BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, September 10, 2015

Kelas Fardhu Ain di Miri, September 2015

  

Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T atas nikmat kurniaan-Nya. Semoga Allah mengekali kita atas jalan keimanan, memberikan taufik dan hidayah untuk berbuat taat, dimudahkan urusan, dilapangkan rezeki, diberkati umur dan kesihatan yang baik. 

Sukarelawan al-Falah Sarawak (SAFS) Unit Miri yang bernaung bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak bekerjasama dengan Surau al-Jariah Kpg. Pujut 9, Masjid Darul Istiqamah, Masjid at-Taqwa Miri dan para penaja budiman akan mengadakan program Kelas Fardhu Ain dan kuliah Subuh yang akan diadakan seperti yang berikut:

>> 19 September 2015 <<
KELAS FARDHU AIN 
Tempat : Surau al-Jariah, Kpg. Pujut 9, Miri.
Masa    : 9.00 pagi - 4.00 petang
>>20 September 2015<<                                                                                                             KULIAH SUBUH
Tempat  : Masjid Darul Istiqamah Kpg. Luak, Miri.
>>20 September 2015<<
KELAS FARDHU AIN 
Tempat   :  Masjid at-Taqwa Miri
Masa      :  9.00 pagi - 12.00 tengahari.
Program akan dibimbing oleh al-Fadhil Ustaz Syed Izzuddin al-Munir bin Syed Kamaldin. Beliau merupakan mudir (pengurus) madrasah beliau, iaitu Rubat Raudhatul Mustofa yang terletak di Kpg. Selang, Kuching.
Tiada yuran dikenakan. Pihak kami mengalu-alukan kehadiran tuan / puan ke majlis ilmu yang kami adakan. Bawalah juga ahli keluarga, rakan taulan, jiran-jiran dalam kita memperkemaskan ilmu asas Islam, iaitu ilmu Fardhu Ain.
Pihak kami amat menghargai jika ada pihak yang ingin menyumbangkan dalam bentuk makanan ataupun dana bagi melicinkan perjalanan program... insya-Allah. Semoga kita diberkati dan ditunjuki-Nyam Amiin

Peta jalan ke Surau al-Jariah Kpg. Pujut 9, Miri




[BUKU] Mujaddid Dari India

Di Balik Tabir

Perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menemani lawatan kerja isteri di sana telah membawakan satu hasrat: memiliki salah satu daripada dua buku, iaitu Route to IPB ataupun Mujaddid Dari India.

Ternyata apabila kedua-dua buku kecil itu berada di tangan, agak sukar untuk membuat keputusan. Bajet pembelian buku kian tipis menjelang hari kedua perjalanan, maka keputusan mesti dibuat. Berada di gedung buku Kinonuniya di KLCC, maka satu buku akan dibawa pulang ke Miri.

Terkenangkan intipati Majlis Haul Imam al-Haddad yang baru sahaja berlalu seminggu lepas di Miri, maka buku Mujaddid Dari India menjadi pilihan. Dengan berat hati, Route to IPB disimpan untuk bajet lain kali.

Dalam Majlis Haul Imam al-Haddad yang lepas, Habib Naqjamuddin al-Khered mengungkapkan sejumlah kalam para ulama, bahawa mengingati orang soleh membawa banyak manfaat. Antaranya adalah kata-kata seorang ulama sufi, Imam Sufyan bin Uyainah yang mengatakan bahawa menyebut nama orang soleh akan mengundang turunnya rahmat.

Terkenang juga kata-kata seorang lagi ulama sufi, iaitu Imam Junaid al-Bahgadadi, dengan kata-katanya:

“Kisah-kisah ialah salah satu daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang dapat menguatkan sanubari orang-orang yang sedang berlatih menuju Allah.”

Imam Junaid al-Baghdadi menyandarkan kata-katanya kepada ayat 120 al-Quran Surah Hud:

Habib Naqjamuddin al-Khered di Masjid Darul Ehsan, Miri
ketika Haul Imam al-Haddad, 29 Ogos 2015
“Dan tiap-tiap berita daripada berita para Rasul itu Kami ceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad s.a.w) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”[1]

Maka sandaran inilah yang telah memberati keputusan bagi menjadikan peneman diri untuk perjalanan balik nanti. Moga kisah orang soleh ini akan menghidupkan hati yang mati.

