BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, October 29, 2008

Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah


Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru
Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk

Mentari menyinar dengan pancaran yang hangat. Langit membiru tanpa teman awanan putih. Si Insan tersedar dek hangat sang suria. Ia sedang dalam perjalanan ke Kuching untuk menjalani latihan industri di sana. Bersamanya ialah ayahnya beserta Pakcik Musa, orang yang menunjuki jalan pengembaraan ini.

Aku makei kail ya masa ya (Saya guna joran yang itu masa itu).... ”

Eh... nok ya lagik bagus bah (Eh... yang itu lebih bagus)... ” Si Ayah dan Pakcik Musa masih rancak berbual. Mata Si Insan masih kantuk. Deria masih kurang peka.

Tiba-tiba Kancil terasa melambung. “Ya baruk jalan ya. Samalah bergelumbang kedak ombak laut (Jalan ini bergelombang seperti ombak di laut),” kata Si Ayah. Si Insan kembali merasa segar. Matahari masih tinggi. Di hadapan, kelihatan sebatang jalan yang bertemu pada satu titik. Seolah tiada penghujung. Di kiri dan kanan, rumput hijau kekuningan melambai-lambai seolah mengucap pergi.

Alhamdulillah, syukur. Maseh idup lagik (masih hidup lagi), ” desis Si Insan.

Kol brapa dah pak (Sudah pukul berapa)?”

Kol brapa dah tek? Sembilan lebeh lebih ngkali. Kitak tido tek (Sudah pukul berapa sekarang? Mungkin sembilan lebih. Awak tidur tadi)?”

Si Insan melihat jam tangannya, rupanya ia telah tertidur kira-kira setengah jam. “Kita dah di siney tok bah (Di mana kita berada)?”

Kita maseh di jalan coastal. Sik lamak lagik kita sampei Niah. Kita solat Jemat lok di Bintulu (Kita masih di jalan pesisir. Tidak lama lagi kita akan sampai Niah. Kita solat Jumaat dahulu di Bintulu).”

Dah lepas Bungai tek (Sudah lepas Bungai)?” tanya Si Insan. Bungai merupakan sebuah perkampungan pesisir pantai sebelum pekan Bekenu. Bungai memiliki pantai yang sangat indah, didiami oleh suku Kedayan dan Melanau yang beragama Islam.

Udah tek Rol,” kata Pakcik Musa. Mereka meneruskan perbualan.

Si Insan kelaparan. Dia menggapai mini loaf keju Morni Bakery yang disediakan oleh Ngahnya. “Pak, mok roti?”

Sik.

Kitak pakcik?”

Makseh jak.”

Tok jalan coastal pegi Niah tek?”

Aok. Jalan sik brapa bagus. Bergelumbang. Tok jalan lamak. Nggak disambong jadi sigek jalan lurus (Ya. Jalan tidak berapa elok, bergelombang. Ini adalah jalan lama kawasan ini. Hanya disambung sebagai sebatang jalan yang lurus), ” jelas Si Ayah.

Aok, mun makei jalan darat sebelah nun, jaoh lagik jalan (Ya, kalau guna jalan satu lagi, tentunya lebih jauh perjalanan).”

Perjalanan terkadang terasa bosan. Mana tidaknya, sepanjang jalan yang jauh, sama sahaja lanskapnya. Rumput kering atau rimbun pohon di kiri dan kanan, dibatasi oleh horizon langit biru. Tetapi terasa keindahan di sebalik panorama ini. Entah mengapa. Satu persatu juzuk yang dilihat seakan-akan bergabung dalam paduan yang harmoni, lengkap-melengkapi antara satu sama yang lain. Melambai-lambai seolah-olah memuji akan kebesaran Pencipta. Maha Suci Allah, tidak Dia ciptakan semua ini dengan sia-sia. Terkadang terasa kalah, kerana ciptaan-ciptaan ini, sentiasa bertasbih memuji-Nya, sedangkan diri manusia ini berakal dan merasa. Selalu juga melakukan kemungkaran pada saat ia sedar.

Sepanjang jalan coastal antara Bakam dan Niah, terdapat kampung-kampung. Sedikit sahaja didapati rumah-rumah di tepi jalan. Tetapi kampung-kampung ini dapat dikesan melalui tanda-tanda simpang di muka jalan. Kawasan ini masih didominasi kaum Kedayan. Tidak terkecuali juga, semakin menghampiri Niah, komposisi kaum di sesuatu tempat semakin kompleks dengan kehadiran kaum yang lain.

Jam menunjukkan 10.30 pagi. Landmark ataupun petanda tempat menandakan bahawa simpang Niah semakin hampir. Terdapat rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang bersaiz agak besar milik bangsa Cina. Akhirnya, kami tiba di simpang ke Niah, ditandai dengan sebuah sekolah menengah yang tersergam iaitu SMK Suai. Kami membelok menuju Niah. Sekolah ini mengingatkan Si Insan akan kehadirannya di sana bagi memberi sokongan kepada pasukan Dikir Barat sekolah pembentuk dirinya, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang beberapa tahun yang lalu.

