BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, April 14, 2011

Daurah Takmir Madrasah al-Khairat


Tarikh: 15-16 April 2011

Tempat: Madrasah al-Khairat di No. 70, Jln Bunga Champaka, Kpg Pinang Jawa, Gita, Kuching.

Peserta: Terbuka kepada umum

Yuran: RM0.00, tetapi terdapat tabung untuk derma

Agenda:

15 April 2011, Jumaat


- Selepas Maghrib: Bacaan Ratib al-Attas & Asma’ul Husna

- Solat Isyak

- Qosidah

- Pengajian Kitab

- Tidur



16 April 2011, Sabtu

- Qiyamullail

- Solat Subuh

- Pengajian Kitab / Qosidah


Daurah Takmir merupakan program bulanan Madrasah al-Khairat, Kuching bagi menghimpunkan kaum muslimin dan muslimat terutamanya orang-orang muda untuk sentiasa membaiki diri dengan amalan-amalan kerohanian melalui amalan zikir, selawat dan majlis ilmu.

Jika kita ambil berat akan zahir dan hal-hal keduniaan dalam diri kita, mengapakah kita terlalu berkira apabila menyangkut hal-hal bekalan kita untuk perjalanan ke kampung abadi, negeri Akhirat kita?


Marilah peruntukkan sebahagian masa, sebulan sekali untuk manfaat kita bersama. Semoga kita beroleh cahaya petunjuk-Nya, limpahan kasih sayang-Nya dan kecintaan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Rasul Penyudah Risalah Seluruh Alam…

Ameen...

Thursday, April 7, 2011

Hikayat Harga Sebuah Kerajaan


Tersebutlah kisah dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, karangan seorang ulama besar dunia Islam, Imam al-Ghazali (w. 1111M) telah menyebutkan kisah seorang raja yang sakit dan ahli sufi. Kisah tersebut tanpa tarikh, akan tetapi pada ketika pemerintahan kalifah Islam (sama ada Kerajaan Bani Umayyah ataupun Kerajaan Bani Abbasiyyah).

Alkisah, seorang raja telah terlantar dua minggu di istananya. Pegawai istana menjadi mengeluh kerana telah ramai tabib yang telah berusaha mengubatinya.

Pada suatu hari, seorang ahli sufi telah menziarahi istana baginda raja. Ahli sufi ialah seorang yang sentiasa menghampirkan diri kepada Allah dengan berjuang dengan hawa nafsunya. Orang seperti ini mendapat kelebihan kurnia yang pelbagai daripada Allah, dan ia adalah seorang yang mustajab doanya.

Pada zaman tersebut merupakan era kemewahan yang melimpah-limpah kepada orang Islam yang telah mencapai tamadun yang tinggi, sehinggakan nilai-nilai murni yang mendarah daging generasi terdahulu semakin lama semakin terhakis. Ahli sufi seperti inilah yang cuba menghidupkan semula ruh dan semangat berhati-hati terhadap dunia, sebagaimana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat.

Tika ahli sufi berada di perkarangan istana, ia memberi salam berkata kepada pegawai istana, “Apa khabar baginda raja?”

Jawab pegawi istana tadi, “Baginda raja masih lagi gering, saudaraku.”

Tanya ahli sufi, “Apakah gerangan gering baginda?”

Balas pegawai istana, “Baginda tidak dapat melepas hajat selama dua minggu. Baginda raja agak tenat. Kami bimbang nyawanya sudah ke penghujung.”

Kata ahli sufi lagi, “Bolehkah saya mengubati baginda raja?”

“Oh, sudah tentu!” kata pegawai istana, lantas membawakan ahli sufi mengadap sang raja.

Sang raja pun bertitah, “Wahai ahli sufi, beta dengar engkau ingin mengubatiku, adakah itu benar? Perut beta telah sakit selama dua minggu.” Perut baginda kelihatan bengkak.

Jawab ahli sufi, “Boleh, wahai baginda raja. Patik boleh mengubat paduka raja, akan tetapi dengan satu syarat.”



Raut wajah sang raja tampak teruja, “Apakah syaratnya?”

Ahli sufi menjawab, “Andai kata Tuanku sembuh, Tuanku mesti meletak jawatan sebagai pemerintah negara dan menyerahkan kekuasaan Tuanku kepada patik.”

Sang raja tersentak, lalu berfikir sejenak. Persoalan itu memaksanya bertafakur sejenak. Timbul dalam benak hatinya, “Amat berat pilihan ini. Orang ini menghendaki aku melepaskan takhta selama ini. Aku kini dalam keadaan nazak. Aku sudah di hujung nyawa.”

Renungnya lagi, “Seandainya aku mati kerana menolak tawarannya, pastilah aku susah nanti. Dosa aku banyak. Andai kata aku menerima, maka aku akan hidup dan berbuat kebajikan. Aku sempat bertaubat.”

Baginda raja masih dalam dilema. Tampaknya ia ketemu jawapan, “Lebih baik aku terus hidup.”

Ahli sufi kelihatan tenang. Ia meminta segelas air. Kemudian ia membaca surah al-Fatihah dan meniup gelas tersebut dan memberikan kepada sang raja.

Perut sang raja berkocak-kocak, baginda selepas itu dibawa ke tandas untuk melepas qada’ hajatnya. Dek kerana terlalu lama tidak qada’ hajat, maka seluruh istana dicemari dengan bau yang tidak menyenangkan.

Sang raja berasa lega, lalu berkata, “Sekarang, beta tunaikan janji sekarang juga. Beta akan melepaskan takhta dan menyerahkan kesemuanya kepada engkau.”
Ahli sufi menggelengkan kepala lalu berkata, “Tuanku, jikalau begitulah hendaknya, patik tidak mahu menerima janji Tuanku.”

Kehairanan, tanya sang raja, “Permintaan engkau sungguh pelik. Mengapakah engkau berkata sedemikian?”



Jawab ahli sufi, “Paduka raja... jikalau yang demikian, sesungguhnya harga kerajaan Tuanku nilainya apa yang baru keluar daripada tubuh Tuanku.”

Baginda raja semakin hairan. Ahli sufi menyambung lagi bicaranya, “Ini kerana hanya semata-mata kerana mahu mengeluarkan sakit Tuanku, Tuanku telah menyerahkan segala kerajaan dan kekayaan Tuanku kepada patik. Alangkah rendahnya harga kesemua kebesaran itu!”

Ahli sufi menginggalkan istana. Sang raja tergamam. Alangkah rendah hina-dina dunia, segala kebesaran diserahkan semata-mata mahu ditukarkan dengan sesuatu yang amat hina pada pandangan manusia...

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...