BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Hikmat. Show all posts
Showing posts with label Hikmat. Show all posts

Monday, October 13, 2014

Si Alim Yahudi Menduga Nabi Muhammad s.a.w

   
                       
Seorang yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Bersamanya ada seorang teman dan seorang penunjuk jalan. Setelah penghuni kota di padang pasir itu berhari-hari menanti, maka tibalah detik yang ditunggu-tunggu. Maka seluruh penduduk yang telah mendengar perkhabaran keberangkatannya dari jauh masing-masing ingin melihat sosok peribadi agung yang menjadi buah mulut. Kota Yathrib dahulunya tidak dikenal, menjadi bercahaya dengan kehadiran seorang insan Agung yang membawa Rahmat ke serata alam. Orang itu adalah Penghulu Mutlak Dunia dan Akhirat, Pemberi Syafaat dan pembawa obor kebenaran, iaitu Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.

Tibanya Nabi Muhammad s.a.w membawa nafas baru buat warga Kota Madinah. Buat sekian lama, penduduk Madinah di kalangan suku Aus dan Khazraj bertelagah menjadi bersatu. Kaum Muhajirin yang berhijrah dari Kota Mekah disatukan dengan kaum Ansar di Madinah. Satu masyarakat baru terbentuk, dengan penganut agama Islam dan bukan Islam boleh bersama. Termasuk juga orang Yahudi.

Orang Yahudi[1] telah mengetahui perkhabaran tentang Rasul terakhir yang akan diutus Tuhan. Seringkali mereka mengugut orang Arab bahawa kedatangan Rasul itu akan membawa kemenangan buat mereka[2]. Mereka mengenal Nabi dan Rasul itu sepertimana mereka kenal anak-anak sendiri.[3] Tetapi jangkaan dan harapan itu ibarat fatamorgana di padang pasir. Rasul itu bukan daripada bangsa Yahudi, tetapi kaum Arab daripada jalur keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim.

Oleh sebab itu, orang Yahudi menyimpan dendam terhadap Sang Rasul. Ada yang menyakitinya[4], ada juga mengkhianatinya[5], bahkan ada juga yang beriman kepadanya[6].

Tersebutlah kisah ada seorang alim Yahudi bernama Zaid bin Sa’nah. Ia menceritakan, “Tidak ada tanda nubuwah (kenabian) yang saya tidak lihat pada diri Rasulullah s.a.w melainkan dua tanda yang saya tidak berkesempatan mengujinya, iaitu

1. Hilm (lembutnya) mengatasi kemarahannya.

2. Semakin kasar seseorang itu semakin sabar Baginda terhadapnya.”

Maka orang Yahudi Zaid bin Sa'nah ini langsung ke majlis Rasulullah s.a.w untuk mencari jalan menguji tanda-tanda yang diingininya itu. Ketika itu beliau masih lagi beragama Yahudi dan belum memeluk Islam.[7]

Pada suatu hari, Nabi Muhammad s.a.w telah keluar berjalan bersama Sahabat Baginda s.a.w Sayyidina Ali k.w.j[8]. kemudian seorang Arab Badwi[9] telah datang menemui Nabi Muhammad s.a.w. Katanya kepada Nabi s.a.w, “Ya Rasulullah, kaum saya telah memeluk Islam. Saya beritahu, mereka akan terima rezeki melimpah ruah apabila memeluk Islam tetapi kini mereka ditimpa kemarau. Saya takut mereka akan tinggalkan Islam. Jika pandangan ini baik, saya saran agar tuan membantu mereka.”

Baginda kemudian memandang Sayyidina Ali. Lantas beliau menjawab, “Wahai Rasulullah s.a.w, waktu ini kita tidak memiliki apa-apa.”

Maka Zaid bin Sa'nah menemui peluang yang baik untuk mengetahui dua ciri kenabian Rasulullah s.a.w yang diingininya tadi. Seraya ia berkata, “Wahai Muhammad, jika kamu boleh beri aku tamar (kurma) dari kebun si fulan, aku akan bayar harganya sekarang dan mengambil tamar itu apabila ia masak nanti.” Zaid bin Sa’nah menawarkan pinjaman kepada Rasulullah s.a.w bagi meringankan beban orang Badwi itu.

