BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, November 26, 2013

[KAFA] “Cikgu, Sayidina Umar lawan Ultraman, siapa hebat?”

                                    
Sang guru telah bercerita tentang Sayydina Umar al-Khattab  pada minggu lepas. Pada minggu baru ini murid menyalin peta minda berkenaan tokoh masyhur itu dari papan hitam. Tersebutlah kisah, ada seorang sang murid amat mengagumi Sayyidina Umar. Pada pengamatan sang guru, si murid ini adalah seorang yang bertenaga tinggi, tidak sah hari tersebut kalau tidak berlari berpusing mengelilingi kelas. Oleh sebab minatnya kepada Sayyidna Umar, peta minda itu siap ditulisnya.

Namun ketika sang guru mendengar bacaan al-Quran (murid yang sudah siap), maka sang pengkagum Sayyidina Umar ini telah me-‘smack down’ menggusti seorang rakannya yang tertiarap.

Laungnya, “Umar kuat! Umar gagah! Umar tegap!” Kelibatnya itu hanya dijeling oleh gurunya kerana masih mendengar seorang murid membaca al-Quran dan adegan itu ‘tidak serius’ kerana terlalu biasa berlaku.

Kemudian dengan pantas dia mengambil sebuah beg dan menggayakan meletakkan sebiji batu besar, “Nah! Rasakan batu ini!” Perlakuannya yang pantas itu membuatkan guru bising.

Mana tidaknya, minat yang mendalam itu telah terlebih tafsir. Dan tersalah tafsir pula dengan cerita Bilal bin Rabah yang pernah ditindih oleh tuannya bangsawan kafir Quraisy Umayyah bin Khalaf yang pernah dicerita oleh sang guru. Adegan smack down itu berakhir. Si pengkagum Sayyidina Umar lari ke belakang kelas kerana tidak mahu ditangkap sang guru. Kemudian ia kembali membuat kerjanya apabila situasi sudah reda.
Kota Baitul Maqdis (Jerusalem) telah diserahkan kepada
Khalifah ar-Rasyidin, iaitu Sayyiduna Umar al-Khattab
kira-kira pada 16 Hijrah.

Murid ini sangat suka jika mendengar cerita. Sedang ia membuat kerjanya, tiba-tiba dia menyapa, “Cikgu.”

“Ada soalan?”

“Kalau Ultraman lawan Sayyidina Umar, siapa yang menang? Siapa yang kuat?”

Mulanya sang guru keliru. Berkata dalam benak hatinya, ‘Bagaimana murid ini kenal Ultraman? Sedangkan itu adalah superhero zaman 1990-an – aku budak-budak dahulu.’ Guru itu tidak dapat menahan gelaknya.  
Kata seorang murid lagi, “Ultraman mana ada. Itu semua tipu.”


Balas guru kepadanya, “Awak rasa, siapa menang? Siapa pula yang kuat?”

“Tentulah Ultraman.” Mungkin kehebatan Sayyidina Umar yang gagah itu menjalar di benak fikirannya. “Eh, tidak. Tentulah Sayyidina Umar. Dia gagah.”

Lantas sang guru berdiri. Katanya kepada semua murid, “Haa... kawan awak ini ada soalan, siapa yang menang kalau lawan. Ultraman ataupun Sayyidina Umar?

Mereka bersahut-sahutan. Ada yang mengatakan itu dan ini yang menang. Kata guru, “Baiklah, kalau benar Ultraman dan Sayyidina Umar berlawan, saya rasa Sayyidina Umar yang menang.”

Kelas yang hiruk-pikuk dengan tujahan jawapan berdesibel tinggi serta-merta senyap seperti kubur. Tanya sang guru, “Saya mahu tanya. Ultraman boleh atau tidak berhentikan gempa bumi?”

Sekali lagi kelas jadi huru-hara dengan polemik debat antara insan berumur 9 tahun. Sang pengkagum tadi berkata, “Tentulah Ultraman boleh buat.”

“Betul?” tanya guru.


Jawabnya, “Pernah atau tidak lihat Ultraman lawan raksasa besar? Apa yang terjadi?"

"Gempa bumi." Ada yang sudah menggayakan tangan mereka, berangan-angan keluar sinaran yang membinasakan raksasa.

"Bangunan runtuh." Ada yang menjawab matanya ke atas mengenangkan.

"Bumi bergoncang.” Ada yang menjawab kemudian mengusik orang sebelah. 

Si guru tersenyum. Katanya, "Baiklah. Macam mana pula kehebatan Sayyiduna Umar?" Kelas kembali senyap.

Lantas sang guru mengambil sebatang kayu (bahagian kerusi rosak) dan berdiri tegak. “Tentulah Sayyidina Umar yang hebat. Sebab dia boleh hentikan gempa bumi, dengan izin Allah.”


Masjid Nabawi, tempat terletaknya maqam Nabi Muhammad s.aw.
di Kota Madinah.
Kelas sunyi sekali lagi. Maka sang guru berkata, “Pernah suatu ketika Sayyidina Umar al-Khattab menjadi khalifah orang Islam. Berlakulah gempa bumi yang dahsyat di Kota Madinah. Maka Sayyidina Umar terus menghentakkan tongkatnya dan berkata, ‘Wahai bumi, tidak cukupkah aku berlaku adil kepadamu?’ Lantas bumi Madinah pun terus diam tiada bergoncang lagi.”

Mungkin jawapannya tidak menjawab soalan sepenuhnya. Akhiri guru, “Siapa yang hebat, Ultraman ataupun Sayyidina Umar?” 

Kesemua mereka menyebut serentak nama penghuni syurga yang agung itu, "Sayyidina Umar al-Khattab!"

                                             
Sahibulhikayat, kisah berakhir....

"Dan (selepas martabat nabi dan rasul), Para Sahabat Baginda s.a.w yang sebaik-baik kurun, maka dengarlah (pandangan yang menyatakan kemuliaan ini).
Kemudian (setelah martabat sahabat, ialah) mereka yang mengikuti (Para Sahabat r.anhum), kemudian mereka yang mengikut orang yang mengikut (Para Sahabat)."
~Syeikh Ibrahim al-Laqqoni, terjemahan Jauharah Tauhid (dalam buku Haikat Kenabian Rasulullah s.a.w).
Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, serta para Sahabat dan Ahli Bait (ahli keluarga) baginda, serta orang-orang yang menuntuni jalan Baginda s.a.w. Segala puji bagi Allah yang telah menerbitkan generasi terbaik manusia, para Sahabat yang telah dididik oleh sebaik-baik, semulia-mulia makhluk manusia, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Mereka inilah bintang-bintang yang menerangi umat ini dengan pengorbanan darah dan airmata mereka semata-mata untuk redha Tuhan. 

