BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, December 16, 2008

Bisikan Tanjung Lobang (1)


Angin lembut berderu menghembus wajah seorang insan. Di hadapannya Laut Cina Selatan yang luas terbentang. Ombak menghempas tepian pantai. Mujur ia sedang duduk di atas batu yang tinggi sedikit. Tempias air masin tidak mengena dirinya. Suasana yang bening itu memukaunya. Gabungan harmoni gema alam menggetarkan kulitnya merasai benar keajaiban ciptaan Tuhan di depan mata.

Ia mencungkil cengkerang kerdil di celah-celah batu. Diamatinya sungguh-sungguh. Keluhnya, “Maha Suci Engkau, ya Allah. Semua ini diciptakan bersebab. Tidak ada satu pun yang Engkau ciptakan ini sia-sia. Wahai Tuhan, hindarilah aku dari azab api neraka.”

Matahari kian naik di ufuk barat. Bayang-bayang memanjang ke arah laut. Ombak berdesir menghempas batuan menghasilkan buih-buih yang halus. Arus yang datang maju kemudian melurut mundur ke belakang. Kemudian berulang-ulang lagi.

“Ah, seolah-olah tidak ada yang menyebabkan proses ini berhenti. Ada tenaga tersembunyi. Siapakah yang mengaturnya?”

Jawabnya sendiri, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya lalu tersenyum, “Milik-Nya segala apa yang di langit dan bumi.”

Batu raksasa di sebelah kanan menjadi perhatiannya. Daun pohonan yang tumbuh atasnya melambai-lambai, menggamit hatinya memanggil sesuatu. Taris-taris pada dinding batu agung itu seakan menyimpan seribu satu rahsia. Itulah satu-satunya batu besar bertebing tinggi wujud secara semulajadi yang mengunjur ke laut di Bandaraya Miri. Batu ini dinamakan tanjung. Ya, tanjung. Tanjung Lobang namanya.

“Kenapa aku rasa lain sahaja di tempat ini?” desisnya. “Sudah kerap kali aku datang ke sini. Tetapi mengapa hari ini aneh sekali?” Lantas ia bergerak dari satu batu ke satu batu yang lain. Hatinya tertambat pada tanjung itu. Sekali sekala ia hampir tergelincir kerana batuan licin diselaputi lumut. Namun keadaan itu menjadikannya lebih berhati-hati.

Kata hatinya, “Mungkinkah lagenda di sini benar? Ataupun benar-benar sejarah?” kata hatinya. “Kebetulan binokular ada dibawa. Boleh tinjau-tinjau.”

Sekarang ia berada di atas sebuah batu. Tanjung Lobang betul-betul hampir kepadanya. Hanya air laut yang memisahkannya. “Mungkin di sebelah sana. Orang kata masih ada.”

Ia mengimbas di hujung tebing tanjung. Sepohon pokok besar tumbuh senget di cerunnya. Kemudian perhatiannya tertumpu di sudut hujung tanjung. “Ya Allah! Apakah yang aku lihat?”

Desisnya, “Ah, mungkin itu adalah perahu orang, terdampar di sini.”

Ia mencekak pinggangnyam sambil berfikir, “Seperti perahu, tapi...”

“Tidakkan banyak sisa di sana? Yang aku lihat lebih daripada satu sisa perahu. Semuanya dah berkarat. Kenapa perahu itu besi? Kenapa banyak jumlahnya? Adakah lagenda itu benar, ataupun fakta sejarah?”

“Krekkkk....”

“Ya Allah,” kepalanya tertoleh. Rupanya bunyi kayu ditiup angin.

“Debusss!” kali ini batu terjatuh dari atas tebing. Jantungnya bergoncang cemas. "Batu rupanya. Seolah-olah tempat ini membisikkan sesuatu. Kepada-Mu aku berlindung ya Allah!"

Hatinya gundah berkata-kata, “Hari ini... 16 Disember!” Berderau darahnya. Sejuk. Meremang bulu roma mengingatkan, “Adakah lagenda, ataupun fakta sejarah?” Ia kembali meneropong. Jiwanya haus mahukan jawapan.

Tanjung Lobang: lagenda ataupun fakta sejarah? Bersambung.... Bisikan Tanjung Lobang (2)

NOTA:
binokular = teropong

1 comment:

The lady ♥ said...

salam.
cepat2 kit smbg cita tok.
curious~

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...