BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, November 27, 2008

Habiburrahman El-Shirazy: AAC, penyebab dakwahnya lebih meluas


"Malu sama Rasulullah s.a.w. Baginda berdakwah ke Taif, hingga berlumuran darah dilempar batu. Saya dijemput menyampaikan dakwah. Bukannya kita cari, orang yang datang jumpa kita dan minta kita berceramah. Adakah kita patut menolak?

"Orang daripada perusahaan batu bara yang terbesar dari Kalimantan Timur itu kebetulan terbaca novel saya dan dia terus berminat mengundang saya ke sana. Saya fikir mereka mahu bicara tentang sastera, rupanya sudah pun diatur jadual saya menyampaikan kuliah ke beberapa buah masjid.

"Mereka lengkap menyediakan kereta. Apakah saya perlu berkata, oh saya cuma ingin bicara sastera Islam saja kerana itu adalah bidang saya. Ceramah agama saya tidak mahu. Tak boleh begitu. Nanti malulah sama Rasulullah,"
kata beliau.

Bagi Habiburrahman El-Shirazy atau lebih mesra dengan panggilan Kang Abik, novel Ayat-Ayat Cinta (AAC) yang meletup itu adalah aset utama untuknya berdakwah dengan lebih meluas.

Ucapan 'malu sama Rasulullah' yang disebutkan Kang Abik petang itu kerap bergema dan berlegar-legar di dalam fikiran. Ia mengingatkan saya ke atas watak Fahri Abdullah yang sedang mempertahan seorang wartawati Amerika yang sedang memapah ibunya yang keletihan di atas LRT. Ketika warga Amerika itu diserang, Fahri dengan pantas mengucapkan sebuah sabda Rasulullah.

"Kalian telah menyakiti Rasulullah," demikian kata Fahri. Apakah watak Fahri adalah belahan daripada jiwa beliau sendiri? Atau, apakah watak utama itu sebahagian besarnya datang daripada kesan, cetusan ilham melalui kisah rakan-rakannya?

"Ya, termasuk juga kesan pengalaman daripada rakan-rakan saya juga," demikian ujar beliau.

"Ya, sudah tentu. Tapi berapa peratus bab daripada novel itu memaparkan kisah Kang Abik sendiri?" tanya saya. "Dan, apakah kebanyakan kisah itu juga termasuk dari belahan kisah cinta mas sendiri?"
Dia tersenyum lalu ketawa, "Ah..Saudara baca sendirilah. Nanti tahu sendiri."

Melihat perawakannya, sosok yang kental spiritual, kukuh pendirian dengan iltizam dakwah ini ternyata masih muda. Usianya sekitar 30-an.

Baginya, AAC yang terus bangkit sebagai suatu fenomena secara tiba-tiba itu telah menjadi landasannya untuk makin kukuh dan giat bekerja dalam landasan dakwah. Dan padanya, lulusan al-Azhari tidak sepatutnya berada dalam pesantren (pondok) dan berterusan menjadi santri-santri (lulusan pondok) sahaja.

Dia malah, sempat bergurau, "Kalau mas punya wang banyak, ayuh kita sama-sama bikin filem di Hollywood!"

Apa takrif Sastera Islam?
Itu merupakan salah satu kes di mana penangan AAC menyebabkan beliau mula kerap diundang menyampaikan ceramah agama. Tapi, beliau kerap merendah diri. Dia tidak banyak mendabik dada ketika membicarakan AAC itu.

"Saya tak meletakkan novel itu sebagai sastera Islami. Saya hanya letakkan novel itu sebagai novel pembangun jiwa. Tapi, khalayak ramai kemudiannya meletakkan karya itu sebagai sastera Islam.

"Saya tidak melihat Sastera Islam itu mestilah ciri-cirinya berlatarbelakangkan masjid, Makkah dan Madinah. Ini satu tanggapan yang mesti dibetulkan,"
katanya lagi.

Malah katanya, novel berjudul Harimau Harimau oleh Mochtar Lubis juga boleh diangkat sebagai sastera Islam. Ini kerana katanya, karya itu terselit di dalamnya unsur kesufian daripada segi perasaan al-Khauf (takutkan pembalasan Allah) dan al-Raja' (pengharapan).

"Latarbelakang pengkisahannya cuma hutan dan bukannya di masjid, Mekah dan Madinah. Sekumpulan manusia mula tersesat di hutan dan masing-masing takut mati dibaham harimau. Pada saat itu, mereka mula menghitung nasib diri, amalan berhubung dosa dan pahala. Nah! Ada unsur tasawuf di situ," tambahnya lagi.

Selain itu Kang Abik turut memetik lagi beberapa buah novel yang beliau masih ingat. Antaranya kisah sebuah kampung petani yang tanaman mereka tidak menjadi kerana dilanda musim kemarau. Tiba-tiba ada seorang petani tua yang berpesan agar jangan mudah menyerah kalah kepada kemarau itu.

"Petani tua itu berkata, di sana ada danau yang masih boleh diambil airnya. Ambil dan siramkan tanaman itu. Dan ini ada hubungan dengan firman Tuhan - Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri yang bertindak mengubahnya.

"Jadi, jangan disempitkan lagi sastera Islam itu dengan berlatarbelakangkan cuma masjid, Makkah dan Madinah sahaja,"
kata beliau lagi.

Baginya, penafsiran yang melihat sastera Islam itu cuma terhad kepada latarbelakang Makkah, Madinah, masjid itu akan menyebabkan sastera Islam akan menjadi makin sempit, walhal Islam itu luas dan rahmatnya melimpah ke serata alam. Islam ada pada setiap bangsa dan ia hadir di semua negara.

"Malah sastera Islam itu masuk mengalir ke Indonesia itu serentak dengan kehadiran Islam itu sendiri," kata beliau lagi sambil merujuk kepada tradisi dakwah Wali Songo yang menggunakan elemen, tradisi hiburan.

Mengarang dari hati
"Mungkin kerana AAC berlatarbelakang al-Azhar, maka ia diangkat sebagai sastera Islam. Tetapi, saya ingin katakan bahawa jika saya tak belajar di al-Azhar dan di Timur Tengah sekali pun, saya tetap akan mengarang Ayat-Ayat Cinta."
Kami cuba mencungkil rahsia resipi Kang Abik dalam menyediakan ramuan novel sebagai hidangan jiwa, santapan rohani dan kini ia menjadi juadah pembuka selera bicara bagi penggemar sastera kini.

"Biasa saja, sesuaikan tema novel dengan judulnya. Malah AAC itu sudah ada berapa buah judulnya dalam fikiran saya sebelum ini," kemudian dia terdiam sebentar.

"Ya, selain itu ada juga kita bertafakur, bermenung sendirian.."

Saya yakin, Kang Abik tergolong dalam kumpulan manusia, atau watak-watak penulis yang mengarang bukan lagi lewat jari-jemari, malah mereka mengarang daripada hati-hatinya.

Seperti kata Buya Hamka dalam salah satu catatannya, orang yang mengarang dari hatinya, tulisan mereka itu akan terpancar dan kesannya terus masuk ke dalam hati.

