BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, September 29, 2009

Syawal (3): Misi Siratulrahim (1): Destinasi Marudi


Udah siap sidaknya (Mereka sudah bersiap)?” tanyaku kepada Usu Shahril. Ibuku pula di sisi. Kami bertiga berdiri di depan pagar rumah. Jawab Usu, “Sidaknya tengah bersiap lagik (Mereka sedang bersiap).”

Balas ibuku, “Harap-harap sempat. Takut tertinggal lagik kedak marek (Harap-harap sempat. Bimbang pula terjadi seperti semalam).” Wajahnya tergambar kebimbangan.

Sambil mengimbas persekitaran, tiba-tiba Usu berkata, “Aku ngekot sidak ari tok. Aku pergi pulang ari (Saya ikut mereka. Saya pergi pulang hari).”

Aku menjawab secara spontan, tidak menyangka kata-katanya, “Apa?”



Usu mengulang, “Aku ngekot sidak. Pegi sama. Balit ngekot ekspres kol tiga kelak (Saya ikut mereka. Balik nanti naik ekspres pukul tiga petang).”

Hatiku melonjak-lonjak. Sudah beberapa tahun kebelakangan ini teringin benar berhari raya di kampung halaman saudara-mara, Marudi. Ya, hasrat itu telah tersimpan buat sekian lama. Kerana sudah berbelas tahun tidak menziarahi keluarga di sana. Mungkin juga kerana kekangan keluarga beberapa tahun ini, tidak berkesempatan untuk bertandang ke sana. Juga, kehidupan keluarga nukleus yang berpusat kepada keluarga kecil adakalanya terasa sempit; kerana tidak mengenal saudara-mara yang lain. Siapalah diri ini jika bukan saudara-mara yang ada di sekeliling kita. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Walau bagaimana jauh terpisah, kenal ataupun tidak, mereka tetap saudara sedarah sedaging.

Ada hikmah yang besar tersingkap akan peristiwa semalam. Kisahnya begini. Saudara daripada Kuching, Ngah Saleh dan Ngah Epot sekeluarga juga sekian lama tidak berhari raya bersama keluarga besarnya di Marudi. Mereka telah bertolak dari Kuching pada tengah malam sebelumnya dan dijangka tiba untuk menaiki bot ekspres dari Kuala Baram terakhir pada pukul 3 petang.



Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui rahsia segala rahsia. Waktu telah pun menjangkaui pukul 3 dan ekspres terpakasa bertolak. Namun di sebalik kelewatan itu terkandung rahsia yang besar – mereka bermalam di Miri dan akan berangkat pada keesokan harinya. Maka sempatlah kami bersua dengan sepupunya Ngah Epot walaupun sebentar (Ngah Epot merupakan sepupu ibu).

Rancangan spontan Usu pada pagi hening itu begitu mengujakan. Mengenangkan diri yang telah lama mahu ke kampung halaman bertemu sanak saudara bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Dek terlalu lama tidak berjarah, inilah peluang keemasan untuk menghubungkan kembali talian siratulrahim yang lama tidak dihiasi dengan sapaan kasih sayang. Inilah peluang untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah pertalian diri ini dengan ibu dan bapa saudara, dan juga kazen-mazen (saudara mara). Maklumlah, sudah berbelas-belas tahun tidak berjumpa.

Aku bergegas bersiap. Pagi itu kelam kabut juga jadinya. Tidak ada perancangan langsung, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk bermusafir jauh. Marudi bukannya dekat – jika dikirakan dengan menggunakan jalan sungai, kira-kira 2 jam setengah.

Desisku dalam hati, “Ancor aku. Mun adikku tauk ke Marudi ari tok, abis aku kenak marah. Pegi sik madah-madah urang (Habis aku. Andai kata adik tahu aku ke Marudi hari ini, habis nanti dimarahnya. Pergi ke sana tidak beritahu orang).”

Ketika itu mahu berangkat. Barang-barang keluarga Ngah Epot dipunggah dengan cermat. Kepala dihitung dengan tepat.

Usu menyapa di luar pagar rumahnya, “Gago kau tok. Napa gap gilak tok? Malu aku bah (Awak menyibuk betul. Kenapa segak sangat? Buat malu saya sahaja)!” Ngah dan ibu ketawa kecil. Usu tersengih menggalas begnya. Gayanya santai, tidak ada rupa orang berhari raya. Berbaju kemeja dan seluar jeans.

