BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, August 31, 2008

[Sempena Merdeka (1)] Saksi Pelabuhan Singapura

Berhampiran Pangkalan Laut Seletar,
Singapura
8 Disember 1941

Matahari panas terik. Sang mentari menyinari cahayanya ke serata jagat. Camar melayang melawan puput angin. Awan putih nan tebal berarak memenuhi ruang langit.

“Subhanallah, Maha Suci Allah. Apa yang terjadi?” Seorang pemuda berhenti seketika perjalanannya. Ia memeriksa basikal tuanya.

Si pemuda mengambil songkoknya dan meletakkan ke dalam bakul basikal. Katanya, “Ya Allah, rantai terlepas.” “Baik aku kemaskan kain pelikat, nanti terlepas, orang dapat tayangan percuma pula. Aku yang rugi dapat dosa,” bisiknya dalam hati.

“Kriing! Kriing!” sayup kedengaran loceng basikal. Bunyi itu semakin kuat menghampiri.

“Karim! Assalamualaikum!” Si pemuda disapa.

Ia menoleh, “Alaikumsalam. Oh, Usman. Apa khabar?”

“Khabar baik. Engkau apa khabar?”

“Alhamdulillah, Tuhan beri kesihatan. Masih hidup lagi.”

“Engkau tilik-tilik apa? Tilik gadis sunti?”

“Agaknya mata engkau rabun. Aku tilik basikal lah.” Kedua-dua mereka ketawa.

“Kenapa? Engkau dari mana?”

“Aku dari surau, solat Asar tadi. Engkau dah solat?”

“Aa... belum. Nantilah aku balik solat.”

“Bukankah solat berjemaah dapat 27 kali ganda daripada seorang-seorang? Bayangkan, aku dapat 27 pound, engkau dapat satu pound. Aku lebih untung daripada engkau.”

“Baiklah, baiklah,” Usman mengangguk rasa malu. “Karim, aku dapat sesuatu.” Usman mengeluarkan sekeping kertas mengandungi lukisan dari saku kemejanya.

“Apa?”

“Asia untuk Asia!”

“Macam pernah dengar slogan itu.”

“Lihat, seorang askar Jepun memimpin tangan seorang Melayu. Maksudnya untuk kita,” kata Usman.

“Hmm... boleh percayakah? Engkau dapat risalah ini daripada siapa?”

“Tadi ada satu perkumpulan orang berpidato. Pidatonya berapi-rapi. Ia mengatakan bahawa Jepun akan tolong kita. Jepun akan bebaskan kita daripada cengkaman orang putih. Jepun akan jadikan Asia adalah untuk Asia. Jepun juga akan pastikan kita dapat menikmati kemakmuran bersama,” jelas Usman.

Sambung Usman dengan semangat, “Kita kena bebas merdeka! Sudah lama kita terjajah! Jepun adalah harapan kita! Mereka sudah mendarat di Kota Bharu malam tadi.”
“Adakah engkau seorang mata-mata Jepun?”

“Ehh... tidaklah!” Usman menafikan. “Kita mesti ada rasa semangat membela kedaulatan bangsa, agama dan negara. Sudah lama kita terjajah oleh Inggeris. Cukuplah mereka merampas hasil bumi kita. Menjadikan kita porak peranda, hilang maruah dan hilang keyakinan pada diri sendiri.”

Balas Karim, “Jadi, engkau sokong Jepun?”

“Sudah tentu! Mereka akan penuhi janji ini. Asia adalah untuk Asia. Aku sangsi dengan engkau, engkau seperti seorang yang agungkan kuasa Barat!”

“Ada aku buat apa-apa kenyataan?”

“Hoooooonggg! Hooooongggg!” kedengaran bunyi kuat dari pelabuhan Singapura. Kedua-dua sahabat mengalihkan pandangan ke arah sumber bunyi. Sebuah kapal gergasi sedang belayar ke arah muara.

“Kriing! Kriing!” datang lagi seorang pemuda.

“Assalamualaikum!”Ia memecut ke arah Usman dan Karim. Kedua-dua mereka tidak menyedari kehadirannya. Bunyi locengnya tenggelam dek bunyi semboyan kapal.

“Besarnya! Kapal apakah ini?” kata pemuda tadi. Ia membetulkan kaca matanya berbingkai tebal.

