BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, June 30, 2009

Wo Ai Ni Allah


Novel cinta Islami PTS, Wo Ai Ni Allah bakal berada di pasaran. Buku ini ditulis oleh Vanny Charisma W. dan dialih bahasa daripada Bahasa Indonesia oleh PTS Litera. Tajuk novel ini sudahpun cukup menarik perhatian. Tidak sabar untuk dapatkan nanti!

Berikut merupakan sinopsis novel ini:

Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan sosial? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi.

Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis Cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruan itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhir bertemu apa itu Tuhan.

Wo Ai Ni, Allah… aku cinta Allah… tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

Sumber: www.pts.com.my


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat

Monday, June 29, 2009

Kenang-kenangan Majlis Maulid Masjid Negara (2)

(sambungan)

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (bahasa Melayu):

Pautan sebelum: Kenang-kenangan Majlis Maulid Masjid Negara(1)

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki telah berkata: “Pertamanya marilah kita merafakkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana Allah menghimpunkan kita dalam majlis yang dihadiri oleh orang yang punyai pandangan mata hati. Kerana orang yang tidak mempunyai pandangan mata hati tidak akan mungkin mempunyai pandangan mata hati.”

Beliau berkata, “Telah berkata Ibnu Atoillah Askandari (lahir 640 H, pengarang kitab Hikam) [2]: ‘Maha Suci Allah yang telah menutup keistimewaan hamba-Nya terutamanya Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dengan pakaian kemanusiaan,’ oleh yang demikian, manusia tidak mampu menyingkap hakikat sebenar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

“Tetapi kecantikan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah diselubungi oleh Allah dan tidak diberi (tampak hakikat tersebut) melainkan orang-orang yang diberikan keistimewaan oleh Allah.”

“Sesungguhnya pembacaan maulid Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam merupakan sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam sendiri menyebut akan kelahirannya.

Syeikh Fuad ketika di Miri, Mac 2009


Sayyidina Abbas (seorang sahabat) telah meminta izin kepada baginda untuk memujinya.”

“Dan Nabi sallallahu alaihi wasallam mengizinkan beliau. Setelah Sayyidina Abbas membaca, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam membalas: ‘Sebutkan wahai Abbas, sesungguhnya Allah akan menjagamu dunia dan akhirat.’

“Bahkan, (maulid memuji Nabi sallallahu alaihi wasallam) merupakan satu sunnah kerana Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam akur akan syair ataupun qasidah yang memuji beliau.”

Dalam ucapan ringkas tetapi padat dan menyentuh, beliau menyudahi, “Oleh yang demikian, sesungguhnya majlis yang seperti ini (maulid) merupakan sesuatu yang ada asasnya.” Beliau tidak dapat memanjangkan ucapan beliau kerana masa yang diperuntukkan dalam masa 5 minit sahaja.

Alunan Maulud Daibai’



Kemuncak kepada majlis ini ialah bacaan maulid diketuai oleh seorang ulamak, Habib al-Attas dan disusuli oleh jemaah. Beliau telah mengalunkan Maulud Daibai’ (digelar sebagai Dibaie) [5]. Inilah kali kedua diri ini telah hadir ke majlis sedemikian. Sebuah majlis yang penuh barakah dan tidak terbayang akan keindahannya. Para jemaah yang rata-rata orang awam ataupun masyarakat bersama-sama ulamak mengingati dan mencintai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Namun kebimbangan terbit daripada hatiku di sebalik rasa bahagia ini; barisan para ulamak yang menjadi benteng terakhir umat di hadapanku ini rata-ratanya beruban dan sudah lanjut usia mereka. Siapakah yang akan mengganti mereka? Siapakah yang akan mewarisi perjuangan menyuluh hati-hati umat ini setelah mereka tiada? Siapakah yang akan mewarisi ilmu sinaran Rasul ini?

Aku akui kandungan yang disampaikan oleh para ulamak ini agak tinggi; tidak terdapat di mana-mana kuliah di surau-surau ataupun di sekolah-sekolah. Kalau di universiti pun, suasana seperti ini sudah hilang ruhnya ataupun tidak ada lagi. Inilah pentingnya budaya ilmu dengan bertalaqqi (duduk berhadapan dengan guru). Kita mendatangi ilmu (ilmu agama terutamanya) dengan berpandukan guru yang benar dan menghadam dengan cara yang benar dan sumber yang benar. Bukan dengan cara membaca kitab semata-mata dan mentafsirkan kandungan agama dengan pengetahuan tohor yang kita miliki. Dan paling penting adalah rantaian sanad menghubungkan kita kepada baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam melalui guru-guru kita. Daripada inilah, datangnya keberkatan daripada Allah tika menuntut ilmu. Sesungguhnya sebahagian golongan yang menafikan rantaian sanad ini dan suka membid’ahkan orang adalah orang-orang yang memutuskan umat daripada keberkatan Allah S.W.T.



Hati-hati wahai para aktivis dakwah, akan virus ‘berbangga’ ataupun syok sendiri mempunyai anak usrah yang ramai, takjub akan diri sendiri berbicara penuh fakta lagi dengan bahasa berbunga-bunga, sedangkan kita telah menjauhi tradisi para ulamak. Dan tradisi ulamak ini adalah merupakan tradisi para sahabat dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sekali-kali tidak akan dapat menggantikan keberkahan ilmu yang disampaikan secara bersanad yang sumber ini sampai kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Ya, usrah itu penting, akan tetapi terlebih elok kita mempunyai asas yang kukuh dari sumber yang benar.