Aku membalas, “Apa ya? Kita beraya bah. Polah lah kedak beraya (Kita mahu berhari raya. Buatlah seperti berhari raya)!”

Suasana keberangkatan menjadi kecoh. Kali ini Usu pula menjawab, “Kau tok, kau gap kedak ya terpaksa aku makei songkok. Aku tok adventure. Bila-bila aku boleh balit (Kamu ini, kerana segak sangat, terpaksa saya pakai songkok. Saya ini ‘adventure.’ Bila-bila balik pun tidak kisah),” ujarnya sambil memakai songkok.

Tegur Usu, “Napa diembak kau ya? Kita pegi tok sehari jak bah (Apa yang awak bawa? Kita hanya pergi sehari sahaja).”

Jawabku, “Aih, mun kitak haus, tok juak dicarik kitak (Nanti haus, ini juga yang Usu cari)!” aku memasukkan minuman ke dalam beg.

Mana ajaklah. Sukati kau. Aku sik duli. Aku jalan, jalanlah (Mana sahajalah. Suka hati awak. Saya tidak peduli. Suka hati saya berjalan)!” kami semua ketawa mendengar jawapannya.

Sebelum segalanya bersiap berangkat, ujar Usu dengan nada rendah dan berwajah agak serius, “Yang penting, kita molah sunnah Nabi sallallahu alaihiwasallam. Baruklah kita kenal sudara kita (Apa yang penting, kita buat sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baru kita kenal saudara-saudara kita).”

Aku sudah mengagak kata-katanya itu. Itulah yang selalu disebutnya. Usu, seorang yang bijaksana menyelitkan isi-isi ajaran agama dalam perbuatan dan percakapannya. Di sebalik gurauan dan pembawaannya, orang mudah menerima nasihat dan tegurannya. Begitulah antara cara yang berhemah untuk orang-orangku, orang Sarawak yang ramah dan penyantun. Lenggok dakwah di sini harus disantuni dengan baik, dengan memahami konteks bahasa, budaya dan cara fikirnya. Biarlah dengan gaya dan bahasa yang difahami dan boleh diterima, bahasa yang melangit tinggi tanpa ada dasarnya tidak ke mana. Oleh yang demikian, orang mudah menerima dengan baik teguran, ajaran mahupun nasihat dengan difahami dengan bahasa yang baik. Terkadang kerana silap memahami konteks yang amat penting ini, kadangkala tidak sampai isi dakwah. Perkara ini aku perhatikan bukan sahaja dalam kitaran keluarga, tetapi kebanyakannya ku perhatikan apabila beliau bergaul dengan masyarakat setempat.

Balasku, “Mena ya. Menyambongkan siratulrahim. Nyambong tali yang terputus.” Kami pun beredar ke terminal ekspres Kuala Baram, terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Pujut 9.



Bersyukur kepada Tuhan memberikan peluang sekali lagi untuk berdiri di terminal ini –sebuah jeti ringkas yang terdiri daripada platform, atap dan tayar penampan daratan ekspres. Kami tiba di lokasi ini kira-kira pada pukul 7.25 pagi. Kami tidak sempat untuk menaiki bot ekspres 7.30 kerana tidak semua sampai tepat pada masanya. Kami mengambil keputusan untuk berangkat dengan bot pukul 8.00 pagi nanti.

Angin berpuput lembut mengibarkan bendera Bumi Kenyalang di atas pelantar ekspres. Ekspres terapung-apung dibuai ombak kecil. Di tengah sungai pula kelihatan sebuah kapal penunda menarik tongkat yang memmbawa muatan balak. Kedua-dua kenderaan terapung perlahan, mungkin kerana sarat muatan dan melawan arus Sungai Baram pula. Air sungai berwarna perang bak teh tarik kurang manis. Secara zahirnya, sungai ini kelihatan berkelodak; airnya mengandungi banyak pasir.

Aktiviti pula memperlihatkan bermacam-ragam manusia. Rata-rata mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada pemerhatianku, mereka adalah orang sederhana dan pinggiran bandar ataupun yang tinggal di ceruk terpencil Baram ini. Ada yang baru tiba dan terus menaiki bot. Ada pula yang berbual dengan kenalan-kenalan. Ada yang menunggu seseorang. Ada pula yang mengail udang di hujung jeti. Ada pula yang sibuk menyelenggara bot masing-masing.

