya kemas-kemas dalam poket sebelah kanan.

Si Insan berjalan ke arah tebing sungai. “Ada penambang,” katanya. Ia mengambil wang syiling untuk menaiki perahu penambang yang merentasi Sungai Kuching dari kampung ini ke pusat bandaraya Kuching di seberang sungai. Setelah melintasi sebuah jambatan kecil, akhirnya ia sampai di jeti penambang. Ia menuruni jeti itu. Dilihatnya penumpang-penumpang turun dari penambang.

Setiba Si Insan di gigi jeti, ia cuba menaiki. Sang pengayuh mendayung seraya memalingkan perahu penambang merahnya menjauhi jeti.

Si insan melemparkan senyuman, “Aii, kitak pegi siney? Kitak sik ngambik penumpang?” (Eh, tuan hendak ke mana? Tuan tidak ambil penumpang?)

Senyumnya dibalas, “Rilek lok. Nun kawan kamek sia. Kaktok kitak nait ngan nya,” (Tunggulah dahulu. Itu kawan saya. Selepas ini awak boleh ikut dia) balas si pengayuh lanjut usianya dimamah zaman. Ia mengalihkan perhatian Si Insan ke arah rakannya yang berada di penambangnya yang bercat warna kuning. Kelihatan seseorang sedang meneguk air daripada botol terpakai di sana.

Perahu penambang di hadapan Si Insan beredar perlahan. Sang pengayuh menghayun dayungnya dengan sederhana kuat.

“Dengar, nak. Suatu hari nanti mungkin engkau berpangkat besar bergelar pemimpin. Maka pada ketika itu janganlah engkau sombong dan lupakan orang-orang bawahan. Mereka adalah sebahagian besar daripada masyarakat. Rintihan dan keperitan mereka harus didengar. Janganlah engkau bina tembok penghalang antaramu dengan mereka.”

Kata-kata itu terngiang-ngiang bagai menyentak urat jantungnya. “Apakah yang sebenarnya maksud ayahku ini?” Si Insan tertanya-tanya. Perhatiannya tertarik melihat kehadiran penambang kuning.

Penambang itu bergerak keluar daripada bayangan pohonan di tepi sungai ke arah jeti.

“Maha Suci Engkau, ya Allah. Tentunya bekerja di tengah panas terik ini merupakan kerja yang perit. Berlindung daripada terik matahari pun berihsankan kepada bayangan pokok,” desisnya.

“Kalau tambang sekepala 30 sen, berapalah ia dapat sehari? Siapakah yang mendengar rintihan mereka? 'Pemimpin masyarakat' berkereta mewah? Ataupun orang yang duduk selesa di mahligai mengipas panas tengahari dengan helaian wang kertas? Ataupun si kolar putih bergaji besar? Siapakah yang mendengar rintihan mereka? Siapakah yang mendengar rintihan mereka kalau bukan manusia sepertinya juga?” penambang kuning semakin hampir.

"Tumbangkan egomu. Engkau mahasiswa harus berjasa kepada masyarakat. Bukannya berbangga dengan statusmu mengejar glamor 'elitis' penghuni menara gading. Bukannya mengejar kemasyhuran ketinggian melangit ilmu, tapi mendabik dada terhadap golongan terpinggir ini. Bergaul dan mendengar keluhan mereka ini, tidak sekali-kali akan menjatuhkan dirimu kepada kehinaan!"

"Mereka inilah yang Buya HAMKA kira-kira maksudkan; orang-orang yang berada di dalam lembah kehidupan. Mereka menangis jauh di dalam lembah yang terpencil. Tidak terdengar suara mereka... aku menuliskan warkah ini (Di Dalam Lembah Kehidupan) kerana aku asal usulku dari sana juga. Kepada orang-orang yang berada, ingatlah, bahawa di ceruk kehidupan ini ada manusia yang susah. Dan kepada orang-orang yang asalnya sepertiku juga, janganlah kalian bimbang, kerana rintihan kalian akan didengari jua..."

"Ya Allah, janganlah engkau biarkan aku jadi seorang yang sombong..."

