BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Yayasan Sofa. Show all posts
Showing posts with label Yayasan Sofa. Show all posts

Tuesday, January 21, 2014

[BUKU] Kenal Untuk Cinta: Biografi Lengkap Rasulullah s.a.w

“Itulah tujuan utama al-Faqir menterjemah buku yang sangat bernilai ini; agar umat KENAL (ma’rifah) akan Nabi (s.a.w) mereka kerana buah daripada kenal itu adalah CINTA (mahabbah) yang akhirnya akan menatijahkan TAAT (tho’ah wa iqtida’) kepadanya.”              ~al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll[1]

Segala Puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Segala Puji bagi Allah yang telah mengutuskan Penutup segala Rasul, Penghulu Segala Nabi, Semulia-mulia Makhluk iaitu Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Baginda Nabi s.a.w, para ahli keluarga Baginda s.a.w (Ahlul Bait), dan juga para Sahabat serta orang-orang yang benar jalannya sehingga Hari Kiamat.

Semoga kita beroleh kekuatan untuk menuntuni satu-satunya jalan yang selamat, iaitu mengikuti Nabi Muhammad s.a.w yang diwariskan kepada kita melalui para imam, masyaikh, ulama yang benar, istiqamah terhadap kebenaran dan amanah dalam menyampaikan dan memelihara agama Islam yang suci ini sehingga hari ini.

Alhamdulillah, syukur banyak-banyak kepada Allah telah mengurniakan rezeki menatap sebuah buku yang diterjemah dan disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll yang terbaru, bertajuk, “Kenal Untuk Cinta: Biografi Lengkap Rasulullah s.a.w.” Buku ini amat istimewa kerana tiba keharibaan diri pada tanggal 12 Rabiul Awal 1435H, iaitu tarikh masyhur kelahiran Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w.

Biografi Ringkas Pengarang


 Buku ini merupakan terjemahan sebuah kitab yang dikarang oleh seorang ulama besar dunia Islam, iaitu al-Alim al-Allamah al-Musnid al-Muhaddits al-Arifbillah, Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani al-Maliki[2]. Kitab asal tersebut berjudul, Tarikh al-Hawadits wa al-Ahwal an-Nabawiyah yang juga bermaksud ‘Tarikh Peristiwa-peristiwa dan Hal-hal Kenabian.’ 

Kitab biografi pengarang yang ditulis
oleh anak murid beliau, Syeikh Ahmad
Fahmi Zamzam al-Maliki an-Nadwi
al-Banjari.
Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki yang juga dikenal sebagai Buya Maliki adalah seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah yang lahir di Mekah, berketurunan Ahlul Bait. Keluarga beliau adalah keluarga ulama dan 7 keturunan mendahului beliau adalah ulama besar pada zaman mereka. 

Beliau tersohor kerana keilmuan tinggi dan memiliki budi perkerti yang mulia serta menghasilkan ramai ulama di kalangan anak-anak muridnya. Antara yang mendapat didikan beliau adalah Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Maliki an-Nadwi al-Banjari dan Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi. 

Buya Maliki telah wafat pada bulan Ramadhan tahun 2004. Beliau merupakan seorang yang aktif mendidik dan merantau untuk berdakwah. Beliau adalah pengarang profilik dalam menulis lebih 40 buah kitab berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang seperti Aqidah, Tafsir, Hadith, Sirah Nabawiyah, Usul Fiqh, Feqah, Tasawuf dan lain-lain. Ramai ulama pada zamannya mengakui kewibawaan dan ketinggian ilmu beliau dalam mengupas permasalahan yang melanda umat.

Pemergian beliau ke Alam Baqa’ menyentuh ramai hati manusia. Seluruh dunia Islam menangisi pemergiannya. Ribuan penduduk kota Makkah menghadiri upacara pengebumian beliau. Semoga Allah menjadikan kubur beliau antara taman-taman syurga. Amiin.