Tidak kurang juga terdapat saudara dan kenalan yang juga bermaksud berjarah ‘pulang hari.’ Maklumlah, hari ini baru hari ketiga hari raya, oleh yang demikian, aktiviti berjarah dipanjangkan. Pada awal-awal pagi ini sudah terasa kehangatan persaudaraan iaitu bertanya khabar dan bertukar-tukar berita antara satu sama lain.

Satu kebanggaan yang aku perhatikan ialah yang masih dipertahankan oleh orang Melayu (dan Islam) Sarawak ialah mengenakan baju melayu lengkap bersabok (bersamping) dan bersongkok hitam pekat masih dipertahankan. Berbeza dengan masyarakat Melayu-Islam Semenanjung, baju melayu lengkap hanya dipakai hari pertama sahaja. Walaupun hari raya telah seminggu ataupun lebih berlalu, masyarakat masih memakai baju melayu lengkap semasa berjarah (walaupun kini tidak semua masih mengekalkan, tetapi masih dipertahankan dan terasa keberadaan suasana tersebut).



Teringat tika berjarah pada Hari Raya Idul Adha anjuran PERKEPISMA beberapa tahun lalu, kami menaiki LRT dan komuter untuk ke Bangi. Kami seramai beberapa orang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap. Dengan sengaja kami berbisik dan berpakat untuk menyaksikan respon daripada penumpang lain. Hari tersebut – Hari Raya Idul Adha yang mulia disunatkan memakai pakaian terbaik terasa amat asing sekali apabila dipandang-pandang dan dijeling-jeling orang. Rasanya bukannya pakaian naik ke bulan. Setakat pemerhatian kami pada waktu tersebut, hanya kami sahaja yang berpakaian sedemikian! Berbeza di Sarawak, masyarakat amat selesa dengan pemakaian ini.



Matahari semakin tinggi di atas ufuk timur. Sinarannya dipantulkan oleh kocak-kocak air yang menerbitkan keindahan tiada taranya. Sinarnya menebar ke serata alam tanpa mengira sama ada makhluk itu patuh ataupun tidak, turut ataupun ingkar. Rahmat-Nya menebar tanpa diskriminasi. Tetapi menjadi suratan alam ini, hanya dua bangsa boleh jadi taat dan ingkar; selebihnya tunduk secara sukarela. Iaitu bangsa jin dan manusia yang diberikan pilihan dan ikhtiar. Kedua-dua bangsa ini seringkali angkuh melangit tidak sedarkan diri.

Waktu Dhuha – waktu yang berkat untuk mendirikan solat sunat Dhuha dengan matahari baharu naik dan terasa sedikit kepanasannya. Kilauan air sungai disusuli dengan bayu mendayu Laut China Selatan menghasilkan irama keanggunan yang begitu mengasyikkan. Tidak hairanlah tika aku berada di perantauan, andai ada angin lembut seperti ini, pasti aku akan teringatkan tanah air.

Tidak terjadinya keindahan yang menakjubkan ini melainkan oleh yang Maha Pencipta. Dialah yang empunya lukisan alam ini. Seringkali manusia takjub akan binaan-binaan yang mengagumkan. Tetapi jarang sekali merekai memuji-muji yang Mencipta, Memelihara dan yang Empunya alam, apatah lagi akur dengan penuh rasa cinta. Tidak berkurang Kuasanya, Kerajaan-Nya andai tidak ada yang Memuji-Nya. Tidak akan bertambah Kuasa dan Kerajaan-Nya, dengan puji-pujian kita yang selalunya ingin diketahui dan didegari oleh orang lain. Alangkah... alangkah... alangkah... di manakah diri ini?



Arus Sungai Baram tidaklah sederas Batang Rajang; sungai terpanjang negara. Tiba-tiba terimbau kembali saat bersama rakan-rakan Kembara Amal ABIM II tahun 2005; tika berada di tebing Batang Rajang, Sibu untuk menaiki feri. Ketika itu jambatan yang merentasi sungai masih dalam pembinaan. Kami kemudiannya berangkat ke Kapit untuk berambeh di sana dua hari semalam untuk menyebarkan siratulrahim sesama insan bergelar Muslim. Batang Rajang arusnya lebih deras dan memakan lebih masa untuk tiba ke Kapit.

