BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, June 29, 2008

Prolog 23 Julai: Skuadron Abu Dujanah



//Transmisi Data Bermula

//Misi : Rondaan Rutin
//Skuadron : Abu Dujanah
//Kapital : Kelas Saifullah No. 3
//Tarikh : 25 Jamadil Akhir 1626H

Empat buah pejuang angkasa Ababil Skuadron Abu Dujanah kelihatan di sebalik kepekatan gelap angkasa raya. Kesemuanya meluncur laju ke satu arah. Kelihatan Bulan Qamar memantulkan cahaya bintang Tariq Tq-86.

"Shhh... Kapten Zaid melaporkan. Skuadron Abu Dujanah meminta untuk kembali berlabuh di Saifullah No. 3."

"Anda lupa memberi salam." Tegur transmisi pintar. "Sistem hanya akan menerima transmisi yang ada salam."

"Maaf. Assalamualaikum. Kapten Zaid melaporkan. Skuadron Abu Dujanah selesai meronda."

"Transmisi disahkan. Sila teruskan penerbangan anda," jawab transmisi pintar Ababil kepada Kapten Zaid.

"Kapten!" seru salah seorang ahli skuadron.

"Ya, Luqman?"

"Lihat di sebelah kiri kita!"

"Ya, sebentar!" Kapten Zaid memeriksa instrumen penerbangannya. Kemudian ia mengendalikan sebentar radar kosmik. Setelah itu ia menyelenggara sistem penerbangan do paparan maya.

Kapten Zaid menoleh ke arah kiri kokpit Ababil, "Subhanallah!" Ia tergamam. Sebuah jasad bebola biru nan indah, Planet Ihsan H-2 kelihatan jelas di anak matanya. Mulutnya terkumat kamit menyebut akan kebesaran Tuhan.

"Sudah lama kita tidak kembali ke planet ini, Tuan. Terasa rindu benar!"

"Tuan, kita meninggalkan Planet Ihsan H-2 sejak kita tamat latihan jihad di Planet Anfal An-8." Seorang lagi pilot Ababil mencelah.

"Benar," jawab Kapten Ziad. Sambungnya lagi, "Tetapi kerinduan saya kepada bumi semakin membara. Saya tidak pernah ke Mekah melihat Kaabah. Saya teringin sangat menziarahi baginda Nabi Muhammad di Masjid Nabawi," sayu kedengaran melalui interkom pesawat. Air mata meleleh membasahi pipinya.

Perhubungan terhenti sebentar, "Ya, kami pun, tuan."

"Baitul Maqdis masih dalam genggaman Zionis. Selagi nyawa di kandung badan, selagi itu menuntut kita untuk berjuang. Begitu juga Masjid Cordoba."

”Tuan, juga masjid-masjid serata alam...”

”Benar, Tuan. Sudah terlalu lama umat menunggu saat ini.”

Kata seorang pilot, ”Menunggu untuk dibebaskan daripada belenggu manusia rakus. Sejak generasi pertama Galaksi Muhsinin kita bina kekuatan untuk kebenaran dan keadilan.”

Seorang lagi pilot bersuara, ”Adakah mereka akan menjumpai kita?”

”Siapa?” tanya Kapten Zaid.

”Maharaja Legion, maharaja kepada Empayar Sibernatik Cyborg dan tentera mekanikalnya.”

”Allah Maha Tahu. Angkasa ini luas. Yakinlah, kita serahkan kekuatan kita hanya kepada Allah. Sebagai usaha kita sebagai hamba, kita perkukuhkan kekuatan kita dan sentiasa bersedia.”

”Hampir seratus tahun generasinya mencengkam sembilan galaksi. Kini ia telah sampai di Galaksi Thylakuid. Galaksi itu hanya bersebelahan dengan kita. Dia cyborg, setengah mesin, setengah manusia. Hatinya sedingin besi, sekeras waja. Tidak hairan ia akan datang juga ke sini.”

”Skuadron, lebih saya bimbangkan ialah Orang Zion. Dalam sejarah Galaksi Muhsinin, merekalah dalang utama segala konflik yang terjadi.”

"Tuan, ingatlah, Allah bersama kita!"

"Ya, terima kasih ingatkan saya. Moga Allah bersama kita!"