Pengayuh penambang kuning berbaju hijau lusuh menghayun dayung sekuat hatinya. Kulitnya berkedut. Badannya kurus. Terpampang di wajahnya raut keletihan membanting tulang seharian. Kepalanya dibasahi titik peluh. Ia mendayung di bahagian hadapan perahunya. Akhirnya ia sampai juga di jeti.

"Ilmu ini tidak akan ada di kuliah ataupun perpustakaan. Dan tidak akan hina darjatku bersapa dengan orang susah ini!"

“Assalamualaikum, apa kaba tek?” Si Insan melontarkan senyuman.

“Alaikumsalam, sehat.” Senyumnya dibalas. Si Insan menjejakkan kakinya ke dalam penambang. Perahu itu bergoyang-goyang. Dia cuba masuk ke dalam dan duduk di kerusi kayu penambang. Akhirnya perahu itu stabil.

“Inilah peluang untuk aku berkenalan dengan datuk ini,” desisnya.

Baru sahaja ia merapati sang pendayung, tiba-tiba datang sepasangan remaja menaiki penambang. Si Insan mengensot atas kerusi kayu ke bahagian dalam lagi penambang.

“Ini pelajar sekolah. Muda, tidak mungkin mereka suami isteri. Wajah ‘si jejaka’ masih lagi keanak-anakan. ‘Si ayu’ pula auratnya tidak sempurnya dilindungi. Daripada raut wajah dan cara perbualan, mereka ini Islam,” katanya dalam hati.

“Aku mesti buat sesuatu. Aku tidak mahu maksiat yang boleh kutegah di hadapan mata berlalu lagi begitu sahaja. Serik, kali pertama aku menaiki penambang dahulu sejak tiba di Kuching, sepasangan anak muda bercanda dalam penambang."

"Aku merasakan umur dua orang ini jauh lebih muda daripadaku. Oleh yang demikian, lebih mudahlah aku menghadapi mereka. Demi mencegah mereka berdua daripada bercanda, aku harus lakukan sesuatu.

Tapi, bagaimana?” katanya dalam hati.

“Aku sudah berlatih untuk ini. Abbas Siisy dalam bukunya pernah berpesan, untuk berkenalan akan seseorang untuk menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, gunakanlah segala sumber yang ada untuk memulakan perbualan.”

“Tapi, bagaimana?”

Sepasangan pelancong asing memasuki penambang dan menyebabkan keadaan bergoyang-goyang. “Ya Allah, satu lagi cubaan. Orang putih ini tidak cukup kainnya!” lantas ia menundukkan pandangannya.

Penambang mula bergerak merentasi Sungai Kuching. “Aku harus cepat. Sebelum segalanya terlambat. Lihat, mereka bergurau!”

“Resit. Ya, gunakan resit tadi!” ia mengeluarkan kertas merah berlipat empat dari poketnya.

Hatinya berdegup kencang, "Bagaimanakah harus aku mulakan?"

“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk, tetapi engkau memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki...”

InsyaAllah bersambung...

Thursday, May 15, 2008

16 Mei: Selamat Hari Guru Buat Semua Insan Pendidik

Kursus Asas Fasi Ideal

Pengumuman!!!
Insya-Allah pada 17 hingga 19 Mei 2008 ini akan diadakan Kursus Asas Fasi Ideal anjuran PERKEPIS. Bertempat di Seketariat PERKEPIS di Tabuan Jaya, program ini akan bermula dengan sesi pendaftaran sekitar sebelum dan selepas waktu maghrib. Sesiapa yang berminat, dikehendaki untuk memaklumkan kepada saya di 016-8624746 atau mesej sahaja melalui komen atau chatbox dalam blog ini.

Apakah yang lebih ideal daripada ISLAM?

"Berjasa Kepada Masyarakat"

Tuesday, May 13, 2008

Cerita dari MPH Kucing dan Ghairah Orang Sarawak Membeli Buku Melayu

Laporan daripada Universiti Terbuka PTS (UNIKA), blog milik Puan Ainon (Pengerusi syarikat PTS) mengatakan mengenai perkembangan terbaru mengenai sambutan pembelian buku-buku Melayu di Sarawak. Berikut kenyataan daripada blog tersebut:

Terbaru MPH sudah membuka 2 outlet di Sarawak, sebuah di Miri dan sebuah lagi dalam kompleks THE SPRING di bandar Kucing, menjadikan jumlah cawangan MPH 29 buah semuanya.

