BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, March 25, 2009

Perbalahan Di Waktu Subuh

Sebuah Pemerhatian Peribadi


12 Rabiul Awal 1430H yang mulia...
Musolla Siddiq


Hari itu hari yang tenang lagi permai. Kebeningan subuh membugar rasa kesyukuran kepada Tuhan, lebih-lebih lagi pada permulaan hari. Mungkin hari ini bertambah lagi mulia, lantaran kelahiran seorang yang mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Selesai sahaja imam memberi salam, tidak lama setelah itu bangkit seorang hamba Allah, orang Nigeria. Sangkaanku, pasti akan ada pengisian pada waktu subuh ini. Desisku, “Mungkin orang ini ingin berkongsi tentang Nabi sallallahu alaihiwasallam.”

Satu budaya di Musolla Siddiq ialah, masing-masing boleh bangun dan berkongsi menyatakan suara mereka. Kadang-kadang memberi peringatan atau teguran. Kebiasaannya, perkara ini dipelopori oleh mahasiswa-mahasiswa master. Lazimnya, mereka ini terdiri daripada mahasiswa antarabangsa, terutama Afrika.

Orang Nigeria ini pernahku sekali dengar pengisiannya. Pembacaanku, ia seorang yang berterus terang, analisanya kritikal lagi mengena. Kelebihan ada padanya adalah ia seorang yang berani dan yakin bersuara dan suaranya yang nyaring.

Pengisian diberi dengan bersemangat sekali dalam masa kira-kira 20 minit. Pada permulaan ucapannya, ia telah menyatakan hasratnya, masa cuti umum Maulidur Rasul sekurang-kurangnya terisi dengan mengingati Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Penyampai berkali-kali menyatakan, kita seharusnya menjadikan baginda sebagai contoh tauladan, terutama dari segi aspek amanah baginda. Beliau tidak ingin bercakap lebih lanjut lagi, kerana niatnya mahu berkongsi lagi tentang baginda pada waktu solat yang lain.

Selesai saudara tersebut berucap, imam lantas bangkit. Pada permulaannya, ucapannya agak kurang jelas maksudnya. Tapi dalam benak hatiku berkata, “Mungkinkah ia berhujah ‘kerana itu’”?

Penyampaian imam kuamati dengan sabar. Mungkin juga makmum lain demikian juga. Aku sudah mengagak dan menantikan kesimpulan daripada ucapannya. Kerana ada masanya, beliau menggunakan dalil yang ‘disahihkan’ oleh ‘al-Bani.’

Setelah beberapa waktu, imam telah berada di hujung ucapannya. Kesimpulannya ialah, menyambut hari ‘kelahiran’ Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah bidaah dan terlarang.

Makmum Nigeria yang berucap awal tadi bangkit lantas bersuara dengan lantang, sambil menunjukkan jam dinding, “Lihat, berapa lama awak ambil masa untuk katakan yang ini sahaja?”

Mula terjadi perbalahan. Pengucap awal tadi terkenal dengan teguh pendirian dan seorang yang bersuara lantang.

Katanya dengan nada marah, “Mengapa awak mahu ungkitkan perkara ini?”

Rakan imam seraya membantunya, dan berhujah serta menenangkannya. “Sekalipun orang kebanyakan menyambut Maulid pada hari ini, dan saya tidak menyambut seperti mereka, apa salahnya masa cuti yang ada kita gunakan untuk mengingati Nabi!?”

Imam tadi tetap bertegas dan mengeluarkan dalil yang lain. Rakannya menegaskan bahawa menyambut hari keputeraan baginda adalah terlarang. Melihat keadaan yang semakin runcing, aku keluar menggeleng-gelengkan kepala. Hendak menyahut, rasanya tidak layak berhujah. Mereka adalah mahasiswa aliran agama. Tentunya hujahku dengan senang dipatahkan.

