BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains
Showing posts with label Musafir. Show all posts
Showing posts with label Musafir. Show all posts

Thursday, September 10, 2015

[BUKU] Mujaddid Dari India

Di Balik Tabir

Perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menemani lawatan kerja isteri di sana telah membawakan satu hasrat: memiliki salah satu daripada dua buku, iaitu Route to IPB ataupun Mujaddid Dari India.

Ternyata apabila kedua-dua buku kecil itu berada di tangan, agak sukar untuk membuat keputusan. Bajet pembelian buku kian tipis menjelang hari kedua perjalanan, maka keputusan mesti dibuat. Berada di gedung buku Kinonuniya di KLCC, maka satu buku akan dibawa pulang ke Miri.

Terkenangkan intipati Majlis Haul Imam al-Haddad yang baru sahaja berlalu seminggu lepas di Miri, maka buku Mujaddid Dari India menjadi pilihan. Dengan berat hati, Route to IPB disimpan untuk bajet lain kali.

Dalam Majlis Haul Imam al-Haddad yang lepas, Habib Naqjamuddin al-Khered mengungkapkan sejumlah kalam para ulama, bahawa mengingati orang soleh membawa banyak manfaat. Antaranya adalah kata-kata seorang ulama sufi, Imam Sufyan bin Uyainah yang mengatakan bahawa menyebut nama orang soleh akan mengundang turunnya rahmat.

Terkenang juga kata-kata seorang lagi ulama sufi, iaitu Imam Junaid al-Bahgadadi, dengan kata-katanya:

“Kisah-kisah ialah salah satu daripada tentera-tentera Allah S.W.T yang dapat menguatkan sanubari orang-orang yang sedang berlatih menuju Allah.”

Imam Junaid al-Baghdadi menyandarkan kata-katanya kepada ayat 120 al-Quran Surah Hud:

Habib Naqjamuddin al-Khered di Masjid Darul Ehsan, Miri
ketika Haul Imam al-Haddad, 29 Ogos 2015
“Dan tiap-tiap berita daripada berita para Rasul itu Kami ceritakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad s.a.w) untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.”[1]

Maka sandaran inilah yang telah memberati keputusan bagi menjadikan peneman diri untuk perjalanan balik nanti. Moga kisah orang soleh ini akan menghidupkan hati yang mati.

Mujaddid Dari India

Semoga Allah melimpahi dengan rahmat akan ruh insan yang dimaksudkan dalam Mujaddid Dari India, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi yang telah menabur bakti dan terpilih dalam menghidupkan agama. Terutama sekali keadaan di Benua Kecil India, situasi agama Islam tika itu ibarat bahaya di hujung tanduk, dirundung kegelapan dan diancam kepupusan, iaitu pada abad ke-17.

Bersesuaian dengan hadith Nabi Muhammad s.a.w bahawa dalam setiap 100 tahun akan dibangkitkan seseorang yang akan menghidupkan penghayatan agama (mujaddid), maka para ulama menobatkan Syeikh Ahmad Sirhindi adalah orangnya.

Mujaddid Alf Thani merupakan kekasih Allah yang begitu teliti dalam menjalani Sunnah serta meluruskan kefahaman pemerintah dan rakyat akan agama Islam. Sehingga dengan kegigihannya dalam menegakkan pancang kebenaran Islam, lahirnya pemerintah adil yang juga menegakkan Islam berkat kesungguhannya, iaitu Sultan Aurangzeb yang menerajui kekuasaan Mughal (kesinambungan daripada nenek moyang mereka berdarah Mongol).

Latar Belakang Mujaddid

Perjuangan yang berliku ini diungkapkan oleh penulis, iaitu Tuan Khairy Tajudin dengan padat dan ringkas. Beliau menerangkan latar belakang akan keadaan umat Islam yang amat runcing ketika itu pada era pemerintahan Sultan Akhbar Shah Khan, iaitu pemerintah Dinasti Mughal Ketiga. Kekurangan ilmu agama yang cetek pada sang sultan telah menimbulkan masalah kronik, iaitu timbulnya ajaran ‘Deen Ilahi’. Ini adalah satu daripada usaha sultan itu untuk menawan hati rakyatnya yang menganut agama Islam dan Hindu serta daripada ajaran lain. Bukan sekadar itu sahaja, faktor tersebut adalah dek kehjahilannya terhadap hakikat Islam.

Dalam pemahaman konteks perbahasan masakini, lebih dikenal sebagai pluralisme iaitu menyamaratakan agama Islam dengan ajaran yang lain. Hal ini membahayakan penganut fahaman ini tergelincir kepada lembah kekufuran kerana sudah bercampur baur iktikad (pegangan) yang benar dan batil.

Wilayah Dinasti Mughal
Kekacauan fikiran pemimpin Sultan Akhbar Shah Khan merebakkan gelombang kegusaran di kalangan para ulama dan masyarakat. Terdapat ulama jahat yang menjaga kepentingan mereka hanya menjadi pengampu dan menangguk di air yang keruh. Mereka mengiakan sahaja kerosakan yang berlaku tanpa berani bersuara atas perkara yang salah. Maka dalam kekelaman mendung ini, lahirlah seorang pembaharu semangat dalam beragama, iaitu mujaddid, iaitu Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi.
Bagi memudah bicara, ingin saya memberikan rumusan penting buku ini:

1. Satu keunikan terpampang pada gelarannya oleh para ulama, iaitu Mujadidd Alf Thani, ataupun dengan mudah dikenal sebagai mujaddid dua milenia. Ini kerana beliau muncul pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18.

2. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul tika saat kegelapan umat Islam di Benua India. Ini lantaran timbulnya ajaran menyeleweng yang diasaskan oleh Sultan Akhbar Shah, iaitu Deen Ilahi. Keadaan ini menjuruskan kelemahan yang serius di kalangan umat Islam.

3. Daripada kisah Mujaddid Dari India ini, jalan pengamalan tariqat menjadi tumpuan. Tariqat adalah sistem pentarbiyahan (pendidikan) bagi seseorang yang berjalan menuju Allah menurut sistem tertentu yang dipandu oleh guru yang terbimbing (mursyid). Tariqat yang muktabar (diiktiraf) adalah tariqat yang murni dan mengambil pengamalan daripada Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat dan generasi Salaf as-Soleh melalui rantaian sanad yang diakui oleh para ulama. Fungsi tariqat dalam pemulihan sesuatu umat tidak dapat dinafikan lagi. Beberapa kali dalam lipatan sejarah membuktikan bahawa kaedah ini adalah kaedah yang berjaya mengembalikan pengamalan al-Quran dan Sunnah dalam masyarakat.

