BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, October 5, 2010

Haul (2): Majlis Memperingati Imam Habib Abdullah al-Haddad



Haul(1): Kasihnya Seorang 'Tukang Besi' (Kisah Imam al-Haddad)

Majlis sambutan memperingati (haul) Imam Habib Abdullah al-Haddad menjelma lagi untuk tahun 1431H / 2010. Sambutan diadakan secara besar-besaran dalam jelajah haul di seluruh negara. Bermula 9 Oktober ini di perlis dan akan diakhiri di Tawau pada 24 Oktober 2010. Sambutan kali ini insya-Allah akan lebih meriah, dengan kehadiran beberapa figur ulung ulama dalam dunia Islam. Ulama yang dijemput kali ini bukannya calang-calang. Bahkan majlis mereka mencecah ratusan ribu malah jutaan manusia yang hadir bukannya pelik lagi.


Antaranya ialah Habib Zein bin Ibrahim bin Sumaith (Indonesia), Habib Umar bin Salim bin Hafidz (Hadhramaut, Yaman), Habib Muza Kadzim bin Jaafar as-Saggaf (Hadhramaut, Yaman), Habib Munzir (Indonesia) dan ramai lagi.

Majlis bersama ulama, lebih-lebih lagi dalam memperingati waris baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam merupakan majlis yang mempunyai kekuatan yang luar biasa. Bagaimana, mereka yang telah menarik ribuan manusia ini mengajak manusia berhimpun untuk mendidik menghadap Allah dan menjiwai akhlak dan pengorbanan Nabi-Nya.


Makluman mengenai penyelerasan majlis di seluruh negara boleh didapati di pautan sawang alhawi.net di pautan ini.

Syukur kepada Allah, Haul Imam Habib Abdullah al-Haddad berkesempatan diadakan di Bumi Kenyalang Sarawak yang bertuah ini. Insya-Allah majlis akan diadakan seperti berikut:


Miri
Tarikh: 13 Zulkaedah 1431H / 22 Oktober 2010 (Jumaat)
Masa: 5.30 petang
Tempat: Masjid at-Taqwa, Miri

Kuching
Tarikh: 13 Zulkaedah 1431H / 22 Oktober 2010 (Jumaat)
Masa: 5.30 petang
Tempat: Masjid Taqwa, Gita, Matang, Kuching



Ayuh, mari kita penuhi undangan yang mulia ini. Majlis memperingati baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan warisnya yang mulia, Imam Habib Abdullah al-Haddad.... mujaddid agung abad ke-11 Hijrah...

NOTA: Jika ada sesiapa yang menghalang anda hadir ke majlis kerana mengatakan majlis sedemikian adalah bid’ah (yang membawa kesesatan), biarkan. Anda berhak untuk menghadiri dan menikmati majlis. Terpulang kepada masing-masing menilai kebenaran setelah hadir ke majlis. Cukuplah bersangka baik kepada ulama yang besar menjadi dalil sandaran kita.



Berjasa Kepada Masyarakat

Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu

Monday, October 4, 2010

Haul (1): Kasihnya Seorang ‘Tukang Besi’


Al-kisah terdengar dari rantau padang pasir Tarim, Hadhramaut di Yaman. Disebut sahaja padang pasir, terimbau debu-debu berterbangan, sang suria panas membakar dan fatarmorgana seakan-akan genangan air di hujung sana. Ceritanya bermula, di sebuah rumah antara seorang anak kecil lelaki dan ayahnya.

Kata Si Ayah, “Wahai anakku, kita perlukan ladam kuda siap untuk tunggangan kita. Ayah minta tolong engkau sedikit, boleh?”

Si Kecil mengangguk, balasnya, “Apa, ayahanda?”



“Ladam kuda ini harus dibuat untuk tapak kasut kaki kuda kita. Tolong hantarkan kepada tukang besi, nama gelarannya al-Haddad.”

“Baiklah ayah,” maka si anak pun berpergian mencari orang yang dihajati di kota Tarim tersebut.

Si Kecil merapati seseorang pedagang di jalanan. Pedagang itu menyedari kehadirannya, seraya bertanya, “Anakku, engkau seperti tercari-cari orang.”

Si Kecil meletakkan karung yang berisi kepingan besi ke tanah seraya menjawab, “Ya, pakcik. Saya sedang mencari orang yang bernama al-Haddad.”


“al-Haddad?” matanya bersinar, lalu berkata lagi, “Siapa yang tidak kenal al-Haddad!” ia terus menunjuk arah kepada anak kecil itu.