Ali Bukhari Amir

Sumber: harakahdaily.net

Trilogi Cerpen GM: Algoritma TAQWA



Satu bandar. Satu arahan. Satu kompeni. Satu algoritma. Algoritma TAQWA, sebuah cerpen latar Galaksi Muhsinin (GM). Sila klik pada pautan bawah:

Algoritma TAQWA (1)
Algoritma TAQWA (2)
Algoritma TAQWA (3) (Penghabisan)

Tuesday, November 25, 2008

Bedah Buku ke-3: Galaksi Muhsinin

Permulaan cerita ini agak mendatar sedikit, berbentuk esei-dialog yang menceritakan serba sedikit sejarah kerajaan Islam Andalusia serta disulami dengan barisan dialog yang juga mendatar. Namun ia tidak berpanjangan, sejurus sahaja memasukki bab yang seterusnya, ia menghidangkan pergerakan plot yang pantas dan mendebarkan. Kisah perang di angkasa mewarnai hampir setiap bab tanpa sempat bertangguh lagi.


Ikuti dengan lebih lanjut di saifai islami.

Sunday, November 23, 2008

Algoritma TAQWA (1)


“Marin IV!” kedengaran arahan melalui saluran interkom. Desir alur peluru melintasi gegendang telinga. Bingit. Sengit. Pertempuran di Bandar Imker, wilayah terpencil, Wilayah Jajahan I Galaksi Dexcloes seolah-olah tiada kesudahan.

Sudah tiga hari Batalion Garnison VII Empayar Sibernatik Cyborg telah mengepung kota ini. Tidak ada tanda-tanda api pemberontakan berjaya dipadamkan. Bandar yang mempunyai tamadun tinggi kini menjadi padang jarak padang tekukur. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Setakat ini, tidak diketahui lagi siapakah arang, siapakah abu.

Satu bandar. Satu arahan. Satu kompeni. Satu algoritma. Cerpen latar novel sains fiksyen Galaksi Muhsinin. Klik di sini untuk pautan ke sambungan lanjut ke blog saifai islami.

Friday, November 21, 2008

Miri (4): Wireless dan Golf

Sebuah Pemerhatian Peribadi


Apakah yang anda fikirkan apabila menatap gambar ini? Sebuah tiang bendera golf, padang golf, bola golf dan ...

Fikir-fikirkan.

Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA: Latarbelakang ialah Kampung Wireless, petempatan berjajar di Sungai Miri. Kampung ini merupakan petempatan orang Islam. Kini, hanya lebih kurang sepertiga yang tinggal daripada keluasan kampung asal. Dua pertiga telah dirobohkan untuk Waterfront Miri.

Wednesday, November 19, 2008

Miri (3): Entrepot Silang Bangsa



Pasar Miri. Di sinilah tempat 'persilangan' pelbagai bangsa. Di sinilah tempat bertemu bangsa-bangsa ini dari segenap pelosok Miri, termasuk pinggiran bandar. Iban, Kenyah, Kelabit, Kayan, Melayu, Melanau, Kedayan, semuanya ada. Di sinilah pada setiap hari tempatnya kita berjumpa golongan awam berpendapatan rendah dan sederhana. Di pasar inilah mereka berdagang dan membeli barang keperluan. Berada di sini tergambar sebuah pusat perdagangan entrepot yang sibuk sekali.

Jika anda berdiri selama 10 minit sahaja di kaki lima ini, anda akan dapat memerhatikan banyak 'kejadian' dan gelagat manusia daripada kalangan umat sendiri. Saya sendiri pernah 'dikejutkan' dengan satu kejadian yang melucukan:


Suatu petang saya berada di hadapan kedai roti Morni Bakery, sebagai 'jurujual' sementara. Tiba-tiba datang seorang wanita (bumiputera) separa umur kepada saya, meminta tolong kerana ada sesuatu yang terjadi kepada matanya. Saya terkial-kial tidak tahu berbuat apa. Hendak ditolong, saya malu. Mujurlah kakak saya menyelamatkan keadaan. Diberinya penitik mata supaya mata itu segar. Lalu wanita itu berterima kasih dan berlalu pergi.

Gelak si kakak, "Kitak tok, baruk ya dah kitak terkial-kial? Baruk sekejap kitak berdiri sitok. Belom kitak sehari-ari di sitok (Baru sekejap awak dah terkial-kial? Belom lagi sehari-hari (di sini))!" Itu baru satu cerita!

Soalan bonus: Apakah pendekatan terbaik untuk menyampaikan mesej Islam kepada golongan ini? Mereka merupakan sebahagian besar masyarakat ini. Sama-sama kita fikir-fikirkan formulanya.

Berjasa Kepada Masyarakat

Miri (2): Di Satu Sudut Kehidupan

Sebuah Pemerhatian Peribadi


Di satu sudut kehidupan ini, terletaknya sebuah bangunan yang tidak tampak di tepi jalan. Bangunan ini dicat berwarna putih. Terletak di tepi Sungai Miri, kadang-kadang kedengaran bunyi enjin bot perahu yang menyulusuri sungai.

Waktu sudah 7.20 malam. Angin sepai sepoi bahasa berpuput lembut. Itulah keistimewaan Miri. Udaranya segar setiap kali dihirup. Anginnya bertiup hampir setiap masa, lantaran bayu laut dan bayu laut berhembus. Sayup-sayup kedengaran suara azan dari dua penjuru. Satu dari Masjid Lutong. Satu lagi dari penjuru timur; barangkali dari Masjid Permyjaya. Tidak ada orang yang menziarahi bangunan ini. Melainkan ada orang yang bang ataupun azan.

Begitulah suasana di Surau al-Jariyah, sebuah surau yang tersorok di kawasan ini. Surau ini terletak di pinggir Kampung Pujut 9. Surau ini betul-betul terletak di tepi sungai. Di seberang sungai ini tampak rumah-rumah Kampung Pengkalan.

Apabila penulis berada di Semenanjung, terutama sekali di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), azan akan ada pada setiap kali masuk waktu solat. Akan ada orang yang mengimarahkan. Ramai yang akan datang ke masjid ataupun musolla (surau) mengerjakan kewajipan. Namun di sini lain. Tidak ada orang yang mengazankan, maka tidak ada orang datang. Jikalau ada Pak Amin (Imam Surau), maka adalah orang yang mengazankan.Ini disebabkan, tidak ramai yang mampu untuk azan, iqamat dan paling berat adalah menjadi imam. Oleh yang demikian, orang muda, lebih-lebih lagi mahasiswa Universiti ISLAM yang menjadi harapan.

Berada di sini (rumah) lebih banyak beban terasa tergalas di bahu. Terkadang menjadi ketiga-tiganya sekali - azan, iqamat dan imam sekali. Bukan setakat itu sahaja, qari yang berdiri di belakang juga harus dididk dengan penyampaian bahasa yang terbaik. Mereka terdiri daripada generasi muda (seawal 10 tahun) sehinggalah generasi bapa-bapa.

Dahulu kala, sekitar 6 tahun yang lalu, surau ini sangat meriah. Zaman berlalu, sebahagian (pengimarah surau) telah berpindah menjalani kehidupan yang baru. Tetapi sekarang, keadaannya agak berbeza. Mungkin juga sifat suasananya 'agak bermusim'. Surau ini masih meriah menjelang Ramadhan dan hari-hari kebesaran Islam.

