BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label masyarakat. Show all posts
Showing posts with label masyarakat. Show all posts

Saturday, January 11, 2014

[BUKU] Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah

“Cinta kepada Rasulullah s.a.w itu bukanlah cinta biasa seperti cinta kepada diri sendiri, tetapi ia adalah cinta yang diusahakan (ikhtiyari).”                                                                                                          –Imam Abu Sulaiman al-Khattabi rahimahullah[1]
Cinta - Leluhur yang suci menghiasi setiap sendi yang menjadi tema dalam kehidupan. Bahkan, alam ini diciptakan oleh Allah Tuhan Sarwa Alam dengan cinta, rahmat dan kasih sayang-Nya.

Maka dengan itu, Allah kenalkan diri-Nya melalui perutusan Nabi dan Rasul. Cinta itu bersambung adn bersambung dan bersambung kepada generasi demi generasi, dan ditutupi dengan indah oleh Sebaik-baik Makhluk, Seagung-agung Manusia, Penghulu Makhluk Dunia dan Akhirat, iaitu Sayyidul Anbiya’ Penghulu Segala Rasul, iaitu Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.

Selawat dan salam moga berkekalan selagi ada tulisan ini buat Baginda s.a.w, ahli keluarganya (Ahlul Bait) dan para Sahabat. Semoga Allah melimpahi Rahmat-Nya atas para ulama-ulama yang benar dan orang-orang yang soleh dan ikhlas menuntun jalan Baginda s.a.w sehinggalah Hari Kiamat.

al-Fadhil Ustaz di TV Hijrah
Rasulullah s.a.w adalah anugerah, cahaya dan berita gembira buat manusia, jin dan sekalian makhluk. Baginda s.a.w adalah pembawa Rahmat sekalian alam ataupun Rahmatan lil ‘Alamin. Baginda membawa obor cahaya yang mengeluarkan manusia daripada sempit dan hinanya dunia kepada luas, kekal dan kemuliaan Akhirat.

Bagindalah harapan pada Hari Pembalasan di kala manusia berbondong-bondong mencari pertolongan. Disebutkan dalam sebuah hadith panjang dalam nota kaki kitab kecil Puji-pujian Imam Abu Hanifah[2], bahawa dalam kedahsyatan hari tersebut, maka berbondong-bondonglah manusia mencari orang yang memberikan syafaat kepada mereka. Maka mereka berduyun-duyun berjumpa kepada Nabi Adam, kemudian Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa. Kesemua Rasul yang hebat ini mengatakan mereka tidak dapat membantu apa-apa. Sehinggalah mereka bertemu dengan Nabi Isa, maka Baginda a.s pun menunjukkan bahawa hanya seorang sahaja yang dapat menolong mereka, iaitu Sayyidul Anbiya’ Nabi Muhammad s.a.w.

Di sanalah manusia mendapati bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah khabar gembira buat mereka, harapan memohon syafaat, meminta keluar daripda kesengsaraan dan keresahan Hari Akhirat. Sesungguhnya, keselamatan dan kesejahteraan Akhirat kelak adalah bagaimana kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Bagindalah yang menjadi harapan kita pada suatu hari kelak, memohon syafaat kepada Allah agar diringankan derita dan diberi bahagia.


Di tengah-tengah kegersangan jiwa nurani dipenuhi dengan figur-figur, tokoh-tokoh yang melalaikan, maka saat ini menjadi satu keperluan yang mustahak manusia mengenal kembali model sebaik-baik insan yang dikasihi Tuhan: Nabi Muhammad s.a.w. Telah termaktub dalam al-Quran dan hadith yang menjadi sandaran para ulama bersepakat bahawa mencintai Rasulullah s.a.w adalah wajib:
“Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbangkan akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya; kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik.”                                                                                                                            (Surah at-Taubah, 9:24)
Hadith Nabi s.a.w:

“Maka demi jiwaku dalam kekuasaan-Nya, tidaklah (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.”                                                                                      (Riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa’i)
Buku karya al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll yang berjudul Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah: Langkah-langkah Mencintai Nabi s.a.w ini amat bertepatan pada masanya. Buku ini amat istimewa kerana memberikan garis panduan yang telah ditunjukkan dan diamalkan oleh para ulama terdahulu dan masakini. Buku ini sederhana tebal dan mudah difahami oleh peringkat awam. Dalam pendahuluan buku ini, jelas sekali jalan pengenalan, penghayatan dan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang beliau tempuh adalah melalui para murabbi ataupun para guru beliau di kalangan ulama.