Lewat hujung tahun 2007, sewaktu membuka cawangan MPH di SPRING, pengurusnya, En. Ramji, memesan 1 kontena penuh buku-buku PTS yang bernilai lebih RM300 ribu. Beberapa minggu lalu, beliau membuat pesanan 1 kontena lagi.

Menurut En. Ramji, tingkah laku orang Kucing membeli buku-buku Melayu amat mengujakan. Banyak yang masuk outlet MPHnya itu umpama orang gian-buku Melayu. Mereka bukannya membeli 1 ataupun 2 buah buku. Mereka ambil, ambil, ambil, dan beli.

Ada antara para pengunjung MPH di sana yang membeli sehingga RM700.00 ratus dan RM800.00 ratus sekali belian. Kalah orang Semenanjung!

Prestasi jualan MPH di The SPRING termasuk dalam TOP 5 antara semua cawangan MPH di seluruh Negara.

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut daripada blog tersebut, di UNIKA.

Ini merupakan satu petanda yang baik. Di bumi Sarawak ini, budaya ilmu sangat gersang. Majlis ilmu apatah lagi. Buku-buku terhad kepada terbitan lama. Ada yang baru pun, harganya agak mahal. Pada hemat saya, golongan yang membaca buku, terutama buku Islam dalam bahasa Melayu hanya mampu dibeli oleh golongan menengah dan atasan sahaja di bandar-bandar utama, mungkin sangat sedikit atau tiada bagi golongan berpendapatan rendah.

Masalah di berkenaan dengan buku di Sarawak ialah kekurangan buku. Bukannya tidak ada orang yang mahu baca, tetapi tidak ada buku untuk dibaca. Mudah-mudahan ini merupakan indikator yang baik menunjukkan bahawa masyarakat Islam Sarawak terutamanya memang sangat dahagakan ilmu. Hanya dengan ilmu, sesuatu umat mampu berubah kepada keadaan lebih baik dan beroleh keberkatan dalam kehidupan.

Wallahu'alam.

Thursday, May 8, 2008

Hadiah Kemerdekaan Negaraku Israel

"Adik, saya ada hadiah istimewa untuk adik sempena sambutan 60 tahun negara saya, negara Israel. Dalam beg ini ada sebuah mainan. B.O.M namanya. Adik tarik sahaja picu ini dan keluar cahaya yang sangat terang. Bunyinya pun kuat juga. Ambil ya. Balik nanti adik main. Kalau suka, datang ke sini lagi untuk ambil lagi!!!"

Mungkin kita boleh ketawa atau senyum membaca entri ini. Hakikatnya demikian. Setiap hari tentera Zionis menjadikan anak-anak kecil ini sebagai sasaran penembak tepat, tembakan raifal, meriam, misil dan seribu cara yang lain. Agar dengan harapan kelak, tidak ada lagi mujahid yang menggoncang legasi Zionisme. Tetapi dengan izin Allah, mudahan perkara ini tidak selamanya berpanjangan. Mereka Yahudi ini bersemangat ingin mengalahkan Allah. Dan Allah sekali-kali tidak mungkin akan dikalahkan!

Selama 60 tahun umat Islam Palestina bertahan menghadapi Yahudi yang memusuhi agama Allah. Agama ini tertegak melalui tangan-tangan mereka yang ikhlas sekali pun tubuh mereka dijadikan sebagai perisai!

Doa untukmu saudaraku Palestina! Takbir. Allahu Akbar!!

Umurnya 60 Tahun...

Pada 14 Mei yang akan datang, genaplah umur negara Israel 60 tahun setelah diisytiharkan "merdeka" oleh presiden Israel yang pertama, David Ben Gurion pada 14 Mei 1948.

Bertunjangkan dengan cita-cita Zionism yang diasaskan oleh Theodo Herzl (moga Allah melaknatinya) daripada sebuah pertemuan dengan pemuka Yahudi di Switzerland pada 1896, perancangan mereka mencapai hasil melalui penubuhan negara Zionis pada 1948 ini.

