BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, December 26, 2012

[SI] Resensi Komik Star Wars: In the Empire's Service


Star Wars merupakan gergasi dalam lapangan fiksyen sains. Bahkan, pengarahnya George Lucas telah meletakkan fiksyen sains dengan lebih popular di layar perak. Meskipun sudah lebih tiga dekad diterbitkan, Star Wars kini menjadi fenomena fiksyen sains yang sudah bertapak kukuh. Bahkan, saga Star Wars akan terus berkembang dengan 'Expanded Universe.' 
Antara manifestasi perkembangan tersebut ialah melalui penerbitan komik. Saya telah mendapatkan satu naskhah Star Wars X-Wing Rogue Squadron: In the Empire's Service pada 2010 yang lepas. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kajian tersebut dapat disambung semula. Nyata, kajian daripada cebisan karya tersebut, menunjukkan bahawa di sebalik cerita terkandung idea yang mempunyai 'complexity' yang mendalam hasil kajian pemikir Star Wars. 
 Komik tersebut berlatarbelakangkan 6 bulan setelah kematian Emperor Palpatine dan stesen tempur angkasa Galactic Empire, iaitu Death Star II. Skuadron X-Wing, Rogue Squadron mengasak wilayah Empire. Akan tetapi, mereka ditentang sengit oleh 181st Fighter Division yang dipimpin oleh Baron Soontir Fel. Walaubagaimanapun, pergelutan politik dalaman Empire memberi ruang bagi New Republic (daripada Rebel Alliance) untuk meluaskan pengaruh mereka.
 Kajian kecil saya ini mendapati bahawa banyak daripada elemen kapal angkasa Twin Ion Engine (TIE) milik Galactic Empire diadaptasi daripada sumber sejarah, khususnya sejarah Imperial Jepun dalam Perang Dunia II (1942-45).
Mitsubishi A6M5 Zero bersama juruterbang


Kajian tersebut dibahagikan kepada 4 bahagian, iaitu:


Telaah ini adalah hasil daripada penelitian sejak beberapa tahun, hanya 'titik-titik terpisah' itu bersambung dengan membaca komik tersebut. Kajian ini boleh dijadikan rujukan untuk membina teknik tersendiri dalam memperkasakan kualiti penulisan.

Diharapkan ada manfaatnya. Mohon segala salah dan silap. Kemanfaatan adalah daripada Allah. Kekurangan itu disandarkan kepada saya. 

Terima kasih. 

Tuesday, December 18, 2012

Ulama Itu Bawa Senjata



Diceritakan oleh Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaldin (dikenali juga sebagai Habib Izzudin), pernah seorang ulama di Hadhramaut, negara Yaman yang bernama Habib Muhammad bin Soleh al-Attas difitnah membawa senjata. Beliau merupakan mudir (guru besar) salah sebuah daripada banyak madrasah (seperti pondok) yang bernama Rubat Huraidhah. 


Ketika beliau memandu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat sekatan jalan raya. Ketua mereka mengarahkan supaya keretanya diperiksa bagi menyiasat dakwaan pihak yang berkepentingan. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami mendengar kamu membawa senjata. Di manakah senjata kamu?” askar itu menggertak.

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh
di Kpg. Segubang, Bau, Sarawak, 2010

Habib Muhammad bin Soleh al-Attas adalah seorang yang berwarakan tenang sahaja. Beliau menjawab ringkas, “ad-Du’a (Doa).”

Kata askar itu, “Apa? Di mana senjata kamu?” Sekali lagi tuan Habib digertak. Ia menjawab lagi, “Doa.”

“Di mana senjata kamu!” askar itu semakin kurang sabar. Jawabnya lagi, “Doa.”

