BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, August 17, 2017

Si Kecil Tumbangkan Dahri

Kisah Imam Abu Hanifah berhadapan dengan Sang Atheis



Segala puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, Ahli Baitnya, para Sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti jalannya sehingga Hari Kiamat.
Wilayah Daulah Bani Umayyah (661 - 750M)

Tersebutlah kisah di sebuah kota Kufah[1] pada zaman guru Imam Abu Hanifah. Kerajaan umat Islam yang dipayungi oleh Daulah Bani Umayyah berada di kemuncaknya. Kekuasaan Islam telah melebar ke benua India di Timur, Bukhara di Asia Tengah bersempadanan China, dan sudah bertapak di Andalusia Sepanyol di Barat.



Dahri Penyebar Keraguan

Ketika itu muncul seorang yang terlanjur rosak akal dan imannya, digelar sebagai Dahri.[2] Pada zaman ini digelar sebagai atheis, orang yang tidak mempercayai atau ragu tentang tuhan. Si Dahri menuntut semua alim ulama berhadapan dan berhujah kepadanya.

Si Dahri telah mengemukakakan pandangan luar biasa pada ketika itu. Ia mencabar semua ulama menjawab persoalan rumit itu. Katanya, “Katamu Allah itu ada. Kalau Ia ada, di mana tempatnya? Tidak ada yang maujud (wujud) melainkan ada tempatnya?”

Seorang demi seorang ulama di kota telah dikalahkannya. Maka Dahri menyeru kepada khalayak ramai, “Adakah tinggal daripada ulama kamu semua?”

Jawab orang ramai, “Ada lagi, iaitu Syeikh Hammad.”

Kata Dahri kepada wakil khalifah, “Wahai khalifah[3], hadirkan aku orang itu supaya aku boleh berhujah kepadanya!” pihak khalifah pun memanggil Syeikh Hammad bin Sulaiman.

Syeikh Hammad pun menjawab, “Berilah aku tempoh satu malam.”

Mimpi Petanda Kemenangan

Pada pagi keesokan harinya, sang ulama besar ini amat dukacita. Macam mana tidak runsing, kesemua ulama lain telah dikalahkan hujah mereka oleh seorang sesat digelar Dahri. Seandainya dirinya yang terakhir pun tidak dapat menjawab, pasti aqidah pegangan murni yang benar umat Islam dalam bahaya. Dahri akan terus bermaharajalela melebarkan penyimpangannya kepada masyarakat.

Seorang anak murid Syeikh Hammad merapati dan mendapati gurunya dilanda kerisauan yang mendalam. Si anak murid ini masih lagi kecil. Namanya Nu’man bin Thabit. Suatu hari kelak ia akan menjadi seorang alim ulama besar digelar Imam Abu Hanifah yang merupakan pengasas Mazhab Hanafi.

Abu Hanifah bertanya kepada gurunya apakah yang telah terjadi. Jawab Syeikh Hammad, “Bagaimana aku tidak dukacita, khalifah telah memanggilku untuk berhujah dengan Dahri dengan himpunan segala ulama.”

Katanya lagi, “Aku bermimpi malam tadi di dalam tidurku akan sesuatu pemandangan yang sangat mungkar.”

Tanya Abu Hanifah, “Apakah ia, tuan?”

Jawab Syeikh Hammad, “Aku lihat ada satu dusun yang sangat luas lagi berhiasan (indah). Ada satu pohon kayu yang berbuah. Maka keluar daripada satu penjuru kampung itu khinzir. Haiwan itu habis memakan buah dan daunnya, hingga tinggal batang sahaja.”

“Maka keluarlah daripada pohon kayu itu seekor harimau, khinzir itu ditangkap lalu mati.”

Kata Abu Hanifah, “Bahawa Allah telah mengajar saya akan ilmu ta’bir (tafsir) mimpi. Mimpi ini baik bagi kita tapi buruk bagi musuh kita. Jikalau tuan izinkan saya untuk menta’birkan mimpi itu nescaya saya akan beritahu maksudnya.”

Balas gurunya, “Ta’birkan, wahai Nu’man!”