Kenang-kenangan...Ustaz Muhadir bin Joll mengiringi
Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki
ketika Kuching Berselawat 2011
Buku beliau ini berguna sekali dalam membimbing jiwa-jiwa yang kosong ini untuk memulakan langkah pertama mencintai Sayyiduna Rasulullah s.a.w. Antara keistimewaan buku beliau:

1. Pengarang memberi penjelasan bertahap-tahap mengenai topik yang dibicarakan melalui definisi, disusuli dengan dibentangkan dalil daripda al-Quran dan Hadith. Beliau menjelaskan hubungan dua hala cinta agung ini daripada Rasulullah s.a.w, juga yang ditonjolkan oleh para Sahabat, ulama dan orang soleh sepanjang sejarah Islam.

2. Perbahasan beliau berlegar dengan perbicaraan daripada ulama-ulama muktabar dalam membincangkan Mahabbah (kecintaan) kepada Nabi s.a.w.

3.  Diutarakan juga aspek yang penting dalam amali (praktikal) kita untuk sampai kepada Mahabbah kepada Rasulullah s.a.w. Untuk itu, beliau memasukkan sebahagian daripada sifat diri dan peri akhlak luhur daripada kitab Syamail Muhammadiyyah yang disusun oleh Imam Tirmizi. Untuk ini juga, beliau menyelitkan amalan-amalan selawat, qosidah bahkan amalan khusu yang ditunjukkan oleh para ulama bagaimana untuk bermimpi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w.

4. Penulis menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh pembaca orang awam. Beliau meletakkan makna sesetengah istilah Bahasa Arab yang digunakan.


5. Umum dalam kebanyakan karya al-Fadhil Ustaz Muhadir adalah nota-nota kaki terutamanya biografi para Sahabat, ulama, pemimpin dan orang soleh yang disebutkan. Justeru ini adalah sarana yang baik bagi memperkenalkan kita kepada himpunan tokoh-tokoh yang berjasa dalam sumbangan terhadap umat Nabi Muhammad s.a.w melalui ilmu dan usaha mereka.

Perkara ini adalah mustahak kerana mereka ini adalah insan-insan yang berjaya, cemerlang takwa mereka di sisi Allah, diberi keberkatan umur dan hasilnya mengalir sehingga hari ini. Merekalah pelita yang menerangi jiwa kita yang menjadi penguat berharga untuk beramal serta sanggup berkorban membantu agama. Terlebih-lebih lagi, kata seorang ulama sufi terkemuka, Sufyan bin Uyaynah rahimahullah disebutkan dalam kitab Fadhail Amal karangan Hazrat Maulana Zakariyya al-Kandahlawi rahimahullah:
                “Menyebut nama orang soleh menurunkan rahmat.”
Antara karya al-Fadhil Ustaz
 6. Terdapat gambar-gambar yang menarik tentang barangan milik Rasulullah s.a.w, Ahlul Bait dan para Sahabat ataupun perkara berkaitan seperti rambut, tapak kaki, cop mohor, mangkuk Masjid Nabawi, Gua Hira’ dan tempat-tempat bersejarah. Hal ini penting, kerana sebagai tanda kita mengenal warisan kenangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Warisan ini yang telah dijaga oleh para Sahabat dan diperturunkan dan dijaga oleh para ulama serta pemerintah yang amanah menjadi pengikat yang sentimental kepada umat Islam. Umat Islam diizinkan untuk bertabaruk (mengambil berkat) berlandaskan hukum-hukum syarak.

Buku terbaru Ustaz Muhadir, terjemahan daripada
kitab seorang ulama tersohor, al-Muhaddith
Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki
Oleh yang demikian, saya berpandangan bahawa buku ini perlu ditatap dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat Islam, terutamanya di kalangan golongan pendidik. Buku ini sesuai dijadikan hadiah yang begitu bermakna dan kita mengharapkan pahala daripada Allah moga orang yang menerima dapat juga mendapat keberkatan dalam mencintai Baginda s.a.w. Jadikanlah buku ini sebagai pedoman yang tidak ternilai dalam kita mencintai Sayyidina Rasulullah, Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam buat baginda s.a.w selama-lamanya selagi tulisan ini masih ada, selawat dan salam moga digandakan sebanyak-banyak adanya zarah di langit dan di bumi.       