Terasa sekali, belajar tinggi-tinggi di universiti, tidak ada gunanya jikalau tidak ada yang disumbangkan kepada orang lain. Universiti ISLAM lagi. Pada waktu cuti, sangat rugi membuang masa menghabiskan kelapangan waktu di rumah.

Jikalau dirasakan 'sudah banyak ilmu yang ditimba' di sana... Nah! Segalanya teruji apabila berhadapan dengan masyarakat sebenar. Mereka ada yang tidak kenal alif, ba ta. Mereka ada yang sudah lama tidak mengaji. Mereka ada yang solat ikut-ikutan sahaja. Mereka ini masih belum celik huruf-huruf Quran. Mereka ini masih belum kenal nabi-nabi mereka. Bagaimanakah caranya mendidik sebahagian kecil umat ini?

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada hamba-Mu yang lemah ini!

Berjasa Kepada Masyarakat

Tuesday, November 18, 2008

Miri (1): Tanah Tumpahku

Sebuah Pemerhatian Peribadi


Miri telah diisytihar sebagai Bandaraya kedua negeri Sarawak pada 20 Mei 2005 yang lalu. Semenjak itu, pembangunan berjalan dengan begitu pesat. Lebih banyak kawasan perumahan dibuka, premis perniagaan dibina dan berlaku penghijrahan yang besar daripada kawasan lain ke bandaraya ini.

Setakat statistik yang diperoleh penulis – iaitu sewaktu pilihanraya 1998 komposisi penduduk Miri adalah 60% Cina, kira-kira 20% Melayu (atau Islam) dan selebihnya adalah kaum lain. Walaupun majoriti penduduk adalah daripada kaum Cina, namun keharmonian dan kesantunan masih hangat dirasa.

Dengan meningkat umur, penulis sedar sejak di bangku persekolahan bahawa umat Islam Sarawak adalah minoriti. Kuantiti ini adalah dalam purata 20% daripada keseluruhan orang Sarawak di seluruh negeri. Ini pun termasuk orang Islam daripada Semenanjung Malaysia yang terlibat dalam sektor pendidikan, tentera, polis ataupun sebagai jurutera di syarikat petroleum (Shell dan Petronas). Unik di Miri khususnya ataupun di Sarawak amnya, ‘Islam’ menjadi ukuran, bukan bangsa. Kerana penganut Islam di negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum (majoriti adalah Melayu, Melanau, Kedayan, Jati Mirek dan kaum lain). Maka, dalam memperkatakan ‘orang Islam’, tidak dapat disamakan dengan ukuran seperti di Semenanjung Malaysia. Di sana, boleh dianggap ‘Melayu’ adalah Islam. Maka, kuantiti ‘Melayu’ secara kasar boleh menggambarkan kuantiti umat Islam.

Namun yang demikian, dalam kuantiti umat Islam Miri yang minoriti, umat ini dibayangi dengan pelbagai isu seperti isu pendidikan, sosial, tanah dan pelbagai isu yang lain.

Terdetik kebimbangan semenjak kebelakagan ini. Perubahan mendadak berlaku ketara dengan mata sendiri. Petempatan orang Islam semakin tersesar, terpinggir dan mengecil.

Mana tidaknya, empayar perniagaan tempatan yang memonopoli ekonomi mahu membuka kawasan baru. Mereka mampu membeli di mana sahaja yang mereka mahu.

Akibatnya, ada kawasan yang pernah menjadi petempatan asal penduduk hanya diiktiraf sebagai ‘setinggan’. Paling dekat, adalah perkampungan berhampiran rumah saya yang berumur lebih 30 tahun. Kampung ini merupakan petempatan berjajar di sepanjang tebing sungai Miri (sebelah Lutong). Jika diteliti dengan saksama, kampung-kampung ini akhirnya terasing dikelilingi oleh rumah-rumah mewah yang bertembok. Amat janggal sekali tatkala di hujung lorong taman perumahan ada beberapa rumah usang yang menanti masa untuk roboh.

Perubahan ketara juga diperhatikan di Kampung Luak. Kampung ini ialah kediaman keluarga orang Islam suku kaum Kedayan. Penulis pernah bersekolah di sana selama 3 tahun (1994-1997). Dahulunya terasa suasana kampung. Tetapi sekarang, semakin banyak rumah-rumah mewah (ataupun istana-istana) gah dibina di kaki bukit menghadap Laut Cina Selatan. Tanah di kawasan ini nyata semakin susut.

Beberapa kilometer daripada Kampung Luak pula ialah Kampung Lusut. Kampung ini juga didiami oleh orang Islam daripada suku kaum Kedayan. Dahulunya kawasan didominasi oleh rumah-rumah kampung. Tetapi kini, kampung tersebut telah membentuk satu ‘pulau’ dikelilingi oleh ‘lautan’ rumah baru.



Bagaimanakah nasib Kampung Lereng Bukit yang hampir terjual pada suatu masa dahulu? Bagaimanakah nasib Kampung Haji Wahid di Bukit Kanada? Bagaimanakah kawasan lain? Di manakah Kampung Dagang yang terletak di tengah-tengah bandar Miri? Adakah anda tahu akan kewujudan kampung orang Islam ini? Ya, mungkin tidak ada lagi dalam sebutan sesiapa. Saya mengetahui akan petempatan ini daripada penghuninya sendiri, yang terpaksa berpindah kerana ‘pembangunan.’ Walhal, mereka adalah penduduk asal tanah ini.



Bagaimanakah nasib Masjid Jamek Miri? Seandainya tidak kerana tanah wakaf, nescaya, tidak akan ada lagi azan berkumandang dari masjid bersejarah ini. Kerana sudah boleh dijangka, kemungkinan besar tanah itu pasti akan ‘disapu’ sekali.

Beberapa kawasan petempatan orang Islam yang lain juga diancam bahaya. Zon ini semakin mengecil ataupun terancam kehilangan sama sekali tempat tinggal mereka. Orang Islam kini nyata semakin tersesar. Di sebalik belenggu kemiskinan, keciciran dalam pendidikan, kurang penghayatan beragama, mampukah anak watan yang beragama Islam ini mengekalkan survival mereka?

Di manakah lagi tempat bumi dipijak? Kenapa harus menjadi pelarian di bumi sendiri? Ke manakah tujunya hasil bumi yang sepatutnya dinikmati oleh peribumi sekian bergenerasi? Adakah dimiliki oleh hanya sekumpulan kecil manusia yang mahukan tanah sekangkang kera ini? Ataupun ada orang lain yang mahu poket dan tabung keluarga mereka penuh melimpah-limpah?

Jangan salahkan orang lain akan keadaan ini. Ya, kita menderita kerana tangan-tangan kita sendiri, berat sekali menghayun mengibar panji kemengangan. Kita sebenarnya punyai kekuatan. Ayuh, mari kita muhasabah dan bergerak sama-sama! Kita sudah tidak ada masa lagi!

Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA:
Petempatan orang Islam di Miri:
1. Kampung Bakam
2. Kampung Lusut
3. Kampung Luak
4. Kampung Wireless
5. Kampung Haji Wahid
6. Kampung Lereng Bukit
7. Kampung Tanjung Batu
8. Kampung Pujut Padang Kerbau
9. Kampung Pujut 2
10. Piasau
11. Kampung Piasau Utara
12. Kampung Pulau Melayu
13. Kampung Pengkalan
14. Kampung Senadin
15. Senadin
16. Permyjaya
17. Kampung Batu Satu

Banyak lagi petempatan ini masih dijejak... sebelum jejaknya hilang tidak bertanda...

“Katakan kepadaku, siapa Kekasihmu?”


Klik untuk pautan di sini.

Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2


Sejarahku Menulis (1): Rupanya 14 Tahun Lampau!

1995

Hari panas terik. Loceng sekolah pun sudah berbunyi, menandakan tamatkan waktu persekolahan. Murid-murid keluar dengan gembira hari persekolahan untuk hari itu telah tamat. Seolah-olah atlet yang memecut berlari meninggalkan garisan, begitu juga anak-anak kecil ini. Mereka meluru berlari meninggalkan bilik darjah.

Sebahagian besar mereka berjalan kaki. Ada yang berjalan berkumpulan. Ada yang berbasikal. Ada juga berjalan ditemani oleh ibu. Ada yang membonceng di tempat duduk basikal ayah. Mereka adalah penduduk kampung ini. Majoriti adalah penganut agama Islam daripada suku kaum Kedayan. Lenggok bahasa mereka berlainan sedikit dengan bahasa Melayu Sarawak, bahkan dalam serumpun bahasa Limbang-Lawas-Brunei. Mereka bekerja sebagai petani, nelayan peniaga dan sektor awam.

Tidak terkecuali seorang kanak-kanak. Daripada penampilan dan wataknya dia berbeza dengan kanak-kanak lain. Dia agak asing di sini. Telah setahun ia berada di sini, masih lagi terasa dia adalah orang asing.

Tetapi dia juga punyai sifat seperti kanak-kanak lain. Ia berlari keluar menuju ke sebuah kereta Proton Saga berwarna biru muda. Di belakangnya digalas sebuah beg yang sarat dengan buku teks, buku latihan dan peralatan sekolah.

Dahinya berpeluh. Bajunya basah, jelas sekali pada tubuhnya yang gempal. Didapatinya Si Ayah terlena di kala bahang hawa tengahari dalam kereta. Ia terjaga lalu menarik kunci pintu.

Udah tek? Ne Wani (Sudah? Di mana Wani)?” kata Ayah.

Ya nun (Itu dia),” kata budak lelaki itu. Menyusulinya seorang murid perempuan bertocang dua. Dia berumur lapan tahun.

Si Anak duduk di kerusi hadapan Proton Saga. Kata Si Ayah, “Nah, kitak mpun.”

Si Anak terlopong tidak terkata apa. “Apa tok (Apa ini)?”

Kitak mpun. Tanggarlah (Awak punya. Lihatlah),” kata Si Ayah. Wajah Si Ayah berpeluh. Ia memulas kunci dan menghidupkan kereta. Mereka pergi meninggalkan perkarangan sekolah, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Luak (SRK Kpg Luak).

Si Anak bagaikan tersihir, terkesima lagi terperanjat. Dia seakan-akan tidak percaya apakah ‘benda ajaib’ yang memukau perhatiannya sepanjang perjalanan ke rumahnya yang merupakan kuarters usang terletak di Tanjong Lobang. ‘Benda’ itu bagaikan terlekat di tangannya sehinggalah melangkahkan kaki di perkarangan rumah.

Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Segala puji bagi-Nya, tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan-Nya, hanya kepada-Nya tempat memohon keampunan dan tempat berserah. Dialah yang menurunkan risalah buat manusia, al-Quran yang disampaikan oleh penyudah segala utusan. Dialah manusia agung yang membawa rahmat ke sarwa alam, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Segala puji bagi Allah, yang menjadikanku dan lahir daripada kedua ibu bapaku. Dialah yang menyusun hidupku dengan hikmah akan kehadiran mereka. Terima kasih Allah, terima kasih ibu dan ayah.

‘Benda ajaib’ yang memukau perhatian saya sewaktu berumur 10 tahun itu (Darjah 4) ialah majalah pertama saya. Majalah itu berjudul Take Off dalam bahasa Inggeris. Harganya adalah RM2. Ya, RM2 sahaja. Majalah itu sebenarnya dibeli dengan murah dalam keadaan tanpa kulit majalah. Majalah ini dibeli oleh Ayah sekurang-kurangnya satu dalam setiap minggu. Jika ada rezeki, kadang-kadang dua naskah dalam seminggu.



Kemunculan majalah-majalah ini menganjak karya melukis komik saya kepada satu tahap yang baru. Pertambahan banyak fakta dan pendedahan kepada ilustrasi banyak mempengaruhi cara fikir saya pada ketika itu. Ilustrasi komik Dunia Perang sebelum itu bergantung kepada koleksi luksian daripada "Senarai Model" saya pada tahun sebelumnya.

Koleksi majalah kian bertambah. Begitu juga idea. Semakin banyak pesawat baru yang muncul. Lebih menjadi perhatian saya ialah, apabila majalah tersebut mengandungi fakta berkenaan Perang Dunia Kedua. Anehnya, perhatian saya lebih tertumpu kepada teknologi ‘bukan Amerika’ ataupun ‘penentang Amerika’, terutama Jerman (Luftwaffe) dan elemen tentera udara Tentera Laut Imperial Jepun. Ini termasuk juga teknologi bangsa Rusia pasca Perang Dunia Kedua, terutama Perang Dingin.

Majalah Take Off mendominasi koleksi awal. Tetapi lama kelamaan, muncul variasi majalah yang lain. Antaranya ialah Images of War, Finescale Modeler dan juga majalah Perajurit.


Atas dan bawah: Kombinasi ilustrasi dan imaginasi...



Atas dan bawah: Lagi... lagi...


Bawah: Pengaruh komik Doraemon dalam watak seorang jeneral Nazi.



Penghasilan komik Perang Dunia I rancak pada 1994 sehingga 1995. Pada penghujung 1995, komik tersebut telah dilengkapkan. Komik itu setebal 28 muka serta berwarna kesemuanya.

1996

Pada pertengahan 1996, komik kedua dimulakan, iaitu Ninja. Komik Ninja merupakan pengaruh langsung karya Akira Toriyama iaitu Mutiara Naga. Pada ‘zaman’ itu, belum ada anime ataupun manga Naruto. Seingat saya,Ninja dihasilkan setelah membaca Komik Mutiara Naga ke-5 dan ke-6. Kedua-dua komik tersebut telah dibeli di Kuala Lumpur ketika melancong bersama keluarga. Saya masih mencari 'manuskrip asal' komik ini di rumah. Ini kerana komik ini tidak difailkan. Sebaliknya disusun dalam bentuk buku (A4 dilipat dua). Oleh yang demikian, agak sukar saya mencarinya.

Dunia Perang II bermula kira-kira selepas Ninja dilengkapkan. Komik ini memperlihatkan kematangan dalam plot dan lukisan. Walaupun hanya 8 muka disiapkan, Perang Dunia II boleh dianggap anjakan baru berbanding sebelumnya.