Tidak lama kemudian, ketiga-tiga insan tiba di simpang Niah. Simpang ini merupakan persimpangan utama di jalan Miri-Bintulu. Tempat inilah persinggahan, mengisi minyak, berehat, berniaga dan bertemu. Jika menggunakan jalan lama, jarak antara Miri dan Bintulu adalah sejauh 100 kilometer. Cukup-cukup jaraknya membolehkan solat jamak ditunaikan. Jalan pesisir yang dilalui tadi adalah jalan pintas.

Mereka berhenti di sebuah ‘kompleks’ yang bersaiz sebuah gudang besar. ‘Kompleks’ ini menempatkan kedai serbaguna, kedai telefon bimbit, kedai akuarium, gerai-gerai makanan dan tandas. Tempat ini agak terbuka.

Kata Si Ayah, “Iboh lamak gilak. Kita singgah sekejap jak (Jangan lama sangat. Kita singgah sekejap sahaja).”

Sempat gik minum tok (Sempat lagi kita minum),” gurau Pakcik Musa. Si Insan hanya mampu tersenyum. Orang yang mulanya kelihatan garang saat pertemuan tadi, rupa-rupanya seorang yang ramah dan suka berjenaka.

Si Insan mengambil kesempatan untuk meneliti persimpangan ini. Sudah lama tidak menjejakkan kaki di sini, pastinya banyak perubahan yang berlaku. Di simpang inilah terdapat stesen minyak Shell dan Petronas. Jalan agak sibuk dengan kenderaan pelbagai saiz. Menjadi perhatian Si Insan adalah lori-lori treler yang memenuhi kawasan. Kesemuanya dimiliki oleh orang-orang Tionghua.

Ia menoleh sebentar ke sebelah kanannya, “Alhamdulillah, maseh ada suro ya (Alhamdulillah, surau itu masih ada).” Surau kecil yang usang berwarna hijau itu mendapat perhatiannya. Si Insan kemudiannya melangkah malas ke dalam ‘kompleks’.

Dah abis reload aku paduhal (Rupanya kadar bayaran saya telah habis).”

DiGi RM10, kak” kata Si Insan kepada jurujual. Hendaknya memberi salam kepadanya, tetapi kurang pasti; adakah ia Muslim atau tidak. Rupanya seperti orang Melayu, ada juga seperti orang Bidayuh.

Mudahan juak kitak bertudong satu hari kelak (Mudahan kaka bertudung suatu hari kelak).”

Si Insan sengaja memantau kedai serbaguna. “Apa dicarik kitak ya (Apa yang awak cari)?” tiba-tiba Si Ayah datang menerpa. “Nangga-nangga jak. Rega barang sitok mahal juak o? Ne Pakcik Musa tek (Tengok-tengok saja. Rupanya harga barangan di sini agak mahal. Di mana Pakcik Musa)?”

Nya lah, sitok jaoh dikit dari bandar, mestilah rega mahal dikit. Nya maseh di jamban nun ngkali. Bapak ke kereta lok (Ya, di sini jauh sikit daripada bandar, mestilah harganya mahal sikit. Pakcik Musa mungkin masih di tandas. Ayah tunggu di kereta).”

Bah, nangga sekejap (Baiklah, saya mahu tengok sekejap).” Sementara menunggu Pakcik Musa, Si Insan mencuri pandang ke gerai-gerai makanan di ‘kompleks’ itu. Dalam hatinya bercampur baur rasa ‘kurang berani’ untuk mendekati ruangan itu. Ada juga rasa pilu. Ada juga rasa kasihan.

Pakcik Musa masih belum muncul. Di tangannya membelek barangan, tetapi matanya mengimbas suasana di gerai. Nun di sudut sana ada dua gerai bertanda ‘Makanan Orang-orang Islam’, ‘Halal’, ‘Nasi Lemak’, ‘Laksa’ dan pelekat ‘Bismillah.’ Ada beberapa tukang masak, jurujual dan pelayannya bertudung. Kulit mereka tidak secerah orang Melayu ada kemungkinan juga mereka orang Bugis. Sekali imbas, itu adalah gerai makanan orang Islam, selamat dimakan.

Di tengah-tengah ruangan itu, adalah gerai minuman. Gerai dilabel dengan bahasa Si Insan belum faham iaitu bahasa Mandarin. Dan di sebelah gerai minuman adalah gerai-gerai yang menghidangkan makanan yang tidak halal bagi Muslim dan Mukmin.