Aku akui sekali lagi, amat sukar menterjemah dan meyusun kembali kalam-kalam daripada para ulamak ini. Kerana segala yang mereka sampaikan merupakan perkara yang berat dan jika disampaikan harus dengan penuh tanggungjawab. Oleh yang demikian, diri ini menuliskan setakat tercatat melalui pemahaman diri yang terlalu cetek ilmu ini. Ada huraian yang tidak dapat kutangkap aku simpankan sahaja. Aku tidak mahu menghuraikan sesuatu yang aku masih kurang faham dengan akal fikiranku. Aku tidak mahu menjadi orang yang tidak beradab kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam; berkata-kata sesuatu tentangnya yang di luar kemampuanku.

Secara kesimpulannya, ilmu sebegini harus ditimba daripada sumbernya yang asal dengan caranya yang asal, iaitu talaqqi. Itulah cara terbaik, warisan para ulamak yang juga merupakan warisan berharga yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat baginda.

Apa yang benar adalah daripada Allah. Aku mohon keampunan daripada-Nya atas kelemahan diri ini, walaupun hakikatnya datang daripada Allah jua...


Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA: Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan seorang ulamak besar yang pernah hidup pada suatu masa dahulu. Susur galur beliau terjalin terus kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melalui nasab Hassan bin Ali bin Abi Talib [1]. Beliau telah digelar sebagai sultanul auliya’ ataupun penghulu bagi para wali-wali. Beliau merupakan kesan langsung daripada tarbiah (pendidikan) pemikiran Imam al-Ghazali. Antara sumbangan besar beliau ialah secara langsung melahirkan satu generasi pilihan Allah, generasi Salahuddin al-Ayyubi yang bakal membebaskan Baitul Maqdis (Jurusalem) daripada cengkaman tentera Salib. Kesan perjuangan Imam al-Ghazzali serta munculnya Syeikh Abdul Qadir Jailani dan generasi Salahuddin telah dikaji dengan teliti oleh seorang ulamak, Dr. Majid Irsan Kailani [1]. Khabarnya beliau merupakan salah seorang daripada keturunan Syeikh Abdul Qadir Jailani.

Rujukan Tambahan:
[1] Dr. Majid Irsan Kailani, (2000). Kebangkitan generasi salahuddin dan kembalinya jurusalem ke pangkuan Islam. Thinkers Library: Gombak.
[2] Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani, (2009). Salawat pilihan. Sofa Production: Ampang.
[3] Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, (2008). Rahsia ketuhanan dalam syarah Hikam Syeikh Ibnu Atoillah al-Sakandari. Sofa Production: Ampang.
[4] al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba’ al-Syaibani, (2009). Ringkasan Sirah Nabawiyyah. Sofa Production: Ampang.

Kenang-kenangan Majlis Maulid Masjid Negara (1)

Sebenarnya malam itu juga pada 11 April 2009 aku karangkan nukilan ini, kerana bimbang mutiara hikmah alim ulamak hilang satu persatu dek lemahnya ingatanku. Syukur, dikurniakan kelapangan untuk melengkapkan entri ini. Mohon maaf entri ini terlalu panjang. Inipun terpaksa diringkaskan. Untuk mencatatkan ucapan para ulamak, memakan ruang 8 muka surat diari. Berikut merupakan kenang-kenangan majlis tersebut.

Atas: Ole-ole Majlis Maulid daripada Amanah al-Wariseen; kitab Qosidah al-Burdah (Imam al-Busairi, lahir 608H / 1212 M)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta antara keduanya dengan Rahmat, Kebijaksanaan dan Kasih Sayang-Nya. Dialah yang mengutus rasul di kalangan sekalian manusia. Dan disudahi dengan penghulu sekalian Rasul, penyudah Nabi-nabi dan kekasih-Nya, Nabi Muhammad sallalllahu alaihi wasallam. Selawat dan salam atas baginda, ahli keluarga serta sahabatnya. Mudah-mudahan Allah melimpahi jua rahmat-Nya atas orang-orang yang menuruti jalan yang ditunjuki Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sehingga Hari Kiamat, insya-Allah.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T., dengan izin-Nya, aku berkesempatan mengikuti satu majlis yang penuh barakah, Majlis Maulidur Rasul sallallahu alaihi wasallam dan Haul (Memperingati) Syeikh Abdul Qadir Jailani. Program dianjurkan oleh sebuah badan Amanah al-Wariseeen dengan kerjasama Kinverwell Sdn. Bhd. dan KSG Resources (M) Sdn. Bhd. Kedua-dua syarikat dipunyai orang Islam dan menjalankan perniagaan minyak dan gas. Badan-badan ini terlibat dalam aktiviti kebajikan dan menyebarkan kefahaman tentang Islam serta menyebarkan kecintaan terhadap Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Syeikh Afeefuddin, wakil pihak penganjur merupakan salah seorang daripada ahli lembaga perniagaan tersebut dan merupakan salah seorang daripada keturunan Syeikh Abdul Qadir Jailani (lahir 470H / 1077 M). Syeikh Abdul Qadir Jailani diiktiraf oleh para ulamak sebagai sultanul auliya’ (penghulu bagi segala wali) [1]. Program adalah berbentuk ilmiah; ramai para ulamak, waris anbiya’ telah dijemput antaranya ialah:

