BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, March 15, 2012

Kuliah Dhuha: Aqidatul Awam



Surau al-Jariyah Kpg. Pujut 9, Miri berbesar hati menjemput anda menghadiri Kuliah Dhuha yang akan diadakan pada:

Tarikh: Bermula 17 Mac 2012, Sabtu
Tempat: Surau al-Jariyah, Kpg. Pujut 9, Miri
Masa: 9.00 – 10.30 pagi
Kitab: Manzumah Aqidatul Awam
Penceramah:Ustaz Amin Daud (bertugas di PETRONAS Miri)


Ustaz Amin Daud berkongsi ilmu beliau melalui blog al-amindaud.blogspot.com/

Kitab Manzumah Aqidatul Awam telah dikarang oleh seorang ulama pendiddik dan mufti di Mekah, iaitu Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Sayyid Ramadhan Mansyur bin Sayyid Muhammad Al-Marzuqi Al-Hasani. Beliau lahir pada 1205H dan wafat pada sekitar 1261H.

Kitab ini mengandungi 57 bait-bait yang mengandungi pokok-pokok keyakinan ajaran Islam yang menjadi pegangan kaum Muslimin. Dijelaskan dalamnya akan ilmu tauhid dan asas-asasnya menurut kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Terkandung dalam kitab ini tentang ilmu Keesaan Allah, sifat-sifat-Nya yang lebih dikenali dalam masyarakat melalui pelajaran Tauhid Sifat 20.

Sistem Sifat 20 merupakan metodologi yang telah dirumuskan oleh Imam Abu Hassan al-Asy’ari (w. 323H) dan Imam Mansur Maturidi (w. 333) yang menyepadukan sumber wahyu dan akal. Ilmu susunan kedua-dua ulama muktabar ini menjadi benteng kemurnian tauhid daripada diganggu gugat oleh kemelut fahaman dan falsafah mengancam akidah pada zaman tersebut. Bahkan, ancaman tersebut masih mengasak sehingga kini dengan faham yang sama, tetapi dalam wajah yang berlainan. Telah terbukti kerangka Sifat 20 ini berdaya tahan melindungi akidah umat Islam daripada fahaman asing.

Terangkum dalam kitab Aqidatul Awam ialah 50 ‘aqoid (simpulan-simpulan keyakinan) yang terdiri daripada 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat mustahil bagi Allah, 1 sifat jaiz (harus) bagi Allah, serta 4 sifat wajib bagi Para Rasul, 4 sifat mustahil bagi para Rasul dan 1 sifat jaiz (harus) bagi para Rasul. Kitab ini merumuskan simpulan-simpulan keyakinan asas dalam Islam dan amat sesuai untuk kefahaman masyarakat umum.

Sesungguhnya memahami dan menghayati ilmu Tauhid adalah salah satu daripada cabang ilmu fardhu ‘ain, iaitu ilmu yang wajib diketahui oleh setiap Muslim. Telah sampai daripada saya daripada sahabat saya, sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (graduan Universiti Malaya, kini menuntut di Ribat Huraidhah, Hadhramaut, Yaman) bahawa ilmu fardhu ‘ain ini terkandung tiga ilmu dalamnya, iaitu ilmu tauhid (akidah), ilmu syariat (ibadah) dan ilmu tasawuf (akhlak). Ketiga-tiga ini adalah wajib dipelajari dan tidak boleh ditinggalkan salah satunya.

Amat penting ilmu tauhid kerana ilmu tersebut memperkenalkan manusia kepada Tuhannya, agar ia kenal dan beribadah dengan-Nya dengan lurus. Jika pincang ilmu akidah bercampur-campur dengan faham yang bertentangan dengan hakikat keTuhanan, maka kita dalam bahaya segala amal dan akhlak kita akan tertolak. Kerana menurut beliau, ‘permulaan yang salah akan diakhiri dengan pengakhiran yang salah.’ Alangkah molek kita memahami ilmu akidah tersebut dengan bermula dengan permulaan yang benar, agar hidup kita ini terpandu dan diredha Allah.

Gejala tidak sihat yang berlaku di mana-mana dalam dunia Islam adalah berpokok pangkal kepada kurangnya kefahaman tentang Islam. Dalam arus zaman kini yang bercelaru dengan pelbagai fahaman yang membahayakan akidah, maka jalan menuntut ilmu adalah jalan penyelesaiannya. Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita hadiri majlis-majlis ilmu. Yang terlebih afdal (baik) adalah dengan mempelajarinya dengan bersanad, iaitu ilmu berantaian daripada seorang guru kepada seorang guru sehinggalah kepada sumbernya, iaitu Rasulullah s.a.w.

Pihak Surau al-Jariyah sekali lagi menjemput anda untuk memeriahkan majlis ilmu, yang disebutkan oleh Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w sebagai taman-taman syurga. Pihak kami ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Ustaz Amin Daud atas kesudian berkongsi ilmu beliau.

Berikut adalah peta untuk sampai ke destinasi:

View Surau al-Jariyah, Kpg Pujut 9, Miri in a larger map

Semoga kita dikurniai keteguhan dan istiqamah (konsisten) dalam mendidik diri, keluarga dan masyarakat dengan kefahaman Islam yang luhur, agar dunia ini dipenuhi dengan orang-orang yang soleh. Amiin...


NOTA:
Kitab Manzumah Aqidatul Awam akan disediakan ketika majlis. Anda boleh juga memuat turun di blog Dalail Khairat di pautan ini.

NOTA: Kuliah Dhuha ini insya-Allah akan diadakan pada setiap hujung minggu. Untuk perhatian, Ustaz Amin bertugas selang hari Sabtu. Oleh sebab itu, kuliah ini akan diadakan selang-seli Sabtu dan Ahad berganti minggu. Insya-Allah jadual akan disediakan.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...