Pertengkaran berlaku hingga menyebabkan keadaan menjadi tegang. Aku berasa malu kepada tetamuku, Amad yang baru sahaja tiba dari Melaka. Kami kembali ke bilik dan bersarapan di Kafetaria Siddiq. Kami mendapati bahawa, perbalahan itu tidak terhenti setakat itu sahaja. Tetapi telah berlarutan sehingga pukul 8.30 pagi (setelah lebih kurang sejam berlalu).

Demi ‘mempertahankan’ sunnah, berbalah pula jadinya....

Maulidur Rasul yang dijadikan cuti sehari dikatakan terlarang, lagi bidaah. Di Arab Saudi, menjadi satu kesalahan menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal. Bahkan, mengambil cuti pada hari tersebut juga dilarang. Pelik... ‘Minggu’ memperingati Muhamad bin Abdul Wahab di Arab Saudi, boleh pula ya??

Tuesday, March 24, 2009

Angsi Ditawan...


Program Ju Nekik Gunong! 2009 yang dianjurkan oleh PERKPISMA telah menawan puncak Gunung Angsi pada Januari 2009 yang lepas. Gunung ini setinggi 2,500 kaki dari aras laut dan mengambil masa 3 jam untuk sampai ke puncak. Kami bukan sekadar menawan puncaknya, tetapi telah menikmati pemandangan indah dicipta Tuhan... dan...

...menggapai awan!

Anda boleh lihat lebih banyak gambar lagi di blog saudara Hisyam di pautan ini.


NOTA: Lewat na sorang ya! (hehehehe)

Aku Menghitung Hari



Hati melonjak tiada terkira,
Menanti masa, menunggu tibanya,
Saat berada di tanah yang sama,
Taulan jauh di mata, bakal menjelma!


Pastinya 'kepulangan'ku akan menjelmakan kenangan-kenangan setahun yang lepas, namun baru ku rasa sekali kerlipan yang sudah!

Secebis kenangan indah tika berada di bumi bertuah...


April 2009:

Latihan Praktikal Industri, TM Berhad (April-Julai 2009)


Barnamij Taakhii Wa Talahum


Mei 2008

Peristiwa Penambang:


Kursus Asas Fasi Ideal (KAFI) 2008, Tabuan


Jom Cemerlang Rohani dan Akademik (St. Joseph Kuching)


KILAS 2008 (Pasir Panjang)


JUN 2008:

JOM CEMERLANG SPM, MRSM Kuching


SK Tembirat, Samarahan


Moga-moga Tuhan sampaikan hajatku... bertemu dengan orang-orang yang tidak pernah lelah jemu, siang dan malam, berusaha manusia mengajak kembali kepada Tuhan...

Berjasa Kepada Masyarakat

'Hantu Buku'!



Ayah telah berkata, "Kitak tok bukan lagik ulat buku(Awak tidak layak digelar ulat buku)."

Dahinya berkerut, seraya membalas, "Sik paham. Ulat buku?"

Jawab Si Ayah, "Kitak tok dah lebeh gilak daripada ulat buku. Arum bulak, kitak tok dah tahap antu buku! (Kamu sudah lebih daripada ulat buku. Pendek kata, awak ini hantu buku!)"

Mari kita teroka ilmu. Mari kita selami ilmu. Mari kita membaca. Membaca adalah kuncinya. Mari ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, 17 hingga 26 April 2009 ini di Pusat Dagangan Dunia, PWTC, KL. Tapi, janganlah anda menjadi "Hantu Buku." =)


NOTA: Tidak ada buku baru daripada saya untuk Pesta Buku ini (T.T)

Tuesday, March 3, 2009

Arkib Karyaku


Berikut merupakan kronologi penghasilan karya saya sejak tahun 1994 (berumur 9 tahun) sehingga kini, tahun 2009. Karya awal telah saya kongsikan dalam entri yang lepas. Sila klik sini untuk paparan:

Sejarahku Menulis (1): Rupa-rupanya 14 tahun yang lampau!
Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2

Bawah: Tumpasnya Inggeris di Tanah Melayu (1994, 9 tahun)





Atas dan bawah: Dunia Perang I (1994-1995)



Atas dan bawah: Dunia Perang II (1996, 11 tahun)



Ninja (1996, 11 tahun), pengaruh langsung daripada siri komik Mutiara Naga.