 “Ah, sudahlah!” Keberangan, askar itu melepaskan ia pergi. Beliau tidak berbohong. Kalau senjata api, memanglah tiada. Tetapi beliau ada 'senjata' yang lain. Daripada kitab Sairus Salikin yang dikarang oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani rahimahullah (w. 1246H / 1830M) disebutkan hadith Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w (m/s. 607):

"Doa itu senjata mukmin dan tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi." (Riwayat Hakim)

Ulama merupakan waris kepada anbiya’ (para Nabi). Maka ulama dengan ketinggian ilmu yang mereka miliki, mencerminkan akhlak yang tinggi. Lihatlah, mereka tenang sahaja menghadapi fitnah dan membalasnya dengan ilmu dan hikmah. Dirinya dikenali sebagai seorang yang tawaduk, mengasihi anak-anak muridnya. Pernah diceritakan oleh sahabat-sahabat kami, beliau memeriksa keretanya sendiri dan memandu sendiri. Jika ada anak muridnya yang kurang sihat, beliau sendiri yang hadir menziarahi mereka. Semoga Allah merahmati beliau dan perjuangannya.

Dua ulama...Habib Muhammad bin Soleh al-Attas (kanan)
dan Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir
Madrasah al-Khairat, Kuching ketika program dakwah di
Kpg. Segubang, Bau, Kuching, Sarawak.
Habib Muhammad bin Soleh al-Attas pernah berkunjung dalam ziarah dakwah beliau di negara ini. Syukur kepada Allah, dengan izin-Nya, beliau sempat bertandang ke Bumi Kenyalang pada tahun 2010. 

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di perkampungan saudara baru, Kpg. Segubang di Bau, Kuching, Sarawak pada Jun 2010. 
Dalam rangka lawatan singkat dakwah beliau, kami bersama sahabat berpeluang berkhidmat semampu yang boleh. Bukan selalu ada ulama, terutama sekali daripada jurai keturunan Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang datang ke negeri kami ini.

Kenang-kenangan 2010... sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (Abang Syed, berkain pelikat hijau) yang sekarang melanjutkan pelajaran agama di Rubat Huraidhah.
Syukur kepada Allah, yang telah mengizinkan beberapa sahabat kami yang berpeluang untuk menimba ilmu secara bertalaqqi dan bersanad di madrasah beliau di Rubat Huraidhah. Semoga mereka diberikan kekuatan istiqamah meraih ilmu dan hikmah, agar dapat dibawakan kembali, terutama ke negeri kami yang ketandusan para ilmuan yang benar. 

Mudah-mudahan ada rezeki suatu hari kelak berazam ke sana merasai suasana ilmu dan ibadah. 

Habib Izzudin al-Aidrus bersama sahabat-sahabat mengiringi pemergian
Ustaz Iman Daud (dua dari kanan) berangkat ke Hadhramaut, Yaman untuk menimba ilmu
di Rubat Huraidhah bawah kendalian Habib Muhammad bin Soleh al-Attas.
Semoga Allah meneguhkan  Tuan Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dan sahaba-sahabat agar istqamah dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini... Amiin. 

Monday, December 10, 2012

4 Langkah Istiqamah

                              

Satu keindahan sambutan hari lebaran pada bulan Syawal 1433H yang lepas adalah dilalui dengan suasana ilmu. Ketika keberadaan kami sekeluarga di Kuching pada tahun tersebut, syukur kepada Allah kami sempat menziarahi para guru bersama sahabat-sahabat. Gambarannya amat indah, tidak lekang kami yang bertandang mendengar kata-kata hikmah berharga daripada mereka.

Destinasi pertama:
Menziarahi Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaludin al-Aidrus
(Habib Izzudin)
Salah satu destinasinya adalah berhari raya bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Beliau merupakan seorang pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menyandang sebagai calon sarjana falsafah di Universiti Malaya. Selain daripada sering muncul di corong radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (ikim.fm), beliau merupakan seorang penulis profilik yang produktif dalam menjelaskan kefahaman agama Islam yang benar untuk tatapan masyarakat.

Istimewanya kali ini kami dihidangkan dengan santapan ilmu daripada buku beliau, Solat Nabi s.a.w menurut Mazhab Syafie yang diterbitkan oleh Mawleed Publishing. Kami mendengar huraian demi huraian mengenai buku tersebut, walaupun hanya permukaan sahaja kerana kecemburuan waktu. Ah, indahnya hari raya kali ini!

