BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Tanah Air. Show all posts
Showing posts with label Tanah Air. Show all posts

Monday, October 29, 2012

Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah, Kuching

                                         
Hebahan program pengjaian agama, iaitu pengajian Kitab Bidayatul Hidayah (Imam al-Ghazali r.a) bersama Al-Fadhil Ustaz Syed Ahmadzaimi bin Syed Wan Kamaludin Al-Aidarus. Program adalah seperti berikut:

Tarikh: Bermula 2 November 2012, Jumaat
Masa : 8.30 malam
Tempat: YADIM Zon Sarawak, Jalan Astana Petra Jaya (berdekatan Masjid Darul Abidin & lampu isyarat Astana)

Kitab Bidayatul Hidayah yang
diterjemahkan oleh Syeikh  Ahmad
Fahmi Zam Zam al-Banjari al-Maliki
Kitab Bidayatul Hidayah yang bermaksud 'Permulaan kepada Hidayah' merupakan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w. 505H / 1111M). Kitab ini merupakan kitab pengenalan akhlak-akhlak seorang Muslim sebelum melangkah lebih jauh dalam mendalami ajaran yang Islam yang disusun oleh Imam al-Ghazali, terutama kitab Ihya' Ulumuddin. 

Sesungguhnya seorang Islam wajib menuntut ilmu Fardhu Ain sehinggalah selesai baginya, mencukupi baginya sebagai seorang Islam. Ilmu Fardhu Ain ini merangkumi tiga rangkai ilmu, iaitu ilmu Aqidah, ilmu Syariat (hukum-hakam) dan ilmu Tasawuf (akhlak). Dengan kesempurnaan ketiga-tiga cabang ilmu ini bagi seseorang Muslim, insya-Allah mampu melahirkan umat Islam yang teguh, sebagaimana generasi yang telah dilahirkan oleh Imam al-Ghazali 100 tahun selepas kewafatannya, iaitu Generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Wallahu'alam. Pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran tuan / puan / adik-adik bersama-sama mendalami ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu agama Allah yang luhur ini. 

Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya, insya-Allah.

Friday, March 5, 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431H, Surau al-Jariyah, Kpg Pujut 9

Sebuah Pemerhatian Peribadi

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang Esa, yang hanya layak disembah. Dialah yang mengutus rahmat sekalian alam, Nabi Muhammad sallallahu alahi wasallam, semulia-mulia manusia yang mengajarkan manusia kepada Tuhan mereka. Baginda sallallahu alaihi wasallam penutup sekalian nabi dan rasul, yang dikurniakan kelebihan daripada kelebihan berbanding para anbiya yang lain. Semoga Allah melimpahi juga kesejahteraan atas keluarga baginda sallallahu alaihi wasallam, para sahabat dan orang-orang yang mengikutinya sehingga Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, meskipun agak kepenatan berkelana di negeri sejahtera, Brunei Darus Salam; masih diberikan kekuatan untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Maulidur Rasul 1431H di Surau al-Jariyah Kpg. Pujut 9. Majlis merupakan anjuran bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Yayasan Amal dan Surau al-Jariyah Kpg Pujut 9. Majlis diadakan untuk mengajak para hadirin bersama-sama menghayati, menghargai dan mencintai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

En. Khairulnizam b Yop, jurutera PETRONAS telah memberikan perkongsian mengenai Rasulullah. Beliau membawa hadirin dan hadirat mengimbau kehidupan baginda sallallahu alaihi wasallam, sejak sebelum kelahirannya sehinggalah kewafatannya. En. Khairulnizam menyeru agar kehidupan kita selari dengan tatacara yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam secara keseluruhannya. Menyambut maulid pada bulan Rabiul Awal bukanlah semata-mata acara tahunan, tetapi seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita lebih menghargai Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Masalah timbul pula setelah beliau memberikan mikrofon kepada saya. Ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis, terlajak pula berkongsi seperti penceramah. Walhal niat asal adalah untuk menambah kepada isi yang sedia ada, dengan harapan kecintaan terhadap baginda sallallahu alaihi wasallam disemarakkan. Itulah masalahnya, mikrofon telah jatuh ke tangan orang yang ‘hubbul mic’ (cinta mikrofon). Sudah lama tidak bercakap, terenjen pulang!

Setelah sebulan berada di Miri, rasanya cara dan bahasa penyampaian telah dapat disesuaikan. Mana tidaknya, sebelum bergelar graduan, saya sering dihidangkan dengan bacaan dan idea yang tinggi-tinggi. Apabila balik Sarawak, mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Sehinggakan sebelum ini, ada orang tidak faham kata-kata saya!

Berdepan dengan orang kebanyakan, terutama umat sendiri mempunyai cabaran yang tersendiri. Perkara penting adalah kita memahami ‘indeks kabus,’ iaitu bahasa, perkataan, nada, gaya harus sesuai dengan sasaran. Jika indeks kabus tinggi, maka maksud yang disampaikan tidak jelas, lantas sasaran tidak memahami makna dakwah yang kita sampaikan. Sila lihat entri saya yang lalu berkenaan hal ini di pautan ini.


Kisah Tunggul Rindu Kepada Nabi Muhammad s.a.w

Setelah berterima kasih kepada penceramah, maka saya ngenjen (membuka cerita) pula, “Ngenang kita mok cinta pada Nabi tek eh, teringat kamek sigek cerita.” Hadirin mula memberikan perhatian. Ada pula yang tersenyum.


“Ada sekali ya. Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, nya tengah merik khutbah di depan sahabat-sahabatnya di Masjid Nabawi.”

“Dah ya, tiba-tiba sidak terdengar ada bunyi kedak nangis-nangis. Yang nangis ya duhal daripada sigek tunggul.”

“Lalulah Nabi Muhammad sallallahua alaihi wasallam, nya agak tunggul ya, kakya usap rah nya. Kakya, bunyi kedak unta ya nangis pun, lalu ilang.”

“Sebenarnya tek, tunggul ya rindu menar dengan Nabi sallallahu alaihi wasallam. Sebab, sebelum mimbar baru di mesjid ya, Nabi sallallahu alaihi wasallam salu bersandar sia. Ya lah tek, nya rindu gilak dengan Nabi sallallahu alaihi wasallam, lekak dah ada mimbar baru ya.”

“Dikatakan oleh ulamak, tunggul kurma ya lah satu-satunya pokok dari bumi tok yang akan tumbuh di syurga, sebab nya maok bersama Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.”


Penceritaan peristiwa atersebut dipetik daripada kitab 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, susunan Muhaddith Syeikh Abu Fadl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq Ghumari al-Hasani. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sohihnya. [1]


Kisah Zaid bin Harithah turun dari Syurga


Saya memulakan cerita yang lain, “Ada sigek gik cerita mok kongsi. Tok cerita lain dikit. Nggak yang sama ya, Nabi sallallahu alaihi wasallam berkhutbah juak.”

“Masa Nabi sallallahu alaihi wasallam berkhutbah tek, tiba-tiba nya madah, ‘Wahai sahabat-sahabatku, adakah kitak orang tok tauk siapakah yang jumpa kamek tek?’”
“Jadi, salu sikap para sahabat tok tek, mun daknya sik tauk, terus jak madah, ‘Allah dan Rasul yang lebih tahu.’”

“Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam madah ‘Zaid bin Harithah r.a baruk jak datang ngagak kamek tek.’”



“Mun kita menghayati sejarah Perang Muktah, Zaid bin Harithah r.a tok nya panglima keduak yang syahid dalam perang ya. Mok madah hebat sik hebat perang ya, sampeikan ada sorang sahabat patah Sembilan igek pedang. Perang ya nang sengit menar, 3000 tentera Islam, melawan 200,000 tentera Rom. Umpama daknya sigek batu kecik, di tengah-tengah padang pasir.”

“Perang ya sengit. Dan dalam perang ya, Zaid bin Harithah r.a megang panji-panji. Disebabkan mempertahankan panji-panji ya, duak-duak tangannya dipotong musuh. Dan ya lah nya digelar sebagai at-Tayyar. Maksudnya ‘yang empunya dua sayap’.”
“Maksudnya tek, duak sayap, bukan tayar motor ya ha!”

“Lalu Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam nanyak Zaid r.a tek, ‘Kenak kitak tok balit ngagak kamek, walhal kita dah diberik syurga!’ Maksudnya dah diberikan syurga kerana mati berjuang ya, yang seluas langit dan bumi, yang sidaknya (mujahidin) terbang dalam jasad burung biru di syurga, kitak maseh juak mok berjumpa kamek di dunia.”

“Maka Zaid r.a pun menjawab, ‘Apalah gunanya kamek di syurga, tapi sekda kekasih kamek; kitak ya Rasulullah!’ Agungnya cinta para sahabat kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam.”
Cerita ini dipetik daripada intisari khutbah Jumaat yang telah disampaikan oleh Tuan Guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki pada Januari 2010 di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang Jaya.


Bait Qosidah Keretapi Hijjaz


Mok cerita bab cinta Nabi sallallahu alahi wasallam tok, terlalu banyak lagik. LAST!” Sambil itu saya menoleh kepada penceramah, “Maaf, macam saya berceramah pula.”

Saya sudah merasakan terlajak langkah. Ramai yang sudah menjeling ke arah jam dinding. “Sigek gik cerita. Last tok. Ada sigek cerita, zaman Khilafah Uthmaniyyah. Masa ya udah siap landasan keretapi urang Islam, yang dinamakan sebagai keretapi Hijjaz. Perjalanan 40 hari urang Islam pegi Haji, jadi 4 hari ajak.”

“Satu luahan rasa cinta kepada umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasalam ngan baginda tek, sidaknya telah menuliskan bait-bait qosidah ataupun syair di setiap gerabak daknya.”

“Maksudnya adalah macam tok, kamek ingat isiknya ajaklah (Saya letakkan yang sebenarnya):”

‘Wahai angin Timur! Jika engkau ingin menghembus pada suatu hari ke arah Tanah Haram, maka sampaikanlah salamku kepada Raudah yang terdapat Nabi yang dimuliakan di dalamnya.’
[2]

“Tapi malangnya, toklah perkara pertama yang dimusnahkan oleh musuh-musuh Islam dalam Perang Dunia Pertama.” [3]

Tuan Imam pun sudah membisikkan berhenti, maka sempat juga berpesan kepada diri sendiri dan hadirin, untuk berselawat kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam, kerana setiap selawat akan diketahui oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam sendiri. Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan Abu al-Syeikh ibnu Hibban dengan lafaznya:

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:
"Sesungguhnya Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kuburku apabila aku telah wafat.

Tiada seorang pun berselawat kepadaku melainkan malaikat itu berkata, 'Wahai Muhammad! Fulan ibn Fulan telah berselawat kepadamu.'

Lalu Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda: 'Maka Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan berselawat atas lelaki tersebut bagi setiap satu selawatnya dengan selawat (daripada Allah).'"


Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam kitab al-Kabir. [4]


Semoga Allah memberi izin hidup denyut cinta terhadap kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam!

Allahumma solli ‘ala Muhammad!
Berjasa Kepada Masyarakat



Rujukan

1. Syeikh Abu Fadl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq Ghumari al-Hasani, (2009). 40 Hadith Keistimewaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sofa Production: Ampang.

2. Eeman (Dr.) Mohamed Abbas, (2007). Kajian Sejarah dan Pemikiran Dari Tahun (1876-1909 / 1293-1327H) Sultan ‘Abd al-Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah (Peranan Gerakan Nasionalis & Golongan Minoriti). Pustaka Darus Salam: Batu Caves, Kuala Lumpur

3. Murphy, D., (2008). The arab revolt: Lawrence sets arabia ablaze. Osprey Publishing: London

4. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Makki al-Hasani, (2008). Kefahaman yang wajib diperbetulkan. Sofa Production: Ampang.

Wednesday, December 16, 2009

16 Disember... Bisikan Tanjung Lobang....



Pendaratan Detasmen Yokosuka Rikusentai* Kedua di Miri, lokasi pertama pendaratan tentera Imperial Jepun di Borneo pada 16 Disember 1941....



Tanjung Lobang, Miri menjadi saksi pertempuran berdarah yang menjadi lagenda 'hantu Jepun' berkawat di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang...

Ikuti di pautan ini:

Bisikan Tanjung Lobang (1)
Bisikan Tanjung Lobang (2)
Analisis Bisikan Tanjung Lobang

Dan...

Memperingati Sejarah Perjuangan

Entri di pautan atas merupakan nukilan blog sdr. Jamil Bujang, waris penjaga rumah api Tanjung Lobang, iaitu Allahyarham Metali bin Usang. Beliau telah terkorban dalam penaklukan lokasi tersebut. Semoga Allah merahmatinya dan zuriatnya, atas kegigihannya menghadapi kesulitan yang amat besar ketika itu.

Jangan dilupakan pengorbanan orang-orang yang telah mendahului kita, terutama mereka yang beriman terlebih dahulu daripada kita. Kerana berkat cinta mereka kepada generasi, mereka tidak teragak-agak sanggup menumpahkan darah demi generasi mendatang. Mungkin tanpa kita sedari, jika tidak kerana pengorbanan mereka, kita hidup dengan nikmat keamanan sehingga kini. Kata-kata Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas dalam syarahan perdananya yang lepas haruslah dipandang dengan neraca yang saksama, kata beliau, "Memutuskan diri kita dengan sejarah akan memutuskan diri kita kepada kekuatan yang sebenar. Melalui sejarah, kita akan kenal diri kita."

Al-Fatihah buat orang-orang yang beriman yang terkorban dalam insiden ini. Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya kita kembali.


Berjasa Kepada Masyarakat


*Rikusentai bermaksud Special Naval Landing Force (SNLF), ketumbukan elit daripada Tentera Laut Imperial Jepun.

Tuesday, December 8, 2009

Hanya Kerana Songkok

Sebuah Pemerhatian Peribadi



Entri berkaitan: Apa yang Nabi s.a.w Seru?

22 November 2009
India Street, Kuching


Dah lamak sik makei songkok. Salu Raya makei topi kitak mun ndak Nek Aji (al-Fatihah – semoga Allah merahmatinya) mpun (Sudah lama tidak pakai songkok. Selalunya pada Hari Raya guna songkok Ayah ataupun Nek Aji).” Aku membelek-belek songkok yang baru dibeli. Masih ‘bau Cina’ kata orang Sarawak. Maksudnya, barang itu baru sahaja dibeli. Hari ini tentu hari bahagia buat saudaraku, sdr. Khairul Anwar Shazali, Yang Di-Pertua PERKEPIS dan isterinya, sdri. Aisah Munirah (Dr.) yang melangsungkan pengilan (walimah) mereka.