Kata Abu Hanifah, “Dusun yang luas dan berhiasan itu adalah agama Islam. Dan pohon kayu berbuah itu adalah ulama. Batang kayu yang tinggal itu adalah tuan. Dan khinzir itu adalah Dahri. Dan harimau yang membunuhkan khinzir itu adalah saya.”

“Maka tuan berjalanlah, saya akan bersama tuan. Dengan berkat himmah (kewibawaan) dan berkat hadrat tuan, saya berkata-kata kepadanya dan saya patahkan hujahnya.”

Dahri Memperlekeh Si Kecil

Syeikh Hammad berasa gembira akan kata-kata anak muridnya dan mereka berjalan menuju Masjid Jamek. Turut hadir di sana adalah khalifah dan himpunan orang ramai. Anak muridnya Abu Hanifah berdiri di hadapan gurunya.

Dahri pun tiba di sana. Ia naik ke mimbar masjid dan bertanya kepada khalayak ramai, “Ada sesiapa yang akan menjawab soalan aku?”

Sahut Abu Hanifah, “Apakah persoalanmu, beritahulah kepadaku! Orang yang mengetahui akan menjawab segala pertanyaanmu itu!”

Kata Dahri dengan nada angkuh, “Siapakah engkau, hei kanak-kanak? Siapa engkau bercakap dengan aku? Beberapa orang yang mempunyai kemegahan dan orang tua-tua dengan serban besar-besar dan memakai kain kemegahan dan lengan baju yang luas-luas?” Dahri memaksudkan para ulama pada zaman itu.

Ujar Dahri lagi, “Mereka semua lemah daripadaku. Betapa engkau bercakap denganku, padahal umurmu mentah? Kamu seorang yang hina!”

Abu Hanifah menjawab, “Allah tidak melihat kerana ketinggian dan kebesaran orang-orang yang beserban besar, kain kemegahan dan baju yang luas, tetapi Allah menilai ulama itu seperti firman-Nya:

“... nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah, 58:11)

Dahri berkata, “Engkaulah yang akan menjawab soalanku.”

Balas Abu Hanifah dengan yakin, “Bahkan. Saya akan jawab soalan awak dengan taufik Allah!” Bermulalah pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Bakal Imam, Abu Hanifah tampil membela agama. Manakala si Dahri berada di pihak yang batil.

Soalan Pertama

Dahri               : “Adakah Allah itu maujud (wujud, ada)?

Abu Hanifah    : “Ya.”

Dahri               : “Di mana Ia?”

Abu Hanifah    : “Tiada bagi Allah itu bertempat (berada di satu tempat).”

Dahri               :“Bagaimana pula sesuatu yang majud tapi tidak ada di satu                                                     tempat?”

Abu Hanifah    : “Dalilnya ada pada diri kamu.”

Dahri               : “Di mana buktinya?”

Abu Hanifah    : “Adakah kamu tidak ada nyawa?”

Dahri               : “Ya, ada.”

Abu Hanifah    : “Di mana terletaknya nyawa kamu? Adakah di kepala? Atau di perut? Atau                             di kaki?

Dahri              : “…” (diam, tercengang tidak dapat berkata apa-apa)




Abu Hanifah     : “Satu dalil lagi adalah air susu. Adakah air susu mempunyai lemak?”

Dahri                : “Ya, sudah tentu.”

Abu Hanifah     : “Di mana bahagian yang ada lemak? Adakah di atas, atau di bawah?

Dahri                : “…” (tercengang lagi tidak dapat berkata apa-apa)

Abu Hanifah     : “Sebagaimana roh (nyawa) tidak bertempat di mana-mana bahagian                                       tubuh dan lemak berada di satu bahagian dalam air susu, seumpama                                     itu juga Allah tidak bertempat di dalam alam[4] ini.”[5]


Soalan Kedua

Dahri            : “Apa yang ada dahulu sebelum Allah. Dan apa ada                                   selepas daripada Allah?”

Abu Hanifah : “Tidak ada sesuatu sebelum daripada Allah dan juga                                selepas-Nya. Buktinya ada pada badan kamu sendiri.”

Dahri            : “Apakah dalil engkau?”

Abu Hanifah : “Apakah yang ada sebelum ibu jari kamu? Apakah yang                           ada selepas daripada jari kelingking kamu?" 