Kisah indah di India ini, mengaitkan Syeikh Ahmad Sirhindi sebagai pengasas kepada tariqat Naqsyabandi Mujaddidi. Peranan tariqat dalam mendidik umat begitu berkesan sekali, dan memberikan pengaruh kepada pembinaan jatidiri dan semangat menghidupkan agama di segenap lapisan masyarakat, termasuklah pemerintah sehinggalah kepada orang awam di India. Peranan ulama yang haq seperti Syeikh Ahmad Sirhindi memurnikan tariqat dan membersihkan daripada pengamalan yang bidaah dan tidak bertepatan dengan syariat.

Beberapa contoh unggul peranan tariqat dalam membantu memulihkan kehidupan agama umat Islam di samping kisah Mujaddid Dari India adalah:

Tentera Salahuddin, tahun 1187 (filem Kingdom of Heaven)

a.  Syeikh Abdul Qadir Jailani (pengasas tariqat al-Qadiriyah) yang telah memimpin rohani umat Islam pada era generasi Salahuddin al-Ayyubi. Hasil latihan kerohanian beliau telah membangkitkan kualiti beragama di kalangan umat Islam dan tidak hairan Kota Suci Baitul Maqdis (Jerusalem) kembali ke tangan umat Islam pada tahun 1187.

b. Syeikh Abu Hassan as-Syazili (pengasas tariqat Syaziliah) yang memimpin rohani umat Islam terutamanya di Mesir. Beliau telah meniupkan roh jihad di kalangan umat Islam dalam berjihad menentang penjajahan Raja Louis ke-16 atas Mesir.

c.  Syeikh Abu Abbas al-Mursi (anak murid Syeikh Abu Hassan as-Syazili) menyambung tugas gurunya dan memimpin rohani umat Islam dalam menghadapi gerombolan tentera Mongol. Akhirnya umat Islam berjaya mengekang kemaraan mereka pada bulan Ramadhan di Pertempuran ‘Ain Jalut pada tahun 1258.

d.  Syeikh Aaq Syamsuddin (tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam ketika era Sultan Muhammad II al-Fateh. Beliau telah memimpin tenteranya menawan Kota Konstatinopel pada tahun 1453 dalam merealisasikan sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Sultan al-Fateh dan tenteranya, 1453
e.   Syeikh Imam Shamil (mursyid tariqat Naqsyabandi) yang memimpin rohani umat Islam di Chechnya dan berjihad selama 30 tahun. Bukan sekadar itu sahaja, beliau telah menegakkan syariat di kalangan kaumnya. Beliau akhirnya ditewaskan pada tahun 1857 kerana pengkhianatan orangnya sendiri. Tetapi dengan bantuan Sultan Uthmaniyyah, Kaisar Rusia telah membuang negeri ke Mekah. Beliau disambut sebagai bintang mujahid di sepanjang laluannya.

f.  Syeikh Abdul Qadir al-Jazair (tariqat al-Qadiriyah) memimpin rohani umat Islam di Barat Afrika, iaitu Algeria masakini. Beliau berjihad selama 17 tahun menghadapi penjajahan bangsa Perancis, pada 1830 sehingga 1847.

Sidi Omar Mukhtar dan para mujahidin
g.  Sidi Omar Mukhtar (tariqat Sanusiyyah) memimpin rohani umat Islam terutamanya di Libya. Pada saat kekuasaan Daulat Uthmaniyyah mulai pudar, beliau memimpin umat Islam di sana. Negara imperialis Itali mengambil kesempatan untuk menjajah Libya. Namun tidak semudah yang disangka, mereka menghadapi penangan jihad Sidi Omar Mukhtar dalam 30 tahun sehinggalah beliau ditawan dan syahid dihukum gantung pada 1933. Perjuangan Sidi Omar Mukhtar ini adalah kesinambungan Syeikh Muhammad Ali Sanusi yang memimpin tariqat Sanusiyyah di Libya. Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir Daulat Uthmaniyyah amat mengagumi akan kesetiaan kaum Sanusiyyah. Kaum Sanusiyyah dengan sistem tariqat telah merombak keadaan di Libya yang penuh dengan perang antara kabilah dan menyatukan mereka. Sejarawan mengatakan, bahawa antara faktor Kristianisasi terhalang di Benua Afrika adalah kerana usaha gigih dakwah kaum Sanusiyyah.

Sejarah menjadi saksi bahawa jalan tariqat murni yang dipegang oleh kaum sufi yang lurus banyak kali telah menyelamatkan umat Islam dan berjihad menentang penjajah. Adalah tidak benar bahawa tariqat dan kesufian adalah perencat kepada pembangunan, meskipun tidak dinafikan terdapat segelintir tariqat yang menyimpang. Pokoknya, jalan ini telah sekian lama terbukti membentuk dan memandu umat lantas menyelamatkan mereka daripada terus jatuh hina. Tariqat yang saya sebutkan seperti al-Qadiriyah, Syaziliah, Naqsyabandiyah, Sanusiyah adalah antara tariqat muktabar yang masih terpimpin oleh para ulama sufi yang berwibawa sehingga kini. Terdapat juga tariqat muktabar lain seperti Ba'lawi (para Habaib), Chistiyyah, Syatthari.

4.  Daripada huraian penulis, kita dapat mengenalpasti bahawa di India terdapat ramai orang soleh di sana pada ketika itu. Kita dapat melihat bahawa orang soleh, secara khususnya para ulama yang benar sentiasa berdiri atas jalan yang haq dan seringkali mereka berkorban demi agama. Mereka menjadi guru kepada sebahagian yang lain. Bahkan, dengan rantaian sanad ilmu daripada para ulama yang benar, tidak hairan boleh melahirkan semula mujaddid yang akan menghidupkan semula penghayatan agama umat Islam.

 5. Pada akhir buku ini, saya telah mendapati ada keselarian antara Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi dengan seorang lagi mujaddid, iaitu al-Imam Ghazali rahimahullah. Persamaan ini begitu serupa dengan peribadi, keadaan sekitar dan hasilnya. Beberapa analisa amatur ingin dibicarakan:

a. Syeikh Ahmad Sirhindi muncul ketika era kegelapan umat Islam di Benua India. Manakala Imam al-Ghazali. Pada zaman Imam al-Ghazali di Timur Tengah, terdapat perpecahan dan rusuhan di kalangan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah yang merebakkan kepada kesan perpecahan politik, kekacauan keamanan, kemunduran ekonomi dan mudahnya musuh mengganyang dari luar. Natijahnya pada zaman beliau, sempat mendengarkan kengerian jatuhnya Kota Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib.