Kedengaran bunyi transimisi pintar, ”Skuadron Abu Dujanah.”

”Sila bergerak ke dek nombor 44. Jarak anda ialah seribu kilometer, kelajuan Mach 2. Sila sesuaikan dengan halaju relativiti kapal Saifullah.” Kelihatan pintu dek dibuka perlahan-lahan. Lampu pendaratan menyala berkelip-kelip.

”Skuadron Abu Dujanah, bersedia untuk mendarat, ” skuadron Ababil menyesuaikan kelajuan pesawat mereka dengan halaju relativiti kapal induk Saifullah mereka. Daya tujah ekzos Enjin Ion Berganda buatan Industri Arsenal Muhsinin dikurangkan perlahan-lahan. Mereka mula memasuki Saifullah. Kelihatan krew dek sibuk menservis pesawat-pesawat angkasa yang lain.

Ababil perlahan memulakan pendaratan. Nyala biru ekzos vertikal keluar. Cangkuk pautan statik dihulurkan dari lantai dek dan akhirnya menyentuh badan Ababil. Ababil terhenti sepenuhnya. Wasap putih memancut kuat. Pendaratan telah berjaya.

”Alhamdulillah Tuan, misi berjaya.”

”Alhamdulillah, syukur pada Allah. Misi ini berjaya. Tetapi Misi Rahmatan lil Alamin akan tetap diteruskan!”

”Semoga Allah bersama kita! Allahu Akbar!”

”Allahu Akbar!”

”Allahu Akbar!”

"Shhh...." bunyi interkom padam...

//PTS Fortuna
//RM 19.00 / RM 22.00 (Sabah & Sarawak),

//978-967-5136-06-1;
//Tarikh Terbit: 23 July 2008 ;
//Jumlah Muka Surat : 320 halaman

//Transmisi data bertakhir......

"Dup Dap Dup Dap!" Jantungku bergeger!

Thursday, June 26, 2008

Pengumuman.... saifai islami

Insya-Allah, saifaiislami.blogspot.com yang akan dibuka merupakan tambahan daripada blog Mujahid Nusantara. Dalam mengembangkan sayap penulisan saifai (science fiction), amat penting dirasakan untuk membuka blog khusus dalam membincangkan saifai dengan kacamata Islami.

Saifai memberikan impak kepada dunia; tanpa kita rasa. Siapa sangka, saifai klasik Jules Verne menghasilkan antaranya Twenty Thousand Leagues Under the Sea pada 1869 telah melahirkan kapal selam secara realiti yang bakal menjelma di catatan sejarah berpuluh-puluh tahun kemudian. ini tidak termasuk karya saifai yang lain.

Imaginasi Jules Verne melangkaui zamannya dengan menghuraikan kapal selam Kapten Nemo, Nautilus. Beliau membayangkan sistem pengudaraan, penjanaan kuasa elektrik dan sistem lain yang belum wujud pada zamannya menjadi asas kepada sistem kapal selam sehingga kini.

Di tengah kecamuk Teori Evolusi yang dipopularkan oleh Darwin pada zaman beliau, Jules Verne tampak berprinsip. Teori Darwin menolak kewujudan Tuhan. Teori ini menegaskan bahawa kehidupan dan semesta ini wujud secara kebetulan. Sekalipun masyarakat Eropah rata-rata mempercayai teori ini, Jules Verne mengekalkan pendiriannya bahawa dunia ini mempunyai “Creator” atau Pencipta yang menciptakan alam ini. Menarik bukan?

Syukur kepada Allah, penulis telah melengkapkan novel saifai yang pertama, Galaksi Muhsinin. Novel itu dalam proses pengesahan sebelum percetakan. (Cover masih dalam proses pengeditan)
Diakui bahawa Galaksi Muhsinin sebenarnya merupakan percubaan melahirkan saifai yang islami. Diharapkan menjadi satu aliran sastera yang membawa mesej berhikmah dalam nafas yang baru, iaitu nafas saifai Islami. Saifai ini diharapkan memupuk anak-anak remaja untuk meminati sains dan seiring itu menumbuhkan bibit-bibit keimanan yang mengajak menginsafi diri akan kebesaran Tuhan. Juga saifai bertujuan menanam rasa keyakinan diri dengan menerapkan sejarah-sejarah tokoh yang berjasa kepada agama, terutama di kalangan anak muda, tidak terkecuali Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Oleh yang demikian, sudah tentunya dalam mencari identiti, mungkin ada unsur-unsur asing yang disesuaikan dasar ideanya daripada saifai ternama. Sebut sahaja,seperti trilogi STAR WARS, DUNE, game seperti siri Command and Conquer, Warcraft, Starcraft, Final Fantasy dan sebagainya.