Theodo Herzl

Pengisytiharaan yang berlangsung melalui radio selama dua minit telah mendeklarasikan "sah" negara Israel ditubuhkan.Bagai minyak disimbah api, negara-negara Arab bangkit mahu menghapuskan negara yang baru ditubuhkan ini.Ini kerana dirasakan kewibawaan dan ketuanan ke-Arab-an mereka tercalar.Mana tidaknya, bangsa hina Yahudi mengada-ngada menuntut sebuah tanah sebagai milik nenek moyangnya yang ditinggalkan sejak 2000 tahun.Lantas, negara-negara Arab pun bersatu atas dasar ke-Arab-an mereka mahu melupuskan Israel dari peta dunia. Maka berlangsunglah Perang Kemerdekaan Israel pada 1948.

Setiap nyawa yang mampu menyandang senjata dikerahkan demi menyelamatkan negara yang baru mereka tubuhkan. Tentera Israel yang ada di antaranya merupakan mantan komander tentera Berikat pada Perang Dunia Kedua jelas mempunyai kelebihan dari segi taktikal.Tentera Arab terpukul dengan hebat.

Tetapi di satu medan, sebuah ketumbukan mara dengan pantas di bandar purba Baitul Maqdis (Jurusalem).Mereka inilah tentera daripada anggota Ikhwanul Muslimin yang dihantar oleh Imam Hassan al-Banna demi menyelamatkan al-Aqsa. Kemenangan semakin hampir.Negara Israel yang diimpikan oleh orang Yahudi semakin hilang dari impian...


Tetapi....

Pengkhianatan teragung direncana dari kalangan umat Islam sendiri. Raja Fahad, raja dinasti Mesir telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel...

Kini Israel telah tertegak selama 60 tahun. Empat kali perang besar telah dilancar oleh umat Islam untuk membebaskan cengkaman Zionis di rantau itu. Lebih memalukan dalam satu peperangan, gabungan tentera Arab yang berjumlah empat kali ganda dikalahkan oleh tentera Israel dalam masa 6 hari sahaja dalam 1967. Kenapa segalanya gagal? Empat kali penyerangan itu tidak lain tidak bukan didasari dengan perpecahan yang ketara di kalangan umat. Tugas membebaskan Palestine dianggap "masalah orang Arab" yang hanya orang Arab sahaja yang layak menanggung tugas ini.Bahkan, masalah Palestine dan Israel adalah masalah sejagat buat keseluruhan umat Islam. Sehingga ada pepatah mengatakan, sekiranya semua umat Islam menuang sebuah baldi penuh berisi air di Israel, maka itu pun sudah cukup untuk menenggelamkan Israel. Tetapi hingga kini, umat ini masih lagi dalam keadaan fragmentasi dililit kuat oleh belenggu wahan; takutkan mati dan cintakan dunia.

Setelah 60 tahun, umat Islam Palestine terus dan terus menderita. Bahkan sering persoalan ini kita sering ketepikan mungkin kerana kesenangan kita di negara yang aman dan damai ini.Sering kita lupa penderitaan yang mereka tempuhi.Penulis merasakan, kita dilalaikan dengan hiburan-hiburan yang telah disusun oleh makar-makar Zionis ini supaya tumpuan umat ini teralih kepada nafsu dan kebendaan. Lantas, dengan mudah sahaja mereka memecah belah dan melemahkan mereka.

Ingatlah, bahawa setiap kita akan dipersoalkan pada suatu hari nanti tentang apa yang kita perbuat.Ingatlah sejarah.Daripada itu, kita tahu asal usul kita dan siapakah dalang sebenar yang menelanjangi umat ini daripada perisai berharga, al-Quran dan sunah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam...

Wallahu'alam

Nota: Entri ini sekadar lontaran mukaddimah. Penulis tidak mempunyai sumber yang cukup buat masa ini.Oleh yang demikian, dirasakan banyak kelompangan dari segi maklumat yang tepat. Penulis memohon maaf atas kelemahan ini.

Wednesday, May 7, 2008

Laluan Taufan Nargis

Pautan: http://english.aljazeera.net/NR/exeres/EF32B924-36C7-45FD-9CCA-A0CF86791604.htm

Taufan Nargis: Sedarkah Kita?

