BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Hadhramaut. Show all posts
Showing posts with label Hadhramaut. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

Ziarah Ilmu Ustaz Azahar Hashim dan Kuching Berselawat III


Insya-Allah pada hujung bulan Mac 2013 ini warga Kuching cukup bertuah kerana diserikan lagi dengan taman-taman syurga, iaitu majlis ilmu daripada agamwan Ahli Sunnah wal Jamaah. Pada waktu tersebut, satu ziarah ilmu oleh yang berbahagia Ustaz Azahar Hashim, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin akan menemui masyarakat Kuching. Beliau merupakan panel program Turath Ulama'  yang disiarkan oleh RTM TV1 (Selasa dan Rabu 6.30-7.00 petang). 
Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi
(gambar daripada blog sdr. Izzat Syahid)
Beriringan bersama beliau adalah kumpulan penyebar selawat dan mahabbah kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, iaitu AlMawlid dan Kumpulan Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin. Mereka akan bersama-sama bergabung dengan kumpulan qosidah di Kuching bagi menjayakan program tahunan di Kuching, iaitu UNIMAS BERSELAWAT II dan KUCHING BERSELAWAT III. Marilah kita bersama-sama menghadiri majlis, semoga kita mendapat manfaat daripada mereka. Moga dengan kehadiran di majlis seperti ini dapat memandu membaiki dan mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya. Amiin... 

Sila rujuk agenda program-program seperti yang tertera di bawah:


Rabu, 27 Mac 2013

                           
1. Program : "Bicara Santai Almawlid Bersama Staf UNIMAS"
    Tempat   :  UNIMAS
    Masa       :  2.00 -5.00 petang 


3. Program    : Kuliah Maghrib 
    Tempat       : Surau Al Falah, Samariang Phase 3 
    Pengisian   : Ustaz Azahar Hashim (qasidah oleh Kumpulan Maulid Madrasah Al Khairat  
                          Kuching).


2. Program : UNIMAS BERSELAWAT II

    Tempat   : Arena Gemilangm Detar UNIMAS
    Masa       : 8.30mlm-10.30mlm
    Syor        : Digalakkan membawa sejadah sendiri dan berwuduk awal


                             





Khamis, 28 Mac 2013


                               

1. Program       : Kuliah Subuh 
   

    Tempat          : Masjid Qurawiyyin, UiTM Kota Samarahan
    Penceramah : Ustaz Azahar Hashim

2. AlMawlid@UiTM (promo KUCHING BERSELAWAT 3)


3. Program         : Kuliah Perdana 

    Tempat           : Dewan Ibu Pejabat HIKMAH Kuching
    Penceramah  :Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : 3.00 petang 

                              


4. Program       : 
Majlis Ratib Al-Attas

    Tempat         : Wisma Wanita, Biro Wanita, Samariang (berdekatan PERYATIM Kuching dan                         
                            Taman SUKMA) 
    Masa              : Bermula 6.30 petang
    Penceramah  :Ustaz Syed Mohammad bin Alwi al-Attas (dikenal sebagai Habib Mohamad 
                             al-Attas, Mudir Madrasah al-Khairat, Kuching) 
                             Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 
                             'Alamin
    Istimewa        : Alunan Qosidah daripada Madrasah al-Khairat, Al-Mawlid dan Kumpulan 

                             Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin 


Jumaat, 29 Mac 2013


                                

1. 
Program         : Kuliah Subuh

    Tempat           :  Masjid Darul Husni wa Rahmah, Taman Hussein, Kuching
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    
2. Program        : Tazkirah dan khutbah Jumaat
    Tempat          : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Khatib            : Ustaz Azahar Hashim
    Istimewa        : Berselawat selepas solat Jumaat bersama AlMawlid dan kumpulan Qosidah  
                             Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin

                                           


3. 
Program         : Kuliah Pengajian Kitab

    Tempat           : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : Bermula 3.00 petang
                              

4. 
Program        : KUCHING BERSELAWAT III, 2013

    Tempat         : Dewan Bahasa dan Pustaka, Petra Jaya, Kuching
    Tentatif         : 

           6.30 ptg  ~ Ketibaan para tetamu & jemputan kehormat.
           7.00 mlm ~ Solat Maghrib berjemaah, Solat Hajat Perdana & Bacaan Ratib Al- 

                               Haddad.
           8.15 mlm ~ Solat isya' berjemaah.
           8.30 mlm ~ Tayangan montaj KUCHING Berselawat III.
           8.35 mlm ~ Bacaan Maulid Ad-Dhiya ul Lami', alunan Qasidah dipimpin oleh Almawlid  

                               dan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
                              Tausiyah oleh Al Fadhil Al Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, pimpinan 
                              Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
          11.00 mlm ~Tamat.