Namun keadaan pada zaman Syeikh Ahmad Sirhindi (pada pengamatan saya) agak lebih kronik kerana terdapat pencemaran agama yang dianjurkan oleh Sultan Akhbar Shah dalam konsep pluralisme agama Deen Ilahinya. Ajaran tersebut mungkin tampak benar bagi orang yang jahil dan menganutnya. Keadaan yang serius ini boleh melenyapkan langsung agama Islam daripada India jika keadaan kekacauan fikiran ini tidak dibendung.

b.  Imam al-Ghazali pernah dikritik kerana tidak menggunakan pendekatan politik dan berjihad melalui ketenteraan. Namun demikian, beliau mengambil jalan yang lebih penting dan lebih ampuh, iaitu menyusun fikiran yang benar dalam agama, meluruskan akidah, mendidik rohani dengan ajaran tasawuf dan menyatukan antara syariat dan hakikat. Beliau mendidik anak-anak muridnya sehingga menjadi ulama. Dan mereka akan menyambung tugas kenabian tersebut sehinggalah lahir beberapa lapisan generasi ulama. Dan ulama ini yang mendidik umat dengan pendidikan yang lurus sehingga lahirlah generasi Salahuddin. Beliau tidak sempat melihat generasi tersebut yang telah membebaskan kota Baitul Maqdis.

Serupa juga dengan Syeikh Ahmad Sirhindi, beliau terlebih dahulu membersihkan fikiran umat Islam daripada fahaman akidah yang menyeleweng yang berleluasa pada zaman tersebut. Beliau giat menyebarkan sistem tarbiyah (pendidikan) tariqat beliau dengan zikir dan nasihat-nasihat serta pengalaman Sunnah. Beliau adalah pengamal Sunnah terulung pada zamannya. Berkat dengan kesungguhannya, keadaan pemerintah dan masyarakat bertambah baik meskipun perlahan. Begitu juga beliau, seperti Imam al-Ghazali, tidak sempat melihat perkembangan kemuncak pengamalan dan tegaknya syariat Islam pada era Sultan Aurangzeb.

c. Imam al-Ghazali dan Syeikh Ahmad Sirhindi menggunakan pendekatan berhikmah dan sabar dalam menghadapi pemerintah. Mereka tidak melancarkan penentangan terbuka, atau revolusi atau demonstrasi dan seumpamanya. Sebaliknya mereka menggunakan cara yang telah diamalkan oleh para ulama sebelumnya.

Sekian sahaja ulasan ringkas berkenaan buku Mujaddid Dari India ini. Satu usaha murni dan kerja keras penulis dalam mengetengahkan tokoh yang berjasa kepada masyarakat. Saya ingin memohon maaf jika tersilap bicara yang menyinggung ataupun dengan fakta yang tidak tepat. Mohon diperbetulkan.

Sesungguhnya kisah orang-orang yang soleh dan kekasih Allah seperti Mujaddid Alf Thani Syeikh Ahmad Sirhindi ini sepatutnya kita baca, ketahui dan hayati kehidupan mereka. Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana mereka adalah orang yang berjaya di sisi Allah dan Rasullah s.a.w. Semoga Allah merahmati beliau dan mengampuni, menunjuki orang-orang yang pernah mengkisahkan riwayat beliau. Semoga Allah melimpahi diri dengan rahmat daripadaNya kerana keberkatan mengenal dan berusaha mencintai orang-orang soleh dan Kekasih-Nya... Amiin.



[1] Dipetik oleh Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi rahmatullahi ‘alaih dalam mukadimah Hayatus Sahabah (Kisah-kisah para Sahabat). Syeikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Kandahlawi (2013). Fadhilat amal: Kisah para sahabat, m/s iv. Era Visi Sdn. Bhd.

Monday, February 8, 2010

Januari 2010: Detik-detik Terakhir di Kuala Lumpur

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta sekalian alam. Dialah Esa, hanya Dia yang layak disembah. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Rasul-Nya yang mengajarkan kita kepada-Nya.

