BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label remaja. Show all posts
Showing posts with label remaja. Show all posts

Thursday, November 10, 2011

Daurah Perkampungan Ilmu 2011 (DPI '11)


Madrasah al-Khairat Kuching Sarawak mengajak adik-adik dan sahabat-sahabat terutama yang berumur 11 sehingga penuntut universiti untuk menyertai Daurah Perkampungan Ilmu 2011 (DPI '11) yang akan diadakan bersempena dengan cuti akhir tahun persekolahan pada:

Tarikh: 28 Nov - 4 Dis 2011 (7 hari 6 malam)
Tempat: Madrasah al-Khairat, No. 70, Jalan Cempaka, Kampung Pinang Jawa, Kuching.
Yuran:RM 130.00 sahaja

Objektif program ini adalah:
1. Mengenal penyakit hati dan penawar bagi merawat penyakit hati melalui pendekatan menarik Halaqah Akhlak lil Banin.

2. Mempelajari & mengenal adab sebagai penuntut ilmu melalui kitab Imam Abdullah Al-Haddad iaitu Kitab Adab Suluk Al-Murid agar boleh menuju ke arah keberkatan ilmu yang diredhai dan dirahmati Allah.

3. Memperbaiki kaedah solat menurut Mazhab Syafie agar boleh menuju ke arah kesempurnaan solat.

4. Mengimbangi budaya hedonisme dengan berhibur dengan qosidah, di samping mengenal kisah agung para nabi, ulama-ulama, para sahabat & para awlia'.

5. Mewujudkan rasa cinta pada Rasulullah s.a.w melalui mengenal paras rupanya dan sifatnya agar boleh dijadikan ikutan.


Pelbagai aktivi menarik menanti anda. Semoga bermanfaat besar program ini membantu anda memantapkan diri sebagai seorang Muslim, insya-Allah. Sila klik 'Aktiviti Menarik' di bawah untuk membaca lanjut:



Berikut adalah tentatif rutin program yang akan dilangsungkan:


Sedikit pengenalan ringkas tentang Madrasah al-Khairat Kuching, Sarawak. Madrasah ini merupakan institusi yang menyediakan asas Bahasa Arab dan agama kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama, dan merupakan antara institusi yang menawarkan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri Sarawak. Sejak dijalankan lebih kurang dua dekad yang lampau, Madrasah ini telah menjadi pintu kepada ramai pelajarnya berjaya melanjutkan pelajaran ke insitusi pengajian tinggi seperti di Mesir, Indonesia dan Yaman. Pada tahun 2011, seramai 3 orang pelajar Madrasah telah melanjutkan pelajaran ke Hadhramaut, Yaman.

Untuk makluman lanjut, sila hubungi:

Fazrul : 010 - 963 4716
Mimi : 014 - 590 7282

Penyertaan adalah terhad kepada 50 orang sahaja. Disarankan untuk mendaftar awal sebelum kuota penuh. Anda boleh memuat turun pamplet DPI '11 melalui pautan 4shared.com. Sila klik di sini.

Terima kasih atas sokongan padu anda!

Wassalam ;)

Tuesday, March 22, 2011

Semakin Hari Semakin Pandai


Hari ini merupakan hari debaran yang ditunggu. Ribuan pelajar Tingkatan 5 2010 yang telah mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mendapat keputusan masing-masing pada hari ini 23 Mac 2011, Rabu.

Tahniah buat semua warga SPM 2010 yang telah memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagi individu yang mendapat keputusan kurang dijangka, janganlah bimbang. SPM hanyalah tangga yang kecil untuk meraih kejayaan. Menurut pepatah yang masyhur;

"Kegagalan adalah Kejayaan yang ditangguhkan"

Lumrah dunia yang fana' pada hari ini ialah; insan-insan yang sangat berjaya pada hari ini adalah orang yang pada permulaannya penuh dengan kegagalan dan dugaan. Apa yang membezakan mereka dengan yang tidak bernasib baik yang lain ialah, kecekalan dan keazaman yang membara, disusuli dengan usaha yang gigih; tidak terkecuali dengan pertolongan Tuhan.

Cemerlang ataupun tidak SPM bukanlah pra-syarat kepada kejayaan yang hakiki. Bukanlah semata-mata dengan kejayaan SPM yang cemerlang gemilang

Mendengar pengumuman di televisyen pada hari ini, ujarku kepada staf Taski:

Kedengaran daripada peti gambar bergerak itu, "Tahun ini merupakan keputusan SPM yang paling cemerlang dalam 4 tahun kebelakangan ini."



Berkata Kak Hajariah, Pengurus Taski, "Anak-anak sekarang bukan senang nak didik. Zaman kita dahulu lain, zaman awak lain. Zaman anak-anak awak nanti lain."

Aku mengangguk, "Benar, Kak Hajariah. Macam manalah kelak anak-anak saya..."

Kataku lagi, "Dahulu ketika program PMG di UNIMAS, saya teringat TNC UNIMAS berpesan kepada ibu bapa yang hadir ke majlis penangguhan program tersebut. Kata beliau,

'Ibu bapa zaman sekarang tidak seharusnya berfikiran bahawa kerjaya yang cemerlang hanyalah kerjaya menjadi doktor, engineer, peguam sahaja. Sebaliknya, ibu bapa mengukur baju di badan sendiri dengan mempertimbangkan keupayaan dan kebolehan si anak.'"





Program PMG merupakan program Perkampungan Menara Gading Sarawak (PMGS 2011) yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Majlis tersebut telah ditangguhkan oleh YB Datuk Fadhillah bin Yusof, Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sampuk seorang lagi, Kak Jijah berkata, "Anak-anak usah dikongkong kemahuan mereka dalam belajar. Jangan paksakan apa yang kita mahu, kerana yang belajar bukannya kita, tetapi mereka."

Ujarku, "Entahlah... budak-budak sekarang semakin pandai... tapi semakin tidak beradab."

Jawab Kak Hajariah, "Saya setuju dengan awak..."


Sejauh manakah kenyataan ini benar?