“Alamak! Rambut aku! Kalau ada gadis, tidak ada yang terpikat nanti!” Ia mengeluarkan cermin kecil. Diambilnya sikat di poket seluarnya dan mula menyisir rambutnya.

“Ini baru hensem, moden. Malangnya tidak ada pembaris. Ini pun kira luruslah.” Rambutnya bersikat sebelah tepi dirapinya betul-betul.

“Ahmad! Bila kamu datang?” namun Usman dan Karim masih terpegun akan kapal yang memudik ke muara di hadapan mereka.

“Baru sahaja sampai. Kapal apakah ini?”

“Kalau tidak silap, ini adalah kapal HMS Prince of Wales. Kapal ini adalah kelas battleship. Bersama dengannya ialah HMS Repulse, kapal kelas battlecruiser, veteran Perang Dunia Pertama. Gabungan kedua-dua ini bersama empat pembinasa yang lain membentuk Force Z. Laksamana Philips akan mengepalai skuadron ini.”

“Kamu dapat berita ini daripada mana?”

“Tentulah surat khabar, ” sambungnya lagi, “kita kena peka terhadap isu-isu semasa.”

“Ya. Khabarnya Jepun telah mendarat malam tadi di Kota Bharu. Tentunya mereka belayar untuk menentang Jepun. Jangan bimbang, Inggeris akan menang. Inggeris punyai empayar terbesar di bumi. Mereka mempunyai tentera yang kuat.”

“Kamu diracuni pemikiran penjajah! Kamu pengkhianat! Jiwa lemah! Penjajah sudah lama membelenggu kita!” Usman mengherdik Ahmad.

Wajah Ahmad tiba-tiba berubah, “Sial!” Ahmad menghayunkan penumbuknya kepada Usman.

“Sudah!” Karim menahan tangan Ahmad.

“Pengkhianat bangsa!” tuding Usman.

“Tidak guna! Mereka telah membawa kemajuan kepada kita. Engkau seorang yang biadap, tidak berterima kasih!” Ahmad berusaha menerkam Usman, tetapi dihalang oleh Karim.

“Sudah, mengucap kamu berdua! Minta ampun kepada Tuhan. Kita ini bersaudara.”

“Kamu Ahmad, agungkan Inggeris. Dan kamu pula Karim, agungkan Jepun. Kamu berdua sama sahaja!”

“Engkau cakap biar baik-baik, Karim. Sebelum penumbuk ini melayang ke muka engkau. Aku orang Melayu, pantang dicabar!” Usman mengancam.

“Engkau orang yang tidak bersyukur!” tuding Ahmad.

“Orang-orang yang kamu sokong, siapa sebenarnya?”

“Jepun, demi kedaulatan bangsa, agama dan negara. Mereka akan membebaskan kita daripada orang putih.”

“Tentulah Inggeris. Mereka kuat dan mempertahankan kita daripada orang-orang asing. Mereka membawa keadilan dan persaudaraan,” balas Ahmad dengan sinis.

“Aku rasa, jawapan kalian kurang tepat. Kalian adalah sama sahaja. Kalian menyokong orang-orang yang bukan Islam. Orang-orang yang apabila menjajah di suatu negeri, mereka akan menghancurkan orang-orangnya, merampas segala hasil bumi dan memperhamba bangsa yang lain. Fikir baik-baik.”

“Itu tidak benar! Jepun akan bantu kita merdeka!” balas Usman.

“Adakaha Jepun berlaku adil di China? Kenapakah mereka melancarkan peperangan? Bagaimana pula di Manchuria? Adakah penduduknya benci terhadap mereka?” Usman tunduk diam.

Karim beralih kepada Ahmad pula, “Dan kamu, Ahmad, tahukah kamu siapakah Inggeris?”

“Mereka orang-orang yang hebat. Membawa kebebasan, persamaan dan persaudaraan. Orang putih meletakkan beban dunia atas bahu mereka. Mereka maju. Kalau mahu maju, harus ikut seperti mereka.”

“Inggeris adalah lanun nombor satu dunia. Mereka porak perandakan dunia dengan penjajahan mereka. Mereka datang menjajah kita adalah untuk merampas segala kekayaan hasil bumi kita. Dan mereka jadikan penduduknya yang bermaruah hilang jati diri, jadi pak turut sahaja. Mereka memerah keringat kita dengan percuma dan menindas kita dengan seazab-azab tindasan. Jepun pun, lebih kurang juga.”

