BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label PTS. Show all posts
Showing posts with label PTS. Show all posts

Sunday, November 13, 2011

Jawapan Untuk Anda: Tips Menulis


Pertama dan selamanya dipanjatkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam selamanya buat Junjungan Mulia Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Salam sejahtera buat ahli keluarganya, sahabatnya dan orang-orang ikhlas mengikuti jejaknya sehingga Hari Kiamat.

Mohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog. Entri kali ini menjawab soalan daripada sahabat-sahabat yang sering bertanya:

1.Apakah kelayakan ataupun ciri untuk menulis?
2.Apakah tips-tips yang berkesan untuk menulis?
3.Bagaimanakah mendapatkan idea?

Apabila ditanya soalan sebegini rupa, saya sering melontarkan kembali soalan:

1.Jenis (atau genre) apakah penulisan yang ingin diceburi?
2.Siapakah sasaran pembaca? Apakah tahap umur pembaca tersebut?



“Apakah kelayakan ataupun ciri untuk menulis?”

Apabila disoal dengan soalan-soalan tersebut, saya menjawab berdasarkan perspektif sebagai seorang penulis PTS Publishers & Distributors. Jika seseorang berminat untuk bersama PTS berjuang ‘Memandaikan Bangsa dengan Buku,’ maka ada LIMA(5) syarat untuk dipatuhi. Syarat-syarat tersebut sayar rumuskan daripada pengalaman bersama PTS. Syarat tersebut adalah seperti berikut:

a.Syariah Compliant

Penulis PTS dikehendaki menulis sesuatu yang selari dengan syariah ataupun ‘Syariah Compliant.’ Unsur-unsur yang boleh menimbulkan dosa seperti anti-tuhan, enteng kepada agama,adegan bercumbuan ataupun yang mengghairahkan. Ciri-ciri terlarang ini adalah ciri yang bertentangan dengan agama dan adab Ketimuran. Yang terbaik adalah menerapkan nilai-nilai penghayatan Islami. Jikalau penulis merasakan belum mampu untuk membawa ataupun mengolah dalil-dalil daripada agama, memadailah karya menerapkan nilai-nilai yang murni.

PTS berjuang memartabatkan karya yang indah bertepatan dengan ciri Syariah compliant. Hal ini amat mustahak bagi mengimbangi penerbitan buku-buku yang tidak Syariah compliant, picisan atau ideologi berbahaya yang ada di pasaran. Kita mahu mendidik masyarakat, bukan merosakkannya.


b.Bahasa Melayu Tinggi

PTS mewajibkan para penulisnya untuk mematuhi disiplin Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Seringkali jawapan saya kepada yang bertanya ialah BMT ialah penggunaan bahasa baku yang asasnya anda pelajari di peringkat sekolah menengah (SPM sebagai contoh).

PTS tidak membenarkan pengarang menggunakan Bahasa Melayu Rendah (BMR). Contoh BMR adalah bahasa pasar yang bercampur-aduk dengan penggunaan bahasa asing. Kajian mendapati bahawa karya yang menggunakan BMR tidak akan difahami oleh generasi mendatang, kerana bahasa tersebut hanya difahami di kawasan setempat pada ketika itu sahaja.

Dengan menggunakan BMT, karya akan tetap evergreen. Sebagai contoh, karya P. Ramlee dan Prof. Dr. HAMKA masih difahami dan evergreen diminati sehingga kini.


c.Menepati Sasaran PTS


Saya ingat dalam bengkel penulisan PTS yang pernah saya sertai dahulu, Puan Ainon Mohd pernah menyebut sasaran-sasaran pembaca buku PTS. PTS menyasarkan buku yang diterbitkan adalah dalam lingkungan 5 sasaran umur dan lapisan pendidikan. Sasaran tersebut adalah:

i. Golongan yang berjinak-jinak dengan Islam
ii. Golongan non-Muslim
iii. Golongan yang berpendidikan yang kurang pendedahan kepada ajaran agama.
iv. Golongan kanak-kanak (sehingga 12 tahun).
v. Golongan remaja (13 tahun ke atas)



d.Menghadiri Kursus Bengkel PTS
Bersama Puan Ainon & rakan-rakan penulis selepas bengkel pada 23 Ogos 2009

Apabila ingin menulis bersama PTS, adalah wajib untuk menghadiri siri Bengkel Gratis PTS walaupun sekali. Siri kursus ini membuka lembaran horizon anda bahawa menulis ini bukan mustahil. Bakat yang ada harus digilap dengan metodologi aliran PTS. Metodologi tersebut adalah berdasarkan kajian yang mendalam bagi menghasilkan karya yang mudah dibaca dan evergreen.