Tidak ingin berleter panjang di sini, sila ikuti penjelasan seterusnya dalam entri blog saya terdahulu: Adab Budak Dahulu & Sekarang

Kita fikir-fikirkan...


"Berjasa Kepada Masyarakat"

Monday, April 5, 2010

Adab Budak Dahulu & Sekarang


“Kupohonkan kepada Allah S.W.T agar memberikan kerahmatan, kesejahteraan dan kebajikan kepada guru-guruku yang telah memberikan ilmu pengetahuan sehingga aku tidak terkena emas lancungan ataupun perak lancungan, dan intan disangka batu kelikir.” (Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah)


Saya terkenangkan seorang sahabat yang bekerja sebagai seorang guru sandaran di salah sebuah sekolah di Kuching. Apabila bertanyakan khabar beliau dan kerjayanya, sudah pasti ada cerita menarik akan pengalamannya di sekolah.

Menjadi guru bukanlah semudah yang disangka. Menurut cerita-cerita daripada beliau dan teman-teman saya yang lain terlibat dalam profesion perguruan, saya melihat menjadi guru sebenarnya dibeban dengan pelbagai tanggungjawab, di samping bersabar mendidik anak-anak didiknya dan terkadang karenah pengurusan sekolah yang meletihkan. Ada orang yang menjadi guru oleh sebab tidak ada pilihan kerja lagi selain menjadi guru. Tetapi menjadi guru atas sebab ingin mendidik umat merupakan pengorbanan yang cukup besar bagi seseorang individu. Itulah lumrah diperhatikan. Maklumlah, kedua-dua orang tua juga merupakan guru.


Sahabat saya ini bercerita ketika beliau mengagihkan kembali kertas-kertas ujian. Saya bersama rakan lain mendengar dengan penuh minat. Tidak silap adalah kertas matematik dan sains. Sudah pastinya adalah pelajaran tersebut dipelajari di kelas dan ujian juga adalah dalam medium Bahasa Inggeris.

Beliau menegur dan menasihat seorang pelajarnya yang gagal dalam ujian tersebut. Pelajar itu dipanggil di hadapan kelas dan menjelaskan bahawa ia tidak faham akan matapelajaran yang diajar dalam Bahasa Inggeris. Sahabat saya ini pun berlapang dada dan menasihatinya. Usai sahaja pelajar itu kembali ke tempat duduknya, sahabat saya ini terdengar celoteh kesat daripada bibir pelajarnya tadi.

Beliau bercerita, kami mendengar. Katanya, “Tahu apa yang dia kata?”

Kami pun tertanya-tanya, “Entah. Kami tidak tahu.”

“Tadi dia kata gagal ujian disebabkan dia tidak faham. Setelah dia beredar, boleh lagi dia maki saya dalam Bahasa Inggeris.”

Kami pun terlopong. Tidak menyangka tahap kebiadaban pelajar itu tidak dapat dibendung lagi. Sahabat saya menyambung, “Tahu apa yang saya buat? Saya sudah tidak tahan dengan dia. Kertas dia tadi yang masih di tangan saya, saya gulung-gulung sehingga renyuk.”

Sahabat saya berkata, “Kemudian saya panggil dia dan berkata, ‘Mari sini’.”


Kami terus mengikuti cerita beliau, “Kertas ujian budak yang tergulung di tangan saya, terus saya gunakan untuk menampar kepalanya!”

“Terus saya menegurnya, ‘Awak ini sudah keterlaluan! Awak kata ujian gagal disebabkan tidak faham Bahasa Inggeris! Tapi berani awak maki saya depan-depan dalam Bahasa Inggeris juga!’”

Aduh! Itulah secebis kisah pilu yang didengar. Seorang sahabat lagi, merupakan seorang guru pelatih di Semenanjung Malaysia juga berkongsi perkara yang hampir-hampir sama. Baginya, seolah-olah lebih senang mengajar pelajar darjah satu daripada pelajar tingkatan empat. Itupun, terpaksa menggunakan autoriti ‘garang’ seorang guru. Hendak ditegur sedikit, disaman pula guru. Dibiar pula, makin liar jadinya.


Jika dibanding dengan masyarakat dahulu kala, guru diberikan kepercayaan oleh ibu bapa. Guru mempunyai autoriti untuk mendidik anak muridnya. Walaupun kadang-kadang didikan itu keras, tetapi guru tetap dihormati. Hidup selamat dengan menghormati guru, kerana di situ ada berkatnya. Kerana kita lahir tidak serta merta pandai dalam segala macam hal. Kita kenal dunia, oleh guru. Kita kenal itu dan ini, kerana guru. Kita kenal Tuhan, siapa diri kita; siapa lagi kalau bukan berkat didikan guru.

Teringin sekali berkongsi akan catatan pengalaman seorang cendiakawan silam mengenai adab berguru dan menuntut ilmu. Hanya dalam lanjut usianya, ia sangat berterima kasih akan jasa gurunya, meskipun ia sering dihukum dek kecuian. Tokoh tersebut ialah Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (gelaran beliau Abdullah Munsyi ataupun Munsyi Abdullah), dalam karyanya Hikayat Abdullah.


Bab 3 ‘Belajar Mengaji’ merupakan bab yang paling menarik dalam Hikayat Abdullah Munsyi. Bab ini menerangkan suasana pendidikan di alam Melayu, Melaka khususnya pada zaman beliau masih kecil. Betapa pada zaman itu, ibu bapa memberi kepercayaan kepada sang guru untuk mendidik anak-anak mereka. Guru merupakan insan yang amat dihormati dan diberi sanjungan yang selayaknya. Pada zaman tersebut, ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka kepada guru dengan dua syarat (ketika menyerahkan mereka):

“Tuan, saya minta dua perkara sahaja. Pertama biji mata budak ini, dan kedua, kaki tangannya, janganlah dipatahkan. Lain daripada itu, terserahlah kepada tuanlah.



Pada zaman tersebut, guru mempunyai autoriti yang penuh terhadap anak didik mereka. Merotan, memarahi, menggertak dan menghukum kerana kesalahan adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Abdullah Munsyi meriwayatkan berkenaan dengan sembilan cara hukuman para guru:

“Segala hukuman tersebut boleh dilakukan oleh gurunya di tempat mengaji. Jika anak raja ataupun anak orang kaya melakukan kesalahan, dia boleh dipukul oleh gurunya di tempat mengaji. Walaupun sampai berdarah, guru itu tidak boleh didakwa kerana tujuannya baik, iaitu untuk mengajar.”