Kisah Sayyiduna Umar al-Khattab
tadi adalah berdasarkan kitab ini.

Allah telah menjadikan di keliling Baginda Nabi Muhammad s.a.w insan-insan yang amat mulia. Mereka redha kepada Allah dan Allah jua membalas redha-Nya kepada mereka. apakah yang lebih besar nikmatnya daripada itu? Para Sahabat inilah bukti bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu ada. Melalui merekalah agama ini diperturunkan daripada Sang Rasul tercinta. Melalui mereka al-Quran yang kita tatap sampai kepada generasi ini.  Merekalah yang menjadikan tubuh mereka perisai apabila Baginda Nabi Muhammad s.a.w.  Tidak tergambar bagaimanakah suasana kasih sayang sesama mereka. Melalui mereka, agama telah tiba ke segenap pelosok buana.Semoga Allah berkekalan melimpahi rahmat atas mereka dan Penghulu mereka dan Penghulu kami, Nabi Muhammad s.a.w.

Bercerita adalah satu sifat semulajadi manusia menongkah arus kehidupan. Kisah lampau daripada manusia-manusia agung menerbitkan keinsafan kepada kita, bahawa jauh sekali jurang beza darjat antara kita yang punyai iman senipis kulit bawang berbanding mereka yang Allah redha. Dan kisah lampau ini menjadi obor inspirasi menerangi hati.



Guru KAFA (Kelas al-Quran dan Fardhu Ain) memainkan peranan yang amat besar dalam menanam benih kecintaan kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. salah satu jalannya adalah bercerita mengenai sifat kelebihan, kepahlawanan, keadilan, amanah, akhlak dan kasih-sayang mereka di kalangan anak-anak. Realitinya apabila ditanya nama-nama artis, superhero, watak kartun dan banyak lagi virus teknologi mereka lebih kenal manakala, akhirnya para Sahabat apatah lagi Nabi Muhammad s.a.w semakin jauh di hati.

Anjuran membaca, mendengar dan mentelaah kisah perjuangan hidup para Sahabat dalam menjiwai kehidupan agama dapat kita ketahui melalui seorang ulama hadith terkemuka, iaitu al-Imam al-Allamah Hazrat Syeikh Maulana Zakariyya Kandahlawi (beliau adalah daripada keturunan Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiq). Beliau merupakan masyaikh (guru) kepada para ulama hadith termasuklah al-Allamah Syeikh Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki (1946 - 2004) dan al-Allamah Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz (1963 - sekarang). Beliau menyebutkan dalam bahagian Hayatus Sahabah (Kisah Para Sahabat) daripada kitab Fadhilat Amal:
“Sekiranya mereka yang gemarkan cerita-cerita, membaca kisah-kisah tersebut sebagai ganti kepada kisah-kisah yang sia-sia lagi dusta maka amalan mereka itu akan menjadi asbab untuk peningkatan agama dalam diri mereka. Begitu juga wanita-wanita di rumah dapat memperdengarkan kisah-kisah tersebut kepada anak-anak sebagai ganti kepada cerita-cerita dongeng. Ini akan mewujudkan keagungan dan kecintaan terhadap para Sahabat dalam hati-hati mereka serta kegemaran terhadap hal-hal agama. (ms. Iii, bab Kisah Para Sahabat)
Namun demikian, apabila seorang guru KAFA hendak berkongsi berkenaan para Sahabat, adakah memadai kita membaca dan menyampaikan setakat dalam buku teks?

Pada pengalaman yang masih mentah ini, seorang guru KAFA perlu menelaah lebih untuk melengkapkan ceritanya kepada anak-anak murid. Untuk mencapai hal ini, maka beberapa syor ingin diutarakan:

Terjemahan Hayatus Sahabah (Kisah Kehidupan Para
Sahabat) yang dikarang oleh Syeikh Maulana
Muhammad Yusuf Kandahlawi. Kanan sekali,
terjemahan Riyawat Hidup Rasulullah s.a.w yang dikarang
oleh Syeikh Syed Abul Hassan Ali an-Nadwi al-Hasani.
Kedua-dua mereka adalah ulama tersohor dari benua kecil
India.
1. Luang Masa Ulangkaji Baca Cerita 
Ada pengorbanan masa untuk melazimi membaca kisah-kisah orang soleh, terutama para Sahabat. Buku ini sebaiknya diteliti dahulu sebelum menatapnya, adakah daripada aliran yang benar ataupun batil. Antara buku terbaik adalah buku Hayatus Sahabah (Kisah Kehidupan Para Sahabat) yang dikarang oleh Syeikh Maulana Muhammad Yusuf Kandahlawi. Menurut Syeikh Nuruddin al-Banjari, buku ini adalah rumusan beliau daripada lebih 200 buku yang dikarang oleh para ulama. Ada versi berjilid, ada versi yang kompilasi keseluruhan.

2. Bijak Menyaring Cerita Sebelum Bercerita
Perlu diambil perhatian, sang guru hendaklah berhati-hati dan menyelidiki adakah sesuatu sumber yang dibacakan itu benar ataupun direka-reka? Ini memerlukan penelitian dan pengesahan daripada yang sang guru itu pelajari daripada guru-guru mereka.   

Teramat penting bagi guru KAFA terutamanya mengukuhkan kefahaman, arif tentang cerita-cerita para Sahabat ini kerana dewasa ini sudah tersebarnya fahaman yang mencaci, membenci dan memfitnah para Sahabat dengan pendustaan sebesar-besarnya iaitu fahaman SyiahDato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Pengerusi Yayasan Sofa Negeri Sembilan ketika satu program di Kedah, beliau menyebutkan bahawa Syiah yang merupakan ajaran yang direka oleh orang Yahudi untuk memecah-belahkan umat Islam. 


Perbezaan mereka dengan aliran perdana, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perbezaan perkara usul (utama, perkara pokok) yang membabitkan persoalan akidah, bukannya perkara cabang (furu’) seperti perbahasan fekah.