Selanjutnya Rasulullah s.a.w bersetuju sekiranya Baginda s.a.w tidak dikenakan syarat. Katanya, “Saya bersetuju dan membayar sebanyak 80 mithqal emas[10].

Emas tersebut diberi kepada orang Badwi itu oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w berpesan agar berlaku adil dan memenuhi keperluan kaumnya dengan emas itu. Zaid kemudiannya mengatakan kepada Baginda s.a.w akan mengambil tamar itu setelah 2 atau 3 hari.

Beberapa hari setelah itu, Zaid bin Sa’nah pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w sedang berdiri di tepi telaga setelah kembali daripada urusan jenazah bersama Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq[11], Sayyidna Umar al-Khattab[12] dan Sayyidina Uthman bin ‘Affan[13] radiallahu ‘anhum[14].

Zaid dengan sengaja mengejek Nabi Muhammad s.a.w dan memegang kain Baginda s.a.w. Lantas Zaid pun berkata, “Wahai Muhammad, bila kamu mahu bayar hutang saya? Saya bersumpah bahawa saya kenal anak cucu Abdul Muttalib[15]. Kamu memang liat melangsaikan hutang.”

Sayyidina Umar segera menjawab, “Wahai musuh Allah, apa yang kamu celakan? Saya akan pancung kepala kamu.”

Rasulullah s.a.w memandang kepada Zaid dengan tenang. Sambil tersenyum kepada Sayyidina Umar, Baginda s.a.w bersabda kepadanya, “Wahai Umar, saya dan orang ini perlu suatu yang lain daripada itu. Dia sepatutnya menasihati saya dan menuntut haknya dengan sopan. Pergi dan bayarlah haknya dan tambah 20 saa’[16]  sebagai ganti marah kamu.”

Sayyidina Umar pun akur akan suruhan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau membawa Zaid bin Sa’nah pergi dan membayar seperti yang diberitahu. Zaid telah diberikan 20 saa’ seperti yang dijanjikan.

Lantas Zaid bertanya, “Untuk apa 20 saa’ ini?”

Jawab Sayyidina Umar, “Ini adalah perintah Rasulullah s.a.w.”

Tanya Zaid kembali, “Umar, adakah kamu kenal siapa saya?”

“Tidak,” balas Umar.

Berkata Zaid, “Aku ialah Zaid bin Sa’nah.”

Tanya Umar, “Orang alim Yahudi itu?”

Zaid menjawab, “Ya, saya adalah orang itu.”

Umar mahukan penjelasan, “Mengapa kamu biadab terhadap Rasulullah s.a.w?”

Jawab Zaid kembali, “Ada dua tanda nubuwwah yang belum aku lihat pada Baginda (s.a.w). iaitu Hilm (kelembutannya) melebihi kemarahannya dan semakin kasar seseorang itu semakin sabar Baginda (s.a.w) terhadapnya. Kini saya telah uji dua tanda tersebut maka kamu jadi saksi bahawa saya memeluk Islam.”

Kata Zaid lagi, “Saya beri separuh harta saya sebagai sedekah kepada ummah.”

Sesudah itu Zaid bin Sa’nah pun pergi menemui Rasulullah s.a.w dan mengucap dua kalimah syahadah. Si Alim Yahudi itu telah menyertai pelbagai misi jihad dan syahid dalam Perang Tabuk[17].

Kisah ini dipetik dan diadaptasi daripada kitab Kitab Shamail Tirmidhi: Khasail Nabawi Syarah Syamail Muhammadiyah dalam bab ke-47, iaitu tentang Akhlak dan Pekerti Rasulullah s.a.w, hadith ke-330. Kitab yang menghuraikan kitab hadith Syamail Muhammadiyah susunan Imam Tirmizi tersebut dikarang oleh seorang ulama hadith ulung dari India, iaitu al-Allamah al-Muhaddith Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi.

Marilah kita renung dan ambil iktibar. Selaku umat Nabi Muhammad s.a.w, hendaklah kita sedaya upaya mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangan Baginda s.a.w. Mencintai Allah adalah dengan makna mencintai Rasulullah s.a.w. Baginda adalah pintu dan jalan untuk kita sampai kepada Allah S.W.T. Semoga kita tergolong dalam golongan yang amat mencintai dan merindui Baginda s.a.w. Kita tutup dengan beberapa rangkap syair masyhur nukilan Imam al-Busiri[18] daripada Qosidah al-Muhammadiyah:


Nabi Muhammad s.a.w itu adalah sebaik-baik orang Arab dan Ajam,                                                     Nabi Muhammad s.a.w itu adalah sebaik-baik orang yang berjalan,

Nabi Muhammad s.a.w itu penyebar perkara makruf dan berakhlak dengannya,                                                     
Nabi Muhammad s.a.w itu seorang yang memiliki ihsan dan kemuliaan.

