BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, December 16, 2008

Bisikan Tanjung Lobang (2)



Bisikan Tanjung Lobang (1)

16 Disember 1941
5.30 pagi
Laut Cina Selatan


Sang matahari mula memancarkan sinarnya. Cahaya terang cuba menembusi gelap fajar. Angin bertiup kuat. Ombak pula beralun tinggi. Sungguhpun begitu, suasana masih lagi gelap. Embun dan titisan halus air laut menyelubungi pesisir Miri. Alam segalanya berperangai normal. Tidak ada yang luar biasa.

Namun itu semua tidak diendahkan. Beberapa lancang pendarat teguh mara meredah alunan ombak. Di dalamnya sarat dengan penumpang. Mereka datang bukan untuk bertandang. Tetapi datang untuk menjajah bumi bertuah.

Kapten Itagaki mengimbas pantai Miri dengan binokular di tangannya. Ia berpakaian uniform berwarna hijau zaitun. Di kepalanya dikenakan kemas helmet besi. Di lengan kanannya pula, bertanda sauh merah bersilang dua. Ia menggalas mesingan ringan 8mm Type 100.

Kapten Itagaki berkata kepada pengemudi lancang, “Ombak agak kuat. Harap-harap air tidak terlalu tinggi. Cukup masa untuk kita bertindak. Tidak lama lagi kita akan sampai.”

Jawab pengemudi itu, “Kita mungkin akan sampai dalam lapan minit lagi. Lampu rumah api masih dibuka. Tentu mereka tidak sedar kedatangan mereka. Orang putih penakut!”

Sambil ketawa kecil, Kapten Itagaki membalas, “Tentera kita mara dengan pantas di Malaya. Orang British yang bacul itu tidak mampu bertahan. Mereka terbukti lemah. Mereka layak dihukum dengan kekalahan.”

Tai-i, tanjung semakin hampir.”

“Ya, berhati-hati mara. Mungkin ada batu tajam di hadapan.”

“Hait!”

Lancang Kapten Itagaki bergerak paling hadapan dan disusuli oleh lancang-lancang yang lain. Kapten Itagaki memberi isyarat kepada pegawai lancang-lancang lain. Ia memberikan amanat semangat, “Pasukan Kaigun Rikusentai Yokosuka Kedua!”

“Bersedia!”

Askar Rikusentai membelek memeriksa kali terakhir peralatan senjata mereka. Perencak ditarik menjadikan raifal bersedia untuk menembak. Bayonet dipasangkan dengan kemas. Lancangnya semakin menghampiri gigi air.

“Pasukan Kaigun Rikusentai!” Ia teringat Kata-katanya di kapal pengangkut askar tadi.

“Depan kita musuh, belakang kita laut! Kita bukan tentera pengecut seperti tentera British. Mereka lemah disebabkan perasaan peribadi mengatasi perasaan kepada negara! Kita adalah tentera Imperial Jepun. Mati demi maharaja adalah semulia-mulia mati!”

Banzai!” seru Kapten Itagaki.

“Banzai!” balas pasukannya.

Kapten Itagaki menoleh ke belakang. Kapal-kapal pengiring tenggelam ditelan embun dan kabus laut, “Suzuya pun sudah tidak nampak, ” bayang-bayang kapal kruis Tentera Laut Imperial Jepun juga telah lenyap.



Kata Kapten Itagaki, “Detasmen Kawaguchi ditugaskan menawan Miri dan Lutong. Sebuah detasmen pula telah dihantar ke Seria. Kita pula di sini. Kedudukan ini strategik. Jika lambat ditawan, mungkin musuh akan menggunakan kelebihan itu untuk bertahan lebih lama. Rumah api harus ditawan, bagi menyediakan amaran pesisir kepada kapal kita.”

Seorang prebet Rikusentai membalas dengan yakin, “Kita berjuang serentak. Dan kita akan menang serentak!”