Maulana Zakariyya Kandahlawi mengingatkan dalam bahagian penutup kitab beliau Hayatus Sahabah

(Kehidupan Para Sahabat), beliau mengungkapkan peringatan daripada Imam Qadhi ‘Iyadh dalam kitab as-Syifa’, tentang waspada umat akan ancaman bahana Syiah:
“Di samping itu kita perlu menjauhkan diri daripada berita-berita yang diriwayatkan oleh ahli sejarah, orang Syiah, ahli bid’ah dan para perawi yang jahil yang sengaja mengada-adakan berita kelemahan mereka. Apabila kita mendengar riwayat-riwayat seumpama itu kita seharusnya mentafsirkan dengan tafsiran yang baik dan buatlah satu kesimpulan yang baik kerana para Sahabat r.anhum semenangnya berhak untuk kedudukan yang baik tersebut. Jangan kaitkan para Sahabat dengan keburukan mereka sebaiknya perjelaskanlah kebaikan dan kelebihan mereka. Diamkanlah diri daripada menceritakan keaiban mereka sebagaimana sabdaan Rasulullah s.a.w, “Apabila disebutkan keburukan para Sahabatku hendaklah kamu diam.”
3. Banyak Baca, Banyak Persilangan Cerita
Banyak membacakan kisah hidup banyak Sahabat dan hidup mereka bersama Rasulullah s.a.w. Mengapa? Kita akan dapat mengaitkan kisah hidup dan iktibar daripada ‘persilangan’ kisah-kisah  antara Sahabat. Kisah kita berkait dengan Sahabat lain, dan cerita pun bertambah ketika berkongsi dalam kelas. Secara langsungnya, akan memperkenalkan banyak peribadi mulia para Sahabat ketika pengajaran. Dalam perkara ini, kita memfokuskan pengkisahan Sayyidina Umar al-Khattab. Lihat perkaitannya. Misalan:  


    1. Sayyidina Umar al-Khattab adalah Khulafa’ ar-Rasyidin kedua.
    2. Siapakah yang pertama? Beliau adala Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Di sini kita boleh kisahkan khalifah ini setia bersama Rasulullah s.a.w. beliau telah membebaskan hamba abdi Bilal bin Rabah.
    3. Siapakah Bilal bin Rabah? Beliau adalah seorang hamba abdi dari negeri Habsyah dan tiada rupa. Ia merupakan muazzin (pelaung azan) yang pertama. Sayyidina Bilal yang bukan rupawan ini Rasulullah s.a.w telah dengar derap-derap kakinya di Syurga!
Sekadar itu disampaikan kali ini. Ultraman memang tidak ada, hanyalah rekaan. Tetapi para Sahabat ini memang ada. Menjadi kesepakatan dalam kitab-kitab aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah (bahagian Nubuwwat; Kenabian), bahawa mereka ada semulia-mulia manusia setelah Nabi dan Rasul, setelah Penghulu Anbiya’, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. mereka lah yang berhak diteladani.

Jannatul Baqi', tanah pusara Ahli Bait (keluarga
baginda s.a.w) dan lebih kurang 10 ribu para Sahabat.
Sumber: IslamicLandmarks.com

Sebagai penutup, mari kita ambil iktibar daripada renungan dan seruan Hazrat al-Allamah Maulana Zakariyya Kandahlawi menyeru umat Islam agar menghormati dan memuliakan para Sahabat baginda s.a.w dalam bahagian kitab beliau Hayatus Sahabah’ (Kehidupan Para Sahabat):
“Akhir sekali saya berasa sangat mustahak untuk memperingatkan para pembaca dengan suatu perkara yang penting. Pada zaman kebebasan yang tidak terkawal ini, kita orang-orang Islam telah diselubungi dengan perasaan bebas dan tidak ambil kisah dengan agama dan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan agama maka sifat beradab, memuliakan dan para Sahabat r.anhum dan mengambil tahu hak-hak mereka juga telah tidak dipedulikan dan tidak ambil kisah.”
Beliau menyambung lagi:
“Malah lebih dahsyat daripada itu. Sebahagian mereka yang tidak menghiraukan agama sanggup mempersendakan para Sahabat. Sedangkan para Sahabat dalah tonggak agama ini. Merekalah yang mula-mula menyebarkan agama Islam. Tidak mungkin kita dapat menunaikan hak-hak mereka dan membalas budi mereka walaupun kita berusaha sepanjang hayat kita. Semoga Allah S.W.T menurunkan ke atas jiwa-jiwa yang suci itu jutaan rahmat-Nya. Mereka telah mempelajari agama daripada Nabi s.a.w kemudian mereka menyampaikan kepada kita.”


Mereka selayaknya dicintai. Mereka selayaknya dimuliakan dan disematkan di hati mereka. kerana mencintai mereka bermakna mencintai Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Mencintai Kekasih Allah, bermakna mencintai Allah. Ayuh, kita semarakkan. Hidupkan jiwa kita dengan menteladani insan-insan terbaik yang tidak akan dilahirkan di muka bumi lagi.                                                                                   


Rujukan:
1. Al-Allamah Syaikhul Hadith Hazrat Maulana Zakariyya Kandahlawi, (2013). Fadhilat amal. Era Visi Sdn. Bhd.: Cheras.

2. Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, (2008). Syarah i’tiqad ahli sunnah wal jama’ah (karangan al-Allamah Muhammad Mukhtar ibn ‘atorid). Sofa Production: Ampang.

3. Muhammad Mujahid bin Ir. Mohammad Fadzil, (2012). Hakikat kenabian Rasulullah s.a.w dan martabat kekasih Allah: Menerusi kitab jauharah al-tauhid. Mawleed Publishing Sdn. Bhd.: Kota Damansara, KL.

Thursday, November 14, 2013

Mengapa Orang Syiah Sambut Hari Asyura?

Suatu hari Ustaz Weldani bin Hj. Sidi (adik ipar baru saya) bertanya kepada saya, "Mengapa orang Syiah menyambut Hari Asyura (dengan mencederakan diri sehingga berdarah)?"

                                     

"Tentulah memperingati kematian Sayyidina Hussain (cucu Rasulullah s.a.w)." Jawab saya ringkas, tiada komentar kerana masih dikaji.

Kata beliau, "Ini kerana orang Syiah berasa bersalah membunuh Sayyidina Hussain di Karbala."

Tempat yang dikatakan makam Sayyiduna Hussain bin Ali
(radhiyallahu 'anhuma) yang telah terbunuh di Karbala.
Tempat ini menjadi 'tempat suci' orang Syiah.

Jawab saya, "Saya ada dengar cerita yang sebenarnya, yang orang Syiah adalah pembunuh Sayyidina Hussain, bukan tentera Yazid bin Muawiyyah. Tapi saya belum jumpa buku yang menceritakan hal yang sebenarnya."