                                 
Amiin ya Rabbal ‘Alamin.

  
Bibbliografi:
1. Imam Abu Hanifah, Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (pent.), (2009). Puji-pujian Imam Abu Hanifah. Yayasan Sofa: Ampang.

2. Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll, (2013). Ingin kubalas cintamu Ya Rasulallah: Langkah-langkah mencintai Nabi s.a.w. Galeri Ilmu Sdn. Bhd: Kota Damansara, KL





[1] Menurut buku Ingin kubalas cintamu Ya Rasulallah, nama penuh  Imam Abu Sulaiman adalah Imam al-Hafiz al-Lughawi, Abu Sulaiman, Hamd bin Muhammad bin Ibrahim al-Khattabi. Antara kitab beliau yang masyhur ialah Ma’alim as-Sunnan.  Beliau wafat pada tahun 388H.

[2] Kitab kecil ini merupakan tulisan bait-bait syair yang dikarang oleh Imam Abu Hanifah ketika berdiri di makam Nabi Muhammad s.a.w. kitab ini diterjemahkan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki terbitan Yayasan Sofa, 2009. Syeikh Muhammad Fuad menyatakan dalam pendahuluan kitab ini bahawa:

 “Syair ini menjadi dalil kepada kita bahawa memuji Rasulullah s.a.w adalah perkara yang harus di dalam syariat Islam. Tidak sepertimana dakwaan sesetengah pihak, yang mendakwa bahawa memuji Rasulullah s.a.w akan membawa kepada kesesatan dan syirik.”

Monday, September 9, 2013

[BUKU] Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait

 “Sesungguhnya fahaman ini (Syiah) bukan sahaja mampu menggugat keamanan umat Islam tetapi lebih dari itu mampu memesong aqidah umat Islam.”                                         ~Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki
Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, para keluarganya di kalangan Ahli Bait, para sahabat serta orang-orang yang ikhlas meruntun jalan baginda s.aw sehinggalah Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, sekali lagi Dia telah memberi peluang untuk menatap sebuah kitab kecil tetapi mengandungi makna yang besar sekali. Kitab tersebut berjudul ‘Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait’ yang telah dikarang oleh seorang ulama muda negara, al-Musnid Dato’ Hj. Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Beliau merupakan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan juga Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kitab ini baharu dilancarkan pada 28 Ogos 2013 yang lepas.


Kemunculan kitab ini sedikit sebanyak melegakan keresahan yang menyesakkan atas fenomena siri gelombang serangan mazhab akidah Syiah. Fahaman ini sudah menerobos segenap lapisan masyarakat, baik dalam barisan kepimpinan politik, penulisan dan media massa. Dan lebih merunsingkan lagi, pengikutnya sudah bertambah ramai. Slogan mereka menganjurkan untuk mencintai Ahli Bait (ahli keluarga baginda Nabi s.a.w), tetapi hakikatnya sebaliknya, gejala melaknat para Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan pelbagai penyimpangan yang lain tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  

Masanya tepat sekali apabila masalah penyebaran fahaman menyimpan Syiah semakin menjadi-jadi dan dibimbangi menjadi barah dalam masyarakat. Di kala saat genting ini masyarakat sememangnya memerlukan jawapan daripada para ulama dengan tuntas lagi meyakinkan. Kita tidak mahu masyarakat berpecah-belah kerana perbezaan akidah yang sudah zahir akhirnya menumpahkan darah. Lihatlah di Timur Tengah, sehingga kini pergeseran Sunni-Syiah masih berterusan seolah-olah tiada akhirnya.

Ruangan 'Bahaya Syiah' Majalah Q&A Isu  20
 Dalam masa setahun kebelakangan ini, pendedahan mengenai kesesatan mazhab akidah ini tersebar melalui laman sosial Facebook. Saya terkenangkan dahulu seorang dua sahaja remaja yang pernah bertanyakan akan kekeliruan Syiah dan Sayyidina Ali karamallahu wajhah, namun mutakhir ini saya melihat remaja khususnya sudah peka akan hal ini, bercerita akan amalan-amalan dan pegangan pelik yang mereka lakukan.