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, pengajian di UIAM berakhir jua. Setelah hampir 7 tahun pengajian (sejak 24 Mei 2003), telah ditamatkan pada Januari 2010 yang lepas. Menghabiskan sisa waktu di sana, maka tidak berkesempatan untuk mengemaskini perkembangan blog. Selain daripada menyertai aktiviti-aktiviti bersama sahabat taulan, saya juga mengambil kesempatan untuk menghadiri majlis bersama para alim ulamak. Mungkin tidak akan ada kesempatan seemas ini apabila kembali nanti!
Inilah kali pertama dalam hidup berkesempatan menunaikan solat gerhana. Pada 1 Januari 2010, ketika ramai umat manusia sedang lalai, mabuk dan asyik diulit meraikan tahun baru, berlakulah gerhana bulan, separa lengkap. Solat gerhana adalah sunat muakkad, merupakan solat sunat yang amat dituntut ditunaikan. Sebelum ini merasakan bahawa solat gerhana sekadar solat sunat biasa seperti solat nawafil (sebelum, selepas ataupun sebelum dan selepas solat fardu), tetapi solat gerhana sebenarnya mempunyai maksud yang begitu signifikan. Diriwayatkan, Nabi sallallahu alaihi wasallam bergegas ke masjid seperti ditimpa kebimbangan yang amat sangat jika berlaku gerhana. Nabi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat bersolat gerhana sehinggalah gerhana selesai. Mereka teramat bimbang jika itu merupakan tanda hampirnya hari kiamat. Kita hari ini hebat sekali, tidak merasa apa-apa ditegur oleh Allah melalui tanda-tanda-Nya ini, bahkan terpengaruh akan pemikiran Barat yang menolak agama; iaitu peristiwa gerhana merupakan perkara yang berlaku semata-mata secara semulajadi sahaja tanpa ada maksud besar di sebalik itu.
Isu Kalimah Allah menjadi hangat kembali apabila mahkamah membenarkan akhbar Herald menggunakan kalimah tersebut sebagai terjemahan kepada 'Lord'. Pelbagai respon daripada pelbagai pihak. PKPIM dengan lantang disokong oleh barisan intelektual seperti Dr. Farid Shahran, Timbalan Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu UIAM.
Perjumpaan Mahasiswa Islam Sarawak buat pertama kali sejak kira-kira setahun yang lepas mengadakan perjumpaan tersebut di Masjid as-Syakirin, KLCC. Kali ini perjumpaan diserikan lagi dengan kehadiran seorang tokoh pendidik yang tidak asing di tanah air, iaitu Pn Lily Hj Morni. Dalam kesempatan tersebut, PERKEPISMA telah memanfaatkan keberadaan beliau memberikan pandangan dan kata-kata semangat buat mahasiswa mahasiswi di Semenanjung Malaysia yang menghadiri majlis tersebut. Beliau merasa bersyukur kerana terdapat segolongan anak muda (seperti PERKEPIS) yang begitu prihatin akan nasib umat tanah air yang memerlukan penggerak-penggerak yang menyedarkan golongan belia betapa pentingnya akan berpegang kepada agama terutama era canggih ini.
Kehadiran Habib Umar bin Hafidz merupakan detik penantian yang sudah lama didamba. Oleh sebab kehadiran ibu dan ayah di Kuala Lumpur, maka tidak berkesempatan untuk menghadiri dua majlis bersama ulama ulung ini. Beliau dalam usaha dakwahnya berkunjung di Malaysia. Diri merasa cemburu sekali mende ngar cerita daripada sahabat-sahabat yang hadir, terutama ketika majlis di Masjid SHAS, UIAM. Dalam majlis itu, rata-rata hadirin berkesempatan bersalaman dengan beliau! Habib Umar bin Hafidz merupakan seorang tokoh ulama sufi yang begitu berpengaruh dalam dunia Islam. Beliau merupakan seorang daripada keturunan Ahlul Bait, iaitu daripada susur galur keturunan Sayyidina Ali bin Abi Thalib yang juga merupakan kerabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Beliau telah mengasaskan Darul Mustofa, di Tarim, Hadhramaut, Yaman.
Majlis bersama Habib Umar bin Hafidz di Masjid al-Falah meriah sekali. Khabarnya masjid (kapasiti 7000 orang) tidak mampu menampung jumlah hadirin yang datang, dianggarkan mencecah 10,000 orang! Sentuhan hati Habib Umar begitu hebat, suasananya begitu sayu mengingatkan akan rindu, cinta kepada Allah dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam!
Terlepas peluang bersua Habib Umar bin Hafidz di UIA dan Masjid al-Falah USJ9 mempunyai hikmah tersendiri. Menghadiri majlis beliau di pondok Baitul Qurro', Melaka cukup simbolik. Kedatangan beliau, seorang ulama Ahlul Bait yang merupakan waris keturunan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam seakan-akan mengenangkan usaha seorang Ahlul Bait, Syeikh Syed Abdul Aziz yang mengislamkan raja Melaka pada abad ke-15.
Inilah detik yang ditunggu. Kali terakhir melihat wajah beliau pada 2006 yang lepas, ketika beliau berkhutbah di Masjid SHAS, UIA Gombak. Walaupun ucapan beliau agak singkat, namun kesan sentuhan peribadi beliau membuatkan ribuan yang hadir mengalirkan air mata! Saya merasakan, jika beliau mengajak hadirin pergi berjihad, tidak ada seorang pun yang akan tertinggal di belakang!
Suasana begitu meriah. Ribuan warga yang hadir khabarnya melebihi yang hadir di Masjid al-Falah beberapa hari sebelumnya! Hadirin sanggup bersolat di atas jalan raya, bahkan ada yang berdiri di hujung simpang dek terlalu ramai yang ingin mengambil manfaat majlis.
Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar berada dalam majlis Habib Umar di Baitul Qurro', saya telah merancang untuk 'berambeh' ataupun ziarah ke kota Melaka. Asalnya berkeinginan menjejak kesan Islam di sana. Kali terakhir menziarahi Melaka adalah kira-kira pada 1993. Akan tetapi sebaliknya yang dijumpai... insya-Allah akan dikupas dalam ruang yang lain kelak.
Majlis pengijazahan hadith musalsal pengiraan selawat dengan jari dan Maulid Wida; (sebelum keberangkatan Tuan Syeikh Fuad dan rombongan ke Mesir)
Terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur sebuah muzakarah ulama dan mufti di Kuala Lumpur. Diri merasa kerdil sekali, rupa-rupanya ada lagi insan-insan yang berjuan dengan hebat di sebalik tabir, tanpa kita sedar. Bahawa masih ramai insan selayaknya ulama (bukan mujaddid selebriti) yang perjuangan mereka tanpa didengari. 17 Januari 2010.
Memburu buku di UNIKEB!
Multaqa' Nuqaba' yang dianjurkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Syarahan perdana disampaikan oleh Presdiden Wadah, Ustaz Siddiq Fadzil.

Perjumpaan Mahasiswa Islam Sarawak yang diadakan di Masjid as-Syakirin, KLCC buat kali terakhir pada 23 Januari 2010. Kali ini cukup bertuah kerana dihadiri juga oleh Ustaz Husaini dan Bang Syed. Kami langkah kanan apabila Ustaz Husaini membelanjai kami! Terima kasih Ustaz!

Menanti penerbangan. Destinasi: Miri, 26 Januari 2010.
Sekembali, gabungan buku yang sedia ada di bilik dan sejumlah besar buku-buku yang dibawa dari Semenanjung harus disusun semula. Persoalan sekarang, di manakah harus diletakkan baki 6 kotak yang dalam perjalanan?

Barnamij Taakhi wa Talahum ke-11, anjuran Akademi Bestari Muda (ABM) dan PERKEPIS di homestay Pasir Pandak, Kuching pada 29-31 Januari 2010 yang lepas.

Semoga diriku dapat bermanfaat buat makhluk Tuhan yang lain...

Berjasa Kepada Masyarakat

Tuesday, September 29, 2009

Syawal (3): Misi Siratulrahim (1): Destinasi Marudi


Udah siap sidaknya (Mereka sudah bersiap)?” tanyaku kepada Usu Shahril. Ibuku pula di sisi. Kami bertiga berdiri di depan pagar rumah. Jawab Usu, “Sidaknya tengah bersiap lagik (Mereka sedang bersiap).”

Balas ibuku, “Harap-harap sempat. Takut tertinggal lagik kedak marek (Harap-harap sempat. Bimbang pula terjadi seperti semalam).” Wajahnya tergambar kebimbangan.

Sambil mengimbas persekitaran, tiba-tiba Usu berkata, “Aku ngekot sidak ari tok. Aku pergi pulang ari (Saya ikut mereka. Saya pergi pulang hari).”

Aku menjawab secara spontan, tidak menyangka kata-katanya, “Apa?”



Usu mengulang, “Aku ngekot sidak. Pegi sama. Balit ngekot ekspres kol tiga kelak (Saya ikut mereka. Balik nanti naik ekspres pukul tiga petang).”

Hatiku melonjak-lonjak. Sudah beberapa tahun kebelakangan ini teringin benar berhari raya di kampung halaman saudara-mara, Marudi. Ya, hasrat itu telah tersimpan buat sekian lama. Kerana sudah berbelas tahun tidak menziarahi keluarga di sana. Mungkin juga kerana kekangan keluarga beberapa tahun ini, tidak berkesempatan untuk bertandang ke sana. Juga, kehidupan keluarga nukleus yang berpusat kepada keluarga kecil adakalanya terasa sempit; kerana tidak mengenal saudara-mara yang lain. Siapalah diri ini jika bukan saudara-mara yang ada di sekeliling kita. Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Walau bagaimana jauh terpisah, kenal ataupun tidak, mereka tetap saudara sedarah sedaging.