                                         
Beliau bertanya lagi, "Mengapa mesti Sayyidina Hussein yang diingati? Mengapa tidak Sayyidina Ali yang dikenang? Sedangkan orang Syiah menganggap bahawa Sayyidina Ali adalah Imam pertama mereka (menurut majoriti Syiah, aliran Syiah Itsna Asyarah ataupun Imamiyah)."

Saya pun terfikir kembali. Kata saya, "Benar juga. Sayyidina Hussain dibunuh. Sayyidina Ali pun dibunuh. Mengapa orang Syiah sambut di Karbala mengenang Sayyidina Hussain, bukan Sayyidina Ali?

"Oh, benar juak lah (benar juga ya)."                                                                                                          

Beliau meneruskan bicara, "Pada masa itu, Sayyidia Hussain telah dipanggil oleh orang-orang Kufah untuk dibaiat (berjanji setia diangkat sebagai khalifah). Beliau bertanyakan kepada para sahabat yang ada, semuanya menolak cadangan itu."

Sampuk saya, "Termasuknya adik-beradiknya sendiri, Sayyidina Hassan menghalang beliau."

Ustaz menyambung lagi, "Maka pergilah Sayyidina Hussain dan rombongannya menuju ke Kufah. Pada masa yang sama, tentera Yazid bin Muawiyyah daripada kerajaan Bani Umayyah telahpun keluar untuk menghadapi pemberontak."

Salah satu senibina zaman kerajaan Syiah Safawiyah di Isfahan,
Iran. Kerajaan Parsi-Syiah ini muncul pada abad ke-16. Pernah
membeloti kaum Muslimin apabila didapati bersubahat dengan
kerajaan Portugis pada abad ke-16 memerangi Daulah Uthmaniyyah
(yang menaungi umat Islam Ahli Sunnah wal Jamaah).
"Maka adanya orang-orang Syiah yang ketakutan menghadapi tentera Yazid, maka mereka menyerang dari dalam rombongan itu. Dan sebelum tentera Yazid tiba, orang-orang Syiah ini telah mengatakan mereka bukanlah pemberontak, bahkan mereka telah membunuh orang yang paling dikehendaki oleh Yazid."

"Akan tetapi, orang-orang Syiah telah membuat pendustaan dalam fakta sejarah dengan mengatakan bahawa dalang pembunuh sebenar adalah tentera Yazid sendiri. Mereka mencipta hadith palsu untuk mengukuhkan dakwaan mereka, sehinggakan kita terkesan sampai hari ini."

                                        

Saya pun terlupa satu perkara, bertanya lagi, "Orang-orang Syiah itu adakah dari dalam rombongan ataupun dari tempat lain?"

"Mereka menyerang dari dalam. Tidak hairan, kerana kemunculan mereka pun adalah fahaman Yahudi dan Majusi dimasukkan dari dalam, dengan bertujuan menghancurkan Islam."

Kepada Allah kita bermohon dan berserah. Moga Allah melindungi kita, ahli keluarga, jiran dan umat Muslimin agar terhindar daripada makar fahaman dan ajaran yang menyimpang ini. 

Allahu'alam.

Monday, September 30, 2013

[BUKU] Kitab Fadha’il Amal

Segala Puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan Ahli Bait (keluarga) Baginda, para sahabat, tabi’in, pengikut tabi’in, ulama muktabar serta orang yang ikhlas meruntun jalan Baginda s.a.w sehinggalah Hari Kiamat.

Kenang-kenangan beliau mensyarahkan kitab Siyarus Salikin
di Masjid Darul Falah USJ 9, 2009.
Syeikh Ahamad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Banjari[i] pernah mengungkapkan tanda berkatnya tulisan karya seseorang. Dalam mukadimah (pengenalan) kitab kemaskini dan huraian kitab Hidayatus Salikin (Petunjuk Jalan Bagi Orang yang Takut kepada Allah Taala) karangan asal Syeikh Abdu Samad Falimbani (wafat abad ke-19), beliau mengungkapkan seperti berikut:

“Dari sudut lain kita dapat melihat keberkatan kitab ini (Hidayatus Salikin), apabila ia terus dibaca di pondok-pondok (madrasah sistem talaqqi), di surau-surau dan di masjid-masjid sebagai teks bacaan orang ramai. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kitab ini diberi berkat oleh Allah Taala dari sebab keikhlasan pengarangnya. Di samping memang terbukti pula kesan yang baik yang timbul bagi setiap orang yang mentelaahnya dengan niat mencari ilmu yang memberi manfaat dan untuk mengamalkannya.” (pp. viii, Hidayatus Salikin)
Kitab Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Samad
Falimbani rahimahullah, disemak oleh Syeikh Ahmad Fahmi
Zam Zam an-Nadwi al-Banjari

Ciri keberkatan sesuatu karya ini mengingatkan kepada kita salah satu kitab yang paling mungkin terdapat di mimbar surau ataupun masjid, ataupun di rak-rak buku setelah al-Quran seta buku Yaasin dan Tahlil. Kitab ini huraiannya dibaca hampir setiap hari di banyak surau dan masjid, setidak-tidaknya selepas waktu Maghrib atau Isyak. Kadang-kadang adanya dibaca mengisi masa ketika sebelum azan solat Jumaat. Kitab ini diberi judul Fadhilat Amal ataupun Fadha’il Amal (Kelebihan-kelebihan Amal). Kitab ini ditulis oleh al-Imam al-Allamah Hazrat Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi Rahmatullah ‘Alaih (semoga Allah merahmati beliau), seorang ulama hadith tersohor dari India pada abad ke-20.


Biodata Ringkas Pengarang

Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi merupakan seorang ulama muhaddith yang  besar jasanya kepada umat Islam. Beliau menghabiskan hayat beliau berkhidmat untuk kekasihnya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dengan belajar dan mengajar ilmu hadith selama 60 tahun. Beliau mengarang banyak kitab, kitab terbesar beliau Awjazul al-Masalik (yang selesai dikarang setelah 40 tahun ditulis) adalah huraian (syarah) kepada kitab hadith Muwatta’ yang dinukilkan oleh Imam Malik rahimahullah.

 Menurut riyawat ringkas beliau dalam Majalah Q&A Isu #16 (April 2013), Syeikh Maulana merupakan seorang yang gigih menuntut ilmu. Beliau mengutamakan perhatian dalam keberkatan belajar daripada guru. Beliau membesar dalam persekitaran ilmu dan ulama. Tidak hairanlah beliau belajar ilmu agama daripada ulama-ulama seperti ayahnya sendiri, Maulana Yahya Kandahlawi, antara lain Maulana Rashid Ahmad Gaghori dan Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri.