Jawab ayah yang sedang memandu, “Ya lah kitak ya. Bego jak mak kitak olehnya (Itulah awak. Ibu awak bising dibuatnya).”Kami keluar dari kompleks parking berhadapan dengan India Street. Beliau segak mengenakan baju batik dan songkok.

Aku hanya mampu tergelak. Katanya lagi, “Giney ndakkah pengilan di rumah Krol ari tok kelak. Ntah-ntah jumpa rami urang. Sidaknya bercarik ngan bapak. Ne ndak, dah berpuloh taun sik berjumpa (Bagaimana pula walimah di rumah Krol nanti. Entah-entah jumpa ramai orang. Mereka (rakan-rakan lama beliau) mencari Ayah. Mana tidaknya, sudah berpuluh-puluh tahun tidak bersua).”



Aku ketawa kecil, “Hmmh... urang famos nak.” Ayah merupakan pegawai pendidikan di Bahagian Kuching pada era 70-an dan awal 80-an. Sebelum melangkah ke Kuching semalam pun, ibu sudah maklumkan, belum apa-apa ayah telah kamboh (kecoh) terjumpa rakan-rakan lama.

Kemudian aku mengenakan songok. Dalam hatiku berkata, “Gerenti aku terok kenak selak ari tok. Tanggar ajak (Sudah tentu aku diusik dengan hebat pada hari ini. Tengok sahajalah).” -_-“

Aku berkata, “Mun makei songkok di sinun, besanya kenak label (Kalau gunakan songkok di sana (Semenanjung), biasanya kita dilabel orang).”

Balas Ayah, “Label? Label apa?”

“Makei songkok adalah UMNO ataupun BN (Mengenakan songkok bermakna UMNO ataupun BN).”

Ayah memulas stereng, menghala ke Satok. Balasnya,“Sik abis-abis. Sempit menar fikiran. Siney ndak ngkah utak ya (Tidak pernah selesai pun hal ini. Sempit benar fikiran seperti itu. Di manakah mereka letakkan akal)?”



“Ntahlah pak. Apa dah jadi ari tok. Bila pertimbangan dah diengkah atas politik, sik ke siney-siney (Entahlah Ayah. Apa sudah jadi hari ini. Apabila pertimbangan sudah diletakkan di atas neraca politik, tidak ke mana akhirnya).”

Kata Ayah, “Sidak ya, sama juak. Berdegang jak berkempen, mun menang, giney ndak kah. Sama ajak rasa bapak. Maok kuasa ajak (Mereka, sama sahaja. Hebat berkempen. Kalau menang sekali pun, bagaimana pula. Entah-entah sama sahaja. Apa yang mereka mahu adalah kuasa).”

“Yang ada, emosi nganok urang. Ngajar kita mbencik urang lain ajak. Ne tuju adab (Yang ada adalah emosi mencela orang. Tambahan lagi, mengajar pula kita membenci orang lain. Ke manakah hilangnya adab)?”



“Bapak pun malas ndengar hal ya (Ayah sudah malas nak dengar hal ini).”

“Kadang-kadang ada juak geram kita dipolahnya. Awal-awal kedak maok berkelakar tentang urang kita. Sekali tek, bertanyak rah kita emosi politik. Tanyak benda-benda yang dipadah rah sidaknya. Ahernya, sekda lalu bertanyak hal urang Islam (Kadang-kadang geram juga dibuatnya. Awal-awal seperti mahu berbual tentang orang kita (Islam). Sekali, bertanya pula dengan emosi hal-hal emosi, seperti yang mereka tahu (daripada ceramah ataupun surat khabar). Akhirnya, tidak ada langsung bertanya tentang hal orang Islam.”

“Kita makei baju ada lambang Sarawak, terus label ‘Ini BN ke’?”

Ada kawan di (sebuah institusi Tahfiz), sidaknya dah lejuk dengan jumud sidak tok. Coma ajak sidaknya mala jak kenak label UMNO/BN. Sapa ndak lejuk (Ada kawan saya di -sebuah institusi Tahfiz-, mereka bosan dengan labelan jumud sebegini. Mereka jadi sasaran di sana. Siapa yang tidak jemu)?”



Isu ‘Allah’ pun jadi mainan politik. Kawan-kawan sitok pegi sendirik kempen di Batang Ai dolok, sengaja datang mok ndengar, ada *** (ahli politikus Reformasi sanjuangan) merik ceramah. (Tokoh ini) terang-terang madah yang urang agama lain pun boleh gunakan nama Allah dalam ibadat sidaknya. Sedangkan ulamak sik bersetuju hal tok (Isu 'Allah' pun jadi mainan politik. Rakan-rakan saya pergi sendiri di lokasi kempen di Batang Ai dahulu, mereka sengaja ke sana untuk mendengar ucapan tokoh Reformasi tersebut. Beliau terang-terangan mengatakan kepada khalayak -kalangan bumiputera- bahawa boleh menggunakan nama 'Allah' dalam ibadat agama lain. Sedangkan ulamak ramai yang tidak bersetuju).”

Mungkin juga Ayah mengesan aras kesabaran anaknya sedang menurun. Pujuknya, “Dulilah Rul. Sekda urang duli hal kita. Bapak akui, urang kita di atas ya (mungkin) adalah salahnya. Mesti ada jalannya. Dan urang kita lebeh paham urang kita dirik (Pedulilah, Azrul. Ada mereka peduli masalah kita? Ayah akui, orang kita mungkin ada salahnya. Tetapi pasti ada jalan yang lebih berkesan. Orang kita lebih faham orangnya sendiri).”

Ya lah pak. Urang mudak tok kenak ditanggar juak. Mun dipupok dengan nilai-nilai kebencian dalam politik tok, jadi kedak di sitoklah pulang kelak. Riso juak, ada mahasiswa kita yang ngekot daknya pun ngekot perangei yang sama juak. Sebab, sekda urang duli hal kita. Sekda urang paham hal kita. Sekda urang mok tauk pun hal kita. Kecuali nang sikit ajak (Betul, Ayah. Orang muda terutama sekali harus dipantau juga. Kalau dipupuk dengan benih-benih kebencian kepartaian, maka pasti akan terjadi di sini pula nanti. Mahsiswa kita yang ikut mereka juga terpengaruh dengan perangai yang sama juga. Sebab, tidak ada orang peduli hal kita (umat Islam Sarawak). Tidak ada orang yang memahami kita, melainkan sedikit sahaja).”

Sampuk Ayah, “Selalunya sidaknya yang diam lamak sitok, sidaknya yang paham (Lazimnya mereka (orang Semenanjung) yang lama tinggal di sini, mereka lebih memahami suasana di ini).”



Sengaja aku menukar topik perbualan, “Mok ambik kotak kah terus pergi jak (Mahu pergi ambil kotak ataupun terus ke rumah pengantin)?” dalam hati ini melompat-lompat tidak mahu ketinggalan berqosidah bersama rakan-rakan.