Entri kali ini bukanlah bertujuan untuk mengupas apatah lagi menghuraikan lebih mendalam. Sebagai orang awam, tanggungjawab adalah untuk menyebarkan kalam-kalam ulama yang mempertahankan keluhuran mazhab majoriti umat Islam, yang mengikuti jalan baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

Walaubagaimanapun, setelah membaca kitab ini, saya ingin kongsikan sekilas pandang mengenainya, dan berkongsi panduan asas bagi sesiapa yang baharu memahami apakah di sebalik fahaman Syiah:
     
             1.  Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa kitab ini adalah rumusan daripada telaah Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki atas banyak kitab ‘muktabar’ asli yang ditulis oleh ulama-ulama besar Syiah. Oleh sebab itu, kita akan mendapati bahawa banyak daripada pendedahan yang dihuraikan jarang pernah didengar dalam rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu (setakat pembacaan saya) sebelum ini.

      2. Kitab ini adalah ‘extension’ ataupun kupasan lanjutan mengenai mazhab akidah Syiah. Pada pengamatan saya, bagi sesiapa yang baru hendak mengenal ataupun mengkaji bermula daripada kitab ini mungkin memerlukan maklumat-maklumat asas ataupun gambaran umum mengenai kerangka mazhab Syiah, peristiwa sejarahnya dan perbezaan mazhab ini dengan mazhab akidah majoriti umat Islam, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.

          3. Terdapat sejumlah nota kaki yang menerangkan sesetengah istilah asas mengenai isu yang dibicarakan. Sebagai contoh Taqiyyah (berbohong demi agama; salah satu rukun Syiah).

     4.   Kitab ini disusun dalam perenggan-perenggan yang dihimpunkan mengikut isu tertentu.

     5. Perenggan demi perenggan banyak membicarakan percanggahan dalaman orang Syiah itu sendiri terhadap doktrin mereka lantas membersihkan para Sahabat baginda s.a.w terutamanya daripada tuduhan-tuduhan liar dan palsu mereka.

Oleh sebab itu, saya mencadangkan pembaca mendapatkan maklumat asas dahulu sebelum membaca kitab ini. Anda boleh mendapatkan penjelasan tersebut:

         1.  Kertas Kerja ‘Syiah Imam Dua Belas: Penyelewengannya dari Jalan Ahlul Sunnah wal Jamaah’
Kertas kerja ini telah disusun oleh Datuk Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh (2009) yang diterbikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri.

Prebiu:  
Kertas kerja ini menawarkan gambaran yang komprehensif mengenai mazhab Syiah (Imam Dua Belas) ini. Pengkajian mencakup mengenai asas mazhab itu sendiri dalam segenap bidang daripada sumber kitab dan ulama Syiah sendiri. Dalam bahagian kedua, dihuraikan dengan lanjut mengenai kekeliruan tentang Ahlul Bait (ahli keluarga baginda  Nabi Muhammad s.a.w). Hakikatnya dalam Ahli Sunnah wal Jamaah dianjurkan untuk mencintai Ahli Bait, menghormati dan menyanjung mereka. Tidak seperti Syiah yang mengaku mencintai sebahagian, tetapi anehnya menyingkirkan, mendendami, melaknat bahkan mendoakan kehancuran Ahli Bait yang mereka benci!

Pautan:
Bahagian I: Akidah 'Imamah' di Sisi Syiah Isna 'Asyarah
Bahagian II: Ahlul Bait Menurut Sunnah dan Syiah 

Penerbitan baru (2012) daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah himpunan penulisan akademik yang bertajuk 'Hakikat Syiah' semasa Seminar Pemurnian Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 2007. Klik untuk muat turun di pautan ini.



    3. Kitab Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Kitab ini merupakan himpunan soal jawab Syeikh Nuruddin yang terkumpul selama 12 jam, disusun semula oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Kitab ini merangkum persoalan akidah, fiqh (fekah), tasawuf (akhlak) dan umum. Terbitan PSN Publications, 2012.