Pearl Harbour (1996, 11 tahun), pengaruh langsung daripada beberapa majalah berkenaan dengan kehebatan juruterbang Tentera Laut Imperial Jepun ketika Perang Dunia Kedua



Perang Vietnam (1996, 11 tahun), pengaruh langsung daripada perisian game simulasi pertama: Jane’s Combat Simulation: USNF ’97


Bawah: Red Alert (1998, 13 tahun); kemunculan perisian game Red Alert sekali lagi mengubah corak pemikiran. Elemen peperangan bukan setakat berkisar pesawat tempur sahaja. Red Alert merupakan komik terakhir. Tidak ada lagi komik setelah itu.



Latar komik Red Alert begitu dipengaruhi oleh ideologi dalam game Red Alert; iaitu konfrontasi Perang Dingin antara kuasa Berikat dan Kesatuan Soviet. Ketika itu belum ada konsep umah dan konsep daulah.






Tidak ada karya dihasilkan dalam tempoh sekolah menengah (13-17 tahun). Dalam tempoh ini, penulis lebih tertumpu kepada aktiviti di sekolah. Tambahan lagi, dalam tempoh ini, penulis merupakan seorang penggemar game (gamer). Setiap minggu saya bermain game, walaupun bawah seliaan ketat 2 jam seminggu oleh ibu. Walaupun tidak mencetuskan apa-apa karya, game telah memberikan impak yang besar dari segi menjana pengalaman, imaginasi dan idea. Hal ini berguna untuk 10 tahun berikutnya, iaitu Galaksi Muhsinin. Game yang dimainkan adalah: Red Alert (1998), Starcraft (1999), Red Alert 2(2000), Command and Conquer: Tiberium Sun (2001) dan lain-lain lagi.



Saya tidak bermain game dengan kosong; iaitu semata-mata berseronok-seronok. Tetapi game ialah 'makmal eksperimen' idea daripada pembacaan. Inilah medannya. Outputnya, begitu menyediakan acuan yang baik beberapa tahun mendatang. Betapa Tuhan Maha Merancang...

Bawah: Risalah Siri Sirah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam (2002, 17 tahun) untuk Persatuan Pelajar Islam Kolej (PPIK) pada tahun 2002. Karya ini merupakan langkah pertama penerapan unsur Islami dalam karya. Namun hanya sempat beberapa episod sahaja apabila memulakan persekolahan dalam Tingkatan 6 Rendah di Kolej pada 2003 (18 tahun).



Bawah: Antara penyumbang siri Risalah PERKEPISMA (2005-2007).



Bawah: Syuhadaa’ Awanan 1973 (2006, 21 tahun), difotostat dan dijilidkan. Dijual dalam harga RM4.00 ketika Muktamar Sanawi PKPIM ke-45. Novel pendek ini merupakan respon peribadi terhadap novel saifai Faisal Tehrani, [1511] KOMBAT. Tanpa latihan daripada menulis Risalah PERKEPISMA, novel ini mustahil dapat ditulis. Asalnya ingin menulis sebuah cerpen 5 muka surat. Tetapi 50 muka jadinya!



Ketika menulis novel ini, imaginasi game simulator (Jane's Combat Simulation USNF '97 dan Advanced Tactical Fighter, ATF Gold) yang dibeli ayah kira-kira 10 tahun yang lepas masih lagi segar. Tidak dinafikan, peranan simulator banyak membantu membina imaginasi menuver sengit MiG-21 EAF (Egyptian Air Force) dan F-4 IAF(Israel Air Force) dalam novel ini.