Kitab terbesar Maulana Zakariyya; iaitu 
 kitab Aujazul Masalik, huraian kitab Muwatta' 
karangan Imam Malik r.m.h. Beliau menyusun kitab
 ini selama 40 tahun dalam
16 jilid.
Diceritakan bahawa pada tahun akhir pengajian hadith, beliau berazam untuk tidak meninggalkan pengajian sebuah hadith pun tanpa berguru. Beliau dan rakan sekelasnya Hasan Ahmad memastikan diri mereka dalam keadaan berwuduk. Kedua-duanya berpakat, jika salah seorang mereka terpaksa ke tandas atau membaharui wuduk, maka yang tinggal di kelas akan menanyakan soalan-soalan sehinggalah yang keluar tadi kembali. Akhirnya guru mereka terperasan perbuatan mereka. Pada suatu hari, apabila rakan Maulana yang bernama Hasan Ahmad tadi keluar, Maulana menanyakan soalan kepada gurunya. Tetapi gurunya ketawa dan berkata, “Tidak mengapalah, sementara kita tunggu Hasan Ahmad datang, aku akan ceritakan kamu satu kisah. Tidak payahlah aku bertaurung menjawab berkenaan kenyataan Fathul Qadir (sebuah kitab) kamu itu.”

Himpunan kitab telaahan Maulana Zakariyya, di
blog Taman-taman Ilmu dan Para Solihin.
Beliau sentiasa memanfaatkan masa untuk belajar. Apabila beliau dan bapanya Maulana Yahya Kandahlawi pulang ke kampung, mereka akan berdiskusi tentang ilmu di setiap masa yang ada. Iaitu ketika menunggu keretapi, ketika menaiki keretapi. Setelah itu  disambung lagi dalam perjalanan dari stesen keretapi ke rumah walaupun dekat. Dan kemudian perjalanan balik ke madrasah kembali. Apakah masih ada tabiat seperti ini di kalangan kita? Terlebih lagi golongan terpelajar mahasiswa?

“Sebenarnya seorang ulama tidak akan lahir sebagai ulama dengan sendiri. Malah lahirnya seorang ulama adalah melalui keberkatan berhubungan dengan ulama lain. Ini kerana ilmu bukan hanya apa yang ada di atas kertas, malah ilmu itu nur yang terpancar daripada mereka yang menerima cahaya Nubuwwah.”
(Mukadimah Taqrir Bukhari ms. 29 dan Aap Beti ms. 96, Majalah Q & A Edisi 16 (April 2013))


Sekilas Tentang Kitab Fadha’il Amal



Kediaman Maulana Zakariyya Kandahlawi, di
Di tangan penulis merupakan edisi terkini kitab Fadhilat Amalcetakan 2013. Kitab ini memuatkan bab-bab yang terlengkap di Malaysia setakat ini. Kitab ini merupakan kompilasi kepada beberapa kitab yang beliau karang, iaitu:

  1. Kitab Para Sahabat
Menghimpunkan banyak kisah daripada kalangan Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w, baik dari aspek ketakwaan, keghairahan dalam taat dan ibadat, amanah, kepahlawanan, kepatuhan dan kasih sayang yang tiada tara kepada Baginda s.a.w. Maulana mengungkapkan bahawa cerita-cerita orang yang soleh dan hampir kepada Allah ini harus dibaca berulang-ulang agar memberi kesan di hati kita. Mereka inilah insan yang terbaik pernah berjalan di muka bumi setelah Baginda s.aw. Mengasihi mereka bermakna mengasihi Rasulullah s.a.w. Mengasihi Baginda s.a.w bermakna mengasihi Allah, Tuhan Semesta Alam.

  1. Fadhilat Quran
Menghimpunkan dan menghuraikan 40 hadith tentang kelebihan membaca al-Quran.

  1. Fadhilat Solat
Menghimpunkan tentang kelebihan solat, amaran dan celaan meninggalkan solat, kelebihan solat berjemaah, amaran meninggalkan solat berjemaah, tentang khusyuk dan orang-orang soleh yang mengungguli kehidupan mereka dengan solat.


  1. Fadhilat Zikir
Menghimpunkan banyak kelebihan bacaan kalimah zikir yang sudah lazim dalam masyarakat yang mudah diamalkan, tetapi berat timbangannya di sisi Allah. Misalan, zikir Laa ilaha illlallah (Tiada Tuhan selain Allah), Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar). Saya berpandangan huraian beliau berlandaskan perkongsian pengalaman kerohanian beliau melalui tarbiyah (pendidikan) daripada masyaikh (syeikh-syeikh) beliau. Selayaknya beliau memperkatakan hal ini kerana berada di jalan berguru dan merasai kelazatan berzikir. Allahu’alam.

  1. Fadhilat Tabligh
Perpustakaan peribadi Maulana
Zakariyya. Kredit untuk
 blog Taman-taman Ilmu dan Para Solihin.
Tabligh menurut ilmu akidah (perbahasan mengenai pokok pangkal pegangan keimanan) adalah salah 
satu daripada sifat wajib iaitu menyampaikan dakwah yang ada pada seorang rasul. Namun demikian, daripada semua rasul dan umat mereka, hanya Nabi Muhammad s.a.w yang mewariskan tugas dan tanggungjawab menyampaikan agama Islam kepada umatnya kepada manusia sejagat. Dalam bab ini beliau memberikan panduan dan nasihat daripada hadith Baginda Nabi s.a.w khusus bagi insan yang berkecimpung dalam berdakwah.

  1. Fadhilat Ramadhan
Bahagian kitab ini amat berguna terutama sekali sebagai menyediakan suasana untuk menyambut Ramadhan. Sebaiknya apabila tiba bulan Rejab (bulan ketiga sebelum Ramadhan), bahagian ini sudah mula dibaca. Beliau menghimpunkan hadith-hadith mengenai kelebihan Ramadhan, Lailatulqadar dan adab-adab beriktikaf dan beribadah di masjid pada bulan yang mulia itu.

  1. Kemunduran Umat dan Penyelesaiannya
Kitab Fadhail Amal ini begitu sinonim bagai kembar yang tidak dapat dipisahkan daripada satu jemaah dakwah yang kita maklumi, iaitu Jemaah Tabligh. Oleh sebab kupasan yang menyeluruh, kitab ini menjadi silibus umum jemaah tersebut dalam bekalan dakwah mereka. Walaupun begitu, tidak bermakna orang yang tidak menyertai kerja dakwah mereka tidak menatap kitab ini. Sebaliknya, orang awam juga boleh membaca dan mengambil manfaat daripadanya.