Terkilan sekali penulis terlepas pandang akan malapetaka yang besar menimpa Myanmar pada 2 Mei yang lepas. Penulis baru sahaja berpeluang meneliti maklumat daripada media. Tambahan lagi, dalam perbualan seharian bersama rakan dan taulan mahupun rakan sepejabat, tidak ada membuka bicara mengenai taufan yang dahsyat ini. Lantas, tidak merasakan ada bencana dahsyat yang berlaku berjiran sahaja dengan Malaysia. Atas rasa kemanusiaan, penulis merasa wajar bencana ini diberikan perhatian sekalipun majoriti penduduk negara Myanmar adalah non-Muslim.

Taufan Nargis telah melanggar Myanmar pada 2 Mei, Jumaat yang lepas. Taufan ini pada ukuran Saffir-Simpson Hurricane Scale, adalah berada pada tahap 3 dan tahap awal 4. Angin taufan ini menjangkau sehingga 100 hingga 200 kilometer sejam. Mangsa terselamat mengatakan bahawa mereka dilanda oleh gelombang air yang ganas setinggi 12kaki. Taufan telah terbentuk sejak 28 April yang lepas dan melencong ke Myanmar menjelang 2 Mei. Petempatan yang terjejas adalah di Yangon, iaitu petempatan terpadat di Myamnar. Hampir keseluruhan delta Irawaddy digenangi air.


Setakat ini, berita daripada media masa mengatakan bahawa taufan ini telah meragut sebanyak 23 000 nyawa dan 42 000 masih hilang serta kira-kira sejuta kehilangan tempat tinggal. Laporan juga mengatakan bahawa dianggarkan taufan ini mungkin meragut dalam jangkauan 100 000 orang. Taufan ini merupakan taufan paling buruk pernah dialami oleh Myanmar. Di rantau Teluk Bengal, taufan terburuk direkod pada sebelum ini di Bangladesh pada 1991 yang meragut 143 000 nyawa.


Bantuan kemanusiaan telah dihantar oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan daripada agensi lain tetapi telah mendapat sekatan daripada junta tentera Myanmar. Keadaan mungkin bertambah buruk dengan kebimbangan akan penularan wabak kerana kekurangan air bersih dan makanan.

Sumber berita menyatakan bahawa pada hari-hari pertama selepas taufan, harga air bersih dan makanan dijual dengan harga lebih daripada dua kali ganda. Sehinggakan dikatakan apabila kedai dibuka, penduduk tempatan bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan keperluan asas.

Bagaimanakah kita memberikan tindak balas mengenai malapetaka dahsyat ini? Mengapa kita sekurang-kurangnya mengambil iktibar akan kejadian ini? Tidakkah kita melihat ini suatu petanda peringatan Tuhan? Adakah kerana kita yang sudah terlalu selesa tidak merasai penderitaan mereka hanya bergoyang kaki? Di manakah rasa kemanusiaan kita? Ingatlah, kita adalah umat akhir zaman... Tepuk dada, tanyalah iman...

Sebelum dan selepas Taufan Nargis di delta Irawaddy.

Pautan akhbar:

Berita Harian: Malaysia Hantar Bantuan: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/BeritaUtama/20080508000703/Article

MSN.com: The 10 deadliest storms in history
http://www.msnbc.msn.com/id/24488385>1=43001

al-Jazeera: Myanmar toll 'may top 100,000'
http://english.aljazeera.net/NR/exeres/F8AAACA1-8B3E-46C8-B0FA-45B943CC52AD.htm

Rujukan lain:
http://en.wikipedia.org/wiki/Cyclone_Nargis

Monday, May 5, 2008

Kembara Tanah Airku (1) : Permulaan Yang Keliru



“Ya Allah,” keluh seorang hamba Allah. Ia berada dalam biliknya. Besok pagi ia akan berangkat menghadapi perjalanan yang sangat jauh.

“Mana satu?” ia menggaru-garu kepalanya.

“Aku di sana dua bulan setengah. Ini bukan di rumah. Bukan di UIA, tapi di tempat yang baru.” Si hamba Allah ini kekeliruan. “Kalau di rumah atau di UIA, tidak ada masalah kerana bekalan sentiasa ada.”