Sabtu 30 Mac 2013

1. 
 Program         : Kuliah Subuh

    Tempat            : Masjid Darul Ibadah, Kpg. Samariang Lama, Kuching 
    Penceramah   : Ustaz Azahar Hashim
    

Marilah merebut peluang bersama meraih ilmu, keberkatan dan rahmat dalam majlis-majlis yang akan memberikan cahaya hati, jadilah pengembara yang kehausan akan siraman-siraman ilmu daripada para pecinta Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w...


                         


Tuesday, December 18, 2012

Ulama Itu Bawa Senjata



Diceritakan oleh Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaldin (dikenali juga sebagai Habib Izzudin), pernah seorang ulama di Hadhramaut, negara Yaman yang bernama Habib Muhammad bin Soleh al-Attas difitnah membawa senjata. Beliau merupakan mudir (guru besar) salah sebuah daripada banyak madrasah (seperti pondok) yang bernama Rubat Huraidhah. 


Ketika beliau memandu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat sekatan jalan raya. Ketua mereka mengarahkan supaya keretanya diperiksa bagi menyiasat dakwaan pihak yang berkepentingan. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami mendengar kamu membawa senjata. Di manakah senjata kamu?” askar itu menggertak.

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh
di Kpg. Segubang, Bau, Sarawak, 2010

Habib Muhammad bin Soleh al-Attas adalah seorang yang berwarakan tenang sahaja. Beliau menjawab ringkas, “ad-Du’a (Doa).”

Kata askar itu, “Apa? Di mana senjata kamu?” Sekali lagi tuan Habib digertak. Ia menjawab lagi, “Doa.”

“Di mana senjata kamu!” askar itu semakin kurang sabar. Jawabnya lagi, “Doa.”

 “Ah, sudahlah!” Keberangan, askar itu melepaskan ia pergi. Beliau tidak berbohong. Kalau senjata api, memanglah tiada. Tetapi beliau ada 'senjata' yang lain. Daripada kitab Sairus Salikin yang dikarang oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani rahimahullah (w. 1246H / 1830M) disebutkan hadith Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w (m/s. 607):

"Doa itu senjata mukmin dan tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi." (Riwayat Hakim)

Ulama merupakan waris kepada anbiya’ (para Nabi). Maka ulama dengan ketinggian ilmu yang mereka miliki, mencerminkan akhlak yang tinggi. Lihatlah, mereka tenang sahaja menghadapi fitnah dan membalasnya dengan ilmu dan hikmah. Dirinya dikenali sebagai seorang yang tawaduk, mengasihi anak-anak muridnya. Pernah diceritakan oleh sahabat-sahabat kami, beliau memeriksa keretanya sendiri dan memandu sendiri. Jika ada anak muridnya yang kurang sihat, beliau sendiri yang hadir menziarahi mereka. Semoga Allah merahmati beliau dan perjuangannya.

Dua ulama...Habib Muhammad bin Soleh al-Attas (kanan)
dan Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir
Madrasah al-Khairat, Kuching ketika program dakwah di
Kpg. Segubang, Bau, Kuching, Sarawak.
Habib Muhammad bin Soleh al-Attas pernah berkunjung dalam ziarah dakwah beliau di negara ini. Syukur kepada Allah, dengan izin-Nya, beliau sempat bertandang ke Bumi Kenyalang pada tahun 2010. 

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di perkampungan saudara baru, Kpg. Segubang di Bau, Kuching, Sarawak pada Jun 2010. 
Dalam rangka lawatan singkat dakwah beliau, kami bersama sahabat berpeluang berkhidmat semampu yang boleh. Bukan selalu ada ulama, terutama sekali daripada jurai keturunan Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang datang ke negeri kami ini.