Keistimewaan Kitab Ini

1. Keistimewaan kitab ini adalah Maulana menyatakan hadith dan huraian yang bersesuaian menurut tertib panjang teks (matan) hadith. Panjang teks dan huraian tersebut adalah mengikut turutan; daripada huraian pendek dan semakin panjang. Bagi memudahkan orang awam membaca, beliau menyatakan keududukan hadith secara ringkas. Untuk kajian agamawan, beliau menyatakan dalam Bahasa Arab. Setiap hari kita boleh memperuntukkan masa yang bersesuaian dengan panjangnya berdasarkan kelapangan masa kita.

2. Beliau menghuraikan hadith lengkap daripada ayat al-Quran, hadith ataupun kisah-kisah daripada para nabi-nabi, para rasul, para sahabat, orang soleh dan para wali di mana yang sesuai. Beliau menghuraikan beserta dengan nasihat dan teguran yang ikhlas daripada pengamatan beliau sebagai ahli ilmu. Huraian adalah senang difahami. Cuma kadang-kadang terdapat istilah-istilah ataupun konsep kesufian memerlukan penjelasan lanjut.


3. Kitab ini bukan sahaja sesuai dibaca di surau ataupun masjid pada waktu luang ataupun setelah solat, akan tetapi bersesuaian juga untuk dibaca di rumah, tempat kerja ataupun di mana-mana yang bersesuaian. Bahkan, dengan kisah-kisah yang dimuatkan, kitab ini juga sesuai untuk para pendidik agama, terutama sekali Guru Pendidikan Islam (GPI) ataupun KAFA (Kemahiran Al-Quran dan Fardhu Ain).

4. Jika kita teliti, Maulana Zakariya merupakan seorang yang sangat tawaduk (rendah diri). Meskipun beliau telah mengarang banyak kitab, berguru dengan para ulama mengajarkan ilmu hadith kepada ramai anak murid, beliau sering merasai dirinya yang serba kekurangan dan daif. Dalam banyak tempat, beliau sering meminta pembaca untuk mendoakan beliau.

Faktor Memiliki Kitab Ini

Ada beberapa faktor yang mendorong penulis untuk memiliki kitab ini:

1. Pencetus utama adalah apabila penulis menatap sebuah lagi kitab Syeikh Maulana Zakariya, iaitu Shamail Tirmizi (gambar), atau lebih dikenali sebagai Shamail Muhammadiyyah. Kitab tersebut istimewa, bukan sahaja mengumpulkan hadith-hadith tentang keperibadian Baginda Nabi Muhammad s.a.w, bahkan Syeikh Maulana Zakariya telah mensyarahkan (menghuraikan) tentang hadith tersebut dengan kupasan yang amat menarik berdasarkan perbahasan ulama dan kaitan dengan kisah-kisah lain.

2. Pendorong kedua, iaitu amalan membaca kitab ini selari dengan salah satu daripada empat jalan untuk istiqamah dalam amalan. Saranan ini pernah dipesan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll ketika kami menziarahi beliau pada Syawal 1433H yang lalu di Kuching. Beliau mengatakan bahawa salah satu cara untuk mengekalkan motivasi dalam ibadah adalah dengan selalu mendengar ataupun membaca tentang mutu, kesungguhan dan kualiti ibadah orang-orang yang soleh.

Kenang-kenangan berhari raya dalam suasana ilmu
bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll
pada Syawal 1433H.
Terdapat banyak cerita mengenai tauladan terindah Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dan ahli keluarga Baginda, ulama, mujahid, para wali, pemimpin adil dan sebagainya sarat dimuatkan dalam huraian tentang hadith-hadith kitab ini. Tambahan pula Syeikh Maulana ada menyebutkan dalam bab awal kitab ini, ‘Kisah-kisah Para Sahabat’ bahawa kisah-kisah terbaik sepanjang zaman ini amat wajar ditatap oleh isteri dan anak-anak:

“Sekiranya mereka yang gemarkan kepada kisah-kisah yang sia-sia lagi dusta maka amalan mereka itu akan menjadi asbab untuk peningkatan agama dalam diri mereka. Begitu juga wanita-wanita di rumah dapat memperdengarkan kisah-kisah tersebut kepada anak-anak sebagai ganti kepada cerita-cerita dongeng. Ini akan mewujudkan keagungan dan kecintaan terhadap para sahabat dalam hati-hati merek serta kegemaran terhadap hal-hal agama. (ms. Iii, bab Kisah Para Sahabat)

 Syeikh Maulana juga menyebutkan bahawa menyebut nama-nama orang yang soleh akan mengundang turunnya rahmat daripada Allah. Beliau mengungkapkan kata-kata seorang ulama sufi, Imam Junaid Baghdadi menyatakan perkara yang sama. Saya pernah mendengar hal ini daripada Ustaz Azhar bin Hashim al-Hadhromi, pemimpin Majlis Ta’lim Rahmatan lil ‘Alamin ketika majlis Kuching Berselawat III pada Mac 2013 lepas yang mengungkapkan kata-kata seorang lagi ulama sufi, iaitu Imam Sufyan al-UyaynahSebagai seorang awam, saya menyandarkan sangka baik terhadap ulama berkenaan yang amanah dalam menyampaikan ilmu beliau, sungguhpun beliau tidak terlepas daripada kesalahan.


3. Membaca biografi tentang rentetan riwayat hidup Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi dalam Majalah Q & A (terbitan Galeri Ilmu) dalam edisi April 2013 (Isu #16), telah membuka hati saya untuk menatap karya beliau. Beliau amat menitik beratkan akan ‘kehadiran dan berguru semasa menuntut ilmu.’ Dan disiplin seperti inilah yang menjemput keberkatan dalam menuntut ilmu. Begitu menarik usaha beliau yang begitu bersungguh-sungguh dalam mempelajari hadith Baginda rasul s.a.w, beliau dan rakatn beliau berazam tidak mahu mendapatkan hadith dengan berguru (yang benar).

Mari Hargai Karya Ulama

Pernah saya bertanyakan pandangan mengenai kitab Fadhail Amal ini kepada seorang kenalan mahasiswa jurusan agama tahun pertama di universiti saya. Beliau mengatakan,

“Beliau adalah penjenayah hadith. Beliau banyak meriwayatkan banyak hadith daif (lemah).”
Ketika itu niat bertanyakan adalah sebagai justifikasi bahawa Jemaah Tabligh yang sering menggunakan kitab ini adalah jemaah dakwah yang dipandang miring Ungkapan beliau telah menambah stigma negatif yang tebal dalam diri.