Sahabat PKPIM, Khairul Anuar Musa telah membeli novel yang berharga RM4.00 itu. Beliau memberikan motivasi agar meneruskan usaha menulis dan memperkenalkan saya kepada Puan Ainon. Manuskrip saya dihantar balik dan dinasihatkan untuk diperkemas. Walaupun merasa kecewa yang amat sangat kerana itulah sehabis baik usaha saya, saya secara konsisten mengikuti blog UNIKA.

Novel ini merupakan titik perubahan karya kepada dimensi baru: unsur perjuangan Islami, hasil langsung daripada pengalaman dan perkongsian ilmu bersama sahabat-sahabat PERKEPIS dan PKPIM.


Atas: Galaksi Muhsinin (Ramadhan 2008), sebuah karya yang menggabungkan sebahagian besar elemen yang telah dilalui sejak kecil lagi. Pada penghujung 2006, PTS mula menumpukan perhatian terhadap sastera jantan. Pengalaman game dan minat dalam sains ketenteraan telah menggerakkan hati saya untuk membina gagasan idea. Saya hadir ke kursus saifai pertama PTS. Dalam kursus itu, satu brainstorm idea telah dibuat. Dan sekali lagi, idea saya ditolak oleh kumpulan perbincangan saya.

Berbekalkan semangat sahabat saya Nur Addin Ibrahim yang belajar di negara Jepun, saya tekad untuk menghasilkan jalan cerita yang diilhamkan oleh beliau. Alhamdulillah, lahirlah draf Galaksi Muhsinin pada Januari 2007. Penulisan telah selesai November 2007 dan diterbitkan pada awal Ramadhan 2008 (September). Meskipun penerbitan tertunda, saya berasa lapang hati. Alhamdulillah, kemunculan novel sulung ini terbit begitu mengena dengan bulan Ramadhan. Apabila terkenang Galaksi Muhsinin, terkenanglah Ramadhan!


Insya-Allah... Perjuangan akan tetap diteruskan...

Insya-Allah mendatang...

Saga Galaksi Muhsinin; 9 siri keseluruhannya...


Novel Fiksyen Sejarah (Sastera Jantan)





Terima kasih wahai Tuhan...

Engkaulah yang menyusun semua ini dengan hikmahmu yang serba indah...
Melalui kasih sayang tercurah daripada ayah dan ibuku...

Segala yang baik daripada Allah. Segala yang kurang baik juga daripada-Nya, cuma disandarkan kepada kelemahan diri ini. Diri ini masih lagi merangkak-rangkak, serba kekurangan dan perlukan bimbingan yang lurus...

Berjasa Kepada Masyarakat

Wassalam

Monday, March 2, 2009

Adakah Aku Digenggam Rindu?


“Wahai Tuhan, adakah aku digenggam rindu?”

Tersebutlah satu kisah....

Kisah kerinduan seorang kekasih kepada seorang kekasih yang dicintainya...
Kisahnya ini adalah seorang yang dijanjikan syurga. Asalnya seorang hamba yang hina. Namun kasih sayang Ilahi mengatasi segala-galanya. Ia memiliki taqwa telah melonjakkannya tinggi ke hadrat Tuhan. Ketika ia hidup, ia telah dikhabarkan bahawa tapak kakinya kedengaran di syurga... Bilal bin Rabah.

Disebabkan kerinduan yang membakar hatinya, Bilal bin Rabah tidak sanggup kembali ke Madinah. Ia enggan berada di Madinah, kerana rindunya kepada seseorang menyebabkan ia menangis. Bagaimana ia tidak menangis, sedangkan dialah yang membangunkan kekasihnya pada setiap subuh? Bagaimanakah ia tidak menangis, sedangkan kekasihnya telah mendengar tapak kakinya di syurga?