Sebab Buku Ini Ditulis

Penterjemah...
al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll di
Rancangan 30 Minit Ustaz Don TV al-Hijrah
Buku ini mengandungi butir-butir peribadi tentang Nabi Muhammad s.a.w dan kisah perjalanan hidup Baginda s.a.w. Buku ini padat dengan ilmu mengenai Baginda s.a.w yang adakalanya jarang kita dengar dan dapati dalam kitab-kitab Sirah. Pada asalnya, pengarang Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki menulis kitab ini kerana memperhatikan bahawa kitab-kitab sirah mengenai Nabi Muhammad s.a.w semakin kurangnya kesungguhan karya-karya tersebut ditelaah. Dalam pengenalan beliau mengenai kitab ini, beliau mengumpulkan maklumat peribadi Nabi Muhammad s.a.w secara ringkasan agar umat Islam tidak terlepas peluang mengenal Rasul Junjungan s.a.w mereka.
Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin
Kamaludin al-Maliki as-Sanusi, antara
anak murid Prof. Dr. Muhammad bin
Alawi al-Maliki

Beliau merasakan peri mustahaknya umat Islam dewasa ini mengambil berat akan pengetahuan akan Nabi Muhammad s.a.w mereka. Kata beliau:

“Termasuk di dalam sesuatu yang paling perlu dan paling wajar untuk diketahui dan diberitahu tentangnya dan ditumpukan usaha padanya ialah perbicaraan tentang ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kenabian dan sifat-sifat yang berkaitan dengan Nabi Muhammad s.a.w.”

 Hal ini seringkali dinyatakan oleh anak murid beliau, iaitu Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki yang menyatakan bahawa umat Islam perlu memperuntukkan sebahagian masa mereka untuk mengkaji, mendalami dan menghayati sirah Nabi Muhammad s.a.w kerana akan jasa Baginda s.a.w yang amat mulia buat umat Islam. Perkara ini ada beliau pesan semasa Kuching Berselawat 2011 dahulu.



Pembahagian Buku

Antara terjemahan kitab yang dikarang oleh
Prof. Dr. Muhammad bin Alawi
al-Maliki, menghuraikan kitab Maulid
ad-Daiba'
Buku ini terbahagi kepada dua. Pertama adalah mengenai maklumat secara terperinci kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Bahagian kedua pula mengisahkan perjalanan hidup Baginda Nabi s.a.w sejak lahir sehinggalah kewafatannya. Mari kita teliti sejenak perincian pembahagian ini daripada pengarangnya sendiri dalam mukadimah kitab tersebut:

“Bahagian Pertama menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan keadaan Baginda s.a.w di peringkat awal yang berkaitan dengan anak-anak lelaki dan perempuan Baginda, ayah dan ibu saudara, ibu susuan, sauara dan saudari susuan, hamba, khadam, penulis wahyu, surat-menyurat, utusan dan pembesar-pembesar yang menerima dakwah Islamiah. Di samping itu dijelaskan juga tentang haiwan tunggangan, senjata, pakaian, mukjizat dan lain-lain.

Bahagian Kedua pula berkaitan dengan ringkasan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Nubuwwah, bermula dari tahun kedua dari kelahiran Baginda hinggalah wafatnya Baginda dengan merujuk kepada rantaian masa dan susunan sejarah yang dijelaskan dengan ringkas.”


Keistimewaan Buku

1. Tidak dinafikan buku ini wajar ditatap kerana ditulis oleh seorang yang mendalam cintanya akan Penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w. Pengarang yang juga menyambung tugas nendanya bersungguh-sungguh mendidik umat dan istiqamah terhadap kebenaran.

Dalam karya beliau yang bersangkut-paut dengan kenabian dan Nabi Muhammad s.a.w, beliau banyak mempertahankan Nabi s.a.w dan membersihkan Baginda s.a.w daripada tohmahan sebilangan umat Islam yang terburu-buru dan kurang cermat mentafsirkan dalil Quran dan Sunnah. Beliau menjawab dengan tuntas dan berhikmah dalam hujah beliau. 

Tidak hairanlah, apabila membaca (terjemahan) kitab beliau, banyak persoalan dirungkai dengan tepat dengan huraian yang boleh difahami (berdasarkan ilmu yang dipelajari daripada penjelasan para guru). Terasa pembelaan beliau akan Nabi s.a.w adalah terbit atas dasar cinta beliau kepada Nabi Muhammad s.a.w.  Sukar sekali menatap sesebuah karangan yang dapat membuahkan kefahaman dan rasa minat yang mendalam dalam kitab-kitab lain berkenaan hal Kenabian ini. Semua ini terpapar dalam himpunan karya beliau yang termuat antaranya dalam kitab Mafahim Yajibu an-Tusohhah[3], Qul Hazihi Sabili[4], Syarah Maulid ad-Daiba' dan Muhammad Insan Kamil[5].