“Kita lihat mereka bergaya, pakai baju moden. Kita pun ikut sekali. Mereka minum arak macam minum air, kita pun ikut sekali. Mereka simpan perempuan, dan bertukar-tukar perempuan, macam ayam sahaja. Itu pun kita ikut sekali. Ke manakah adab dan nilai Islam dan ketimuran kita?”

Ahmad dan Usman tunduk sekali, tidak sepatah kata pun terpacul dari bibir mereka. “Kita ada agama Islam yang mengatur hidup kita. Sejarah membuktikan dengan Islam, sesuatu bangsa menjadi mulia. Lihatlah, bangsa kita merupakan bangsa yang hebat suatu ketika dahulu. Bangsa pelayar, pedangang, pahlawan dan pentadbir yang agung, apabila Islam mereka pegang.”

“Namun kini, kita orang Islam lemah kerana kita menjauhi ajaran Islam yang mulia. Dunia meratah menangis kerana kejatuhan umat Islam di persada dunia. Kita kehilangan kekuasaan yang kuat, Turki Uthmaniyyah yang menaungi kita. Sebab itulah dunia porak-peranda.”

“Tidak ada penjajah yang merosakkan bangsa lain, melainkan ‘penjajahan’ oleh orang Islam. Orang Islam menjajah di suatu negeri akan membawa kemakmuran. Allah telah berfirman dalam surah Namlun, ayat 34, ‘Dia (Balqis) berkata: ‘Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia hina dan demikian pulalah mereka akan perbuat.’”

“Oleh yang demikian, sama sahaja siapakah yang akan datang. Baik Jepun yang baru sahaja datang, saya pasti mereka akan menindas kita. Kerana mana-mana penakluk yang tidak beriman, mereka akan membuat seperti yang Allah katakan dalam ayat tadi. Baik Inggeris, baik Jepun. Baik siapa-siapa pun yang bertindak luar daripada cara Islam, maka keputusannya adalah sama: kesengsaraan.”

“Lihatlah, sahabat-sahabat keluar daripada jazirah Arab menduduki wilayah-wilayah di sekitarnya. Dalam sekelip mata, Parsi, Syam, Palestine, Mesir telah jatuh ke tangan mereka. Kira-kira kurang 100 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, wilayah Islam tersebar dari Andaulusia di Laut Atlantik dan ke negeri China. Mereka datang bukanlah untuk merampas kekayaan. Tetapi misi mereka adalah untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah semata-mata. Pembebasan manusia daripada kehidupan dunia yang sempit kepada kelapangan hidup akhirat. Mereka mengejar akhirat, sehinggakan dunia bertumpuk di bawah kaki mereka. Tetapi apabila kita ini mengejar dunia, maka akhirat akan tinggalkan kita!”

“Tidak ada lagi yang tertindas apabila manusia mengabdi diri kepada Tuhan. Kerana semuanya menghadap kepada Tuhan. Maka tidak ada lagi perebutan yang boleh menyebabkan sesiapa pun tertindas.”

“Aku mahu kita bebas merdeka. Tetapi kita fikirlah, kita mengharap merdeka kepada Allah. Kita ingin merdeka daripada cengkaman Inggeris. Dan kita tidak mahu penjajah baru menyusahkan kita sekali lagi. Kita harus merdeka, tetapi biarlah kita merdeka dengan acuan kita sendiri. Kita tidak perlu merdeka daripada ‘pembebas’ yang menyembah maharaja dan matahari. Itulah pembebas yang masih terjajah!”

“Terima kasih, Karim. Engkau sedarkan aku. Kita ada Islam, tetapi kita abaikannya. Aku berharap Tuhan ampunkan aku. Tidak sepatutnya aku mengharap kemerdekaan daripada penjajah yang tidak beriman.”

“Terima kasih, Karim. Aku tidak tahu mahu ucap macam mana. Agaknya akau harus tukar style aku. Baik cara hidup, cara fikir, cara penampilan. Barulah lebih Islam dan lebih Melayu.”