Dahri            : “Tentulah tidak ada sesuatu selepas ibu jari dan tidak ada sesuatu pun selepa                        jari kelingkingku.”

Abu Hanifah : “Demikian itu juga Allah Taala. Tidak ada sesuatu sebelum-Nya dan tiada                               sesuatu selepas daripada-Nya.”[6]


Soalan Ketiga

Dahri               : “Tinggal lagi satu pertanyaan untukmu.”

Abu Hanifah    : “Engkau nyatakan saja, insya-Allah Taala.

Dahri               : “Apakah kelakuan Allah sekarang ini?”

Abu Hanifah   : “Sekarang perbuatan engkau terbalik. Yang menjawab berada di atas                                    mimbar, dan yang bertanya di bawah mimbar. Jika engkau turun dan aku                                naik, nescaya aku akan jawab soalan engkau.”

Mereka pun bertukar tempat. Dahri turun ke bawah, dan Abu Hanifah pula yang berada di atas mimbar lalu duduk di sana.

Dahri               : “Sekarang engkau jawab soalanku!”

Abu Hanifah   : “Kelakuan Allah sekarang ini menggugurkan yang batil seumpama kamu                                daripada atas ke bawah. Dan Allah menaikkan yang sebenar umpama aku                             dari bawah ke atas.

Dahri                : “…” (putus hujah tidak dapat berkata apa-apa)



Tamat…. 


Begitulah Allah telah mentakdirkan seorang daripada umat Nabi Muhammad s.a.w yang membela, mempertahan dan memperkukuhkan agama-Nya. Sungguhpun ketika itu Imam Abu Hanifah seorang anak yang kecil, Allah telah memberinya keberanian, tinggi tawakal kepada-Nya, kelebihan menta’bir mimpi dan kepintaran akal mengalahkan hujah kebatilan. Ini adalah satu isyarat besar pada zaman itu bahawa beliau bakal menjadi bintang alim ulama.

Pengarang kitab, Syeikh Zainul Abidin memuatkan hikayat ini dalam kitab agung beliau Aqidatun Najin, akan keperluan belajar dan mengajar aqidah. Dalam bidang aqidah, kita wajib fardhu ain belajar untuk keluar daripada taqlid dengan mengetahui secara umum (ijmali). Manakala fardhu kifayah adanya orang yang alim belajar secara terperinci (tafsili) bagi menjelaskan keraguan dan kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.

Dalam era berleluasanya kejahilan dan keraguan, kepentingan mempelajari ilmu usuludin atau ilmu kalam Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu aliran Asya’irah-Maturidiyah (atau disebut di Alam Melayu sebagai Sifat 20) semakin terserlah. Aliran Asya’irah-Maturidiyah[7] yang dipelopori oleh Imam Abu Hasan al-Asy’ari[8] dan Imam Abu Mansur al-Maturidi[9] ini menurut Dr. Mohd Farid Shahran ‘bercirikan kepada ‘keutamaan dalil wahyu dalam penghujahan di samping memperkukuhkannya dengan hujahan akal’ yang merupakan ‘gabungan antara hujah akal dan naqal’ (sumber Quran dan Hadith).[10]

Menurut guru kami Ustaz Syed Izzuddin bin Kamaldin, beliau menjelaskan bahawa aliran al-Asya’irah ini merupakan metodologi yang dirumus dengan menyeluruh dan sempurna (jami’ dan mani’) daripada kajian seluruh dalil al-Quran dan Hadith. Ilmu ini bertujuan membersihkan akal kita daripada berfikir akan sesuatu yang tidak layak bagi Allah dan menetapkan yang selayaknya bagi Allah. Sifat 20 bukannya Allah terhad kepada 20 sifat sahaja, akan tetapi 20 Sifat itu adalah seminima perkara untuk manusia memiliki pegangan yang lurus dan benar, terkeluar daripada taqlid (percaya buta tuli).

Akan tetapi menurut beliau, untuk sampai kepada Allah dalam perjalanan menuju-Nya melalui jalan membersihkan hati melalui pengamalan ilmu tasawuf[11] atau kesufian.

Oleh itu, belajarlah, dan carilah guru yang benar dapat membimbing aqidah kita dengan jalan yang selamat.