Saifai islami cuba menyelusuri saifai yang sedia ada. Pada masa yang sama, diharapkan dapat membentuk kerangka saifai islami yang asli. Sememangnya perbincangan akan melibatkan saifai-saifai yang hebat dalam sastera saifai, tidak dapat dinafikan semuanya berasal dari Barat. Inilah ilmu yang perlu diteroka. Ini tidak bermakna kita menurut membuta tuli. Bahkan, kita memandang saifai Barat ini dengan sudut pandangan seorang Islam. Kita saring dan kita padukan, mudah-mudahan menemui formula menghasilkan saifai yang asli. Saifai islami.

Terima kasih kepada PTS kerana memberikan peluang untuk terus berkecimpung di medan dakwah tulisan. Perjalanan baru bermula. Tentunya bakal menempuh perjalanan yang jauh.

Allahu’alam, Allah Maha Tahu. Wassalam

_______________________________________
NOTA:
Blog saifai bahasa Melayu yang lain:

Studio Inspirasi

Sastera Jantan

Waris Jagat

Tuesday, June 24, 2008

Mari Fahami 'Indeks Kabus'


Dalam linguistik atau ilmu bahasa, istilah ‘indeks kabus’ atau dalam istilah bahasa Inggerisnya adalah ‘fog index’.

Indeks kabus dalam penulisan merupakan ukuran kebolehbacaan sesuatu karangan, sama ada mudah atau sukar dibaca. Karangan yang mempunyai indeks kabus yang tinggi menunjukkan karangan itu sukar difahami. Manakala karangan yang mudah dibaca dan difahami mempunyai indeks kabus yang rendah.

Sesuatu karangan yang sukar difahami mempunyai indeks kabus tinggi mungkin menggunakan istilah yang tinggi, struktur ayat yang pincang dan beberapa ciri-ciri yang lain.

Dalam penulisan, karangan atau buku yang mempunyai indeks kabus yang tinggi sukar difahami oleh kebanyakan orang ataupun orang yang hanya ahli dalam bidang itu. Justeru, orang tidak berminat untuk membacanya.

Bagaimanakah dalam konteks dakwah? Bagaimanakah kita menyampaikan mesej Islam kepada mad’u atau orang yang kita dakwahi?

Terkadang kita tidak sedar, kita berhadapan dengan mad’u, kita menggunakan bahasa yang berindeks kabus yang tinggi. Ada istilah yang kita gunakan kadang-kadang “bertaraf universiti” yang menggunakan pelbagai istilah bahasa Inggeris ataupun bahasa Arab. Ataupun, istilah yang kita gunakan bersama mad’u adalah istilah yang kita gunakan di pejabat. Bahasa yang menggunakan istilah kurang sesuai mungkin akan menyebabkan mad'u tidak berminat untuk mendengar dan akhirnya menolak dakwah kita.

Ingatlah, sebahagian besar daripada masyarakat, khususnya di Sarawak adalah orang-orang kebanyakan. Tidak semuanya ke universiti. Tidak semuanya berpelajaran tinggi. Maka, bahasa mereka hanya dalam lingkungan bahasa ibunda mereka.

Unik di Sarawak, bahasanya kaya dengan pelbagai istilah kerana mereka hidup bercampur gaul. Melayu, Melanau, Cina dan Dayak. Dayak pula terbahagi kepada suku-suku yang besar seperti Iban, Kenyah, Kelabit, Murut dan pelbagai yang lain dengan bahasa mereka. Melanau contohnya pula, terdapat 13 pecahan bahasa Melanau mengikut wilayah. Dan satu-satu pecahan itu pula, ada lagi pecahan dialek-dialek Melanau yang lain! Itu tidak termasuk dialek-dialek bangsa lain!

