BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, July 29, 2009

Ujian Buat Kita



Berita mengenai sebuah lagi IPT negara menarik perhatian saya. Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI telah menambahkan bilangan kampus yang telah dikuarantin, antaranya ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), UiTM (Universiti Teknologi Mara Malaysia) kampus Melaka, Shah Alam dan lain-lain. Jika langkah-langkah berjaga-jaga kurang diambil perhatian, mungkin juga kampus Taman Budi dan Ilmu ini juga akan mengalami nasib yang sama. Hanya kepada Allah kita bermohon dan berserah agar dijauhi daripada wabak tersebut. Semoga Allah memberi kemudahan dan kesabaran kepada orang-orang yang telah terkena ‘tempias’ wabak tersebut.

Berita tersebut telah menandakan bahawa wabak tersebut kian merebak. Wabak H1N1 ataupun virus selesema babi mudah tersebar dan merebak melalui medium udara. Maklumat langkah-langkah pencegahan dan poster di tempat awam serta di media massa mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap wabak ini. Walaubagaimanapun, yang lebih dibimbangkan ialah bagaimana wabak ini menjadi cabaran dan ujian buat aktivis-aktivis dakwah, terutama cabaran untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan berinteraksi bersama sasaran dakwah (mad’u). Perlu diambil kira juga, kesihatan diri kerana keadaan cuaca yang terlalu panas ataupun terlalu sejuk dewasa ini mendedahkan kepada risiko untuk menjadi demam, batuk-batuk dan selesema; yang merupakan simptom-simptom wabak. Apa pun, urusan kita, diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Kepada-Nya kita sandarkan kekuatan dan pertolongan.



Wabak ataupun penyakit merupakan perkara yang manusia mahu lari selama-lamanya. Terkadang menghairankan, awalnya manusia mendabik dada akan kekuatan, kepandaian, kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan segala nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Tetapi mereka menjadi lemah dan kecut apabila ancaman makhluk seni menghampiri. Demi menyelamatkan satu nyawa, manusia sanggup membelanjakan berjuta-juta wang ringgit untuk menghapuskan makhluk bernama virus dan bakteria yang berjuta-juta lebih kerdil daripada jasad mereka sendiri. Betapa pandainya manusia yang mempunyai bergulung-gulung ijazah dan mempunyai teknologi yang canggih, misteri penyakit ini masih tidak mampu dirungkai.

Namun demikian, sebagai seorang Islam, kita harus melihat dari sudut yang positif. Kita harus bersangka baik bahawa wabak dan bala merupakan hikmah daripada Allah dan memandang tujuan baik di sebalik kejadian ini. Mengapa? Kerana wabak dan bala merupakan peringatan buat kita yang serba kekurangan ini yang secara hakikatnya telah jauh daripada-Nya. Allah menegur hamba-hamba-Nya agar kembali kepada-Nya, dengan hikmah ini moga-moga manusia kembali kepada kebenaran. Semoga dengan ini juga, semoga manusia kembali ke pangkal jalan dan mengikuti syariat (ajaran, peraturan) Allah. Juga, semoga manusia apabila ditimpakan dengan kesusahan ini, mereka menjadi insaf, kerana tujuan ujian-ujian adalah untuk menginsafkan diri mereka.

Manusia harus sedar, bahawa bukanlah Allah yang menzalimi manusia, tetapi kita telah menzalimi diri kita sendiri. Segala kerosakan dan bencana adalah kerana perbuatan kita sendiri di darat dan lautan seperti termaktub dalam Surah ar-Ruum, ayat 41.

Ulamak tafsir menghuraikan bahawa kerosakan (kefasadan) di daratan seperti dalam ayat tersebut. Mereka memaksudkan bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh manusia ialah daripada peristiwa Habil dan Qabil. Pada awalnya, dunia ini wujud dengan penuh kemakmuran. Buahnya dapat dimakan dan dimanfaatkan untuk manusia. Tambahan lagi, buah-buahan tidak sukar dimakan kerana tidak berduri. Tetapi setelah Qabil menggerakkan tangannya membunuh saudaranya Habil, maka pohon-pohon kayu tidak lagi berbuah dan haiwan memakan sebahagian haiwan yang lain.



