BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Friday, February 21, 2014

Kehadiran TG Syeikh Nuruddin di Miri (2014)


Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, Ahli Keluarganya. Moga Allah melimpahi Rahmat atas para Sahabat, para ulama yang muktabar serta orang-orang yang ikhlas mengikuti jalannya sehingga Hari Kiamat.

Menjadi satu anugerah di satu-satu tempat apabila didatangi oleh seorang ulama. Nabi Muhammad s.a.w banyak mengisyaratkan bahawa para ulama yang benar adalah para pewarisnya. Tidak diwarisi oleh para Nabi dan Rasul, melainkan ilmu dan hikmah. Mereka tidak mewarisi harta, akan tetapi mewarisi dan mengamanahkan kepada para ulama agar menjaganya dengan teguh.

Alhamdulillah, moga tercapailah hajat kali ini, bumi Miri bakal diziarahi oleh seorang ulama Nusantara yang disayangi dan disegani, pendidik dan pembimbing umat, iaitu Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pada 22 (Sabtu) dan 23 (Ahad) Februari 2014 ini.                                                              
Sedikit latarbelakang biografi beliau, didapati di kitab karangan beliau, Martabat Ilmu &; Ulama dan Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat Iman:

Beliau dilahirkan pada 1 September 1960 dan berasal dar Banjarmasin, Indonesia. Kemudian, beliau dan keluarganya menetap di Tanah Suci Makkah pada tahun 1974. Pada tahun 1983, beliau telah melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiah.       

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, beliau menumpukan perhatian untuk mencurahkan ilmu kepada ribuan penuntut yang datang dari Asia Tenggara, termasuklah Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menimba ilmu di sana, sehingga beliau telah mendapat gelaran al-Azharus Tsani (al-Azhar yang Kedua), satu gelaran yang terhormat dan tulus daripada masyarakat Universiti al-Azhar sendiri. 

Antara keistimewaan beliau ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad. Menurut al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll, antara keistimewaan menghadiri majlis beliau adalah keutamaan menjaga adab dalam majlis ilmu. Peranan Syeikh sebagai pendidik menekankan disiplin kepada para pendengar dan penuntut agar menghormati majlis ilmu yang sedang berjalan.

Beliau telah menubuhkan rangkaian pondok di Bogor, Indonesia, Kelantan, Kedah, dan Johor. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih 80 buah buku dan manuskrip, termasuklah 40 Mutiara Hadith daripada 40 Buah Kitab, al-Ilhatah - Menyingkap Persoalan Haid, Nifas dan Istihadah, at-Tamassuk bil Kitab was-Sunnah dan banyak lagi.

Syeikh Nuruddin merupakan seorang ulama yang tinggi ilmunya. Namun demikian, seperti yang dinyatakan tadi, beliau sangat menjaga adab dalam majlis ilmu. Inilah keistimewaan beliau, dalam mendisiplinkan masyarakat agar meraih barakah dengan menjaga adab-adabnya. Ini kerana, berkat ilmu yang disampaikan adalah dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para ulama.

 Pesan beliau tentang kepentingan menjaga adab menuntut ilmu dalam 'Kata-kata Aluan' buku Q&A Bersama TG Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki (yang disusun oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll):


"Saya ingin mengingatkan para penuntut ilmu agar menjaga adab ketika menuntut ilmu kerana ilmu tidak akan diperoleh dan ia tidak akan bermanfaat kecuali setelah memelihara adab-adabnya dan memuliakan ahlinya (para guru / masyaikh) dan orang yang menyibukkan diri dengannya.
Ramai penuntut ilmu pada zaman sekarang tidak sampai kepada tujuan yang dimaksudkan, malah terhalang daripada mendapat manfaat-manfaat ilmu dan buahnya - iaitu beramal dan berdakwah dengannya. Mereka seperti yang disebutkan oleh Syeikh az-Zarnuji:
'Sesungguhnya mereka telah tersalah jalan-jalannya (ilmu) dan meninggalkan syarat-syaratnya. Setiap yang tersalah jalan, dia tersesat. Dan tidak akan mendapat apa yang dimahunya sama ada sedikit atau banyak.'"
Berdasarkan pengalaman sebelum ini di Bintulu (Disember 2012) dan semasa belajar di Semenanjung Malaysia, beberapa saranan ingin saya anjurkan sebagai panduan ketika berada dalam majlis beliau. Beberapa cadangan ini adalah bagi melancarkan perjalanan program. Semuanya pernah ditegur oleh Syeikh untuk mendidik pendengarnya yang tersilap pandang dalam menjaga adab majlis ilmu: 


1. Niat belajar ikhlas kerana Allah.

2. Matikan telefon anda, ataupun dalam mod senyap. Jangan melayan telefon ataupun seumpamanya. Jika mahu juga melayan telefon, sila keluar dari lingkungan pengajian untuk berurusan.

3. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya dalam majlis. Jangan bercakap dengan sesiapa di sebelah anda. 

4. Jika anda anda anak-anak kecil, kawal mereka agar tidak terlalu bising bermain sehingga mengganggu perhatian majlis. Apatah lagi bermain-main dan berlari-lari.

Ayuh, bawalah ahli keluarga, jiran tetangga, komuniti, rakan sepejabat dan sahabat-sahabat anda untuk menghadiri taman-taman syurga iaitu majlis ilmu...

Sebelum terlupa, jika ada wang lebihan bulan ini, bawalah untuk membeli kitab-kitab al-Fadhil Syeikh yang selalunya dijual ketika program berjalan. Bawalah sebagai ole-oleh untuk ditatap dan disimpan sebagai khazanah yang digunakan sehingga ke generasi-generasi mendatang. Amiin... 

Sebarkan makluman program ini. Semoga kita juga mendapat kelebihan beramal kerana memaklumkan para pencari majlis ilmu ini. 


Mohon maaf atas salah dan silap. Sekian, terima kasih. 

                   


Saturday, February 15, 2014

Terselamat Kerana Tulisan Jawi


Tersebutlah kisah seorang wanita warga emas yang baru sahaja kembali dari Tanah Suci Makkah dan Madinah. Beliau kini dalam umur lewat 70-an, namun masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tetap cekal membanting tulang mencari nafkah. Satu ketakjuban adalah di sebalik kehidupan beliau yang tidaklah sesenang orang lain, berkat kegigihan beliau mencari rezeki yang halal, dianugerah pula rezeki menjejakkan kaki untuk melaksanakan ibadah umrah.


Antara cerita yang didengar daripada beliau adalah, pada satu masa semasa beliau berada di Masjid Nabawi s.a.w di Madinah, beliau telah terpisah daripada rombongan. Hendak dicari kembali, terlalu ramai orang berlegar. Maka beliau pun nekad meneruskan perjalanan menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau bukanlah seorang yang mengerti akan papan tanda dalam Bahasa Inggeris, akan tetapi beliau terpandu dengan tulisan Arab. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pengetahuan beliau yang sudah terbiasa dan mampu membaca tulisan jawi. Ini tidak menghairankan, kerana banyak perkataan ataupun istilah bahasa Arab dikekalkan ejaannya dalam tulisan jawi. Orang yang berumur seperti beliau, lebih kenal dan menghayati Berbahasa Melayu dengan tulisan jawi daripada tulisan rumi. Beliau ‘selamat’ bergerak dari satu tempat ke satu tempat berpandukan pengetahuan tersebut. Alangkah beruntungnya beliau, dapat menjekakkan kaki ke Makam Nabi Muhammad s.a.w yang mulia!

Hal ini mencetuskan diri berfikir dan mengenang akan nasib tulisan jawi di kalangan orang Melayu sendiri. Mengapa? Saya yakin ramai di kalangan ahli masyarakat sudah tidak mengenal huruf apatah lagi tulisan jawi. Pengalaman sebagai guru KAFA melihat sendiri bahawa penguasaan tulisan jawi akan membantu langsung kepada pembiasaan seseorang terhadap bahasa asal tulisan tersebut, iaitu bahasa Arab. Terbiasa dengan bahasa Arab, maka dekatlah seseorang itu dengan al-Quran.

Sumber di pautan ini.
Dalam tulisan jawi, peraturan penulisan adalah, mengekalkan tulisan sesuatu istilah dalam ejaan bahasa Arabnya, melainkan perkataan tersebut sudah terlalu lama beradaptasi dalam ejaan tulisan Melayu. Cendiakawan seperti Tan Sri Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas dalam buku Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu mengulas bahawa para alim ulama mengadaptasi bahasa Arab kepada bahasa Melayu yang kini dikenal sebagai tulisan jawi. Terdapat 5 huruf tambahan huruf jawi yang lazim terdapat dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu dan umatnya sekali diangkat dan dimuliakan dengan bahasa tersebut diperkukuhkan dengan bahasa Islam, iaitu Bahasa Arab.

Tulisan jawi-Melayu merupakan tulisan zaman-berzaman yang menjadi kekuatan, identiti dan jatidiri serta wahana penyebaran Islam dengan tersebarnya ilmu pengetahuan yang dikarang oleh para alim ulama Melayu. Tidak dinafikan, selain daripada rangka penulisan perihal asas agama seperti Tauhid (Metodologi Sifat 20 ataupun al-Asya’irah), hukum Fekah, Tasawuf (akhlak), orang Melayu yang bijak pandai menyimpan khazanah yang berharga. Mereka aktif bergiat menulis dalam pelbagai bidang, antaranya, kesusasteraan hikayat, ilmu bedil, ilmu falak, ilmu perubatan, sejarah para nabi dan ketatanegaraan. Selama ratusan tahun, masyarakat Melayu begitu kukuh dan rapat dengan tulisan jawi.