Rakan-rakan Kembara Amal ABIM II (YDP PERKEPIS pertama, Dr Saifullah-beliau merupakan graduan UNIMAS berdiri, dua dari kiri)
Lokasi pilihan Kembara di KapitKenangan bersama Bang Syed, Bang Zack (sekarang di New Zealand, mahasiswa perubatan) dan pasukan fasilitator Kembara di Surau Kampung Beleteh, Kapit bersama muda-mudi Muslim; 2005.

Pengalaman pada 2005 tersebut merupakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kapit. Tidak terbayang, bagaimanakah agama Allah yang luhur suci, Islam telah tiba di penjuru ini yang dilingkungi oleh hutan tebal dan dihubungkan hanya dengan jalan sungai. Begitu juga di ceruk-ceruk terasing di susur sungai, denai mahupun hutan belantara serata Bumi Kenyalang. Tentunya perintis dakwah di sini terdiri daripada sosok-sosok yang dipilih oleh Tuhan, iaitu orang-orang yang sanggup berjuang di jalan-Nya tanpa banyak berkira. Ya Allah... jauhnya diri ini setegar seperti itu. Dengan izin dan cahaya-Nya jua lah agama-Nya telah bertapak di sini. Andai tidak ada seorang pun yang sanggup, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.



Bah, dah mok kol lapan dah tok, ” ujar ibu. Ayah pula masih rancak berbual bersama Ngah Saleh, Usu dan Pakcik Kaderi. Lamunanku serta-merta terhenti. Kami bersalam-salaman.

Perjalanan menyelusuri Sungai Baram bakal memakan kira-kira 2 jam setengah menaiki bot ekspres. Aku menjangkakan perjalanan ini mungkin memenatkan – tidak ada penghawa dingin seperti dalam belon dan gegaran enjin bot yang akan meletihkan badan. Tetapi segalanya itu tidak terasa. Perasaan ingin tiba di sana melebihi daripada sedikit kepayahan yang mungkin ditempuh.

Diri jangan sentiasa dimanja dengan limpahan kesenangan. Melalui yang dilalui oleh orang-orang kebanyakan pasti akan menerbitkan suasana dan pengalaman yang hampir-hampir sama seperti mereka. Oleh yang demikian, diharapkan akan dapat menimbulkan keinsafan, menghargai nikmat kurniaan Tuhan dan melatih diri membiasakan dengan kehidupan yang penuh sederhana.

‘Genggamlah dunia di tanganmu, bukan di hatimu,’ itulah pegangan Imam Abu Hassan as-Syazuli; seorang ulamak tersohor pada suatu zaman dahulu.

“Siney kita tok (Kita hendak ke mana)?” tanyaku anak buahku. Ia duduk di kerusi belakang. Dagunya tepat di atas hujung kerusi. Mula-mula agak kekok juga bersama dengan orang-orang yang berbelas-belas tahun ataupun baru sahaja berjumpa sekalipun sama saudara.



Ia seorang kanak-kanak perempuan yang ramah dan responnya celoteh, “Sik tauk kamek eh. Bukan kita sampei Australia ka (Saya tidak tahu. Bukankah kita sampai di Australia nanti)?”

Aku tergelak sendirian. “Jaoh na kitak ke sia. Kita tok ke Marudi’. Boleh tahan jaoh. Tapi sik lah sampei ke Australia. Hehe. Aih, sapa nama kitak tek (Jauhnya adik mahu ke sana (Australia). Kita akan ke Marudi, agak jauh juga. Tetapi kita tidak sampai ke Australia. Eh, nama adik, siapa)?”

“Nama kamek, Riza,” jawabnya dengan ramah.

Perjalanan bakal bermula. Misi warisan menyambung rahmat ke serata alam. Misi siratulrahim. Destinasi: Marudi.


"Orang-orang yang berakal ialah mereka yang memperhubungkan apa yang diperintahkan
untuk diperhubungkan oleh Tuhan (yakni siratulrahim)"
(ar-Ra'd, 13:21)

Insya-Allah bersambung...