Kenang-kenangan 2010... sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (Abang Syed, berkain pelikat hijau) yang sekarang melanjutkan pelajaran agama di Rubat Huraidhah.
Syukur kepada Allah, yang telah mengizinkan beberapa sahabat kami yang berpeluang untuk menimba ilmu secara bertalaqqi dan bersanad di madrasah beliau di Rubat Huraidhah. Semoga mereka diberikan kekuatan istiqamah meraih ilmu dan hikmah, agar dapat dibawakan kembali, terutama ke negeri kami yang ketandusan para ilmuan yang benar. 

Mudah-mudahan ada rezeki suatu hari kelak berazam ke sana merasai suasana ilmu dan ibadah. 

Habib Izzudin al-Aidrus bersama sahabat-sahabat mengiringi pemergian
Ustaz Iman Daud (dua dari kanan) berangkat ke Hadhramaut, Yaman untuk menimba ilmu
di Rubat Huraidhah bawah kendalian Habib Muhammad bin Soleh al-Attas.
Semoga Allah meneguhkan  Tuan Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dan sahaba-sahabat agar istqamah dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini... Amiin. 

Thursday, November 22, 2012

Mereka Insan Istiqamah...

Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan)
Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru Ahlul Bait inilah yang paling konsisten di jalan dakwah di Bumi Sarawak amnya, di Kuching khususnya. Ada atau tidak ada orang yang membantu, mereka tetap menggalas amanah dakwah moyang mereka Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Perjalanan mereka tampak sepi tanpa ada yang menemani. Jika di Kuching, antara yang dikenalli di kalangan mereka adalah Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus dan Habib Mustafa al-Haddad.

Mereka meneruskan amanah tanpa jemu; dengan mendidik anak-anak murid mereka akan adab-adab husnu zhan (bersangka baik) dan mahabbah (kecintaan dan kerinduan mendalam) akan Rasulullah s.a.w. Perjalanan dakwah berliku mereka ditempuh dengan kesabaran biarpun berpuluh-puluh tahun berjalan sendirian.

Barisan anak-anak muda di Madarasah al-Khairat
bersama mudirnya, Habib Mohamad al-Attas ketika Ramah Tamah Idulfitri 1433H

Teringat kata-kata Habib Mohamad al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching, beliau bergurau melihat ramai anak muda yang menawarkan khidmat kepada beliau, "Setelah 30 tahun barulah Allah tunaikan hantar anak-anak muda kepada saya untuk gerakkan dakwah."


Bersama juga, al-Fadhil
Ustaz Muhadir bin Joll (memegang kitab)
Jika dilihat secara zahir, mungkin mereka dipandang sebelah mata seperti pendidik biasa. Ya, mereka lebih suka merendah diri. Akan tetapi tugas mereka amat signifikan dalam dakwah di Bumi Sarawak. Ada orang berdakwah sasarannya bilangan orang yang mengimarahkan masjid. Ada orang berdakwah dinilai tampaknya aktiviti yang dibuat. Ada juga dianggap berdakwah dengan berpidato berapi-api. Ya, tidak salah semua metod tersebut. Tetapi penghargaan selayaknya harus ditujukan kepada mereka.

Mungkin kerana senyapnya dakwah mereka, tanpa kita sedar sasaran dakwah mereka adalah mencetak para ulama. Mereka menyediakan pancang-pancang pendidik umat suatu hari kelak. Asas yang mereka bina bukanlah calang-calang kerja. Mereka meneruskan kerja para ulama yang mencetak para ulama juga. Dan para ulama inilah yang membina generasi dari bawah. Biarpun memakan masa yang lama, insya-Allah dengan izin Allah, lama-kelamaan satu masyarakat belajar (learning society) yang beradab mulia akan terbina kelak. 


Daripada Blog Teh Secawan
Mereka inilah yang memimpin akal dan rohani masyarakat agar setiap pekerjaan adalah dalam lingkungan taqwa, iaitu menyempurnakan ketaatan kepada Allah dan Rasul.   

Berhari Raya Idulfitri 1433H di kediaman Habib Izzuddin al-Idrus
Saya melihat sendiri, betapa tingginya kesabaran para guru ini. Selayaknya digelar ulama. Para guru mereka bukanlah sembarangan orang. Dan usaha mereka juga bukan calang-calang. Ada di kalangan membina madrasah sudah selama puluhan tahun, dalam keadaan serba kekurangan. Dan hasilnya kini, gelombang demi gelombang anak-anak muda menyerahkan dirinya menuntut ilmu, agar sekembalinya mereka, menyambung mata rantai dakwah para guru mereka.

