BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, October 29, 2012

Pengajian Kitab Bidayatul Hidayah, Kuching

                                         
Hebahan program pengjaian agama, iaitu pengajian Kitab Bidayatul Hidayah (Imam al-Ghazali r.a) bersama Al-Fadhil Ustaz Syed Ahmadzaimi bin Syed Wan Kamaludin Al-Aidarus. Program adalah seperti berikut:

Tarikh: Bermula 2 November 2012, Jumaat
Masa : 8.30 malam
Tempat: YADIM Zon Sarawak, Jalan Astana Petra Jaya (berdekatan Masjid Darul Abidin & lampu isyarat Astana)

Kitab Bidayatul Hidayah yang
diterjemahkan oleh Syeikh  Ahmad
Fahmi Zam Zam al-Banjari al-Maliki
Kitab Bidayatul Hidayah yang bermaksud 'Permulaan kepada Hidayah' merupakan kitab yang dikarang oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (w. 505H / 1111M). Kitab ini merupakan kitab pengenalan akhlak-akhlak seorang Muslim sebelum melangkah lebih jauh dalam mendalami ajaran yang Islam yang disusun oleh Imam al-Ghazali, terutama kitab Ihya' Ulumuddin. 

Sesungguhnya seorang Islam wajib menuntut ilmu Fardhu Ain sehinggalah selesai baginya, mencukupi baginya sebagai seorang Islam. Ilmu Fardhu Ain ini merangkumi tiga rangkai ilmu, iaitu ilmu Aqidah, ilmu Syariat (hukum-hakam) dan ilmu Tasawuf (akhlak). Dengan kesempurnaan ketiga-tiga cabang ilmu ini bagi seseorang Muslim, insya-Allah mampu melahirkan umat Islam yang teguh, sebagaimana generasi yang telah dilahirkan oleh Imam al-Ghazali 100 tahun selepas kewafatannya, iaitu Generasi Salahuddin al-Ayyubi.

Wallahu'alam. Pihak penganjur amat mengalu-alukan kehadiran tuan / puan / adik-adik bersama-sama mendalami ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu agama Allah yang luhur ini. 

Semoga kita mendapat berkat dan rahmat daripada-Nya, insya-Allah.

Dia Duduk di Tangga




Hari Raya Idul Adha 1433H,
Miri

Ketika di rumah saudara, permata hati kami Fatimah az-Zahra' sedang menikmati sarapan paginya. Sekembali dari dapur mengambil air, ayahnya kehairanan, salah seorang saudaranya termenung di kaki tangga. 

Dia menegur, "Peliknya, kenapa abang duduk di tangga? Duduklah di sana sekali." Si Ayah menunjuk ke arah sofa ruang tamu.

Balasnya, "Saya lebih tenang duduk di sini."

"Malas mahu dengar cerita politik?"

"Begitulah. Yang di sana, pembangkang. Di sini kerajaan. Malas mahu bergaduh. Baru tadi kita membaca surah Yaasiin, bertahlil dan berdoa sama-sama. Tidak baik kita bergaduh selepas berdoa."

Dalam hati, Si Ayah tadi mengeluh. Ya, kalau yang 'di sana' berjumpa, memang tidak terlepas gosip-gosip sensasi yang tiada hujung pangkal, bahkan mereka tidak pernah terlibat pun sama sekali. 


Cerita yang diolah begitu mengujakan. Dan tentunya penuh emosi. Seringkali juga, akan terkeluar aib-aib manusia yang mereka benci. Entah benar yang mereka baca. Selalu juga terselit episod-episod lucu yang mereka reka dengan kreatif sekali.

Telinga Si Ayah seakan-akan tuli. Ia mendengar, tetapi hatinya ditutup. Tidak lebih berulang-ulang benda yang sama. Kebencian yang sama. Kemarahan yang sama. Caci-maki yang sama.  Di manakah hujungnya cerita? Tidak akan ada penghujung baginya. Baiklah coretkan idea untuk karya baru.

Ya Allah, jauhilah kami daripada fitnah, mendengar fitnah, merapati fitnah dan penyebar fitnah! Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa menyelusuri contoh kekasih-Mu Sayyiduna Muhammad s.a.w!

                           

Teringat kata-kata Habib Izzuddin al-Idrus, dalam menyentuh sedutan kehidupan ini. Adakah ada walaupun satu dalil bahawa suatu ketika Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w membalas orang yang memusuhinya dengan caci maki, umpatan, mengadu domba, cakap belakang ataupun fitnah?

TIDAK ADA SATU PUN.

Bahkan, baginda Nabi Muhammad s.a.w. membalas dengan senyuman, adab dan hikmah. Jiwa besar baginda s.a.w. inilah contoh terpuji yang wajib kita teladani dalam kehidupan yang serba-serbi digelumuri nafsu. 