Nabi Muhammad s.a.w itu adalah mahkota para pesuruh Allah sekaliannya,                                         Nabi Muhammad s.a.w itu adalah benar dalam kata-kata dan bicaranya.

Nabi Muhammad s.a.w itu benar dalam janji bahkan sentiasa menjaganya,                                           Nabi Muhammad s.a.w itu mempunyai akhlak yang terpuji dan baik sifatnya.[19]

Allahumma solli wasallim wabaarik ‘alaih!




[1] Orang Yahudi adalah kaum yang berketurunan daripada susur galur Nabi Ishak a.s. Ketika Rasulullah s.a.w tiba di Kota Madinah, terdapat tiga kabilah (suku) bangsa Yahudi, iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Mereka telah berjanji setia kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam perjanjian Sahifah Madinah. Lantaran kedengkian dan memusuhi Nabi s.a.w dan umat Islam, maka Allah telah mengusir mereka dari Madinah. Boleh rujuk kitab Fiqhus Sirah karangan as-Syahid Syeikh Sa’id Ramadhan al-Buthiy.

[2] Dikisahkan dalam terjemahan kitab Sirah Nabawiyah ibnu Hisyam, seorang Sahabat Nabi s.a.w (ahli Perang Badar) iaitu Salamah bin Salamah bin Waqqasy menceritakan orang Yahudi mengancam orang Arab. Tetapi akhirnya orang Yahudi sendiri yang mengingkari Nabi s.a.w. Syeikh Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam, (2009). Sirah nabawiyah ibnu Hisyam, Jilid 1, m/s 188-189. Al-Hidayah Publication: Selangor.

[3] Allah berfirman, “ Orang-orang yang telah Kami beri kitab (Taurat dan Injil) mengenalnya (Nabi Muhammad s.a.w) seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sesungguhnya sebahagian mereka pasti menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui (nya).” (Surah al-Baqarah, 2:146)

[4] Antara kisah tersebut adalah Nabi Muhammad s.a.w disakiti oleh seorang Yahudi tua yang buta. Setiap hari Baginda s.a.w memberinya makanan sedangkan Yahudi buta itu mencelanya. Sehinggalah kewafatan Baginda s.a.w, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah cuba melakukan perkara yang serupa, tetapi ditolak oleh Yahudi itu. Barulah Yahudi tua itu menyesal, rupa-rupanya yang memberinya selama ini adalah orang yang paling ia benci dan menghinanya. Lantas, orang Yahudi itu memeluk Islam dengan santun dan budi pekerti Rasulullah s.a.w walaupun Baginda s.a.w telah wafat.

[5] Ketiga-tiga Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah telah terang-terang mengkhianati Allah dan Rasulullah s.a.w. Antaranya adalah ketika Nabi s.a.w berunding di perkampungan Bani Nadhir, seorang Yahudi cuba membaling sebuah batu besar dari tembok, tetapi Allah telah mengkhabarkan kepada Nabi s.a.w. Akhirnya suku kaum itu juga diusir dengan hina. Boleh rujuk kitab sirah al-Raheeq al-Maktum karangan Syeikh Sofiy al-Rahman a-Mubarakfuri.

[6] Antara orang Yahudi yang beriman kepada Baginda s.a.w ialah Abdullah bin Salam. Beliau merupakan seorang rahib dan pendeta Yahudi. Apabila disebutkan nama Nabi Muhammad s.a.w, beliau sudah pun mengetahui ciri-ciri Baginda s.a.w, nama Baginda s.a.w, dan merupakan seorang rasul yang ditunggu-tunggu. Setelah mengetahui ia memeluk Islam, orang Yahudi menolak dan memakinya. Ibid, Sirah nabawiyah ibnu Hisyam, Jilid 1, m/s 501-502.