Setelah masa berlalu, dan adanya interaksi bersama dengan jemaah dakwah tersebut, telah merombak minda dan penyesalan. Buat sekian lama, rupanya diri menjauh daripada menatap karya daripada seorang yang Allah muliakan kerana khidmat pengarangnya kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah disedari oleh rakan dan alhamdulillah berpeluang di majlis-majlis pengajian agama daripada agamawan Ahli Sunnah wal Jamaah di Kuala Lumpu barulah ketahuan bahawa selama ini telah terpengaruh akan aliran yang memutuskan diri daripada berhubungan dengan ulama lampau. Baharu sedar bahawa didapati hadith daif itu masih dalam darjat hadith, bukan palsu dan boleh diguna untuk kelebihan amalan. Barulah tersentak terikut-ikut akan mereka berani sekali melanggar adab kepada para alim ulama yang amanah, tulus, besar jasa dan hampir kepada Allah.

Bahkan jika kita membaca riyawat hidupa Maulana Zakariya Kandahlawi, sungguh tidak beradab dan biadab sekali kita memperlakukan seorang yang Allah muliakan. Beliau merupakan seorang yang berterusan melaksakan Sunnah Baginda Nabi Muhammad s.a.w. diceritakan oleh Ustaz Muhadir bin Hj. Joll dalam buku beliau Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah, Maulana sanggup berpuasa selama 2 bulan berturut-turut sekalipun sakit berat semata-mata kerana Rasulullah s.a.w pernah berpuasa 2 bulan berturut-turut.  


Akhirnya Maulana telah diakhiri riwayat hidup beliau di kota kekasihnya, Madinah al-Munawwarah. Di mana tempatnya? Di Jannah al-Baqi’, iaitu perkuburan para Sahabat. Alangkah mulia dan beruntungnya beliau atas penghormatan ini!

Adakah masih mahu melabel beliau sebagai penjenayah hadith? Adakah orang yang berkata sedemikian mempunyai sandaran walaupun satu hadith yang sampai sanadnya kepada Rasulullah s.aw.? Ukur baju di badan sendiri. Di manakah sangka baik dan adab kita kepada para ulama?

Penutup

Akhir kata, hargailah hidup ini dengan berkorban meluangkan sebahagian masa untuk mengerti hal agama. Pernah didengar ungkapan yang lebih kurang berbunyi:

Carilah ilmu daripada ulamaJika tiada ulama, tataplah kitab merekaJika itupun tiada,Maka banyakkanlah berselawat.

Ayuh kita belanjakan sebahagian wang kita untuk menatap kitab yang ditulis oleh seorang ulama pecinta Nabi Muhammad s.a.w ini. Tataplah dengan sungguh-sungguh dan diamalkan selama mampu. Dan doakanlah kesejahteraan pengarang seperti yang dihajati beliau, al-Imam al-Allamah Hazrat Syeikh Maulana Zakariya Kandahlawi rahimahullah. Semoga Allah merahmati beliau, mengampuni beliau, melapangkan kuburnya dan menjadikan kuburnya daripada taman-taman syurga kerana khidmatnya atas Allah dan Rasulullah s.a.w... amiin.




[i] Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari merupakan seorang ulama Nusantara yang disegani dan dikenal di kalangan masyarakat pengajian bertalaqqi. Beliau telah menulis, menterjemah dan mentahkik pelbagai kitab. Antaranya adalah tahkik kitab karangan Syeikh Abdus Samad Falimbani iaitu Siyarus Salikin dan Hidayatus Salikin. Begitu juga penterjemahan dan tulisan kitab lain seperti Bidayatul Hidayah, Ayyuhal Walad (karangan Imam al-Ghazali r.m.h), Bustanul ‘Arifin (karangan terakhir Imam an-Nawawi r.m.h), 40 Hadith Penawar Hati, 40 Hadith Akhir Zaman dan beberapa lagi. Beliau aktif mengajar di Kuala Lumpur. Beliau telah mengasaskan sebuah madrasah Maahad Tarbiah Islamiah di Derang, Kedah. 

Monday, September 9, 2013

[BUKU] Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait

 “Sesungguhnya fahaman ini (Syiah) bukan sahaja mampu menggugat keamanan umat Islam tetapi lebih dari itu mampu memesong aqidah umat Islam.”                                         ~Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki
Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, para keluarganya di kalangan Ahli Bait, para sahabat serta orang-orang yang ikhlas meruntun jalan baginda s.aw sehinggalah Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, sekali lagi Dia telah memberi peluang untuk menatap sebuah kitab kecil tetapi mengandungi makna yang besar sekali. Kitab tersebut berjudul ‘Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait’ yang telah dikarang oleh seorang ulama muda negara, al-Musnid Dato’ Hj. Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Beliau merupakan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan juga Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kitab ini baharu dilancarkan pada 28 Ogos 2013 yang lepas.


Kemunculan kitab ini sedikit sebanyak melegakan keresahan yang menyesakkan atas fenomena siri gelombang serangan mazhab akidah Syiah. Fahaman ini sudah menerobos segenap lapisan masyarakat, baik dalam barisan kepimpinan politik, penulisan dan media massa. Dan lebih merunsingkan lagi, pengikutnya sudah bertambah ramai. Slogan mereka menganjurkan untuk mencintai Ahli Bait (ahli keluarga baginda Nabi s.a.w), tetapi hakikatnya sebaliknya, gejala melaknat para Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan pelbagai penyimpangan yang lain tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  

Masanya tepat sekali apabila masalah penyebaran fahaman menyimpan Syiah semakin menjadi-jadi dan dibimbangi menjadi barah dalam masyarakat. Di kala saat genting ini masyarakat sememangnya memerlukan jawapan daripada para ulama dengan tuntas lagi meyakinkan. Kita tidak mahu masyarakat berpecah-belah kerana perbezaan akidah yang sudah zahir akhirnya menumpahkan darah. Lihatlah di Timur Tengah, sehingga kini pergeseran Sunni-Syiah masih berterusan seolah-olah tiada akhirnya.

Ruangan 'Bahaya Syiah' Majalah Q&A Isu  20
 Dalam masa setahun kebelakangan ini, pendedahan mengenai kesesatan mazhab akidah ini tersebar melalui laman sosial Facebook. Saya terkenangkan dahulu seorang dua sahaja remaja yang pernah bertanyakan akan kekeliruan Syiah dan Sayyidina Ali karamallahu wajhah, namun mutakhir ini saya melihat remaja khususnya sudah peka akan hal ini, bercerita akan amalan-amalan dan pegangan pelik yang mereka lakukan.