Apabila kita “mengaku” kita terlibat dengan medan dakwah, adakah kita terfikir akan perkara ini? Bagaimanakah aras bahasa kita? Terutama mahasiswa, adakah kita sanggup bergaul dengan mereka yang terkadang dilihat sebagai “masyarakat rendah” ini?

Percaya atau tidak percaya, dengan menguasai bahasa, mesej akan lebih lancar disampaikan. Orang Sarawak amat sensitif kepada bahasa. Mereka lebih menerima orang yang boleh “berkelaka Sarawak”, berbanding menggunakan bahasa Melayu standard.

Dalamilah bahasa Melayu Sarawak. Kerana bahasa ini merupakan bahasa penghantar antara semua kaum di Sarawak. Sekalipun anda mungkin tidak tahu “berkelaka” bahasa Iban, tetapi anda boleh bertutur dengannya dengan bahasa Melayu Sarawak. Indahnya bahasa ini, bahasa Melayu Sarawak digunakan di serata Bumi Kenyalang.

Umpama seorang jurutera yang ingin "berinteraksi" dengan mesin, ia mesti "memahami" bahasa mesin dengan saksama. Antaranya ialah "bahasa digital", iaitu bahasa nombor-nombor:10101010001010101. Supaya jurutera ini mampu menyampaikan maksudnya kepada mesin ia mestilah memahami bahasa mesin. Andailah mesin mesti dilayan sebegitu, dedekkan, inikan manusia!

Oleh itu, para aktivis dakwah, selamilah bahasa mad'unya.

Marilah kita renungkan, daripada sebuah hadith daripada Ibnu Mas’ud yang kira-kira bermaksud, “Sampaikanlah kata-katamu sesuai dengan perhitungan akal orang yang bersamamu. Kerana jikalau tidak, dibimbangi fitnah akan berlaku.”

Bagi yang memahami keadaan umat di Sarawak, dan hidup bersama masyarakat, mereka akan merasakan bahawa begitu banyak beban tugas dakwah yang perlu digalas. Justeru, dengan melabelkan umat ini sebagai umat yang "marhain" atau hina oleh sesetengah pihak amat mengecewakan. Sungguh, pendekatan dakwah di sini memerlukan penelitian yang saksama. Tidak sama satu tempat dengan tempatnya yang lain. Turunlah ke lapangan, dan lihatlah!

Bak kata Abbass Sissy dalam "Bagaimana Menyentuh Hati: Kiat-kiat Memikat Objek Dakwah," beliau mengumpamakan dakwah hendaklah disampaikan sesuai dengan keadaan mad'u:

"Dakwah umpama hubungan antara doktor dan pesakit. Di hospital, setiap pesakit mempunyai sakit yang berbeza. Oleh yang demikian, seorang doktor tidak dapat memberikan ubat yang sama untuk setiap penyakit."
Pendek kata, seseorang mestilah memahami latarbelakang orang yang didakwahinya. Kurang wajar seseorang mengambil semangat dan pendekatan dakwah 100% sama dari tempat lain dan dibawakan ke tempat yang baru. Setiap tempat ada pendekatannya tersendiri berdasarkan latarbelakang mad'u yang berbeza umur, cara fikir dan cara bertindak.Mereka bisa diselami dengan memahami bahasa mereka.

Umat menangis tanpa suara. Bahkan ia tidak mampu meraung meminta tolong. Tangisannya tidak kedengaran. Mereka memerlukan sentuhan anak-anak watannya membimbingnya kepada kecemerlangan dunia dan akhirat. Mereka berharapan, agar hidup ini dapat diteruskan dengan sejahtera.

Ayuh wahai umatku! Ayuh wahai mahasiswa berdarah muda! Siapa lagi akan membela nasib kita, melainkan diri kita sendiri? Tidak mahukah kita berkongsi saham di akhirat nanti berjasa kepada masyarakat?

Tidak salah gunakan istilah bahasa Inggeris atau bahasa Arab. Tetapi terjemahkanlah dalam makna yang terdekat. Olahkan dengan bahasa yang mudah, agar indeks kabus kita rendah. Kabus hilang, orang boleh nampak maksud kita!

“Yang merah itu saga, Yang indah itu bahasa, Yang ikhlas itu redha"

Sekadar lontaran fikiran diri yang masih jahil dan mentah. Allahu’ alam, Allah Maha Tahu.