Prebiu:
Pengenalan mengenai mazhab Syiah dijawab dalam bab awal kitab ini dalam bahagian akidah. Syeikh secara ringkas dan tuntas menjawab mengenai pecahan mazhab ini dan penyimpangannya. Ustaz Muhadir menyediakan nota kaki bagi sesetengah istilah (yang lazimnya dalam bahasa Arab), rujukan, ulasan lanjut dan biografi tokoh yang disebut.

 4.  Majalah Q&A

Majalah wadah penyampai Ahli Sunnah wal Jamaah ini memaparkan ruangan ‘Bahaya Syiah’ (sebelum ini ruangan Bicara Mufti oleh Dr. Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai Syiah secara konsisten. Mutakhir ini dalam Isu 21 (2013), Galeri Ilmu memberi perhatian akan 
mencintai sahabat baginda Nabi Muhammad s.a.w, secara khususnya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Juga diutarakan adalah golongan Anti-Sahabat yang begitu membenci, mendendami dan melaknat para Sahabat, tidak lain tidak bukan adalah golongan Syiah.

5. Kitab Fitnah Syi’ah

Dikarang oleh al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini diterjemahkan oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (bawah seliaan Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Diterbitkan pada tahun 2008.

Prebiu:
Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari Indonesia, al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini menghuraikan lebih mendalam mengenai doktrin Syiah. 



Saya secara peribadi mengucapkan sekalung penghargaan buat usaha yang telah dilaksanakan oleh al-Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki serta warga Yayasan Sofa yang bertungkus-lumus menyiapkan kitab ini untuk tatapan umum. Semoga Allah memberikan manfaat bagi sesiapa yang mahu mencari kebenaran. 

Semoga Allah meneguhkan dakwah mereka, melindungi daripada fitnah, semakin bersemangat dalam mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Semoga Allah jadikan orang-orang yang mengambil manfaat daripada mereka, insya-Allah. Mohon maaf segala salah dan silap yang sememangnya layak ditegur dalam bicara kali ini. Akhir kata, saya teringat akan kata-kata seorang ulama (lupa namanya):

“Sebelum kenal Syiah, kenali lah dahulu Ahli Sunnah wal Jamaah!”

Ayuh mari berpijak di jalan yang lurus. Mari tingkatkan ilmu dan amal. Ayuh pertahankan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah diwariskan kepada kita oleh Kekasih-Nya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w yang didokongi para sahabat baginda!

Wednesday, March 20, 2013

Malam Cinta Rasul 2013, Dataran Merdeka

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w serta para ahli keluarganya (Ahli Bait). Semoga Allah melimpahi Rahmat-Nya kepada para sahabat, para ulama muktabar serta orang-orang yang ikhlas sehinggalah Hari Kiamat.
                                      
Melihat kepada sambutan maulid Malam Cinta Rasul 2013 di Cheras Januari 2013 yang lepas, saya berpandangan para penganjur begitu bersemangat untuk menjayakan program sambutan di tempat yang lebih besar dan ramai hadirin. Insya-Allah, kita doakan agar berjaya dan selamat serta mendapat Rahmat dan manfaat daripada-Nya, program maulid seumpama ini berjalan dengan lancar pada Sabtu, 23 Mac 2013 di Dataran Merdeka akan datang ini. 
                                   
Program membawakan hadirin dan hadirat untuk bersama berzikir kepada Allah dan berselawat kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w disertai dengan alunan syair maulid dan qosidah yang mengasyikkan. Sungguhpun majlis seumpama ini tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, namun daripada himpunan dalil dan huraian daripada para ulama, majlis ini amat-amat dianjurkan. Bahkan, majlis seumpama ini adalah majlis yang digalakkan oleh para ulama dan memang amalan para ulama dalam memupuk cinta kepada Penghulu Mutlak Dunia dan Akhirat, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Jika anda ragu-ragu kerana dakwaan sesetengah pihak bahawa majlis seperti ini adalah majlis yang bid'ah lagi sesat, maka ada rujukannya. Anda boleh mendapatkan huraian lanjut mengenai hukum sambutan seperti ini, termasuk saranan daripada para ulama menerusi tulisan al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll dalam karya beliau "Penjelasan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama': Inilah Jawapannya...". Anda boleh rujuk dalam Bab  8: Maulidur Rasul pada mukasurat 741 sehingga 788 (47 mukasurat).

