BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, May 15, 2019

Naratif Ramadhan (1): Beli Awal Untuk Sungkei


2015
Di sebuah sekolah di Malaysia

“Awak, tunggu di pintu,” kata guru.

“Kenapa saya belum boleh masuk cikgu? Saya dah beri salam,” balas si murid yang masih berdiri di pintu kelas. Loceng sudah pun berbunyi. Waktu Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) telah pun bermula.

“Apa benda di tangan awak? Sekarang dah bulan Ramadhan. Waktu rehat nanti mana boleh minum,” si guru sengaja bertanya. Ia nampak sebuah botol sejuk dalam pelukannya. Si guru sudah mula ragu: budak ini puasa atau tidak hari ini?

“Saya baru datang dari kedai, cikgu. Ini saya beli awal untuk sungkei.” Sungkei bermaksud berbuka puasa dalam dialek Bahasa Melayu Sarawak.

Kening si guru terangkat, “Awalnya awak beli. Sekarang baru pukul 2 petang. Sungkei nanti 6.30 petang. Nanti balik kamu boleh beli. Kamu lalu kedai itu nanti...”

"... atau... kamu tak puasa?"

“Betul cikgu, sumpah. Percayalah saya,” rayu si murid. Di tangannya ada sebotol air Pepsi. Botol itu masih ‘berpeluh’ lagi kerana wap sejuk terkondensasi menjadi air apabila keluar
dari peti sejuk.

Si guru masih berasa curiga, namun akhirnya ia melepaskan muridnya ke dalam kelas. Dari ekor matanya, si murid itu masih tersengih. Matanya dan mata gurunya saling berpandangan. Akhirnya botol itu digolekkan ke dalam laci meja.

Selepas masa berlalu, si guru meminta murid-murid mengeluarkan buku latihan dan pensel.

”Alamak. Perlu salinkah cikgu? Penatlah puasa,” keluh seorang murid.

“Tak laratlah cikgu,” ujar seorang kepalanya sudah rebah di meja.

“Cikgu, apa kata kita rilek-rilek saja kelas hari ini. Sudahlah panas, puasa lagi.”

Si guru persis dengan pendiriannya. Walaupun puasa, tumpuan anak-anak didik pun dah berkurangan atau sudah menjunam ke laut, namun mereka tidak harus datang kosong hari ini. Kapur digerakkan di papan hitam melakar dan menulis isi pembelajaran.

Si anak murid tiada pilihan apabila segala rungutan mereka tiba-tiba cikgu jadi pekak tak dengar. Mereka pun mula menulis dengan pelbagai karenah.

Sekali sekala si guru menegur murid agar melaksanakan tugasan mereka. Dan ia kekal menulis nota di hadapan. Kali ini gaya chalk and talk. Oh. Boringnya.

Sedang si guru menulis di papan hitam, tiba-tiba ia merasa satu keanehan. Ada seperti bauan manis muncul dari belakang. Ia menoleh ke belakang, murid sedang menulis. Si guru kehairanan, “Bau apa itu?”

Sekali lagi ia menulis, ia menghidu bau yang sama. Ditolehnya, kelakuan murid-murid masih sama. Si guru menyambung menulis lagi.

“Cikgu!” panggilan itu menyebabkan si guru menoleh. Beberapa orang murid menuding jari ke arah meja yang sama.

“Kenapa?” si guru masih belum menghidu mungkin muslihat kenakalan muridnya.

“Dia minum! Dia tak puasa!”

“Cikgu, dia minum Pepsi tadi!” jerit seorang lagi.

“Eh, mana ada cikgu!” nafi si pesalah.

Kecurigaan si guru timbul kembali. Ia merapati muridnya yang nakal seorang ini. Bibirnya kering. Tangannya basah. Buku latihannya ada titik-titik air. Dan mulutnya berbau Pepsi.

”Memang sah awak tak puasa!” Lantas botol Pepsinya dalam tawanan si guru. Sebagai hukuman tidak sopan minum di kalangan murid yang berpuasa, Pepsinya ‘disita’ dan diberikan ceramah percuma oleh guru.

Tamat



Kalau budak belum baligh, tak apa kalau masih puasa ‘setengah hari’ atau puasa ‘yok-yok’. malangnya terdapat segelintir orang dewasa Islam yang baligh, berakal dan yang cukup syarat namun sengaja enggan berpuasa walaupun sebenarnya mampu. Ingatlah pesan amaran daripada Sayyiduna Nabi Muhammad g:


Sayyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang tidak berpuasa sehari daripada bulan Ramadhan tanpa keuzuran (sebab-sebab yang diizinkan) atau sakit maka dia tidak akan dapat mengqadakan puasa itu walaupun dia berpuasa seumur hidup, meskipun dia berkemampuan untuk melakukan sedemikian.”
(Hadith Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, ibnu Majah dan lain-lain)[1]




Rujukan:
Syaikh ul-Hadis Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya Kandahlawi s, (2013). Fadilat Amal, m/s 755-757. Maktabah Ilmiah: Sri Petaling, Kuala Lumpur.


_________________
[1] Dalam kitab Fadhilat Ramadan, ulama membahaskan dari segi fekah setiap hari puasa dapat digantikan. Akan tetapi, amatlah rugi kerana tidak mendapat keberkatan dan kelebihan (fadhilat) bulan Ramadhan. Perbuatan meninggalkan puasa adalah dosa dan perbuatan tersebut adalah fasik kerana meninggalkan kefadhuan (kewajipan) Rukun Islam yang lima. Janganlah mensia-siakan bulan yang penuh Rahmat dan Keampunan ini dan tergolong dalam golongan yang didoakan kebinasaannya oleh Malaikat Jibril dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Hadith Ketiga dalam kitab Fadhilat Ramadhan dalam himpunan kitab Fadhilat Amal yang dikarang oleh Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi .

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...