[7] Kisah yang indah ini diceritakan oleh dalam Kitab Shamail Tirmidhi: Khasail Nabawi Syarah Syamail Muhammadiyah yang dikarang oleh seorang ulama hadith ulung dari India, iaitu al-Allamah al-Muhaddith Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi. Kitab ini merupakan kitab syarah (huraian) kepada kitab hadith Syamail Muhammadiyah yang disusun oleh Imam Tirmizi. Kitab ini memaparkan peribadi Nabi Muhammad s.a.w secara menyeluruh. Imam Ali bin Sultan al-Qari r.m.h (w. 1014H/ 1605M) mengungkapkan kitab Syamail tersebut dengan, “Di antara kitab yang terbaik berkenaan peribadi dan budi pekerti Rasulullah s.a.w ialah Kitab Imam Tirmizi; isinya ringkas, padat, bab demi bab perikehidupannya lengkap seakan kita berhadapan dan melihat keindahan peribadi Baginda Rasulullah s.a.w.”

Boleh mengetahui lanjut biografi Hazrat Maulana Zakariyya Kandahlawi pautan blog ini yang mengulas ringkas berkenaan kitab yang masyhur di negara kita, iaitu Fadhilat Amal ataupun Fadha’il Amal. Sila rujuk di pautan ini.

[8] Sayyidina Ali bin Abu Talib bin Abdul Muttalib bin Hasyim k.w.j merupakan sepupu dan menantu Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Ulama meletakkan darjat beliau adalah manusia keempat yang paling mulia setelah Nabi Muhammad s.a.w (iaitu empat Khalifah ar-Rasyidin, Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Saiyyidina Umar al-Khattab, Sayyidina Uthman bin ‘Affan dan Sayyidina Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah (Allah memelihara wajahnya – kerana tidak pernah bergelumang dengan aktiviti zaman jahiliah).

Beliau memeluk agama Islam ketika usia kanak-kanak lagi. Beliau dilantik menjadi Khalifah setelah Khalifah Uthman bin ‘Affan syahid dibunuh oleh pemberontak. Sayyidina Ali terkenal dengan keberanian beliau. Keberanian tersebut terserlah ketika beliau menjadi galang ganti kepada Rasulullah s.a.w untuk tidur di pembaringan, ketika rumah Baginda s.a.w dikepung oleh perajurit bangsa Arab Quraisy. Beliau wafat pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah setelah dibunuh oleh pemberontak.

Rujukan, al-Allamah Muhammad bin Mukhtar ibn ‘Atorid r.m.h, Syeikh Muhammad Fuad bin Hj. Kamaludin al-Maliki as-Sanusi (pent.), (2008). I’tiqad ahli sunnah wal jama’ah, m/s 254-257. Sofa Production: Ampang.

[9] Orang Arab Badwi merujuk kepada orang di pedalaman tanah Arab.

[10] Menurut pandangan masyhur, 1 mithqal = 100 gram atau 4½ maasha kira-kira 4½ gram. Ibid, Syamail, m/s 346.

[11] Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan Sahabat yang paling ulung di sisi Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan Sahabat sejati, pembantu dan juga mertua. Beliau dilantik oleh umat Islam sebagai Khalifah pertama yang menggantikan Rasulullah s.a.w untuk urusan umat. Disebutkan bahawa beliau mempunyai banyak kelebihan lantaran hampirnya dengan Baginda s.a.w dan ketinggian ketaqwaan beliau. Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sepakat bahawa beliau adalah orang yang paling mulia setelah Rasulullah s.a.w. Beliau wafat 13 Hijrah, setelah 3 tahun 7 bulan memerintah Daulah Islam. Ibid, I’tiqad ahli sunnah wal jama’ah, m/s 238 – 244.

[12] Sayyidina Umar al-Khattab adalah pendamping, Sahabat setia dan pelindung Nabi Muhammad s.a.w. Beliau digelar Abu Hafs (Bapa Singa) lantaran kehebatan dan ketegasan beliau. Beliau merupakan seorang pahlawan dan membela Rasulullah s.a.w pada hampir setiap masa. Merupakan seorang yang amat cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w, beliau berhijrah seorang diri, tanpa tentangan daripada musyrikin Quraisy Mekah walaupun dicabar. Beliau menjadi khalifah kedua setelah kewafatan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Pemerintahan beliau selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Wilayah Daulah Islam telah tersebar luas, termasuk kawasan Kerajaan Parsi dan Rom. Beliau akhirnya telah ditikam boleh Abu Lu’lu’ah, seorang beragama Majusi dan wafat pada 23 Hijrah. Ibid, I’tiqad ahli sunnah wal jama’ah, m/s 244-249.