Hadirlah ke majlis ini dengan hati yang lapang dan terbuka. Anda akan merasai ketenangan yang berbeza dan insya-Allah ada manfaat yang anda dapat.

Kenangan bersama al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll (duduk, ketiga dari kanan)
 ketika Syawal 1433H
Sebagai motivasi sebelum mengakhiri entri ini, penulis mengungkapkan sepotong hadith daripada buku Pembuka Jalan Mendekatkan Diri kepada Allah, susunan guru kami Ustaz Syed Mohamad bin Alwi al-Attas (Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir Madrasah al-Khairat Kuching):


Daripada Abu Hurairah r.a daripada Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bahawa Allah mempunyai malaikat-malaikat khusus yang bertugas mengikuti majlis-majlis orang berzikir, apabila mereka berjumpa dengan suatu majlis zikir, mereka duduk bersama-sama orang yang berzikir sambil berkerumum memenuhi ruangan antara majlis dan langit dunia. 

Setelah majlis bubar (selesai) mereka naik ke langit dan serta merta Allah menanya dari mana mereka datang, sedangkan Allah sebenarnya lebih mengetahui dari mana mereka tiba, yang dijawab oleh para malaikat itu:

"Kami datang dari sisi hamba-Mu di bumi. Mereka bertasbih, bertakbir dan bertahlil dan bertahmid untuk-Mu, dan mereka memohon syurga-Mu dan berlindung kepada-Mu daripada neraka-Mu."

Berkata (berfirman) pula Allah:

"Aku telah mengampuni mereka serta mengabulkan permohonan-permohonan mereka dan melindungi mereka daripada api neraka."


Maka para malaikat berkata, "Ya Allah, di antara mereka ada seorang yang lewat (lalu) di majlis itu lalu duduk, dan orang itu banyak dosanya."

Maka bertanyalah Allah Taala, "Bagi orang itu pun telah Ku-ampuni, merekalah kaum yang tidak sengsara orang yang sekedudukan dengan mereka.""

                                                                                                                      (Hadith Riwayat Muslim)

Allahu'alam. Wassalam

Tuesday, March 19, 2013

Ziarah Ilmu Ustaz Azahar Hashim dan Kuching Berselawat III


Insya-Allah pada hujung bulan Mac 2013 ini warga Kuching cukup bertuah kerana diserikan lagi dengan taman-taman syurga, iaitu majlis ilmu daripada agamwan Ahli Sunnah wal Jamaah. Pada waktu tersebut, satu ziarah ilmu oleh yang berbahagia Ustaz Azahar Hashim, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin akan menemui masyarakat Kuching. Beliau merupakan panel program Turath Ulama'  yang disiarkan oleh RTM TV1 (Selasa dan Rabu 6.30-7.00 petang). 
Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi
(gambar daripada blog sdr. Izzat Syahid)
Beriringan bersama beliau adalah kumpulan penyebar selawat dan mahabbah kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, iaitu AlMawlid dan Kumpulan Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin. Mereka akan bersama-sama bergabung dengan kumpulan qosidah di Kuching bagi menjayakan program tahunan di Kuching, iaitu UNIMAS BERSELAWAT II dan KUCHING BERSELAWAT III. Marilah kita bersama-sama menghadiri majlis, semoga kita mendapat manfaat daripada mereka. Moga dengan kehadiran di majlis seperti ini dapat memandu membaiki dan mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya. Amiin... 

Sila rujuk agenda program-program seperti yang tertera di bawah:


Rabu, 27 Mac 2013

                           
1. Program : "Bicara Santai Almawlid Bersama Staf UNIMAS"
    Tempat   :  UNIMAS
    Masa       :  2.00 -5.00 petang 


3. Program    : Kuliah Maghrib 
    Tempat       : Surau Al Falah, Samariang Phase 3 
    Pengisian   : Ustaz Azahar Hashim (qasidah oleh Kumpulan Maulid Madrasah Al Khairat  
                          Kuching).