Pada awal pendidikannya, Abdullah Munsyi banyak memprotes tindakan ayahandanya dan para gurunya. Tetapi pada lewat usianya, beliau amat berterima kasih dan berhutang budi kepada mereka setelah merasai kemanisan menuntut ilmu. Katanya dalam Hikayat Abdullah beliau:


“... Kupohonkan kepada Allah S.W.T agar memberikan kerahmatan, kesejahteraan dan kebajikan kepada guru-guruku yang telah memberikan ilmu pengetahuan sehingga aku tidak terkena emas lancungan ataupun perak lancungan, dan intan disangka batu kelikir. Kebanyakan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan, tidak menyedari sama ada sesuatu perkara itu baik jahat ataupun salah benar.

Kini barulah aku dapat mengecap manisnya madu yang terpancar dari sarang lebah yang kutunggu sejak kecil. Disengat habis tubuhku dan bengkak-bengkil mukaku. Sekarang kurasa manisnya melebihi daripada segala perkara yang manis. Kebanyakan orang tidak menghampiri sarang lebah kerana takut disengat, tanpa mengetahui faedah madu yang dihasilkan lebah itu.”



Berbeza dengan kira-kira 20 tahun yang lepas, ayah saya merupakan pengetua sebuah sekolah swasta, iaitu Sekolah Menengah Utara. Sekolah ini dahulu terletak di Riam, Miri. Kini tapak sekolah tersebut telah berganti dengan kompleks membeli belah yang sedang dalam binaan (seberang jalan Servay Morsjaya). Beliau, seorang yang berjiwa pendidik mempunyai khazanah kenangan-kenangan yang sangat jarang didapati di tempat lain.


Sebagai pengetua sekolah swasta, ayahanda berhadapan dengan barisan para pelajar yang bermasalah. Setiap hari, ada-ada sahaja kes seperti gaduh dan vandalisme. Pernah satu ketika, ada dua orang pelajarnya bergaduh. Kes itu segera dilaporkan kepadanya. Apakah tindakannya? Beliau membiarkan sahaja. Apabila beliau tiba di tempat kejadian, kedua-dua pelaku masih meneruskan pergaduhan.

Lalu beliau bertanya, “Kamu mahu gaduh? Gaduhlah!”

Pergelutan berterusan sehinggalah kedua-dua pelajarnya itu terguling-guling ke dalam gaung. Beliau hanya memerhati dari jauh. Apabila masanya (di dalam gaung itu), beliau bertanya, “Sudah puas bergaduh? Gaduhlah lagi!”


Akhirnya kedua-dua pelajar itu mengalah dan menghentikan perkelahian. Ayahanda seorang yang dahulunya nakal, mengatasi juga dengan cara yang ‘nakal.’ Walaupun pelajarnya sedemikian, namun mereka mempunyai hormat yang tinggi terhadap guru. Kini mereka adalah kebanggaan ayahanda. Kedua-dua mereka merupakan peguam dan jurutera yang berjaya. Seringkali juga ayahanda bercerita mengenangkan kembali pelajar-pelajarnya yang ‘berolah’ (bermasalah) pada suatu masa dahulu, kini mereka orang-orang yang berjaya. Itulah nikmat seorang guru. Jasanya dikenang sepanjang hayat, dan begitu dihargai oleh anak-anak didiknya yang beradab kepadanya.

Saya sendiri mengajar mengaji, bukan mudah untuk mengawal kanak-kanak riang. Ada yang nakal mendengar kata. Tetapi ada juga yang nakal naik kepala. Terkadang tertanya-tanya; adakah mereka begitu dimanja sehinggakan hilang hormat terhadap guru ataupun orang yang lebih tua? Adakah mereka ini membesar tanpa dididik dengan teguran? Bagaimanakah keadaan mereka ketika besar nanti?


Di manakah silapnya? Di manakah cacatnya? Mengapakah budak-budak sekarang semakin cerdik, tetapi semakin hilang adabnya? Mungkin benar kata Syeikh Rohimuddin al-Bentani dalam Seminar Sufi pada Disember 2009 yang lepas, beliau mengatakan, “Manusia zaman sekarang, ilmunya masih di bulan. Tetapi jiwanya masih lagi Qabil.” Qabil adalah anak Nabi Adam a.s yang ingkar dan derhaka terhadap Allah, manusia pertama yang membunuh manusia yang lain. Hal ini disebutkan oleh Allah dalam Surah al-Ma’idah (juzu’ 6) ayat 26-31.

Saya ajukan pertanyaan ini terhadap ibu, mengapakah budak zaman sekarang sangat cepat berubah, bahkan semakin biadab pula? Orang dahulu ada yang nakal, tetapi mereka tetap hormat terhadap guru.

Ibu saya menjawab, “Orang dahulu sangat menjaga adab pergaulan, anak-anak dididik hatta ketika sejak kecil lagi apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua. Datuk kamu dahulu, apabila tetamu datang, beliau menyuruh kami masuk ke dalam.”

“Kamu dahulu ketika kecil, apabila tetamu datang, mak buat perkara yang sama.”

Saya pun berasa hairan, lalu bertanya kembali, “Mengapa ya? Hairan...”

“Itulah cara orang dahulu sangat menjaga adab. Anak-anak dididik sedemikian supaya tertanam rasa hormat terhadap orang lain. Nanti macam mana pula, menyampuk kata-kata orang tua. Kalau sejak kecil terbiasa, macam mana pula sudah besar nanti?”


“Benar juga,” balas saya. Begitu halus orang dahulu kala menjaga adab pergaulan. Sehinggakan, sekecil-kecil perkara apabila tamu datang ke rumah. Jika ya benar berkesan kata-kata ibu ini, adakah amalan ini dipraktikkan oleh ibu bapa zaman ini? Ataupun dipandang sebagai kuno dan dibiarkan ke tepi?