Habib Izzuddin al-Idrus menghantar adik dan anak murid (berkot), sdr. Iman Daud.
Beliau melanjutkan pengajian agama bersama para ulama Hadhramaut, Yaman.
Keberangkatan beliau diiringi oleh teman-teman sepengajian.
Apa yang mereka lakukan kini, adalah sama sepertimana usaha Imam al-Ghazali rahimahullah suatu ketika dahulu. Meskipun beliau dikritik kerana tidak terlibat dalam perubahan yang cepat, seperti perubahan politik ataupun berjuang di medan jihad, beliau tetap istiqamah terhadap pendiriannya. Beliau menyusun kembali, bermula daripada pelurusan tentang fikiran masyarakat melalui ilmu yang benar, paduan antara syariat dan hakikat. Beliau mencetak para ulama. Dan ulama ini mencetak lagi generasi ulama seterusnya, sehinggalah melahirkan antara tokoh ulama sufi terkemuka, Syeikh Abdul Qadir Jailani rahimahullah yang mendidik generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi... 

Anak-anak muda berqosidah, berhibur sambil berzikir, berselawat dan berdoa.
Inilah salah satu jalan mahabbah kepada Rasulullah s.a.w
Kita doakan semoga Allah meneguhkan dakwah para guru Ahlul Bait ini (Habib Mohamad al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus, Habib Mustafa al-Haddad, dan yang tidak disebutkan), mengampuni dan menunjuki mereka, dan membawa lebih ramai umat ini terutama anak muda mengambil manfaat daripada mereka... 



Mereka insan istiqamah...



Masjid Nabawi... Tanamlah azam untuk menziarahi Sayyidina Rasulullah s.a.w...
                                  
Dan tidak dilupakan, buat para guru serta aktivis dakwah yang menabur jasa di Bumi Kenyalang ini. Kalian adalah penyebar cahaya kalimah tauhid, Laa ila ha illallah, Muhammadurrasulullah (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah)...

Mohon tersilap kata dan bahasa...




Wassalam...


NOTA: 


1. Habib Mohamad bin Alwi al-Attas merupakan mudir kepada Madrasah al-Khairat,  di Kpg. Pinang JAwa, Gita', Kuching. Madrasah beliau menyediakan asas Bahasa Arab dan agama bagi menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Pelajar lepasan SPM yang amat berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama amat digalakkan walaupun tiada asas Bahasa Arab untuk menyertai Madrasah al-Khairat. Selanjutnya, mereka akan dihantar, khususnya ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama di sana. Beberapa kumpulan daripada anak-anak murid beliau telah berjaya melepasi STAM dan menuntut ilmu di sana.


2. Manakala Habib Izuddin al-Idrus merupakan mudir Rubat Raudhatul Mustofa di Kpg. Selang, Telaga Air, Kuching. Pelajar-pelajar beliau yang berkelayakan setelah melalui sistem pembelajaran secara talaqqi akan juga dihantar ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama.

Sunday, November 11, 2012

Rakaman Minggu 1 & 2 Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah

Berikut adalah rakaman kuliah pengajian syarah (huraian) kitab Bidayatul Hidayah oleh Ustaz syed Ahmadzaimi bin Syed Kamaludin al-Aidarus yang diadakan secara berkala pada setiap Jumaat malam di Dewan Syarahan YADIM Zon Sarawak. Bangunan dewan tersebut terletak berdekatan simpang lampu isyarat di Astana, Kuching

Video ini merupakan rakaman minggu pertama dan kedua pengajian. 

Anda boleh menghubungi Ustaz Akhie Zamri untuk makluman lanjut



Monday, January 30, 2012

[Buku] Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz


“Engkau penyihir orang-orang muda!” tempik seseorang.

Orang yang ditempiknya lantas sujud ke tanah. Kemudian orang bersama (bersujud) bertanyakan, “Mengapakah tuan terus sujud ke tanah, sedangkan dia menuduh tuan seorang penyihir?”