Balas Ayah, “Ambik kotak jak lok. Carik tali juak. Buku kitak ya banyak gilak. Ngkah lam kotak, antar k bas. Marek kakak kitak sama juak udah ngirim yis roti (Ambil kotak dahulu. Nanti carikan juga tali. Buku yang awak bawa banyak sangat. Letak dalam kotak, kemudian hantar melalui bas. Semalam kakak awak juga hantar yis roti ke Miri guna bas).”

Eh, mena tok jalan nya kah? Kitak ingat lagik? Lupak-lupak juak udah. Zaman Kak Zura kitak laher dolok, kamek urang diam di Siol Kandis, dekat dengan Kolej Abdillah (Betulkah jalan yang kita lalui? Awak masih ingat jalan? Saya ingat-ingat lupa. Zaman Kak Zura kamu dahulu, kami tinggal di Siol Kandis, dekat dengan Kolej Abdillah)?”

Aih, ingat. Senang jak ke rumahnya. Lurus gik... (Tentulah ingat. Senang sahaja ke rumahnya. Teruskan berjalan lurus...)” maka perbualan berjalan rancak sepanjang perjalanan. Biasalah, sudah lama tidak bersemuka dengan Ayah. :)


Berjasa Kepada Masyarakat

Lihatlah Kebenaran Dengan Hatimu

Sunday, December 6, 2009

Apa yang Nabi s.a.w Seru?

Sebuah Pemerhatian Peribadi

Hari yang baru bermula. Hari ini bermula di masjid Kampung Sungai Chinchin. Malam bersama saudara-saudara Turki malam tadi cepat sekali berlalu. Kami telah dihidangkan dengan lauk sup daging masakan Turki yang enak sekali. Nasi disuruh ditambah beberapa kali. Siap untuk kami satu periuk nasi jika mahu ditambah. Tetapi atas kapasiti yang terhad kantung makanan dalam badan ini, maka menyerah kalah adalah langkah yang terbaik.



Semalam juga kami telah berpeluang melihat tulisan Uthmani bahasa Turki. Tulisan Uthmani ialah bentuk tulisan huruf-huruf Arab dalam lafaz bahasa Turki. Seperti juga Bahasa Melayu, asalnya adalah tulisan jawi yang terbentuk daripada huruf-huruf Arab. Tetapi tulisan dapat dibaca dalam Bahasa Melayu. Terharu juga rasanya terhadap saudara-saudara ini. Demi mempertahankan tulisan Uthmani ini, mereka belajar menulis dan membaca dengan bersungguh-sungguh. Mengapa?



Kerana dengan penghapusan tulisan ini di Turki dan diganti kepada rumi, maka untuk umat Turki memahami dan mendekati al-Quran menjadi sangat sukar. Kerana tulisan Uthmani ini sangat hampir kepada bahasa al-Quran, bahasa Arab, maka jika dimansuhkan akan menjadikan generasi buta al-Quran. Seperti juga di negara ini, kesan digubah buku teks agama daripada tulisan jawi kepada tulisan rumi, maka generasi sukar untuk membaca al-Quran. Tidak perlu jauh, saya menderita dek dasar itu. Bacaan al-Quran saya syukur, selamat. Tetapi saya sangat sukar untuk membaca bahasa Melayu dalam tulisan jawi. Hendak membaca kitab Melayu dalam tulisan jawi, memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Bagaimana pula rakan sebaya saya yang lain?



Said Nursi Badiuzzaman (1876-1960), seorang mujaddid sufi yang mempertahankan Islam daripada arus bencana sekularisme di Turki. Beliau telah menekankan kepada umat Turki betapa pentingnya tulisan ini meskipun kerajaan sekular bersungguh-sungguh untuk menghapuskannya. Maka menyahut seruan itu, sahabat-sahabat saya ini belajar dengan menekap tulisan itu atas kertas turih. Saya merasa kasihan juga. Mereka boleh menulis, tetapi tidak begitu lancar memahami isinya ketika menerangkan kepada kami maksud ayatnya. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka!



Tidak sangka kedatangan di masjid Kampung Sg Chinchin ini telah mempertemukan diri dengan mereka. Asalnya adalah untuk duduk berehat di masjid tersebut sambil-sambil menjenguk adik-adik PKPIM Pusat Asasi UIAM menganjurkan program latihan mereka. Kampung ini diasaskan oleh seorang syeikh ulamak (saya tidak ingat namanya). Berdekatan dengan masjid ini, makam beliau didirikan. Apa yang menarik di sekitar masjid ini ialah sebuah lubang replika liang lahat. Khabarnya pada waktu malam, syeikh ini akan duduk bermunajat dalam liang itu untuk bermujahadah (melatih) membersihkan hatinya sentiasa mengingati kematian. Bagaimanakah diri kita, pernahkah memikirkan seketika saat yang kunjung tiba pada bila-bila masa?

Pada pagi itu kami berangkat untuk balik ke UIA Gombak. Disebabkan saya salah menyangka bahawa mungkin bekalan elektrik akan terputus sepanjang hari di mahallah kediaman, maka saya mengajak saudara Azizan untuk turut serta ke Bengkel Penulisan KJ Metod oleh Pn Ainon. Menemani kami juga ialah saudara Fazril.



Kami menaiki bas untuk ke UIA. Sesudah kami duduk, saya membuka cerita, “Aok eh. Kitak tauk ari tok tek (Ya, awak tahu hari ini ada apa)?”

Jawab Azizan, “Ari tok ari Minggu lah. Ada apa Bang Azrul?” Ia tersengih. Begitulah karenah orang ahli fasilitator, ada saja lenggok skil ‘helah’nya (kadang-kadang humor).

“Ari tok ada program dipolah oleh persatuan anak Sarawak Semenanjong (Hari ini ada program dianjurkan oleh persatuan anak Sarawak Semenanjung).”

Nok Bang Rafique ya kah (Maksudnya persatuan yang disertai oleh Bang Rafique)?”

Balas saya, “Aok. Yang kamek dengar program ramah tamah. Garuk palak juak kamek. Ngkali kamek salah dengar. Tok dah separoh Zulkaedah. Hehehe (Ya. Setahu saya program itu ialah program ramah tamah. Pening kepala juga saya. Mungkin saya salah dengar. Sekarang sudah separuh bulan Zulkaedah).”

Tanya Azizan, “Kitak sik ekot tek (Awak tidak pergi)?”



“Sik merancang pun. Lagikpun sekda kawan yang pegi. Masing-masing dah sebok aher sem. Lagikpun dah lamak juak sik jumpa Puan Ainon (Saya tidak merancang untuk ke sana. Tambahan lagi, tidak ada kawan yang ikut serta. Masing-masing sudah sibuk menghadapi akhir semester. Lagi pun saya sudah lama tidak berjumpa dengan Puan Ainon).”

Mena juak ya.”

Perbualan terhenti sebentar. Hanya terdengar deru enjin bas. Tiba-tiba saya teringat sesuatu, “Tauk kitak, ada sorang ya nanyak program ya ngan kamek (Awak tahu, ada seseorang telah bertanya tentang program itu kepada saya).”

Apa ditanyaknya (Apa yang dia tanya)?”



Orang ya sik payah sebutlah namanya. Nya nanyak kamek, ya program apa (Tidak perlulah saya menyebut namanya. Dia telah bertanya kepada saya, apakah program itu).”

