BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Friday, July 20, 2012

Ramadhan Kareem 1433H!


 Mengenangkan Ramadhan, saya sering teringatkan memori lama bersama seorang sahabat talaqqi. Sahabat saya ini bernama Anwar Mohamad, seorang teman Kuliah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa, tetapi berlainan jabatan. Hampir setiap malam kami bersama mendengarkan kuliah pengajian agama daripada seorang ulama di Ampang usai solat Tarawih.

Ketika itu Ramadhan baru bermula. Satu perkara yang aku kenang adalah sepanjang perjalanan, ada sahaja perkongsian ilmu daripada beliau. Perjalanan Gombak-Ampang melalui beberapa rumah ibadat agama lain. Kata beliau,

“Lihatlah, inilah satu petunjuk daripada Allah bahawa Islam adalah agama fitrah yang benar.”

“Maksud engkau?”

“Tengoklah kuil-kuil ini tidak pernah pun mereka membuka kuil hampir setiap malam. Tengok, lengang tidak ada orang yang datang.”

Aku menangguk. Sambung beliau, “Inilah kebesaran Allah. Tiba bulan Ramadhan, seluruh dunia serentak menjalankan kepatuhan ibadah kerana Allah dengan berpuasa. Sebulan umat Islam berpuasa menahan lapar dan dahaga. Masjid dan surau menjadi penuh. Umat Islam datang untuk tunaikan solat tarawih pada setiap malam selama sebulan. Ada agama lain yang dapat membuat sebegini?”


Destinasi kian hampir. Anwar memberikan isyarat membelok ke kiri, memasuki Ampang (berhadapan bangunan Flamingo). Di sana terdapat sebuah kuil besar. Ujarku, “Benar kata engkau. Hampir setiap malam kita lalu di sini, aku terperasan kuil ini tiap-tiap malam buka.”


Kami membelok memasuki Ampang. Kata beliau, “Inilah Islam, agama fitrah. Apabila dibelenggu syaitan, hati manusia terbebas, dan mereka kembali kepada fitrah mereka kembali kepada Allah.”

Alhamdulillah, kami tiba di tempatnya. Masjid Taman Tunku Abdul Rahman, Ampang mendengarkan mutiara kata guru kami, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Semoga Allah merahmati beliau dan meneguhkan dakwahnya. Beliaulah yang mentautkan benih-benih mahabbah kepada penghulu segala anbiya, Sayyiduna Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

 Menghadapi Ramadhan al-Mubarak yang menjelang, marilah kita memasang niat agar Ramadhan kali ini kita usahakan sebaik mungkin. Teringatkan kata-kata tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Hj. Khalidi bin Ibrahim pada 13 Julai 2012 yang lepas, beliau melontarkan persoalan. Iaitu, selama kita hidup, berapa kali kita bertemu Ramadhan? Adakah pernah kita merenung, mana satu Ramadhan yang paling bererti kepada ketaqwaan kita? Ayuh, inilah peluang yang perlu kita rebut!

Dalam kitab Qul Hazihi Sabiili (Inilah Jalanku) karangan al-Muhaddith Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki tentang Bab Puasa, beliau menyeru umat Islam agar memanfaatkan segala waktu dalam Ramadhan, tanpa disia-siakan. Kerana setiap waktu dalam bulan yang mulia ini adalah waktu yang amat berharga untuk beribadah. Terlalu banyak ganjaran luar biasa yang harus kita imani dan praktikkan sepanjang bulan Ramadhan. Tidaklah saya di sini untuk mengupasnya dengan panjang lebar.

Sebelum menutup bicara, izinkan saya berkongsi tips-tips untuk kita istiqamah ataupun konsisten dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah pada sepanjang bulan Ramadhan ini. Tips-tips ini telah saya petik daripada status facebook sahabat saya, sdr. Zamri bin Bali, Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak.





3 tips dari Habib Ali al-Jufri untuk terus mengekalkan semangat beribadah sepanjang bulan Ramadan sehigga ke penghujungnya :

1. Bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah SWT setiap malam setiap kali selepas solat dengan penuh pengharapan agar dikurniakan ketaatan dalam beribadah kerana perkara taat adalah pemberian dan kurnia dari Allah SWT. 2. Menjaga Pandangan, pendengaran dan lidah daripada melihat, mendengar dan menyebut perkara-perkara maksiat yang dimurkai oleh Allah SWT. Barangsiapa yang menjaga ketiga-tiga pancaindera ini nescaya hatinya secara tidak langsung turut terjaga dari dirosakkan dan dimasuki oleh amal yang buruk. 3. Berusaha menghadirkan hati dalam sebarang bentuk ibadah. Contohnya ketika membaca al-Quran hati dapat merasakan Allah SWT sedang berbicara dengannya.


Dikongsikan juga 2 tips ibadah yang disampaikan oleh guru kami Habib Izzuddin al-Idrus malam tadi:
Kenang-kenangan... sahabat-sahabat bersama
Habib Izzuddin al-Idrus (tiga dari kiri) setelah program
YADIM & SAF Sarawak
Bersama Masyarakat sempana Isra' & Mi'raj 1433H, Jun 2012
1. Mendirikan solat sunat tasbih 4 rakaat selepas Magrib. Mengapa solat sunat tasbih? kerana solat sunat tasbih boleh mengundang keredhaan Allah SWT. 
2. Memperbanyakkan solat sunat witir sekurang-kurangnya 11 rakaat setiap malam. Mengapa witir? kerana witir merupakan ibadah yang disukai oleh Allah SWT dan ianya menjadi amalan-amalan para ulama dan orang-orang soleh. Ditambahnya lagi bahawasanya para ulama dan orang-orang soleh apabila beribadah mereka memilih untuk mengerjakan ibadah yang disukai Allah tetapi kita lebih suka mengerjakan ibadah berdasarkan apa yang kita suka.
Kita kutip bingkisan ilmu daripada al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll, tentang amalan-amalan pada awal malam Ramadhan. Sila lihat di pautan ini.
Dipetik daripada facebook Lukisan Dakwah Islam
Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terbaik dalam mendekatkan diri kita kepada Allah. Mohon maaf atas segala tersilap kata atau terlebih kata dalam berurusan selama ini.

Wassalam.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...