Sheikh Prof. Dr. Rafi Al-Ani (Mufti Besar Iraq)
Sheikh Dr. Ibrahim Salem (Penasihat Majlis Tertinggi Islam Australia)
Sheikh Dr. Ahmed 'Umar Hashem bekas (Rektor Universiti Al Azhar)
Ustaz Uthman el-Muhammady, Fellow ISTAC (Institut Kebudayaan dan Tamadun Islam)
Prof. Dr. Ali Jum’ah (Mantan Mufti Besar Mesir)
Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani (Presiden Lembaga Amanah Universiti Al Ahqaf Yaman)
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin (Penasihat Yayasan Sofa & Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan)


Sebenarnya ramai lagi ulamak yang hadir dalam majlis ini. Sesingkat pemerhatianku, mereka tidak ingin menjadi perhatian. Ada di kalangan mereka duduk bersahaja di saf-saf bersama jemaah yang lain, walaupun ahli jawatankuasa puas memujuk mereka untuk duduk di kerusi dif kehormat. Antaranya ialah Prof. Dr. Abdul Razak al-Hasani, pensyarah Jabatan Bahasa Arab UIAM. Alangkah tawaduknya!

Alangkah beruntungnya berada di dalam majlis yang mulia ini, duduk di dalam majlis yang memperingati Tuhan dan menyemai rasa rindu terhadap baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam. Dan daripadanya, diisi jiwa yang sentiasa kering ini dengan curahan kata-kata yang menyentuh diri, agar kembali kepada Tuhan dalam erti yang sebenar. Walaupun pada mulanya terasa berat mungkin akan terkorban pada malam itu untuk persediaan peperiksaan minggu hadapan, namun tidak tergamak terlalu zalim terhadap diri ini melepas peluang keemasan begitu sahaja. Peluang tidak ternilai; mengutip mutiara kata-kata hikmah daripada Quran dan Hadith dihuraikan oleh para ulamak.



Dan syukur, Tuhan mengizinkan. Cuma aku kesal, golongan ulamak ini yang harus diberi perhatian ilmu mereka, terpinggirkan dan tidak diendahkan oleh arus perdana. Lebih mendukacitakan, golongan-golongan yang kurang adab mengherdik para ulamak, ataupun lebih parah mendabik dada diri mereka sebagai ‘ulamak’ yang sebenar-benarnya mencintai Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Walaupun ramai yang hadir, namun aku merasakan, nisbah yang hadir terlalu sedikir berbanding nisbah umat Islam yang ada sekarang.

Majlis bermula pada 5.15 petang. Pada ketika itu, semakin ramai jemaah yang memasuki masjid dan memenuhi saf-saf yang kosong. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Quran yang penuh barakah, daripada seorang saudara bernama Abdul Rahman Bozan daripada Turki. Beliau merupakan johan musabaqah di Eropah. Ya Allah! Ini suatu yang menakjubkan! Moga-moga sinar-Mu terus menembusi hati-hati manusia di sana!



Sebagaimana kebiasaan, aku membawa buku diari dan dua batang pen; pen hitam dan pen biru. Harapanku, ilmu yang disampaikan oleh para ulamak ini dapat kutulis, kusimpan, ku amalkan. Andai aku mampu, aku sampaikan. Sesungguhnya, aku merasa tanggungjawab yang besar kepada insan yang tidak hadir. Juga aku perhatikan, jarang sekali ada yang membawa buku catitan dan mencatat isi-isi yang disampaikan. Kecuali tiga orang adik (aku doakan mereka menjadi ulamak umat suatu hari nanti) yang comel, berserban gigih mencatit kata-kata ulamak (insya-Allah, aku ceritakan tentang mereka lain kali). Mudah-mudahan catatanku ini seperti yang dimaksudkan oleh para ulamak yang aku dengar. Dan mudah-mudahan, aku dan sesiapa yang membaca entri ini akan mendapat kefahaman yang sama. Aku pohon maaf atas kekuaranganku. Aku bermohon ampun kepada Allah dan semoga Dia menunjukiku. Allahu’alam.

Berikut merupakan isi ucapan tiga ulamak terakhir dalam menyampaikan ucapan mereka (yang paling menyentuh hatiku):

Prof. Dr. Ali Juma’ah, Mufti Besar Mesir (dalam bahasa Arab):


Prof. Dr. Ali Jum’ah telah dibantu oleh Ustaz Syed Ali Zainal Abidin (ataupun digelar juga Habib Ali) untuk menterjemahkan ucapannya di sisinya. Cara penyampaian dalam bahasa Arab diselang-seli dengan terjemahan bahasa Melayu adalah lebih berkesan dari segi makna, walaupun memakan masa yang panjang. Dari segi rekod penulisanku, bahagian beliau merupakan yang paling banyak dicatit.

Prof. Dr. Ali Jum’ah memulakan ucapan beliau dengan selawat yang disusun oleh Imam Syafie dengan maksud:


“Semoga Allah melimpahkan rahmat atas Nabi kami, Muhammad, setiap kali orang-orang yang mengingatinya dan orang-orang-orang yang melupakannya (p. 52).” [2]


Kami telah menyusul lafaz selawat tersebut sebanyak tiga kali setelah beliau menyebut selawat tersebut. Kemudian Ustaz Ali menterjemah, “Setelah dimulai dengan hamdalah dan selawat, telah diriwayatkan oleh Imam Syafie dalam kitab pertamanya.”
Kemudian Dr. Ali Juma’ah berucap kembali dan diterjemahkan, “Sejak hari kelahiran Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, baginda sentiasa mendapat penjagaan daripada Allah S.W.T.”

“Baginda diutus membawa rahmat kepada sekalian alam dan diberi kekuatan dengan mukjizat serta risalah kerasulannya.”