Si Kecil berjalan menyelusuri lorong-lorong kota Tarim. Ia tiba di depan sebuah rumah. “Inilah rumahnya orang yang bernama al-Haddad.” Diberinya salam, tidak ada yang menyahut. Diketuknya pintu, tidak ada yang membuka.

Makam Imam Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad Rahimahullah
di Tarim, Hadhramaut, Yaman
Melihatkan tidak ada maklum balas, maka Si Kecil itu menyangka tidak ada orang di rumah.

“Apa mahu buat?” Si Kecil kebingungan, menggaru-garu kepalanya. “Kalau bawa balik karung ini, nanti dimarahi ayah.”

Lantas, kanak-kanak itu meletakkan karung berisi besi di hadapan rumah itu. Dia juga meletakkan wang upah dalam karung yang sama. Kemudian ia berlalu pergi.

***

Di satu sudut lorong kota Tarim, seorang bertongkat berjalan perlahan-lahan menuju ke kediamannya. Ia berjalan sambil menghentak-hentak tongkatnya agar jalan yang dilalui itu betul tanpa halangan. Tongkat itulah digunanya mengesan jalan yang dilaluinya. Pancaindera penglihatannya gelap. Ia seorang yang buta.



Ia tiba di depan pintu rumahnya. Di hujung tongkatnya, ia merasa bahawa ada sesuatu yang keras, barangkali logam diisi dalam karung kain di hadapan rumah. Kemudian ia meraba. Bibirnya terukir senyuman. Ia mengambilnya dan masuk ke dalam rumah.
***

Si Kecil tadi tiba di rumahnya dengan senang hati. Ayahandanya bertanya, “Adakah engkau telah membuat kerja yang aku minta? Engkau hantarkan kepada siapa?”

Si Kecil menjawab, “Sudah, ayah. Saya telah hantarkan kepada rumahnya.”

“Di manakah rumahnya?” Si Kecil menerangkan bagaimanakah hendak sampai ke rumah yang diyakininya adalah tukang besi.

Terbeliak mata Si Ayah. Ia terperanjat mendengarkan penjelasan puteranya, “Astaghfirullah! Kamu tersalah orang!”

Si Kecil kehairanan, “Mengapa, ayah? Saya tersalah orang? Orang itu bernama al-Haddad!”

Kata ayahnya yang resah, "Memanglah tukang besi namanya al-Haddad!"

“Orang yang kamu hantarkan itu adalah ulama yang hebat, iaitu Imam Habib Abdullah bin Alwi. Gelaran keluarganya ialah al-Haddad! Kamu pula sangkakan ia seorang tukang besi!” Tentu Si Ayah merasa bersalah telah menyusahkan seorang ulama yang disegani di Tarim.

Si Kecil kecut. Katanya, “Apakah yang harus saya lakukan?”



“Kamu pergi ke rumahnya, minta maaf kepadanya. Ambil kembali kepingan-kepingan besi itu dan hantarkan kepada tukang besi yang sebenar.”

Si Kecil akur. Ia bergegas keluar dan berlari-lari menuju ke tempat yang dituju. Ia tiba di rumah yang disangkanya tukang besi. Pintu tertutup rapat. Diberinya salam dan diketuknya pintu, tidak ada juga yang menjawab. Ia kaget. Ia baru perasan karung yang dihantarnya itu ada di hadapannya. Diperiksanya, ladam kuda sudah siap ditempa...

Kisah ini diceritakan ketika majlis Haul (memperingati) Imam Habib Abdullah al-Haddad di Kuala Lumpur pada 2009 yang lepas. Kisah yang menyentuh hati tersebut terakam abadi menggambarkan akhlak seorang suri tauladan, sorang ulama agung yang mencontohi akhlak moyangnya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Antara karamah (kelebihan yang Allah berikan kepdaanya) ialah mengetahui isi hati hajat seseorang melalui gerak hati. Beliau mengetahui hajat kanak-kanak tersebut. Semata-mata tidak mahu menghampakan hasratnya, kerana kasihnya beliau mencontohi akhlak baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam, beliau menghantarkan kepingan-kepingan besi tersebut kepada tukang besi yang sebenar. Apabila siap, beliau meletakkan kembali karung tersebut di hadapan rumahnya.
Kenang-kenangan Majlis Haul al-Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad
pada 2009 di Kuala Lumpur dahulu.