Sebab kamek pun ndengar-dengar daripada kawan-kawan dan kamek sik main Facebook, jadi kamek padah nya program berambeh berjumpa sama-samalah (Disebabkan saya ada mendengar juga daripada kawan-kawan dan tidak melayan Facebook, maka saya beritahu setakat pengetahuan saya program itu adalah untuk berkumpul dan bersua).”

Sambung saya lagi, “Ya lah nya nanyak. Tok program sapa? Ada YB Fulan bin Fulan datang kah (Itulah yang ditanyakannya. Ia bertanya lagi, program itu siapa yang anjurkan? Adakah YB Fulan bin Fulan datang juga)?”



“Kamek njawab, kamek rasa ada YB datang sekali (Kemudian saya menjawab, ‘saya rasa YB ada datang sekali’).”

Orang ya njawab, ‘Oooo... mun YB ya datang, kamek sik mok datanglah. Nya BN (Barisan Nasional) bah (Orang itu menjawab, ‘kalau YB datang, saya tidak mahu pergi. Dia orang BN).’”

Kemudian saya menyimpulkan perbualan dengan orang tersebut, “Kamek pun... aok jak lah. Yang kamek kesal ialah, orang yang tipon tok, urang agama. Nya ngekot sidak lambing ijo (Saya pun... berdiam sahajalah (tidak mahu member komen lanjut). Saya berasa agak kesal kerana dia yang mengatakan sedemikian adalah orang agama. Dia ikut mereka yang berlambang hijau).”

Saya menggelengkan kepala, “Apa ndak dipikei sidaknya sampei kedak ya sekali? Siney nya engkah prinsip dakwahnya? Kata ngambik Islam keseluruhan, tetapi kenak hal penting tok diketepikan (Apakah yang difikirkannya? Di manakah beliau meletakkan prinsipnya? Jikalau mengaku mengambil Islam secara keseluruhan, mengapakah hal penting –pertemuan berharga- ini diketepikan)?”



Berkerut juga dahi Azizan membalas, “Payah juak dah bersentimen kedak ya. Walhal, mun nya mok ngembak dakwahnya pun, nya dah merugikan peluang berjumpa dengan rami urang (Susah juga kalau dakwah bersentimen begitu. Walhal, jika beliau mahu membawa dakwahnya, tidak hadir ke program itu semata-mata perbezaan sentiment politik telah merugikan peluang untuk berjumpa dengan ramai orang).”

Saya duduk menyandar, sambil mengeluh, “Ya lah kamek berbincang dengan seseorang hal tok. Antara duak pegangannya: politik ya atas dakwah ataupun dakwah nya ya atas politik (Berhubung dengan persoalan ini, saya telah berbincang dengan seseorang. Dia telah mengulas: di manakah letak dakwahnya? Adakah politik itu atas dakwah ataupun dakwahnya atas politik)?”

Kata Azizan, “Nampak gaya, dakwah urang ya nampak gilak atas politik.

Saya berkata lagi, “Susah menar mun dakwah atas politik tok. Terpaksa pilih kaler, pilih bulu. Mun ada urang tok, sebab ada urang musuhnya politiknhya di sia, maka tolak secara total (Sukar benar kalau dakwah atas politik. Terpaksa pilih wana, pilih bulu. Disebabkan seorang musuh politiknya berada di sana, maka tindakannya akan menolak seteru itu secara total).”



Sudah lama juga dipendam hal ini atas pemerhatian dan interaksi selama beberapa tahun, “Apa yang dalam hati ialah bencik habis-habisan kepada pihak sigek ya. Masalahnya, mun dah hati benci, lamak-lamak kita pun sebarkan kebencian terhadap urang lain. Masa ceramah, nganok urang. Hati pun... jadi keras (Apa yang di dalam hati adalah kebencian terhadap pihak lawan. Masalahnya, jika hati sudah benci, maka lama-lama pun kita akan sebarkan semata-mata kebencian terhadap orang lain. Ceramah pun, cemuh orang. Akhirnya... hati menjadi keras).”

Saya melontarkan soalan kepada Azizan, “Ahernya, apa yang jadi?



Jawabnya, “Dakwah sik sampei!

“Mun kita berjalan atas landasan ilmu, sepatutnya sik akan terjadi kedak ya. Aok, mungkin ada salah urang ya. Tapi kerana kebencian atas dasar kepartaian tok telah menutup ruang yang boleh dimanfaatkan. Last-last, keja nanggar salah urang. Salah dirik sik nampak (Jika kita berjalan atas landasan ilmu, sepatutnya perkara ini tidak terjadi. Ya, mungkin ada silap orang itu. Tetapi kerana kebencian atas dasar kepartaian sebegini telah menutup ruang yang boleh dimanfaatkan. Akhirnya, kerja kita ialah melihat salah orang. Salah sendiri tidak sedar pula).”

“Ingin juak mok nanyak, Nabi sallallahu alahi wasallam dolok, apa yang mula-mula ditunggahnya? Nya ajak urang bina daulah (negara) ataupun tunggah urang kepada Allah dolok (Ingin juga bertanya, apakah seruan pertama (yang paling penting) yang Nabi sallallahu alaihi wasallam seru? Ajak orang bina Negara ataupun ajak orang kepada Allah)?”

“Mestilah nya tunggah kepada Allah.”

Bas sudah melepasi Sekolah Menengah Teknik Gombak dan berhenti di lampu isyarat. Saya menyambung lagi, “Sedangkan kerajaan Demak yang hebat kesan tarbiyah oleh wali-wali Songo di Jawa ya kesannya ngambik masa seratus tahun. Ulamak dolok sidaknya nunggah urang kepada Allah. Orang dah beramal dengan Islam atas ilmunya, negara ya secara semulajadi terbina (Sedangkan kerajaan Demak yang hebat itu telah terdiri hasil daripada dakwah oleh wali-wali Songo berdakwah mengajak masyarakat kepada Allah. Ulamak terlebih dahulu memanggil manusia kepada Allah. Sesudah orang Islam telah beramal dengan Islam atas ilmunya, Negara itu terbentuk secara semulajadi).”



Kini Azizan pula mengulas, “Ya lah Bang Azrul, perkara tok dah berlaku di siney-siney. Kamek mok molah artikel kelak: Antara Mengisi atau Menguasai (Benar juga Bang Azrul. Perkara ini sudah berlaku di mana-mana. Saya teringin untuk menulis sebuah artikel: ‘Antara Mengisi atau Menguasai’)?”

Bas mula memasuki UIA. Kami sudah bersedia mengeluarkan kad matriks seandainya pengawal UIA mahukan pengesahan. Perbincangan terhenti , kami masing-masing melayan fikiran. Mengengangkan perbualan ini, terimbau kepada mesej penting yang saya pelajari daripada Allahyarham Ustaz Awang Pon (semoga Allah merahmatinya – al-Fatihah). Sehingga sekarang prinsip beliau ‘dakwah is beyond, above politics’ begitu berpengaruh. Beliau sering meletakkan asas ilmu dan hikmah apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.

Tiba-tiba kenangan tazkirah beliau di Masjid Wan Alwi, Tabuan usai waktu Asar menjelma. Itulah kali pertama mendengar beliau member nasihat secara umum di khalayak itu. Beliau membacakan ayat al-Quran yang mengatakan bahawa agama umat manusia itu satu dan Akulah (Allah) Tuhan kamu. Rupa-rupanya beliau membacakan ayat yang terpampang di salah satu sudut masjid.