“Kerasulannya disaksikan ketika baginda hidup dan seluruh kehidupannya, manusia melihat mukjizat baginda. Ramai yang beriman setelah menyaksikan mukjizat tersebut. Para ulamak telah menyebutkan bahawa jumlah mukjizat tersebut mencapai 1000 mukjizat. Seorang ulamak Syeikh Yusuf Nabhani (bukannya Taqiuddin Nabhani pengasas Hizbu Tahrir) menuliskan bahawa mukjizat baginda sallallahu alaihi wasallam melebihi seribu mukjizat.”

“Sehinggakan dengan ini Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:
‘Bagaimanakah kamu akan keluar daripada agama ini sementara aku berada di tengah-tengah kamu?’”



Beliau menyambung lagi, “Kita pada hari ini meraikan juga Syeikh Abdul Qadir Jailani yang merupakan seorang auliya’ (wali). Allah telah menganugerahkan kekeramatan kepadanya, sebagai tanda, bukti bahagian mukjizat daripada para anbiya’.”

“Lebih daripada itu juga, kita hendaklah memahami bahawa Allah telah menutup para anbiya’ (nabi dan rasul) dengan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Kekuatan risalah itu, selain kerasulan merupakan risalah abadi yang dapat ditegakkan sepanjang zaman, supaya tidak bergantung kepada semata-mata mukjizat ataupun kekeramatan para wali walaupun benar apa-apa yang mereka (manusia sekitar mereka) saksikan.”

“Tetapi mereka (umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) berpegang kepada mukjizat risalah dan mengajak manusia dengan dalil-dalil yang jelas dan membawa manusia agar mereka dapat membersihkan jiwa mereka.”

“Dengan mukjizatnya iaitu Quran, yang menjadi pegangan kita, manusia mendapat petunjuk. Mukjizat risalah, iaitu mukjizat kedua selepas mukjizat kerasulan ini, telah dijaga oleh Allah. Quran telah dijaga, tidak seperti yang berlaku kepada kitab-kitab yang lain, melainkan Quran.”


“Ramai kanak-kanak yang boleh menghafal Quran. Ini tidak mungkin berlaku kepada kitab-kitab yang lain, melainkan Quran sahaja. Mukjizat ini tampak jelas melalui bukti yang nyata; orang-orang Melayu di sini mampu menghafalnya walaupun tanpa memahami isi kandungannnya.”

“Ini merupakan ,mukjizat yang jelas atas Quran yang dijaga oleh Allah dalam tulisan, bentuknya, bacaannya. Ini baru sahaja membacanya, belum lagi memahami isinya yang merangkumi akidah, akhlak serta tuntutan-tuntutan yang lain-lain. Walaupun orang bukan Islam sendiri mengakui bahawa Quran itu sesuatu yang hebat, namun tidak ada kitab yang mampu menandinginya, kerana Quran telah dijaga oleh Allah, seperti yang termaktub dalam Surah Hijr, (15:9):

‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya’.”

“Allah juga menjaga sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam dengan pelbagai sanad dalam meriwayatkan sunnah. Perawi (yang mengkhabarkan hadith) pada abad ke-5 Hijrah telah mencecah 20,000 orang perawi. Dengan sanad-sanad yang berbeza, sanad ini sampai kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Perkara ini tidak berlaku kepada orang lain di dunia ini, melainkan Nabi sallallahu alaihi wasallam.”

“Allah juga menjaga dan memelihara nama-nama sahabat baginda. Sehingga dikatakan oleh ulamak, bahawa jumlah para sahabat mencapai 10,000 orang merawikan hadith daripda baginda. Tidak ada dalam dunia ini di kalangan nabi-nabi, wali-wali, ataupun raja-raja yang mempunyai pengikut yang dijaga nama sahabatnya melainkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

“Allah juga memelihara barang-barang milik Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam seperti pakaian, rambut, pedang-pedang dan sebagainya yang berkaitan kepada baginda. Barang-barang tersebut telah dijaga sehingga hari ini sampai kepada kita untuk mengambil barakah daripadanya. Bahkan, ada orang yang telah menyaksikan keajaiban berlaku kepada barang-barang tersebut. Percaya atau tidak,” syeikh mengungkapkan, “daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.”

“Nabi sallallahu alaihi wasallam telah dijaga dan dikuatkan oleh Allah S.W.T dalam namanya dan sebutannya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Insyirah, ayat 4:

“Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu.”

"Dan Surah al-Kauthar,”

“Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad) nikmat yang banyak; Maka laksanakanlah solat kerana Tuhanmu; Sungguh, orang-orang yang membencimu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).”

Allah S.W.T menjaga akan kerasulan baginda sallallahu alaihi wasallam. Allah menjaga kuburnya dan tidak ada nabi dijaga seperti kuburnya (lazimnya kubur nabi-nabi terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang tempatnya). Allah menjaga jasad baginda daripada diapa-apakan. Masakan tidak, kerana cinta kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam, khalifah Turki Uthmaniyyah telah memutuskan hubungan dengan kerajaan Portugis kerana mereka telah berniat jahat untuk mengambil jasad baginda.”

“Allah S.W.T juga menjaga sirah, kiblat, ahli keluarga, umatnya kitabnya dan menjaga daripada menyembah baginda, namanya dan sesuatu yang disebut oleh baginda. Oleh yang demikian, apabila kita ingin menyebutkan kedudukan Nabi sallallahu alaihi wasallam, adalah perlu untuk kita berselawat atasnya. Bahkan, seharusnya setiap saat kita memperingati baginda sallallahu alaihi wasallam.”