[13] Sayyidina Uthman bin ‘Affan dikenal sebagai seorang Sahabat Rasulullah s.a.w yang lemah lembut dan dermawan. Beliau adalah menantu Nabi s.a.w. Nabi s.a.w mengungkapkan bahawa beliau disegani oleh penduduk langit. Beliau dilantik oleh umat sebagai khalifah pada tahun 24 Hijrah dan memerintah selama 11 tahun 11 bulan 29 hari. Separuh awal pemerintahan beliau dalam keadaan makmur. Tetapi dalam separuh kedua pentadbiran, pemerintahan dikucar-kacirkan oleh pemberontak, antaranya adalah seorang Yahudi yang memeluk Islam tetapi munafik, iaitu Abdullah bin Saba’. Akhirnya Sayyidina Uthman telah diserang di dalam rumah dan syahid pada tahun 35 Hijrah. Abdullah bin Saba’ diangkat oleh golongan Syiah sebagai pengasas kepada gerakan fahaman menyeleweng tersebut. Ibid, I’tiqad ahli sunnah wal jama’ah, m/s 250 - 254.

[14] Menjadi amalan adab kita umat Islam majoriti, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah menyebutkan ungkapan ini sebagai tanda penghormatan dan doa kita kepada mereka, iaitu golongan Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Para ulama mengingatkan bahawa para Sahabat ini meskipun ada kelemahan, hendaklah mereka dihormati, diingati dan dipertahankan, kerana Nabi Muhammad s.a.w ada menyebut akan kelebihan-kelebihan mereka dan memberi amaran bagi sesiapa yang menolak dan mencela mereka. Hendaklah berhati-hati dan elakkan terjebak daripada golongan Syiah yang amat membenci para Sahabat. Fahaman mereka jelas menyeleweng bukan sahaja dalam mencela Sahabat, akan tetapi juga dalam pegangan akidah. Boleh rujuk temberang fahaman Syiah melalui buku Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni, (2013). Agenda politik syiah: Dendam warisan dalam mencai pemimpin umat. PTS Milennia Sdn. Bhd.: Gombak.

[15] Abdul Muttalib bin Hisyam bin Abdi Manaf adalah nenda kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah daripada susur galur bangsa Arab Quraisy yang disegani dan dihormati. Wafat ketika usia Nabi Muhammad s.a.w 8 tahun.

[16] Lebih kurang 66.5 kg. Ibid, Syamail, m/s 347.

[17]  Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijrah. Angkatan perang yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w bersama 30, 000 para Sahabat berangkat ke Tabuk. Mereka mara kerana mendapat berita kemaraan 40, 000 tentera Rom (Byzantin) yang mahu menakluk kota Madinah. Ketika itu adalah puncak musim panas dan kaum Muslimin menghadapi keadaan yang sulit. Pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom sudah pun meninggalkan perlawanan.

[18] Seorang ulama yang masyhur dengan karangan Qosidah Burdah yang indah, Imam al-Busiri lahir di Mesir pada 608 Hijrah / 1212 Masihi dan wafat pada 696 Hijrah / 1300 Masihi. Ulama menukilkan bahawa beliau adalah seorang ulama tasawuf yang tinggi ilmunya.

[19] Imam al-Busiri, Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi (pent.) (2009). Qosidah al-burdah Imam al-Busiri r.m.h: Puji-pujian untuk Rasulullah s.a.w. Mawleed Publishing: Kajang, Selangor.

Wednesday, March 20, 2013

Malam Cinta Rasul 2013, Dataran Merdeka

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w serta para ahli keluarganya (Ahli Bait). Semoga Allah melimpahi Rahmat-Nya kepada para sahabat, para ulama muktabar serta orang-orang yang ikhlas sehinggalah Hari Kiamat.
                                      
Melihat kepada sambutan maulid Malam Cinta Rasul 2013 di Cheras Januari 2013 yang lepas, saya berpandangan para penganjur begitu bersemangat untuk menjayakan program sambutan di tempat yang lebih besar dan ramai hadirin. Insya-Allah, kita doakan agar berjaya dan selamat serta mendapat Rahmat dan manfaat daripada-Nya, program maulid seumpama ini berjalan dengan lancar pada Sabtu, 23 Mac 2013 di Dataran Merdeka akan datang ini. 
                                   