2. Kitab asal ini sebenarnya adalah hadiah daripada pengarang, Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki kepada penterjemah, Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Beliau mendapat hadiah kitab ini ketika beliau menziarahi Prof. Dr.  di kediaman beliau di Makkah. Maka diri ini melihat adanya keberkatan dan restu daripada sang guru tersebut dan dimanfaatkan kepada para pembaca.

3. Buku ini tidak terlalu panjang, tidak juga terlalu ringkas. Ada sesetengah dalam butiran ‘point’ dan ada juga yang disusun dalam teks perenggan. Kepelbagaian ini menjadikan tidak terasa cepat diselesai bacaan.

4.Berbanding dengan kitab Syamail Muhammadiyah, iaitu kitab hadith yang disusun oleh Imam Tirmizi yang menghuraikan keperibadian Nabi Muhammad s.a.w, maka kitab ini adalah nilai tambah kepada kitab tersebut. Ini kerana (pemerhatian saya yang cetek ini), kitab Syamail Muhammadiyah lebih tertumpu kepada tentang perincian Nabi s.a.w, akan tetapi kitab ini menghuraikan juga sedikit sebanyak tentang siapakah yang berada di sekitar Nabi s.a.w. Perincian tersebut dipaparkan dalam bahagian pertama kitab ini.

5. Ada yang mengatakan bahawa kitab ini seperti ensiklopedia. Ya, ada ciri seperti itu. Cuma ensiklopedia sering mempunyai huraian yang agak mendalam tentang topik yang dibicarakan. Saya melihat kitab ini seperti buku indeks; iaitu menyediakan garis panduan yang memudahkan seseorng untuk mencari maklumat yang dihajati. Salah satu kriteria tersebut jelas terpampang dalam Bahagian Kedua, iaitu kita dapat menelusuri peristiwa-peristiwa berdasarkan tahun demi tahun dan umur Baginda s.a.w. Maka, kita dapat mengenalpasti dengan lebih tepat. Berbanding dengan kitab-kitab sirah, kita terpaksa membaca perenggan demi perenggan untuk mendapatkan penjelasan mengenai peristiwa tersebut. Hal ini amat berguna, terutamanya buat Guru Pendidikan Islam(GPI) mahupun Guru KAFA.

6. Satu ciri yang sering membantu pembaca, yang ada dalam karya al-Fadhil Ustaz Muhadir adalah nota kaki. Beliau menyediakan nota kaki yang komprehensif, setidak-tidaknya menjelaskan sesuatu dengan memadai kita mengetahuinya dan bermanfaat sebagai penunjuk arah rujukan selanjutnya. Banyak dihuraikan berkenaan tokoh di kalangan Sahabat, dan juga huraian lanjut peristiwa tersebut.

7. Sering disentuh dalam buku ini adalah berkenaan dengan Asbabun Nuzul, iaitu sebabnya turunnya sesuatu wahyu daripada Allah dengan ayat-ayat al-Quran. Al-Fadhil Ustaz mengaitkan sesuatu peristiwa kadangkala telah menyebabkan turunnya ayat-ayat al-Quran tertentu pada sesuatu peristiwa tersebut.

8. Ilustrasi amat menarik. Saya berharap jika ada ulang cetak, agar lebih banyak gambar berkaitan dengan peninggalan Nabi Muhammad s.a.w dan tempat bersejarah diselitkan. Para guru mahupun ibubapa akan lebih mudah menyampaikan dan menggambarkan kepada anak didik mereka apabila bercerita tentang Rasulullah s.a.w. Sungguh, dengan melihat perkara-perkara tersebut akan menimbulkan azam untuk ke sana dan menziarahi Nabi Muhammad s.a.w!


Miliki Buku Ini!

al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll ketika diwawancara
oleh KOSMO! di pautan ini.
Jika ada peluang dan ruang, maka tataplah buku ini. Buku ini adalah tinggalan yang amat berharga buat kita daripada pengarang. Moga dengan berkatnya buku ini dalam mengisahkan Nabi Muhammad s.a.w, maka dengan itu kita harapkan buah kenal itu benar-benar menjadi cinta yang akhirnya menjadi ketaatan! Sebagai penutup, mari kita renung seruan seorang ahli ilmu dalam mengkomentar buku ini, daripada Ustaz Dr. Nima Jehtae, salah seorang warga pendidik Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM):

“Sesunnguhnya adalah menjadi tugas dan cabang kegiatan dakwah, mengkaji, membongkar, dan mempersembahkan khazanah as-Sirah Nabawiyyah kepada golongan pelajar dan umat Islam amnya dengan cara yang mudah dan berkesan. Semoga dengan usaha ini, kita dapat mengenali dengan lebih jelas peribadi Rasulullah s.a.w dan seterusnya kita akan lebih cinta kepada junjugan mujtaba, musthofa Sayyid asy-Syuhada’ wa Mursalin, Nabi Muhammad s.a.w”

Semoga bermanfaat perkongsian kali ini. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w selama-lama tulisan ini ada, moga digandakan sebanyak zarah yang ada di langit dan di bumi, Amiin!