“Di akhir kalimat, hati-hatilah kamu untuk mendengarorang-orang yang tertutup hatinya daripada mengagungkan baginda sallallahu alaihi wasallam. Tidak ada jalan untuk sampai kepada Allah, melainkan baginda sallallahu alaihi wasallam adalah pintu kepada Allah. Orang-orang yang keras hatinya adalah orang-orang yang ditutup hatinya. Merekalah yang tidak akan dapat merasakan air Telaga Kauthar.” Nota berakhir di sini.

Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani (dalam bahasa Arab):


Ucapan Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani yang telah disampaikan dalam bahasa Arab telah diterjemahkan oleh Ustaz Syed Ali Zainal Abidin:

“Dalam mukaddimah beliau (Sheikh Habib 'Umar Hamid Al Gailani ) tadi, ‘Seandainya saya boleh bercakap dalam bahasa Melayu, sungguh saya akan bercakap dalam bahasa Melayu. Namun apakan daya, saya tidak dapat berbuat demikian. Saya terpaksa meringkaskan ucapan saya dalam bahasa Arab.’”

“Walaupun pada malam ini (majlis tersebut) panjang (lama), tetapi tentunya kita diselimuti dengan sakinah, ataupun ketenangan dan ketenteraman. Buktinya adalah kita mampu duduk dengan lapang dada kerana masing-masing bersabar walaupun majlis ini panjang. Dan kita tidak bosan kerana lama mendengar.”

“Buktinya ialah sakinah dalam majlis ini. Berapa banyaknya kita dengar nama baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam disebut-sebut dan ini merupakan kurnia Allah yang turun dalam majlis ini, berzikir dan mengingati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”

“Tentunya apabila seseorang cuba mengingati sepenuhnya peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, namun itu pun belum cukup untuk memenuhi peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.”



“Akan tetapi, Allah telah mengkhususkan kita sebagai umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang dipilih oleh Allah daripada kalangan umat manusia. Oleh yang demikian, sepatutnya kita merasa bersyukur dan memuji Allah kerana terpilih diberikan keistimewaan daripada sekalian manusia dan makhluk. Kita sebagai umat tengah, sebagai saksi umat terdahulu.”

Beliau menyeru, “Wahai sekalian umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, berselawatlah atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, tunjukkanlah rasa syukur kepada Allah dengan berselawat (atas baginda sallallahu alaihi wasallam). Semoga kita berada di bawah naungan bendera baginda dan mewarisi peribadi baginda.”
“Sesungguhnya antara insan yang menjadi penerus Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam ialah orang yang diraikan, iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani yang namanya disebut di mana-mana. Sesungguhnya ini adalah kehendak Allah namanya disebut (dimuliakan).”

“Syeikh Abdul Qadir Jailani, selain karamat yang diberikan seperti para auliya’ (wali-wali) yang lain adalah sebagai penguat, bukannya para wali tersebut bertujuan menunjukkan karamat mereka. Namun apa yang perlu dipelajari daripada (Syeikh Abdul Qadir Jailani) ialah kehidupannya dalam mengislah (membaiki) dan mendamaikan umat Islam yang bertelagah pada ketika itu. Walaupun telah berlalu 900 tahun, para cendiakawan sentiasa mengkaji peranan beliau sewaktu umat berselisih pada zaman tersebut.”

“Ini kerana Syeikh Abdul Qadir Jailani telah mendamaikan manusia yang berselisih pada zaman tersebut yang beliau juga mengikut jejak langkah datuknya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.” Nota berakhir di sini.


Entri ini dicatit berdasarkan catatan dan yang didengari pada hari tersebut. Mohon andai ada salah dan silap.

Dikira-kirakan entri ini terlalu panjang. Insya-Allah akan disambung dalam entri seterusnya....


Berjasa Kepada Masyarakat



NOTA: Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan seorang ulamak besar yang pernah hidup pada suatu masa dahulu. Susur galur beliau terjalin terus kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam melalui nasab Hassan bin Ali bin Abi Talib [1]. Beliau telah digelar sebagai sultanul auliya’ ataupun penghulu bagi para wali-wali. Beliau merupakan kesan langsung daripada tarbiah (pendidikan) pemikiran Imam al-Ghazali. Antara sumbangan besar beliau ialah secara langsung melahirkan satu generasi pilihan Allah, generasi Salahuddin al-Ayyubi yang bakal membebaskan Baitul Maqdis (Jurusalem) daripada cengkaman tentera Salib. Kesan perjuangan Imam al-Ghazzali serta munculnya Syeikh Abdul Qadir Jailani dan generasi Salahuddin telah dikaji dengan teliti oleh seorang ulamak, Dr. Majid Irsan Kailani [1]. Khabarnya beliau merupakan salah seorang daripada keturunan Syeikh Abdul Qadir Jailani.


Rujukan Tambahan:
[1] Dr. Majid Irsan Kailani, (2000). Kebangkitan generasi salahuddin dan kembalinya jurusalem ke pangkuan Islam. Thinkers Library: Gombak.

[2] Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hasani, (2009). Salawat pilihan. Sofa Production: Ampang.

[3] Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, (2008). Rahsia ketuhanan dalam syarah Hikam Syeikh Ibnu Atoillah al-Sakandari. Sofa Production: Ampang.

[4] al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba’ al-Syaibani, (2009). Ringkasan Sirah Nabawiyyah. Sofa Production: Ampang.

Ziarah Ustaz Awang Pon


Dimaklumkan bahawa Ustaz Awang Pon b Awang Sebon telah diwadkan di KPJ Selangor Specialist Hospital, Shah Alam baru-baru ini. Ikuti ziarah rombongan PERKEPISMA pada 28 Jun 2009 yang lepas di pautan ini.

