BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan UIA: Melintas Sebatang Pokok

Lazim dahulu ketika Ramadhan ketika zaman menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), petang-petang lagi sudah bepergian keluar dari kampus. Tujuannya bukan untuk membeli juadah di bazar-bazar yang ada. Akan tetapi mencari tempat-tempat yang ada menyediakan santapan berbuka puasa. Dompet tidak terusik lagi! Biasalah. Zaman pelajar semuanya mahu jimat.

Antara lokasi yang menjadi kenangan sehingga hari ini adalah sebuah surau di Taman Melewar. Terletak dalam sedikit di kawasan Sri Gombak, untuk tiba di surau tersebut akan melintasi beberapa surau. Surau-surau yang lain itu hanya dilintas sahaja, bukan kerana tiada hidangan berbuka puasa, akan tetapi surau yang satu ini yang tertambat di hati.


Istimewa surau tersebut adalah cara hidangannya yang mirip dengan konsep ‘seperah’ di tanahair Sarawak. Mungkin surau lain menyediakan makanan tapau (sedia dibungkus), tetapi surau ini berhidang dan terpulang kepada kita untuk mengambil seberapa banyak yang kita mahu. Ramadhan ini adalah untuk mengurangkan makanan, oleh itu jika kita ambil sedikit tiada pembaziran berlaku.

Apa yang terlebih istimewa adalah secawan tehnya yang amat sedap. Itulah yang menawan hati kami untuk singgah di sini. Suasana di sana pula agak sibuk dengan pakcik-pakcik yang kamboh (meriah dalam kesibukan) bergotong-royong mengemas apabila selesai sungkai (berbuka puasa).

Usai solat Maghrib, ujar saya kepada pemandu motorsikal, “Kita solat Isyak dan Tarawih di sini. Selesa betul.”

Jawab beliau, “Di UIA lagi seronok. Aku suka bacaan al-Quran di sana.” Ya, satu sudut benar kata beliau. Di UIA ada ramai huffaz (penghafal al-Quran) yang datang dari pelbagai negara umat Islam. Bagi satu rakaat di Masjid Sultan Haji Amad Shah (SHAHS), imam seringkali membaca satu muka surat atau lebih lembarang al-Quran. Mana tidaknya, Tarawih 8 rakat sahaja sudah hampir mencecah satu jam.

Maka kami pun berangkat balik ke UIA, memakan masa dalam 10 minit. Hari pun sudah gelap. Simpang demi simpang yang kami lalui, ada satu lokasi di sebelah kiri jalan yang seringkali menjadi perhatian. Iaitu sebidang tanah kecil yang ada di sana sepohon pokok besar. Di bawah pokok itu terdapat sebuah kuil kecil. Dan ada juga bertebaran kuil-kuil kecil di sekitar lapangan itu.

Si pemandu motorsikal yang selalu juga memberi tazkirah dalam perjalanan berkata, “Kita lihat, tiada agama lain yang seindah Islam. Buktinya adalah bulan Ramadhan. Seakan satu keajaiban, selama satu bulan seluruh umat Islam di seluruh dunia berpuasa serentak pada siangnya.”

Enjin motorsikal berderau dan angin laju menderu. Telinga dipasang betul-betul kerana selalunya beliau ada pengisian yang menarik. Sambung beliau lagi, “Lihatlah pada waktu malam Ramadhan, masjid-masjid dan surau-surau jadi penuh. Allah gerakkan hati-hati umat Islam untuk pergi beribadah pada malam hari selama sebulan di seluruh dunia. Itulah fitrah manusia yang Allah tunjukkan untuk kita.”

Kami pun sudah hampir di selekoh UIA. Kata beliau lagi, “Ada kita lihat agama (ajaran) lain yang mampu berbuat sedemikian?”

Desis di dalam hati, “Ya, hampir setiap hari lalu di lapangan kuil-kuil ini, suram sahaja walaupun ada penganutnya berziarah.” Pernah dahulu melihat perkara yang sama pada waktu Ramadhan, melintasi kuil besar di kawasan Ampang. Juga tidak dapat menandingi mana-mana rumah Allah walau yang bersais kecil. Terkenang makna hadith Nabi Muhammad , Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

 Ayuh. Kita hargai keberadaan Ramadhan di samping kita!

“Siapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh iman dan ihtisab, nescaya diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat al-Bukhori, Muslim dan lain-lain)[1]




[1] Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbuu al-Banjari al-Makki (pent.), (2007). Ringkasan nasihat agama & wasiat iman Habib Abdullah Alawi al-Haddad. Halaqah Resources: Bogor, Indonesia.

Wednesday, June 17, 2015

Ramadhan: Bulan Super-Jimat


Ramadhan memang merupakan bulan yang berkat. Ada orang menderma, maka ada juga orang yang mengambil manfaat daripada derma. Sebahagian daripada derma adalah untuk orang yang berbuka. Terutama para pelajar. Terkenang sewaktu zaman mahasiswa dahulu, Ramadhan adalah bulan berjimat. Bukan setakat jimat. Tetapi super-jimat. Semoga Allah mengganjari orang-orang yang bersedekah walau dengan seteguk air ataupun setengah kurma mendapat ganjaran yang terbaik daripada-Nya.

Pada suatu hari Ramadhan, hari terakhir sebelum berangkat balik ke Miri untuk Hari Raya Idulfitri, maka berdirilah diri ini di hadapan mesin pengeluar wang automatic (ATM). Tiba-tiba terlintas di fikiran:
“Apa nombor ATM aku?”

Beberapa minit diri tercegat di hadapan mesin itu. Mujurlah pada waktu petang tiada orang yang beratur di belakang. Timbul rasa cemas, jika lupa nombor ini, tiada belanja pula untuk tambang ke KLIA! Alhamdulillah dapat juga diingat dalam minit-minit berikutnya.

Mana tidaknya. Sarapan dan makan tengahari sudah tiada. Makan sungkei (berbuka puasa) pula percuma di surau ataupun masjid. Sahur pula adalah kurma sahaja yang diambil sewaktu moreh di masjid UIA. Begitulah kitaran hidup buat seketika, sehinggakan kad ATM itu seakan-akan berkulat kerana tiada transaksi keluar daripada akaun!

Marilah kita berlumba-lumba mengerjakan kebajikan-kebajikan dalam Ramadhan kali ini. Janganlah kita jadikan diri sebagai orang yang rugi!

“Sesungguhnya malaikat Jibril a.s telah muncul kepadaku dan berkata, “Binasalah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.” (Hadith Riwayat Hakim)[1]


NOTA: Menulis adalah cara yang berkesan untuk menyegarkan kantuk mata selepas waktu Subuh! *wink*wink*



[1] Boleh rujuk huraian hadith ini dalam kitab Fadhail Amal. Al-Allamah al-Muhadith Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi, (2013). Fadhilat Ramadhan, m/s 22. Era Visi Sdn. Bhd: Cheras

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...