Bersama sahabat-sahabat menziarahi
al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll

Ketika di penghujung ziarah kami, al-Fadhil Ustaz membuka ruang soal jawab. Satu soalan menarik daripada salah seorang daripada kami bertanya:

 “Ustaz, bagaimanakah caranya untuk kita istiqamah beramal? Kadang-kadang kita bersemangat. Selalu juga kita rasa ‘down’ (menurun) berat untuk beramal.”

al-Fadhil Ustaz menjawab, bahawa ada “empat jalan istiqamah untuk kita jaga.”  



  1. Sentiasa menghadiri majlis ilmu. Ini kerana majlis ilmu ini akan menghidupkan hati kita. Dengan mendekatkan diri kepada guru atau ulama akan mengingatkan kita akan Hari Akhirat. Menghadiri majlis ilmu akan menjadikan seseorang itu mendapat lindungan rahmat daripada Allah. Justeru, hal ini sangat berpengaruh dalam membentuk hati kita. 
  1. Berkawan dengan rakan-rakan yang juga dalam suasana ilmu. Pendek kata, adanya rakan-rakan yang bersama ke majlis menuntut ilmu yang akan saling mengingatkan kita. Mereka ini menjadi cerminan kepada diri kita dalam membentuk akhlak kita. Teringat akan hadith Sayydina Nabi Muhammad s.a.w, bahawa kawan yang baik adalah umpama penjual minyak wangi. Jika tidak mendapat minyak wangi penjual itupun, kita sudah menghirup bau wangi tersebut.

  1. Sentiasa bererdoa kepada Allah agar sentiasa dalam keadaan istiqamah:
Allahummar zuqnal istiqamah
Ya Allah, rezekikan kami istiqamah (dalam amalan).

  1. Amalkan membaca riwayat ataupun cerita orang-orang yang soleh. Mereka ini di kalangan para nabi, terutamanya penghulu Anbiya’ Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya, para sahabat, ulama, penguasa, mujahid, ahli sufi dan orang-orang yang hampir kepada Allah. Membaca cerita hidup mereka membuahkan motivasi yang ampuh untuk kita mencontohi kesungguhan dan kecintaan yang indah kepada Allah dan Rasulullah s.a.w.
Kasihan Fatimah az-Zahra', terlena pada
Ustaz Iman Daud menanti
ayahnya menimba ilmu. 
Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ini, insya-Allah.

                        

                          

 Wallahu’alam.

Saturday, November 24, 2012

Ter'sarapan' Bersama Anak


9 Muharram 1434H
7.20 pagi

Seorang insan baru sahaja 'mamai' masih dibuai kantuknya tidur. Tangannya menggapai sebiji botol air di hujung katil. Ujarnya, "Eh, sekarang sudah masuk waktu Subuh. Waktu sahur sudah lepas. Niat sahaja pun tidak apa. Asalkan tidak makan."

Fasa demi fasa waktu berlalu. Si insan tadi yang juga seorang ayah, apabila anaknya sudah bangun, turut juga sibuk bergilir tugas memerhati, melayan dan menjaga anak. Dalam perhatiannya kepada anak mereka yang berusia 9 bulan Fatimah az-Zahra', tiba-tiba Si Isteri bertanya, "Abang mahu minum apa?"

"Teh," jawabnya dengan spontan.

Maka bersarapanlah keluarga kecil ini. Fikiran Si Ayah tertumpu kepada puterinya. Ini kerana Fatimah adalah seorang yang sangat aktif, jika 'enjin sudah panas.' 
                                     
Ia memprotes untuk keluar daripada kerusi bayi jika tidak disuap dengan makanan ataupun minuman. Si Ibu sedang berkejaran dengan masa untuk menghabiskan sarapan tepat pada masanya. Maka Si Ayah tadilah yang melayan anaknya. Sekali suap cebisan roti yang dicelup air, sebiji roti ditelan Si Ayah. Sehinggalah habis semuanya.

8.20 pagi

                         
"Fatimah, mari makan!" Si Puteri ingin makan lagi. Si Ayah menyuap lagi biskut Farley lembut ke dalam lelangit puterinya. Tertinggal di jari Si Ayah, lebihan biskut itu masih terlekat. Lantas, Si Ayah pun merasakan juadah puterinya di hujung lidah.

Tiba-tiba ia teringat..... "Bukankah tadi aku berpuasa???"

Apakah nasib puasanya? Setelah kenyang tersarapan, adakah masih dikira 'tidak sengaja?' Fikir-fikirkan.