Atas: Muka depan Perang Dunia II



Atas: Pengaruh ilustrasi majalah memberi pengaruh yang mendalam. Pelanggaran pesawat Lavochlin-5 (PVO, Kesatuan Soviet) dan Junkers Ju-88 (Luftwaffe, Jerman) ini merupakan adaptasi daripada diorama majalah Finescale Modeler.


Atas: Lavochlin La-5 daripada Take Off


Atas: Junkers Ju-88 daripada Take Off


Atas dan bawah: Lagi… lagi… lagi…




Atas dan bawah: Lagi… lagi… lagi… dan lagi?


Apabila dikenang kembali bersama Ayah, dia ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Dia seolah-olah tidak percaya, pelaburan sedikit-sedikit sekecil RM2 membawa kepada kesan yang begitu mendalam kepada hidup dan karya saya. Kesemua ini telah membantu membentuk pemikiran, imaginasi dan peribadi saya sehinggalah ke hari ini.



Atas: Sebahagian kecil daripada puluhan koleksi majalah, sejak 1995 sehinggalah 2002.

Lama kelamaan setelah majalah semakin bertambah, saya merasakan tidak perlu lagi kepada mainan. Tetapi mencurahkan idea atas kertas adalah segalanya. Tambahan lagi, saya berasa seronok ‘berkawan’ dengan majalah-majalah ini kerana tahap bahasa Inggeris saya bertambah baik. Mana tidaknya, minat untuk mengetahui kandungan majalah mengatasi fobia belajar bahasa Inggeris.

Satu perkara penting yang saya imbau kembali ialah, kecil-kecil lagi saya sudah tertanam sifat yakin diri. Saya amat mengagumi teknologi dan disiplin tentera Jepun dan Jerman. Ini tidak lain adalah mereka bangsa yang berupaya menghadapi tentera Amerika. Oleh sebab itulah, jikalau ditinjau, kita akan dapati majoriti plot adalah daripada kedua-dua pihak tersebut. Sungguhpun begitu, begitu ketara pemikiran 'orang lain lebih hebat' begitu mengakar. Pemikiran saya pada ketika itu mengagungkan 'antagonis' Amerika (dan juga British), tanpa sedar bahawa baik Jepun ataupun Jerman juga bangsa yang melanggar batas-batas manusia. Tidak hairanlah, saya sukar menerima hakikat sebenar apabila kedua-dua bangsa ini telah ditewaskan angkara dasar mereka sendiri. Lantas saya tidak terfikir memasukkan unsur pengajaran ataupun wira-wira Islam. Maklumlah, masih seorang kanak-kanak. =)

Unsur agama belum masuk dalam mana-mana karya ini, sehinggalah pada 2005. Segalanya bermula apabila saya mengenali HAMKA. Saya tertarik akan perjuangannya. Beliau seorang ulama yang memilih karya kreatif sebagai salah satu daripada saluran dakwahnya. Antara faktor penyumbang unsur agama dalam karya saya adalah penglibatan saya bersama rakan-rakan PERKEPIS dan PKPIM. Tentang ini, insya-Allah saya kisahkan pada waktu yang lain. Nyata, nilainya bukan sekadar RM2. Tetapi hasilnya berbelas-belas tahun kemudian!

Saya sebenarnya seorang yang memusuhi genre sains fiksyen ketika fasa 1994-1996, melainkan satu sebab. Tetapi, bagaimanakah saya terlibat dalam penulisan saifai? Pelik bukan? Apakah cerita selanjutnya? Insya-Allah, kita cerita lain kali!

Insya-Allah... Sejarahku Menulis (3): Aku Pernah Ditertawakan

Berjasa Kepada Masyarakat

Monday, November 17, 2008

Hikmat Tuhan di Depan Mata!



Maka dengan nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Dia membenarkan dua lautan mengalir yang keduanya kemudian bertemu,

antara keduanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing

(ar-Rahman, 55:18-20)

Hikmat Allah di hadapan mata. Inilah tanda-tanda kebesaran-Nya. Air laut dan air sungai seakan-akan ada "dinding" yang menyempadani antara satu sama lain. Inilah bukti di hadapan mata. Air Laut Cina Selatan (warna cerah) tidak bercampur dengan air sungai (gelap sedikit)di kuala Sungai Miri. Gambar diambil di Marina Miri.

Subhanallah! Maha Suci Allah daripada dipersukutukan daripada sesuatu pun!

Sunday, November 16, 2008

Sejarahku Menulis (1): Rupa-rupanya 14 Tahun yang Lampau!


Apabila ditanyakan kepada saya, sejak bilakah saya mula berkarya. Maka selalu saya menjawab: tahun 2005. Pada tahun itu, saya telah mula terlibat secara tidak langsung dalam dunia penulisan; iaitu melalui artikel risalah PERKEPIS.

Kebetulan pada tahun itu juga saya membaca 1511[KOMBAT]. Saya ‘memberi respon’ kepada novel tersebut lantaran tidak berpuas hati dengan strategi peperangan yang diolah, lantas menuliskan novel pertama saya, Syuhada’ Awanan 1973 pada tahun berikutnya, iaitu pada 2006. Saya telah menghantar manuskrip itu kepada Puan Ainon, tetapi tidak diterima. Ini kerana novel saya tidak cukup tebal untuk diterbitkan. Tetapi sejak itulah bermula episod pertalian saya dengan PTS, dan alhamdulillah, dengan izin-Nya; terbitnya Galaksi Muhsinin. Tetapi dikenangkan kisah lampau, barulah saya menyedari, rupa-rupanya saya telah berkarya sejak 14 tahun yang lampau! Segala puji bagi Allah, semua ini bukannya kebetulan. Tetapi telah disusun rapi sejak azali lagi. Semoga Dia menunjuki diri ini dan umat ini agar bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

Perkembangan penting adalah bermula pada tahun 1994 (Tahun 3, 9 tahun), segalanya terbongkar apabila saya menjumpai ‘manuskrip-manuskrip lama' dalam sebuah kotak ketika mencari bahan untuk novel.

Saya tidak nafikan, segalanya bermula daripada rumah. Keadaan ekonomi keluarga pada waktu ini berada di tahap yang tidak berapa stabil. Hendak diminta mainan, sukar sekali. Seawal-awal ini sudah faham, meminta dibelikan mainan adalah mustahil. Tidak ada mainan HASBRO, tidak ada Transformers, tidak ada kereta kawalan jauh, tidak ada video game, apatah lagi komputer. Hanya LEGO yang ada, tetapi hanya setahun sekali. Saya tidak ada jalan lain, melainkan berangan-angan daripada buku-buku yang ada. Ke kedai mainan; hanyalah menelan air luir memegang kotak mainan.

Ibu seorang berjiwa pendidik dan tegas dalam disiplin, terutama dalam akhlak dan membaca buku pelajaran. Tetapi beliau tidak menyempitkan ruang untuk bacaan yang lain. Tetapi Ayah lain pula. Beliau sering bercerita tentang pengalaman beliau semasa kanak-kanak – seorang yang adventurous dan nakal di kampung halamannya di Limbang. Beliau bercerita beliau membeli model Tamiya (pada waktu itu $12 Dolar Brunei – sangat mahal) dengan titik peluhnya sendiri menjual aiskrim. Sejak waktu itulah perhatian saya tertarik untuk meneliti model di pasaran. Tetapi saya hanya mampu meneliti ilustrasi pada kotak untuk memuaskan hati - kerana memilikinya adalah mustahil (Junkers Ju-87 "Stuka" adalah pesawat yang paling saya minat).