Mujaddid Dari India

Semoga Allah melimpahi dengan rahmat akan ruh insan yang dimaksudkan dalam Mujaddid Dari India, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi yang telah menabur bakti dan terpilih dalam menghidupkan agama. Terutama sekali keadaan di Benua Kecil India, situasi agama Islam tika itu ibarat bahaya di hujung tanduk, dirundung kegelapan dan diancam kepupusan, iaitu pada abad ke-17.

Bersesuaian dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w bahawa dalam setiap 100 tahun akan dibangkitkan seseorang yang akan menghidupkan penghayatan agama (mujaddid), maka para ulama menobatkan Syeikh Ahmad Sirhindi adalah orangnya.

Mujaddid Alf Thani merupakan kekasih Allah yang begitu teliti dalam menjalani Sunnah serta meluruskan kefahaman pemerintah dan rakyat akan agama Islam. Sehingga dengan kegigihannya dalam menegakkan pancang kebenaran Islam, lahirnya pemerintah adil yang juga menegakkan Islam berkat kesungguhannya, iaitu Sultan Aurangzeb yang menerajui kekuasaan Mughal (kesinambungan daripada nenek moyang mereka berdarah Mongol).

Latar Belakang Mujaddid

Perjuangan yang berliku ini diungkapkan oleh penulis, iaitu Tuan Khairy Tajudin dengan padat dan ringkas. Beliau menerangkan latar belakang akan keadaan umat Islam yang amat runcing ketika itu pada era pemerintahan Sultan Akhbar Shah Khan, iaitu pemerintah Dinasti Mughal Ketiga. Kekurangan ilmu agama yang cetek pada sang sultan telah menimbulkan masalah kronik, iaitu timbulnya ajaran ‘Deen Ilahi’. Ini adalah satu daripada usaha sultan itu untuk menawan hati rakyatnya yang menganut agama Islam dan Hindu serta daripada ajaran lain. Bukan sekadar itu sahaja, faktor tersebut adalah dek kehjahilannya terhadap hakikat Islam.

Dalam pemahaman konteks perbahasan masakini, lebih dikenal sebagai pluralisme iaitu menyamaratakan agama Islam dengan ajaran yang lain. Hal ini membahayakan penganut fahaman ini tergelincir kepada lembah kekufuran kerana sudah bercampur baur iktikad (pegangan) yang benar dan batil.

Wilayah Dinasti Mughal
Kekacauan fikiran pemimpin Sultan Akhbar Shah Khan merebakkan gelombang kegusaran di kalangan para ulama dan masyarakat. Terdapat ulama jahat yang menjaga kepentingan mereka hanya menjadi pengampu dan menangguk di air yang keruh. Mereka mengiakan sahaja kerosakan yang berlaku tanpa berani bersuara atas perkara yang salah. Maka dalam kekelaman mendung ini, lahirlah seorang pembaharu semangat dalam beragama, iaitu mujaddid, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi.
Bagi memudah bicara, ingin saya memberikan rumusan penting buku ini:

1. Satu keunikan terpampang pada gelarannya oleh para ulama, iaitu Mujadidd Alf Thani, ataupun dengan mudah dikenal sebagai mujaddid dua milenia. Ini kerana beliau muncul pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18.

2. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul tika saat kegelapan umat Islam di Benua India. Ini lantaran timbulnya ajaran menyeleweng yang diasaskan oleh Sultan Akhbar Shah, iaitu Deen Ilahi. Keadaan ini menjuruskan kelemahan yang serius di kalangan umat Islam.

3. Daripada kisah Mujaddid Dari India ini, jalan pengamalan tariqat menjadi tumpuan. Tariqat adalah sistem pentarbiyahan (pendidikan) bagi seseorang yang berjalan menuju Allah menurut sistem tertentu yang dipandu oleh guru yang terbimbing (mursyid). Tariqat yang muktabar (diiktiraf) adalah tariqat yang murni dan mengambil pengamalan daripada Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat dan generasi Salaf as-Soleh melalui rantaian sanad yang diakui oleh para ulama. Fungsi tariqat dalam pemulihan sesuatu umat tidak dapat dinafikan lagi. Beberapa kali dalam lipatan sejarah membuktikan bahawa kaedah ini adalah kaedah yang berjaya mengembalikan pengamalan al-Quran dan Sunnah dalam masyarakat.