Lantas, insan tertuduh itu tersenyum, lalu berkata, “Kerana aku menempuhi jalan yang telah dilalui oleh baginda moyangku.” Ya, moyangnya telah dicemuh. Bukan sekadar ahli sihir. Bahkan, bermacam-macam lagi tuduhan yang tidak benar lagi berasas. Kerana insan agung tersebut adalah Utusan Terakhir Allah adalah penyempurna akhlak manusia, maka ia tidak membalas sedikitpun yang diterimanya. Moyang beliau adalah Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Begitulah saya dengar daripada sahabat saya daripada Madrasah al-Khairat, Kuching yang pernah menimba ilmu daripada majlis yang disampaikan didakwa sebagai sang penyihir tadi. Siapakah orang ini?

Beliau adalah Habib Umar bin Hafiz. Beliau merupakan ulama keturunan Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w dan merupakan pengasas sebuah institusi pengajian agama Darul Mustafa. Institut tersebut mempertahankan sistem tradisi ilmuan Islam secara bersanad yang menjadi tonggak kepada kukuhnya ilmu agama berlandaskan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Darul Mustafa terletak di sebuah tempat bernama Tarim, Hadhramaut, Yaman.

Buku Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz telah saya beli beberapa minggu yang lepas di Mybookstore, Kuching. Bimbangkan buku ini cepat habis, maka saya segera menyambarnya tanpa banyak fikir. Buku ini diterbitkan oleh Inteam Publishing pada November 2011 yang lepas. Buku ini membentangkan pengenalan ringkas tentang sosok dakwah yang tersohor ini. Usaha menerbitkan buku seperti ini amat bertepatan sekali, iaitu dalam keadaan umat Islam perlu mengetahui figur-figur yang boleh dijadikan sebagai tauladan, terutama sekali pemuda-pemudi Islam.
Habib Umar bin Hafiz ketika berada di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM pada Januari 2010. Oleh sebab tidak ramai hadirin menghadiri kuliah subuh beliau, maka kesemua di kalangan mereka berkesempatan untuk bersalaman dengan beliau. Walaupun saya tidak hadir, tetapi sykurlah gambar ini telah dimbil dengan kamera saya! (Huhu)

Namanya bergema di hati-hati pemuda pemudi yang beriman kepada Allah di serata dunia. Dirinya mengikut jejak langkah nenek moyangnya Sayyidina Rasulullah s.a.w. Beliau merantau ke ceruk-ceruk dunia untuk menyampaikan dakwahnya mengajak manusia kembali kepada Allah dan mencintai Rasulullah s.a.w. Saya pernah mendengar, bahawa sekali majlis sahaja di Indonesia, manusia yang hadir mencecah lebih sejuta di sebuah dataran. Dikhabarkan, beliau keluar berdakwah ke serata dunia selama 6 bulan setahun. Manakala menjelang Ramadhan, beliau kembali ke Tarim, Hadhramaut. Saya teringat kata-kata seorang kenalan:
“Kita berasa penat sekali usai pulang daripada majlis Habib Umar. Akan tetapi, sebenarnya beliau tanpa mengeluh dan rasa lelah meneruskan dakwahnya di negara-negara lain. Daripada manakah beliau beroleh kekuatan?”
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1.Biografi ringkas hidup Habib Umar bin Hafiz
2.Pengenalan tentang Darul Mustafa
3.Intisari ceramah dan nasihat beliau ketika berada di Indonesia
4.Biografi ringas anak murid beliau, Habib Ali Jufri
Satu tradisi ulama Hadhramaut adalah menziarahi makam Nabi Allah Hud pada bulan Syaaban.
Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah berikan kepada saya, saya sempat mengikuti majlis bersama Habib Umar di pondok Baitul Qurra, Melaka pada Januari 2010. Pengalaman hadir dalam majlis tersebut luar biasa sekali. Dikatakan, lebih 10,000 hadirin membanjiri dataran pondok tersebut. Pengisian tausiyah beliau tidaklah lama. Tidak sampai sejam pun. Namun demikian, sentuhan ruhani beliau luar biasa sekali; saya yakin ribuan hadirin juga mengalirkan air mata ketika kami berdoa bersama-sama beliau kepada Allah.