Selalu meneliti ilustrasi pada kotak model mencambahkan imaginasi. Saya membayangkan; bagaimanakah pesawat itu terbang, bagaimanakah ia beraksi, bagaimanakah ia menewaskan musuh dan... tidak putus-putusnya.

Apabila Ayah membawakan saya (dan adik-beradik) ke Perpustakaan Miri, hati saya melonjak-lonjak. Kerana di sana, saya dapat membelek buku-buku pesawat tempur; terutama bertemakan Perang Dunia Kedua. Setiap kali itulah saya membawakan pensel dan sebuah buku latihan “Senarai Model” dan melukiskan pesawat-pesawat yang saya suka – dan mewarnakan apabila balik nanti. Saya hanya memahami pesawat itu melalui ilustrasi, kerana masih tidak berapa faham akan bahasa Inggeris.

Ayah juga membenarkan kami adik-beradik meminjam buku perpustakaan. Saya sendiri mempunyai kad meminjam; maksima sebanyak tiga buah untuk 2 minggu. Pada suatu ketika, saya telah terjumpa sebuah buku ‘Tumpasnya Inggeris di Tanah Melayu’. Lantaran terdidik bahawa Jepun adalah bangsa kuat yang mengalahkan Amerika dan Britain, maka saya dengan senang hati meminjamnya.

Saya amat menyukai buku itu. Tetapi saya sedar bahawa buku itu bukan milik saya dan akan dikembalikan kurang daripada 2 minggu. Lalu saya mengambil keputusan untuk menyalin dengan pantas. Mula-mula ditulis dengan pensel, kemudian ditulis semula dengan pen. Ilustrasi dilukis semula dengan imaginasi sendiri, berdasarkan gambar yang ada dalam buku.



Antara perkara menarik adalah ilustrasi di atas. Ilustrasi ini dilakar ketika penyalinan. Sewaktu itu, saya melukis pesawat Jepun G3N ‘Nell’ yang juga terlibat mengebom kapal HMS Repulse dan HMS Prince of Wales. Pesawat dan kapal ini saya dapati daripada lakaran-lakaran daripada buku “Senarai Model”. Saya tidak menyangka, lakaran ini hampir-hampir tepat apabila dibandingkan dengan fakta sejarah dalam buku Mitsubishi Type 1 Rikko ‘Betty’ Units of World War 2 (Osamu Tagaya, Osprey Publications) pada 2006:

Alhamdulillah, dengan menarik nafas lega, akhirnya, saya berjaya menyalin dan ‘memilki’ buku yang saya sendiri sebelum tamat tempoh (tanpa menyedari saya boleh membaharui peminjaman!). Berikut merupakan muka terakhir buku tersebut, menggambarkan tentera British menyerah kalah di Singapura (walhal latar belakang ialah Fort Margerita di Kuching yang saya ziarah beberapa ketika sebelum itu). Itulah karya saya yang pertama.

Tetapi segalanya berubah dengan mendadak apabila saya menjumpai ensiklopedia Terbang ke Awan Biru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di rumah. Melalui naskah ini, saya semakin menumpukan minat yang mendalam dalam dunia teknologi penerbangan – kerana memahami dihuraikan dalam Bahasa Melayu. Ilustrasi menarik serta huraian fakta mencetuskan ‘model’ pertama dibuat daripada tangan saya sendiri, iaitu sebuah pesawat ‘biplane’ Perancis Perang Dunia Pertama. Model itu terbina daripada kad manila yang dilukis cermat, diwarna, digunting dan dipasang (dengan selotep) serta disokong dengan keratan-keratan wayar kuprum. Saya membinanya sendiri kerana tidak ada model yang sedemikian di pasaran.

Namun saya masih rasa tidak puas. Imaginasi membuak-buak lagi melimpah-limpah. Saya nekad untuk meluahkan dengan pensel, pen dan pensel warna. Tidak cukup sekadar berangan dengan model di tangan. Dengan itu, lahirlah helaian-helaian ‘komik’ pertama saya: Dunia Perang I...


Inilah helaian pertama “Dunia Perang”. Anda lihat di tengah-tengah helaian – diselotep kerana bimbang lusuh. Betapa “Stuka” dan “model MiG” Rusia telah mempengaruhi pola pemikiran saya pada ketika itu.



Atas: Komik difailkan dan muka depan.


Atas: Semangat terpendam sudah tertanam bahawa orang Asia bukanlah orang yang mudah dipermainkan. Malah, Jepun dianggap sebagai wira yang mengalahkan Amerika.


Kesemuanya adalah daripada “Senarai Model” yang telah dikumpul sekian lama.



Komik ini telah lahir setelah memendam imaginasi kerana keadaan yang mendesak. Saya tidak mempunyai mainan untuk meluahkan idea dan perasaan. Oleh sebab itu, saya melukiskan atas kertas dengan pensel, kemudian digaris dengan pen dan akhirnya diwarnakan.

Dunia Perang I merupakan salah satu karya saya. Lukisan watak dipengaruhi oleh lukisan komik Doraemon dan kemudian Mutiara Naga (Dragon Ball). Antara karya-karya yang lain adalah komik: Dunia Perang II, Ninja, Red Alert, Perang Vietnam dan Pearl Harbor. Hanya Dunia Perang I dan Ninja (pengaruh komik Mutiara Naga) sahaja yang berjaya dilengkapkan.

Seketika membelek kembali, saya ketawa kecil sendirian. Ceritanya pelbagai dan kadangkala melucukan. Kerana dilukis dengan pemikiran seorang kanak-kanak yang belum faham sebenarnya apakah maksud “Dunia Perang” dalam erti kata sebenarnya.

Saya cukup bersyukur zaman kanak-kanak saya tidak seperti keluarga lain. Pada pemikiran saya, saya tidak seuntung kanak-kanak lain – mereka dapat mainan yang mereka inginkan. Tetapi apabila ditenung kembali, syukur kepada Allah, di sebalik keadaan itu ada hikmah yang sangat indah. Ya, mereka dapat apa yang mereka mahu. Saya tidak mungkin memiliki seperti mereka, tetapi saya mampu mereka dan membina apa yang mereka tidak mungkin dapati! Didikan sedemikian telah mengasuh saya untuk berdikari menghasilkan idea sendiri serta tidak terlalu terpukau dengan sesuatu yang mustahil dalam genggaman.

Terima kasih, syukur kepada-Mu Tuhan. Terima kasih buat Ibu dan Ayah yang mendidik dan mendisiplinkanku dengan hikmah dan kasih sayang. Terima kasih buat ahli keluarga di sampingku!

Apakah faktor lain yang mencambahkan idea menulis pada peringkat awal ini? Ada rahsianya. Juga daripada rumah...