Antara bengkel asas yang bakal pengarang mesti hadiri adalah kursus Teori Surah Yusuf, Bahasa Melayu Tinggi dan KJ-Metod. Terdapat juga siri-siri bengkel yang lain mengikut genre ataupun projek terkini PTS. Kelebihan mengikuti bengkel ini adalah anda berpeluang berkenalan dan bertukar- tukar pandangan dengan para penulis dan mendapat latihan langsung daripada Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd.


e.Sinopsis
Antara syarat yang penting adalah seseorang menghantar sinopsis kepada pihak PTS terlebih dahulu. Sinopsis tersebut diperiksa adakah isinya menepati syariah compliant, selari dengan perjuangan PTS dan bersesuaian dengan para pembaca. PTS perlu mengenalpasti jenis genre yang diceburi dan adakah kandungan buku tersebut sudah terdapat di pasaran. PTS Jika didapati kurang sesuai, PTS akan menasihati pengarang agar membuat pengubahsuaian.

Polisi syarikat penerbitan lain mungkin memerlukan penulis menyiapkan manuskrip penuh. Menulis bersama PTS lebih terjamin, kerana anda memberikan rangka terlebih dahulu dan mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka. Justeru, hal ini menjimatkan masa dan tenaga kerana karya anda telah dipandu sebelum bermula.

NOTA: Perkara (e) ini adalah pengamatan peribadi bersama PTS, tidak mewakili suara PTS secara rasmi.


Saya hanya menjawab soalan (1) pada awal artikel. Bagi menjawab soalan-soalan yang seterusnya, saya sarankan anda memiliki siri buku ini jika belum ada. Buku-buku panduan menulis PTS ini menjadi aset berharga anda untuk memastikan anda berada di landasan selari bersama PTS.


Buku Tips Menjadi Penulis Bestseller oleh Zamri Mohamad menyajikan anda tips-tips berkesan daripada penulis terkemuka tempatan dan antarabangsa. Buku ini juga mengandungi nasihat berguna menghadapi cabaran sebagai seorang penulis. Justeru, buku ini merupakan sumber motivasi untuk para pengarang membaiki mutu penulisan mereka.
Buku Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf memaparkan kepada anda metodologi aliran PTS dalam menulis karya fiksyen terutamanya. Buku ini ditulis sendiri oleh Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd. Teknik Surah Yusuf merupakan rumusan kajian beliau selama 20 tahun menelaah teknik penceritaan indah daripada Surah Yusuf dalam al-Quran.
Buku Panduan Menulis Cerpen oleh Jasni Matlani, Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia menyajikan tips-tips penulisan dan motivasi untuk menulis cerita pendek ataupun cerpen.

Buku Buat Duit Dengan Menulis ini ditulis oleh Dr. Jeniri Amir, seorang penganalisa politik dan pensyarah UNIMAS. Buku ini menawarkan kepada anda banyak idea dan langkah untuk menulis wacana non-fiksyen.

Buku Pemasaran Gerila untuk Penulis yang diterjemahkan oleh penulis Sunthara Segar mendedahkan kaedah pemasaran karya anda dengan lebih agresif dan tersusun. Buku ini sarat menawarkan anda kaedah pemasaran yang efektif lagi menjimatkan kos.


Semoga dengan entri ini dapat memberikan pencerahan dalam memudahkan langkah anda untuk maju tapak demi tapak. Saya memohon maaf jika terdapat fakta yang kurang tepat. Mohon ditunjuki agar dapat dibetulkan. Sekalung penghargaan kepada pihak PTS terutama Puan Ainon Mohd. Dan rakan-rakan penulis yang menjadi sumber inspirasi saya untuk terus berkarya. Doakan agar saga Galaksi Muhsinin dapat disempurnakan dengan jayanya. Saya berdoa agar kita diberikan hati yang ikhlas dan amal yang berterusan dalam berkongsi ilmu yang ada, insya-Allah.