Pesan beliau lagi, jikalau kita berada di dalam satu majlis yang ada dalamnya menimbulkan aib orang lain, maka wajiblah kita berangkat pergi. Ini kerana sesorang yang sengaja mendengar fitnah, dosanya adalah setara dengan orang yang memfitnah. Ada benarnya tindakan Si Saudara duduk di tangga.

Oleh itu, siapakah yang kita ikut? 

Fikir sebelum cakap. Bukan cakap baru fikir. Fikir-fikirkan.  


"Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu"

Wednesday, October 24, 2012

BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH

 ALHAMDULILLAH, ZULHIJJAH DATANG LAGI…. 
“BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH”

*Artikel ini merupakan petikan dari Buletin AsSofa keluaran Oktober 2011/Zulhijjah 1432, tulisan Syeikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Ahmadi, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Artikel ini bersumber daripada sahabat saya sdr. Hisyamuddin bin Roslan yang 'post' perkara ini dalam komuniti facebook 'Miri Muslim Youth':


Alhamdulillah, dengan ‘Inayah dan Ri’ayah Allah pastinya, maka hari ini kita dikurniakan lagi untuk kesekian kalinya nikmat yang besar erti dan fadhilatnya iaitu bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah bukanlah bulan untuk Tetamu Allah sahaja, tetapi ia merupakan bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang prihatin dengan masa-masa yang dimuliakan Allah dan bijak mengambil peluang. Sesungguhnya pada setiap kejadian Allah itu mempunyai benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya. Di antaranya ialah Ka’abah, Hajar al-Aswad, Zam-zam, bulan Ramadhan, hari Jumaat, sepuluh terawal bulan Zulhijjah, Makkah, Madinah, Baitul Maqdis, Para Nabi, Rasul dan sebagainya. 

Kesemua perkara tersebut merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firmanNya :

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah”

Dalam bulan Zulhijjah, terdapat masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah, iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, ‘Idul Adha dan Hari Tasyriq. Sesungguhnya, Allah telah bersumpah dengan fajar ‘Idul Adha dan 10 terawal bulan Zulhijjah. Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut, sebagaimana firmanNya: 


“ Demi waktu fajar ‘Idul Adha; dan malam sepuluh Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain. Banyak hadith yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya. Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Tidak ada dari hari-hari, yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Dan tidak juga berjihad fisabilillah(lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini?” Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak juga berjihad fisabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid.”
Ulama’ berdalilkan hadith ini bagi menunjukkan kepada galakan atau sunat berpuasa pada Sembilan hari daripada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz ibnu Hajar radiAllahu ‘anhu. 

Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam juga bersabda :
“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang Sembilan) menyamai puasa seribu hari dan sehari puasa pada Arafah menyamai puasa 10,000 hari.”
Daripada Abu Hurairah radiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda : 


“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar.”
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan qurban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya iaitu dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban. Hal ini berdsarkan hadith Ummu Salamah, bahawa Nabi sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :


“Apabila masuk hari yang sepuluh Zulhijjah, dan seseorang dari kamu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun.”

Di dalam satu riwayat :

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berqurban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya.”


Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu pemerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadith ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredhai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun alaman yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan. Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihiNya.

Insya-Allah, mari beramal! ;)


Monday, October 22, 2012

[KAFA] Rasul Ulul Azmi


*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran dan nasihat daripada ustaz-ustazah / sahabat-sahabat yang alim dan berpengalaman. 

Rasul Ulul Azmi ialah rasul yang mendapat ujian yang hebat daripada Allah, terutama daripada kaum mereka. Terdapat 5 rasul Ulul Azmi daripada 25 Rasul, iaitu Nabi Nuh a.s, Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s, Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w.


Nabi Nuh a.s.
Rasul Ulul Azmi terawal ialah Nabi Nuh a.s. Baginda merupakan manusia yang paling panjang umurnya, iaitu sekitar 950 tahun. Baginda menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah, kerana mereka menyembah berhala. Selama beberapa ratus tahun baginda menyeru, hanya sedikit sahaja orang yang beriman. Antaranya ialah anaknya sendiri. Allah memerintahkan agar Nabi Nuh a.s membuat sebuah bahtera, iaitu kapal yang besar. Setelah siap, Allah memerintahkan langit menurunkan hujan sehingga banjir besar berlaku. Kesemua orang beriman menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. Anaknya terus berdegil dan mendaki gunung untuk menyelamatkan diri. Akhirnya anaknya tenggelam di dalam air. Setelah beberapa ketika, banjir pun surut dan bahtera Nabi Nuh a.s terdampar di sebuah bukit yang digelar Bukit Judi.