Kisah indah di India ini, mengaitkan Syeikh Ahmad Sirhindi sebagai pengasas kepada tariqat Naqsyabandi Mujaddidi. Peranan tariqat dalam mendidik umat begitu berkesan sekali, dan memberikan pengaruh kepada pembinaan jatidiri dan semangat menghidupkan agama di segenap lapisan masyarakat, termasuklah pemerintah sehinggalah kepada orang awam di India. Peranan ulama yang haq seperti Syeikh Ahmad Sirhindi memurnikan tariqat dan membersihkan daripada pengamalan yang bidaah dan tidak bertepatan dengan syariat.

Beberapa contoh unggul peranan tariqat dalam membantu memulihkan kehidupan agama umat Islam di samping kisah Mujaddid Dari India adalah:

Tentera Salahuddin, tahun 1187 (filem Kingdom of Heaven)

a.  Syeikh Abdul Qadir Jailani (pengasas tariqat al-Qadiriyah) yang telah memimpin rohani umat Islam pada era generasi Salahuddin al-Ayyubi. Hasil latihan kerohanian beliau telah membangkitkan kualiti beragama di kalangan umat Islam dan tidak hairan Kota Suci Baitul Maqdis (Jerusalem) kembali ke tangan umat Islam pada tahun 1187.

b. Syeikh Abu Hassan as-Syazili (pengasas tariqat Syaziliah) yang memimpin rohani umat Islam terutamanya di Mesir. Beliau telah meniupkan roh jihad di kalangan umat Islam dalam berjihad menentang penjajahan Raja Louis ke-16 atas Mesir.

c.  Syeikh Abu Abbas al-Mursi (anak murid Syeikh Abu Hassan as-Syazili) menyambung tugas gurunya dan memimpin rohani umat Islam dalam menghadapi gerombolan tentera Mongol. Akhirnya umat Islam berjaya mengekang kemaraan mereka pada bulan Ramadhan di Pertempuran ‘Ain Jalut pada tahun 1258.

d.  Syeikh Aaq Syamsuddin (tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam ketika era Sultan Muhammad II al-Fateh. Beliau telah memimpin tenteranya menawan Kota Konstatinopel pada tahun 1453 dalam merealisasikan sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Sultan al-Fateh dan tenteranya, 1453
e.   Syeikh Imam Shamil (mursyid tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam di Chechnya dan berjihad selama 30 tahun. Bukan sekadar itu sahaja, beliau telah menegakkan syariat di kalangan kaumnya. Beliau akhirnya ditewaskan pada tahun 1857 kerana pengkhianatan orangnya sendiri. Tetapi dengan bantuan Sultan Uthmaniyyah, Kaisar Rusia telah membuang negeri ke Mekah. Beliau disambut sebagai bintang mujahid di sepanjang laluannya.

f.  Syeikh Abdul Qadir al-Jazair (tariqat al-Qadiriyah) memimpin rohani umat Islam di Barat Afrika, iaitu Algeria masakini. Beliau berjihad selama 17 tahun menghadapi penjajahan bangsa Perancis, pada 1830 sehingga 1847.

Sidi Omar Mukhtar dan para mujahidin
g.  Sidi Omar Mukhtar (tariqat Sanusiyyah) memimpin rohani umat Islam terutamanya di Libya. Pada saat kekuasaan Daulat Uthmaniyyah mulai pudar, beliau memimpin umat Islam di sana. Negara imperialis Itali mengambil kesempatan untuk menjajah Libya. Namun tidak semudah yang disangka, mereka menghadapi penangan jihad Sidi Omar Mukhtar dalam 30 tahun sehinggalah beliau ditawan dan syahid dihukum gantung pada 1933. Perjuangan Sidi Omar Mukhtar ini adalah kesinambungan Syeikh Muhammad Ali Sanusi yang memimpin tariqat Sanusiyyah di Libya. Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir Daulat Uthmaniyyah amat mengagumi akan kesetiaan kaum Sanusiyyah. Kaum Sanusiyyah dengan sistem tariqat telah merombak keadaan di Libya yang penuh dengan perang antara kabilah dan menyatukan mereka. Sejarawan mengatakan, bahawa antara faktor Kristianisasi terhalang di Benua Afrika adalah kerana usaha gigih dakwah kaum Sanusiyyah.