Kerana tidak ada sudut kota Madinah yang tidak ada kenangan bersama kekasihnya. Kesemuanya membangkitkan kenangan lantas kerinduan yang amat dalam di lubuk hatinya.

Suatu hari, Abu Bakar meminta Bilal melaungkan azan seperti dahulu, ketika kekasih masih di samping mereka.

Bilal menjawab, “Bagaimanakah aku menjadi muazzin, sedangkan imamnya sudah tiada?”

Sehingga suatu ketika, beliau ditanyakan oleh Saidina Hassan, menginginkan agar Bilal melaungkan azan semula seperti zaman dahulu.”

Kata Bilal menjawab pertanyaan Hassan, “Aku tidak ada pilihan lain selain menerima permintaan ini. Kerana orang yang meminta aku berbuat demikian adalah keluarga baginda sendiri. Aku bimbang jika baginda tidak menerimaku di syurga nanti.”

Ketika tiba masanya, seluruh penduduk kota Madinah gempar. Mereka terperanjat, seraya keluar daripada bibir mereka, “Adakah ia diutus kembali?”


“Adakah baginda diutus kembali?”

“Benarkah baginda diutus kembali?”

Ya, mereka menyangka kekasih mereka diutus kembali. Namun mereka tidak menjumpai kekasih yang mereka terlalu rindui. Wajahnya, dirinya terbayang bersama mereka. Kehilangannya tidak ada tandingannya dengan kehilangan apa pun. Tidak ada yang mereka cintai lebih, melainkan seorang kekasih yang amat dirindui.

“Adakah baginda diutus kembali?”

“Benarkah baginda diutus kembali?”

“Benarkah, benarkah, benarkah?”

“Di manakah ia?”

Nyata, ia tetap tidak ada di hadapan mata. Tetapi apa yang mereka dengar adalah seruan seorang yang mulia. Seorang yang juga mempunyai kecintaan yang sama terhadap kekasih mereka.

Semuanya menyangka bahawa kekasih mereka kembali ke dunia dan diutus semula di muka bumi. Setibanya mereka di Masjid Nabawi, kelihatan seorang berkulit hitam yang dijanjikan syurga sedang berdiri melaungkan azan seperti saat bersama kekasih mereka.

Bilal melaungkan azan dengan suaranya. Mendengar azan Bilal, kenangan bersama kekasih kembali menerjah. Kedengaran suaranya berat. Penduduk Madinah tunduk sebak teringatkan kenangan indah bersama kekasih agung yang dirindui.

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Asyhadu alla ila ha illallah! Asyhadu alla ila ha illallah (Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah)!”

Tibanya saat itu, Bilal diam. Ia tidak mampu mengucapkan kalimah berikutnya. Ia turun dari tempat berdirinya dan menangis... Ia tidak sanggup mengucapkan laungan untuk kekasih dirinduinya... Ia tidak sanggup menahan empangan air matanya... Ia tidak sanggup mengucapkan azan:

Asyhadu anna Muhammadur Rasulullah.... Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah...

Agungnya rindu Bilal!

Agungnya cinta para sahabat terhadap kekasih mereka!


Wahai Tuhan...

Adakah hatiku digenggam oleh seseorang yang telah menawan hatiku?

Kapan hari lidahku basah menyebut namanya...

Bukankah itu tanda rindu... tanda cinta?

Sejauh manakah benar kerinduan itu?

Ataupun sekadar kerinduan kosong?

Adakah dirinya wujud tetapi terpencil lagi terasing di sudut hidupku?

Adakah aku mengaku sebagai umatnya, tetapi sering mengingkarinya?

Sedangkan aku sering alpa cintanya kepadaku?

Atau, adakah aku lemparkan kasihnya ke tepi?

Oh, Tuhan... adakah aku menggenggam rindu kekasih-Mu?

Oh Tuhan, moga Engkau campakkan rasa rindu terhadap manusia mulia yang mengasihiku...

Iaitu kekasih yang dirindui Bilal bin Rabah, para sahabat dan orang-orang yang mencintainya...