2. Program : UNIMAS BERSELAWAT II

    Tempat   : Arena Gemilangm Detar UNIMAS
    Masa       : 8.30mlm-10.30mlm
    Syor        : Digalakkan membawa sejadah sendiri dan berwuduk awal


                             





Khamis, 28 Mac 2013


                               

1. Program       : Kuliah Subuh 
   

    Tempat          : Masjid Qurawiyyin, UiTM Kota Samarahan
    Penceramah : Ustaz Azahar Hashim

2. AlMawlid@UiTM (promo KUCHING BERSELAWAT 3)


3. Program         : Kuliah Perdana 

    Tempat           : Dewan Ibu Pejabat HIKMAH Kuching
    Penceramah  :Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : 3.00 petang 

                              


4. Program       : 
Majlis Ratib Al-Attas

    Tempat         : Wisma Wanita, Biro Wanita, Samariang (berdekatan PERYATIM Kuching dan                         
                            Taman SUKMA) 
    Masa              : Bermula 6.30 petang
    Penceramah  :Ustaz Syed Mohammad bin Alwi al-Attas (dikenal sebagai Habib Mohamad 
                             al-Attas, Mudir Madrasah al-Khairat, Kuching) 
                             Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, Pimpinan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 
                             'Alamin
    Istimewa        : Alunan Qosidah daripada Madrasah al-Khairat, Al-Mawlid dan Kumpulan 

                             Qosidah Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin 


Jumaat, 29 Mac 2013


                                

1. 
Program         : Kuliah Subuh

    Tempat           :  Masjid Darul Husni wa Rahmah, Taman Hussein, Kuching
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    
2. Program        : Tazkirah dan khutbah Jumaat
    Tempat          : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Khatib            : Ustaz Azahar Hashim
    Istimewa        : Berselawat selepas solat Jumaat bersama AlMawlid dan kumpulan Qosidah  
                             Majlis Ta'alim Rahmatan Lil 'Alamin

                                           


3. 
Program         : Kuliah Pengajian Kitab

    Tempat           : Masjid at-Taqwa, Kpg. Pinang Jawa (Gita'), Kuching 
    Penceramah  : Ustaz Azahar Hashim
    Masa               : Bermula 3.00 petang
                              

4. 
Program        : KUCHING BERSELAWAT III, 2013

    Tempat         : Dewan Bahasa dan Pustaka, Petra Jaya, Kuching
    Tentatif         : 

           6.30 ptg  ~ Ketibaan para tetamu & jemputan kehormat.
           7.00 mlm ~ Solat Maghrib berjemaah, Solat Hajat Perdana & Bacaan Ratib Al- 

                               Haddad.
           8.15 mlm ~ Solat isya' berjemaah.
           8.30 mlm ~ Tayangan montaj KUCHING Berselawat III.
           8.35 mlm ~ Bacaan Maulid Ad-Dhiya ul Lami', alunan Qasidah dipimpin oleh Almawlid  

                               dan Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
                              Tausiyah oleh Al Fadhil Al Ustaz Azahar Hashim al-Hadhromi, pimpinan 
                              Majlis Ta'alim Rahmatan lil 'Alamin.
          11.00 mlm ~Tamat.


Sabtu 30 Mac 2013

1. 
 Program         : Kuliah Subuh

    Tempat            : Masjid Darul Ibadah, Kpg. Samariang Lama, Kuching 
    Penceramah   : Ustaz Azahar Hashim
    

Marilah merebut peluang bersama meraih ilmu, keberkatan dan rahmat dalam majlis-majlis yang akan memberikan cahaya hati, jadilah pengembara yang kehausan akan siraman-siraman ilmu daripada para pecinta Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w...


                         


Sunday, February 10, 2013

Program TG Syeikh Nuruddin al-Makki al-Banjari di Kuching

Ayuh, rebutlah peluang berada dalam taman-taman syurga... majlis ilmu. Raihlah sebanyak manfaat sebaiknya, bukan selalu ulama ini, Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Makki al-Banjari mengunjungi bumi Sarawak... 

Alhamdulillah, kehadiran beliau kali ini adalah berkunjung ke ibu negeri Sarawak, Kuching. Majlis-majlis beliau diadakan di Kota Samarahan, Serian dan Kuching pada 15 sehingga 17 Februari 2013 ini. Sila rujuk pada poster di atas untuk makluman lanjut.