“Usman, Ahmad, Segala yang baik hanyalah daripada Allah. Ahmad, indahnya Islam, tidak mensyaratkan pakaian bagaimana, tetapi haruslah memenuhi syarat-syarat tertentu. Itu pun syaratnya tidaklah seberat mana,” kata Karim sambil tersenyum.
“Penjajah baru sudah mendarat! Ayuh kita pertahankan agama, bangsa dan negara kita!” seru Usman.

“Ayuh!” laung mereka bertiga. Laungan mereka tidak kedengaran oleh orang lalu lalang di jalanan pelabuhan Singapura. Laungan mereka tenggelam dalam kebingitan semboyan kapal kebanggan Inggeris: HMS Repulse. Kapal ini belayar mengekori HMS Prince of Wales keluar daripada Selat Johor. Keberangkatan Force Z disaksikan oleh tiga pemuda berjiwa kental cintakan agama, bangsa dan negara.

Major Jeneral Takumi memimpin detasmen Rejimen ke-56 Divisyen ke-18 Tentera Darat Imperial Jepun telah mendarat di Kota Bharu pada 2.20 pagi waktu tempatan, 8 Disember 1941. Tentera Jepun mara dengan pantas di tanah Malaya. Force Z pula dihantar oleh tentera Inggeris menghalang ketumbukan Tentera Laut Imperial Jepun. Adakah misi mereka berjaya?

Insya-Allah, bersambung.... Nasib Force Z



Sumber gambar: Carian internet dan www.osprey-publishing.com

Tahniah Gerei KAM-BOH!


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, mahasiswa UIAM Sarawak telah berabis-rabis berentap di gerai KAM-BOH dalam Pesta Konvokesyen UIAM (CONVEST) pada 21 hingga 27 Ogos yang lalu. Tahniah buat anda semua!

Suasana kamboh memanng terasa. Kamboh ditafsirkan dengan dekat sebagai meriah dalam bahasa Melayu. Mungkin dirasakan kurang tepat, kerana kamboh membawa suasana bagi yang mengerti dalam bahasa Melayu Sarawak. Apabila berada di KAM-BOH, sememangnya terasa benar berada "di rumah." Kerana bukan sahaja dapat bertutur dalam bahasa Melayu Sarawak, tetapi juga merasai juadah tanah air. Laksa Sarawak, cucor-cucor, Teh C Peng dan Snow Bandung.












Semoga Allah menjadikan KAM-BOH mengukuhkan lagi ikatan antara kita. Semoga semangat KAM-BOH dapat dibawa bersama bersemangat dalam perjuangan menuntut ilmu, dan akhirnya membawa pulang pengalaman berharga untuk berbakti kepada masyarakat di sana. Tahniah buat KA-BOH sekali lagi!

Ramadhan Kareem!


Ya Allah…...

Ya Allah ...

Ya Allah ...

Ku mengharapkan Ramadhan

Kali ini penuh makna

Agar dapat ku lalui dengan sempurna

Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan

Ku merayu pada Tuhan diterima amalan…*

Jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik untukku. Ramadhan yang ku garap rahmat-Mu, pertengahannya ampunan bagiku… dan akhirnya…. Pembebasan untukku daripada api neraka…. Amiin…...

Harapan Ramadhan (Man Bai & Raihan)

Saturday, August 30, 2008

Sekuel Galaksi Muhsinin Sedang Ditulis....


Novel sains fiksyen sulung penulis bukanlah jenis stand alone ataupun berdiri dengan sendiri. Tetapi, insya-Allah terdiri daripada 9 siri. Galaksi Muhsinin: Era Perjuangan Sudah Bermula adalah salah satu daripadanya.

Sekuel (sequel) Galaksi Muhsinin seterusnya ialah Galaksi Muhsinin: Projek Zenzaburo. Mudah-mudahan ada kekuatan untuk menyiapkannya sesegera mungkin!

Semoga Allah bersamaku.

Berjasa Kepada Masyarakat.

Allahu'alam...

Thursday, August 28, 2008

Insya-Allah, Era Perjuangan Benar-benar Bermula!


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Semoga Allah melimpahkan rahmat buat keluarga baginda, sahabat baginda serta orang-orang yang ikhlas menuntuninya sehingga hari kiamat.

Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lama dipanjatkan rasa syukur kepada Allah, novel sulung penulis, Galaksi Muhsinin telah terbit akhirnya. Penulis memohon maaf atas kelewatan yang berlaku. Lebih kurang tertangguh siap dicetak, alhamdulillah, pada 27 Ogos yang lepas telah dihantar ke setor PTS di Batu Caves. Penulis telah ke sana bersama sahabat seperjuagan saifai, saudara Firdaus Ariff (penulis Sayap Adinila). Syukur tidak terhingga kepada Allah, penantian yang lama berakhir jua. Tidak pasti bilakah akan muncul di pasaran, mungkin muncul bulan September, selewat-lewatnya bulan Oktober.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Ainon, Pengerusi PTS yang telah memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk menceburi bidang penulisan ini. Terima kasih juga terutama kepada Saudara Mat Jan yang telah bertungkus lumus mengedit dan menguruskan hal penerbitan. Tidak lupa juga penghargaan kepada seluruh warga PTS. Penghargaan juga kepada rakan seangkatan, Firdaus Ariff yang banyak berkongsi idea dan pengalaman.

Sebanyak-banyak terima kasih atas dorongan daripada ayah dan bonda, Jaini b Salleh dan Lily bt Haji Morni. Sungguh, kalian telah memberikan sokongan dan dorongan. Juga kepada sekeluarga; kakanda Azura dan dinda Azwani dan seluruh ahli keluarga.

Penghargaan juga kepada guru-guru dan rakan-rakan persekolahan, seuniversiti, dan lebih-lebih lagi rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bingung memikirkan hal umat; serta semua individu yang menyokong dan terlibat secara langsung dan tidak langsung demi menjadikan novel ini satu kenyataan.

Semoga novel ini menjadi salah satu usaha kecil dalam mendaulatkan agama Allah. Semoga Allah menerima dan memberkati usaha ini dan termasuk dalam amalan yang soleh. Amalan siapa lagi yang harus kita ikut jika tidak amalan para ulama yang merupakan waris para anbiya'? Lantaran keikhlasan menukilkan ilmu mereka, kita sekarang beruntung mengaut hikmah mutiara goresan tinta mereka.

Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui....



Kategori: Sains & Fantasi
RM 19.00 / RM 22.00 (Sabah & Sarawak),

978-967-5136-06-1;
Tarikh Terbit: 23 July 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 320 halaman

Sinopsis:

Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan. Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.

Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.

Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh. Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang tidak dikenali.

Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain, mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?


Sumber: www.pts.com.my

Prolog Galaksi Muhsinin daripada penulis, klik di sini.

"Semoga Allah bersama kita. Allahu Akbar!"

Thursday, August 7, 2008

Masanya sudah tiba.... Kolokium!


Debaran jantung semakin kencang,
Nadi berdenyut semangat juang,
Mahasiswa terampil menggapai peluang,
Menggenggam bara amanah dijulang!

Kita bertemu di sinun, insya-Allah!

Monday, August 4, 2008

Maaf....

Ramai sahabat handai yang bertanya;

"Bila novel keluar?"

"Novel awak boleh beli mana?"

"Saya pergi ke POPULAR semalam, tak jumpa."

"Novel dah keluar?"

Tidak ada jawapan konkrit yang saya boleh katakan. Terdapat kekeliruan sedikit. Mohon maaf. Diperiksa bahawa dalam pts.com.my, Galaksi Muhsinin telah terbit. Saya dimaklumkan bahawa novel masih dicetak. Kurang pasti bilakah tarikh sebenar keluar di pasaran. Saya mohon maaf atas kelewatan. Terima kasih atas sokongan anda.

Wassalam

Sunday, August 3, 2008

Terakhir.... Resit Merah


Resit Merah (1)
Resit Merah (2)

“Makseh (terima kasih),” dihulurnya 30 sen.

Ia terus menaiki jeti. Resit merah di tangannya dilipat kembali dan dimasukkan ke dalam poket. Sekali ia melihat kepada sang penambang tua.

“Ya Allah, tergamaknya aku beri 30 sen sahaja!” Amanah menuntut barang daripada resit merah harus diteruskan. Kedai itu akan tutup sebelum pukul lima petang.

“Tidak ada masa lain lagi. Mesti cepat. Petang ini harus melapor diri untuk KAFI di Seketariat PERKEPIS. Hujung minggu yang lain sudah tentu sangat sibuk.”

