BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, December 16, 2008

Analisis 'Bisikan Tanjung Lobang'



Bisikan Tanjung Lobang (1)
Bisikan Tanjung Lobang (2)

Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertempuran yang mungkin pernah berlaku di Tanjung Lobang, Miri. Simulasi ini bukanlah imaginasi semata-mata, tetapi hasil kepada sebuah kajian ringkas. Kini, tapak Tanjung Lobang merupakan kawasan sekolah, iaitu sekolah saya, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang.

Menurut sejarah, Miri merupakan lokasi pendaratan pertama tentera Imperial Jepun. Miri dipilih kerana merupakan kawasan strategik dari segi penguasaan logistik dan bekalan. Menguasai Miri bermakna menguasai pesisir Sarawak, sebelum menguasai kawasan lain. Ini disebabkan kerana Miri kaya dengan minyak yang sangat diperlukan oleh bangsa Jepun.

Tidak ada kesepakatan dalam tarikh pendaratan tentera Jepun di Miri. Ada sumber yang mengatakan bahawa tentera Jepun mendarat di Miri pada 15, 16 atau 17 Disember 1941. Dalam ruang yang terhad ini, bukanlah tujuan saya membincangkan tarikhnya. Tarikh sebenar agak hampir antara satu sama lain. Maka saya memilih untuk jalan tengah, iaitu yang banyak dikatakan oleh sumber, jatuh pada tarikh 16 Disember 1941.

Serentak dilakukan secara serentak di Miri, Lutong dan Seria. Loji penapis dan lombong minyak segera ditawan. Tetapi tentera British telah terlebih dahulu menjalankan dasar bumi hangus; iaitu memusnahkan kemudahan ekonomi bagi mengelakkan musuh mengambil peluang menggunakannya. Setelah Miri, Lutong dan Seria jatuh, konvoi tentera Jepun mara ke Kuching.

Sejak di bangku persekolahan, saya telah maklum bahawa Tanjung Lobang menjadi lokasi pendaratan tentera Imperial Jepun pada fasa awal serangan. Ramai yang terkorban dalam pertempuran itu. Dan pendakian tentera Jepun di tebing tanjung merupakan lagenda yang tersebar luas. Satu lagi lagenda ialah perkhabaran dari mulut ke mulut, terdapat satu kawasan di Tanjung Lobang, mayat tentera Jepun dan tentera British dikuburkan secara beramai-ramai. Tetapi tidak ada bukti bagi kenyataan ini.

Tambahan lagi, tugu peringatan pendaratan dan kubur penjaga rumah api masih wujud dan terpelihara. Seingat saya, tugu itu memperingati jiwa yang terkorban ketika serangan. Manakala, penjaga rumah api itu telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun. Batu nisannya terletak berhampiran dengan rumah api itu.

Lancang pendarat juga dilaporkan masih lagi tersadai di pinggir dasar tanjung. Lancang ini kelihatan ketika air surut. Kadang-kadang, pelancong dari Jepun bertandang di sini. Saya berpendapat, tempat ini menjadi lagenda di kalangan orang Jepun. Masakan tidak, banyak kali kumpulan pelancong Jepun yang menziarahi tempat ini.

Anehnya, sejarah tidak menuliskan pertempuran ini, walhal buktinya masih ada. Siapakah yang terlibat dalam serangan ini? Siapakah yang menyerang? Siapakah yang bertahan? Apakah kepentingan Tanjung Lobang sehinggakan tentera Jepun bertungkus-lumus menawannya?

Menurut sumber, pasukan yang melanggar Miri ialah sebanyak 30 000 orang. Akan tetapi, sumber lain mengatakan bahawa keseluruhan Detasmen Kawaguchi adalah seramai 2 500 orang. Saya merasakan jumlah 2 500 orang lebih relevan, memandangkan sumber sejarah mengatakan hampir tidak ada tentangan pendaratan Jepun di sini. Tambahan lagi, turut terlibat dalam serangan ini ialah Pasukan Pendarat Khas Tentera Laut Jepun (SLNF – Special Landing Naval Force), iaitu 2nd Yokosuka SLNF, seramai 746 anggota. Lebih logik meletakkan jumlah 746 orang daripada 2500; mereka merupakan bahagian yang besar dalam ketumbukan ini. Menurut sumber sejarah pula, Kawaguchi membawa tenteranya dari Miri ke Kuching setelah Miri ditawan. Masakan seramai 30 ribu orang dapat dipindahkan dalam masa yang singkat dan tiba di Kuching beberapa hari setelah itu? Tuhan Maha Tahu.

Pada pandangan saya, gerombolan tentera Jepun yang menyerang Tanjung Lobang adalah elemen daripada 2nd Yokosuka SLNF. Ini kerana SLNF merupakan unit infantri tentera laut Imperial Jepun yang berperanan melancarkan serangan amfibia dan menjadi garison (pengawal) di sesuatu wilayah takluk.

Uniform SLNF agak berbeza dengan tentera darat Jepun. Mereka menggunakan uniform berwarna ‘hijau zaitun’ termasuk helmet besi mereka. Mereka boleh dikenali dengan tanda sauh bersilang pada helmet dan lengan kanan uniform. Namun demikian, persenjataan adalah sama seperti tentera darat Jepun yang lain; lazimnya mereka dilengkapi dengan raifal standard, Type 38 ‘Arisaka.’

SLNF merupakan unit yang tertubuh sejak 1920 dan mula berkhidmat di China. Menjelang 1940 hingga 1941, SLNF menjadi lebih tersusun. SLNF menerima latihan yang agak berbeza dengan tentera darat Jepun kerana peranan mereka khusus kepada pendaratan amfibia. Malah ada yang menganggap SLNF merupakan ketumbukan yang elit. Akan tetapi, kualiti SLNF menjunam apabila tentera Jepun tidak lagi mampu memberikan latihan secukupnya kepada anggota baru apabila perang semakin menghampiri penamat.

Kesimpulannya, pertempuran di Tanjung Lobang kemungkinan besar pernah terjadi, berdasarkan kepada bukti yang ada. Lagenda yang wujud, disebar dari mulut ke mulut menguatkan lagi bukti kejadian. Pasukan tentera Jepun yang menyerang mungkin daripada elemen 2nd Yokosuka SLNF, yang ditugaskan untuk menawan Miri, Lutong dan Seria. Apa pun, segala pengetahuan adalah daripada Allah. Sejarah hanyalah ‘alat’ untuk mencari kebenaran. Tanjung Lobang sudah berubah wajah dengan pembinaan semula Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang. Kerana bimbang sejarah dan lagenda ini lapuk dek perubahan zaman, maka saya ceritakan semula...

Allahu’alam. Allah Maha Tahu.

Sumber:

Buku:
Jowett, P., (2002). The Japanese army 1931-45 (1): 1931-42, men-at-arms series. Osprey Publishing: UK.

Forty, G., (1999). The Japanese army handbook 1939-1945. Sutton Publishing: UK.

Images of war: Malaya in peril (n.d). Imperial War Museum: UK.

Laman Web:

Battle of Borneo
The Battle for Miri and Sarawak, Borneo, WW II
Japanese Special Naval Landing Forces
IJN Seaplane Tender KAMIKAWA MARU: Tabular Record of Movement

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...