Rujukan indeks kabus: universitipts.com

Monday, June 23, 2008

Ke Mana Tujunya?

Berbilion kaki padu minyak akan disalurkan ke Eropah dengan pembukaan telaga minyak di wilayah Anbar.

Telaga Anbar dijangka mampu mengeluarkan 500 juta kaki padu jika beroperasi sepenuhnya. Telaga ini dipercayai menyimpan kira-kira 7 trilion kaki padu minyak, iaitu 6 peratus daripada keseluruhan 112 trilion kaki padu minyak di seluruh Iraq.

Perjanjian terkini antara Baghdad dan Kesatuan Eropah, EU akan menyaksikan minyak dieksport ke Eropah melalui saluran Nabucco sepanjang 3300km, melalui Syria, Turki dan kemudian Balkan dan Austria. Tentunya kompeni-kompeni minyak akan berlumba-lumba untuk merebut kelulusan mengusahakan perlombongan minyak.

Ke mana aliran minyak ini?

Siapakah yang untung?

Adakah umat Islam yang mengemis di negara sendiri beroleh kekayaan ini?

Tidak lain, hanyalah mengalir ke perompak-perompak nombor satu yang bengis dan hanya tahu memenuhkan poket dan mengenyangkan perut mereka sendiri!

Tidak lain tidak bukan....

Ini DALANGNYA...

Dan ini BONEKAnya!


Allahu'alam

Sumber:aljazeera (english)

Sunday, June 22, 2008

Sketsa "Bacalah!"

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang

[1] Bacalah dengan (menyebut)nama Tuhanmu yang menciptakan,

[2] Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah,

[3] Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah,

[4] Yang mengajar (manusia) dengan pengantaraan kalam,

[5] Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya


(al-Alaq, 96:1-5)


Ada masa untuk membaca?

"Ada," kata seorang, lalu ia tunduk meneruskan bacaannya.

"Sekda. Sebok gilak ku tok. Sik nangga ku molah keja tok(Tidak ada. Sibuk sangatlah aku. Tak nampakkah aku sedang buat kerja)?," kata seorang lagi.

"Kadang-kadang. Ngekot keadaan juak (kadang-kadang. Ikut keadaan juga)."

"Malas ku mbaca. Aku tok pelan bah (Saya agak malas membaca. Lagi pun saya ini perlahan)."

"Hehe... silakan. Kelak kamek mbaca!"

Begitulah gelagat yang biasa ditemui, terutama di kalangan orang Islam. Kadang-kadang kita kurang senang jika mengeluarkan sebuah buku dan menadahnya untuk dibaca. Aneh bukan?

Mari kita dengarkan kisah ini. Kisah ini pernah saya dengar atau terbaca. Sila ikuti. Saya sesuaikan dengan 'mood' sebuah sketsa.

Seorang menteri Israel, Moshe Dayan namanya. Pada waktu itu, suasana Timur Tengah sedang hangat dengan isu konflik Arab-Israel.

Moshe Dayan telah membuat satu tindakan yang menyebabkan orang Israel marah.

"Moshe Dayan membuat satu kesalahan yang besar kepada agama dan bangsa kita!" pekik seorang menteri.

"Dia bersalah dengan mendedahkan rahsia negara kita!" laung seorang lagi.

"Artikel akhbar yang diterbitkan mendedahkan mengenai kelemahan dan kekuatan Israel. Mana mungkin? Susah payah nenek moyang kita usahakan untuk tanah Zion ini?"

"Kita anak Tuhan! Tanah Zion adalah tanah yang dijanjikan Tuhan kepada kita. Moshe Dayan mengkhianatinya!"

"Pastilah orang-orang Arab akan menyerang kita dengan mudah! Mereka tahu kelemahan kita! Itu angkara dia!"

"Moshe Dayan," kata seorang menteri menenangkan.

Menteri itu meneruskan, "Bolehkah kamu beritahu, kenapa kamu sanggup khianat kepada negara kita?"

"Saya tidak mengkhianati Israel. Saya cuma ingin buktikan sesuatu," Moshe Dayan bersuara. Masih ada suara-suara yang menyumpah dan melaknatnya.