Kita doakan agar kesihatan beliau menjadi lebih baik. Daripada Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali. Semoga Allah melimpahi barakah dan rahmat-Nya kepada beliau.

Berjasa Kepada Masyarakat

Sunday, June 14, 2009

Galaksi Muhsinin ditempah Perpustakaan Negara Malaysia!



Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Novel fiksyen sains (sai-fai) Galaksi Muhsinin, telah terpilih dalam senarai pembelian oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). PNM telah memesan sebanyak 1089 naskhah Galaksi Muhsinin. Pengumuman telah dibuat pada 11 Jun 2009 yang lepas, tetapi saya baru mengetahui berita gembira ini daripada sahabat saya sdr. Firdaus Ariff pada pagi ini (15 Jun 2009). Dapatkan pengumuman tersebut di pautan ini.

Syukur... syukur... syukur ya Allah...

Kini sedang melengkapkan sebuah sinopsis novel sastera jantan, Surat Dari Volga yang memerlukan penelitian dan memakan masa. Ini kerana banyak fakta sejarah yang perlu disaring dan disusun supaya dapat disesuaikan; agar tidak terlalu berat atau terlalu ringan; terlalu kompleks ataupun kebarangkalian berlaku bias. Sekuel Galaksi Muhsinin juga sedang diusahakan. Saya berharap sinopsis novel baru tersebut dapat disempurnakan terlebih dahulu. Kerana jalan cerita adalah yang perkara paling penting untuk siap dahulu. Isi dan nilai tambahan boleh ditambah kemudiannya.

Syukur... syukur... syukur ya Allah...


Wassalam


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat



NOTA: Sinopsis novel fiksyen sejarah saya, Panglima Padang Pasir telah pun diluluskan oleh pihak editor PTS Fortuna

Friday, June 12, 2009

Pengajian Umum Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki (JUN)



Berikut merupakan jadual yang diterima ketika berada di Pusat Tahfiz Jazari, Bukit Indah, Ampang pada 12 Jun 2009 (pengajian kitab Sohih Bukhari):

ISNIN

Tarikh:15, 22, 29 Jun 2009
Kitab: Minhaj al Abidin dan Fitnah Wahabi
Masa: 9.00 pagi
Tempat:Pusat Pengajian Hulu Klang

SELASA

Tarikh:16, 23, 30 Jun 2009

Kitab: Qul Hazihi Sabilii (Inilah Jalanku)
Masa: 9.00 pagi
Tempat:Masjid Darul Ehsan (Taman TAR, Ampang)

Kitab: Qul Hazihi Sabilii (Inilah Jalanku) & Hikam ibnu Atoillah
Masa: Selepas Maghrib
Tempat:Surau Kemensah (belakang Zoo Negara)


RABU

Tarikh: 17 & 24 Jun 2009

Kitab: Tafsir Surah Duha & Insyirah dan Fiqh Wanita
Masa: 9.00 pagi
Tempat:Rumah Hj. Kamarudin (Taman TAR, Ampang)

Kitab: Hikam ibnu Atoillah
Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Masjid Fathur Rahman, Melaka


KHAMIS

Tarikh: 18 Jun 2009

Kitab: Tafsir Surah Yassin
Masa: Selepas Maghrib
Tempat:Masjid Imam Syafie, KL


JUMAAT

Tarikh: 19 Jun 2009 (Ceramah)

Masa: Selepas Maghrib
Tempat: Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay, KL


Tarikh: 26 Jun 2009

Kitab: Hadis Sohih Bukhari
Masa: 8.00 malam
Tempat: Pusat Tahfiz Jazari, Bukit Indah, Ampang


SABTU

Tarikh: 13 & 27 Jun 2009

Kitab: Aqidah al-Awwam (Pengajian Tauhid) & Safinah al-Najah (Fekah)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Pusat Tahfiz Jazari, Bukit Indah, Ampang


Tarikh: 20 Jun 2009

Masa: Selepas Subuh
Tempat: Masjid Kg. Baru


Masa: 11.00 pagi
Tempat: Dewan Serbaguna Masjid Wilayah


AHAD

Tarikh: 14, 21 & 28 Jun 2009

Kitab: Tafsir Surah Duha & Insyirah
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Pusat Tahfiz Jazari, Bukit Indah, Ampang


Kitab: Hikam Abi Madyan
Masa: Selepas Asar
Tempat: Rumah Tn. Hj. Razif (Taman TAR, Ampang)


Berjasa Kepada Masyarakat

Tuesday, June 9, 2009

Manusia Robot


Saya tertarik akan idea seorang kenalan, mengenai realiti kualiti mahasiswa dewasa ini. Memetik kata-kata seorang ilmuan, Tan Sri Profesor Emeritus Khoo Kay Kim berkata mengenai hal ini:

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."


Ikuti lanjut di pautan ini.

Tuesday, June 2, 2009

Che: Simbol Revolusi Tersembunyi


Rasanya anda kenal wajah ini. Terkadang mungkin anda terperasan ketika anda sedang berjalan-jalan membeli-belah. Anda terpandang anak-anak muda kita memakai baju yang terpampang wajah orang ini. Tahukah anda siapakah dia?

Che Guevara namanya. Dia bukanlah seorang penjual nasi lemak ataupun seorang penebar roti canai tetapi seorang ahli revolusi komunis yang banyak menumpahkan darah. Tanpa sedar, anak-anak muda menjadikan ia disanjung sebagai idola. Dia diangkat sebagai simbol kepada perjuangan berdarah muda melalui revolusi bersenjata. Ataupun mereka sekadar suka-suka memakainya. Baru-baru ini, Hollywood telah menayangkan sebuah filem, dedikasi kepada ‘perjuangannya.’