“Mahu pilih yang mana satu?” katanya lagi.

“Ah, semuanya penting!” ia menggaru dengan lebih deras, walaupun tiada kelimumur.
Ia mencekak pinggangnya sambil menuding ke arah benda yang ia ingin bekali. “Ini penting. Ini lagi penting. Ini tidak kurang penting. Ini walaupun tidaklah penting mana, tapi memang penting. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini!”

“Kalau boleh, aku bekali semua. Aku dah kata, semuanya penting!” keluhnya lagi. Ia duduk sebentar di atas tikar rotan bilik. Berfikir-fikir kalau timbul di mentol fikirannya cahaya yang terang benderang memilih yang terbaik.

“Ya Allah, kerja aku untuk editor belum selesai. Malam ini mesti hantar. Besok sudah mula perjalanan,” desisnya lagi.

"Untunglah Abang datang. Bolehlah Abang beri pengisian. 15 minit pun boleh,” suara itu terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Wajah si pemilik suara itu samar-samar di mindanya.

“Berapa lama Abang di sini?” persoalan itu seolah-olah menusuk jantung hatinya. Hasratnya kembali ke tanah air adalah untuk berkhidmat kepada umat sendiri semampu yang boleh. Tetapi aturan Si Pencipta yang Maha Tahu, menempatkannya jauh dari adik-adik ini.

“Besok saya berangkat ke Kuching. Praktikal engineering di sana dua bulan setengah,” katanya. Hatinya menangis. Hanya kerana ramai orang, jikalau tidak, run-run ia menangis. Jika tidak, mahu sahaja ia berkhidmat bakti kepada mereka.

“Kita cukup bertuah kerana seorang Abang berada di sini. ” Ia kuatkan hatinya. Ia mesti memberikan yang terbaik dalam selang masa yang singkat. Permintaan si adik Persatuan Pelajar Islam Kolej dipenuhinya dengan sedaya yang mungkin.

“Ya Allah, semoga engkau meneguhkan hati-hati mereka. Mereka bersemangat. Namun terkadang tanpa pembantu di sisi memungkinkan mereka buntu. Syukur kepada Engkau ya Allah, Engkau pertemukan aku dengan adik-adik yang ikhlas ini dalam ziarah tadi dengan penuh makna.”

Si hamba Allah bangkit. Keputusan mesti dibuat. Semuanya penting. Kerja editor masih berlambak.

“Hanya satu sahaja untuk setiap kategori. Tafsir al-Azhar, jilid akhir. Kerana kebiasaan masyarakat awam terbiasa dengan surah lazim.”

“Apa boleh buat. Barang memang banyak yang perlu dibawa. Terpaksalah memilih terpenting antara yang terpenting.” Lalu ia menyediakan sebuah kotak yang kecil.

“Maksima yang akan dibekal nanti adalah berapa muat semuanya dalam kotak ini.” Dengan hati yang berat, ia harus pasrah.

“Ya Allah, moga-moga perbekalan ini adalah yang terbaik untukku dan umatku di sana nanti.” Malam sudah lewat. Ahli keluarga masing-masing dalam persiapan ke alam syahdu. Dirinya keseorangan kebingungan mencatu bekal penting untuknya nanti...



“Tafsir al-Azhar, juzuk 28, 29 dan 30,” katanya sambil meletakkan jilid itu dalam kotak. Katanya lagi, “Tafsir ibnu Kathir juzuk 1, 2, 28, 29 dan 30.”

“Hadith? Oh, ya. Hadith 40, susunan Imam Nawawi. Kitab tasawuf, Nasihat Iman dan Agama; karangan seorang ulama tersohor, Habib Abdullah Alawi al-Haddad. Untuk rujukan pembikinan novel, sekian dan sekian buku.”

Lalu ia bergegas menyiapkan tugasannya yang harus dihantar sebelum berangkat. Ia tidak pasti apakah perasaannya. Bergelut dalam keliru berbaur gembira, keesokannya jika dengan izin Tuhan, ia akan menempuh perjalanan yang bukan selangkah dua, tetapi melangkaui 1000 kilometer...

Bersambung, insya-Allah di Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...