Sejarah menjadi saksi bahawa jalan tariqat murni yang dipegang oleh kaum sufi yang lurus banyak kali telah menyelamatkan umat Islam dan berjihad menentang penjajah. Adalah tidak benar bahawa tariqat dan kesufian adalah perencat kepada pembangunan, meskipun tidak dinafikan terdapat segelintir tariqat yang menyimpang. Pokoknya, jalan ini telah sekian lama terbukti membentuk dan memandu umat lantas menyelamatkan mereka daripada terus jatuh hina. Tariqat yang saya sebutkan seperti al-Qadiriyah, Syaziliah, Naqsyabandiyah, Sanusiyah adalah antara tariqat muktabar yang masih terpimpin oleh para ulama sufi yang berwibawa sehingga kini. Terdapat juga tariqat muktabar lain seperti Ba'lawi (para Habaib), Chistiyyah, Syatthari.

4.  Daripada huraian penulis, kita dapat mengenalpasti bahawa di India terdapat ramai orang soleh di sana pada ketika itu. Kita dapat melihat bahawa orang soleh, secara khususnya para ulama yang benar sentiasa berdiri atas jalan yang haq dan seringkali mereka berkorban demi agama. Mereka menjadi guru kepada sebahagian yang lain. Bahkan, dengan rantaian sanad ilmu daripada para ulama yang benar, tidak hairan boleh melahirkan semula mujaddid yang akan menghidupkan semula penghayatan agama umat Islam.

 5. Pada akhir buku ini, saya telah mendapati ada keselarian antara Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi dengan seorang lagi mujaddid, iaitu al-Imam Ghazali rahimahullah. Persamaan ini begitu serupa dengan peribadi, keadaan sekitar dan hasilnya. Beberapa analisa amatur ingin dibicarakan:

a. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul ketika era kegelapan umat Islam di Benua India. Manakala Imam al-Ghazali. Pada zaman Imam al-Ghazali di Timur Tengah, terdapat perpecahan dan rusuhan di kalangan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang merebakkan kepada kesan perpecahan politik, kekacauan keamanan, kemunduran ekonomi dan mudahnya musuh mengganyang dari luar. Natijahnya pada zaman beliau, sempat mendengarkan kengerian jatuhnya Kota Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib.

Namun keadaan pada zaman Syeikh Ahmad Sirhindi (pada pengamatan saya) agak lebih kronik kerana terdapat pencemaran agama yang dianjurkan oleh Sultan Akhbar Shah dalam konsep pluralisme agama Deen Ilahinya. Ajaran tersebut mungkin tampak benar bagi orang yang jahil dan menganutnya. Keadaan yang serius ini boleh melenyapkan langsung agama Islam daripada India jika keadaan kekacauan fikiran ini tidak dibendung.

b.  Imam al-Ghazali pernah dikritik kerana tidak menggunakan pendekatan politik dan berjihad melalui ketenteraan. Namun demikian, beliau mengambil jalan yang lebih penting dan lebih ampuh, iaitu menyusun fikiran yang benar dalam agama, meluruskan akidah, mendidik rohani dengan ajaran tasawuf dan menyatukan antara syariat dan hakikat. Beliau mendidik anak-anak muridnya sehingga menjadi ulama. Dan mereka akan menyambung tugas kenabian tersebut sehinggalah lahir beberapa lapisan generasi ulama. Dan ulama ini yang mendidik umat dengan pendidikan yang lurus sehingga lahirlah generasi Salahuddin. Beliau tidak sempat melihat generasi tersebut yang telah membebaskan kota Baitul Maqdis.

Serupa juga dengan Syeikh Ahmad Sirhindi, beliau terlebih dahulu membersihkan fikiran umat Islam daripada fahaman akidah yang menyeleweng yang berleluasa pada zaman tersebut. Beliau giat menyebarkan sistem tarbiyah (pendidikan) tariqat beliau dengan zikir dan nasihat-nasihat serta pengalaman Sunnah. Beliau adalah pengamal Sunnah terulung pada zamannya. Berkat dengan kesungguhannya, keadaan pemerintah dan masyarakat bertambah baik meskipun perlahan. Begitu juga beliau, seperti Imam al-Ghazali, tidak sempat melihat perkembangan kemuncak pengamalan dan tegaknya syariat Islam pada era Sultan Aurangzeb.

c. Imam al-Ghazali dan Syeikh Ahmad Sirhindi menggunakan pendekatan berhikmah dan sabar dalam menghadapi pemerintah. Mereka tidak melancarkan penentangan terbuka, atau revolusi atau demonstrasi dan seumpamanya. Sebaliknya mereka menggunakan cara yang telah diamalkan oleh para ulama sebelumnya.