Jika anda tersarapan seperti Si Ayah, maka ada peluang untuk berpuasa sunat pada 11 Muharram. Ini kerana, sunnahnya seperti yang diamalkan oleh baginda Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w, Puasa Asyura 10 Muharram mestilah digandingkan dengan 9 atau 11 Muharram. Jika kaum Yahudi merayakan sehari sahaja pada 10 Muharram kerana kesyukuran terbebasnya daripada cengkaman Firaun, maka umat Islam, umat Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. adalah yang paling layak meraikannya, dengan lebih sehari.

                           


Puasa Asyura hanya sehari sekali setahun. Rebutlah ganjarannya. Selamat meraih redha Allah.... 

Selamat berpuasa... 

Thursday, November 22, 2012

Mereka Insan Istiqamah...

Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan)
Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru Ahlul Bait inilah yang paling konsisten di jalan dakwah di Bumi Sarawak amnya, di Kuching khususnya. Ada atau tidak ada orang yang membantu, mereka tetap menggalas amanah dakwah moyang mereka Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Perjalanan mereka tampak sepi tanpa ada yang menemani. Jika di Kuching, antara yang dikenalli di kalangan mereka adalah Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus dan Habib Mustafa al-Haddad.

Mereka meneruskan amanah tanpa jemu; dengan mendidik anak-anak murid mereka akan adab-adab husnu zhan (bersangka baik) dan mahabbah (kecintaan dan kerinduan mendalam) akan Rasulullah s.a.w. Perjalanan dakwah berliku mereka ditempuh dengan kesabaran biarpun berpuluh-puluh tahun berjalan sendirian.

Barisan anak-anak muda di Madarasah al-Khairat
bersama mudirnya, Habib Mohamad al-Attas ketika Ramah Tamah Idulfitri 1433H

Teringat kata-kata Habib Mohamad al-Attas di Madrasah al-Khairat, Kuching, beliau bergurau melihat ramai anak muda yang menawarkan khidmat kepada beliau, "Setelah 30 tahun barulah Allah tunaikan hantar anak-anak muda kepada saya untuk gerakkan dakwah."


Bersama juga, al-Fadhil
Ustaz Muhadir bin Joll (memegang kitab)
Jika dilihat secara zahir, mungkin mereka dipandang sebelah mata seperti pendidik biasa. Ya, mereka lebih suka merendah diri. Akan tetapi tugas mereka amat signifikan dalam dakwah di Bumi Sarawak. Ada orang berdakwah sasarannya bilangan orang yang mengimarahkan masjid. Ada orang berdakwah dinilai tampaknya aktiviti yang dibuat. Ada juga dianggap berdakwah dengan berpidato berapi-api. Ya, tidak salah semua metod tersebut. Tetapi penghargaan selayaknya harus ditujukan kepada mereka.

Mungkin kerana senyapnya dakwah mereka, tanpa kita sedar sasaran dakwah mereka adalah mencetak para ulama. Mereka menyediakan pancang-pancang pendidik umat suatu hari kelak. Asas yang mereka bina bukanlah calang-calang kerja. Mereka meneruskan kerja para ulama yang mencetak para ulama juga. Dan para ulama inilah yang membina generasi dari bawah. Biarpun memakan masa yang lama, insya-Allah dengan izin Allah, lama-kelamaan satu masyarakat belajar (learning society) yang beradab mulia akan terbina kelak. 


Daripada Blog Teh Secawan
Mereka inilah yang memimpin akal dan rohani masyarakat agar setiap pekerjaan adalah dalam lingkungan taqwa, iaitu menyempurnakan ketaatan kepada Allah dan Rasul.   

Berhari Raya Idulfitri 1433H di kediaman Habib Izzuddin al-Idrus
Saya melihat sendiri, betapa tingginya kesabaran para guru ini. Selayaknya digelar ulama. Para guru mereka bukanlah sembarangan orang. Dan usaha mereka juga bukan calang-calang. Ada di kalangan membina madrasah sudah selama puluhan tahun, dalam keadaan serba kekurangan. Dan hasilnya kini, gelombang demi gelombang anak-anak muda menyerahkan dirinya menuntut ilmu, agar sekembalinya mereka, menyambung mata rantai dakwah para guru mereka.

