BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, July 29, 2008

Kolokium Pendidikan Mahasiswa Islam Sarawak

Pada-Mu Tuhan aku mengadu,
Jasadku longlai mataku kuyu,
Menagih kasih dan kudrah-Mu,
Menggalas beban amanah di bahuku,

Kepada-Mu Tuhan aku berserah,
Ku yakin jalan-Mu tiadalah salah,
Tercungapku menempuh jalan-Mu yang payah,
Kuharap cintaku pada-Mu tiadalah goyah,

Kepadamu Mahasiswa!
Kurayu kita bersatu bersua,
Agar bimbang ini dapat bersama dirasa,
Agar tangis umat kita seka bersama,
Agar terkikis gelap kecewa,
Agar bersinar harapan kita,
Agar bersama kita mencita,
Umat berpadu, sejahtera hendaknya!

Kepadamu Mahasiswa...

Kafe Farouq, UIAM
Jam 2317

Dengan ini segala hormatnya menjemput anda:
Kepada mahasiswa Islam Sarawak UIAM, sila hubungi saudara Azizan di talian 013-2463657 untuk mendaftar. Insya-Allah, pengangkutan akan disediakan untuk program. Sijil juga akan diberikan oleh pihak BPP-MIS bagi yang menyertai program ini.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini, boleh menghubungi saudara Abdul Muntaqim dan saudara Khairul Anwar untuk makluman lanjut, seperti yang tertera dalam e-banner di atas.

Sekian, terima kasih. Wassalam

Sunday, July 27, 2008

Pengumuman... Pesta Buku

Pesta Buku Malaysia

Tarikh : 31 Julai hingga 3 Ogos 2008
Tempat : PWTC
Anjuran: Perpustakaan Negara Malaysia

Pesta Buku Selangor


Tarikh : 25 Julai hingga 31 Ogos 2008
Tempat : Kompleks PKNS, Shah Alam
Anjuran: Kerajaan Negeri Selangor

Wednesday, July 23, 2008

Segala Puji Bagi Allah, Era Perjuangan Sudah Bermula!



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Semoga Allah melimpahkan rahmat buat keluarga baginda, sahabat baginda serta orang-orang yang ikhlas menuntuninya sehingga hari kiamat.

Alhamdulillah, pertama-tama dan selama-lama dipanjatkan rasa syukur kepada Allah, novel sulung penulis, Galaksi Muhsinin telah terbit akhirnya. Insya-Allah, novel ini akan muncul di pasaran dalam seminggu dua lagi. Novel ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama di kawasan anda.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Ainon, Pengerusi PTS yang telah memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk menceburi bidang penulisan ini. Terima kasih juga terutama kepada Saudara Mat Jan yang telah bertungkus lumus mengedit dan menguruskan hal penerbitan. Tidak lupa juga penghargaan kepada seluruh warga PTS. Penghargaan juga kepada rakan seangkatan, Firdaus Ariff yang banyak berkongsi idea dan pengalaman.

Sebanyak-banyak terima kasih atas dorongan daripada ayah dan bonda, Jaini b Salleh dan Lily bt Haji Morni. Sungguh, kalian telah memberikan sokongan dan dorongan. Juga kepada sekeluarga; kakanda Azura dan dinda Azwani dan seluruh ahli keluarga.

Penghargaan juga kepada guru-guru dan rakan-rakan persekolahan, seuniversiti, dan lebih-lebih lagi rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bingung memikirkan hal umat; serta semua individu yang menyokong dan terlibat secara langsung dan tidak langsung demi menjadikan novel ini satu kenyataan.

Semoga novel ini menjadi salah satu usaha kecil dalam mendaulatkan agama Allah. Semoga Allah menerima dan memberkati usaha ini dan termasuk dalam amalan yang soleh. Amalan siapa lagi yang harus kita ikut jika tidak amalan para ulama yang merupakan waris para anbiya'? Lantaran keikhlasan menukilkan ilmu mereka, kita sekarang beruntung mengaut hikmah mutiara goresan tinta mereka.

Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui....


Kategori: Sains & Fantasi
RM 19.00 / RM 22.00 (Sabah & Sarawak),

978-967-5136-06-1;
Tarikh Terbit: 23 July 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 320 halaman

Sinopsis:

Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan. Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.

Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.

Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh. Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang tidak dikenali.

Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain, mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?


Sumber: www.pts.com.my

Prolog Galaksi Muhsinin daripada penulis, klik di sini.

"Semoga Allah bersama kita. Allahu Akbar!"

Pengumuman... Perjumpaan Mahasiswa Islam Sarawak #3





Assalamualaikum....

InsyaAllah, Perjumpaan Mahasiswa Islam Sarawak (PMIS) yang ketiga dalam semester ini akan dilangsungkan seperti biasa:

Tarikh : 26 Julai 2008
Tempat : Masjid AsSyakirin, KLCC (aras atas)
Masa : 2.30petang

Rami-rami kita bertemu di sana! Moga ada manfaatnya.

Berjasa Kepada Masyarakat

Wassalam.

Sunday, July 20, 2008

Kem Berambeh Selaseh 3: Mahasiswa Berjiwa Cintakan Umat


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Kepada-Nya kita memohon pertolongan dan kepada-Nya kita memohon keampunan. Barangsiapa yang ditunjuki-Nya, tidak akan disesatkan-Nya. Baransiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak akan ada petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, sebagai utusan-Nya.

Segala puji bagi Allah, Kem Berambeh Selaseh 3 yang dianjurkan oleh PERKEPISMA telah berlangsung pada 18 sehingga 20 Julai 2008 yang lepas. Bertempat di Kem Sri Raudah, Gombak, seramai 29 orang berkampung di sana. Program yang bertemakan Mahasiswa Berjiwa Cintakan Umat merupakan program sambutan adik-adik mahasiswa segar yang baru sahaja melangkahkan kaki ke menara gading.


Selain daripada memupuk ukhuwah (persaudaraan) antara junior dan senior, program ini juga bertujuan untuk menanam rasa tanggungjawab diri ini sebagai niat hakiki, hamba dan khalifah, pentingnya berada dalam satu kelompok (jemaah), menjiwai perjuangan dan punyai halatuju yang jelas; dunia dan akhirat.

Sesungguhnya alam mahasiswa merupakan medan pendidikan yang penting bagi seseorang. Di sinilah ia meneruskan perjuangan suci menuntut ilmu pelbagai bidang, menimba pengalaman dan membina jati diri yang kental. Di samping itu, ia harus sedar, ia punyai satu perjuangan: menegakkan agamanya walau di mana sahaja ia berada. Terlebih lagi, para peserta yang majoritinya adalah anak watan bumi Sarawak, mereka menggalas beban di bahu mereka sebagai ejen perubah masyarakat.


Kenyataan tersebut bukanlah sebagai laungan asabiyah (perkauman), tetapi kerana mereka ini ditakdirkan untuk lahir di sana, membsar di sana, hidup di sana, maka satu kewajipan dan tanggungjawab mereka untuk menumpahkan segala jasa dan bakti mereka apabila sampai masanya. Suara umat semakin lemah. Tangisan mereka tidak kedengaran. Siapa lagi yang mendengar, jika tidak daripada darah dagingnya sendiri?










Namun program ini akan sia-sia, jika orang-orang yang terlibat tidak mengambil iktibar dan manfaat daripada program ini. Masing-masing harus sedar bahawa setiap insan mempunyai tugas dan peranan masing-masing untuk menyediakan diri beriman kepada Allah dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berjasa kepada masyarakat.

Segala puji bagi Allah, program ini berjalan lancar. Mudah-mudahan, Allah kekalkan ikatan hati-hati ini sehinggalah ke akhir hayat. Bersamanya, diikat jua dengan paduan semangat waja berjiwa cintakan umat. Syukur tidak terhingga pada-Mu ya Allah, berkatilah, rahmatilah dan suburkanlah cinta kami kepada-Mu.

Terima kasih atas penglibatan kalian. Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua individu yang terlibat menjayakan program ini, baik secara langsung atau tidak langsung. Hanya Allah sahajalah yang akan membalas jasa kalian dengan sebesar-besar ganjaran. Amiin.


Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui.

Berjasa kepada Masyarakat

Wassalam.

Thursday, July 17, 2008

Kem Berambeh Selaseh 3


Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala puji bagi-Nya, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, penyudah segala nabi dan sekalian rasul dan pembawa rahmat ke serata buana.