Mari segarkan 'cinta musim bunga' kali ini:



Allahumma Solli wasallim wabaarik ‘alaih!

Bibliografi:
Prof. Dr. Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki, Ustaz Muhadhir bin Hj. Joll (pent.), (2014). Kenal untuk cinta: Biografi lengkap Rasulullah s.a.w. Galeri Ilmu Sdn. Bhd.: Kota Damansara.




[1] Penterjemah kitab asal, iaitu al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll merupakan agamawan muda dari Kpg. Senari, Sarawak. Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga pembimbing sebuah majlis ilmu di UIAM, iaitu Majlis Taalim an-Nur. Beliau aktif di Radio ikim.fm dan menulis beberapa buku, antaranya Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama, Ingin Kubalas Cintamu Ya Rasulallah, Keajaiban Firasat dan Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

[2] Antara tulisan yang memuatkan biografi ulama ulung ini adalah yang dinukilkan oleh anak murid pengarang, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam (2005) dalam sebuah buku kecil Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani rahimahullahu ta’ala: Sejarah Hidup dan Dasar-Dasar Pemikirannya. Buku ini adalah bersempena 150 kewafatan beliau. Terbitan Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah.

Gambar ini dimuat naik daripada blog http://anafaqirah.blogspot.com/ pada 22 Januari 2014.

[3] Menurut biografi Buya Maliki yang dikarang oleh anak murid beliau Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, kitab ini adalah kitab yang paling dekat dengan beliau. Kitab ini menjawab pelbagai persoalan (yang juga melibatkan kekeliruan dalam perkara khilafiyah) dengan tuntas dan mendapat perhatian serta pujian daripada ramai ulama besar Islam. Versi ini adalah terjemahan daripada anak murid beliau, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi (pent.), (2008). Mafahim yajibu an-tusohhah (kefahaman yang wajib diperbetulkan). Terbitan Sofa Production: Ampang.

[4] Menurut biografi tersebut, kitab Qul Hazihi Sabili adalah kitab Aqidah yang menjelaskan pegangan keimanan beliau dalam menjawab fitnah yang dilontarkan kepada beliau. Terdapat versi terjemahan yang diterjemahkan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi (pent.), (2008). Qul Hazihi Sabili (Inilah Jalanku). Terbitan Sofa Production: Ampang.

[5] Ini adalah kitab Sirah Nabawiyah yang khusus menghuraikan keistimewaan, kelebihan dan kesempurnaan peribadi Nabi Muhammad s.a.w Rasulullah Penutup segala Rasul. Terdapat versi terjemahan oleh Hasan Baharun (2006). Insan Kamil (Muhammad s.a.w). Victor Agencie: KL.

Monday, September 9, 2013

[BUKU] Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait

 “Sesungguhnya fahaman ini (Syiah) bukan sahaja mampu menggugat keamanan umat Islam tetapi lebih dari itu mampu memesong aqidah umat Islam.”                                         ~Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki
Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, para keluarganya di kalangan Ahli Bait, para sahabat serta orang-orang yang ikhlas meruntun jalan baginda s.aw sehinggalah Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, sekali lagi Dia telah memberi peluang untuk menatap sebuah kitab kecil tetapi mengandungi makna yang besar sekali. Kitab tersebut berjudul ‘Perutusan Untuk Pecinta Ahli Bait’ yang telah dikarang oleh seorang ulama muda negara, al-Musnid Dato’ Hj. Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Beliau merupakan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan juga Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Kitab ini baharu dilancarkan pada 28 Ogos 2013 yang lepas.