Saya tidak dapat menumpukan perhatian perbincangan beliau kerana seorang sahabat telah bertanya sesuatu. Namun kandungan yang saya ingat adalah beliau menghuraikan bahawa agama anak-anak Adam ini asalnya satu dan mengaku yang Allah adalah Tuhan mereka. Kemudian mereka berpecah belah kerana berselisih pandangan dan pendirian. Begitulah konteks ayat yang beliau maksudkan. Seandainya terpampang ayat lain, saya bersedia menerima teguran.



Pada akhir tazkirah tersebut, beliau menyimpulkan dengan kalimat pendek tetapi bermakna sekali. Saya ingat kata-kata beliau dengan nada yang penuh berhikmah, “Kalau kita fahamkan ayat ini, mun mok ngembak (sentimen parti) politik di sitok, minta maaf; terpaksa tinggal di luarlah. Tok rumah Allah bah. Semua orang adalah sama di hadapan-Nya.” Saya tersenyum sendirian mengenangkan peristiwa tersebut.



Jika kita mengaku membawa bendera dakwah, apakah pendirian kita benar-benar menuruti sebagaimana yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w? adakah tindakan kita atas dasar ilmu ataupun emosi? Ataupun kita berlumba-lumba mencanang diri mendabik dada menuntut digelar sebagai pelopor tajdid (pembaharu)?

Kami pun tiba di mahallah dan harus bergegas ke stesen LRT Putra Gombak. Kami mengejar masa – kerana sangat maklum bilik kelas Bengkel PTS di Sekolah al-Ikhlas sangat cepat penuh!


AMARAN kepada Azizan: Bila lagik artikel ya mok siap?! {bunyi marah... hohohoho}


Rujukan:

1.HAMKA, (2002). Sejarah umat islam (edisi baru). Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura

2.Ihsan Kasim Salih, (2003). Said nursi: pemikir & sufi besar abad 20 membebaskan agama dari dogmatism & sekularisme. PT RajaGrafindo Persada: Jakarta

3.Abdullah Azzam, (2007). Turki Negara dua wajah: Pengkhianatan Ataturk terhadap dunia islam. Alam Raya Enterprise :Gombak

Tuesday, September 29, 2009

Syawal (3): Misi Siratulrahim (1): Destinasi Marudi


Udah siap sidaknya (Mereka sudah bersiap)?” tanyaku kepada Usu Shahril. Ibuku pula di sisi. Kami bertiga berdiri di depan pagar rumah. Jawab Usu, “Sidaknya tengah bersiap lagik (Mereka sedang bersiap).”

Balas ibuku, “Harap-harap sempat. Takut tertinggal lagik kedak marek (Harap-harap sempat. Bimbang pula terjadi seperti semalam).” Wajahnya tergambar kebimbangan.

Sambil mengimbas persekitaran, tiba-tiba Usu berkata, “Aku ngekot sidak ari tok. Aku pergi pulang ari (Saya ikut mereka. Saya pergi pulang hari).”

Aku menjawab secara spontan, tidak menyangka kata-katanya, “Apa?”



Usu mengulang, “Aku ngekot sidak. Pegi sama. Balit ngekot ekspres kol tiga kelak (Saya ikut mereka. Balik nanti naik ekspres pukul tiga petang).”

Hatiku melonjak-lonjak. Sudah beberapa tahun kebelakangan ini teringin benar berhari raya di kampung halaman saudara-mara, Marudi. Ya, hasrat itu telah tersimpan buat sekian lama. Kerana sudah berbelas tahun tidak menziarahi keluarga di sana. Mungkin juga kerana kekangan keluarga beberapa tahun ini, tidak berkesempatan untuk bertandang ke sana. Juga, kehidupan keluarga nukleus yang berpusat kepada keluarga kecil adakalanya terasa sempit; kerana tidak mengenal saudara-mara yang lain. Siapalah diri ini jika bukan saudara-mara yang ada di sekeliling kita. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Walau bagaimana jauh terpisah, kenal ataupun tidak, mereka tetap saudara sedarah sedaging.

Ada hikmah yang besar tersingkap akan peristiwa semalam. Kisahnya begini. Saudara daripada Kuching, Ngah Saleh dan Ngah Epot sekeluarga juga sekian lama tidak berhari raya bersama keluarga besarnya di Marudi. Mereka telah bertolak dari Kuching pada tengah malam sebelumnya dan dijangka tiba untuk menaiki bot ekspres dari Kuala Baram terakhir pada pukul 3 petang.



Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui rahsia segala rahsia. Waktu telah pun menjangkaui pukul 3 dan ekspres terpakasa bertolak. Namun di sebalik kelewatan itu terkandung rahsia yang besar – mereka bermalam di Miri dan akan berangkat pada keesokan harinya. Maka sempatlah kami bersua dengan sepupunya Ngah Epot walaupun sebentar (Ngah Epot merupakan sepupu ibu).

Rancangan spontan Usu pada pagi hening itu begitu mengujakan. Mengenangkan diri yang telah lama mahu ke kampung halaman bertemu sanak saudara bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Dek terlalu lama tidak berjarah, inilah peluang keemasan untuk menghubungkan kembali talian siratulrahim yang lama tidak dihiasi dengan sapaan kasih sayang. Inilah peluang untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah pertalian diri ini dengan ibu dan bapa saudara, dan juga kazen-mazen (saudara mara). Maklumlah, sudah berbelas-belas tahun tidak berjumpa.

Aku bergegas bersiap. Pagi itu kelam kabut juga jadinya. Tidak ada perancangan langsung, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk bermusafir jauh. Marudi bukannya dekat – jika dikirakan dengan menggunakan jalan sungai, kira-kira 2 jam setengah.

Desisku dalam hati, “Ancor aku. Mun adikku tauk ke Marudi ari tok, abis aku kenak marah. Pegi sik madah-madah urang (Habis aku. Andai kata adik tahu aku ke Marudi hari ini, habis nanti dimarahnya. Pergi ke sana tidak beritahu orang).”

Ketika itu mahu berangkat. Barang-barang keluarga Ngah Epot dipunggah dengan cermat. Kepala dihitung dengan tepat.

Usu menyapa di luar pagar rumahnya, “Gago kau tok. Napa gap gilak tok? Malu aku bah (Awak menyibuk betul. Kenapa segak sangat? Buat malu saya sahaja)!” Ngah dan ibu ketawa kecil. Usu tersengih menggalas begnya. Gayanya santai, tidak ada rupa orang berhari raya. Berbaju kemeja dan seluar jeans.

Aku membalas, “Apa ya? Kita beraya bah. Polah lah kedak beraya (Kita mahu berhari raya. Buatlah seperti berhari raya)!”

Suasana keberangkatan menjadi kecoh. Kali ini Usu pula menjawab, “Kau tok, kau gap kedak ya terpaksa aku makei songkok. Aku tok adventure. Bila-bila aku boleh balit (Kamu ini, kerana segak sangat, terpaksa saya pakai songkok. Saya ini ‘adventure.’ Bila-bila balik pun tidak kisah),” ujarnya sambil memakai songkok.

Tegur Usu, “Napa diembak kau ya? Kita pegi tok sehari jak bah (Apa yang awak bawa? Kita hanya pergi sehari sahaja).”