Berjasa Kepada Masyarakat

Saturday, September 19, 2009

Syawal (2): Dam Dam Dum... Bunyi Mercun... Beraya ala Fallujah



Satu fenomena yang berlaku pada hari lebaran ialah, jika anda berjaga menjelang pukul 12 malam. Menjelang waktu tersebut, anda mungkin merasa berada di Fallujah di Iraq, di Kandahar di Afghanistan ataupun setidaknya di Palestine. Tika umat Islam dibedil, dihujani peluru hidup yang tidak bermata, terdapat pula segelintir masyarakat yang membuat ‘replika suasana’ tersebut.


Pada waktu malam inilah, suasana bak bertih panggang. Bunyi dentuman meriam buluh, A-bom, roket dan sebagainya menjadikan suasana bingit dan menyesakkan. Pada malam lebaran yang penuh barakah dan ketenangan, dicemari pula dengan bunyi dentuman bakaran mercun yang memakan banyak wang ringgit.

Berbanding tahun lepas, tahun ini keadaan lebih baik. Meskipun begitu, mungkin juga ‘pelancaran’ dibuat secara ‘catuan’ untuk menghasilkan kesan maksima pada 12 malam kelak. Menjelang detik tersebut, berdentum-dentumlah hiruk-pikuk bunyi mercun. Jika beberapa tahun kebelakangan, rancak pula ‘perang meriam buluh.’ Terdapat sesetengah individu yang bermain meriam buluh di kampong ini. Dibalas pula dengan dentuman yang lebih kuat daripada kampong berhampiran yang terletak di seberang sungai.

Tidak ada tindakan yang serius dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Bahkan, mercun dijual secara terang-terangan di bazaar Ramadhan. Tidak hairanlah, bekalan yang wujud menjadikan pengguna mudah ‘membakar’ duit.

Peperangan ala Fallujah ini bukan sahaja membazirkan duit, tetapi juga mengganggu jiran tetangga dengan bunyi yang bising. Bayangkan, ‘meriam’ yang bingit bunyinya diletupkan di belakang rumah anda. Ataupun, mercun papan yang meletup-letup selama lima minit dibakar juga tidak jauh daripada rumah anda. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam amat menitik beratkan soal menjaga hak dan kebajikan jiran tetangga. Kononnya untuk menyambut Syawal, tetapi telah menyusahkan orang-orang yang berjiran dengan kita.



Andai kata lebih mampu untuk ke Fallujah, Kandahar dan Palestine,maka itu adalah terlebih baik. Janganlah heret masyarakat ke dalam huru-hara kebingitan suasana perang. Jikalau penduduk Fallujah sendiri pun, mereka inginkan suasana yang aman dan tenteram, dan selamat menjalankan ibadah serta aktiviti seharian. Kita di sini mahu sebaliknya pula, beraya ala Fallujah

Syawal (1): Salam Idulfitri Dari Pujut 9



Udah tek (sudah)?” aku baru tiba dan bergegas ke tempat mengambil wuduk.

Balas Usu, “Belom. Gik nunggu tok (Belum. Masih tunggu).” Kemudian ia menyambung ceritanya, “Kami di Negara Pakistan ada nuklear... ”

Apa ndak dikelakarnya ya. Ada ajak usu tok mbak loya (Apakah yang dibualnya? Ada saja ceritanya).” Ujarku dalam hati, kemudian terlihat ke bahagian dalam surau.

Aku hairan seorang jiranku, Faiz berbahasa isyarat kepadaku. Ia di dalam, aku di dalam terpinga-pinga. “Napa? Napa (Apa? Apa)?” kataku. Seorang berbahasa isyarat. Seorang lagi tidak faham-faham maksudnya. Kemudian perhatianku teralih. Ada seorang jiran menghampiri.




Tanya Usu kepada jiran itu, “Bah. Udah umum tek (Sudah umum)?”

Jawabnya, “Bisok raya eh. Ya lah aku balit tek, ndengar pengumuman (Besok raya. Sebab itulah saya balik rumah tadi, dengar pengumuman).”

Bah. Ju takbir (Mari bertakbir)!”

Hatiku melonjak. Sudah lama aku nantikan saat ini. Lantas aku mengambil wuduk. Aku baru tiba dari Piasau, belum menunaikan solat Isyak lagi.

Yoh, kamboh la malam tok (Tentulah meriah malam ini),” kataku kepada Pak Syamsul.