Sekian sahaja ulasan ringkas berkenaan buku Mujaddid Dari India ini. Satu usaha murni dan kerja keras penulis dalam mengetengahkan tokoh yang berjasa kepada masyarakat. Saya ingin memohon maaf jika tersilap bicara yang menyinggung ataupun dengan fakta yang tidak tepat. Mohon diperbetulkan.

Sesungguhnya kisah orang-orang yang soleh dan kekasih Allah seperti Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi ini sepatutnya kita baca, ketahui dan hayati kehidupan mereka. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka adalah orang yang berjaya di sisi Allah dan Rasullah s.a.w. Semoga Allah merahmati beliau dan mengampuni, menunjuki orang-orang yang pernah mengkisahkan riwayat beliau. Semoga Allah melimpahi diri dengan rahmat daripadaNya kerana keberkatan mengenal dan berusaha mencintai orang-orang soleh dan Kekasih-Nya... Amiin.



[1] Dipetik oleh Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi rahmatullahi ‘alaih dalam mukadimah Hayatus Sahabah (Kisah-kisah para Sahabat). Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi (2013). Fadhilat amal: Kisah para sahabat, m/s iv. Era Visi Sdn. Bhd.

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan UIA: Melintas Sebatang Pokok

Lazim dahulu ketika Ramadhan ketika zaman menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), petang-petang lagi sudah bepergian keluar dari kampus. Tujuannya bukan untuk membeli juadah di bazar-bazar yang ada. Akan tetapi mencari tempat-tempat yang ada menyediakan santapan berbuka puasa. Dompet tidak terusik lagi! Biasalah. Zaman pelajar semuanya mahu jimat.

Antara lokasi yang menjadi kenangan sehingga hari ini adalah sebuah surau di Taman Melewar. Terletak dalam sedikit di kawasan Sri Gombak, untuk tiba di surau tersebut akan melintasi beberapa surau. Surau-surau yang lain itu hanya dilintas sahaja, bukan kerana tiada hidangan berbuka puasa, akan tetapi surau yang satu ini yang tertambat di hati.


Istimewa surau tersebut adalah cara hidangannya yang mirip dengan konsep ‘seperah’ di tanahair Sarawak. Mungkin surau lain menyediakan makanan tapau (sedia dibungkus), tetapi surau ini berhidang dan terpulang kepada kita untuk mengambil seberapa banyak yang kita mahu. Ramadhan ini adalah untuk mengurangkan makanan, oleh itu jika kita ambil sedikit tiada pembaziran berlaku.

Apa yang terlebih istimewa adalah secawan tehnya yang amat sedap. Itulah yang menawan hati kami untuk singgah di sini. Suasana di sana pula agak sibuk dengan pakcik-pakcik yang kamboh (meriah dalam kesibukan) bergotong-royong mengemas apabila selesai sungkai (berbuka puasa).

Usai solat Maghrib, ujar saya kepada pemandu motorsikal, “Kita solat Isyak dan Tarawih di sini. Selesa betul.”

Jawab beliau, “Di UIA lagi seronok. Aku suka bacaan al-Quran di sana.” Ya, satu sudut benar kata beliau. Di UIA ada ramai huffaz (penghafal al-Quran) yang datang dari pelbagai negara umat Islam. Bagi satu rakaat di Masjid Sultan Haji Amad Shah (SHAHS), imam seringkali membaca satu muka surat atau lebih lembarang al-Quran. Mana tidaknya, Tarawih 8 rakat sahaja sudah hampir mencecah satu jam.

Maka kami pun berangkat balik ke UIA, memakan masa dalam 10 minit. Hari pun sudah gelap. Simpang demi simpang yang kami lalui, ada satu lokasi di sebelah kiri jalan yang seringkali menjadi perhatian. Iaitu sebidang tanah kecil yang ada di sana sepohon pokok besar. Di bawah pokok itu terdapat sebuah kuil kecil. Dan ada juga bertebaran kuil-kuil kecil di sekitar lapangan itu.

Si pemandu motorsikal yang selalu juga memberi tazkirah dalam perjalanan berkata, “Kita lihat, tiada agama lain yang seindah Islam. Buktinya adalah bulan Ramadhan. Seakan satu keajaiban, selama satu bulan seluruh umat Islam di seluruh dunia berpuasa serentak pada siangnya.”