Jawabku, “Aih, mun kitak haus, tok juak dicarik kitak (Nanti haus, ini juga yang Usu cari)!” aku memasukkan minuman ke dalam beg.

Mana ajaklah. Sukati kau. Aku sik duli. Aku jalan, jalanlah (Mana sahajalah. Suka hati awak. Saya tidak peduli. Suka hati saya berjalan)!” kami semua ketawa mendengar jawapannya.

Sebelum segalanya bersiap berangkat, ujar Usu dengan nada rendah dan berwajah agak serius, “Yang penting, kita molah sunnah Nabi sallallahu alaihiwasallam. Baruklah kita kenal sudara kita (Apa yang penting, kita buat sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baru kita kenal saudara-saudara kita).”

Aku sudah mengagak kata-katanya itu. Itulah yang selalu disebutnya. Usu, seorang yang bijaksana menyelitkan isi-isi ajaran agama dalam perbuatan dan percakapannya. Di sebalik gurauan dan pembawaannya, orang mudah menerima nasihat dan tegurannya. Begitulah antara cara yang berhemah untuk orang-orangku, orang Sarawak yang ramah dan penyantun. Lenggok dakwah di sini harus disantuni dengan baik, dengan memahami konteks bahasa, budaya dan cara fikirnya. Biarlah dengan gaya dan bahasa yang difahami dan boleh diterima, bahasa yang melangit tinggi tanpa ada dasarnya tidak ke mana. Oleh yang demikian, orang mudah menerima dengan baik teguran, ajaran mahupun nasihat dengan difahami dengan bahasa yang baik. Terkadang kerana silap memahami konteks yang amat penting ini, kadangkala tidak sampai isi dakwah. Perkara ini aku perhatikan bukan sahaja dalam kitaran keluarga, tetapi kebanyakannya ku perhatikan apabila beliau bergaul dengan masyarakat setempat.

Balasku, “Mena ya. Menyambongkan siratulrahim. Nyambong tali yang terputus.” Kami pun beredar ke terminal ekspres Kuala Baram, terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Pujut 9.



Bersyukur kepada Tuhan memberikan peluang sekali lagi untuk berdiri di terminal ini –sebuah jeti ringkas yang terdiri daripada platform, atap dan tayar penampan daratan ekspres. Kami tiba di lokasi ini kira-kira pada pukul 7.25 pagi. Kami tidak sempat untuk menaiki bot ekspres 7.30 kerana tidak semua sampai tepat pada masanya. Kami mengambil keputusan untuk berangkat dengan bot pukul 8.00 pagi nanti.

Angin berpuput lembut mengibarkan bendera Bumi Kenyalang di atas pelantar ekspres. Ekspres terapung-apung dibuai ombak kecil. Di tengah sungai pula kelihatan sebuah kapal penunda menarik tongkat yang memmbawa muatan balak. Kedua-dua kenderaan terapung perlahan, mungkin kerana sarat muatan dan melawan arus Sungai Baram pula. Air sungai berwarna perang bak teh tarik kurang manis. Secara zahirnya, sungai ini kelihatan berkelodak; airnya mengandungi banyak pasir.

Aktiviti pula memperlihatkan bermacam-ragam manusia. Rata-rata mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada pemerhatianku, mereka adalah orang sederhana dan pinggiran bandar ataupun yang tinggal di ceruk terpencil Baram ini. Ada yang baru tiba dan terus menaiki bot. Ada pula yang berbual dengan kenalan-kenalan. Ada yang menunggu seseorang. Ada pula yang mengail udang di hujung jeti. Ada pula yang sibuk menyelenggara bot masing-masing.

Tidak kurang juga terdapat saudara dan kenalan yang juga bermaksud berjarah ‘pulang hari.’ Maklumlah, hari ini baru hari ketiga hari raya, oleh yang demikian, aktiviti berjarah dipanjangkan. Pada awal-awal pagi ini sudah terasa kehangatan persaudaraan iaitu bertanya khabar dan bertukar-tukar berita antara satu sama lain.

Satu kebanggaan yang aku perhatikan ialah yang masih dipertahankan oleh orang Melayu (dan Islam) Sarawak ialah mengenakan baju melayu lengkap bersabok (bersamping) dan bersongkok hitam pekat masih dipertahankan. Berbeza dengan masyarakat Melayu-Islam Semenanjung, baju melayu lengkap hanya dipakai hari pertama sahaja. Walaupun hari raya telah seminggu ataupun lebih berlalu, masyarakat masih memakai baju melayu lengkap semasa berjarah (walaupun kini tidak semua masih mengekalkan, tetapi masih dipertahankan dan terasa keberadaan suasana tersebut).



Teringat tika berjarah pada Hari Raya Idul Adha anjuran PERKEPISMA beberapa tahun lalu, kami menaiki LRT dan komuter untuk ke Bangi. Kami seramai beberapa orang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap. Dengan sengaja kami berbisik dan berpakat untuk menyaksikan respon daripada penumpang lain. Hari tersebut – Hari Raya Idul Adha yang mulia disunatkan memakai pakaian terbaik terasa amat asing sekali apabila dipandang-pandang dan dijeling-jeling orang. Rasanya bukannya pakaian naik ke bulan. Setakat pemerhatian kami pada waktu tersebut, hanya kami sahaja yang berpakaian sedemikian! Berbeza di Sarawak, masyarakat amat selesa dengan pemakaian ini.



Matahari semakin tinggi di atas ufuk timur. Sinarannya dipantulkan oleh kocak-kocak air yang menerbitkan keindahan tiada taranya. Sinarnya menebar ke serata alam tanpa mengira sama ada makhluk itu patuh ataupun tidak, turut ataupun ingkar. Rahmat-Nya menebar tanpa diskriminasi. Tetapi menjadi suratan alam ini, hanya dua bangsa boleh jadi taat dan ingkar; selebihnya tunduk secara sukarela. Iaitu bangsa jin dan manusia yang diberikan pilihan dan ikhtiar. Kedua-dua bangsa ini seringkali angkuh melangit tidak sedarkan diri.

Waktu Dhuha – waktu yang berkat untuk mendirikan solat sunat Dhuha dengan matahari baharu naik dan terasa sedikit kepanasannya. Kilauan air sungai disusuli dengan bayu mendayu Laut China Selatan menghasilkan irama keanggunan yang begitu mengasyikkan. Tidak hairanlah tika aku berada di perantauan, andai ada angin lembut seperti ini, pasti aku akan teringatkan tanah air.

Tidak terjadinya keindahan yang menakjubkan ini melainkan oleh yang Maha Pencipta. Dialah yang empunya lukisan alam ini. Seringkali manusia takjub akan binaan-binaan yang mengagumkan. Tetapi jarang sekali merekai memuji-muji yang Mencipta, Memelihara dan yang Empunya alam, apatah lagi akur dengan penuh rasa cinta. Tidak berkurang Kuasanya, Kerajaan-Nya andai tidak ada yang Memuji-Nya. Tidak akan bertambah Kuasa dan Kerajaan-Nya, dengan puji-pujian kita yang selalunya ingin diketahui dan didegari oleh orang lain. Alangkah... alangkah... alangkah... di manakah diri ini?