Ada hikmah yang besar tersingkap akan peristiwa semalam. Kisahnya begini. Saudara daripada Kuching, Ngah Saleh dan Ngah Epot sekeluarga juga sekian lama tidak berhari raya bersama keluarga besarnya di Marudi. Mereka telah bertolak dari Kuching pada tengah malam sebelumnya dan dijangka tiba untuk menaiki bot ekspres dari Kuala Baram terakhir pada pukul 3 petang.



Allah Maha Merancang dan Maha Mengetahui rahsia segala rahsia. Waktu telah pun menjangkaui pukul 3 dan ekspres terpakasa bertolak. Namun di sebalik kelewatan itu terkandung rahsia yang besar – mereka bermalam di Miri dan akan berangkat pada keesokan harinya. Maka sempatlah kami bersua dengan sepupunya Ngah Epot walaupun sebentar (Ngah Epot merupakan sepupu ibu).

Rancangan spontan Usu pada pagi hening itu begitu mengujakan. Mengenangkan diri yang telah lama mahu ke kampung halaman bertemu sanak saudara bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Dek terlalu lama tidak berjarah, inilah peluang keemasan untuk menghubungkan kembali talian siratulrahim yang lama tidak dihiasi dengan sapaan kasih sayang. Inilah peluang untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah pertalian diri ini dengan ibu dan bapa saudara, dan juga kazen-mazen (saudara mara). Maklumlah, sudah berbelas-belas tahun tidak berjumpa.

Aku bergegas bersiap. Pagi itu kelam kabut juga jadinya. Tidak ada perancangan langsung, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk bermusafir jauh. Marudi bukannya dekat – jika dikirakan dengan menggunakan jalan sungai, kira-kira 2 jam setengah.

Desisku dalam hati, “Ancor aku. Mun adikku tauk ke Marudi ari tok, abis aku kenak marah. Pegi sik madah-madah urang (Habis aku. Andai kata adik tahu aku ke Marudi hari ini, habis nanti dimarahnya. Pergi ke sana tidak beritahu orang).”

Ketika itu mahu berangkat. Barang-barang keluarga Ngah Epot dipunggah dengan cermat. Kepala dihitung dengan tepat.

Usu menyapa di luar pagar rumahnya, “Gago kau tok. Napa gap gilak tok? Malu aku bah (Awak menyibuk betul. Kenapa segak sangat? Buat malu saya sahaja)!” Ngah dan ibu ketawa kecil. Usu tersengih menggalas begnya. Gayanya santai, tidak ada rupa orang berhari raya. Berbaju kemeja dan seluar jeans.

Aku membalas, “Apa ya? Kita beraya bah. Polah lah kedak beraya (Kita mahu berhari raya. Buatlah seperti berhari raya)!”

Suasana keberangkatan menjadi kecoh. Kali ini Usu pula menjawab, “Kau tok, kau gap kedak ya terpaksa aku makei songkok. Aku tok adventure. Bila-bila aku boleh balit (Kamu ini, kerana segak sangat, terpaksa saya pakai songkok. Saya ini ‘adventure.’ Bila-bila balik pun tidak kisah),” ujarnya sambil memakai songkok.

Tegur Usu, “Napa diembak kau ya? Kita pegi tok sehari jak bah (Apa yang awak bawa? Kita hanya pergi sehari sahaja).”

Jawabku, “Aih, mun kitak haus, tok juak dicarik kitak (Nanti haus, ini juga yang Usu cari)!” aku memasukkan minuman ke dalam beg.

Mana ajaklah. Sukati kau. Aku sik duli. Aku jalan, jalanlah (Mana sahajalah. Suka hati awak. Saya tidak peduli. Suka hati saya berjalan)!” kami semua ketawa mendengar jawapannya.

Sebelum segalanya bersiap berangkat, ujar Usu dengan nada rendah dan berwajah agak serius, “Yang penting, kita molah sunnah Nabi sallallahu alaihiwasallam. Baruklah kita kenal sudara kita (Apa yang penting, kita buat sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Baru kita kenal saudara-saudara kita).”

Aku sudah mengagak kata-katanya itu. Itulah yang selalu disebutnya. Usu, seorang yang bijaksana menyelitkan isi-isi ajaran agama dalam perbuatan dan percakapannya. Di sebalik gurauan dan pembawaannya, orang mudah menerima nasihat dan tegurannya. Begitulah antara cara yang berhemah untuk orang-orangku, orang Sarawak yang ramah dan penyantun. Lenggok dakwah di sini harus disantuni dengan baik, dengan memahami konteks bahasa, budaya dan cara fikirnya. Biarlah dengan gaya dan bahasa yang difahami dan boleh diterima, bahasa yang melangit tinggi tanpa ada dasarnya tidak ke mana. Oleh yang demikian, orang mudah menerima dengan baik teguran, ajaran mahupun nasihat dengan difahami dengan bahasa yang baik. Terkadang kerana silap memahami konteks yang amat penting ini, kadangkala tidak sampai isi dakwah. Perkara ini aku perhatikan bukan sahaja dalam kitaran keluarga, tetapi kebanyakannya ku perhatikan apabila beliau bergaul dengan masyarakat setempat.

Balasku, “Mena ya. Menyambongkan siratulrahim. Nyambong tali yang terputus.” Kami pun beredar ke terminal ekspres Kuala Baram, terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Pujut 9.



Bersyukur kepada Tuhan memberikan peluang sekali lagi untuk berdiri di terminal ini –sebuah jeti ringkas yang terdiri daripada platform, atap dan tayar penampan daratan ekspres. Kami tiba di lokasi ini kira-kira pada pukul 7.25 pagi. Kami tidak sempat untuk menaiki bot ekspres 7.30 kerana tidak semua sampai tepat pada masanya. Kami mengambil keputusan untuk berangkat dengan bot pukul 8.00 pagi nanti.

Angin berpuput lembut mengibarkan bendera Bumi Kenyalang di atas pelantar ekspres. Ekspres terapung-apung dibuai ombak kecil. Di tengah sungai pula kelihatan sebuah kapal penunda menarik tongkat yang memmbawa muatan balak. Kedua-dua kenderaan terapung perlahan, mungkin kerana sarat muatan dan melawan arus Sungai Baram pula. Air sungai berwarna perang bak teh tarik kurang manis. Secara zahirnya, sungai ini kelihatan berkelodak; airnya mengandungi banyak pasir.