Sekilas tentang Imam Abu Hanifah

Nama beliau adalah Nu’man bin Thabit bin Zutha. Beliau dilahirkan di kota Kufah pada 80H dan merupakan anak bangsawan dan saudagar kain. Beliau dianggap sebagai tabi’in kerana pernah berjumpa dengan beberapa orang Sahabat Nabi Muhammad s.a.w seperti Hazrat Anas bin Malik radhiyallahu’anhu. Dikatakan beliau belajar daripada 4,000 orang guru. Syeikh Hammad bin Sulaiman dalam cerita ini adalah salah seorang daripada guru beliau.

Imam Abu Hanifah dikhabarkan berkecimpung awalnya dalam bidang usuludin[12] (aqidah), kemudian beliau menyelami bidang fekah[13]. Keluasan ilmu, ketinggian taqwa dan cinta kepada Nabi Muhammad s.aw. mengangkat darjat beliau menjadi ulama mujtahid mutlaq atau mustaqil yang merupakan salah empat pendiri Mazhab yang agung.

Beliau merupakan seorang yang amat suka beribadah. Diberitakan, beliau mengerjakan solat Isyak dan Subuh serta bangun solat malam dengan wuduk yang sama selama 40 tahun[14]. Dikatakan, beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam dalam satu rakaat[15]. Dalam kehidupan, beliau mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia, menjauhi ahli dunia dan sangat berhati-hati berurusan dengan hukum Allah. Beliau wafat pada 150H dan dimakamkan di kota Baghdad. Beliau hidup ketika pemerintahan Daulah Bani Umayyah dan kemudian Daulah Bani Abasiyah. Beliau sempat berada pada zaman Khalifah Umar bin Abd. Aziz, yang ulama menobatkan beliau layak digandingkan sebagai Khulafa’ ar-Rasyidin.

Semoga Allah berterusan merahmati beliau sungguhpun sudah lama di alam kubur. Dan semoga kita ini orang awam meletakkan adab sewajarnya kepada para alim ulama berwibawa yang sangat alim ilmu dan makrifat, pengenalan kepada Allah, dan hidup sepenuhnya bawah lembayung Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Amat biadab kita orang awam mengaku lebih penahu akan Quran dan Sunnah daripada para alim ulama, terutama imam besar seperti Imam Abu Hanifah dan pendiri Mazhab agung yang lain. Ukurlah baju di badan sendiri.

Moga kita diberikan rezeki oleh Allah untuk selamat, bersih aqidah kita daripada perkara yang boleh membinasakan iman kita. Dan semoga Allah memberi ilmu dan kefahaman dalam mengamalkan agama dengan sempurna, amiin…
Sayyidina Muawiyah r.a berkata saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya maka Allah kurniakan kepadanya kefahaman agama. Saya hanyalah pembahagi dan Allah lah yang mengurniakannya.”(Hadith Riwayat Imam Bukhari)[16]




[1] Sebahagian sumber mengatakan bahawa peristiwa ini berlaku di kota Baghdad. Dengan kelemahan yang ada dan sedikit rujukan, didapati Imam Abu Hanifah berpindah ke Baghdad ketika dewasa. Dan beliau wafat di kota itu pada 150H. Sedangkan peristiwa ini berlaku ketika Imam Abu Hanifah masih kecil lagi.

[2] Kisah ini diadaptasi daripada kitab jawi bahasa Melayu-Arab Aqidatun Najin fi ‘Ilmi Usuluddin, sebuah kitab saduran dan syarah(huraian) akan kitab besar dalam ilmu usuluddin (aqidah) Umm Barahin yang dikarang oleh ulama Melayu, iaitu al-Alim al-Allamah al-Fahimah Syeikh Zainul ‘Abidin bin Muhammad al-Fathoni pada 1890. Kitab Umm Barahin merupakan kitab usuluddin yang penting dikarang oleh Syeikh Abdullah bin Muhammad as-Sanusi dalam bahasa Arab.

al-Alim al-Allamah al-Fahimah Syeikh Zainul ‘Abidin bin Muhammad al-Fathoni, (t.t). Aqidatun Najin fi ‘Ilmi Usuluddin (jawi), m/s 7-9. Versi rumi disunting oleh Ustazah Noraine Abu (2015) diterbitkan oleh Hidayah Publishing.