Di manakah berkat anak-anak zaman ini jikalau tidak ada hormat dan sanjungan terhadap guru? Apakah makna hidup ini tanpa berterima kasih kepada orang yang mendidik mereka? Bagaimanakah pula adab mereka dalam 10, 20, 30 ataupun sehingga akhir nyawa mereka?

Mungkin orang-orang dahulu tidaklah dapat berbangga dengan bangunan-bangunan besar mencakar langit, berkereta nasional, punyai parabola Astro; namun keunggulan akal, ketinggian budi dan adab mereka sukar dicari ganti, bahkan sukar sekali ditandingi. Mengapakah kita dalam era moden ini tidak terjangkau keluhuran budi seperti demikian? Mungkin kerana satu sebab yang tidak ada pada kita hari ini: keanggunan adab mereka terhadap guru.

Sama-sama kita renung....

Ya Allah, jadikan aku manusia beradab dan bersyukur terhadap pendidikku!
Ya Allah, jadikan generasi mendatang ini generasi yang beradab kepada guru-guru mereka!
Ya Allah, engkaulah yang membolak balikkan jiwa-jiwa hamba-Mu!
Maka perkenankanlah, wahai Tuhan!

Berjasa Kepada Masyarakat


Artikel ini telah direspon oleh sdr. Abdul Muntaqim bin Zulkipli di blog beliau di pautan ini, dengan tajuk Memahami Masalah Adab Pelajar.


Rujukan:

Hamzah Hamdani, (2007). Hikayat Abdullah. PTS Publications & Distributors: Gombak

Wednesday, November 18, 2009

Awal Remaja & Peranan Tokoh: Pencetus Inspirasi Luar Biasa


Beberapa minggu yang lepas, saya telah berpeluang bersama rakan-rakan PKPIM mengunjungi saudara seakidah berbangsa Turki di kediaman mereka di Taman Melati. Mereka telah menetap di Kuala Lumpur selama 2 tahun, menyahut panggilan dakwah daripada Tuan Azam (mantan Presiden ABIM). Mereka merupakan wakil daripada kumpulan Khairat pengikut aliran gerakan Syed Nursi Badiuzzaman. Syed Nursi (1875-1960) merupakan seorang mujaddid sufi yang berpengaruh di Turki pasca kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 1922. Beliau telah memainkan peranan penting dalam menyelamatkan umat Islam di Turki daripada dimusnahkan oleh sistem sekular setelah khilafah tumbang.

Saya sebelum ini pernah berinteraksi dengan orang-orang Turki. Tetapi inilah pertama kali mengenali mereka dengan lebih dekat dalam bahasa ibunda. Hal yang mengagumkan saya ialah, mereka amat fasih berbahasa Melayu. Mereka mengatakan bahawa mereka masih lagi ‘terkapak-kapak’ (belum fasih) tetapi terpegun mereka sudah memahami konteks bahasa serta budaya Melayu sekaligus.

Semasa dalam perjalanan dari Kampung Chinchin, Gombak, seorang rakan telah memberitahu bahawa saya seorang penulis. Saya dengan rasa penuh semangat telah menyatakan minat yang mendalam sejarah yang gemilang orang Turki. Mereka pernah memimpin dan mempertahankan umat Islam selama beberapa abad. Malah saya telah menyatakan hasrat untuk menulis siri novel fiksyen sejarah mengenai suka duka umat terutama zaman keemasan tersebut, dan kini sedang mengumpul bahan untuk tujuan itu.


Sultan Muhammad al-Fateh ke Konstatinopel, 1453

Mereka begitu hairan, mengapakah saya begitu bersemangat mempelajari sejarah bangsa mereka. Saya menjawab, “Penerbit saya, PTS Publication telah menerbitkan sebuah novel mengenai seorang pemimpin agung umat Islam pada suatu zaman dahulu iaitu Sultan Muhammad al-Fatih.”

“Baginda merupakan sultan yang ketujuh Daulah Uthmaniyyah. Baginda ingin mengabulkan sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, yang mengatakan bahawa Konstatinopel akan dibuka oleh sebaik-baik tentera yang dipimpin oleh sebaik-baik pemimpin.”



Mereka khusyuk dan sabar mendengar penjelasan saya. “Testimoni daripada novel ini ialah, seorang remaja berusia 13 tahun telah membacanya sebanyak tiga kali. Dan perkara yang mengejutkan ayahnya ialah, remaja ini nekad untuk menjadi jeneral tertinggi Angkatan Tentera Malaysia suatu masa kelak mengulangi kegemilangan Sultan Muhammad al-Fateh.”


Pertempuran Varna, 1444. Sultan Murad II (ayahanda Sultan Muhammad al-Fateh) mengalahkan Raja Hungary, Janos Huyandi

“Sebenarnya, kejayaan-kejayaan orang-orang Islam pada zaman dahulu menjadi inspirasi yang kuat buat kami di sini di Malaysia. Orang Turki sebagai contoh, sebagai orang yang pernah menaungi umat Islam yang dipimpin oleh sultan dan tentera yang hebat serta mempertahankan umat Islam daripada serangan-serangan musuh. Mereka adalah
figur-figur yang menjadi kebanggaan dan semangat bagi kami di sini.”

“Kerana umat Islam itu adalah satu. Kita berkongsi bersama akan kekuatan-kekuatan yang lampau. Kebanggaan orang Turki, kebanggaan kami juga sebagai umat Islam.”

Kapal Goke Daulah Turki Uthmaniyyah

Rakan-rakan saya ini terdiam dan seolah-olah tidak percaya akan kata-kata saya. Mungkin juga di luar dugaan mereka bahawa umat Islam setempat memandang tinggi peranan yang pernah dimainkan. Mereka tidak begitu mengulas panjang berkenaan hal ini. Disebabkan saya terlalu ingin mendengar pengalaman dan ilmu mereka, maka saya pun mengalah. =)

“Sebenarnya golongan sekular gagal dalam berpuluh-puluh rancangan mereka mahu menghapuskan Islam. Sebaliknya, umat Islam Turki tetap berpegang teguh dengan agama mereka. Syed Nursi telah bermati-matian mempertahankan mereka untuk berpegang kepada Quran dan sunah melalui dakwahnya. Bahkan, kini Islam semakin menguasai pelbagai bidang, termasuk arena politik.”