Kemunculan kitab ini sedikit sebanyak melegakan keresahan yang menyesakkan atas fenomena siri gelombang serangan mazhab akidah Syiah. Fahaman ini sudah menerobos segenap lapisan masyarakat, baik dalam barisan kepimpinan politik, penulisan dan media massa. Dan lebih merunsingkan lagi, pengikutnya sudah bertambah ramai. Slogan mereka menganjurkan untuk mencintai Ahli Bait (ahli keluarga baginda Nabi s.a.w), tetapi hakikatnya sebaliknya, gejala melaknat para Sahabat Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan pelbagai penyimpangan yang lain tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.  

Masanya tepat sekali apabila masalah penyebaran fahaman menyimpan Syiah semakin menjadi-jadi dan dibimbangi menjadi barah dalam masyarakat. Di kala saat genting ini masyarakat sememangnya memerlukan jawapan daripada para ulama dengan tuntas lagi meyakinkan. Kita tidak mahu masyarakat berpecah-belah kerana perbezaan akidah yang sudah zahir akhirnya menumpahkan darah. Lihatlah di Timur Tengah, sehingga kini pergeseran Sunni-Syiah masih berterusan seolah-olah tiada akhirnya.

Ruangan 'Bahaya Syiah' Majalah Q&A Isu  20
 Dalam masa setahun kebelakangan ini, pendedahan mengenai kesesatan mazhab akidah ini tersebar melalui laman sosial Facebook. Saya terkenangkan dahulu seorang dua sahaja remaja yang pernah bertanyakan akan kekeliruan Syiah dan Sayyidina Ali karamallahu wajhah, namun mutakhir ini saya melihat remaja khususnya sudah peka akan hal ini, bercerita akan amalan-amalan dan pegangan pelik yang mereka lakukan.


Entri kali ini bukanlah bertujuan untuk mengupas apatah lagi menghuraikan lebih mendalam. Sebagai orang awam, tanggungjawab adalah untuk menyebarkan kalam-kalam ulama yang mempertahankan keluhuran mazhab majoriti umat Islam, yang mengikuti jalan baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.

Walaubagaimanapun, setelah membaca kitab ini, saya ingin kongsikan sekilas pandang mengenainya, dan berkongsi panduan asas bagi sesiapa yang baharu memahami apakah di sebalik fahaman Syiah:
     
             1.  Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa kitab ini adalah rumusan daripada telaah Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki atas banyak kitab ‘muktabar’ asli yang ditulis oleh ulama-ulama besar Syiah. Oleh sebab itu, kita akan mendapati bahawa banyak daripada pendedahan yang dihuraikan jarang pernah didengar dalam rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu (setakat pembacaan saya) sebelum ini.

      2. Kitab ini adalah ‘extension’ ataupun kupasan lanjutan mengenai mazhab akidah Syiah. Pada pengamatan saya, bagi sesiapa yang baru hendak mengenal ataupun mengkaji bermula daripada kitab ini mungkin memerlukan maklumat-maklumat asas ataupun gambaran umum mengenai kerangka mazhab Syiah, peristiwa sejarahnya dan perbezaan mazhab ini dengan mazhab akidah majoriti umat Islam, iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah.

          3. Terdapat sejumlah nota kaki yang menerangkan sesetengah istilah asas mengenai isu yang dibicarakan. Sebagai contoh Taqiyyah (berbohong demi agama; salah satu rukun Syiah).

     4.   Kitab ini disusun dalam perenggan-perenggan yang dihimpunkan mengikut isu tertentu.

     5. Perenggan demi perenggan banyak membicarakan percanggahan dalaman orang Syiah itu sendiri terhadap doktrin mereka lantas membersihkan para Sahabat baginda s.a.w terutamanya daripada tuduhan-tuduhan liar dan palsu mereka.

Oleh sebab itu, saya mencadangkan pembaca mendapatkan maklumat asas dahulu sebelum membaca kitab ini. Anda boleh mendapatkan penjelasan tersebut:

         1.  Kertas Kerja ‘Syiah Imam Dua Belas: Penyelewengannya dari Jalan Ahlul Sunnah wal Jamaah’
Kertas kerja ini telah disusun oleh Datuk Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh (2009) yang diterbikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri.