Setiap askar Rikusentai menghalakan muncung senjata masing-masing ke pantai. Ombak menghempas dinding tanjung. Seorang askar melompat keluar dan memautkan tali lancang ke batu. Kesemua askar melompat keluar dengan cepat dan berlindung di sebalik batu.


Kapten Itagaki menghunus katana. Ia menyusun askarnya, “Berhati-hati. Keadaan terlalu sunyi. Saya benci begini.”

Askar lancang lain juga mendarat. Ia kemudian meneropong sekitar pantai dan tebing tinggi, “Bagus. Tidak ada tanda-tanda musuh. Matlamat kita ialah menguasai tanjung dan bukit ini, beserta rumah api sekali."

“Kamu bertiga, pautkan tali di sebelah sana,” arah Kapten Itagaki.

“Kamu bertiga pula, di sebelah sini.”

“Hait!” mereka menghayunkan tali bercangkuk ke atas tebing. Ketiga-tiganya berjaya memautkan tali pada pokok yang tumbuh atas tebing tinggi. Kemudian mereka mendaki dinding tebing dengan sekuat tenaga.

* * *

Sir, shall we open fire now (Tuan, adakah kita harus menyerang sekarang)?” kata seorang prebet British.

Jawab pegawai itu, “No, not until they are close enough. We only have plenty of ammunition. We are small in quantity without any help from artillery (Tidak, sehinggalah mereka hampir kepada kita. Kita kekurangan peluru dan bilangan kita sedikit. Kita tidak dapat sebarang bantuan artileri).” Mereka sedang mengintai askar Jepun yang sedang mendaki dan berada di dasar tanjung. Gerak geri pasukan Kapten Itagaki telah diperhatikan sejak awal-awal lagi.

Pegawai itu bertahan di kubu bersama beberapa askar British yang lain. Kubu itu terletak di sebalik semak di atas tebing tinggi dan tersorok dari arah bawah.

Wait for my signal. Tell those men near the cliff to fire at will after my first shot (Tunggu isyarat saya. Beritahu askar kita berdekatan tebing supaya menyerang setelah tembakan saya), ” pegawai British itu mengarahkan anak buahnya supaya memaklumkan arahan terbarunya.

Colonel White, they are very close (Kolonel White, mereka terlalu hampir)!” gesa seorang pegawai bawahan. Tangannya tersedia merarik picu mesingan Vickers. Seorang anggota lagi membetulkan udi mesingan Lewis pada dadanya, supaya tembakan lebih stabil.

Askar Rikusentai sudah hampir di permukaan tebing. Kolonel White melihat askar British yang berkawal di permukaan tebing begitu cemas musuh sudah terlalu hampir.

Kolonel White membidik raifal Lee Enfield ke arah seorang anggota Rikusentai. “Yes, bloody close. And bloody day for them as well (Ya, terlalu hampir. Hari ini hari berdarah buat mereka)!”

“Bang!” tepat menembusi dada askar Rikusentai. Ia menggelupur. Kemudian jasadnya kaku tergantung pada tali.

Tembakan isyarat Kolonel White memberi laluan kepada anggota yang lain untuk melepaskan tembakan ke arah musuh yang sedang mendaki tebing. Beberapa askar Rikusentai menjadi mangsa peluru tidak bermata. Ada yang mati dan tergantung pada tali. Tidak kurang pula yang jatuh lalu lemas di dalam laut.

Sooo (Apa)?” Kapten Itagaki. Keadaan kelam kabut. Kubu atas membedil kedudukan sempit pasukan Kapten Itagaki dengan mesingan. Ramai yang terkorban dan terhumban ke dalam laut.

Kapten Itagaki segera mencari perlindungan, katanya, “Jahanam! Mereka berada di atas. Pistol ini tidak dapat sampai kepada mereka.”

“Cari perlindungan dan balas tembakan!” arahnya di sebalik bingit tempik suara dan desiran peluru. Mereka berlindung di sebalik batu.

“Tuan!”

“Apa?”

“Air pasang!”