Mustafa Kamal Attarturk, pengkhianat peranakan Yahudi yang menukarkan Daulah Uthmaniyyah yang berteraskan Islam kepada Republik Turki sekular Barat

Saya membalas, “Sepanjang sejarah, setakat pembacaan saya, tentera yang dikuasai oleh Yahudi telah melancarkan kudeta (coup d’etat) dua kali kerana begitu takut berlaku kebangkitan Islam melalui reformasi semula kerajaan.”

Saudara Abdullah menjawab, “Benar, tetapi golongan sekular sebenarnya semakin kehilangan kuasa dan pengaruh. Islam semakin menang meskipun terpaksa memakai pakaian sekular.” Kami begitu asyik dengan pelbagai topik perbincangan. Tidak sedar rupanya telah tiba di destinasi.

Khazanah tinggalan Katib Celebi, peta dunia pada abad ke-17. Laksamana Piri Reis telah memetakan seluruh benua Amerika pada 1513 tika Eropah heboh Christopher Columbus menemui sebahagian kecil Amerika yang disilap sangka pula sudah sampai ke India

Pada suatu hari yang lain, saya telah berdialog dengan seorang rakan. Lalu saya menceritakan interaksi yang menarik tersebut. Beliau pun turut berkongsi, bahawa betapa pencapaian sejarah oleh umat lampau sebenarnya sumber inspirasi yang luar biasa. Beliau berkongsi bahawa pendedahan tokoh-tokoh yang memberi motivasi yang kuat ini kepada golongan awal remaja boleh memberikan impak yang besar kepadanya suatu hari kelak. Kerana apabila telah mengenali kekuatan sebenar akan mengangkat keyakinan yang tinggi justeru berusaha bersungguh-sungguh kepada matlamat tersebut. Bukannya kepercayaan kepada diri seperti yang dicanang oleh Barat, tetapi kekuatan sebenar yang menyandarkan keupayaan secara total kepada Pencipta kita, Allah S.W.T



Perkara ini saya rasakan benar, kerana berlaku kepada diri saya sendiri. Betapa figur-figur masa lampau memberikan kesan kepada pembangunan jati diri dan rohani saya sebagai seorang Muslim. Namun demikian, perjalanan saya berlaku lebih kurang seperti bakal jeneral ATM 13 tahun tadi, tetapi saya telah bermula lambat sedikit berbanding remaja lain. Saya berpendapat mungkin juga disebabkan sumber bacaan sedemikian amat kurang berada di pasaran. Oleh yang demikian, titik temu itu agak lambat sedikit. Saya percaya mungkin lebih ramai yang mempunyai pengalaman yang lebih menarik ataupun hampir-hampir serupa.

Pengalaman mengenali jati diri saya dapat dibahagikan kepada tujuh fasa, yang merangkumi 8 tahun. Analisa pengalaman ini merupakan lanjutan daripada kisah-kisah saya terdahulu, tetapi kali ini dalam sudut pandang yang berbeza.


1.Fasa Satu (9 tahun, 1994):

Saya seorang budak yang kuat berangan-angan. Sejak awal-awal lagi sangat peka terhadap apa-apa yang berkaitan dengan pesawat ataupun perang. Seingat saya terus melakarkan gambaran peperangan pada buku lukisan ketika Perang Teluk 1991.
Satu peristiwa yang memberikan pengaruh yang agak besar ialah ketika menonton filem P. Ramlee ‘Sarjan Hassan’. Saya menonton bersama Ngah Zakiah. Saya masih ingat, ketika Jepun menyerang Pearl Harbour (Pangkalan Tentera Laut AS, 1941), beliau telah berkata, “Orang Jepun hebat. Mereka handal berperang.”



Melihat pesawat-pesawat kogeki-ki dan kanjo bakugeki-ki menyerang Tentera Laut AS, timbullah kegaguman saya terhadap tentera Jepun. Khayalan menjelma apabila Ayah membawa ke Perpustakaan Miri. Budak yang kuat berangan ini melakarkan ilustrasi berkenaan pesawat Jepun sahaja daripada buku-buku yang digarapnya. Kerana saya tidak ada jalan lain untuk meluahkan perasaan. Ia tahu meminta mainan ataupun ataupun game ataupun model jauh panggang dari api. Pada peringkat umur ini, saya langsung tidak tahu menahu lagi berkenaan dengan sejarah Islam.


2.Fasa 2 (9 tahun, 1994):

Fasa 2 merupakan kesan lingkungan pengaruh persekitaran mengapakah saya terus mengagumi tentera Jepun. Faktor ini sangat berkait rapat dengan pengalaman oleh mereka yang terdahulu.

Pada September 1994, kami sekeluarga telah menziarahi saudara di Kuching. Itulah kali pertama saya berada di sana. Apabila dibawa ke Muzium Polis (Fort Margherita), maka melompat-lompatlah budak gempal ini melihat mesingan, senapang dan lain-lain. Barang-barang tinggalan Jepun menjadi perhatian utamanya.

Tentang senapang, raifal dan mesingan, Ayahanda sempat juga bercerita, “Masa kecik dolok bapak suka main perang dengan kawan. Sekali ya, kamek urang njumpa senapang benar ditanam oleh Jepon dolok dibah rumah (Semasa kecil dahulu, Ayah suka bermain perang dengan kawan-kawan. Pernah suatu ketika, kami terjumpa banyak senapang sebenar yang pernah ditanam oleh tentera Jepun dahulu di bawah rumah).”


Apa lagik, suk lah kamek urang. Perang menar-menar. Bukan pakei lestik dengan senapang buloh. Tapi senapang menar-menar (Apalah lagi yang lebih menggembirakan kami sekawan. Kami 'berperang' seakan-akan benar, bukan lagi menggunakan lastik ataupun senapang buluh.).”