Imam Habib Abdullah Alwi al-Haddad merupakan ulama mazhab Syafie yang ulung di Hadhramaut (Yaman) pada abad ke-17. Beliau telah kehilangan pandangan matanya sejak kecil lagi, tetapi Allah telah menggantikannya dengan pandangan mata hati. Hal ini diungkapkan oleh Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Bekas Mufti Mesir dan Anggota Panitia Alim Ulama (menurut naskhah pada 1962 yang diterjemah oleh Hj Semait pada 1980).

Meskipun buta, beliau merupakan seorang yang bersungguh-sungguh berjuang berdakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Beliau seorang yang cerdas, mempunyai kekuatan menghafal yang luar biasa dan mendampingi ulama-ulama besar pada zamannya.

Kenang-kenangan Majlis Haul al-Imam Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad
pada 2009 di Kuala Lumpur dahulu. (Dato') Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
memberikan syarahan tentang keindahan akhlak Imam al-Haddad.
Juga, Allah memberikan beliau keupayaan mengungkapkan syair-syair yang indah sebagai tanda kasih dan cintanya kepada Allah dan Rasul. Beliau merupakan seorang yang berpegang teguh dengan Quran dan sunah melalui pena dan lisannya. Seringkali dek kepintarannya yang berprinsipkan berbaik sangka dan jelas daripada was-was dan syubhah, tidak memberikan persoalannya gagal dijawab. Dan apabila beliau mengarangkan kitabnya, beliau mengarangkan dengan bahasa dan susunan yang boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Antara kitab yang ditinggalkan oleh Imam al-Haddad buat
umat Islam, iaitu Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Naskhah ini
diterjemah dan diringkaskan oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari.
Beliau telah meninggalkan jasanya yang tidak terhingga kepada umat. Antara karya beliau yang terkenal dan dipelajari serta dihayati dan memberi kesan hingga kini ialah 'Nasihat Agama dan Wasiat Iman' yang masih ditatap oleh masyarakat. Moga Allah sentiasa merahmati beliau.


Imam Habib Abdullah al-Haddad telah menyusun zikir Nabawiyah yang lebih masyhur digelar Ratib al-Haddad. Ratib ini begitu masyhur di seluruh dunia Islam, termasuk Timur Asia, dibacakan nyaring secara berjemaah. Menurut Syeikh Abdullah Basudan rahimahullah, Imam Habib Abdullah al-Haddad telah diminta untuk menyusun zikir Nabawiyah (zikir Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam) di kawasannya setelah kemunculan ahli bida'ah (menyeleweng) yang menggunakan acuan Qadariah dan Muktazilah. Lantaran mempertahankan akidah masyarakat awam, beliau telah menyusun ratib ini. Ratib ini lazimnya dibaca pada waktu Maghrib.


Dan marilah kita bersama-sama para alim ulamak mengenang ajaran dan sumbangan beliau melalui majlis-majlis yang diadakan. Sepanjang pengalaman saya, sebenarnya yang lebih menonjol ketika majlis haul ialah memperingati, menghayati dan mengenang perjuangan jasa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Pada masa inilah, lazimnya, tetamu dihidangkan dengan santapan rohani daripada alim ulamak dan majlis maulid.

Mudah-mudahan beroleh rahmat Tuhan dan cinta kepada Rasul-Nya, dan mengenang jasa orang-orang yang berjasa kepada kita yang asbab mereka kita dirantaikan kepada Allah dan Rasul, insya-Allah...

Ikuti pautan makluman majlis haul yang diadakan pada Oktober 2010 kelak di pautan ini.


Berjasa Kepada Masyarakat

Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu



Rujukan tambahan:

1. Terjemahan oleh Syeikh Nuruddin al-Makki al-Banjari:
Imam Habib Abdullah Alawi al-Haddad, (2007). Ringkasan Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Halaqah Resources: Bogor, Indonesia.

2. Terjemahan oleh Hj Semait:
Imam Abdullah Abdullah Haddad, (1980). Nasihat agama dan aasiat Iman, edisi kedua. Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura.


3. Kitab zikir susunan Syeikh Syed Muhammad ibnu Alawi al-Maliki, diterjemahkan oleh anak muridnya Syeikh Fuad bin Kamaludin:
Muhaddith Prof. Dr. Syed Muhammad ibn Alawi al-Maliki, (2009). Min syawariq al-anwar: Lautan zikir ahli arifin. Sofa Production: Ampang.


Pautan berguna:
1. Biografi Imam Habib Abdullah al-Haddad di:
a. Manaqib Imam Habib Abdullah al-Haddad

b. Ringkasan Riwayat Hidup Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad

2. Sawang makluman al-Imam: alhawi.net

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...