Ya lah satu-satunya gerei minum. Semua order akan ke sia. Pelayan orang Cina, tapi order orang Melayu pun diambik juak (Itulah satu-satunya gerai minuman. Semua pesanan akan ke sana. Pelayannya orang Cina, tetapi pesanan orang Melayu juga diambil).”

Dia memerhatikan lagi, katanya dalam hati, “Pelayan ya ngemas. Nya ngelap ngguna kain diembaknya. Gelas, sudu’... dan tin-tin berwarna biru bercap ‘Rimo Nunggu Kelapa’ Gugok’ dengan warna ijo, bercap Bintang dan Saoh diengkah di talam (Pelayan itu sedang mengempas. Dia mengelap meja dengan menggunakan kain yang dibawanya. Gelas, sudu... dan tin-tin berwarna biru bercap ‘Harimau Menanti Kelapa Jatuh’ dan berwarna hijau, berlambang Bintang dan Sauh diletakkan di talamnya).”

Pelayan ya ngembak ke kaunter. Kakya dari kaunter ya ngembak teh yang diorder orang Islam nok nun. Ya Allah... dah bercampor halal dan haram. Gineylah gelas ya dituang dengan arak-arak ya, kakya diminum dengan teh tarek oleh orang Islam (Pelayan itu membawa talam ke kaunter. Daripada kaunter itu, dia membawa teh yang dipesan oleh orang Islam itu. Ya Allah... dah bercampur halal dan haram. Bagaimanakah gelas itu dituang dengan arak, kemudia digunakan untuk diminum oleh orang Islam)?”

Jantungnya seolah direnggut dengan deras. “Giney dengan orang Muslim yang singgah makan sitok, yang sik tauk-menauk hal tok? Yang rata-rata sidak tok makan sebab ada tanda ‘Bismillah’? Siapa yang sedar hal tok (Bagaimanakah dengan orang Islam yang tidak tahu tentang hal ini? Orang, yang kebanyakannya makan kerana adanya tanda ‘Bismillah’? Siapakah yang menyedari hal ini)?”

Poket seluar Si Insan bergetar. Digarapnya telefonnya. “Bapak...

Ya Pakcik Musa (Itu dia Pakcik Musa).”

Ju (Jom)!” seru Pakcik Musa. Kedua-duanya bergerak ke arah Kancil. Si Insan menggunakan kesempatan untuk memerhatikan saki-baki jarak ke Kancil. Sedih. Sedih. Sedih.

Siapakah yang akan perjuangkan hal tok? Bukankah Nabi sallallahu alaihi wasallam madah makanan yang haram, sik akan diterimak amalan? Doa tertolak? Malangnya, sik ditauk yang dimakan ya haram (Siapakah yang akan perjuangkan hal ini? Bukankah Nabi sallallahu alaihi wasallam berpesan bahawa memakan makanan yang haram, tidak akan diterima amalan? Doa akan tertolak? Alangkah malangnya, tidak menyedari memakan yang haram)?”

Jalan tetap sibuk. Lori treler, lori, pikup pacuan empat roda, kereta, motosikal dan bermacam-macam lagi datang dan pergi. Sang suria sudah tinggi memancarkan sinar. Perjalanan masih jauh. Hanyalah satu persepuluh daripada keseluruhan perjalanan. Tentu ada lagi sembilan persepuluh perkara yang akan ditempuhi, yang bakal memilukan hati, menyebat kesedaran dan mengoreksi akal.

“Bagaimanakah seketikanya aku kembali ke sini kelak?

“Ini baharu sedikit daripada 1001 permasalahan umat. Ya Allah, selamatkanlah perjalanan ini, selamatkanlah kami daripada perkara haram dan syubhah dan kurniakanlah kami dengan kekuatan daripada-Mu...”


Berjasa Kepada Masyarakat


Insya-Allah, disambung dengan Kembara Tanah Air(4): Solat Jumaat di Tatau

Tuesday, October 28, 2008

[GM] Hologram Hijrah


Cerita pasca Perang Galaksi Muhsinin 2205... di saifaiislami.

Sudah ada di Miri dan Kuching!


Sudah ada di POPULAR Miri dan MPH Kuching!

Kembara Tanah Air (2): Bersama Saudagar Cencaluk


Kembara Tanah Air (1): Permulaan yang Keliru

Kitak sik boleh drep (awak tidak boleh memandu),” kata Si Ibu.

Kenak?” bersuara bukan tanda protes. Tetapi Si Anak inginkan penjelasan.

Iboh kitak nok bulak. Kol brapa kitak tido malam tadik? Mak tauk kitak tido aher (Jangan nak mengelak. Mak tahu awak tidur lambat).”