Kerosakan di lautan yang pertama ialah perbuatan yang dilakukan oleh seorang raja; moyang kepada seorang pemerintah yang zalim, iaitu Hajjaj Yusuf as-Saqafi. Pada mulanya, kewujudan air laut tidak masin dan boleh diminum. Namun setelah kemungkaran oleh raja tersebut, Allah menjadikan lautan menjadi masin dan tidak dapat diminum. Dek kerana perbuatan mereka, Allah telah menukarkan hakikat-hakikat tersebut menjadi sesuatu yang menjadi bencana kepada diri mereka sendiri.

Betapa banyak orang-orang yang diberikan nikmat, tetapi nikmat tersebut telah digunakan untuk membuat maksiat. Tidak hairanlah, Allah akan tarik nikmat tersebut, moga-moga akan insaf semula. Oleh yang demikian, amat wajarlah manusia menjalani kehidupannya seperti sifatnya yang mulia mentadbir alam yang selari dengan panduan diberikan Tuhan. Melakukan sesuka hati kerana kepentingan diri sendiri akan mengganggu keseimbangan masyarakat dan alam. Akhirnya, bencana itu akan berbalik kepada mereka sendiri.



Dalam kebimbangan mendepani wabak dan bala di sekeliling kita, maka ingin dikongsikan beberapa amalan yang boleh kita jadikan sebagai pendinding diri. Panduan tersebut boleh kita ambil daripada sebuah kitab yang kecil tetapi mengandungi rahsia yang besar; iaitu kitab Amalan Menolak Wabak dan Bala yang telah disusun oleh Syeikh Yusuf ibn Ismail al-Nabhani. Beliau merupakan seorang ulamak dari Beirut yang bersungguh-sungguh berpegang dan mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Syeikh Yusuf telah dihantar oleh ayahandanya ke Universiti al-Azhar ketika berumur 17 tahun dan telah berguru dengan ramai ulamak besar. Beliau telah wafat pada 1929.

Kitab tersebut telah diterjemahkan dan dikeluarkan oleh Tn. Guru Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki yang juga merupakan penasihat kepada Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Sebelum kita kongsikan amalan-amalan tersebut, amat molek jika kita dapatkan pendahuluan daripada ulamak tersebut:
“Di dalam buku ini, saya telah memaparkan beberapa amalan yang telah dilakukan oleh mereka (para ulamak) dan didapati mujarab sebagaimana yang dirakamkan di dalam kitab Sa’adah al Darain fi al Solah ‘ala Sayyid al Kaunain sallallahu alaihi wasallam. Walaupun ada di antara wabak penyakit atau bala yang ada pada hari ini, tidak ada pada zaman dahulu, amalan ini boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut kerana tujuannya adalah sama untuk memohon perlindungan, penjagaan dan kesejahteraan daripada Allah.”




Antara amalan yang boleh kita lakukan:

1.Membaca ayat 128 dan 129 Surah at-Taubah (Surah ke-9) sebanyak 7 kali setiap kali selesai solat fardhu.
2.Membaca doa qunut
3.Mengamalkan (melafazkan) ayat Surah al-Najm (Surah ke- ) ayat 58, ayat at-Thalaq (Surah ke-65), ayat 137 Surah al-Baqarah (Surah kedua)
4.Diriwayatkan daripada sebahagian ulamak bahawa antara amalan yang paling besar untuk menolak taun dan bala-bala besar ialah dengan berselawat atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
5.Sentiasa dalam keadaan wudhu’



Dinasihatkan bahawa amalan-amalan ini kita lakukan mengikut kemampuan kita. Dan kita bersangka baik kepada ulamak tersebut yang menyusun amalan berlandaskan kepada ilmu mereka yang bersandarkan kepada dalil daripada Quran dan Hadith.
Moga-moga dengan kesungguhan kembalinya kita kepada Allah, akan menghilangkan kebimbangan dan kepayahan menghadapi wabak dan bencana ini. Semuanya tidak mustahil dengan kekuasaan Allah. Tiada daya (untuk melakukan ketaatan) dan kekuatan (untuk menjauhi maksiat) melainkan dengan kekuatan Allah. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Allah Maha Mengetahui.


Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA: Isi entri ini adalah daripada nota syarahan Syeikh Fuad di Surau Darul Iman, Kemensah sebelum pengijazahan sanad kitab kepada hadirin pada Jun 2009. Terlebih dahulu mohon maaf andai terdapat kesalahan dalam menyampaikan maksud. Andai terdapat kesilapan, itu adalah berbalik kepada kelemahan saya.