Saya masih ingat, untuk keluar lorong pondok ini memakan masa yang agak lama, kerana terlalu ramainya manusia! Walaupun tidak berkesempatan untuk mencium tangan beliau, namun saya sempat melihat manusia berduyun-duyun, berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau. Saya teringatkan perbualan saya dengan seorang sahabat, beliau mengatakan:

“Habib Umar tidak membawa sepuluh sen pun, dia dapat (menyara hidup) teruskan dakwahnya. Orang sanggup menjaga kasut beliau sehinggalah menyarungkan kasutnya ke kaki. Begitulah, orang yang begitu hampir kepada Allah, dunia di bawah telapak kakinya.”
Perwatakan beliau yang lemah lembut dan berhikmah, keluasan ilmu dan menyentuh hati-hati pendengar mengangkat wibawa beliau. Lantas, tidak hairanlah beliau menjadi sebutan di kalangan muda-mudi.

Menurut daripada kisah yang saya dengar daripada orang-orang yang pernah menuntut ataupun hadir di majlis beliau ketika di Hadhramaut, beliau merupakan seorang yang amat berpegang dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Betapa besarnya perhatian beliau terhadap ilmu, masa tidur sehari purata tidak lebih daripada sejam. Dikatakan juga, adakalanya tidur beliau hanyalah ketika terlelap seketika semasa beliau menelaah kitab pada sepanjang malam. Siangnya beliau mengajar dan berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani anak murid beliau, Habib Ali Zainal Abidin (calon PhD UIAM) ketika di Masjid al-Falah USJ9, Subang, Januari 2010. Dianggarkan dihadiri oleh 10,000 orang
Satu kekaguman yang saya dengar di kalangan penuntut beliau adalah cara beliau yang amat berhikmah mencontohi Sayyidina Rasulullah s.a.w.Beliau tidak mencela dan menghina orang lain. Sekalipun orang-orang yang berbeza aliran mazhab ataupun akidah, beliau tidak pernah menyebutkan nama-nama orang tertentu dalam majlisnya, hanya sekadar menyebutkan ciri-ciri fahaman yang menyimpang daripada agama. Saya dengar juga, tidak sedikit tokoh-tokoh Syiah dan Wahabiyah yang telah insaf dan bertukar aliran menjadi penuntut beliau menegakkan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani oleh Habib Ali Zainal Abidin yang menterjemahkan tausiyah beliau. Di Baitul Qurra', Melaka, Januari 2010.
Marilah bersama-sama kita menjadi pencinta para ulama yang merupakan rantaian dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w. Ulama keturunan beliau, yang digelar sebagai Habib telah bergiat cergas setiap masa dan ketika membawa manusia kembali kepada-Nya. Hakikat fakta sejarah mengatakan bahawa rantau ini telah disinari dengan cahaya Islam oleh para ulama sufi daripada Hadhramaut sejak ratusan tahun yang lampau. Syukur kepada Allah, hubungan tersebut telah disambungkan kembali oleh penerus generasi ulama Hadhramaut.
Disebutkan sebuah hadith dalam kitab Empat Puluh Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama susunan KH. Muhammad Syukeri bin Unus al-Banjari (diterjemah oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki), daripada Abdullah bin 'Amar bin ‘Ash radiallahu’anhuma berkata:

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang-orang yang jahil, lalu mereka ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka tersesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
Mengakhiri pengenalan buku kali ini, dalam kesempatan yang ada kita perdengarkan mutiara-mutiara hikmah daripada Habib Umar bin Hafiz. Semoga kita beroleh manfaat daripada beliau, amin.

Habib Umar berbicara akan kasih Rasulullah s.a.w terhadap umatnya:


Habib Umar berbicara tentang ciri umat Islam yang sejahtera:


Dokumentari kembara dakwah Habib Umar di Andalusia, Sepanyol:


Allahu’alam. Wassalam.

NOTA: Khas buat orang-orang di Kuching, bersempena sambutan Maulidur Rasul 1433H ini, YADIM dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain akan mengadakan program 'Marhaban ya Rasulallah s.a.w!' yang akan dihadiri juga oleh para Habaib jemputan pada 11 Februari 2012 di Majid Darul Abidin, Astana. Anda dijemput hadir bersama keluarga, jiran-jiran dan rakan taulan. Jumpa di sana!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...