Che Guevara seorang yang lahir di Argentina berkelulusan dalam bidang perubatan. Setelah merantau di Amerika Latin, dia telah melihat kesengsaraan yang dideritai masyarakat. Laungan komunisme yang mahukan keadilan masyarakat tanpa kelas (miskin, sederhana, kaya) menjadikan ia tertarik lalu meninggalkan profesionnya sebagai seorang doktor. Che kemudiannya menjadi orang kanan kepada seorang lagi penumpah darah, iaitu diktator komunis Cuba, Fidel Castro sewaktu revolusi komunis Cuba pada 1959. Che bertanggungjawab secara langsung membantu Fidel Castro menggulingkan diktator Batista.



Lagenda Che dan Fidel Castro lazimnya dicanang sebagai ‘hero’ dan ‘pejuang pembebasan’. Hakikatnya di sebalik lagenda mereka terdapat sejarah hitam yang mengerikan. Harun Yahya telah menyingkap bahawa pelbagai seksaan kejam dikenakan atas tahanan, seperti dicucuh dengan bahan kimia, jenayah fizikal dan seksual serta bermacam-macam lagi atas orang yang didakwa musuh kepada revolusi. Setelah revolusi 1959, seramai sepuluh ribu rakyat Cuba telah dibunuh dan seramai 30 ribu telah dipenjara dengan kejam.

Che telah dibunuh oleh ejen CIA yang memburunya ketika bergerak di hutan membantu pengganas komunis Bolivia yang melancarkan serangan bersenjata menentang kerajaan. Kematiannya telah diangkat sebagai simbol perjuangan abadi kepada revolusi. Malah ada pendapat mengatakan bahawa jika Che masih hidup, dialah yang menggantikan Fidel Castro sebagai diktator Cuba.


Kemunculan buku-buku mengenai Che Guevara di salah satu gedung buku terkemuka ibu kota telah menarik perhatian saya. Bukan sekadar sebuah buku, tetapi banyak. Sebelum ini pun, terdapat pihak yang menyatakan kebimbangan akan bertambahnya bilangan buku yang menceritakan kembali ‘perjuangan’ komunisme di negara ini oleh veteran-veteran komunis Parti Komunis Malaya, PKM. Seolah-olah mereka tidak bersalah atas perbuatan kejam yang telah mereka lakukan.

Terbit kebimbangan di hati saya. Adakah pembaca nanti (terutama Muslim) dapat menilai ideologi yang tersembunyi yang diselitkan oleh para penulis, jika tidak mempunyai asas kefahaman yang kukuh akan Islam. Secara peribadi, saya meneliti sedikit sebanyak, terdapat slogan yang boleh menarik perhatian orang-orang muda yang membaca ataupun mendengar slogan-slogan yang dibawakan. Andai dikenali oleh orang yang kurang arif mengenai bahaya ini, dibimbangi terpengaruh sedikit sebanyak isi k$andungan buku-buku tersebut.

Awasilah peperangan fikiran yang melanda kita, umat Islam. Perlengkapkanlah diri kita dengan ilmu yang bermanfaat, yang akan menunjuki kita kepada jalan Tuhan yang lurus lagi benar dan mempertahankan daripada faham-faham yang mampu menggugat iman. Ilmu, ilmu dan ilmu. Kerana sejarah telah membuktikan, bahawa ideologi komunisme telah didokongi oleh majoriti orang yang tidak berpendidikan ataupun tidak berpengetahuan. Mereka telah ditaburi dengan pelbagai janji kosong tetapi penghujungnya penuh sesalan oleh penggerak-penggerak komunisme.



Apakah sebenarnya ideologi komunisme? Mengapakah ia tidak relevan lagi kepada umat manusia? Dan, mengapakah ada sesetengah pihak yang memberi amaran akan kewujudannya?
Insya-Allah, kita kupas pada lain masa...

Berjasa Kepada Masyarakat

NOTA: Buku Communism in Ambush tulisan Harun Yahya boleh dimuat turun di pautan ini.

Monday, June 1, 2009

Tempatnya Bukan di Sini!


“Bapak pernah berdepan dengan komunis dolok (Ayah pernah berhadapan dengan komunis suatu masa dahulu).” Kata Si Ayah membuka bicara.

Si kecil terlopong sahaja kerana tidak percaya, “Apa, komunis? Di siney ya? Bila (Komunis? Di mana? Bila)?”

Masa bapak mudak-mudak dolok, sebelum kitak laher. Ya di dalam hutan Santubong (Semasa Ayah muda-muda dahulu, sebelum awak lahir, di hutan Santubong).”

“Apa polah kitak sia (Ayah buat apa di sana)?”

Masa ya bapak ada perkemahan pengakap. Kamek urang sik tauk pun maseh ada komunis di sia. Sepatutnya dah bersih daripada sidak (Ayah ada perkhemahan pengakap. Kami tidak tahu masih ada komunis di sana. Sepatutnya sudah bersih daripada ancaman mereka).”

“Giney kitak boleh berjumpa dengan sidaknya (Bagaimanakah Ayah boleh terserempak dengan mereka)?”

“Bapak dengan sorang kawan tengah melimpas sigek tempat. Tiba-tiba kamek urang tersedar dapat ngesan ada pergerakan dalam hutan (Ayah bersama seorang rakan sedang melintas satu tempat. Tiba-tiba kami terperasan dan mengesan ada pergerakan di dalam hutan).”