Insya-Allah bersambung... Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2

Berjasa Kepada Masyarakat

Kembara Tanah Air (6): Mengelak Zarah Bahaya


Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk
Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah
Kembara Tanah Air(4): Solat Jumaat di Tatau
Kembara Tanah Air (5): Bukit Bintang Sarawak?

Siang bakal berganti diselimuti malam. Langit membiru kian dilakar dengan coret merah mega. Langit seolah merekah. Maha Suci Allah, begitulah alam dicipta Tuhan. Segalanya diatur dengan susunan yang menakjubkan. Namun tidak ramai yang menekur akan lukisan alam yang mempesonakan.

Kami bertiga berada di dalam bilik hotel, menunggu waktu maghrib. “Dah azan tek kah (Sudah azankah)?” tanya Si Ayah.

Mun ekotkan, dah masok waktu (Kalau diikutkan, sudah masuk waktu),” jawabku.

Sekda azan o? Jaohlah ngkali masjid ya (Tidak ada azan. Mungkin masjid agak jauh).”

Ngkali juak (mungkin juga),” kataku dalam hati, “Ya Allah, sekda harapanlah berjumpa urang di mesjid tok (Ya Allah, tidak ada harapanlah untuk berjumpa dengan orang di masjid nanti).”

Kami solat jamak takdim Maghrib dan Isyak. “Ju, carik makanan. Siney bah (Jom, kita pergi makan. Di mana ya)?” tanya Si Ayah kepada Pakcik Musa.

Jawab Pakcik Musa, “Oh, ada. Ju kita jalan (Oh, ada. Mari kita jalan).”

Kita jalan kaki. Sik pasti lagik mun kita berkereta parking ada lagik. Sibu tok kenak hati-hati. Banyak cerita udah (Kita jalan kaki. Kita tidak pasti, jika kita berkereta, ada lagi tempat parking. Di Sibu ini kena hati-hati, banyak cerita sudah didengar),” saran Si Ayah.

Kami meredah kegelapan malam, disuluhi lampu-lampu jalanan dan kaki jalan. Bandar Sibu agak sunyi pada ketika ini. Banyak kedai telah tutup, namun masih banyak kenderaan di jalanan.


Akhirnya kami tiba di satu tempat, kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Hotel Bahagia. “Toklah satu-satunya tempat urang Melayu ada masa malam. Lain tempat ada, tapi siang bukak (Inilah satu-satunya tempat (kedai) orang Melayu pada waktu malam. Tempat lain ada, tapi buka pada waktu pagi).”

Boleh ajak (Boleh saja).” Kami pun menghampiri salah satu kedai makanan; R.J Corner. Beberapa orang muslimah yang memakai hijab dan tanda-tanda pelekat ‘bismillah’, ‘tiga qul’[1] dan ‘ayat seribu dinar’[2] sudah menunjukkan bahawa kedai ini dimiliki oleh orang Islam. Terdapat beberapa orang perempuan, mereka tidak mengenakan busana muslimah; berhijab dan menutup aurat, tetapi raut wajah dan perwatakan mereka menunjukkan mereka adalah orang Melayu dan juga, beragama Islam.

Aih, cikgu! Apa khabar kitak? Kitak ingat kamek (Eh, cikgu! Cikgu apa khabar? Cikgu ingat lagi saya)?” kata seorang perempuan. Ia tidak mengenakan hijab.

Alhamdulillah, sehat. Maju kitak, dah berniaga sitok (Alhamdulillah, sihat. Maju awak, sudah berniaga di sini),” jawab Si Ayah sambil melemparkan senyuman. Aku berdiri di sisinya terpinga-pinga. Lantas, Si Ayah memperkenalkan aku dan menceritakan perjalanan kami. Mereka terus berbual sehingga beberapa ketika.

Bah, kitak dudoklah cikgu, kitak order jak (Cikgu duduklah dulu, cikgu pesan saja),” kata perempuan itu sambil tersenyum. Kami pun duduk di salah sebuah meja.

Kata Pakcik Musa, “Aku jalan-jalan kat sitok lok, nangga-nangga (Saya nak jalan-jalan di sini, tengok-tengok).”

Bah (baiklah),” jawab Si Ayah. “Pakcik Musa kitak ya nang kedak ya. Nya jenis yang ‘adventurous,’ suka jalan-jalan (Pakcik Musa memang macam itu. Dia orang jenis ‘adventurous,’ suka jalan-jalan).”

Sapa nya tek pak (Siapa perempuan tadi)?”

Nya student bapak lok di IPTP (Dia pelajar Ayah di IPTP dahulu),” jawab Si Ayah. Hatiku segera bergetar, alangkah mulianya tugas seorang guru! Berkat jasa seorang guru yang membimbing peribadi seseorang, dirinya tetap dikenang, walau di ceruk manapun ia berada.

Lantas aku teringatkan, ibuku juga demikian. Saat aku menemani mereka di pasar di Miri, ada sahaja orang yang menyapa. Boleh kukatakan, setiap inci berjalan, ada sahaja yang menyapanya. Kadangkala terbit persoalan di hati kami cahaya matanya, “Sik lelahkah kitak duak melayang urang di siney-siney (Tidak penatkah melayan orang di mana-mana)?”

Dengan senyuman mesra ibuku menyahut, “Dengki?” Pokok pangkalnya, alangkah mulianya guru!

Makanan tersedia dan Pakcik Musa pun datang. Kami menikmati hidangan dalam hawa kota. Aku sudah menjangkakan, memang banyak cerita yang timbul tentang mereka berdua, diselang seli dengan gelak ketawa.

Selesai makan, Si Ayah pergi ke kaunter kedai. Kemudian Si Ayah kembali sambil menggelengkan kepala, “Adeh, deh, sik moknya nerimak, puas ku mujok (Dia tidak mahu terima (bayaran) saya, puas saya pujuk).”

Sekali lagi hatiku bergetar, “Alangkah mulianya guru!” Itulah tanda terima kasih seorang murid kepada gurunya. Sekalipun dirasakan tidak mampu membalas jasa gurunya, namun ada secebis rasa penghargaan dan hormat tidak terhingga. Kerana berkat tunjuk ajarnya, ia berada di jalan yang benar.

Ada pasar malam di sinun,” kata Pakcik Musa.

Balas Si Ayah, “Ju, kita nanggar sia.”

Kami pun merentas rimba batu kota Sibu. Tidak jauh daripada kompleks kedai makanan tadi, kami berada di lapangan yang agak luas. Di situ terdapat ramai orang – daripada pelbagai kaum. Di tengah- tengah lapangan itu, terdapat gerai-gerai pasar malam.

Kata Si Ayah, “Tok tempat yang kita tanggar petang tadik. Kedei elektrik tempat kita meli periok nasik ya di depan ya jak (Ini adalah tempat yang kita lihat tadi. Kedai elektrik tempat kita beli periuk nasi di depan itu saja).”

Sik jaoh dari hotel lah (Maksudnya, tempat ini tidak jauh dari hotel),” jawabku.

Sik besar Sibu tok (Sibu ini bukanlah besar sangat),” kata Pakcik Musa.