Wednesday, July 22, 2009

Selamat Pengantin Baru... =)


Tahniah diucapkan buat sahabat-sahabat yang telah dan bakal melangsungkan perkahwinan. Semoga dengan menghidupkan sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallamini, hidup bertambah berkat daripada-Nya.

Dalam sebulan ini sahaja, ada empat jemputan pengilan (walimatul urus / kenduri) daripada sahabat-sahabat. Satu telah dipenuhi dan tiga lagi, insya-Allah akan cuba dipenuhi. Tahniah buat sahabat-sahabat:

Adikku Fikri & Zet (18 Julai 2009)
Teman yang jauh, Bg Afif dan Deqja (25 Julai 2009)
Teman yang tidak berapa jauh, Bg Naim & Adibah (8 ogos 2009)
Teman Mecha, Man & Najwa (8 Ogos 2009)
Teman talaqqi, Zamir & bakal zaujah (29 Ogos 2009 & 26 September 2009)
Lamak lagik, hehehehe... Bg Krol & Kak Aisyah (22 November 2009)

Rombongan PERKEPISMA di pengilan nikah Fikri & Zet, Bangi

Ketua rombongan berloya dengan tetamu pengilan

Satu kenyataan yang harus saya buat ialah menjelaskan mengenai gerangan desas-desus bahawa saya akan melangsungkan perkahwinan TIDAK LAMA LAGI. Agak meletihkan juga mahu menjelaskan seorang demi seorang yang melontarkan persoalan. Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan pertanyaan bahawa saya akan melangsungkan perkahwinan dalam masa sebulan lagi, oleh orang yang tidak pernah saya kenal!

Nasib baiklah teman ini jenis yang bertanya terus kepada sumbernya. Bertungkus-lumus saya menjelaskan kepada beliau... -_-" apa ajaklah

Memanglah fitrah pada usia ini teringin mendirikan rumah tangga, menyempurnakan separuh daripada agama. Tetapi keadaan masih belum mengizinkan. Kalau dengar-dengar berita, anda harus percaya apabila kad jemputan sudah berada di tangan anda, bukannya daripada desas-desus yang diragui kesahihannya! -_-"

Semoga hajat dimudahkan Tuhan =) Doa-doakanlah... Amiin...

Tuesday, July 21, 2009

Generasi yang Kudamba...


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang mengutuskan penutup sekalian Rasul, Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Selawat dan salam atas baginda, semoga Allah melimpahi rahmat-Nya kepada sahabat-sahabat, ahli keluarga, ulamak muktabar dan sesiapa yang menurut jejak langkahnya sehinggalah Hari Kiamat. Saya doakan agar saya termasuk salah seorang yang mencintai Kekasih-Nya baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan orang-orang yang soleh.

Entri ini dimuatkan atas dasar kebimbangan akan fenomena yang berlaku dewasa ini. Sejak akhir-akhir ini, aku bergelut dengan pandangan-pandangan yang seringkali selalu aku cuba mengelak, kerana aku muak berbicara mengenainya. Tetapi keadaan mendesakku. Dan para sahabat yang mencari jalan juga mengadu, apakah jawapannya?

Setiap Muslim yang prihatin sedar bahawa umat Islam kini diusung dengan kemunduran, dipalit dengan kehinaan. Bahkan, ada antara mereka yang dilontari fitnah dan ada yang terpaksa berkorban nyawa mempertahankan pegangan mereka mengatakan bahawa, “Tiada Tuhan disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad salllallahu alaihiwasallam itu Pesuruh-Nya.”



Sejak berzaman, perlbagai figur yang bangkit menyedarkan umat yang lena dalam cahaya. Tidak perlu dibincangkan dalam ruangan ini, kerana bilangan mereka amat ramai. Namun, sejauh manakah pencapaian umat kini? Sejak seabad yang lampau, tika pelbagai reformasi umat giat dijalankan, namun pencapaiannya masih jauh daripada apa yang kita impikan.