Habibina Muhammad Rasulillah Mustofa...

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.
(al-Ahzab, 33:56)
Sambutlah cinta Baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dengan berselawat dan salam atasnya...

Selamat menyambut Maulidur Rasul
12 Rabiul Awal 1430H

Insya-Allah... akan datang...

Serdadu Digital*: Himpunan Analisis Militer merupakan blog khas daripada saya. Blog ini khusus membincangkan sains ketenteraan meliputi yang latar belakang konflik, strategi, persenjataan dan lain-lain.

Niat penulis menjadikan blog utama sebagai medan perbincangan umum dari segi dakwah dan masyarakat. Blog ini diwujudkan supaya blog utama tidak terlalu dibebankan dengan hal yang agak berat kepada sesetengah pembaca.

Didapati, sebanyak lebih 6 ribu karya ulamak silam pernah ditulis berkenaan dengan jihad dan ilmu peperangan. Mereka telah mengambil perhatian yang berat terhadap sains ketenteraan sebagai panduan para pemimpin dan pahlawan-pahlawan Islam dalam mengendalikan strategi, kelengkapan perang dan logistik. Namun demikian sains ketenteraan kini dibanjiri oleh tokoh-tokoh pengkaji Barat. Sukar sekali mendapati nama-nama Muslim di kalangan yang mempelopori bidang ini. Tambahan lagi, umat Islam terlalu bergantung kepada Barat untuk memenuhi keperluan semasa. Diharapkan dengan blog ini, penulis dapat berkongsi berkenaan hal ini, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam badan tentera.

Diri ini hanya mampu mengikut jejak langkah waris-waris anbiya... para ulamak...

Blog ini dalam proses pembikinan. insya-Allah akan sempurna menjelang minggu depan, mudah-mudahan tercapai hajat.

Wassalam.

NOTA: Berdasarkan Kamus Dewan, "serdadu" bermaksud anggota tentera askar, perajurit

Dialog PPSMI di UIAM


Mahallah As-Siddiq dengan kerjasama Mahallah Uthman dan Kuliyyah Ilmu Wahyu UIAM akan menganjurkan Dialog PPSMI dengan tajuk PPSMI : Building or Destroying Nation? seperti maklumat berikut;

Tarikh: 4 Mac 2009 (Rabu)

Tempat: Auditorium Utama UIAM Kampus Gombak

Masa: 8.30 malam

Panelis:

1. YB Datuk Tajuddin Abdul Rahman (UMNO)

2. YB Salahudin Ayub (Ketua Pemuda PAS)

3. Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada (Ketua Angkatan Muda Keadilan)

4. Datuk Dr. Hassan Ahmad (Pengerusi GMP)

Persembahan:

1. SN A. Samad Said

2. Dinsman


Memandangkan isu ini sedang hangat diperkatakan dan terdapat segelintir mahasiswa yang masih belum mendapat penjelasan dan maklumat yang jelas dalam isu ini, maka ada baiknya untuk kami menganjurkan dialog yang berbentuk ilmiah dan akademik bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada mahasiswa dari segi pro dan kontra pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Dialog yang akan memberi pandangan yang menyokong PPSMI dan membantah isu ini pada dasarnya ingin membuka dimensi baru perdebatan dalam menghadapi perbezaan pandangan dan pendapat yang mana pentas Universiti dijadikan platform terbaik dalam membicarakan sesuatu isu secara ilmiah dan terbuka.

Dialog bertajuk ini diharapkan memberikan kesedaran kepada generasi muda dalam isu besar seperti PPSMI ini. Justeru, penglibatan kaum muda tidak boleh dikesampingkan.

Kehadiran penonton bagi dialog ini adalah dari kalangan mahasiswa IPT-IPT, ahli-ahli akademik dan mereka yang mengikuti isu ini secara dekat.

Sumber: sawang PKPIM

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...