Entri kali ini bukanlah bertujuan untuk mengupas apatah lagi menghuraikan lebih mendalam. Sebagai orang awam, tanggungjawab adalah untuk menyebarkan kalam-kalam ulama yang mempertahankan keluhuran mazhab majoriti umat Islam, yang mengikuti jalan baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

Walaubagaimanapun, setelah membaca kitab ini, saya ingin kongsikan sekilas pandang mengenainya, dan berkongsi panduan asas bagi sesiapa yang baharu memahami apakah di sebalik fahaman Syiah:
     
             1.  Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa kitab ini adalah rumusan daripada telaah Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki atas banyak kitab ‘muktabar’ asli yang ditulis oleh ulama-ulama besar Syiah. Oleh sebab itu, kita akan mendapati bahawa banyak daripada pendedahan yang dihuraikan jarang pernah didengar dalam rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu (setakat pembacaan saya) sebelum ini.

      2. Kitab ini adalah ‘extension’ ataupun kupasan lanjutan mengenai mazhab akidah Syiah. Pada pengamatan saya, bagi sesiapa yang baru hendak mengenal ataupun mengkaji bermula daripada kitab ini mungkin memerlukan maklumat-maklumat asas ataupun gambaran umum mengenai kerangka mazhab Syiah, peristiwa sejarahnya dan perbezaan mazhab ini dengan mazhab akidah majoriti umat Islam, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.

          3. Terdapat sejumlah nota kaki yang menerangkan sesetengah istilah asas mengenai isu yang dibicarakan. Sebagai contoh Taqiyyah (berbohong demi agama; salah satu rukun Syiah).

     4.   Kitab ini disusun dalam perenggan-perenggan yang dihimpunkan mengikut isu tertentu.

     5. Perenggan demi perenggan banyak membicarakan percanggahan dalaman orang Syiah itu sendiri terhadap doktrin mereka lantas membersihkan para Sahabat baginda s.a.w terutamanya daripada tuduhan-tuduhan liar dan palsu mereka.

Oleh sebab itu, saya mencadangkan pembaca mendapatkan maklumat asas dahulu sebelum membaca kitab ini. Anda boleh mendapatkan penjelasan tersebut:

         1.  Kertas Kerja ‘Syiah Imam Dua Belas: Penyelewengannya dari Jalan Ahlul Sunnah wal Jamaah’
Kertas kerja ini telah disusun oleh Datuk Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh (2009) yang diterbikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri.

Prebiu:  
Kertas kerja ini menawarkan gambaran yang komprehensif mengenai mazhab Syiah (Imam Dua Belas) ini. Pengkajian mencakup mengenai asas mazhab itu sendiri dalam segenap bidang daripada sumber kitab dan ulama Syiah sendiri. Dalam bahagian kedua, dihuraikan dengan lanjut mengenai kekeliruan tentang Ahlul Bait (ahli keluarga baginda  Nabi Muhammad s.a.w). Hakikatnya dalam Ahli Sunnah wal Jamaah dianjurkan untuk mencintai Ahli Bait, menghormati dan menyanjung mereka. Tidak seperti Syiah yang mengaku mencintai sebahagian, tetapi anehnya menyingkirkan, mendendami, melaknat bahkan mendoakan kehancuran Ahli Bait yang mereka benci!

Pautan:
Bahagian I: Akidah 'Imamah' di Sisi Syiah Isna 'Asyarah
Bahagian II: Ahlul Bait Menurut Sunnah dan Syiah 

Penerbitan baru (2012) daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah himpunan penulisan akademik yang bertajuk 'Hakikat Syiah' semasa Seminar Pemurnian Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 2007. Klik untuk muat turun di pautan ini.



    3. Kitab Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Kitab ini merupakan himpunan soal jawab Syeikh Nuruddin yang terkumpul selama 12 jam, disusun semula oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Kitab ini merangkum persoalan akidah, fiqh (fekah), tasawuf (akhlak) dan umum. Terbitan PSN Publications, 2012.

Prebiu:
Pengenalan mengenai mazhab Syiah dijawab dalam bab awal kitab ini dalam bahagian akidah. Syeikh secara ringkas dan tuntas menjawab mengenai pecahan mazhab ini dan penyimpangannya. Ustaz Muhadir menyediakan nota kaki bagi sesetengah istilah (yang lazimnya dalam bahasa Arab), rujukan, ulasan lanjut dan biografi tokoh yang disebut.

 4.  Majalah Q&A

Majalah wadah penyampai Ahli Sunnah wal Jamaah ini memaparkan ruangan ‘Bahaya Syiah’ (sebelum ini ruangan Bicara Mufti oleh Dr. Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai Syiah secara konsisten. Mutakhir ini dalam Isu 21 (2013), Galeri Ilmu memberi perhatian akan 
mencintai sahabat baginda Nabi Muhammad s.a.w, secara khususnya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Juga diutarakan adalah golongan Anti-Sahabat yang begitu membenci, mendendami dan melaknat para Sahabat, tidak lain tidak bukan adalah golongan Syiah.

5. Kitab Fitnah Syi’ah

Dikarang oleh al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini diterjemahkan oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (bawah seliaan Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Diterbitkan pada tahun 2008.

Prebiu:
Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari Indonesia, al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini menghuraikan lebih mendalam mengenai doktrin Syiah. 



Saya secara peribadi mengucapkan sekalung penghargaan buat usaha yang telah dilaksanakan oleh al-Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki serta warga Yayasan Sofa yang bertungkus-lumus menyiapkan kitab ini untuk tatapan umum. Semoga Allah memberikan manfaat bagi sesiapa yang mahu mencari kebenaran. 

Semoga Allah meneguhkan dakwah mereka, melindungi daripada fitnah, semakin bersemangat dalam mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Semoga Allah jadikan orang-orang yang mengambil manfaat daripada mereka, insya-Allah. Mohon maaf segala salah dan silap yang sememangnya layak ditegur dalam bicara kali ini. Akhir kata, saya teringat akan kata-kata seorang ulama (lupa namanya):

“Sebelum kenal Syiah, kenali lah dahulu Ahli Sunnah wal Jamaah!”

Ayuh mari berpijak di jalan yang lurus. Mari tingkatkan ilmu dan amal. Ayuh pertahankan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah diwariskan kepada kita oleh Kekasih-Nya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w yang didokongi para sahabat baginda!

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...