[3] Disebutkan dalam kitab Aqidatun Najin hanya ‘khalifah’ sahaja, tidak disebut namanya. Jika Imam Abu Hanifah sewaktu kecil, beliau masih tinggal di Kufah, dan dikatakan setelah itu ke Basrah dan Makkah. Sedangkan pusat pemerintahan khalifah Daulah Bani Umayyah adalah di kota Damsyik, kira-kira 900km dari Kufah. Boleh jadi 'khalifah' itu khalifah sendiri atau raja daripada bangsawan yang menjadi amir (gabenor) wilayah itu.

[4] Disebut kaun (alam) dalam kitab.

[5] Prinsip aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang disusun selepas Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi - masih pada zaman Salafusoleh iaitu prinsip Mukholafatuhu lil Hawadith meletakkan bahawa bersalahan Allah dengan sesuatu yang baharu. Ataupun maksudnya adalah Allah tidak sama sekali menyerupai apa-apapun dengan makhluk-Nya. Ustaz Muhammad al-Amin Daud dalam satu kuliah beliau di Miri (2017) mengatakan bahawa sesuatu yang bertempat atau mengambil ruang adalah ciri makhluk. Maha Suci Allah tidak layak bagi Allah menyerupai sesuatu pun seperti makhluk yang akan binasa. Sebagai contoh kefahaman yang didakwa oleh segelintir manusia seperti Allah duduk bersemayam di ‘Arasy.

[6] Dalam pelajaran aqidah Asya’irah-Maturidiyah atau di Alam Melayu dikenal sebagai Sifat 20, soalan ini berkait dengan prinsip Qidam dan Baqa’. Allah bersifat Qidam, iaitu sedia ada tatkala azali lagi. Allah wujud tanpa ada permulaan oleh sesiapa pun. Allah tidak bermula daripada tiada kepada ada seperti makhluk. Tetapi Allah sedia wujud tatkala azali lagi. Dan Allah bersfat Baqa’, iaitu Allah berkekalan sampai bila-bila walaupun alam ini sudah musnah binasa. Maha Suci Allah bersifat daripada kekurangan adanya permulaan atau pengakhiran seperti makhluk. Makhluk wujud daripada tiada kepada ada dicipta oleh Allah. Kemudian daripada ada kepada tiada (dimatikan oleh Allah).

[7] Atau dikenal sebagai al-Asya’irah.

[8] Beliau lahir pada 260H dan wafat pada 320H.

[9] Beliau lahir pada 238H dan wafat pada 333H. Kedua-dua tokoh ini hidup pada zaman Salaf. Aliran mazhab al-Asya’irah ini dipegang oleh ramai ulama besar selepas mereka.

[10] Jika anda masih sangsi atau ragu tentang aliran usuludin Mazhab al-Asya’irah, sila dapatkan penjelasan lanjut yang mudah difahami melalui baca buku yang dikarang oleh Dr. Mohd. Farid Shahran (2013) yang berjudul Aqidah dan Pemikiran: Isu dan Cabaran terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

[11] Para ulama tasawuf dasarnya mengambil dalil jalan tasawuf ini melalui tentang Ihsan dalam Hadith sahih tentang Islam dan Ihsan apabila Malaikat Jibril datang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w dan Sahabatnya mengajarkan agama kepada mereka.

[12] Dr. Che Razi Jusoh (2016) dalam buku The Malay Exposition of al-Sanusi’s Umm al-Barahin menyatakan Imam Abu Hanifah sungguhpun beliau merupakan seorang mujtahid yang agung, beliau ada mewariskan karya dalam bidang aqidah seperti kitab al-Fiqh al-Akbar, al-’Alim wal-Muta’allim, al-Radd ‘ala-Qadariyyah dan al-Wassyah.

[13] Al-Allamah Syeikh Muhammad Mukhtar ‘Atorid, Syeikh Muhammad Fuad (pensy.), (2008). I’tiqad ahli sunnah wal jama’ah, m/s 292-300. Sofa Production: Ampang.

[14] Muhammad Mujahid bin Mohammad Ir. Fadzil, (2012). Hakikat kenabian Rasulullah s.a.w dan martabat kekasih Allah menerusi kitab jauharah al tauhid, m/s 337. Mawleed Publishing: Kota Damansara.