Sumber daripada pautan ini.
Namun demikian, satu fenomena yang dapat diperhatikan adalah ramai di kalangan ahli masyarakat tidak lagi mengenal tulisan jawi dan tidak dapat membaca dengan baik. Justeru, berdasarkan pemerhatian ini, memberi kesan langsung mereka ini akan sukar untuk membaca al-Quran, dan ibadat yang bersangkut paut seperti ibadah solat. Perkara ini amat menyedihkan, kerana terhalang daripada kekuatan yang besar oleh sebab ilmu asas tersebut sudah punah ranah sejak awal-awal lagi.

Nampaknya misi dan visi Stamford Raffles berjaya. Sungguhpun tulang-belulangnya sudah hancur dimamah bumi, namun beliau telah berjaya memisahkan umat Islam Melayu daripada agamanya perlahan-lahan. Ramalan dan pengamatan beliau lebih daripada 200 tahun yang lampau tampak benar, iaitu buta huruf jawi yang bermaharajalela sekarang. Beliau telah memulakan usaha sejak zaman beliau lagi dengan memisahkan umat Islam Melayu daripada tulisannya.

Pada tahun lepas, diri telah berpeluang untuk mengikuti satu kursus pemantapan guru KAFA. Salah satu slot yang ditunggu-tunggu adalah bagaimanakah menggunakan tulisan jawi dengan pengejaan yang tepat. Dalam slot tersebut, sedikit demi sedikit kerisauan semakin membesar. Satu keanehan apabila melihat bahawa pengejaan tulisan jawi yang baru (yang diguna pakai kini dan digunakan di sekolah-sekolah) ini mengguna-pakai kaedah sebagaimana dalam Bahasa Inggeris.

Seorang rakan seangkatan berbisik kepada saya, “Tulisan jawi bukan seperti ini asalnya.”

Mungkin juga saya dapat mengagak maksud beliau, “Saya pun rasa pelik. Mengapa tulisan jawi mesti ikut peraturan seperti Bahasa Inggeris? Ini satu pensekularan tulisan jawi!”

Kami berbisik-bisik. Beliau berkata lagi, “Saya setuju dengan awak. Tulisan jawi adalah tulisan yang sangat rapat dengan Bahasa Arab.”

Tanya saya lagi, “Mengapa?”
Jawab beliau, “Kerana tulisan jawi dahulu ada nahunya yang tersendiri. Sesetengah tulisan jawi dahulu-kala menggunakan baris (baris atas, bawah dan depan) bagi memaksudkan perkataan tersebut.”

Maka saya  pun mengangguk. Tiba-tiba tersedak di hati bahawa nampak sahaja tulisan jawi ini diajar, patut pula tidak memberi kesan kepada pengamalnya. Terbit di hati bahawa nasib tulisan jawi yang mulia ini juga senasib dengan pelbagai persoalan lain dalam kehidupan kita, mengalami proses pensekularan yang dahsyat, iaitu pemisahan segala sesuatu daripada ruh keagamaannya.

Justeru saya merasakan bahawa perlu ada kesedaran di peringkat orang awam agar kembali semula menitikberatkan penguasaan penulisan dan kelancaran pembacaan tulisan jawi. Satu sebab adalah, umat Islam Melayu mempunyai khazanah warisan yang diperturunkan oleh para alim ulama dan cerdik pandai melalui kitab dan hikayat mereka. 

Mari kita rombak stigma pemikiran kita, bahawa kitab-kitab yang tidak ternilai ini bukanlah semata-mata buat tatapan para penuntut ilmu khususnya di kalangan pelajar pondok/madrasah.  Malah terlebih mustahak, masyarakat juga menemui kembali kekuatan ini. Apakah jalannya? Iaitu menempuh jalan orang-orang terdahulu dengan menghadiri majlis pengajian ilmu, sambil menatap kitab dan di hadapan kita seorang guru. Itulah proses yang telah terbukti menjaga ketuanan Islam zaman-berzaman. Manakan tidak, kitab yang kandungannya berusia ratusan tahun, masih ditatap oleh generasi sehingga hari ini.   

Semoga Allah mengurniakan kita jalan yang benar, dijadikan di sisi kita guru yang benar, dan sampai ke destinasinya dengan kebenaran... amiin. 

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...