Terdapat pihak yang mahukan perubahan yang cepat, iaitu dengan menukar tampuk kepimpinan dan menggantikan suatu pemerintahan baru yang dianggap Islamik. Dan ini merupakan perubahan atas-bawah, ataupun ‘top-down’. Ada pula yang yakin bahawa perubahan daripada bawah, akarnya hinggalah kepada urusan atas seperti pemerintahan; ataupun ‘down-top’ adalah penyelesaian yang terbaik. Ataupun, ada yang percaya dan membawakan fahaman bahawa kita perlu kembali kepada Quran dan Sunnah, langsung kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, tanpa mengambil kira lagi adab-adab dalam disiplin keilmuan, sehinggakan lahir fahaman yang cukup mengelirukan masyarakat.

Pada pandangan saya, hari ini masyarakat disemai dengan amarah dan memburuk-burukkan golongan-golongan yang dianggap sebagai musuh politik. Yang amat disesali ialah, golongan ini mengaku mereka membawakan Islam secara syumul, iaitu melalui jalan siasah (politik), tetapi zahirnya tampak bahawa kuasa adalah segala-galanya. Membidas orang yang tidak sependapat dengannya bukan main, sehinggakan adab tidak lagi diambil kira. Hatta, golongan yang dihormati masyarakat seperti mufti juga menjadi mangsa kepada catur politik.



Fenomena kini menunjukkan pola politik negara yang kian tidak menentu dan menjadikan masyarakat menjadi gusar. Amarah dibangkitkan, masyarakat disemai dengan benih-benih marah dan benci, sehinggakan masjid dan surau dijadikan sebagai medan mengumbar ideologi politik. Jika diadakan bersempena dengan peristiwa kebesaran Islam pun, tujunya akan melencong kepada tafsiran dan berita-berita sensasi politik. Akhirnya, masyarakat hanya ada amarah dan benci, dan semakin jauh daripada sumber kekuatan mereka yang sejati; iaitu kembali menyatakan kecintaan yang mendalam terhadap Rasulillah sallallahu alaihi wasallam.


Pernah suatu ketika pada bulan Ramadhan, saya bersama rakan-rakan telah bertandang di satu tempat, khabarnya seorang tokoh agama bakal muncul. Kami bersolat Isya’ dan tarawih. Selesai rakaat keempat, tibalah saat tazkirah. Kami hampa, kerana tokoh tersebut tidak hadir. Tidak mengapalah, sekurang-kurang pun, ada juga tazkirah yang akan menggetarkan hati, agar diri ini sentiasa menghadap diri kepada Tuhan. Rupa penyampai sudah elok, seperti ustaz juga, berjubah dan mengenakan serban. Apabila semakin dalam bicaranya, lain pula jadinya. Disangka tazkirah Ramadhan yang bakal mengingatkan aib diri ini yang lalai, setidak pun ingat akan akhirat, rupanya ceramah politik yang mencerca orang lain secara terang-terangan. Serta-merta, hilang rasa hormat saya kepada penceramah yang berpakaian seperti ustaz, kerana menggunakan kesempatan dalam bulan yang mulia tersebut untuk kepentingan tertentu. Ini yang dikatakan, ‘perjuangan Islam yang syumul’? Inikah dinamakan ‘tazkirah’? Saya bersyukur kepada Allah, saya tertidur. Muak, muak sangat. Saya tersentak apabila terjaga oleh sahabat yang juga tertidur, dia terlintuk di bahu saya.

Adakah arus pantas ini bakal menjadikan masyarakat kepada hajat kita, kembali letaknya Islam pada tempatnya?



Saya merasa ada benarnya buah fikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang mengatakan bahawa sistem yang ada ini akan menghasilkan konsep yang dinamakan sebagai vicious circle ataupun lingkaran jahat. Menurut kefahaman saya, generasi yang tidak dididik dengan sempurna berdasarkan kerangka kefahaman yang lurus akan menghasilkan generasi yang keliru dan bertindak berdasarkan pendirian mereka. Apabila mereka memimpin kelak, mereka akan menghasilkan generasi seperti mereka supaya dapat mengekalkan kuasa mereka. Melihat kepada keadaan politik negara kini secara umumnya, pendapat beliau begitu relevan.