Ya lah Roah Nek Leh (semoga Allah merahmatinya – al-Fatihah) heran. ‘Mengapa kian kamu anek? Astaga, mana kamu belurih senapang anek!!!’. Abis kamek urang kenak marah (Apaila Arwah Nek Leh melihat kami bermain, beliau menjadi hairan, kami bermain dengan senapang sebenar. Beliau memarahi kami).”

Adakalanya Ayahanda mencelah ketika melengkapkan putaran ruang pameran muzium, “Nek Leh kitak dolok pernah jadi kempetai. Ada baju (uniform) nya di rumah di Limbang (Nek Leh kamu dahulu pernah jadi kempetai. Ada uniform beliau di rumah kami di Limbang).” Saya belum mengetahui apakah itu kempetai. Tetapi saya mengagak sahaja beliau pun turut bersama mereka. Moga Allah ampuni dosanya, mungkin dia terpaksa ketika itu.

Lebih kurang pada tahun yang sama, saya menjumpai buku Tumpasnya Inggeris di Tanah Melayu di Perpustakaan Miri. Saya kira buku inilah ‘karya’ pertama saya. Dalam keadaan terdesak oleh sebab tidak mengetahui bahawa buku perpustakaan boleh disambung tempoh pinjamannya dan tidak mengetahui apakah itu mesin fotostat, maka saya telah berjaya menyalin buku tersebut dalam masa dua minggu.



Salinan’ buku pertama saya, Tumpasnya Inggeris di Tanah Melayu.
Terharu juga mengenangkan, nenda Allahyarham Nek Morni@Aji (semoga Allah merahmatinya – al-Fatihah) pernah menegur cucunya yang pelik pada suatu pagi bersarapan, “Apa dipolah kitak ya (Apa yang awak buat)?”

Kanak-kanak yang gempal itu tersipu-sipu kerana ia bukan bermain, tetapi membuat sesuatu yang mungkin ditertawakan orang. Tiba-tiba Ngah Zakiah menjenguk lalu mengusik, “Aih, nulis buku eh!”

Budak itu pun menutup kerjanya kerana malu. Matanya menjeling sehingga Ngah Zakiah berlalu. Nenda pun menegur, “Kau tok eh... iboh dikaconya (Awak janganlah ganggu dia).”

Kemudian ia menyambung kerjanya. Ia menulis dengan pensel, kemudian ditekap dengan pen hitam. Kemudian ia memadam bekas pensel dengan ‘rubber.’ Gambar yang dilukisnya (sebagai tambahan kepada ilustrasi yang ada ataupun diubahsuai) diwarnakan setelah bekas pensel dipadam. Nenda ketawa kecil, sambil menegur, “Oh, kitak tulis cerita tentang urang Jepun (Oh, awak tulis cerita tentang Jepun).”

“Ninek ingat dolok ninek di Merudi’ masa Perang Jepon. Nampak asap itam tinggi angus di Lutong. Asap ya boleh nampak dari Merudi’ (Nenek* ingat dahulu di Marudi semasa Perang Jepun. Nenek nampak asap hitam tinggi akibat kebakaran di Lutong**. Asap boleh nampak dari Marudi).” Perhatian budak itu teralih daripada kerjanya.

Gambar: Setiap kubu Inggeris ialah Fort Margherita

Nenda menyambung, “Masa Jepon di Merudi’, ninek kerja dengan sidaknya jadi mekanik. Nang pandei urang Jepon tok (Semasa di Marudi, nenek bekerja dengan Jepun sebagai mekanik. Mereka memang pintar).” Itulah kalimah yang dinanti-nanti budak ini!

Kata nenda lagi, “Ninek ingat sidaknya ngator radio (Nenek ingat mereka sedang membaiki radio).” Sambil-sambil itu nenda menceritakan bagaimanakah orang Jepun itu menyambung wayar-wayarnya sehingga radio itu berfungsi. Memang budak itu tidak faham. Tetapi kekagumannya melonjak bagaikan menaiki lif.

Nenda bercerita lagi, “Lekak perang, Ninek dengan urang puteh (Selepas perang, Nenek bersama orang putih).” Mendengarkan cerita orang Jepun sudah tamat, maka minatnya mula terhakis. Tambahan pula dia sedang menyalin tentang ‘Inggeris tumpas.’

“Masa ya Jepon dah kalah.(Ketika itu Jepun telah kalah)” Kata budak itu dalam hati, marah-marah pula, “Jepun hebat, mengapa pula kalah?”

Ninek dengan urang puteh mok madam api di telaga minyak Lutong. Macam-macam polah daknya, pandei daknya. Ngkah bomlah, macam-macam pun sik jadi. Kakya... (Nenek bersama orang putih memadam api di telaga minyak Lutong. Bermacam-macam usaha mereka memadamkan api. Mereka bijak. Pelbagai cara telah mereka cuba).”

Begitulah saya, kerana persekitaran menyebabkan diri ini obses mempertahankan keyakinan, walaupun tidak lagi mengetahui realiti perlakuan para penjajah, termasuk bangsa Jepun sendiri.


3.Fasa 3 (9 tahun – 11 tahun; 1994-1996):

Kehidupan saya semasa kecil tidak dimanja dengan mainan-mainan seperti kanak-kanak lain yang boleh mendapat apabila dihajat. Ibu pula disifatkan oleh Ngah Zakiah dengan nada bergurau ‘agak autokratik lagi kuku besi’. Kehidupan hanyalah terletak kepada membaca buku teks dan membuat latihan. Apatah lagi meminta mainan.

Tetapi Ayahanda memberi imbangan yang lain pula. Pada setiap minggu beliau membelikan majalah dalam bahasa Inggeris, Finescale Modeler, Take Off dan Images of War. Beliau (mencarikan) dan membelikan majalah yang telah ditanggalkan kulitnya, justeru dijual murah. Majalah Finescale Modeler merupakan majalah berkenaan dengan kit model (yang disusun menjadi diorama menarik), Take Off ialah dunia pesawat dan Images of War ialah berkenaan dengan pertempuran Perang Dunia Kedua (1939-1945).

Melalui majalah-majalah inilah yang telah menambahkan khayalan-khayalan saya. Oleh sebab tidak ada saluran lain untuk meluahkan, maka majalah-majalah ini memperkaya isi komik yang pertama, iaitu Dunia Perang (jilid 1).