“Saya tidak dengar!”

“Air pasang! Lihat. Air dah naik. Jikalau kita lama di sini, kita akan tenggelam!” seru seorang prebet.

“Zzzuuup!” sebutir peluru menembusi kepalanya. Darah tersimbah ke wajah kapten. Prebet itu jatuh ke dalam laut.

Pemandangan ngeri sekali. Ramai askar Rikusentai yang terbunuh. Mayat mereka terapung di permukaan laut. Kadang-kadang mayat mereka dihempas ke dinding batu tanjung dibuai ombak. Air laut pula menjadi lautan merah darah. Darah. Terlalu banyak darah yang tumpah.

Di sebalik hiruk-pikuk pertempuran, ia berbincang dengan anggotanya, “Mereka berada di atas. Mereka mempunyai kelebihan berada di atas. Mereka mengasak kita di sini. Tetapi tidak semua tempat mereka berkawal. Ada sudut di tanjung ini mereka tidak dapat menembak kerana halangan lekukan.”

“Fire in the hole!” seru seorang askar British. Ia membalingkan sebiji bom tangan.

“Grenad!” tempik anggota Rikusentai.

“Jaga!” Mujurlah bom tangan itu meletup di dalam air. Askar British terus menerus menembak ke arah posisi Kapten Itagaki. Anggota Rikusentai hanya mampu membalas tembakan.

“Ahhh!” seorang anggota Rikusentai mengerang. Betisnya ditembusi peluru. Anggota yang lain memapahnya ke kawasan batu yang lebih selamat.

“Tuan, air semakin naik. Kita harus bergerak.” Tembakan daripada atas bertalu-talu, membuatkan pasukan Itagaki masih terperangkap.

“Mengalah tidak layak buat tentera Imperial!”

“Teruskan menembak. Alihkan perhatian mereka. Kamu, teruskan menembak dari dinding batu sebelah kanan. Kami di sebelah sini akan menyusup dari belakang dan menggempur mereka. Saya yakin ada jalan lain selain mendaki tebing ini. Sejurus kubu mesingan atas tebing disenyapkan, kamu naik ke atas. Papah anggota yang cedera.”

“Hait!” mereka akur. Tembakan tentera British disambut pula dengan paduan mesingan, submesingan dan raifal tempur Arisaka. Mereka menembak, mengisi kelopak peluru dan menembak. Berbalas-balas tembakan tanpa henti.

“Kamu, kamu dan kamu. Berikan tembakan perlindungan mesingan di sebelah.”

“Kamu, kamu dan kamu, lari ke arah sana dan cari belukar untuk pautkan tali cangkuk ke atas.”

Die! You barbaric Japs (Matilah, Jepun gasar)!” laung anggota British sambil membidik sasaran ke bawah. Ia bersembunyi di sebalik belukar. Keluarlah kelongsong peluru yang panas daripada Bren gun yang dibawanya. Hentakan yang kuat menjadikan tembakannya tidak mengena.

Kemudian Bren gun senyap. "I'm out of ammo!" Peluru habis. Ia mengisi kelopak yang baru.

“Banzai!” dengarnya tempelak dari belakang.

Ia menoleh. Kelopak peluru belum sempat diisi. Ia membuang mesingan di tangannya lalu segera mengambil sepucuk pistol dari sisi pinggang. Belum sempat askar British itu menarik picu, “Argh!” bayonet menembusi dadanya. Musuhnya kemudian menembak tentera British yang lain.

“Banzai!” beberapa anggota Rikusentai mengasak kedudukan kubu mesingan Lewis yang bertahan di tepian tebing. Tentera British rebah.


Pertahanan tentera British yang berkawal semakin goyah. Namun demikian, mereka memberikan tentangan yang begitu sengit. Kapten Itagaki mara dan pasukan mara dengan pantas. Berlaku pertempuran yang amat dahsyat, memakan korban yang tinggi di kedua-dua belah pihak.