Aok,” jawab Si Anak tanpa bersoal lagi. Ya, memang dia telah tidur lambat, kerana menyiapkan kerja-kerja yang diperlukan untuk diemel kepada editor. Syukur kepada Tuhan, butiran terakhir untuk Galaksi Muhsinin sempat dihantar sebelum bertolak ke Kuching. Perjalanan pastinya jauh dan memenatkan. Tanpa rehat yang cukup, memandu bukanlah pilihan yang baik.

Biar bapak jak yang derep. Bila-bila kitak bertukar dengan nya (Biar ayah yang pandu. Bila-bila dalam perjalanan boleh bertukar).”

Aok (ya).”

Barang-barang rupanya telah dimasukkan ke dalam kereta. “Ah... memang ayah bersemangat. Belum sempat saya bertindak, dia sudah bergerak cepat,” kata Si Insan dalam hati.

Dia membantu ayahnya di garaj rumah. “Sekejap lagik kita dah boleh jalan. Nang ngangkut rumah lah kita tok (Sekejap lagi kita dah boleh jalan. Memang kita ini seperti berpindah rumah),” kata Si Ayah sambil ketawa.

Dapat ndak Kancil tok jalan jaoh dengan barang banyak tok (Mampukah Kancil ini bertahan untuk perjalanan yang jauh)?” desis Si Insan.

Kitak drepkah?” tanya Si Ayah.

Mak sik nyuroh.”

Boleh nak, kitak drep ke Bakam jak. Sia kita singgah. Bapak drep dari sia (Boleh saja, awak pandu ke Bakam sahaja. Kita singgah di sana. Ayah pandu dari sana).”

Kenak singgah sia?

Kita ngambik Pakcik Musa."

Pakcik Musa? Sapa nya?

Aih, nya sedara kita, sebelah Melano. Kitak sik pernah jumpanya. Kelak nya nunjok jalan ke Kuching. Bah, lekas kitak. Aher kelak (Dia saudara kita, sebelah Melanau. Nanti dia tolong tunjukkan jalan ke Kuching. Jangan berlengah, cepat bersiap).”

Aok.” Si Insan mengemas dan memeriksa barangnya. Jika tertinggal, maka tetap akan ditinggalkan selama dua bulan lebih. Tidak ada yang akan sanggup menghantar ke Kuching. Si Insan sujud menghadap Tuhan. Mungkin inilah Duha yang terakhir di rumah ini. Tiada siapa yang tahu.

Berat hati tika melangkah pergi. Berat hati bagi Si Ibu yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan. Lebih-lebih lagi dahulu si anak ini telah dilahirkan pada saat yang getir: tanpa bekalan elektrik. Perjalanan bukannya sekaki dua, sekilometer dua, tetapi lebih daripada seribu kilometer. Jalan bersimpang siur, terpencil. Apa-apa berlaku, mungkin tiada siapa yang tahu.

Namun hati bercampur baur. Berat pun ada, girang pun ada. Berat hati, kerana baru sahaja menjejakkan kaki pulang, kemudian pergi jauh untuk praktikal industri. Tidak sempat lama bersama keluarga. Hati merasa girang, kerana pengembaraan yang jauh akan memperlihatkan tanah airku sendiri. Bagaimana orangnya, bagaimana hidup mereka, bagaimanakah budi dan warna-warni umatku. Dan hatinya girang, dia bakal bersama orang yang selalu didengar khabarnya tanpa penat lelah berjasa kepada masyarakat, siang dan malam. Dia sangat menantikan saat itu.

Barang telah diperiksa. Semuanya telah dipadatkan dalam Kancil yang kerdil. Bak kata Si Ayah, umpama berpindah rumah. Si Insan memeriksa bahagian bonet. Kadang-kadang ketawa berbaur haru dalam hatinya. Periuk, prenpan, beras, gula, garam dan bermacam-macam barang dapur. Begitu semangat Si Ayah bertungkus lumus demi puteranya.

Nah, kitak drep.” Si Ayah menyerahkan kunci.

Mak sik nyuroh tek (Mak tidak benarkan).”

Sik apa, sik jaoh ya. Sampei Bakam jak (Tidak mengapa, tidak jauh. Pandu sampai Bakam sahaja).”

Enjin dipanaskan. Tali keledar dipasangkan. “Sayang, Kak Zura dah pegi awal tek. Ya pun jumpanya ngantok-ngantok jak (Sayang Kak Zura sudah pergi awal. Itu pun jumpa dia dalam keadaan mengantuk).”

Kakak kitak ya nang rajin. Pagi-pagi dah ke kedei (Kakak awak memang rajin. Pagi-pagi lagi dah ke kedai).”

Morni Bakery...” desis Si Insan.

Sik apa, nya pegi Kuching lagik kelak (Tidak mengapa, nanti dia ke Kuching).”