Di sana sudahpun meriah dengan majlis-majlis ilmu dan budaya berguru kian disedari akan kepentingannya. Alhamdulillah, kemunculan majlis-majlis yang banyaknya 
bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. mencintai Sayyiduna Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w mendapat sambutan luar biasa.  

Sedikit latarbelakang biografi beliau, didapati di kitab karangan beliau, Martabat Ilmu &; Ulama dan Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat Iman:

Beliau dilahirkan pada 1 September 1960 dan berasal dar Banjarmasin, Indonesia. Kemudian, beliau dan keluarganya menetap di Tanah Suci Makkah pada tahun 1974. Pada tahun 1983, beliau telah melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiah.       


Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, beliau menumpukan perhatian untuk mencurahkan ilmu kepada ribuan penuntut yang datang dari Asia Tenggara, termasuklah Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menimba ilmu di sana, sehingga beliau telah mendapat gelaran al-Azharus Tsani (al-Azhar yang Kedua), satu gelaran yang terhormat dan tulus daripada masyarakat Universiti al-Azhar sendiri. 

Antara keistimewaan beliau ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad. Menurut al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll, antara keistimewaan menghadiri majlis beliau adalah keutamaan menjaga adab dalam majlis ilmu. Peranan Syeikh sebagai pendidik menekankan disiplin kepada para pendengar dan penuntut agar menghormati majlis ilmu yang sedang berjalan.

Beliau telah menubuhkan rangkaian pondok di Bogor, Indonesia, Kelantan, Kedah, dan Johor. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih 80 buah buku dan manuskrip, termasuklah 40 Mutiara Hadith daripada 40 Buah Kitab, al-Ilhatah - Menyingkap Persoalan Haid, Nifas dan Istihadah, at-Tamassuk bil Kitab was-Sunnah dan banyak lagi.

Syeikh Nuruddin merupakan seorang ulama yang tinggi ilmunya. Namun demikian, seperti yang dinyatakan tadi, beliau sangat menjaga adab dalam majlis ilmu. Inilah keistimewaan beliau, dalam mendisiplinkan masyarakat agar meraih barakah dengan menjaga adab-adabnya. Ini kerana, berkat ilmu yang disampaikan adalah dengan menjaga adab-adab yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para ulama.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini di Bintulu (Disember 2012) dan semasa belajar di Semenanjung Malaysia, beberapa saranan ingin saya anjurkan sebagai panduan ketika berada dalam majlis beliau. Beberapa cadangan ini adalah bagi melancarkan perjalanan program. Semuanya pernah ditegur oleh Syeikh untuk mendidik pendengarnya yang tersilap pandang dalam menjaga adab majlis ilmu:

                                  

1.  Sila tumpukan perhatian sepenuhnya dalam majlis beliau. Matikan telefon anda, ataupun dalam mod senyap. Jangan melayan telefon ataupun seumpamanya. Jika mahu juga melayan telefon, sila keluar dari lingkungan pengajian untuk berurusan.

2. Tumpukan perhatian anda sepenuhnya dalam majlis. Jangan bercakap dengan sesiapa di sebelah anda. Bahkan elakkan daripada melihat jam tangan.

3. Jika anda anda anak-anak kecil, kawal mereka agar tidak terlalu bising bermain sehingga mengganggu perhatian majlis. Apatah lagi bermain-main dan berlari-lari.

Ayuh, bawalah ahli keluarga, jiran tetangga, komuniti, rakan sepejabat dan sahabat-sahabat anda untuk menghadiri taman-taman syurga iaitu majlis ilmu...
                                   
Sebelum terlupa, jika ada wang lebihan bulan ini, bawalah untuk membeli kitab-kitab al-Fadhil Syeikh yang selalunya dijual ketika program berjalan. Bawalah sebagai ole-oleh untuk ditatap dan disimpan sebagai khazanah yang digunakan sehingga ke generasi-generasi mendatang. Amiin... 

Sebarkan makluman program ini. Semoga kita juga mendapat kelebihan beramal kerana memaklumkan para pencari majlis ilmu ini. 


Mohon maaf atas salah dan silap. Sekian, terima kasih. 




Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...