BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, December 27, 2011

[Buku] Perjalanan Terindah Menuju Kecintaan Rasulullah s.a.w


Akulah yang sangat cintakanmu,
Suatu hari di mana aku dapat melihatmu,
Maka itulah hari rayaku.

~Imam Ahmad al-Badawi


Saya tidak tahu bagaimanakah dapat memperkenalkan buku ini dengan baik. Ini kerana saya tidak keruan bermula daripada mana. Buku ini meskipun nipis ketebalannya, kecil rupanya, tetapi mengandungi makna yang besar: iaitu mengenai kecintaan terhadap seorang yang mencintai umat ini dengan sesungguhnya, iaitu Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Akan tetapi apabila merasakan buku ini peri mustahak untuk dihayati, maka saya ceritakan semampunya.

Buku ini berjudul ‘Perjalanan Terindah Menuju Kecintaan Rasulullah s.a.w.’ Buku ini ditulis oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin, terbitan Pelima Media Sdn. Bhd. Beliau merupakan seorang lulusan Universiti al-Azhar dan berguru kepada ramai ulama. Di Sarawak, lazimnya buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku POPULAR ataupun MPH.

Sungguh, kemunduran dan penderitaan umat masakini dalam segenap bidang bukan semata-mata berakar umbi akan kekeliruannya terhadap ilmu, akan tetapi juga jauhnya kecintaan umat ini kepada sumbernya. Iaitu kecintaan kepada Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, seorang Rasul, yang diturunkan kitab al-Quran kepadanya.

Buku ini menyuburkan akan kefahaman kepada kita betapa besarnya pengertian akan cinta kepada Rasulullah s.a.w berlandaskan garis syarak yang ditentukan. Buku ini mengupas keperluan yang mendesak ini berpandukan kepada huraian daripada ulama yang muktabar. Betapa kecintaan kepada Rasulullah s.a.w ini amat berhajat kepada ilmu mengenai baginda. Dengan mengetahui, maka timbullah cinta. Amat padanlah dengan pepatah indah bangsa Melayu:

“Tidak kenal maka tidak cinta.”


Jika dalam ungkapan positifnya, kenal maka cinta! Menyebut bahawa hidup sebagai Muslim semata-mata tunduk patuh adalah kurang tepat pemahamannya. Bahkan, hidup ini adalah dengan cinta. Cinta kepada Rasulullah s.aw bermakna cinta kepada Allah.

Disebutkan oleh Tuan Guru, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, penasihat Yayasan Sofa ketika program Kuching Berselawat pada 18 Mac 2011 yang lalu, beliau menyentuh bahawa hidup sebagai Muslim bukanlah kepatuhan semata-mata, bahkan kerana cinta. Ini kerana kedua-dua kepatuhan itu berbeza. Beliau telah menyeru umat Islam sepatutnya memperuntukkan sebahagian waktu kita untuk mempelajari, menghayati dan memperkatakan Sirah kehidupan baginda s.a.w, agar terbitnya cinta kita kepadanya. Dengan itu, datanglah keberkatan dalam kehidupan kita.
Atas: Majlis Mawlid ad-Daiba'... Manifestasi mahabbah kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan amalan tradisi para ulama seluruh dunia. Gambar merupakan kenang-kenangan majlis tersebut bersempena Daurah Perkampungan Ilmu 2011 yang dianjurkan oleh Madrasah al-Khairat, Kuching pada 28 November sehingga 4 Disember 2011

Sebuah analogi telah dihuraikan oleh Tuan Guru yang dikasihi, Ustaz Syed Mohamad bin Alwi al-Attas (Habib Mohamad al-Attas, mudir Madrasah al-Khairat, Kuching) bagi mengupas konsep patuh dan cinta tersebut. Beliau memberikan analogi antara patuh dan cinta tersebut dengan hubungan antara kita dan pemimpin serta undang-undang negara. Sesebuah negara ditadbir berlandaskan undang-undang. Adakah kita patuh kepada pempimpin dan undang-undang tersebut? Ya, kita patuh. Tetapi kepatuhan itu diiringi dengan cinta? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak. Jika patuh akan pemimpin dan undang-undang walaupun tidak dengan cinta sekalipun, maka kita tetap menjadi seorang yang baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Apabila berbicara soal cinta, apakah reaksi pecinta kepada yang dicintai? Tentunya ia akan patuh segala permintaan yang dicintainya. Bahkan, kerana kehebatan cintanya itu, ia sanggup melakukan pengorbanan demi mengharap balasan cinta. Boleh jadi melebihi curahan sang pencinta itu melebihi daripada sepatutnya, mungkin nyawa dipertaruhkan! Begitulah kita terhadap Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sebagai seorang yang hidup teratur dengan agama Islam. Jika maksud mereka tidak dapat difahami dalam hal ini, saya memohon maaf kerana itu adalah kelemahan dan kekurangan saya menyampaikan tersebut. Allahu’alam.

Hidup sebagai seorang Islam ini indah, cantik dan mekar dengan cinta, cinta dan cinta...