Si Insan mengundurkan kereta dari garaj. Si Ibu memerhatikan dari beranda rumah, beserta Si Adik. Jelas di raut wajah Si Ibu seribu satu kebimbangan. Si Insan tahu, hatinya sentiasa berdoa kepada Tuhan, agar dua mutiara hatinya selamat pergi dan pulang.

Kirum salam ngan urang sinun (kirim salam dengan semua orang di sana),” kata Si Adik dari beranda tersenyum simpul.

Napakah senyum ya (Senyuman awak bermaksud)?”

Apa? Kirum salam ngan urang sinun, ” katanya dengan senyuman yang mencurigakan abangnya.

“Insya-Allah,” balas Si Insan dengan senyuman.

Pegi lok mak (Pergi dulu, mak).”

Bait-bait (baik-baik).”

Pedal minyak terasa ditekan dengan berat, hati juga demikian. “Udah jumpa Ngah tek (Sudah jumpa Ngah)?” tanya Si Ayah. Kereta Kancil sarat muatan meluncur ke hadapan.

“Dah.”

“Ya Allah, ya Tuhan. Peliharalah hamba-hamba-Mu ini. Selamatkanlah perjalanan mereka pergi dan pulang. Engkau redhakanlah perjalanan ini, pemergian ini. Tiada daya dan kuasa kami melainkan dengan izin dan rahmat-Mu.”

Kita singgah Bintulu lok. Kita solat Jemat sia. Kakya kita singgah bermalam di Sibu. Mun terus ke Kuching, malam baruk sampei (Kita singgah Bintulu dahulu. Kita solat Jumaat di sana. Selepas itu kita bermalam di Sibu. Kalau mahu terus ke Kuching, agaknya malam baru sampai).”

Aok. Paling-paling pun 12 ke 13 jam (Ya, sekurang-kurangnya 12 ataupun 13 jam).”

Perjalanan dimulakan. Si Insan masih punya kekuatan. Perjalanan diisi dengan perbualan pelbagai topik. Perjalanan ke Bakam melalui Miri Bypass, kemudian Lapangan Terbang Miri, Luak dan akhirnya di simpang Maktab Perguruan Sarawak. Dari simpang itu, melalui jalan pesisir yang disambut dengan lambaian ombak Laut Cina Selatan. Laut membiru dan jernih bak kaca-kaca kristal. Tentunya terasa nikmat kedaimaian akan belaian bayu laut ini.

Perjalanan tidak terasa bosan. Sentiasa ada cerita daripada Si Ayah. Dan Si Insan sebenarnya memerhati sekeliling perjalanan. Sekolah Menengah Sains Miri, Sekolah Menengah Agama Miri, Kem PLKN Sungai Rait dan tidak lama kemudian tiba di kampung Bakam di pinggiran jalan. Banyak rumah besar; ataupun mahligai milik orang-orang kaya di kanan dan kiri jalan. Boleh dikatakan inilah kawasan elit, tempat orang-orang kaya. Ya, orang-orang kaya daripada bangsa lain.

Masok rumah ya. Rumah puteh ya rumah Pakcik Musa kitak (Masuk rumah yang itu. Rumah putih itu rumah Pakcik Musa awak).” Mereka sudah tiba di Kampung Bakam, kira-kira 10 kilometer dari Bandaraya Miri. Kampung Bakam didiami oleh orang Melanau, Melayu dan Kedayan. Masyarakat majmuk Islam dan bukan Islam hidup dalam suasana harmoni.

Siapa nya pak?” Si Insan bertanya lagi. Dia membelok Kancil ke rumah bersaiz sederhana yang ditunjuki ayahnya.

Kitak belom kenalnya. Kaktok kita berjalan tok kitak kenalnya lagik (Awak belum kenal dia. Nanti sepanjang perjalanan, awak akan kenal lagi).”

Seorang lelaki separa umur keluar dari rumahnya. Badannya sederhana tinggi, agak kurus. Raut wajahnya menampakkan bahawa ia seorang yang garang. Ia menyapa Si Ayah, “Toklah Azrul tek?” sambil bersalaman dengan Si Insan.

Aok. Ya lah nya, nya praktikal di Kuching kelak, duak bulan lebih nak, Rol (Ya. Nanti dia praktikal di Kuching, dua bulan lebih, bukan, Azrul)?”

“Aok.”

Ada barangkah yang kau mbak (Ada barang yang dibawa)?”

Aih, ada. Begku sik gilak. Tapi ada sigek kotak maokku angkut. Kaktok aku ngambik (Ada. Beg saya tidaklah besar sangat. Tapi ada satu kotak yang mahu dibawa. Nanti saya ambil).”

Pintu bonet dibuka. “Muatkah ndak tok pak (Adakah muat bonet ini)?”

Padat ajak.

Apa ya pakcik?”

“Cencaluk.”

Pakei apa kitak, merik urang ka (Untuk apa, mahu beri kepada orang)?”