“Masalahnya tempat sebenar masih tidak pasti. Malu bertanya sesat jalan. Walau apapun, amanah mesti ditunai!”

Waterfront di hadapan. Kedai itu ada di rantau ini. Jalan bukan miliknya seorang. Banyak ragam manusia harus ditempuh. Ia cuba-cuba mencari-cari pasangan tadi.
“Itu dia!” dilihatnya si ayu bersama kelompok rakan yang lain. Manakala Si Jejaka pula menyimpang bersama teman yang lain.

“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk. Tetapi Engkaulah yang memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki. Tunjukilah aku, adik-adik tadi dan adik-adikku yang lalai di tempat ini. ameen.”


“Oh, resit. Di mana kedai itu ya?” Ia mengambil kertas berwarna merah berlipat kemas daripada saku seluarnya.

“Jalan China? China Street? Ya Allah, boleh sesat.” Ia melangkah meneruskan perjalanan.

“Mesti ikut laluan ini. Susah benar jaga mata kalau lalu di sana,” dilihatnya sekumpulan anak muda duduk di bangku Waterfront. “Daripada raut wajah, mereka orangku. Mereka orang Islam. Maha Suci Engkau ya Allah, mereka mempamerkan perhiasan yang dilarang ditayang! Jika aku nahi mungkar dan amar makruf seorang-seorang, mungkin mudarat jadinya. Insya-Allah, ada kekuatan pada lain masa.”

Si Insan berada di tepian jalan. Ia menoleh ke kiri untuk melintas. Tetapi sebuah kereta menuju laju. Ia berundur sedikit.

“Sekarang!” Ia terus berjalan cepat ke deretan kedai.

“Jalan sepanjang bangunan kedai bertentangan dengan Waterfront. Jalan sehinggalah menemui bangunan berwarna ungu. Dari sana, belok kiri. Kedai itu berada di lorong itu,” arahan kakaknya terngiang-ngiang di telinganya.

Si Insan berjalan menyelusuri deretan kedai kraftangan. Ramai orang lalu lalang di sepanjang koridor kedai. Ia memperhatikan gelagat manusia di hadapannya. Ada pelanggan yang tawar-menawar dengan peniaga. Ada yang membelek-belek lampit, kuak kumbu ataupun kek lapis Sarawak. Tidak ketinggalan juga pengunjung yang lalu lalang membawa plastik yang penuh dengan kraftangan.

“Kebanyakannya orang dari Semenanjung. Tentunya pelancong. Mereka senang sekali dikesan melalui raut wajah dan bahasa. Terkecuali orang putih. Memang ugak-ugak bukan orang Malaysia,” desisnya.

“Ya Allah, di manakah kedai itu?” Ia menatap kembali resit merah di tangannya.
“Kedai itu akan tutup pukul lima,” suara itu kedengaran. Kakinya bertambah tangkas melangkah.

“Mad’u dakwah bukan sahaja di kalangan orang Islam. Tetapi juga orang-orang yang di luar lingkungan kita. Bagaimanakah mahu menghadapi mereka? Fahami bahasa mereka, supaya mereka senang berbicara,” desisnya. “Orang Cina! Masuk sahaja!” Tetapi hatinya teragak-agak.

“Engkau malu untuk bertutur dengan mereka? Alangkah malunya!” ancam dirinya.
“Hai!” sapa Si Insan.

“Ya, ada apa?” kata seorang peniaga kedai kraftangan.

“Saya mau pegi kedai ini lo. Tapi tidak tau jalan. Macam mana maok pegi sana?” ia menunjukkan resit itu kepada perempuan Cina itu.

“Oh,” perempuan Cina itu melihat resit sambil membetulkan cermin matanya.
Ia menggeleng, “Saya sik tauk. Mungkin kedai ini ada sana, di China Street.”

“Jaoh ka?”

“Belakang sana saja baa. Jalan sikit, nanti lu jumpa la.”

Si Insan mengangguk. “Terima kasih,” ia melangkah dengan hati yang ragu. “Siney ndak ka ya (Di manakah sebenarnya)?” Ia melihat jam tangannya. Ia harus mengambil amanah ini sebelum masanya.