Kami meredah kumpulan-kumpulan manusia. Rata-ratanya adalah daripada bangsaku, memandangkan jasadku juga mengalir darah mereka, orang Cina. Ibu kepada ibuku adalah seorang Cina berketurunan Hokkien. Tidak ada yang perlu dibanggakan sangat tentang bangsa; kerana Tuhan hanya memandang terbaik di kalangan mereka yang punyai taqwa.

Sitok (Sini),” tunjuk Si Ayah yang berjalan di depan. Pakcik Musa sudah menghilang. Pasti ia berjalan sendirian meneroka pasar malam. Aku tercegat.

Pak, jangan kitak masok sia!” laungku.

Si Ayah tersedar, ia menoleh ke belakang. “Eh. Patutlah rasa lain jak.”
Aku merasa kami hampir-hampir memasuki ‘zon bahaya’. Zarah-zarah ini bertebaran di udara, bagaimanakah mengelaknya?

Ya Allah, sitok nya manggang (Ya Allah, mereka memanggang di sini).” Kulihat, daging yang terlarang disebut dalam Quran dipanggang dan disalai secara terbuka di gerai-gerai ini. Asapnya berterbangan di mana-mana. Syukur, kami berdiri dalam jarak yang dirasakan selamat. Lalu kami membatalkan hasrat kami dan memilih lorong yang lain.

Sambil kami berjalan melihat-lihat barangan pasar malam, aku terperasan sesuatu. Aku terlihat beberapa deretan gerai muslim. Masih ada orang-orangku di sini. Tetapi... adakah mereka sedar? Gerai mereka terlalu hampir dengan barisan gerai memanggang daging bXXX itu.

Timbul persoalan di hatiku. Bagaimanakah keadaan mereka terdedah dengan asap panggang itu? Adakah makanan jualan orang Islam ini menjadi haram kerana terdedah dengan asap itu? Jika ya, haram, bagaimana jika ramai orang Islam yang berkunjung dan membeli makanan di gerai itu? Jika mereka membeli, berapa ramai yang akan memakan makanan yang bercampur halal dan haram? Tidakkah mereka sedar? Ataupun, adakah sesiapa yang sedar tentang ini?

Aku bukanlah orang yang alim dalam masalah ini. Aku tidak berani mengeluarkan kenyataan, ataupun fatwa. Hendak ditegur, aku ini orang asing. Dan mungkin inilah sumber pendapatan utama mereka. Tiba-tiba pula datang dan mengatakan sesuatu yang mungkin akan mendatangkan kemarahan mereka.

“Ya Allah, tunjukilah hamba-hamba-Mu ini!”

Terdetik di hatiku, bagaimanakah umatku ini dapat ditolong? Pendapatku, perkara ini berlaku mungkin kerana kurangnya pengetahuan dan kepekaan tentang perkara ini. Halal itu jelas dan haram itu jelas. Tetapi cabaran pada masa kini, terlalu banyak syubhah atau keraguan yang timbul. Tidak dapat dipastikan dengan jelas, terkadang perkara yang halal masih ada kesamaran bercampur dengan yang haram.

Bagaimanakah perkara ini dapat diatasi? Tidak lain, tidak bukan, ialah ilmu. Adanya ilmu yang mantap serta kesungguhan melaksanakan syariat agama Allah, insya-Allah, perkara ini dapat dielak.

Tetapi, siapa yang akan melakukannya? Bagaimanakah dapat dikumpulkan kekuatan? Ya, kekuatan sebenar adalah daripada Allah. Tetapi manusia harus menunjukkan usahanya. Sungguh, Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (ar-Ra’d, 13:11).

Umatku masih ketinggalan dengan ilmu. Kerana inilah umat ini masih jauh terkebelakang berbanding bangsa yang lain. Perkara asas sebegini tidak menjadi perhatian. Tetapi di sudut yang lain, aku cukup geram ada suara-suara sumbang yang memukul canang, bahawa umat tanah airku ini (pasti slogan mereka memasukkan diriku) adalah ‘bodoh’, ‘marhaen’ dan ‘ketinggalan zaman’ dan sebagainya.

Ya, aku akui, dari segi ilmu dan pembangunan masih ketinggalan, tetapi janganlah dituduh melulu sedemikian. Jika umatnya kurang penghayatan ilmu, maka tanggungjawab yang mengetahui sepatutnya membantu. Aku berani katakan, masih ada orang yang sedar dan berusaha membaiki kelompongan ini. Masih ada orang yang berjuang, tetapi deras langkah mereka tidak didengar. Berapa ramaikah mereka? Dibanding nisbah bilangan mereka dengan luas tanah air ini, cukupkah itu untuk melakukan perubahan yang drastik? Jangan angkuh dikata saja kata-kata itu. Tetapi kotakanlah.

Tentunya ada hikmah Tuhan menjadikan demikian. Dia mahu hamba-hamba-Nya berebut menanam benih-benih untuk ia tuai di akhirat nanti! Inilah lubuk dakwah. Tanah air inilah lubuk dakwah yang paling subur...

Perjalanan dekat tapi singkat membelah kegelapan malam memaksa akal ini berfikir. Sehinggakan, terlupa, rupa-rupanya sudah sampai di pintu hotel.

Aku di debah tok jak, njaga kereta (Saya di sini saja, jaga kereta),” kata Pakcik Musa. Naiklah aku dan Ayah ke bilik.

Aku menarik nafas. Suasana tadi benar-benar membuatku bingung.
“Hooo laaaaa hoooo laaaaa!!!” kedengaran bingit muzik dan nyanyian yang lari habis daripada tune, rentak dan irama lagu. Terasa juga getaran di lantai.

Ya Allah..... berentam karaoke sidaknya (Ya Allah, mereka ini habis-habisan berkaraoke)!” aku menggaru kepala.

“Sidaknya sebelah nun (Mereka di sebelah sana),” kata Ayah sambil melihat televisyen.

Nasib juak di sebelah nun, mun ndak kuat lagik ya (Nasib baik di sebelah sana, kalau tidak, kuat lagi suara mereka),” kataku sambil menggelengkan kepala.

“Maksiat,” kata Ayah.

Ia berkata lagi, “Kitak sik tido lagik? Isok jaoh lagik berjalan ya. Kenak bangun awal. Lepas suboh kita kenak jalan terus (Awak tidak tidur lagi? Perjalanan besok masih jauh, kena bangun awal. Selepas subuh kita terus berangkat).”

Aok, kaktok lok. Agik ada idea tok (Ya, sekejap lagi. Masih ada idea).”

Sambongan novel kitak kah (Sambungan novel awak)?”

Bab satu, novel keduak Galaksi Muhsinin, Projek Zenzaburo,” jawabku. Sekurang-kurangnya dapat melepas tekanan kebimbangan tadi. Suasana malam tadi, rupanya telah mencambahkan idea untuk bab ini. Itulah hikmahnya. Semuanya aturan Tuhan yang Maha Perkasa.

“Ya Allah, tambahkanlah ilmuku, jadikanlah ilmuku, ilmu yang bermanfaat. Berikanlah keberkahan ilmu yang Engkau beri, agar sempatku berjasa kepada masyarakat. Selamatkanlah kami dalam perjalanan ini, hanya kerana redha-Mu.”

Berjasa Kepada Masyarakat.

InsyaAllah akan datang, Kembara Tanah Air (7): Merentasi Alur Rajang

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...