Nabi Ibrahim a.s.
Rasul Ulul Azmi kedua ialah Nabi Ibrahim a.s. Baginda dikenali sebagai bapa sekalian nabi dan rasul. Baginda mempunyai dua orang anak yang juga dilantik sebagai rasul, iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak. Baginda menyeru kaumnya dan Raja Namrud agar beriman kepada Allah. Ini kerana Raja Namrud seorang raja yang zalim dan mengaku diri sebagai tuhan. Raja Namrud amat murka kepada Nabi Ibrahim a.s., lalu menyediakan unggun api yang besar. Nabi Ibrahim a.s telah dicampakkan ke dalam api, tetapi Allah menjadikan api tersebut menjadi sejuk. Ini merupakan salah satu mukjizat Nabi Ibrahim a.s.


Nabi Musa a.s.
Rasul Ulul Azmi yang ketiga ialah Nabi Musa a.s. Baginda merupakan seorang rasul daripada kaum Bani Israil, di negara Mesir yang diperintah oleh seorang raja yang digelar sebagai firaun. Ia seorang yang zalim dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Pada suatu malam, firaun telah bermimpi bahawa seorang bayi lelaki akan lahir yang akan menjatuhkan kekuasaannya.

Akhirnya, firaun memerintahkan semua bayi lelaki dibunuh. Pada masa itu adalah kelahiran Nabi Musa a.s. Kerana bimbang keselamatan Nabi Musa, ibunya menghanyutkan baginda di sungai Nil dan terdampar di istana firaun. Asiah, isteri firaun telah menemuinya dan memujuk firaun agar tidak membunuhnya. Nabi Musa .a.s dibesarkan di istana firaun. Setelah Nabi Musa tidak sengaja terbunuh seorang bangsa Mesir, baginda melarikan diri ke negeri Madyan, tempat Nabi Syuaib tinggal. Baginda tinggal di sana selama 10 tahun dan berkahwin dengan anak Nabi Syuaib.

Nabi Musa a.s dilantik sebagai rasul di Bukit Tursina. Allah memerintahkan baginda agar Nabi Musa menyeru firaun agar beriman kepada Allah. Allah memberikan Nabi Musa mukjizat tongkatnya menjadi ular dan tangannya bercahaya warna putih. Akhirnya, Nabi Musa a.s memimpin kaum Bani Israil menyeberangi Laut Merah yang terbelah dua. Mereka terselamat dan firaun serta tenteranya tenggelam di dalam laut.


Nabi Isa a.s.
Rasul Ulul Azmi keempat ialah Nabi Isa a.s. Baginda adalah seorang rasul daripada bangsa Bani Israil. Baginda telah dilahirkan oleh ibunya yang bernama Maryam tanpa bapa, dengan izin dan kuasa Allah. Baginda menyeru kaum Bani Israil agar kembali beriman kepada Allah. Baginda mempunyai mukjizat, iaitu keajaiban yang diberikan oleh Allah sebagai bukti baginda adalah sorang Rasul Allah. 

Mukjizat-mukjizat tersebut adalah seperti menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang buta dan penyakit sopak, serta menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah dengan izin Allah. Baginda diberikan kitab Injil sebagai pedoman orang beriman. Akan tetapi, terdapat orang Bani Israil yang dengki kepadanya. Akhirnya, baginda dijatuhi hukuman disalib oleh kerajaan Rom, tetapi Allah telah mengangkat baginda ke langit. Baginda akan turun ke dunia pada Akhir Zaman kelak.

Nabi Muhammad s.a.w
Rasul Ulul Azmi terakhir dan teragung ialah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah penghulu segala rasul akhir zaman yang menutup sekalian nabi dan rasul. Tidak ada lagi nabi dan rasul diutus selepas baginda. Baginda dilahirkan daripada bangsa Arab Quraisy. 

Baginda menyeru kaumnya agar kembali beriman kepada Allah selama 23 tahun. Baginda diberikan banyak mukjizat, seperti membelah bulan, keluar air daripada jarinya dan dilindungi awan. Namun demikian, mukjizat baginda yang teragung ialah kitab al-Quran yang merupakan panduan umatnya. Kita sebagai orang Islam wajib beriman kepada baginda dengan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna baginda telah bawa untuk umat Akhir Zaman. 


NOTA: Eksperimen menggunakan metod ini kurang berkesan. Ini kerana, ada di kalangan murid-murid Tahun 2 yang masih mengeja (belum lancar membaca). Mungkin juga, artikel ini agak panjang untuk umur mereka. Teknik bercerita lisan masih berkesan.