Aktiviti pula memperlihatkan bermacam-ragam manusia. Rata-rata mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada pemerhatianku, mereka adalah orang sederhana dan pinggiran bandar ataupun yang tinggal di ceruk terpencil Baram ini. Ada yang baru tiba dan terus menaiki bot. Ada pula yang berbual dengan kenalan-kenalan. Ada yang menunggu seseorang. Ada pula yang mengail udang di hujung jeti. Ada pula yang sibuk menyelenggara bot masing-masing.

Tidak kurang juga terdapat saudara dan kenalan yang juga bermaksud berjarah ‘pulang hari.’ Maklumlah, hari ini baru hari ketiga hari raya, oleh yang demikian, aktiviti berjarah dipanjangkan. Pada awal-awal pagi ini sudah terasa kehangatan persaudaraan iaitu bertanya khabar dan bertukar-tukar berita antara satu sama lain.

Satu kebanggaan yang aku perhatikan ialah yang masih dipertahankan oleh orang Melayu (dan Islam) Sarawak ialah mengenakan baju melayu lengkap bersabok (bersamping) dan bersongkok hitam pekat masih dipertahankan. Berbeza dengan masyarakat Melayu-Islam Semenanjung, baju melayu lengkap hanya dipakai hari pertama sahaja. Walaupun hari raya telah seminggu ataupun lebih berlalu, masyarakat masih memakai baju melayu lengkap semasa berjarah (walaupun kini tidak semua masih mengekalkan, tetapi masih dipertahankan dan terasa keberadaan suasana tersebut).



Teringat tika berjarah pada Hari Raya Idul Adha anjuran PERKEPISMA beberapa tahun lalu, kami menaiki LRT dan komuter untuk ke Bangi. Kami seramai beberapa orang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap. Dengan sengaja kami berbisik dan berpakat untuk menyaksikan respon daripada penumpang lain. Hari tersebut – Hari Raya Idul Adha yang mulia disunatkan memakai pakaian terbaik terasa amat asing sekali apabila dipandang-pandang dan dijeling-jeling orang. Rasanya bukannya pakaian naik ke bulan. Setakat pemerhatian kami pada waktu tersebut, hanya kami sahaja yang berpakaian sedemikian! Berbeza di Sarawak, masyarakat amat selesa dengan pemakaian ini.



Matahari semakin tinggi di atas ufuk timur. Sinarannya dipantulkan oleh kocak-kocak air yang menerbitkan keindahan tiada taranya. Sinarnya menebar ke serata alam tanpa mengira sama ada makhluk itu patuh ataupun tidak, turut ataupun ingkar. Rahmat-Nya menebar tanpa diskriminasi. Tetapi menjadi suratan alam ini, hanya dua bangsa boleh jadi taat dan ingkar; selebihnya tunduk secara sukarela. Iaitu bangsa jin dan manusia yang diberikan pilihan dan ikhtiar. Kedua-dua bangsa ini seringkali angkuh melangit tidak sedarkan diri.

Waktu Dhuha – waktu yang berkat untuk mendirikan solat sunat Dhuha dengan matahari baharu naik dan terasa sedikit kepanasannya. Kilauan air sungai disusuli dengan bayu mendayu Laut China Selatan menghasilkan irama keanggunan yang begitu mengasyikkan. Tidak hairanlah tika aku berada di perantauan, andai ada angin lembut seperti ini, pasti aku akan teringatkan tanah air.

Tidak terjadinya keindahan yang menakjubkan ini melainkan oleh yang Maha Pencipta. Dialah yang empunya lukisan alam ini. Seringkali manusia takjub akan binaan-binaan yang mengagumkan. Tetapi jarang sekali merekai memuji-muji yang Mencipta, Memelihara dan yang Empunya alam, apatah lagi akur dengan penuh rasa cinta. Tidak berkurang Kuasanya, Kerajaan-Nya andai tidak ada yang Memuji-Nya. Tidak akan bertambah Kuasa dan Kerajaan-Nya, dengan puji-pujian kita yang selalunya ingin diketahui dan didegari oleh orang lain. Alangkah... alangkah... alangkah... di manakah diri ini?



Arus Sungai Baram tidaklah sederas Batang Rajang; sungai terpanjang negara. Tiba-tiba terimbau kembali saat bersama rakan-rakan Kembara Amal ABIM II tahun 2005; tika berada di tebing Batang Rajang, Sibu untuk menaiki feri. Ketika itu jambatan yang merentasi sungai masih dalam pembinaan. Kami kemudiannya berangkat ke Kapit untuk berambeh di sana dua hari semalam untuk menyebarkan siratulrahim sesama insan bergelar Muslim. Batang Rajang arusnya lebih deras dan memakan lebih masa untuk tiba ke Kapit.

Rakan-rakan Kembara Amal ABIM II (YDP PERKEPIS pertama, Dr Saifullah-beliau merupakan graduan UNIMAS berdiri, dua dari kiri)
Lokasi pilihan Kembara di KapitKenangan bersama Bang Syed, Bang Zack (sekarang di New Zealand, mahasiswa perubatan) dan pasukan fasilitator Kembara di Surau Kampung Beleteh, Kapit bersama muda-mudi Muslim; 2005.

Pengalaman pada 2005 tersebut merupakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kapit. Tidak terbayang, bagaimanakah agama Allah yang luhur suci, Islam telah tiba di penjuru ini yang dilingkungi oleh hutan tebal dan dihubungkan hanya dengan jalan sungai. Begitu juga di ceruk-ceruk terasing di susur sungai, denai mahupun hutan belantara serata Bumi Kenyalang. Tentunya perintis dakwah di sini terdiri daripada sosok-sosok yang dipilih oleh Tuhan, iaitu orang-orang yang sanggup berjuang di jalan-Nya tanpa banyak berkira. Ya Allah... jauhnya diri ini setegar seperti itu. Dengan izin dan cahaya-Nya jua lah agama-Nya telah bertapak di sini. Andai tidak ada seorang pun yang sanggup, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.



Bah, dah mok kol lapan dah tok, ” ujar ibu. Ayah pula masih rancak berbual bersama Ngah Saleh, Usu dan Pakcik Kaderi. Lamunanku serta-merta terhenti. Kami bersalam-salaman.

Perjalanan menyelusuri Sungai Baram bakal memakan kira-kira 2 jam setengah menaiki bot ekspres. Aku menjangkakan perjalanan ini mungkin memenatkan – tidak ada penghawa dingin seperti dalam belon dan gegaran enjin bot yang akan meletihkan badan. Tetapi segalanya itu tidak terasa. Perasaan ingin tiba di sana melebihi daripada sedikit kepayahan yang mungkin ditempuh.