Habib Izzuddin al-Idrus menghantar adik dan anak murid (berkot), sdr. Iman Daud.
Beliau melanjutkan pengajian agama bersama para ulama Hadhramaut, Yaman.
Keberangkatan beliau diiringi oleh teman-teman sepengajian.
Apa yang mereka lakukan kini, adalah sama sepertimana usaha Imam al-Ghazali rahimahullah suatu ketika dahulu. Meskipun beliau dikritik kerana tidak terlibat dalam perubahan yang cepat, seperti perubahan politik ataupun berjuang di medan jihad, beliau tetap istiqamah terhadap pendiriannya. Beliau menyusun kembali, bermula daripada pelurusan tentang fikiran masyarakat melalui ilmu yang benar, paduan antara syariat dan hakikat. Beliau mencetak para ulama. Dan ulama ini mencetak lagi generasi ulama seterusnya, sehinggalah melahirkan antara tokoh ulama sufi terkemuka, Syeikh Abdul Qadir Jailani rahimahullah yang mendidik generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi... 

Anak-anak muda berqosidah, berhibur sambil berzikir, berselawat dan berdoa.
Inilah salah satu jalan mahabbah kepada Rasulullah s.a.w
Kita doakan semoga Allah meneguhkan dakwah para guru Ahlul Bait ini (Habib Mohamad al-Attas, Habib Izzuddin al-Idrus, Habib Mustafa al-Haddad, dan yang tidak disebutkan), mengampuni dan menunjuki mereka, dan membawa lebih ramai umat ini terutama anak muda mengambil manfaat daripada mereka... 



Mereka insan istiqamah...



Masjid Nabawi... Tanamlah azam untuk menziarahi Sayyidina Rasulullah s.a.w...
                                  
Dan tidak dilupakan, buat para guru serta aktivis dakwah yang menabur jasa di Bumi Kenyalang ini. Kalian adalah penyebar cahaya kalimah tauhid, Laa ila ha illallah, Muhammadurrasulullah (Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah)...

Mohon tersilap kata dan bahasa...




Wassalam...


NOTA: 


1. Habib Mohamad bin Alwi al-Attas merupakan mudir kepada Madrasah al-Khairat,  di Kpg. Pinang JAwa, Gita', Kuching. Madrasah beliau menyediakan asas Bahasa Arab dan agama bagi menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Pelajar lepasan SPM yang amat berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama amat digalakkan walaupun tiada asas Bahasa Arab untuk menyertai Madrasah al-Khairat. Selanjutnya, mereka akan dihantar, khususnya ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama di sana. Beberapa kumpulan daripada anak-anak murid beliau telah berjaya melepasi STAM dan menuntut ilmu di sana.


2. Manakala Habib Izuddin al-Idrus merupakan mudir Rubat Raudhatul Mustofa di Kpg. Selang, Telaga Air, Kuching. Pelajar-pelajar beliau yang berkelayakan setelah melalui sistem pembelajaran secara talaqqi akan juga dihantar ke Hadhramaut, Yaman untuk berguru dengan para ulama.

Tuesday, November 20, 2012

Kemaskini Terbaru Entri Saifai Islami

Alhamdulillah, blog Saifai Islami telah dikemaskini:


Remember November the 5th... V for Vendetta


Melihat kembali filem futuristik V for Vendetta yang berkisar mengenai seorang revolusioner yang bergelar 'V' melunaskan dendam terhadap para musuhnya. Ketika itu England dikuasai oleh kerajaan autokratik (kuku besi) sekitar tahun 2030. V merupakan seorang hero anarkis yang berprinsip matlamat menghalalkan cara. Sejauh mana revolusinya berjaya?

Dan


Wajah Amerika dalam Starcraft


Apabila disingkap wajah sebenar Starcraft, tidak lain dan tidak bukan terpampang wajah sebenarnya... iaitu jatidiri, peribadi dan sejarah bangsa Amerika. Sejauh manakah kita sedar tentang perkara ini?