Arus Sungai Baram tidaklah sederas Batang Rajang; sungai terpanjang negara. Tiba-tiba terimbau kembali saat bersama rakan-rakan Kembara Amal ABIM II tahun 2005; tika berada di tebing Batang Rajang, Sibu untuk menaiki feri. Ketika itu jambatan yang merentasi sungai masih dalam pembinaan. Kami kemudiannya berangkat ke Kapit untuk berambeh di sana dua hari semalam untuk menyebarkan siratulrahim sesama insan bergelar Muslim. Batang Rajang arusnya lebih deras dan memakan lebih masa untuk tiba ke Kapit.

Rakan-rakan Kembara Amal ABIM II (YDP PERKEPIS pertama, Dr Saifullah-beliau merupakan graduan UNIMAS berdiri, dua dari kiri)
Lokasi pilihan Kembara di KapitKenangan bersama Bang Syed, Bang Zack (sekarang di New Zealand, mahasiswa perubatan) dan pasukan fasilitator Kembara di Surau Kampung Beleteh, Kapit bersama muda-mudi Muslim; 2005.

Pengalaman pada 2005 tersebut merupakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kapit. Tidak terbayang, bagaimanakah agama Allah yang luhur suci, Islam telah tiba di penjuru ini yang dilingkungi oleh hutan tebal dan dihubungkan hanya dengan jalan sungai. Begitu juga di ceruk-ceruk terasing di susur sungai, denai mahupun hutan belantara serata Bumi Kenyalang. Tentunya perintis dakwah di sini terdiri daripada sosok-sosok yang dipilih oleh Tuhan, iaitu orang-orang yang sanggup berjuang di jalan-Nya tanpa banyak berkira. Ya Allah... jauhnya diri ini setegar seperti itu. Dengan izin dan cahaya-Nya jua lah agama-Nya telah bertapak di sini. Andai tidak ada seorang pun yang sanggup, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.



Bah, dah mok kol lapan dah tok, ” ujar ibu. Ayah pula masih rancak berbual bersama Ngah Saleh, Usu dan Pakcik Kaderi. Lamunanku serta-merta terhenti. Kami bersalam-salaman.

Perjalanan menyelusuri Sungai Baram bakal memakan kira-kira 2 jam setengah menaiki bot ekspres. Aku menjangkakan perjalanan ini mungkin memenatkan – tidak ada penghawa dingin seperti dalam belon dan gegaran enjin bot yang akan meletihkan badan. Tetapi segalanya itu tidak terasa. Perasaan ingin tiba di sana melebihi daripada sedikit kepayahan yang mungkin ditempuh.

Diri jangan sentiasa dimanja dengan limpahan kesenangan. Melalui yang dilalui oleh orang-orang kebanyakan pasti akan menerbitkan suasana dan pengalaman yang hampir-hampir sama seperti mereka. Oleh yang demikian, diharapkan akan dapat menimbulkan keinsafan, menghargai nikmat kurniaan Tuhan dan melatih diri membiasakan dengan kehidupan yang penuh sederhana.

‘Genggamlah dunia di tanganmu, bukan di hatimu,’ itulah pegangan Imam Abu Hassan as-Syazuli; seorang ulamak tersohor pada suatu zaman dahulu.

“Siney kita tok (Kita hendak ke mana)?” tanyaku anak buahku. Ia duduk di kerusi belakang. Dagunya tepat di atas hujung kerusi. Mula-mula agak kekok juga bersama dengan orang-orang yang berbelas-belas tahun ataupun baru sahaja berjumpa sekalipun sama saudara.



Ia seorang kanak-kanak perempuan yang ramah dan responnya celoteh, “Sik tauk kamek eh. Bukan kita sampei Australia ka (Saya tidak tahu. Bukankah kita sampai di Australia nanti)?”

Aku tergelak sendirian. “Jaoh na kitak ke sia. Kita tok ke Marudi’. Boleh tahan jaoh. Tapi sik lah sampei ke Australia. Hehe. Aih, sapa nama kitak tek (Jauhnya adik mahu ke sana (Australia). Kita akan ke Marudi, agak jauh juga. Tetapi kita tidak sampai ke Australia. Eh, nama adik, siapa)?”

“Nama kamek, Riza,” jawabnya dengan ramah.

Perjalanan bakal bermula. Misi warisan menyambung rahmat ke serata alam. Misi siratulrahim. Destinasi: Marudi.


"Orang-orang yang berakal ialah mereka yang memperhubungkan apa yang diperintahkan
untuk diperhubungkan oleh Tuhan (yakni siratulrahim)"
(ar-Ra'd, 13:21)

Insya-Allah bersambung...


Berjasa Kepada Masyarakat

Saturday, September 19, 2009

Syawal (2): Dam Dam Dum... Bunyi Mercun... Beraya ala Fallujah



Satu fenomena yang berlaku pada hari lebaran ialah, jika anda berjaga menjelang pukul 12 malam. Menjelang waktu tersebut, anda mungkin merasa berada di Fallujah di Iraq, di Kandahar di Afghanistan ataupun setidaknya di Palestine. Tika umat Islam dibedil, dihujani peluru hidup yang tidak bermata, terdapat pula segelintir masyarakat yang membuat ‘replika suasana’ tersebut.


Pada waktu malam inilah, suasana bak bertih panggang. Bunyi dentuman meriam buluh, A-bom, roket dan sebagainya menjadikan suasana bingit dan menyesakkan. Pada malam lebaran yang penuh barakah dan ketenangan, dicemari pula dengan bunyi dentuman bakaran mercun yang memakan banyak wang ringgit.

Berbanding tahun lepas, tahun ini keadaan lebih baik. Meskipun begitu, mungkin juga ‘pelancaran’ dibuat secara ‘catuan’ untuk menghasilkan kesan maksima pada 12 malam kelak. Menjelang detik tersebut, berdentum-dentumlah hiruk-pikuk bunyi mercun. Jika beberapa tahun kebelakangan, rancak pula ‘perang meriam buluh.’ Terdapat sesetengah individu yang bermain meriam buluh di kampong ini. Dibalas pula dengan dentuman yang lebih kuat daripada kampong berhampiran yang terletak di seberang sungai.

Tidak ada tindakan yang serius dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Bahkan, mercun dijual secara terang-terangan di bazaar Ramadhan. Tidak hairanlah, bekalan yang wujud menjadikan pengguna mudah ‘membakar’ duit.

Peperangan ala Fallujah ini bukan sahaja membazirkan duit, tetapi juga mengganggu jiran tetangga dengan bunyi yang bising. Bayangkan, ‘meriam’ yang bingit bunyinya diletupkan di belakang rumah anda. Ataupun, mercun papan yang meletup-letup selama lima minit dibakar juga tidak jauh daripada rumah anda. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam amat menitik beratkan soal menjaga hak dan kebajikan jiran tetangga. Kononnya untuk menyambut Syawal, tetapi telah menyusahkan orang-orang yang berjiran dengan kita.



Andai kata lebih mampu untuk ke Fallujah, Kandahar dan Palestine,maka itu adalah terlebih baik. Janganlah heret masyarakat ke dalam huru-hara kebingitan suasana perang. Jikalau penduduk Fallujah sendiri pun, mereka inginkan suasana yang aman dan tenteram, dan selamat menjalankan ibadah serta aktiviti seharian. Kita di sini mahu sebaliknya pula, beraya ala Fallujah

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...