Balasnya, “Nya lah ya. Bisok dah raya tek nak (Itulah, bukankah besok sudah raya)?”


Para jemaah sedang sibuk mengatur diri. Ada yang mengambil mikrofon. Ada pula yang tidak diam duduk kerana teruja menyambul Syawal. Ada pula yang mencari-cari risalah takbir raya. Maka alunan takbir pun bermula. Bergemalah surau itu hendaknya apabila takbir tekong dibalas oleh jemaah.

Suasana ini ceria sekali. Tidak kudapati seumpamanya di tempat lain. Kemesraan sudah terserlah kerana sudah lama hidup bersama. Bersama dalam kelompok ini adalah jiran-jiran di kalangan komuniti terpinggir di ceruk perumahan ini. Kebanyakan hidup dalam serba sederhana. Tidak kurang juga yang dihimpit dengan kesusahan. Apabila berada di rumah Allah ini, susah senang hidup dikongsi bersama.

Kampung Pujut 9 secara lokasinya tersepit antara perumahan dan sungai Miri. Populasinya tidak ramai, hanyalah dalam beberapa keluarga. Kampung ini sudah bertapak sejak lebih 30 tahun yang lalu. Sewaktu datukku Haji Morni membeli tanah-tanah di kawasan ini, penduduk asal kampung sudah menetap di sini. Namun diiktiraf oleh pihak berkuasa sebagai ‘setinggan.’



Kegembiraan melaungkan alunan takbir tidak terjangkau. Terpampang pada wajah-wajah ini cahaya kegembiraan bertakbir bersama-sama menyatakan kesyukuran kepada Allah yang Maha Besar. Tuhan yang Esa, yang empunya Kemuliaan, Kemegahan dan Kasih Sayang. Tidak kira kecil, besar, tua, muda masing-masing mengambil kesempatan untuk menjadi ‘tekong’ takbir secara berduet.

Setelah beberapa lama mikrofon berkisar di kalangan kami Usu telah mengumumkan, “Assalamualaikum,” orang lain diam dan senyum menantikan beliau.

“Saya bagi pihak jawatankuasa Surau al-Jariyah Pujut 9 ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh jemaah surau dan orang-orang kampong.”

Ia menyudahi, “Maaf zahir dan batin atas segala salah dan silap.”

Tiba-tiba Ajim bertanya, suaranya serak-serak basah, “Aih, dah maok abis ka? Boleh kamek urang sambong lagik (Sudah habis? Boleh kami sambung bertakbir)?”

“Sukati toranglah. Sampei malam pun boleh. Yang penting aku mok minum (Suka hati kamu. Sampai malam pun boleh. Apa yang penting ialah saya mahu minum).” Kami semua tergelak mendengar respon itu. Beliau bingkas dan mendapatkan minumannya di bahagian belakang surau.

Maka kekal bergemalah Kampung Pujut 9 dengan alunan takbir memuji Tuhan. Alangkah indahnya, andai muhasabah Ramadhan dan kesyukuran bertakbir dapat diterjemahkan dalam segenap kehidupan ini. Alangkah indah andai komuniti sekelumit ini kembali kepada Allah dengan sepenuh hati. Alangkah... beratnya tanggungjawab ini mendidik jiwa-jiwa ini agar bersama membersihkan jiwa dan kembali kepada-Nya. Kembali meraih cinta-Nya. Kembali menurut ajaran Rasul-Nya secara benar dan bersih.

Sebelum melangkah ke rumah, aku bersalaman dengan anggota jiran yang hadir, mengucapkan salam Hari Raya dan memohon maaf segala yang khilaf. Alangkah indahnya suasana ini. Meski mungkin berbeza dari segi status kehidupan pada pandangan zahir, namun agama-Nya telah menyatukan hati-hati ini tanpa ada perbezaan kebendaan. Tidak ada beza antara kami apabila bersama menghadap Tuhan, bersama melaungkan kalimah-kalimah memuji-Nya. Kerana Dia hanya memandang hati dan amalan kami. Adakah suci bersinar hati ini ataupun sebaliknya. Ataupun amalan diterima atapun tidak. Hanya itu pada pandangan Tuhan.