Sekda eh. Pakei berjual. Berdagang kamek eh (Tak adalah. Untuk dijual. Saya nak berdagang di sana).”

Sempat juak kitak.

Ada belacan Bekenu juak (Ada belacan Bekenu juga).”

Ya lah dicarik urang (Itulah yang dicari-cari orang).”

Terasa keamanan tika berada di rumah Pakcik Musa. “Rol, ya jeti rumah tok. Belakang ya sungei. Sebelah nun pantei Bakam. Sinun muara sungei tok (Azrul, itu jeti rumah ini. Belakang ini ada sebatang sungai. Sebelah sana pantai Bakam. Di sana pula adalah muara sungai ini).” Bayu laut berpuput, menambah rasa damai. Alangkah indah, dapat berada di sini selama-lamanya.

Pakcik Musa sibuk berulang alik menguruskan keperluannya sebelum bertolak. “Rol, sidak tok tiap ari makan kedak makan hotel (Azrul, orang kampung ini setiap hari makan seperti makan di hotel).”

“Apa?”

Sidak tok nelayan, salu ke laut. Tanggar ajak oleh sidak. Nang beroleh ikan jenis makan hotel. Kalah urang kaya (Mereka ini nelayan, mereka selalu ke laut. Lihat sahaja mereka. Mereka memperoleh ikan seperti makanan di hotel. Mengalahkan orang kaya).”

Kadang-kadang, ada urang kaya reta, hatinya miskin. Tapi ada orang siklah berapa ne idupnya, tapi hatinya kaya (Kadang-kadang, ada orang kaya harta, tetapi hatinya miskin. Tapi ada orang, sederhana hidupnya, tetapi hatinya kaya),” jawab Si Insan sambil tangannya di dalam poket.

“Biar benar nya ngembak cencaluk ya pakei berjual. Banyak ya. Kedak saudagar ajak (Saya macam tidak percaya dia bawa cencaluk itu untuk dijual. Macam saudagar).”

Si Ayah ketawa kecil, “Sedaranya rami di Kuching. Lagikpun rami urang dikenalnya. Sekejap jak abis (Saudaranya ramai di Kuching. Lagipun, dia ramai kenalan. Tentu sekejap sahaja habis).”

Pakcik Musa sudah bersedia. Dia menghampiri Si Insan dan ayahnya. “Khairul, mun kitak balit kelak, singgah sitok. Makan sitok bah. Tanyak jak, kitak mok makan apa (Khairul, kalau awak balik nanti, singgah sini, makan-makan. Tanya sahaja, awak mahu makan apa).”

Si Ayah ketawa kecil, “Ya aku madahnya tek, torang tok, ari-ari makan hotel (Itulah saya beritahu tadi, kamu di sini setiap hari makan makanan hotel).”

Azrul, bukan Khairul. Insya-Allah, boleh jak,” jawab Si Insan sambil melemparkan senyuman.

Bah, bertolak kita. Kita ke Bintulu lok. Kita pakei bypass, singgah di Niah lok (Ayuh, mari bertolak. Kita di Bintulu dahulu. Kita lalu bypass, kemudian singgah di Niah).”

“Pak...” Si Insan menyerahkan kunci kepada ayahnya.

Lebih kurang pukul sembilan pagi. Ketiga-tiga insan menaiki Kancil meluncur laju. Sejak awal perjalanan, kedua-duanya rancak berbual. Mula-mula, tentang joran. Kemudian, kemudian, kemudian... seolah tidak ada penghujungnya.


Perjalan masih jauh. Si Insan duduk belakang. Ia memerhatikan perjalanan. Bypass Bakam-Bekenu tidak ada apa sangat yang menarik. Jalan yang lurus, dan kiri dan kanan adalah tanah tanah kosong yang terbiar. Di sebelah kanan pula, terkadang dapat melihat panorama indah Laut Cina Selatan – luas membiru.

Si Insan lama-kelamaan kebosanan. Diambilnya buku, dibeleknya. Gegaran kereta agak kencang, sukar baginya untuk fokus membaca. Mata semakin kantok. Bayangan semakin kabur. Perbualan rancak diselang seli dengan gelak ketawa semakin suram kedengaran di gegendang telinganya.

Tiga pengembara meluncur ke destinasi yang sama. Perjalanan yang cukup jauh. Umpama dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke Johor Bahru. Seorang Si Insan ditemani ayahnya dan dipandu oleh sedarah daging yang dikenalnya; Sang Saudagar Cencaluk, Pakcik Musa.


Ya Allah, selamatkanlah perjalanan tok... ” fikirannya berada di dimensi yang lain...