Sunday, November 11, 2012

Rakaman Minggu 1 & 2 Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah

Berikut adalah rakaman kuliah pengajian syarah (huraian) kitab Bidayatul Hidayah oleh Ustaz syed Ahmadzaimi bin Syed Kamaludin al-Aidarus yang diadakan secara berkala pada setiap Jumaat malam di Dewan Syarahan YADIM Zon Sarawak. Bangunan dewan tersebut terletak berdekatan simpang lampu isyarat di Astana, Kuching

Video ini merupakan rakaman minggu pertama dan kedua pengajian. 

Anda boleh menghubungi Ustaz Akhie Zamri untuk makluman lanjut



Monday, October 29, 2012

Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah, Kuching

                                         
Hebahan program pengjaian agama, iaitu pengajian Kitab Bidayatul Hidayah (Imam al-Ghazali r.a) bersama Al-Fadhil Ustaz Syed Ahmadzaimi bin Syed Wan Kamaludin Al-Aidarus. Program adalah seperti berikut:

Tarikh: Bermula 2 November 2012, Jumaat
Masa : 8.30 malam
Tempat: YADIM Zon Sarawak, Jalan Astana Petra Jaya (berdekatan Masjid Darul Abidin & lampu isyarat Astana)

Kitab Bidayatul Hidayah yang
diterjemahkan oleh Syeikh  Ahmad
Fahmi Zam Zam al-Banjari al-Maliki
Kitab Bidayatul Hidayah yang bermaksud 'Permulaan kepada Hidayah' merupakan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w. 505H / 1111M). Kitab ini merupakan kitab pengenalan akhlak-akhlak seorang Muslim sebelum melangkah lebih jauh dalam mendalami ajaran yang Islam yang disusun oleh Imam al-Ghazali, terutama kitab Ihya' Ulumuddin. 

Sesungguhnya seorang Islam wajib menuntut ilmu Fardhu Ain sehinggalah selesai baginya, mencukupi baginya sebagai seorang Islam. Ilmu Fardhu Ain ini merangkumi tiga rangkai ilmu, iaitu ilmu Aqidah, ilmu Syariat (hukum-hakam) dan ilmu Tasawuf (akhlak). Dengan kesempurnaan ketiga-tiga cabang ilmu ini bagi seseorang Muslim, insya-Allah mampu melahirkan umat Islam yang teguh, sebagaimana generasi yang telah dilahirkan oleh Imam al-Ghazali 100 tahun selepas kewafatannya, iaitu Generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Wallahu'alam. Pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran tuan / puan / adik-adik bersama-sama mendalami ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu agama Allah yang luhur ini. 

Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya, insya-Allah.

Dia Duduk di Tangga




Hari Raya Idul Adha 1433H,
Miri

Ketika di rumah saudara, permata hati kami Fatimah az-Zahra' sedang menikmati sarapan paginya. Sekembali dari dapur mengambil air, ayahnya kehairanan, salah seorang saudaranya termenung di kaki tangga. 

Dia menegur, "Peliknya, kenapa abang duduk di tangga? Duduklah di sana sekali." Si Ayah menunjuk ke arah sofa ruang tamu.

Balasnya, "Saya lebih tenang duduk di sini."

"Malas mahu dengar cerita politik?"

"Begitulah. Yang di sana, pembangkang. Di sini kerajaan. Malas mahu bergaduh. Baru tadi kita membaca surah Yaasiin, bertahlil dan berdoa sama-sama. Tidak baik kita bergaduh selepas berdoa."

Dalam hati, Si Ayah tadi mengeluh. Ya, kalau yang 'di sana' berjumpa, memang tidak terlepas gosip-gosip sensasi yang tiada hujung pangkal, bahkan mereka tidak pernah terlibat pun sama sekali. 


Cerita yang diolah begitu mengujakan. Dan tentunya penuh emosi. Seringkali juga, akan terkeluar aib-aib manusia yang mereka benci. Entah benar yang mereka baca. Selalu juga terselit episod-episod lucu yang mereka reka dengan kreatif sekali.

Telinga Si Ayah seakan-akan tuli. Ia mendengar, tetapi hatinya ditutup. Tidak lebih berulang-ulang benda yang sama. Kebencian yang sama. Kemarahan yang sama. Caci-maki yang sama.  Di manakah hujungnya cerita? Tidak akan ada penghujung baginya. Baiklah coretkan idea untuk karya baru.