Aku tersentuh akan permintaan Pak Amin, imam surau, katanya, “Doakanlah agar hidup saya ini dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang. ” Ramadhan ini telah berlalu. Dan Syawal menjelma. Menjadi harapan yang besar agar diberikan kesempatan mengaut ganjaran berharga langsung daripada Tuhan pada bulan Ramadhan.

Aku meninggalkan surau menuju ke rumah di luar simpang kampong. Takbir masih lagi bergema. Adunan suara-suara ayah-ayah dan anak-anak sangat menggamit perasaan. Alangkah indahnya kesyukuran dilafazkan dengan memuji Tuhan selayaknya. Alangkah indah andai kita dikurnia kesempatan bertemu akan Ramadhan 1431H (12 Ogos 2010) tahun mendatang. Bersama kita panjatkan doa. Moga Tuhan makbulkan.

Selamat Hari Raya Idulfitri 1430H
Maaf zahir dan batin kupinta

Berjasa Kepada Masyarakat

Monday, September 7, 2009

Pengajian Ramadhan Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam


Pengajian kitab Sairus Salikin (Jalan Bagi Orang yang Berjalan)oleh Tuan Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki insya-Allah akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 13 September 2009 (Ahad)
Tempat : Masjid Darul Falah, USJ 9, Subang
Masa : 9 pagi - 12 tengahari



Tuan Syeikh akan menyambung kupasan beliau mengenai bab puasa yang diadakan pada Ogos 2009 yang lepas. Kitab yang digunakan ialah jilid 1 Sairus Salikin yang ditulis oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dan ditahkik semula oleh Tuan Syeikh Fahmi. Kitab tersebut boleh didapati di kedai-kedai buku di Wisma Yakin dan Jalan TAR. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu. Anda boleh memilikinya dalam versi jawi ataupun rumi.

Kitab ini merupakan kitab paling tinggi di Nusantara ini dalam konteks kerangka perbahasan karya Imam al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Kitab ini ditulis 200 tahun yang lepas. Syeikh Adul Samad al-Falimbani juga menulis Hidayatus Salikin (Hidayah Bagi Orang yang Berjalan). Syeikh merupakan seorang ulama yang menabur jasanya kepada umat. Berbekalkan dengan keberkatan ilmu yang dibawanya, beliau telah berdakwah di serata Nusantara, sebagaimana ulama-ulama lain. Beliau juga merupakan seorang mujahid yang berjuang di jalan Allah. Pendapat mengatakan bahawa beliau telah syahid ketika mempertahankan Patani daripada serangan tentera Siam pada suatu masa dahulu. Kitab ini merupakan khazanah yang tidak ternilai untuk kita semua. Ajarannya masih segar dan relevan, walaupun setelah 200 tahun kewafatannya.



Syeikh Fahmi Zam Zam merupakan seorang ulama daripada Banjar, Kalimantan Indonesia. al-Banjari merupakan gelaran tempat kelahiran beliau. Manakala an-Nadwi pula merupakan gelaran yang diberikan oleh guru beliau, Syed Abul Hassan ali Nadwi (ulama besar India) semasa menuntut di Naudatul Ulama, Lucknow, India. Manakala gelaran al-Maliki merupakan gelaran yang diberikan oleh gurunya Syed Muhammad Alawi al-Hasani (ulama besar Mekah, keturunan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) ketika menuntut di Makkah.

Jangan lepaskan peluang ini!!!


NOTA:
Pengumuman tarikh pengajian ini adalah daripada penetapan tarikh sebelum pengajian berakhir di Masjid Darul Falah USJ 9, Ogos 2009 yang lepas

NOTA: Jika anda menaiki pengangkutan awam, anda boleh juga menaiki bas Rapid KL U63 ataupun U64, daripada Stesen LRT Rapid Universiti. Kedua-dua bas akan melalui masjid ini.


Bersama Menghidupkan Budaya Talaqqi

Berjasa Kepada Masyarakat

Wednesday, September 2, 2009

Galaksi Muhsinin: Termasuk dalam TOP 30 Judul PTS Julai 2009


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Hanya kepada-Nya sepatutnya dipuja dan disembah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, ahli keluarganya, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, bulan Ramadhan ini membawa keberkahan yang begitu besar. Minggu ini, baru sahaja telah mendapat pembayaran pembelian novel saya Galaksi Muhsinin daripada Perpustakaan Negara Malaysia.