Saya mengesyorkan agar membaca buku ‘Perjalanan Terindah Menuju Kecintaan Rasulullah s.a.w’ ini sebagai mukadimah permulaan kita menuju kepada Mahabbah (kasih, cinta, rindu akan) Rasulullah s.a.w. Bahawa kecintaan kepada Baginda ini akan membuahkan rasa rindu kepada baginda. Sesungguhnya rindu kepada baginda itu merupakan nikmat yang besar yang tidak terungkap dengan kata-kata... sehinggakan para alim ulama yang muktabar telah menukilkan ribuan syair-syair yang indah mengungkapkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Bagindalah pemberi syafaat pada Hari Kiamat kelak. Sungguh, kita berhajat kepada pertolongan baginda s.a.w ketika tidak berguna saat itu harta dan anak-pinak kita. Dengan selawat dan ikutan kita penuh cinta kepadanya, insya-Allah baginda mengenali dan menolong kita ketika keadaan kesusahan yang teramat sangat. Semoga kita bersama-sama menempuh jalan kepada mahabbah Sayyidina Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.... Amiin.

Bagi mengakhiri pengenalan buku ‘Perjalanan Terindah Menuju Kecintaan Rasulullah s.a.w’ ini, izinkan saya menukilkan satu kisah indah baginda Nabi Muhammad s.a.w apabila ditanyakan oleh seorang sahabat pada bahagian akhir buku ini. Jawapan yang diberikan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w mempamerkan akan kecintaan mereka yang mendalam terhadap baginda...


Disebutkan daripada seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu (m/s 81-82):

Sesungguhnya seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w tentang Hari Kiamat, lalu baginda s.a.w bersabda:

“Apakah yang kamu sediakan bagi menghadapinya?”

Lelaki itu menjawab, “Saya tidak menyediakan apa-apa melainkan saya mencintai Allah dan Rasul-Nya (sallallahu alaihi wasallam).”

Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Sesungguhnya kamu bersama orang yang kamu cintai.”

kemudian, Sayyidian Anas bin Malik berkata, “Tiada yang menyebabkan kami gembira dengannya seumpama gembiranya kami dengan sabda Nabi s.a.w iaitu, ‘Kamu bersama orang yang kamu cintai’.”




Mari menempuh jalan mahabbah Rasulullah s.a.w. Carilah pecinta-pecinta baginda sallallahu alaihi wasallam. Merekalah penunjuk jalan itu...

Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammad!

Allahu’alam. Sekian.

Sunday, December 25, 2011

Kursus Miftah Al-Ilmi Sesi 2012

Kepada sahabat-sahabat lepasan SPM dan STPM yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ilmu agama, Yayasan Sofa akan mengadakan Kursus Miftah al-Ilmi bermula Januari ini. Kursus ini akan diadakan selama 4 bulan. Inilah peluang untuk belajar secara talaqqi bersanad daripada ahli-ahli berautoriti dalam bidang agama, insya-Allah. Pendaftaran dilanjutkan sehingga 2 Januari 2011.

Sila klik pada pautan laman sawang Yayasan Sofa di pautan ini.

Mudahan ada manfaatnya.

"Berjasa Kepada Masyarakat"

Agong Datang ke Sekolah


Tahun 1994,
Miri, Sarawak


“Mak, mak!” seorang budak gempal berusia sembilan tahun memanggil ibunya.

“Apa?” nyata ibu itu sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk usai santapan tengahari.

Mata budak gempak itu bulat, “Agong datang sekolah sik lamak lagik (Agong akan datang ke sekolah tidak lama lagi)!” katanya dengan yakin. Agong yang ia maksudkan adalah Raja Berpelembagaan Malaysia, yang digelar sebagai Sri Paduka Yang Di-Pertuan Agong.

Dahi ibu itu berkerut. Lantas ia menggaru-garu dahinya. Basahlah sedikit terkena sabun. “Bena ndak kah padah kitak ya (Adakah awak berkata benar)?”

“Benar, mak!”

“Siney kitak tauk ya (Dari mana awak tahu)?”

Tek, Ahmad nunjok rah sigek kain rah pagar sekolah (Tadi, Ahmad menunjukkan sehelai kain di pagar sekolah).”

“Oh, kain rentang?”

“Aok. Bangganya Agong datang sekolah.” Dahi ibu tetap berkerut. Anaknya keluar daripada dapur dan menyambung khayalan karya perangnya di bilik atas.

Masa telah berlalu. Yang Di-Pertuan Agong tidak juga kunjung tiba mencemar duli. Adakah ia memungkiri janji? Tibalah pada suatu hari, budak itu dan keluarganya melintasi SRK Lutong, Miri, Sarawak. Babak soal jawab antara budak gempal dengan ibunya itu telah luput daripada ingatan. Rupanya tertera pada kain rentang tersebut:

“Majlis Perhimpunan AGONG Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)SRK Lutong akan diadakan pada...”


Patutlah sultan tidak datang!

Daulat Tuanku!
kepada

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni AlMarhum Sultan Badlishah

yang telah selamat ditabalkan pada 13 Disember 2011 yang lepas.



Dan semoga Allah merahmati ibu dan juga ayahku yang telah mendidikku dan bersabar atas karenah semasa kecilku...


Apakah pengajaran moral yang boleh kita pelajari daripada kisah ini? ;)

Sekian, terima kasih!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...