Mahasiswa Berjiwa Cintakan Umat begitulah tema program Kem Berambeh Selaseh 3 yang insya-Allah akan diadakan tidak lama lagi. Program ini dianjurkan oleh PERKEPISMA (PERKEPIS cawangan Semenanjung. Berikut adalah butir-butir program:

Tempat: Kem Sri Raudhah, Batu 12 Gombak
Tarikh: 18 hingga 20 Julai 2008
Yuran : RM15 (termasuk penginapan, makanan dan aktiviti untuk 3 hari)

Bersama-sama kita berkampung di sana selama 3 hari 2 malam. Kita mempererat siratulrahim serta memupuk kesedaran, untuk kita sama-sama berkongsi rasa mencintai umat dan ingin berjasa kepadanya. Ingatlah, siapa lagi akan membela mereka jika bukan kita. Bila lagi jika tidak sekarang?


Berjasa kepada Masyarakat


Doakan agar program ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan. Allahu'alam, Allah Maha Mengetahui. Wassalam

_________________________________________

NOTA: Kem Raudhah ini terletak di tepi Sungai Pisang, Gombak. Gambar di atas ialah Sungai Congkak di Hulu Langat sewaktu program Kem Berabeh Selaseh 2 Februari yang lepas.

Monday, July 14, 2008

Sepi Tanpa Bunyi....


Segala puji bagi Allah, Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, serta keluarga baginda dan sahabat-sahabatnya. Moga Allah merahmati orang-orang yang ikhlas mengikuti jalan-Nya sehingga hari kiamat.

Penulis ingin meminta maaf kerana blog ini sepi tanpa bunyi sejak dua minggu yang lalu. Ini kerana minggu awal bulan Julai merupakan waktu-waktu yang agak sibuk. Pada subuh 2 Julai, penulis telah memulakan perjalanan jauh dari Kuching ke Miri. Perjalanan memakan masa 13 jam.

Di Miri pula, disambut dengan pelbagai aktiviti. Pendek kata masa di rumah kurang sekali. Khamis dan Jumaat 4 dan 5 Julai telah ziarah adik-adik junior di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang. Pada Sabtu, 6 Julai pula terlibat dalam program Masih Ada yang Sayang di Sekolah SK Beraya. Program ini dilaksanakan oleh Sekolah Menengah Sains Miri dan Task Force bersama pihak SK Beraya.Cuti semester pendek ataupun cuti semester 3 sejak April sehingga Julai 2008 tidak terasa berlalu dengan pantas. Secara teknikal, tempoh itu adalah tempoh cuti panjang, tetapi diisi dengan kewajipan menjalani praktikal latihan industri di TM Facilities Services Sdn. Bhd. Penulis ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada En. Chan Liang Ming, Pengurus Technical Expert, TMFS; En. Tambi Pilang, Pembantu Pegawai Teknik; En. Hamden Sitam, Penyelia Teknik; serta semua staf TMFSSB atas segala tunjuk ajar kalian.

Kemudian, sejak 7 Julai dahulu, penulis sibuk menguruskan hal-hal pendaftaran subjek dan kediaman. Maklumlah, diri ini sudah melangkau kepada tahun akhir pengajian, insya-Allah.

Walaubagaimanapun, cuti ini menempa kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin akan penulis lupakan. Kenangan tawa dan tangis bersama tentunya menjadi ukiran terindah terpahat di memori diri dan teman-teman.

Barnamij Taakhi Wa Talahum
Usrah Umum
Jom Cemerlang SPM, MRSM Kuching

SK Tembirat

Sehinggakan, penulis terasa amat berat melangkah pergi meninggalkan Kuching. Sehinggakan, penulis terasa semakin berat apabila saat melangkah ke perantauan ketika berada di Lapangan Terbang Miri. Jikalaulah perasaan berat itu berada di alam nyata, mungkin Boeing 747 milik AirAsia itu tidak mampu berlepas!


Perjalanan masih jauh. Perjalanan mesti diteruskan. Perjalanan harus ditempuh dengan yakin dan sabar. Diri ini tidak sabar untuk menghabiskan pengajian secepat mungkin, kerana tugas di sana terlalu banyak. Hanya orang yang yang faham merasai bebanan ini.


Kepadamu rakan seperjuangan, kudoakan agar langkahmu terus maju...
Allahu'alam. Allah Maha Mengetahui. Wassalam

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...