Enjin motorsikal berderau dan angin laju menderu. Telinga dipasang betul-betul kerana selalunya beliau ada pengisian yang menarik. Sambung beliau lagi, “Lihatlah pada waktu malam Ramadhan, masjid-masjid dan surau-surau jadi penuh. Allah gerakkan hati-hati umat Islam untuk pergi beribadah pada malam hari selama sebulan di seluruh dunia. Itulah fitrah manusia yang Allah tunjukkan untuk kita.”

Kami pun sudah hampir di selekoh UIA. Kata beliau lagi, “Ada kita lihat agama (ajaran) lain yang mampu berbuat sedemikian?”

Desis di dalam hati, “Ya, hampir setiap hari lalu di lapangan kuil-kuil ini, suram sahaja walaupun ada penganutnya berziarah.” Pernah dahulu melihat perkara yang sama pada waktu Ramadhan, melintasi kuil besar di kawasan Ampang. Juga tidak dapat menandingi mana-mana rumah Allah walau yang bersais kecil. Terkenang makna hadith Nabi Muhammad ï·º, Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

 Ayuh. Kita hargai keberadaan Ramadhan di samping kita!

“Siapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat al-Bukhori, Muslim dan lain-lain)[1]




[1] Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbuu al-Banjari al-Makki (pent.), (2007). Ringkasan nasihat agama & wasiat iman Habib Abdullah Alawi al-Haddad. Halaqah Resources: Bogor, Indonesia.

Wednesday, June 17, 2015

Ramadhan: Bulan Super-Jimat


Ramadhan memang merupakan bulan yang berkat. Ada orang menderma, maka ada juga orang yang mengambil manfaat daripada derma. Sebahagian daripada derma adalah untuk orang yang berbuka. Terutama para pelajar. Terkenang sewaktu zaman mahasiswa dahulu, Ramadhan adalah bulan berjimat. Bukan setakat jimat. Tetapi super-jimat. Semoga Allah mengganjari orang-orang yang bersedekah walau dengan seteguk air ataupun setengah kurma mendapat ganjaran yang terbaik daripada-Nya.

Pada suatu hari Ramadhan, hari terakhir sebelum berangkat balik ke Miri untuk Hari Raya Idulfitri, maka berdirilah diri ini di hadapan mesin pengeluar wang automatic (ATM). Tiba-tiba terlintas di fikiran:
“Apa nombor ATM aku?”

Beberapa minit diri tercegat di hadapan mesin itu. Mujurlah pada waktu petang tiada orang yang beratur di belakang. Timbul rasa cemas, jika lupa nombor ini, tiada belanja pula untuk tambang ke KLIA! Alhamdulillah dapat juga diingat dalam minit-minit berikutnya.

Mana tidaknya. Sarapan dan makan tengahari sudah tiada. Makan sungkei (berbuka puasa) pula percuma di surau ataupun masjid. Sahur pula adalah kurma sahaja yang diambil sewaktu moreh di masjid UIA. Begitulah kitaran hidup buat seketika, sehinggakan kad ATM itu seakan-akan berkulat kerana tiada transaksi keluar daripada akaun!

Marilah kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan-kebajikan dalam Ramadhan kali ini. Janganlah kita jadikan diri sebagai orang yang rugi!

“Sesungguhnya malaikat Jibril a.s telah muncul kepadaku dan berkata, “Binasalah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.” (Hadith Riwayat Hakim)[1]


NOTA: Menulis adalah cara yang berkesan untuk menyegarkan kantuk mata selepas waktu Subuh! *wink*wink*



[1] Boleh rujuk huraian hadith ini dalam kitab Fadhail Amal. Al-Allamah al-Muhadith Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi, (2013). Fadhilat Ramadhan, m/s 22. Era Visi Sdn. Bhd: Cheras

Monday, March 23, 2015

"Cikgu Sudah Tengok Spongebob 3D?"

"Cikgu dah tengok Spongebob 3D?"

"Belum. Lagipun untuk apa saya tengok. Spongebob memang cerita GAY."

Jawab si murid, "Cerita gay? Mana ada cikgu. Spongebob memang best."

"Best? Saya tengok (animasi) tidak sampai 5 minit dah saya boleh kesan memang Spongebob bawa cerita GAY. Inikan pula satu filem."