“Kamek urang berbincang. Bapak madah boleh jak selesei sidak komunis ya (Kami berbincang. Ayah kata, Ayah boleh tewaskan komunis ini).”

Si kecil mengangguk. Dia tahu ayahnya berkebolehan. Si Ayah juga sering bercerita akan pengalamannya sejak kecil dalam ilmu seni silat warisan keluarga. Ilmu ini bukan sekadar dipelajari begitu sahaja. Tetapi harus digunakan apabila keadaan mendesak seperti ini.

Sambil ketawa kecil Si Ayah mengatakan, “Masa ya tangan bapak maseh belukuk lagik. Betup-betup kedak buah pinang. Latihan oleh Datuk Mohamad kitak maseh terkesan lagik (Sewaktu itu, tangan Ayah masih berketul-ketul lagi, seperti buah pinang. Latihan yang diberi oleh Datuk Mohamad awak masih lagi terkesan).” Si Kecil kagum mengangguk.



Dah ya (Selepas itu)?”

“Memang bapak boleh kalahkan sidak. Tapi bila difikir-fikir balit, nyawa kawan-kawan lain lebih penting. Mun kamek urang ngerja komunis ya, mesti sidak mburu kamek urang (Memang Ayah boleh kalahkan mereka. Tetapi difikirkan kembali, Ayah merasa bahawa nyawa kawan-kawan lebih penting. Seandainya kami menewaskan komunis itu, mestilah mereka memburu kami).”

“Lalu kamek duak nait atas pokok, bersembunyik di sia (Kami naik atas pokok dan bersembunyi di sana).”

“Komunis ya lalu sik (Adakah komunis itu lalu di sana)?”

“Aok. Nang cun sidaknya lalu kat tempat kamek urang. Sidak mbak senapang, makei baju ijo. Sidaknya makei topi ijo berbintang tiga berwarna merah (Ya. Mereka memang lalu di tempat persembunyian kami. Mereka bawa senapang dan berpakaian warna hijau. Mereka menggunakan topi hijau berlambang bintang tiga berwarna merah).”

“Lekak ya kamek urang balit ke khemah. Dan kamek urang berkemas balit. Rasa sik selamat lekak nanggar sidaknya. Silap ari bulan, nyawa kamek urang dalam bahaya. Komunis tok jahat. Sekda belas kasihan munoh urang (Kemudian kami kembali ke khemah. Kami berkemas untuk balik. Kami merasakan tidak selamat setelah terserempak dengan mereka. Silap hari bulan, nyawa kami dalam bahaya. Komunis ini jahat. Mereka tanpa belas kasihan membunuh orang).”

“Syukurlah sik berlaku apa-apa ria.”

Demikianlah pengalaman ayahku, berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu usia mudanya. Pengganas komunis bukanlah teman yang boleh dipercaya, bahkan musuh yang perlu disingkirkan. Merekalah musuh negara yang menggugat rasa aman dan menyebarkan rasa terror. Kononnya mahu mewujudkan sebuah masyarakat yang adil tanpa kelas. Hakikatnya, itu hanyalah slogan semata-mata. Agama dikatakannya sebagai candu yang meracuni manusia. Darwinisme pula sebagai asas kepada kepercayaan. Sudahlah merasakan diri berasal daripada monyet. Tidak hairanlah jika mengganas, lebih teruk daripada beruk, orang utan ataupun cimpanzi!

Charles Darwin, Pengasas Darwinisme (manusia berasal daripada beruk)

Apabila mendapat tahu Chin Peng mahu menjejakkan kaki di bumi Malaysia ini, hatiku serta-merta memberontak. Walaupun aku ini bukan mangsa kekejaman PKM atau merasai zaman derita darurat, namun demikian mengenali Chin Peng melalui sejarah cukup menjadikan aku sebutlat suara bersama-sama dengan orang yang menentang kehadirannya.
Si komunis tua itu memperggunakan alasan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, seorang yang memaafkan musuh-musuhnya. Ia turut mempersoalkan, “Mengapa tidak rakyat Malaysia yang majoriti beragama Islam juga mencontohi nabi mereka?”

Mengapakah tidak memberinya peluang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di bumi bertuah ini?



Ya, mungkin si komunis tua itu sangat bijak mempergunakan Baginda sallallahu alaihi wasallam yang mulia untuk menambat hati orang Islam. Memang Baginda sallallahu alaihi wasallam telah memaafkan penduduk Mekah KECUALI enam orang yang tetap memusuhinya walaupun diberikan banyak kali peluang. Tetapi Chin Peng lupa, bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak mahu memandang Wahsyi yang telah membunuh bapa saudaranya Sayyidina Hamzah ketika Perang Uhud (3 Hijrah). Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak mahu menjumpai malah memandang Wahsyi, meskipun ia telah beriman dan memeluk Islam. Ini lantaran Sayyidina Hamzah merupakan seorang yang sangat rapat kepadanya dan sanggup membelanya ketika kesusahan.

Chin Peng lupa kisah ini. Seolah-olah ia lupa, yang ia telah mengakibatkan ribuan janda, anak yatim, anak, bapa dan saudara kepada yang tersayang telah menderita kerana ‘perjuangannya’. Jikalau Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sukar untuk menerima Wahsyi kerana kesalahannya (walaupun ia sudah beriman), inikan umat Islam yang biasa yang pernah menderita mahu memaafkan si tua itu yang masih komunis!
Katakan TIDAK kepada Chin Peng. Katakan TIDAK kepada ideologi komunis yang dibawanya. Tempatnya bukan di sini!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...