Komik pertama saya, Dunia Perang I seorang jeneral Nazi Jerman berang pangkalannya dibom oleh Tentera Udara Amerika (USAF)

Melalui majalah tersebut, saya telah mengenali satu lagi bangsa yang memberi kesan yang sama seperti kekaguman terhadap bangsa Jepun, iaitu bangsa Jerman. Tambahan lagi, Ayahanda selalu bercerita mengenai Hitler, seorang negarawan dan pemimpin yang telah membangkitkan orang Jerman dan mencapai banyak kemenangan dalam perang. Dan, mereka memiliki teknologi dan tentera yang hebat. Saya lebih mengenali Hitler dan Jeneral Erwin Rommel daripada mana-mana tokoh ketika itu.

Diorama Flames of War menunjukkan model aksi ketumbukan Divisyen-SS Panzer (armor) VI ‘Tiger’ dan infantri; Rusia, 1944

Suasana seperti ini telah mencorakkan pemikiran saya iaitu saya telah membuat kesimpulan bahawa orang yang telah mencapai kejayaan yang gemilang ialah bangsa Jepun dan Jerman. Hal ini begitu menonjol dalam karya. Kebanyakan hero adalah orang Jerman dan Jepun yang ‘anti-Amerika/British.’ Setakat ini, langsung belum ada interaksi dengan apa-apa yang berkaitan dengan Islam.


4.Fasa 4 (11 tahun, 1996):

Pada tahun 1996, keluarga telah memiliki komputer peribadi yang pertama. Ayah telah membelikan game simulator yang pertama saya iaitu Jane’s Combat Simulation USNF ’97 (US Navy Fighter). Sebagai seorang yang menggilakan pesawat, maka itu adalah durian runtuh bagi saya. Bermain bermakna akan menambahkan rasa ingin tahu dengan membaca majalah-majalah. Apabila membaca majalah, maka khayal pula membayangkan dan dieksperimen dalam game. Kedua-dua ini Saling berkait rapat. Akhirnya tabiat membaca semakin subur, meskipun majalah berbahasa Inggeris.



Tahun 1996 telah membuka interaksi saya kepada satu bangsa lagi: Rusia. Melalui pembacaan daripada ruangan rujukan pesawat dalam game, saya telah mendapati bahawa Rusia juga memiliki kekuatan teknologi yang mampu menandingi Amerika. Dalam USNF ’97, saya telah mengenali pesawat Sukhoi dan MiG. Reputasi juruterbang handalan Vietnam berhadapan dengan pesawat AS telah membuktikan mereka juga hebat. Interaksi dua-hala game-majalah telah membuatkan saya semakin ketagih mencari dan terus mencari.



Khayalan ini berlanjutan sehinggalah Ayahanda membelikan satu lagi simulator yang lebih baik, iaitu Jane’s Combat Simulation: ATF Gold (Advanced Tactical Fighter). Tidak cukup setakat game-majalah, maka lahirlah komik Perang Vietnam (saya masih tidak menjumpai helaian komik tersebut).


5.Fasa 5 (12-13 tahun, 1997-98):

Fasa ini merupakan fasa transisi dalam pemikiran. Fasa ini menyaksikan peralihan alam sekolah rendah kepada sekolah menengah. Fasa ini telah mendedahkan beberapa realiti yang telah lama bertapak dalam fikiran saya. Sekian lama memiliki kekaguman terhadap bangsa (yang beragama) lain, maka dalam fasa ini telah meretakkan utopia selama ini.

Pada tahun 1997 (selepas UPSR), saya telah berpeluang bermain game Red Alert. Game ini merupakan game yang paling popular kerana konsep mempunyai revolusi daripada game sebelumnya. Game ini membawakan latar konfrontasi antara Barat/Amerika dengan Soviet Rusia. Kerana sentimen anti-Amerika yang menebal, maka selalulah bermain di pihak Rusia sahaja.



Melalui game inilah telah menyingkap banyak realiti yang mengejutkan. Masakan, pertama kali dalam bermain game disuruh membunuh orang kampung dan jangan diambil tawanan, menjajah bumi orang lain, membunuh kawan sendiri, pertumpahan darah yang banyak dan banyak pertentangan dengan persoalan moral.

Satu soalan yang diajukan kepada saya oleh kakak, “Eh, bukankah itu Stalin? Awak tahu siapa Stalin?” Persoalan itu telah menimbulkan keraguan. Selama ini selalu sahaja berbangga terhadap orang Rusia (wakil orang Timur) dan anti-Amerika. Walaupun begitu, saya telah mengekspresi khayalan game kepada bentuk komik yang diberi nama Red Alert.

Sedutan komik ke-6 saya, Red Alert

6.Fasa 6 (14 tahun, 1999):

Tingkatan 1999 merupakan tahun ‘revolusi’ kepada diri. Bahkan, tidak keterlaluan, tahun tersebut telah banyak memberikan pengaruh sehingga hari ini. Ketika ini saya dalam tempoh mencari identiti diri. Bertolak daripada ini, guru berperanan penting dalam menyemai dengan benih-benih bahawa pentingnya berpegang kepada agama Islam yang unggul, sebagai cara hidup dan satu-satunya sumber kepda kejayaan. Saya amat berterima kasih kepada guru-guru yang telah memberikan pengaruh yang amat besar kepada diri saya; terutama Cikgu Mahadir.

Benih-benih itu telah dibiarkan subur di rumah Allah yang menyimpan banyak kenangan kepada saya, Surau al-Hidayah, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Tanjung Lobang, Miri. Tidak dilupakan juga kepada guru-guru yang telah mendidik langsung batch kami terutamanya; iaitu yang berbahagia Cikgu Roslan, Ustaz Fauzi dan Ustaz Afendi.