Perkara ini saya perhatikan suasana selama berada di kampus dalam lebih kurang empat tahun. Saya menganggap diri sebagai seorang pemerhati, walaupun saya pernah terlibat secara tidak langsung dalam kampus. Lihatlah sahaja menjelang pilihanraya kampus, satu fenomena yang cukup memuakkan. Secara umum golongan mana pun, masing-masing bertempur dengan hebat; seolah-olah buku bertemu ruas. Amarah dibangkitkan, fitnah ditabur. Adakalanya fitnah menjalar kepada mengaibkan orang-orang yang tidak berkaitan. Begitu kesal, kelompok yang dianggap ‘Islamis’ tidak dapat terlepas daripada menggunakan metod-metod yang serupa.

Pandangan saya, apa yang penting bagi mereka ialah kuasa, ‘power is everything’ demi meraih undi. Mahasiswa ataupun sasaran dakwah hanya dirapati dan dipujuk ketika musim pilihanraya menjelang. Apabila pilihanraya pula, maka akan terpampanglah pelbagai cara untuk mempamerkan kebenaran (menurut neraca mereka), ‘right is might’ menerusi ‘end justifies the meaning’ iaitu matlamat menghalalkan cara. Matlamat akan digunakan dengan segala macam cara, termasuk cara-cara yang bertentangan dengan adab yang dianjurkan oleh Islam.



Hendak dikatakan ini adalah tuduhan melulu, terpulanglah. Saya sendiri telah melaluinya dan merasainya. Juga termasuk dengan sahabat-sahabat lain yang melalui pengalaman yang hampir sama. Cakap manis depan-depan, tikam dari belakang, ada, tidak jujur (dalam persahabatan) demi ‘menjaga janji setia’ kepada golongan-golongan tertentu dan kurang menjaga adab-adab ketika berinteraksi antara satu sama lain. Mereka inilah juga yang akan memimpin suatu masa kelak. Bagaimanakah jika keadaan ini berterusan? Bagaimanakah jika generasi pelapis di kampus akan mewarisi perkara yang sama? Empat tahun, caranya lebih kurang sama? Tidakkah mereka ini juga bakal menjadi pemimpin masa hadapan? Bukankah lingkaran ini sudah tampak?

Dalam saat umat dalam kekeliruan, saya merasakan bahawa pembaharuan ‘down-top’ merupakan solusi yang paling berkesan, terbukti dalam sejarah meskipun memakan masa yang lama. Metod ‘top-down’ telah dicubai pada masa yang lampau, tetapi tidak menghasilkan kesan yang berkekalan. Melihat umat kini, dan pemimpin sudah hilang adab, adakah perubahan berlaku apabila yang di atas sudah ditukar sepenuhnya?



Tanpa mengabaikan sumbangan para pemimpin dan pendukung pembaharu Islam, marilah kita membuka mata dan berlapang dada. Mari kita singkap kembali metod yang terbukti unggul dan kesannya begitu mengakar dalam jiwa umat Islam. Mari kita lihat satu kajian ilmiah yang dihalusi oleh seorang ulama’ Timur Tengah, Dr. Majid Irsan Kailani melalui buku terjemahan beliau, ‘Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerusalem ke Pangkuan Islam.’ Buku ini wajar kita amati dan hayati dan melihat kepada realiti apabila bercakap mengenai soal umat. Beliau menyajikan santapan minda yang menyegarkan melalui contoh terbukti dalam sejarah; iaitu kebangkitan generasi Salahuddin yang melalui proses yang begitu panjang, tetapi seringkali tidak disedari oleh pandangan umum.

Buku-buku sejarah kini apabila membicarakan umat Islam berjaya merebut kembali Baitul Maqdis ataupun Jerusalem daripada cengkaman orang Salib Eropah, seringkali berbincang mengenai bermulanya kejayaan Nuruddin. Kemudian dilompat kepada beberapa dekad sehinggalah kejayaan Salahuddin. Sebaliknya, sebahagian besar kita percaya bahawa pada zaman tersebut, seorang pemimpin yang ulung telah bangkit dan memimpin umatnya kepada kejayaan, iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi, lalu berjaya merebut kembali kiblat pertama umat Islam.



Menurut Dr. Majid, lumrah ini menghasilkan dua bahaya; iaitu yang pertama ialah pemahaman ini akan memalingkan perhatian daripada melihat kepada penyakit sebenar masyarakat pada zaman tersebut. Ini akan menyulitkan para aktivis dakwah untuk merealisasikan pembaikan umat dan menghadapi bahaya yang mereka hadapi.