Thursday, October 18, 2012

Krisis Kewangan Greece: Pengamatan Ringkas Sejarah



“In Greece it is spoken that after Greece break off from European Union, only Turkey could rescue them. Even radical nationalist Greeks talk about togetherness. Circumstances have made a great change. The declaration of independence from Ottoman Empire in 25 March 1821 means the beginning of the dawnfall rather than freedom.”~ Prof. Dr. Dimitri Kitsikis

Ada benarnya kenyataan kontroversi seorang sejarawan Yunani, Prof. Dr.Dimitri Kitsikis. ‘Merdeka’nya Greece daripada lingkungan Daulah Uthmaniyyah pada tahun 1821 merupakan permulaan kepada kejatuhannya daripada dianggapnya kebebasan.

Baharu tadi menjengah Berita Dunia TV jam 11.00 malam. Dikatakan, ibukota Greece, Athens hampir-hampir lumpuh pada hari ini kerana mogok besar-besaran dilancarkan. Lapangan terbang lengang kerana tiada pekerja yang menguruskan operasi. Jadual penerbangan banyak yang terpaksa dibatalkan. 


 Lebih memburukkan lagi, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas juga tidak berfungsi sepertimana normal. Akan tetapi, seseorang yang berada di Athens menyaksikan perhimpunan besar-besaran di jalanan. 

Krisis tersebut telah memakan masa yang lama tanpa penyelesaian konkrit daripada saudara serumpunnya sendiri, Eropah. Krisis hutangnya bertambah parah dari sehari ke sehari, membingungkan rakyatnya apakah nasib mereka melarat di negara sendiri. 


Apakah yang telah terjadi?

Semenjak beberapa tahun ini, Greece mengalami krisis ekonomi yang amat dahsyat. Bahkan, Kesatuan Euro pun tidak dapat bertindak dengan pantas dan berkesan. Dilaporkan, kemelesetan ekonomi yang menghimpit adalah kerana hutang yang banyak. Taraf pengangguran begitu tinggi dengan kadar 1 daripada 4 orang Greece menganggur. Keadaan yang rumit ini bakal mengundang bahana kepada negara-negara EU miskin yang lain sekiranya langkah tetap menjadi buntu.


Melihat kepada masalah kronik yang melanda negara miskin itu, saya terkenangkan, Greece ataupun Yunani pernah bernaung di bawah sebuah kekuasaan Islam yang agung, iaitu Daulah Uthmaniyyah. Bagaimanakah nasib Greece seandainya mereka tidak ‘memerdekakan’ diri suatu masa dahulu daripada Daulah Uthmaniyyah? 


Harmoni... Kota Athens ketika era Daulah Uthmaniyyah
Berkenaan dengan ini, saya tertarik dengan fakta berkenaan pendirian memetik pandangan kontroversi seorang ilmuan sejarah Yunani yang bernama Prof. Dr. Dimitri Kitsikis dalam ruangan facebook Ottoman History Pictures Archive. Fakta tersebut yang menerangkan hakikat sebenarnya ‘kemerdekaan’ Greece daripada Daulah Uthmaniyyah tidak wajar berlaku pada suatu masa dahulu. Sejarah mencatatkan bahawa keharmonian yang tiada tara bandingnya dengan tamadun dan kebudayaan lain.
Orang Yunani yang memeluk Islam di dalam sebuah masjid


Kenyataan hangat beliau telah mencetuskan kontroversi di kalangan sejarawan, bahawa pemerintahann Ottoman (Daulah Uthmaniyyah) tidak pernah merupakan ‘400 tahun perhambaan.’ 

Beliau mempertahankan pendirian tersebut menyatakan bahawa kebudayaan Greek tidak diperbudakkan, bahkan berkembang dengan bebas dan menyumbang kepada sejarah amnya.




Pendapat Prof. Kitsikis juga menyatakan, bahawa kewujudan ‘Empayar Uthmaniyyah’ yang bersifat non-kolonial (penjajah yang menerapkan atau ‘memaksa’ penduduknya tunduk), serta mutinasional adalah perkara pokok yang perlu wujud dan dipertahankan walaupun dalam selang waktu yang panjang sekalipun. 

Cita-cita beliau, remaja Turki dan Yunani dapat membaca buku sejarah yang sama pada suatu hari kelak. Prof. Kitsikis membidas bahawa ‘400 tahun perhambaan.’ Menjadi harapannya sejak 50 tahun, kedua-dua bangsa dapat bersatu lagi seperti mana dahulunya.





Setelah hampir 200 tahun berlalu, ada suara yang mewar-warkan Greece kembali bersama Turki. Kenyataan menarik ini telah disebut oleh Prof. Kitsikis pada awal artikel ini, menyatakan bahawa pada saat-saat Greece bercakap tentang keluar daripada EU, Turki adalah harapan menyelamatkannya daripada jurang kemuflisan.



Apakah yang berlaku selepas ini? Adakah EU berjaya memulihkan krisis kewangan terburuk dalam sejarah mereka? Ataupun sekali lagi Turki membebaskan Greece buat kali kedua? 

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...