“Petang ini lapor diri untuk KAFI. Petang sebelum Asar mesti selesai. Tapi sudah berada di sini, mahu lepaskan peluang untuk berada di kedai buku POPULAR?” hatinya diselubungi dilema.

Ia pergi dari satu kedai ke satu kedai. Setiap kali itu ia cuba bertanya dengan orang yang bukan sebangsa dengannya. Akhirnya ia menemui jalan, iaitu jalan buntu. “Ney ndak kah kedei ya (Di manakah kedai itu sebenarnya)?”

Telefon bimbit dicapai. Ia membuat panggilan kepada kakaknya di Miri. Diterangkanlah kedudukan kedai itu. Rupa-rupanya ia sudah berada di lorong yang sebenarnya!
“Ya Allah, agaknya aku melihat ini dengan hidung?”

Ia melangkah menyelusuri Lorong ‘Jalan China’. “Tang! Tang! Tang!” kedengaran bunyi ketukan yang bingit.

“Alhamdulillah, bertemu juga!” hatinya lega. Ia berada di depan kedai. Seorang berbangsa Cina berbaju comot dan seluar pendek mencangkung memegang gandin memukul kepingan aluminium. Sekali-sekala ia kehairanan melihat seseorang membawa resit merah yang tercegat di depan kedainya.

“Hello. Ada apa?”

“Hello. Kakak saya pesan itu hari, sepuluh tin roti buat di sini.”

“Oh, ya kah? Ada resit?” Si Insan menghulurkan resitnya. “Oh, ya. Ada, ada!”

Peniaga Cina itu membawakan sebuah plastik berisi tin-tin acuan roti. Lalu ia menunjukkan dan mengira tempahan kepada Si Insan, “Ini, ini dan ini. Ada sepuluh semuanya. Terima kasih!”

Sambil mengangguk-angguk, Si Insan mengambil dan melangkah pergi, “Ah, cepatnya. Ingin sekali berbual sebentar bersamanya.”

“Alhamdulillah, ” hatinya lega. Lalu ia melangkah ke kedai buku POPULAR yang terletak di Wisma Tun Jugah.

“Dapat juga satu buku, walaupun bajet tidak mengizinkan,” sambil ia berjalan dari POPULAR. Ia melalui hotel Holiday Inn dan akhirnya tiba di jeti penambang. Penambang masih jauh. Kedengaran kebingitan suara nyanyian dan muzik di seberang sana.
Seorang lelaki menghampiri dan menuruni jeti.

“Mmm... sasaran!” desisnya. Hatinya berdetak mahu berkenalan dan membuka bicara. Mungkin ada kebaikan yang boleh dikongsi bersama.

Penambang berwarna kuning menghampiri, Si Insan dan lelaki menaiki jeti. Kata lelaki itu sambil menaiki penambang, “Apa ndak di seberang nun, pakcik (Apakah yang berlaku di seberang sana, pakcik)?”


“Ntahlah, berpesta ngkali. Ada jak lah sak tok (Entahlah, mungkin berpesta. Ada sahajalah mereka ini).”

Si Insan menaiki penambang. Ia mahu memula bicara dengan lelaki itu, tetapi lidahnya tiba-tiba kelu. Soalan-soalan bermain di kepalanya, “Apa ndak di seberang nun o (Apa yang berlaku di seberang sana)? Eh, kitak dari siney tek (Eh, awak dari mana)?”

Enjin dihidupkan. Penambang mengalun menentang arus sungai. Kebingitan bunyi enjin dan pesta karaoke di pinggiran sungai menyukarkan sebarang perbualan.
Penambang menghampiri jeti Kampung Boyan. “Syukur pada-Mu ya Allah, moga-moga hari ini hari yang bermanfaat,” ia keluar dan menghulurkan tambang.

“Pengajaran hari ini: manfaatkan segala yang ada, resit merah. Tuhanlah yang memberi izin. Tuhanlah memberi kekuatan. Tuhanlah yang menggerakkan hati-hati ini. Tuhanlah yang menunjuki atau mencelakai sesiapa yang Ia kehendaki. Dari Tuhan aku datang. Dari Tuhan juga aku kembali. Ke manakah berhak perginya kudrat ini, jika tidak kembali berbakti ke pangkuan ummah, juga amanah dari Tuhan?”

“Berjasa Kepada Masyarakat”

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...