Kedua ialah, akan timbul mentaliti menunggu sahaja ketentuan daripada Allah membangkitkan pemimpin yang dikehendaki-Nya yang penuh dengan keistimewaan dan kepahlawanan. Realiti pembebasan al-Aqsa bukan begitu! Bukannya Salahuddin seorang ‘hero’ yang muncul secara tiba-tiba lalu membawa umatnya kepada kecemerlangan.
Hakikatnya adalah sebaliknya. Hakikatnya telah terlepas pandang oleh kebanyakan antara kita. Hakikatnya, usaha tersebut telah bermula sekurun yang lampau. Walaupun terdapat usaha di peringkat politik oleh sebahagian ulama, namun kesannya tidak berkekalan. Perubahan politik gagal dicapai kerana dicemari oleh kepentingan-kepentingan peribadi.



Imam al-Ghazali adalah antara ulama’ yang hidup ketika kejatuhan Jerusalem di tangan orang Salib pada 1099. Saya yakin, beliau mempunyai harapan agar Jerusalem kembali dimiliki oleh umat Islam dan berusaha untuk mengembalikan Islam, sekali gus umat di tempat yang layak. Beliau dikritik kerana enggan terlibat dalam reformasi melalui politik ataupun jihad. Sebaliknya, beliau menggunakan jalan yang lain. Iaitu jalan yang jauh tetapi kesannya berpanjangan. Allah telah mentakdirkan beliau telah menyediakan satu fondasi yang kukuh kepada masyarakat. Satu fondasi yang memurnikan akidah, menjernihkan salah faham dan meluruskan umat agar hidup bersama agama. Beliau telah mendidik masyarakat melalui pengajarannya dan kitab-kitabnya. Antara hasil penjernihan hati beliau, beliau telah menghasilkan kitab Ihya’ Ulumuddin. Melalui proses yang lambat tetapi berkesan ini, melahirkan masyarakat yang suci bersih akidahnya, berakhlak mulia, kuat beribadah. Justeru, ini secara langsung melahirkan perubahan-perubahan di segenap aspek kehidupan umat Islam, dan akhirnya dalam lapangan pemerintahan.

Apakah kesan tarbiyyah, pendidikan Imam al-Ghazali?

Beliau telah melahirkan generasi ulama’, yang generasi ulama’ inilah yang telah mendidik masyarakat. Akidah masyarakat disatukan, agama dihidupkan melalui proses pendidikan yang tulus melalui banyak madrasah yang dididik oleh para ulama’. Antara ulama’ yang berjasa kepada masyarakat pada ketika itu ialah Syeikh Abdul Qadir Jailani, seorang ulama’ sufi yang diiktiraf oleh para ulama’ sebagai Sultanul Auliya’ (Sultan para wali). Ulama’-ulama’ inilah yang mentarbiyyah satu generasi, iaitu generasi Salahuddin.



Realiti kita memahami bahawa Salahuddin merupakan seorang wira yang begitu cemerlang sinarnya dalam lipatan sejarah umat. Tetapi sebenarnya, realiti adalah lebih daripada itu. Dr. Majid melalui kesimpulan beliau bahawa, individu seperti Salahuddin bukan seorang, tetapi RAMAI! Mari kita lihat pandangan Dr. Majid:

“... (Salahuddin) hanya merupakan sampel dari generasi zamannya, dan buah daripada beberapa proses yang mendahuluinya (reformasi Imam al-Ghazali dan seangkatan) yang telah dilakukan oleh ‘sesuatu kaum’ lalu meliputi seluruh umat sehingga muncullah dari tubuh umat sumber-sumber kecemerlangan secara bersama-sama dan menjadikan mereka sedia menepis setiap bahaya yang melingkarinya? Kemudian mereka menjadikan Salahuddin sebagai pemimpin rasmi atas nama mereka?”

Oleh yang demikian, maka perubahan haruslah bermula daripada bawah. Bermula dengan menyatukan umat melalui pemurnian akidah, penjernihan fikiran yang akhirnya akan menjuruskan masyarakat yang berbudaya ilmu, lantas akan mengakar ke setiap lapangan kehidupan. Ilmu kefahaman yang jelas dalam peribadi Muslim akan membuahkan masyarakat yang tahu akan Tuhannya dan menyedari bahawa hidup ini sebagai hamba Tuhan. Keimanan yang mantap lahir daripada ilmu yang menyerap. Dan sehubungan itu, akan terarahlah tugas mereka sebagai khalifah yang mentadbir bumi.