Program membawakan hadirin dan hadirat untuk bersama berzikir kepada Allah dan berselawat kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w disertai dengan alunan syair maulid dan qosidah yang mengasyikkan. Sungguhpun majlis seumpama ini tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, namun daripada himpunan dalil dan huraian daripada para ulama, majlis ini amat-amat dianjurkan. Bahkan, majlis seumpama ini adalah majlis yang digalakkan oleh para ulama dan memang amalan para ulama dalam memupuk cinta kepada Penghulu Mutlak Dunia dan Akhirat, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jika anda ragu-ragu kerana dakwaan sesetengah pihak bahawa majlis seperti ini adalah majlis yang bid'ah lagi sesat, maka ada rujukannya. Anda boleh mendapatkan huraian lanjut mengenai hukum sambutan seperti ini, termasuk saranan daripada para ulama menerusi tulisan al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll dalam karya beliau "Penjelasan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama': Inilah Jawapannya...". Anda boleh rujuk dalam Bab  8: Maulidur Rasul pada mukasurat 741 sehingga 788 (47 mukasurat).

Hadirlah ke majlis ini dengan hati yang lapang dan terbuka. Anda akan merasai ketenangan yang berbeza dan insya-Allah ada manfaat yang anda dapat.

Kenangan bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll (duduk, ketiga dari kanan)
 ketika Syawal 1433H
Sebagai motivasi sebelum mengakhiri entri ini, penulis mengungkapkan sepotong hadith daripada buku Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah, susunan guru kami Ustaz Syed Mohamad bin Alwi al-Attas (Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir Madrasah al-Khairat Kuching):


Daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bahawa Allah mempunyai malaikat-malaikat khusus yang bertugas mengikuti majlis-majlis orang berzikir, apabila mereka berjumpa dengan suatu majlis zikir, mereka duduk bersama-sama orang yang berzikir sambil berkerumum memenuhi ruangan antara majlis dan langit dunia. 

Setelah majlis bubar (selesai) mereka naik ke langit dan serta merta Allah menanya dari mana mereka datang, sedangkan Allah sebenarnya lebih mengetahui dari mana mereka tiba, yang dijawab oleh para malaikat itu:

"Kami datang dari sisi hamba-Mu di bumi. Mereka bertasbih, bertakbir dan bertahlil dan bertahmid untuk-Mu, dan mereka memohon syurga-Mu dan berlindung kepada-Mu daripada neraka-Mu."

Berkata (berfirman) pula Allah:

"Aku telah mengampuni mereka serta mengabulkan permohonan-permohonan mereka dan melindungi mereka daripada api neraka."


Maka para malaikat berkata, "Ya Allah, di antara mereka ada seorang yang lewat (lalu) di majlis itu lalu duduk, dan orang itu banyak dosanya."

Maka bertanyalah Allah Taala, "Bagi orang itu pun telah Ku-ampuni, merekalah kaum yang tidak sengsara orang yang sekedudukan dengan mereka.""

                                                                                                                      (Hadith Riwayat Muslim)

Allahu'alam. Wassalam

Tuesday, March 19, 2013

Ziarah Ilmu Ustaz Azahar Hashim dan Kuching Berselawat III


Insya-Allah pada hujung bulan Mac 2013 ini warga Kuching cukup bertuah kerana diserikan lagi dengan taman-taman syurga, iaitu majlis ilmu daripada agamwan Ahli Sunnah wal Jamaah. Pada waktu tersebut, satu ziarah ilmu oleh yang berbahagia Ustaz Azahar Hashim, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin akan menemui masyarakat Kuching. Beliau merupakan panel program Turath Ulama'  yang disiarkan oleh RTM TV1 (Selasa dan Rabu 6.30-7.00 petang). 
Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi
(gambar daripada blog sdr. Izzat Syahid)
Beriringan bersama beliau adalah kumpulan penyebar selawat dan mahabbah kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, iaitu AlMawlid dan Kumpulan Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin. Mereka akan bersama-sama bergabung dengan kumpulan qosidah di Kuching bagi menjayakan program tahunan di Kuching, iaitu UNIMAS BERSELAWAT II dan KUCHING BERSELAWAT III. Marilah kita bersama-sama menghadiri majlis, semoga kita mendapat manfaat daripada mereka. Moga dengan kehadiran di majlis seperti ini dapat memandu membaiki dan mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya. Amiin... 