Setelah beberapa jam bertempur, akhirnya bendera Matahari Terbit terpacak di dataran tinggi Tanjung Lobang. Kemenangan berpihak kepada Kapten Itagaki. Kolonel White maut berjuang bersama anggotanya yang lain. Turut menjadi korban ialah penjaga rumah api, yang dibunuh oleh tentera Jepun. Mayat askar yang terkorban bagi kedua-dua belah pihak kononnya dikuburkan beramai-ramai di satu lokasi di Tanjung Lobang. Bermulalah satu episod gelap penduduk Miri: mereka terpaksa tunduk kepada kuasa baru. Jepun kini menjadi tuan mereka untuk tiga tahun akan datang.

NOTA:

lancang = sejenis perahu khas untuk pendaratan pesisir pantai (amfibia)
Kaigun Rikusentai = Pasukan Pendarat Khas Tentera Laut Jepun (Special Landing Naval Force)
bayonet = sejenis pisau yang dipasangkan di sisi muncung raifal
katana = pedang pahlawan Jepun (samurai)
tai-i = kapten
artileri = meriam
banzai! = seruan semangat orang Jepun dalam berperang yang bermaksud; "Semoga Maharaja Hidup 10000 tahun!"

NOTA: Dikhabarkan sisa lancang pendarat dan peralatan tentera Jepun masih tersadai di Tanjung Lobang. Cerpen ini merupakan cetusan simulasi ataupun andaian kepada keadaan yang mungkin terjadi. Pertempuran ini tidak tercatat dalam sejarah. Namun begitu, maklumat diperoleh daripada bukti peninggalan (bangkai lancang, kubur penjaga rumah api dan tugu peringatan pendaratan) dan cerita dari mulut ke mulut. Mungkin benar. Mungkin sebaliknya. Tetapi bukti masih wujud. Dan mengapakah tempat dikenali juga di Jepun?

Bersambung, insya-Allah dalam entri yang akan datang, Penjelasan Bisikan Tanjung Lobang...

1 comment:

JB said...

Saudara Azrul..

Penjaga rumah api adalah moyang saya. Sewaktu peristiwa itu berlaku ayah saya berada di tempat tersebut. Waktu itu beliau masih kanak-kanak. Penjaga rumah api itu bernama Metali bin Usang.

Dalam kejadian itu, menurut cerita ayah suasana gelap disertai dengan ribut petir. Di bawah rumah sudah ramai tentera Jepun. Dengan tidak semena-sema tentera Jepun menendang pintu dan terus menembak ke arah datuk saya dan mengena ke bahagian bahu beliau. Moyang saya terus bangkit dari tidur di bilik sebelah dan mengambil parang lalu menyerang askar Jepun. Lebih kurang 7 orang Jepun telah mati dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun beliau tewas ditangan Jepun dan dada beliau ditusuki oleh bayonet sebanyak 7 lobang sebesar dua jari. Waktu itu ayah saya bergelut dengan tentera Jepun dan akhirnya beliau dapat melepaskan diri lalu memeluk mayat arwah moyang saya.

Sementara Datuk saya telah diikat oleh Jepun dalam keadaan berlumuran darah lalu di bawa oleh kempetai ke balai polis di Tanjung Lobang. Ahli keluarganya masing-masing melarikan diri.

Semua harta benda telah dibakar oleh Jepun dan ayah saya tinggal sehelai sepinggang. Tidak lama selepas itu ayah saya diambil oleh nenek saya lalu di bawa ke luak..

Menurut ayah saya selama tiga hari baru mayat yang telah reput dijumpai berhampiran dengan rumah lampu dan disitulah beliau disemadikan.

Buat masa ini, saya masih mengumpul maklumat mengenai peristiwa tersebut dan Insya-Allah ianya akan ditulis sebagai catatan sejarah. Cerita Azrul amat menyentuh perasaan saya semoga satu hari nanti kita dapat bersua dan dapat bercerita lebih panjang lagi.

Wassalam...Jamil Bujang

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...