Dan, lebih menggembirakan lagi, berita bahawa Galaksi Muhsinin telah tersenarai dalam 30 judul teratas jualan PTS pada bulan Julai 2009 yang lepas. Meskipun Galaksi Muhsinin berada di tangga terbawah dalam senarai tersebut, namun ini merupakan dorongan yang kuat kepada diri ini untuk terus berkarya dan berkongsi manfaat bersama masyarakat.



Semua ini merupakan rezeki daripada Allah. Saya bermohon agar hal ini tidak menghambat diri leka mengejar nama. Walhal kesemua ini daripada Allah. Idea, imaginasi, jalan cerita dan segala-galanya, adalah semuanya daripada Allah. Tidak harus diri mendabik dada merasakan diri lebih baik daripada orang lain, sedangkan semua ini daripada-Nya.

Teringat saya akan kata-kata seorang ulamak, Imam Abu Hassan as-Syazuli (guru kepada Sultanul Ulamak, Penghulu segala Ulamak, Imam Abdul Izz Abdul Salam, Imam Abu Abbas al-Mursi) mengatakan:

"Genggamlah dunia itu di tanganmu, bukan di hatimu."

Semoga perkara ini menjadi iktibar, agar nikmat yang dikurniakan akan menambahkan dekat kepada Allah, bukan menjauhkan diri daripada-Nya.

Terima kasih buat ibu dan Ayah, guru-guru saya, terutama guru-guru dalam penulisan, Puan Ainon, teman-teman seangkatan dan semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung menyumbang dalam kejayaan kecil ini. Buat teman-teman penulis yang lain, teruskan usaha gigih anda!

Semoga usaha kecil ini diterima oleh-Nya dan diterima sebagai amalan yang soleh.


Sempena Ulangtahun pertama Galaksi Muhsinin, saya telah memuatkan 'Belakang Tabir' di sebalik pembikinan novel sains fiksyen Galaksi Muhsinin, di blog Saifai Islami di pautan ini.


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat


Berikut merupakan senarai TOP 30 Judul PTS Julai 2009, daripada universitipts.com

TOP 30 Judul PTS - Julai 2009

1. Yakjuj & Makjuj: Bencana Di Sebalik Gunung

2. Senangnya Memasak Ayam

3. Senangnya Memasak Nasi

4. Senangnya Memasak Ikan

5. Senangnya Memasak Sayur

6. Senangnya Memasak Daging

7. Senangnya Memasak Makanan Laut

8. Senangnya Memasak Kambing

9. Bilal Bin Rabah

10. Lentera Mustika

11. Hulagu Khan: Khabar Hitam Dari Timur

12. Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem

13. Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain

14. Magnet Rezeki Dengan Solat Duha

15. Legasi Blok E: Kebangkitan Kuasa

16. Siri Muaz & Haikal: Along Hilang

17. Petua Membantu Anak Berjaya

18. Young Aisyah: Sayang Cikgu

19. The 360 Degree Leader

20. Islam Adil untuk Semua

21. Wo Ai Ni Allah

22. Ajaibnya Sedekah

23. Misi Suhana: Saya Sayang Mama

24. Krew Rinching: Kawan Baru Saya

25. Sherlock Holmes 3: Wira Kota London

26. Aku, Dia & Coklat

27. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman

28. Tak Bisa Memilihmu

29. Aku Mahu Ke New York 1

30. Galaksi Muhsinin

NOTA: Senarai ini disediakan oleh Tn. Zain Aziz, Timbalan Pengurus Jabatan Sales, berdasarkan jumlah buku yang keluar dari setor PTS atas pesanan oleh kedai-kedai.

NOTA: Dapat sekali bulan Julai 2009 pun syukurlah. Ogos 2009 terkeluar kembali =P

NOTA: Sekuel (sambungan) Galaksi Muhsinin sedang giat ditulis. Insya-Allah akan siap menjelang hujung tahun. Saya menganggarkan akan terbit sama ada hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Setidak-tidak pun, pada Pesta Buku Antarabangsa 2010 pada 19 - 28 Mac 2010 di PWTC.

Ramadhan (2): Sudah Pertengahan Ramadhan!


Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:

Siapa yang berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Awalnya (Ramadhan) adalah rahmat, tengahnya adalah ampunan, dan akhirnya adalah pembebasan (Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...