Sila rujuk agenda program-program seperti yang tertera di bawah:


Rabu, 27 Mac 2013

                           
1. Program : "Bicara Santai Almawlid Bersama Staf UNIMAS"
    Tempat   :  UNIMAS
    Masa       :  2.00 -5.00 petang 


3. Program    : Kuliah Maghrib 
    Tempat       : Surau Al Falah, Samariang Phase 3 
    Pengisian   : Ustaz Azahar Hashim (qasidah oleh Kumpulan Maulid Madrasah Al Khairat  
                          Kuching).


2. Program : UNIMAS BERSELAWAT II

    Tempat   : Arena Gemilangm Detar UNIMAS
    Masa       : 8.30mlm-10.30mlm
    Syor        : Digalakkan membawa sejadah sendiri dan berwuduk awal


                             





Khamis, 28 Mac 2013


                               

1. Program       : Kuliah Subuh 
   

    Tempat          : Masjid Qurawiyyin, UiTM Kota Samarahan
    Penceramah : Ustaz Azahar Hashim

2. AlMawlid@UiTM (promo KUCHING BERSELAWAT 3)


3. Program         : Kuliah Perdana 

    Tempat           : Dewan Ibu Pejabat HIKMAH Kuching
    Penceramah  :Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : 3.00 petang 

                              


4. Program       : 
Majlis Ratib Al-Attas

    Tempat         : Wisma Wanita, Biro Wanita, Samariang (berdekatan PERYATIM Kuching dan                         
                            Taman SUKMA) 
    Masa              : Bermula 6.30 petang
    Penceramah  :Ustaz Syed Mohammad bin Alwi al-Attas (dikenal sebagai Habib Mohamad 
                             al-Attas, Mudir Madrasah al-Khairat, Kuching) 
                             Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 
                             'Alamin
    Istimewa        : Alunan Qosidah daripada Madrasah al-Khairat, Al-Mawlid dan Kumpulan 

                             Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin 


Jumaat, 29 Mac 2013


                                

1. 
Program         : Kuliah Subuh

    Tempat           :  Masjid Darul Husni wa Rahmah, Taman Hussein, Kuching
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    
2. Program        : Tazkirah dan khutbah Jumaat
    Tempat          : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Khatib            : Ustaz Azahar Hashim
    Istimewa        : Berselawat selepas solat Jumaat bersama AlMawlid dan kumpulan Qosidah  
                             Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin

                                           


3. 
Program         : Kuliah Pengajian Kitab

    Tempat           : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : Bermula 3.00 petang
                              

4. 
Program        : KUCHING BERSELAWAT III, 2013

    Tempat         : Dewan Bahasa dan Pustaka, Petra Jaya, Kuching
    Tentatif         : 

           6.30 ptg  ~ Ketibaan para tetamu & jemputan kehormat.
           7.00 mlm ~ Solat Maghrib berjemaah, Solat Hajat Perdana & Bacaan Ratib Al- 

                               Haddad.
           8.15 mlm ~ Solat isya' berjemaah.
           8.30 mlm ~ Tayangan montaj KUCHING Berselawat III.
           8.35 mlm ~ Bacaan Maulid Ad-Dhiya ul Lami', alunan Qasidah dipimpin oleh Almawlid  

                               dan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
                              Tausiyah oleh Al Fadhil Al Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, pimpinan 
                              Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
          11.00 mlm ~Tamat.


Sabtu 30 Mac 2013

1. 
 Program         : Kuliah Subuh

    Tempat            : Masjid Darul Ibadah, Kpg. Samariang Lama, Kuching 
    Penceramah   : Ustaz Azahar Hashim
    

Marilah merebut peluang bersama meraih ilmu, keberkatan dan rahmat dalam majlis-majlis yang akan memberikan cahaya hati, jadilah pengembara yang kehausan akan siraman-siraman ilmu daripada para pecinta Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w...


                         


Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...