Berjasa Kepada Masyarakat

Insya-Allah akan datang, Kembara Tanah Air (3): Pilu di Simpang Niah

Sunday, October 19, 2008

Inspirasi Galaksi Muhsinin


11 Zulhijjah 1424H
3 Februari 2004
Bilik 214, Abu Bakar College, PMUIAM


“Toklah kali pertama kita beraya aji di perantauan (Inilah kali pertama kita berhari raya Idul Adha di perantauan),” kata Si Insan kepada rakannya.

“Aok eh, bena ya. Nang rasa lain ajak (Benar, memang lain rasanya),” jawab rakan Si Insan, Addin namanya.

“Tok baruk sitok, Din. Belom lagik kau kelak di Jepon (Ini baru di sini (Semenanjung), Din. Belum lagi di Jepun).”

“Azrul, ko main game apa tek? Sik pernah ku nangga game ya (Azrul, awak main game apa tadi? Saya tidak pernah lihat).”

“Oh, Warcraft III: Reign of Chaos, Real Strategy Game. Ya game terbaik 2003. Aku mok main dolok, tapi komputer di rumah aku sik power(Oh, Warcraft III: Reign of Chaos, Real Strategy Game. Itu game terbaik 2003. Saya mahu main dahulu, tapi komputer di rumah saya tidak berkuasa tinggi).”

Katanya lagi, “Dah kita beraya di sitok, mok polah apa nak? Orang lain beraya di rumah sidak,” kedua-dua sahabat ketawa.

Kata Addin, “Aku merati sebenarnya ko main tek (Saya memerhatikan awak bermain tadi).”

“Merati?”

“Aok. Giney o, mun dapat dipolah game kedak ya (Ya. Bagaimana ya, kalau game seperti itu dapat dicipta)?”

“Mm... bena juak. Ya memang kepakaran ko juak nak? Kau kan belajar molah benda tok kelak (Benar juga. Bukankah itu kepakaran awak nanti? Awak akan belajar mereka (grafik) seperti ini, bukan)?”

“Insya-Allah,” angguk Addin.

“Giney, sebuah game, sama kedak Warcraft juak. Kita polah negara. Tapi tok lain. Kita bina sebuah daulah. Kita sik makei nama ‘daulah’, tapi nama yang lain (Bagaimana, sebuah game, lebih kurang seperti Warcraft. Kita bina negara. Tetapi ini lain. Kita bina sebuah daulah, tanpa menggunakan kata ‘daulah’).”

“Best juak ya.”

“Mun kedak tok, mungkin ada sigek daulah, di planet lain. Sidak orang Islam tok ada banyak mission. Lekak sidaknya menghadapi banyak tentangan daripada musuh, ahernya sidak menang (Kalau seperti ini, mungkin ada sebuah daulah, tapi di planet lain. Mereka orang Islam ada banyak misi. Setelah selesai menempuhi misi mereka menghadapi musuh, akhirnya mereka menang).”

Si Insan terlopong, “Wah...”

Sambung Addin, “Aok, penutupnya ialah, Islam ya menang. Dan... ‘daulah’ tok tek, sidaknya dah menang, apa kata, sidaknya akan berkata (Ya, penutupnya ialah, Islam akan menang. Dan... pemilik ‘daulah’ ini berkata), ‘Saudara kita di Palestine perlukan kita, ayuh mari kita tolong!’”

“Munlah terjadi kedak ya, alangkah bestnya. Kedak Red Alert, kedak Starcraft, kedak Warcraft. Tapi semuanya menjurus kepada mencintai agama (Alangkah bagusnya jikalau game ini benar-benar jadi kenyataan. Seperti Red Alert, seperti Starcraft, seperti Warcraft. Semuanya menjurus kepada mencintai agama).”

“Giney Azrul? Kau molah cerita, aku molah gamenya (Macam mana, Azrul? Awak buat cerita, saya buat gamenya).”

Si Insan mengangguk. Idea hebat itu bermain di kepalanya. Bertahun-tahun lamanya ia cuba memikirkan jalan, tapi buntu. Mungkin akan tercapai impian ini kelak.
Syukur kepada Tuhan, jari-jemarinya menari menggerakkan pena. Tajuk itu akhirnya terpalit pada lembaran bersejarah: Galaksi Mukhsin. Tarikh hari itu ialah 18 Januari 2007. Akhirnya, nama itu bertukar kepada Galaksi Muhsinin, inspirasi daripada Planet Ihsan H-2, Hadith ‘Ihsan’, hadith kedua daripada Matan Arbain (Hadith 40) Imam Nawawi yang masyhur. Kuharap kepada Tuhan, agar impian ini menjadi kenyataan... amiin.

NOTA: Sahabatku Nuraddin Ibrahim, masih belajar di Negara Matahari Terbit.

Friday, October 17, 2008

"Ah, roti canaiku sudah siap!"