Dalam post yang lepas, saya menceritakan menonton satu siri animasi span kuning petak berseluar petak yang bernama Spongebob. Tidak kurang sampai 5 minit, secara tersirat memang membawa agenda homoseksual ataupun gay, yang tidak dapat dikesan oleh seorang kanak-kanak kecil. Bukan setakat itu sahaja, animasi ini memupuk sifat membuli kepada orang lain. Ini adalah satu akhlak yang buruk yang boleh meracuni akal sihat dan bersih anak-anak.

Masakan tidak, ada suara di Ukraine mahu animasi ini diharamkan di negara mereka kerana dikhuatiri menyebarkan propaganda agenda homoseksual di kalangan kanak-kanak.

Lihat sahaja kedua-dua poster ini. Tidakkah begitu ketara? *terutama poster kedua yang ada Eiffel Tower ini. Anda fikir-fikirlah sendiri...

Animasi ini sudah diwarta haram untuk anak-anak saya. Anda?

Si Span Berseluar Petak dan Homoseksualiti



Minggu lepas saya 'tertonton' animasi 'Spongebob Square Pants' yang disiar di stesen televisyen tempatan. Saya tidak pernah menonton dan mengamati animasi itu dengan serius sebelum ini. Kebetulan si kecil mahu lihat, maka kali ini ingin juga melihat dan mendengar apakah sebenarnya diperkatakan.

Saya menonton rancagnan itu tidak lama, hanya beberapa minit. Tidak sempat habis pun satu episod kecil. Apa yang ditemui adalah sesuatu yang 'menyeramkan', iaitu animasi ini sarat dengan SIMBOL HOMOSEKSUAL. Mungkin kita lihat kartun ini 'innocent' dengan watak selembar span yang boleh bercakap dan berseluar petak bersama temannya si Patrick, tapi tanpa kita sedar rancangan ini berbahaya buat minda anak-anak. 

Sudah berapa banyak episod yang ditonton oleh kanak-kanak? Dan berapa ramai yang menonton setiap kali siaran? Dan berapa banyak terdedah anak-anak kita kepada racun yang berbahaya ini, tanpa kita sedar. Dalam tinjauan awal saya, didapati di google, banyak aduan dan rencana membicarakan hal ini, ibu bapa di serata dunia prihatin tentang isu tersebut.

Apakah yang saya tonton? Kita amati secara umum sahaja:

1. Sejak awal lagi saya sudah merasakan sesuatu yang pelik dalam kartun ini. Sudah terasa adanya unsur-unsur seksualiti yang separa ketara.

2. Spongebob kelihatan seorang yang maskulin (kelakian) dan rakannya Patrick pula feminine (keperempuanan). Sedang mereka hendak melawan dua orang ahli gusti (mereka dibuli oleh En. Krab untuk mendapatkan duit), terdapat unsur meliwat ketika perlawanan mereka.

3. Sewaktu En. Krab menunjukkan sesuatu menggunakan pengepitnya, tidak dapat disembunyikan lagi, bahawa bentuk tersebut adalah menyamai kemaluan lelaki...

Sebagai ibu bapa yang masih muda, perkara ini amat membimbangkan. Terlalu banyak rancangan yang mengandungi simbol yang ada tersemat padanya racun. Apabila umpan mengena, maka racun itu akan merebak dalam minda mereka. 

Mungkin inilah sebahagian jawapan kepada saya, ada anak-anak pada usia sekolah rendah seolah-olah sudah biasa dengan perkara yang luar jangkauan mereka. Dan tidak mustahil mungkin animasi seperti ini adalah salah satu daripada puncanya.... 

Saya tabik kepada seorang rakan, beliau dijaga oleh ibu bapanya daripada menonton kartun (yang entah apa-apa) sejak kecil lagi. Oleh sebab itulah, beliau tidak tahu langsung tentang kartun mahupun filem apabila terlintas dalam perbualan sesama rakan-rakan... Adalah kekuatan yang sangat besar daripada ibu bapa untuk mengawal anak-anak daripada terdedah kepada bahan media ini. Adanya racun, adanya penawar. Kitalah yang bertanggungjawab menentukan segala yang mereka bakal hadamkan...

Sejak daripada itu rancangan tersebut sudah diisytihar haram ditonton oleh keluarga saya...

Semoga Allah melindungi kita daripada fitnah yang tersembunyi ini...

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...