Siapakah tentera yang membebaskan Palestina? Salahuddin telah mengenakan syarat yang ketat untuk kelayakan menjadi tentera yang akan membebaskan kota Baitul Maqdis. Iaitu, hanya askar yang beribadah dan menghidupkan malam mereka sahaja yang akan tersenarai layak untuk bersama-sama Salahuddin. Logik di fikiran kita, bahawa ini menunjukkan kualiti tinggi askar-askar mujahidin dalam bilangan yang ramai. Ini baru sahaja tentera. Bagaimanakah umatnya? Tentu seiring jua bersama mereka. Tidak hairan, Allah membantu mereka!

Inilah fakta yang sukar untuk disangkal. Kembalinya umat ke tempatnya yang asal adalah kerana mereka kembali kepada Tuhan mereka dengan erti kata yang sebenar; lantaran dididik oleh generasi ulama' yang gigih. Imam al-Ghazali tentunya ingin melihat suasana pembebasan kota suci itu, tetapi Allah telah menginginkan sebaliknya. Kota tersebut telah dibebaskan oleh tangan-tangan yang mulia, yang tidak ada hasad dendam terhadap apa yang orang Salib telah lakukan 100 tahun yang lampau. Dan kota tersebut telah dibuka pada 27 Rejab pada tahun itu juga; Sultan Salahuddin al-Ayyubi mahukan kemasukan tentera Muslimin begitu simbolik dengan peristiwa yang membuktikan ketuanan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, iaitu Isra' dan Mi'raj. Jasad Imam al-Ghazali telah bersemadi di kubur, generasi yang disemainya sudah subur... (T.T)

Pilihan terletak kepada kita. Mahukah kita mengikut jejak langkah Imam al-Ghazali dan sahabat-sahabat beliau, menyemai benih-benih kebangkitan umat? Mari kita fikir-fikirkan....


Kenang-kenangan bersama sahabat-sahabat PERKEPIS di Muktamar Sanawi PKPIM, Ogos 2008 (Dari Kuching, Miri, IPTA/S Lembah Kelang, Kelantan, Kuantan, Johor dan lain-lain)


Berjasa Kepada Masyarakat

Monday, July 13, 2009

Berpuluh-puluh Penulis Buku Melayu Mendapat Royalti Lebih RM50 Ribu Setahun


Dipetik daripada laman Universiti PTS (UNIKA):

Seorang penulis novel remaja yang baru 2 tahun mula menulis sepenuh masa baru-baru ini membeli sebuah kondo mewah bernilai RM400 ribu, dan membayar wang pendahuluan RM40 ribu dengan wang royalti. Pada kadar dia menghasilkan karya dan melihat trend jualan buku-bukunya, beliau mungkin dapat melunaskan sepenuhnya harga kondo itu dalam masa kurang 5 tahun.

Seorang penulis novel cinta membeli dan tinggal dalam sebuah banglo dalam kawasan sebuah resort golf di pinggir Kuala Lumpur.

Zaman penulis buku Melayu hidup kais pagi makan pagi sudah tidak berlaku lagi.

Di mana-mana negara maju dan kaya raya, industri buku dalam bahasa nasionalnya sentiasa besar dan rancak. Ini yang sedang berlaku dalam dunia industri buku Melayu saat ini.

Namun, setiap kali kita menghadiri pertemuan penulis buku Inggeris di Malaysia, gambaran sebaliknya yang kita dengar daripada mulut-mulut mereka. Mereka masih bercakap tentang peritnya menjadi penulis disebabkan buku mereka yang tidak laku.


NOTA: Galaksi Muhsinin tidak termasuk dalam senarai tersebut. Untuk maklumat lanjut, rujuk pautan ini.

Friday, July 3, 2009

[SI]: Ilustrasi & Imaginasi



"Baca Galaksi Muhsinin perlukan imaginasi yang tinggi!"

"Saya terpaksa baca berulang kali. Itu pun tidak dapat bayangkan langsung!"

"Saya baca Galaksi Muhsinin dengan bersusah payah!"

Inilah antara komen daripada pembaca novel sains fiksyen, Galaksi Muhsinin. Ikuti lanjut di Saifaiislami di pautan ini.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...