Diri jangan sentiasa dimanja dengan limpahan kesenangan. Melalui yang dilalui oleh orang-orang kebanyakan pasti akan menerbitkan suasana dan pengalaman yang hampir-hampir sama seperti mereka. Oleh yang demikian, diharapkan akan dapat menimbulkan keinsafan, menghargai nikmat kurniaan Tuhan dan melatih diri membiasakan dengan kehidupan yang penuh sederhana.

‘Genggamlah dunia di tanganmu, bukan di hatimu,’ itulah pegangan Imam Abu Hassan as-Syazuli; seorang ulamak tersohor pada suatu zaman dahulu.

“Siney kita tok (Kita hendak ke mana)?” tanyaku anak buahku. Ia duduk di kerusi belakang. Dagunya tepat di atas hujung kerusi. Mula-mula agak kekok juga bersama dengan orang-orang yang berbelas-belas tahun ataupun baru sahaja berjumpa sekalipun sama saudara.



Ia seorang kanak-kanak perempuan yang ramah dan responnya celoteh, “Sik tauk kamek eh. Bukan kita sampei Australia ka (Saya tidak tahu. Bukankah kita sampai di Australia nanti)?”

Aku tergelak sendirian. “Jaoh na kitak ke sia. Kita tok ke Marudi’. Boleh tahan jaoh. Tapi sik lah sampei ke Australia. Hehe. Aih, sapa nama kitak tek (Jauhnya adik mahu ke sana (Australia). Kita akan ke Marudi, agak jauh juga. Tetapi kita tidak sampai ke Australia. Eh, nama adik, siapa)?”

“Nama kamek, Riza,” jawabnya dengan ramah.

Perjalanan bakal bermula. Misi warisan menyambung rahmat ke serata alam. Misi siratulrahim. Destinasi: Marudi.


"Orang-orang yang berakal ialah mereka yang memperhubungkan apa yang diperintahkan
untuk diperhubungkan oleh Tuhan (yakni siratulrahim)"
(ar-Ra'd, 13:21)

Insya-Allah bersambung...


Berjasa Kepada Masyarakat

Saturday, October 4, 2008

Sekali Lagi...


Setiap kali aku terpanggil untuk kembali ke tanah seberang,
Hatiku enggan terbang sama,
Kerana kutahu air mata umatku mengalir deras,
Ia menangis telaga imannya gersang,
Ia meronta dahagakan sejuknya air taqwa,
Inginku seka wajahnya,agar dukanya tiada berpanjangan,
Inginku tuang air iman, agar dadanya bahagia,
Inginku hidang air fikir dan zikir, agar bersih noda dan dosa,
Agar hati mereka tergilap kepada-Mu!

Bersabarlah, hanya tinggal setahun lagi!

Berjasa Kepada Masyarakat

Monday, April 7, 2008

Teman di Kala Malam



“Jalan baik-baik. Insya-Allah jumpa lagi semester hadapan. Assalamulaikum,” itulah lafaz terakhir terucap sebelum perpisahan oleh dua sahabat di stesen LRT Putra Masjid Jamek. Tinggallah insan terfikir-fikir, siapakah teman bagi dirinya di kala malam. Kadang-kadang ia risau, adakah cukup kudrat yang ada pada tubuhnya untuk sampai ke terminal kargo kos rendah (LCCT). Perjalanan agak jauh. Tangan ada dua. Barang ada empat. Setiapnya satunya bak bertan-tan beratnya. Jika tadi dibantu oleh sahabat-sahabat. Kini seorang diri.

Tren meluncur dengan laju. Meredah malam, mungkin tren ini tiada menjejas kesibukan penghuni rimba batu ibu kota negara. Wajah si perantau terpantul pada kaca tempat duduk di hadapan. Jelas sekali tren begitu lengang. Sehinggakan wajah pantulan sendiri pun terperasan juga.

“Stesen seterusnya, KL Sentral,” umum tren. Tren beransur perlahan. Si perantau lantas bersedia. Beg laptop di sisi digalas ke belakang badan. Kotak dipegang rapi. Bungkusan dicapai bersama beg bagasi. Pintu tren terbuka.

“Ya Allah!” jerit hatinya. Tuhan sahaja yang tahu. Jika tadi kekuatan bisa disokong oleh teman-teman, kini kesemua barang itu diangkatnya sendiri. Kalau tiap satunya sudah berat. Bayangkan pula, bagaimanakah paduan berat semuanya?
Si perantau bergegas ke bahagian luar KL Sentral. “Barang berat, bolehlah gunakan lif,” ujar hatinya.

Melepasi gerai aiskrim McDonald (yang si perantau selamanya boikot!), “Ya Allah,” keluhnya sekali lagi. “Lif sedang dibaiki,” begitulah tanda pada pintu lif. Si perantau memikirkan, bagaimanakah azabnya untuk turun tangga yang sempit lagi curam dengan berat beg galas, sebuah kotak, sebuah bungkusan dan beg bagasi bak berpikul-pikul?

“Azabnya hanya sekejap,” pujuk dirinya. “Selepas ini bolehlah duduk dalam bas.”
Maka ia pun menuruni tangga itu dengan penuh azab. “Ya Allah, ya Allah. Janganlah tangan ini putus!” satu persatu tangga dituruninya.

“Sikit lagi, sikit lagi,” ia terhenti sekejap. Ditolehnya ke atas. “Tidak ada orang. Boleh rehat sekejap.” Katanya tercungap-cungap.

“Mahu ke LCCT atau KLIA?” tanya seorang mamak. Jawapan itu menandakan tanda kejayaan baginya menempuh azab yang dahsyat.

“LCC, LCC, LCCT!” akhirnya ia mampu menjawab. Disentaknya dasar beg bagasi. Lalu ia menarik beg itu segera dan diletakkan di dalam bas. “Lega!” satu beban sudah terlepas. Diangkatnya kesemua barangnya ke atas.

“Tiket dah beli?” tanya seorang gadis, fikirnya.

“Belum.” Lantas tiket dibayar dan terus ia mencari tempat duduk di belakang. Segala barang diuruskan. Kotak buku diletakkan di kerusi sebelah. Namun, satu kejanggalan segera menyergah dirinya, “Siapakah yang menjadi teman perjalananku?” desisnya.

“Meredah malam seorang?”

“Tidur?”

“Masalahnya aku tidak suka tidur semasa perjalanan.” Ia teringatkan pesan gurunya semasa Tahun Lima di SRK Kampung Luak, Miri; Cikgu Abdul Rahman namanya. “Sesiapa yang tidur ketika dalam perjalanan ke satu destinasi, maka ia telah kerugian. Kerana alam terbentang baginya, dan ia tidak mahu melihat alam yang indah itu.”

“Ya, kerana pesanmu guru, aku jarang sekali tidur di kala musafir. Rugi rasanya tidak mengamati kebesaran Tuhan.”