Prebiu:  
Kertas kerja ini menawarkan gambaran yang komprehensif mengenai mazhab Syiah (Imam Dua Belas) ini. Pengkajian mencakup mengenai asas mazhab itu sendiri dalam segenap bidang daripada sumber kitab dan ulama Syiah sendiri. Dalam bahagian kedua, dihuraikan dengan lanjut mengenai kekeliruan tentang Ahlul Bait (ahli keluarga baginda  Nabi Muhammad s.a.w). Hakikatnya dalam Ahli Sunnah wal Jamaah dianjurkan untuk mencintai Ahli Bait, menghormati dan menyanjung mereka. Tidak seperti Syiah yang mengaku mencintai sebahagian, tetapi anehnya menyingkirkan, mendendami, melaknat bahkan mendoakan kehancuran Ahli Bait yang mereka benci!

Pautan:
Bahagian I: Akidah 'Imamah' di Sisi Syiah Isna 'Asyarah
Bahagian II: Ahlul Bait Menurut Sunnah dan Syiah 

Penerbitan baru (2012) daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah himpunan penulisan akademik yang bertajuk 'Hakikat Syiah' semasa Seminar Pemurnian Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 2007. Klik untuk muat turun di pautan ini.



    3. Kitab Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki

Kitab ini merupakan himpunan soal jawab Syeikh Nuruddin yang terkumpul selama 12 jam, disusun semula oleh anak murid beliau al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj. Joll. Kitab ini merangkum persoalan akidah, fiqh (fekah), tasawuf (akhlak) dan umum. Terbitan PSN Publications, 2012.

Prebiu:
Pengenalan mengenai mazhab Syiah dijawab dalam bab awal kitab ini dalam bahagian akidah. Syeikh secara ringkas dan tuntas menjawab mengenai pecahan mazhab ini dan penyimpangannya. Ustaz Muhadir menyediakan nota kaki bagi sesetengah istilah (yang lazimnya dalam bahasa Arab), rujukan, ulasan lanjut dan biografi tokoh yang disebut.

 4.  Majalah Q&A

Majalah wadah penyampai Ahli Sunnah wal Jamaah ini memaparkan ruangan ‘Bahaya Syiah’ (sebelum ini ruangan Bicara Mufti oleh Dr. Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai Syiah secara konsisten. Mutakhir ini dalam Isu 21 (2013), Galeri Ilmu memberi perhatian akan 
mencintai sahabat baginda Nabi Muhammad s.a.w, secara khususnya Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq. Juga diutarakan adalah golongan Anti-Sahabat yang begitu membenci, mendendami dan melaknat para Sahabat, tidak lain tidak bukan adalah golongan Syiah.

5. Kitab Fitnah Syi’ah

Dikarang oleh al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini diterjemahkan oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (bawah seliaan Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Diterbitkan pada tahun 2008.

Prebiu:
Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari Indonesia, al-Habib Salim ibn Ahmad bin Jindan radhiyallahu ‘anhu. Kitab ini menghuraikan lebih mendalam mengenai doktrin Syiah. 



Saya secara peribadi mengucapkan sekalung penghargaan buat usaha yang telah dilaksanakan oleh al-Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki serta warga Yayasan Sofa yang bertungkus-lumus menyiapkan kitab ini untuk tatapan umum. Semoga Allah memberikan manfaat bagi sesiapa yang mahu mencari kebenaran. 

Semoga Allah meneguhkan dakwah mereka, melindungi daripada fitnah, semakin bersemangat dalam mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Semoga Allah jadikan orang-orang yang mengambil manfaat daripada mereka, insya-Allah. Mohon maaf segala salah dan silap yang sememangnya layak ditegur dalam bicara kali ini. Akhir kata, saya teringat akan kata-kata seorang ulama (lupa namanya):

“Sebelum kenal Syiah, kenali lah dahulu Ahli Sunnah wal Jamaah!”

Ayuh mari berpijak di jalan yang lurus. Mari tingkatkan ilmu dan amal. Ayuh pertahankan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah diwariskan kepada kita oleh Kekasih-Nya Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w yang didokongi para sahabat baginda!

Sunday, December 25, 2011

Kursus Miftah Al-Ilmi Sesi 2012

Kepada sahabat-sahabat lepasan SPM dan STPM yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang ilmu agama, Yayasan Sofa akan mengadakan Kursus Miftah al-Ilmi bermula Januari ini. Kursus ini akan diadakan selama 4 bulan. Inilah peluang untuk belajar secara talaqqi bersanad daripada ahli-ahli berautoriti dalam bidang agama, insya-Allah. Pendaftaran dilanjutkan sehingga 2 Januari 2011.

Sila klik pada pautan laman sawang Yayasan Sofa di pautan ini.

Mudahan ada manfaatnya.

"Berjasa Kepada Masyarakat"

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...