“Memandaikan Bangsa dengan Buku”

Tuesday, September 28, 2010

Konvo (1): Syukur Alhamdulillah


Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, ahli keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti baginda sehingga Hari Kiamat.

Segala puji bagi Allah, saya telah terpilih untuk bergraduasi di Konvokesyen ke-26 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Saya melanjutkan pengajian selama 7 tahun berada di perantauan. Mula melangkah ke alam universiti bermula pada 2003 di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dalam asasi Kejuruteraan. Kemudian melanjutkan pelajaran ke kamus utama, UIAM Gombak dalam Ijazah Sarjana Muda Kuliyyah Kejuruteraan Mekatronik dan alhamdulillah tamat pada Januari 2010 yang lepas.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pensyarah yang merupakan guru-guru saya. Juga kepada teman-teman sebilik, teman-teman kuliyah dan teman-teman universiti; dan terutama sekali teman-teman gerakan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).


Segala pahit getir telah dilalui dan ditempuhi. Bukan senang apabila dihambat kejatuhan-kejatuhan untuk bangkit kembali, terutama cabaran terpaksa melanjutkan tempoh pengajian selama setahun.

Dalam tempoh tersebut juga, terlalu banyak pengalaman dan pengajaran yang diperoleh, menjadi bekal tika berada di tanah air kini. Ketika di menara gading, sempat menikmati curahan nikmat bersama para ulama dan ilmuan. Tidak terhingga, tidak terkira, tidak terkata keindahan bersama mereka.

Atas: Kunjungan ulama sufi ulung dari Yaman, Habib Umar Hafidz di UIAM, Januari 2010
Atas: Kenangan Bersama Tuan Guru Syeikh Fuad bin Kamaludin al-Maliki
Atas: Prof. Syed Naquib al-Attas dan Prof. Wan Nor Wan Daud di Seminar Pengukuhan Pandangan Alam Islami & Syarahan Perdana Syed Naquib al-Attas, Disember 2009

Juga, syukur kepada Allah, yang telah memberikan jalan-jalan untuk meneroka potensi diri untuk berkecimpung dalam bidang penulisan. Berkat bimbingan guru saya dalam penulisan, Puan Ainon ‘Sifu PTS’, Firdaus Arif Zamri Mohamad dan teman-teman angkatan penulis, segalanya telah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Kepada teman-teman seuniversiti, teruskanlah perjuangan anda dalam menuntut ilmu. Sesungguhnya ilmu itu datang membawa makna dan menundukkan kita supaya beradab dan akhirnya datang barakah. Raikanlah dan hormatilah guru. Menuntutlah ilmu dengan cara yang bersih, lunas daripada noda dan dosa meniru kerja taulan, meniru dalam peperiksaan dan segala macam makar yang boleh mencabut keberkahan dalam belajar.

Penuhi masa dengan aktiviti yang bermanfaat, jadikanlah kitab dan buku-buku bermutu menjadi teman. Elakkanlah kitaran hidup yang membosankan dengan melibatkan diri dalam melatih diri berjasa kepada masyarakat. Seandai terlambat, kelak kalian akan lebih menyesal tika alam pekerjaan. Percayalah!

Terima kasih khas buat sdr. Hassan atas kenangan bersama menyudahkan FYP. Tidak lupa juga, teman-teman Mekatronik, terutama teman-teman FYP MSD Lab, ketemu anda di CAC!

Akhir kata, kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Prof. Madya Dr. Wahyudi Martono, Ketua Jabatan Kuliyyah Kejuruteraan Mekatronik atas pemergian mengejut beliau pada Julai 2010 yang lepas. Beliau merupakan sosok ilmuan yang berakhlak mulia lagi disegani, yang telah banyak membimbing saya dan teman, Abdul Hassan dalam menyempurnakan Final Year Projek (FYP) kami.

Al-Fatihah.

Syukur, syukur, syukur ya Allah...

Alhamdulillah...

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...