Kafetaria Mahallah Siddiq
Jam 0750.
Mei 2006

Bertenggek ia di atas kerusi aluminium. Badannya kecil, bulunya coklat. Paruhnya hitam. Ia lincah melompat ke sana ke mari. Kadangkala ia mengembang dan mengatup sayapnya melayang berhampiranku. “passeur montanus,” itu nama saintifiknya. Ataupun, nama Melayunya “pipit.” Datang lagi seekor dan seekor. Tiga ekor semuanya…. Aku terpesona sejenak melihatnya. Saat itulah terlintas di hatiku…

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara)selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu.”
(al-Mulk, 67:19)

Betapa agungnya Tuhan, kerdilnya manusia. Burung... teknologi Tuhan, sejak zaman-berzaman dikagumi manusia. Seringkali mereka berfikir, bagaimanakah hendak terbang bebas di udara bak helang perkasa? Lalu diperhatilah, dikajilah, dibuatlah sesuatu yang menyerupai burung…ada yang mencuba, bahkan ada yang menemui ajalnya membuat eksperimen…

Sehingga 1904, manusia mencatat sejarah “gemilang.” Wright bersaudara telah mereka sebuah pesawat yang mampu terbang setinggi 4 kaki selama 12 saat. Percubaan julung-julung kali yang menganjakkan manusia meneroka angkasa raya.

Burung… menunjukkan kesempurnaan teknologi Tuhan. Allah menyuruh manusia melihat kepadanya. Inilah yang mengilhamkan manusia mencipta kapal terbang. Kalau hendak terbang, mestilah mengikut sunnah burung; rekaan yang menepati sifat burung agar terbang dengan lancar.

Bulu dan tulangnya yang ringan memudahkan ia untuk terbang tinggi. Oleh yang demikian, kepak dan struktur pesawat hendaklah dibuat dengan bahan atau logam yang ringan. Bentuk tubuhnyanya yang aeliron mengurangkan rintangan udara. Begitu juga pesawat, muncung di depannya dan bentuk badannya membenarkan aliran udara melalui sederas mungkin dan pesawat terbang laju.

Begitulah, manusia hanya mampu mengambil petunjuk di sekelilingnya. Teknologi Tuhan tiada bandingnya dengan teknologi manusia. Burung punyai mekanisma semulajadi untuk sembuh apabila ia luka, sedangkan pesawat boleh sahaja disambar api apabila ada masalah teknikal pada enjin atau tangkinya. Sedangkan burung boleh mendarat dengan sempurna tanpa kesulitan, sedangkan manusia yang berakal boleh tersasar dan terhempas di landasan. Sedangkan burung mudah sahaja mencari jalan pulang, walau beribu baru mengembara, tapi manusia boleh tersesat jika terdapat sikit masalah kompasnya....

Tidak ada yang menahannya (di udara)selain Yang Maha Pemurah.(al-Mulk, 67:19)

Siapakah kita ini wahai manusia? Mengapa kita selalu menentang kehendak Tuhan? Sedangkan makhluk kecil ini tunduk patuh akan sunnah yang Allah kurniakan kepadanya? Ia tahu bersyukur dan ia tidak pernah ingkar walau sekalipun, sedangkan engkau wahai manusia, punyai akal untuk berfikir?

“Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang ada di langit dan di bumi dan (juga) burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (an-Nuur, 24:41)

Benarlah…

“Allah pencipta langit dan bumi, dan apabila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: “Jadilah.” Lalu jadilah ia.”(al-Baqarah, 2:117)

Oh Tuhan! Akulah makhluk yang selalu menzalimi diri! Jadikanlah aku hamba-Mu yang bersyukur….

“Tang! Tang!” Terhenti lamunanku. Pesananku sudah siap agaknya. Tukang masak memanggilku dengan ketukan pisaunya pada “plate” memasak.

“Ah, roti canaiku sudah siap!” ujarku dalam diam.
Bersarapanlah aku berseorangan di keheningan pagi…

Monday, October 6, 2008

[SI] Novel GM: Empayar Sibernatik Cyborg


Insya-Allah, dari semsasa ke semasa, Data Galaksi Muhsinin (GM) akan dikemaskini. Klik di sini untuk ke blog saifaiislami.

Saturday, October 4, 2008

Sekali Lagi...


Setiap kali aku terpanggil untuk kembali ke tanah seberang,
Hatiku enggan terbang sama,
Kerana kutahu air mata umatku mengalir deras,
Ia menangis telaga imannya gersang,
Ia meronta dahagakan sejuknya air taqwa,
Inginku seka wajahnya,agar dukanya tiada berpanjangan,
Inginku tuang air iman, agar dadanya bahagia,
Inginku hidang air fikir dan zikir, agar bersih noda dan dosa,
Agar hati mereka tergilap kepada-Mu!

Bersabarlah, hanya tinggal setahun lagi!

Berjasa Kepada Masyarakat

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...