[15] Ibid, m/s 337.

[16] Hazrat Syeikh Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi (peny.), (2014). Muntakhab hadith, hadith ilmu dan zikir: ilmu, no. 8, m/s 250. Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd.: Sri Petaling.

Tuesday, August 15, 2017

Cerita Secawan Teh

Menjadi rutin di sebuah surau dihadiri oleh seorang alim muda mengajarkan kepada kariah penduduk kampung pada Ahad antara waktu Maghrib dan Isyak. Kerana kealiman beliau yang pernah belajar agama dan terlibat dalam usaha dakwah, sebagai penghormatan, beliau digelar Maulana.

Usai solat Isyak, maka salah seorang jemaah surau ke hadapan mimbar dan membuka kitab Muntakhab Hadith yang berbunyi:

“Sayyidina Abu Darda’ berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang bersolat sunat Dhuha dua rakaat tidak akan ditulis dalam kalangan orang-orang yang lalai daripada beribadat.

Sesiapa yang mengerjakan empat rakaat akan ditulis dalam kalangan ahli ibadat dan sesiapa yang mengerjakan enam rakaat maka dia akan dibantu dalam segala urusannya pada hari itu.

Sesiapa yang mengerjakan lapan rakaat maka akan ditulis dalam kalangan ‘qanitin’ (orang-orang yang taat).

Sesiapa yang mengerjakan dua belas rakaat maka Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga.

Allah S.W.T sentiasa memberi kurniaan dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya setiap siang dan malam dan tiada kurniaan Allah S.W.T yang lebih afdal ke atas salah seorang hamba-hamba-Nya lebih daripada taufik untuk berzikir kepada-Nya. 

(Riwayat Imam Tabarani daripada kitab Majma’ uz-Zawa’id)


Maulana dan para hadirin pun dijemput untuk menjamu selera, dan mereka duduk bersama. Salah seorang yang duduk bersama Maulana bertanya, “Maulana, nak tanya sikit boleh?”

Maulana yang sedang makan mengangguk lantas si penanya pun berkata, “Tadi kita dengar Ta’lim hadith fadilat solat dhuha. Terfikir sikit, misalan kita solat dua rakaat, kita dapat sekian ganjaran, enam rakat Allah mudahkan urusan kita pada hari itu. Dan terakhir kita dapat mahligai syurga. Jadi, kalau kita buat enam rakaat, adakah kita hanya dapat ganjaran enam rakaat itu ataupun kesemua yang di bawahnya sekali?

Maulana mengangguk-angguk dan menyisip secawan teh yang terhidang untuknya. Lantas beliau berkata, “Ya, kalau kita buat macam itu, kesemua kita dapat. Misalan kita buat solat Dhuha dua belas rakaat, maka kesemua ganjaran dua sehingga lapan rakaat pun dapat.”

“Oh… macam itu. Masya-Allah, luasnya rahmat Allah,” ujar si penanya.

Kata Maulana lagi, “Umpama kita minum teh. Kalau teh sahaja tanpa gula, kita minum teh sahaja. Apa kata kalau kita nak tambah lagi. Contoh kita tambah gula, susu, dan lain-lain.”

“Ya, orang boleh tambah lagi rempah atau herba untuk melazatkan lagi teh,” sampuk si penanya.

Sambung Maulana, “Kalau kita dah campurkan ramuan lain, kita minum, kita akan dapat teh, gula, susu, kesemuanya sekali. Begitu juga, buat dua belas rakaat, maka akan dapat kesemua ganjaran dua hingga dua belas rakaat sekali..”

“Terima kasih, Maulana!”
Sudahkah kita mengamalkan solat Sunat Dhuha pada hari ini? Ayuh kita ambillah sedikit kelapangan masa untuk kita rebut peluang yang besar ini!

Sayyidina Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil berat menjaga dua rakaat solat sunat Dhuha maka dosa-dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih-buih di lautan.” 
(Hadith Riwayat ibnu Majah)


Rujukan:
Hazrat Syeikh Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi (peny.), (2014). Muntakhab hadith, hadith bab solat sunat, no. 180, m/s 198-199. Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd.: Sri Petaling.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...