Namun persoalan berlegar kembali, “Siapakah yang menemaniku di kala perjalanan malam ini?” Kerana biasanya si perantau sentiasa ada temannya menaiki bas sekembalinya ke tanah air tercinta. Tetapi kali ini berbeza sekali. Kejanggalan itu begitu ketara. Membuatkan fikiran kosong, mulut terkunci. Mata enggan berlabuh menutupi tirai pandangan. Bas mula bergerak perlahan dalam lingkungan 10.30 malam waktu Malaysia. Lampu siling bas ditutup sepenuhnya. Kegelapan menguasai cahaya. Hanyasanya cahaya lampu menembusi kaca lutsinar sahaja menerobos.

“Kalau baca buku, gelap sangat,” keluhnya. Baru tadi sahaja ia bertemasya di Pesta Buku Antarabangsa 2008 di PWTC, bersama-sama teman-teman seperjuangan di medan penulisan. “Siapakah yang menjadi temanku?” soalnya lagi. Bas masih meluncur perlahan. Lampu isyarat di hadapan hijau. Bas membelok keluar simpang ke jalan besar. Maka perjalanan lebih jauh meredah laluan sibuk ibu kota.

“Ah, tidak ada.”

Ia terfikir, ia mahu adiknya di rumah ‘menemaninya’ di dunia maya sms. “Mungkinkah adikku? Tapi malam sudah lanjut. Tentunya ia sudah tidur. Teman lain?”

“Mungkin juga berdepan dengan perkara yang sama, iaitu mungkin sudah berada di dunia mimpi. Siapakah yang menemaniku?” jerit hatinya.

Persoalan tetap gagal dijawab. Bas meluncur laju menyelusuri lebuhraya. Sekali-sekala ia bergerak lurus, kadang-kadang ia membelok selekoh. Adakalanya terasa melonjak bas kerana permukaan jalan tidak rata.

“Alangkah baiknya sekiranya perjalanan kamu semua dibaca al-Qur’an.” Pesan itu menjelma. Pesan yang seringkali dilupa, tetapi ajaibnya diingat ketika saat memerlukan. Pesan seorang abang yang prihatin sebelum perjalanan sekumpulan anak muda ke satu muktamar di Skudai, Johor bermula. Ia ingat, ia mengangguk-angguk tanda sanggup.

Ia teringat lagi. Seorang ilmuan universitinya pernah mengungkap sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, bahawa setiap zarah yang mendengar zikir yang dilafazkan oleh seseorang akan menjadi saksi baginya di akhirat baginya kelak.

“Satu jirim ada berapa zarah? Satu mol ada 6x10²³ zarah. Satu jirim ada berapa mol? Tidak terkira banyaknya, kalau dihitung dari segi kiraan logik manusia...” Desisnya lagi, “Ya Allah, alangkah untungnya sebegitu pada saat segala amalan tidak akan diterima lagi.”

“Manusia lahir ke dunia sendirian. Begitu juga ia akan datang kepada Tuhannya sendirian juga. Manusia lahir dan mati. Manusia datang dan pergi. Manusia bertemu dan berpisah. Begitulah adat dunia. Satu masa, ia tetap bersendirian. Kalau begitu, alangkah deritanya di alam ini? Suatu masa akan bersendirian? Tidakkah mungkin ada teman berdampingan buat selama-lamanya?”

“Jika difikir guna batas akal kemampuan manusia, ya, tidak ada. Jadi, apakah makna hidup ini?”

“Jika diserah dan dituruti ajaran Rasul, teman selamanya berdampingan tidak mustahil ada.”

“Benar?” jiwanya berkecamuk.

“Ya. Al-Mulk teman di alam kubur. Ia cahaya baginya menemani tuan yang bermanja dengannya setiap malam. Ia akan melindungi tuannya pada hari kiamat kelak dan berhujah kepada Allah sehinggalah tuannya masuk syurga.” Kata suara hatinya.

“Ya Allah, itulah keuntungan yang paling berharga.”

“al-Baqarah dan ali-Imran menjadi cahaya kepada tuannya di Padang Masyhar. Ayat Kursi pelindung baginya di kala malam sehinggalah fajar menjelma. Al-Ikhlas merupakan sepertiga al-Quran. Al-Falaq melindungi daripada kejahatan malam. An-Nas begitu juga.”

“Ya Allah, ya Allah! Ya Tuhan yang membolak-balikkan hati. Engkau tetapkanlah hatiku untuk teguh kepada agamamu,” rintih si perantau.

Tiba-tiba dirasakan ia tidak bersendirian lagi. Teman manusia memang tidak ada. Kegelapan malam bukan. Cahaya lampu jalanan pun bukan. Bulan yang hilang di celah awan pun bukan. Bintang di langit apatah lagi. Ia bertemankan dengan teman-teman yang bisa menemaninya bukan sahaja di alam zahir ini, tetapi di alam kubur yang gelap dan juga pada hari pembalasan yang tidak berguna lagi amal yang soleh.

Maka tenggelamlah dirinya bermanja dengan temannya al-Mulk. Disusuli lagi dengan temannya al-Baqarah setengah juzuk. Padanya Tuhan berseru kepada taqwa dan menggempur sifat munafik yang keji. Kemudian dicabarnya orang-orang yang cuba mencemar kalamnya dengan laungan “Kamu berkumpullah seluruh jin dan manusia untuk membuat satu ayat (Quran) seumpama ini. Kamu sesekali tidak dapat.” Dia mengancam bahawa jin dan manusia akan menjadi bahan bakar api neraka selama-lamanya!

Kemudian Tuhan berbicara tentang ganjaran nikmat orang-orang yang soleh. Kemudian Ia berfirman dengan menyuruh kita manusia melihat seekor makhluknya dengan teliti dan saksama; iaitu nyamuk. Ia suruh lihat, lihat dan lihat! Kemudian diceritakan juga tentang penciptaan manusia; iaitu Nabi Adam dan kekasihnya Hawa dan kisah mereka dikeluarkan dari syurga. Kemudian Allah memalingkan manusia kepada memerhatikan tindak tanduk umat Nabi Musa alaihissalam, iaitu orang-orang Bani Israil, juga dianggap sebagai orang Yahudi. Kemudian, kemudian, kemudian dan kemudian... teman ditemani oleh teman yang tanpa jemu menemaninya...

“Syukur pada Allah,” bangunan LCCT dalam jangkauan matanya. Kelihatan juga samar-samar pesawat-pesawat gergasi bercorak merah berlabuh di sisi bangunan. Perjalanan bakal berakhir. Malam berlabuh beransur lanjut usianya. Syukur pada Tuhan, ia tiba tanpa berasa keseorangan...

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...