Ya Allah, jauhilah kami daripada fitnah, mendengar fitnah, merapati fitnah dan penyebar fitnah! Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa menyelusuri contoh kekasih-Mu Sayyiduna Muhammad s.a.w!

                           

Teringat kata-kata Habib Izzuddin al-Idrus, dalam menyentuh sedutan kehidupan ini. Adakah ada walaupun satu dalil bahawa suatu ketika Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w membalas orang yang memusuhinya dengan caci maki, umpatan, mengadu domba, cakap belakang ataupun fitnah?

TIDAK ADA SATU PUN.

Bahkan, baginda Nabi Muhammad s.a.w. membalas dengan senyuman, adab dan hikmah. Jiwa besar baginda s.a.w. inilah contoh terpuji yang wajib kita teladani dalam kehidupan yang serba-serbi digelumuri nafsu. 

Pesan beliau lagi, jikalau kita berada di dalam satu majlis yang ada dalamnya menimbulkan aib orang lain, maka wajiblah kita berangkat pergi. Ini kerana sesorang yang sengaja mendengar fitnah, dosanya adalah setara dengan orang yang memfitnah. Ada benarnya tindakan Si Saudara duduk di tangga.

Oleh itu, siapakah yang kita ikut? 

Fikir sebelum cakap. Bukan cakap baru fikir. Fikir-fikirkan.  


"Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu"

Wednesday, October 24, 2012

BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH

 ALHAMDULILLAH, ZULHIJJAH DATANG LAGI…. 
“BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH”

*Artikel ini merupakan petikan dari Buletin AsSofa keluaran Oktober 2011/Zulhijjah 1432, tulisan Syeikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Ahmadi, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Artikel ini bersumber daripada sahabat saya sdr. Hisyamuddin bin Roslan yang 'post' perkara ini dalam komuniti facebook 'Miri Muslim Youth':


Alhamdulillah, dengan ‘Inayah dan Ri’ayah Allah pastinya, maka hari ini kita dikurniakan lagi untuk kesekian kalinya nikmat yang besar erti dan fadhilatnya iaitu bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah bukanlah bulan untuk Tetamu Allah sahaja, tetapi ia merupakan bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang prihatin dengan masa-masa yang dimuliakan Allah dan bijak mengambil peluang. Sesungguhnya pada setiap kejadian Allah itu mempunyai benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya. Di antaranya ialah Ka’abah, Hajar al-Aswad, Zam-zam, bulan Ramadhan, hari Jumaat, sepuluh terawal bulan Zulhijjah, Makkah, Madinah, Baitul Maqdis, Para Nabi, Rasul dan sebagainya. 

Kesemua perkara tersebut merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firmanNya :

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah”

Dalam bulan Zulhijjah, terdapat masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah, iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, ‘Idul Adha dan Hari Tasyriq. Sesungguhnya, Allah telah bersumpah dengan fajar ‘Idul Adha dan 10 terawal bulan Zulhijjah. Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut, sebagaimana firmanNya: 


“ Demi waktu fajar ‘Idul Adha; dan malam sepuluh Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain. Banyak hadith yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya. Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Tidak ada dari hari-hari, yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Dan tidak juga berjihad fisabilillah(lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini?” Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak juga berjihad fisabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid.”
Ulama’ berdalilkan hadith ini bagi menunjukkan kepada galakan atau sunat berpuasa pada Sembilan hari daripada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz ibnu Hajar radiAllahu ‘anhu. 

Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam juga bersabda :
“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang Sembilan) menyamai puasa seribu hari dan sehari puasa pada Arafah menyamai puasa 10,000 hari.”
Daripada Abu Hurairah radiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda : 


“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar.”
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan qurban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya iaitu dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban. Hal ini berdsarkan hadith Ummu Salamah, bahawa Nabi sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :


“Apabila masuk hari yang sepuluh Zulhijjah, dan seseorang dari kamu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun.”

Di dalam satu riwayat :

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berqurban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya.”


Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu pemerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadith ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredhai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun alaman yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan. Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihiNya.

Insya-Allah, mari beramal! ;)


Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...