Sedikit demi sedikit, tersingkap tabir-tabir kesedaran, bahawa Islam adalah masa depan saya. Islam adalah kekuatan saya. Dan Islam telah membentuk masa lampau yang gemilang. Memandangkan pemahaman dalam berbahasa Inggeris bertambah baik, maka beberapa majalah Images of War telah menyingkap wajah sebenar pemain-pemain masa lampau. Saya telah mengetahui perlakuan zalim tentera Jepun atas taklukannya, Hitler dengan jutaan nyawa dikorbankan dan Rusia pula menjajah serta menindas umat Islam di Chechnya dan Afghanistan. Siapakah Jepun, siapakah Jerman, siapakah Rusia? Siapakah mereka sebenarnya? Siapakah diri saya? Saya seorang Muslim!

Surau al-Hidayah, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang

Fasa ini diterapkan akan prihatin mengenai umat dan peri pentingnya punyai wawasan untuk bertindak. Permasalahan di Palestina, Afghanistan, Kashmir, dan terutama sekali Chechnya telah menanamkan jihad untuk bersungguh-sungguh merubah dalaman diri dan rakan-rakan. Kesannya adalah, semangat dan kesedaran secara kolektif mewujudkan bi’ah (suasana) yang mendorong untuk cemerlang dalam akademik diimbangi dengan menjaga amalan serta dihiasi dengan akhlak yang terpuji.


7.Fasa 7 (16 tahun, 2001):

Fasa ini merupakan penerusan daripada Fasa 6. Tidak keterlaluan, jika Fasa 6 adalah yang paling kritikal dalam membentuk peribadi dan jati diri. Fasa 7 menjuruskan kepada skop pemahaman yang lebih luas. Bermula daripada 16 tahun (Tingkatan 4), barulah saya mengenali bahawa Islam telah membina tamadun yang gemilang (melalui subjek Sejarah Dunia). Barulah terbuka minda apabila mengenali tokoh-tokoh yang lampau, terutamanya Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Sulaiman al-Qanuni di perpustakaan sekolah.

Tambahan lagi, ‘penemuan’ buku STPM sejarah peradaban Islam telah membuka ruang lingkup yang lebih besar, bahawa agama Islam telah membina tamadun yang begitu hebat yang bertahan selama lebih 1000 tahun.

Pertempuran Hattin, 1187

Cerita penawanan Constatinople pada 1453 menjadi sebutan ahli PPIK (Persatuan Pelajar Islam Kolej) setelah animasi Sultan Muhammad al-Fateh ditayangkan. Yang berbahagia Ustaz Afendi (selamat pengantin baru... hehehe) telah menayangkan animasi berkenaan Sultan Muhammad al-Fateh pada Malam Kegamaan dalam bahasa Arab. Makna dialog diterjemahkan sedikit demi sedikit oleh yang berbahagia Ustaz. Saya telah diberi penghormatan (ketika itu masih Tingkatan 4) untuk mengulas mengenai Daulah Turki Uthmaniyyah kepada penghuni al-Hidayah.

Maka dengan kesedaran bahawa Islam adalah satu-satunya jalan penyelesaian, maka tokoh-tokoh yang bersinar dalam lipatan sejarah inilah yang telah menjadikan bukti bahawa Islam membawa kepada kejayaan.

Pertempuran Preveza, 1538 (Donanma-yi Humayun vs Armada Sepanyol, Kesatria Pendita St John, Genoese & Venice)

Mungkin saya tidak bernasib baik telah mendapat inspirasi seawal bakal jeneral kita. Pasti ada hikmahnya. Dengan melalui pelbagai jalan yang ditempuh, membuatkan kita lebih menghargai dengan nikmat yang lebih besar dikurniakan kepada kita sekarang. Mungkin juga dek pengalaman yang lalu memberikan petunjuk ataupun formula yang terbaik untuk generasi mendatang. Agar mereka dapat melalui jalan yang lebih terang dan telah dibuang duri-durinya; yang mungkin membantu mereka berjalan dengan lebih jauh daripada apa yang kita sangka.

Secara kesimpulannya, role model memainkan peranan yang penting buat seseorang terutamanya Muslim, khususnya pada umur awal remaja. Saya berpendapat pada umur tersebut, (dan ada juga pendapat mengatakan bahawa) umur 14 tahun merupakan fasa yang amat kritikal dalam membentuk jati diri dan pandangan alam seseorang. Ia mencari siapakah dirinya, siapakah yang boleh diturutinya, siapakah yang telah berjaya, apakah erti kewujudannya di muka bumi ini dan persoalan-persoalan asas yang lain.

Sultan Muhammad al-Fateh

Dalam konteks ini, sejarah silam yang gilang gemilang amat penting ditimbulkan kembali. Bintang-bintang umat Islam yang bergemerlapan harus digilap daripada khazanah-khazanah lampau yang menyimpan banyak rahsia. Kerana mereka adalah bukti paling praktikal bahawa tidak mustahil untuk mencapai sesuatu yang ideal iaitu sesuatu yang diredhai Allah.

Oleh yang demikian, penulis memainkan peranan yang amat penting. Bukan sekadar membangkitkan semangat keperibadian dan jatidiri Muslim melalui peribadi tokoh, tetapi juga diiringi dengan adab dan ilmu yang bermanfaat. Iaitu ilmu yang membawa diri dan pembaca bersama-sama dalam berjalan menuju Allah. Kita petik kata-kata hikmah Syeikh ibnu Atho’illah as-Sakandari, beliau mengatakan, “Sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang disertai dengan rasa takut kepada Allah.”


Miri

Tugas ini berat sekali. Tidak sabarku kembali dan mencurah bakti di tanah air. Di sanalah sumber kekuatan, sumber inspirasi; kerana segalanya bermula dari sana...

Semoga Tuhan mengabulkan permintaanku...

Berjasa Kepada Masyarakat
Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu



*Dalam konteks masyarakat Melayu-Islam Sarawak, datuk digelar juga sebagai ninek@nek laki

**Marudi merupakan pusat pentadbiran dan ekonomi pada era British. Marudi merupakan tumpuan kediaman orang Islam. Tempat ini terletak 3 jam dari Kuala Baram Miri dengan menaiki bot ekpres.

Entri yang berkaitan:
Arkib Karyaku
Sejarahku Menulis: Rupa-rupanya 14 tahun yang lampau!
Sejarahku Menulis: Harganya Bukan RM2

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...