Dengan tenang Moshe Dayan menyambung, "Walau kita tulis macam mana pun, banyak mana pun, tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Percayalah!"

Semua orang tergamam. "Kenapa?"

"Sebab..."

"Orang Islam malas membaca!"

Semua orang mengangguk tanda setuju. Moshe Dayan tersenyum.

Sekian. Sketsa berakhir. Siapa makan cili terasa pedasnya. Bacalah.

_______________________________________

NOTA: Inilah Moshe Dayan. Gambar potret sebelah kiri. Sebelah kanan pula, Moshe Dayan (tengah) dengan megah berjalan melalui gerbang Jurusalem Lama setelah menang dalam Perang 6 Hari. Bacalah mengenainya di internet ataupun buku!

Friday, June 20, 2008

Insya-Allah...

Galaksi Muhsinin. Galaksi impian setiap makhluk. Galaksi tempat menyambung Misi Rahmatan lil Alamin...

Pusatnya Planet Ihsan H-2...

Perlembagaannya Sahifah Galaksi Muhsinin...

Perisainya Jaringan Ion Ankabut...

Pemimpinnya seorang khalifah muda berdarah Nusantara bernama Zulqarnain...

Novel saifai (sci-fi - Science Fiction) Galaksi Muhsinin merupakan novel sulung penulis bersama PTS. Insya-Allah Galaksi Muhsinin mempunyai 9 siri kesemuanya...

Nantikan!

Pautan UNIKA.
____________________

NOTA:

1. Desain cover merupakan cadangan. Gambar orang merupakan percubaan sahaja. "Pembalasan Dendam Bermula" pula merupakan percubaan juga. Itu bukan tajuknya juga. Cover Masih belum muktamad. Apakah pendapat anda mengenai cover ini?

2. Insya-Allah akan dicetak. Belum berada di pasaran... sabar.. sabar...

Monday, June 16, 2008

Apa Rasa Kitak?

16 Jun, semalam, saya telah melayari laman Harakahdaily.net. Saya tertarik dengan kenyataan GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Islam Malaysia)mengenai Borneo. Tentunya Sabah dan Sarawak. Saya paparkan di blog ini, supaya kita boleh baca dan fikirkan. Bacalah dengan saksama.

Sabah dan Sarawak perlu perhatian serius Kerajaan Pusat - Gamis
Nuha Rahim


KOTA KINABALU, 16 Jun (Hrkh) - Kehadiran delegasi Majlis Tertinggi Gamis di Borneo mampu memberi gambaran sebenar perjuangan mahasiswa di Semenanjung kepada mahasiswa Borneo walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti 1978 (Auku) membelenggu gerak langkah golongan mahasiswa.

"Mahasiswa di sini memiliki semangat juang yang tinggi dan kesatuan yang utuh dalam merealisasikan agenda mahasiswa dan dakwah kepada masyarakat Borneo," tegas Timbalan Pengerusi Helwani Gamis, Masyitah Ulul Azmin.

Sabah yang merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia sebenarnya memerlukan perhatian serius Kerajaan Pusat, tambah beliau.

Ketidakupayaan Sarawak pula meletakkan dirinya sebagai negeri termaju walaupun memiliki hasil mahsyul yang bertimbun-timbun menggambarkan rakyatnya masih jauh ke belakang dalam menikmati hak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penduduk Semenanjung, tegasnya.

"Masyarakat marhain Borneo yang masih berada dalam kekurangan pendedahan terhadap dunia luar yang ketara akibat kemiskinan ternyata merencatkan Borneo bergerak seirama dengan komuniti Semenanjung," katanya lagi.

Namun, Masyitah yakin bahawa kekurangan di Borneo bukan alasan kukuh bagi mendiskriminasikan perjuangan mahasiswa di sana sebaliknya Gamis yakin ia mampu menjadi pemangkin kebangkitan mahasiswa di Borneo seterusnya menjadi wasilah terpenting dalam usaha memantau dan membantu gerakan mahasiswa seluruh Malaysia.

"Anak watan Islam Sabah seharusnya membuang jauh pemikiran kelas ketiga sebaliknya berjiwa kental menghadapi kekangan pelbagai sudut dalam mencapai maksud perjuangan menegakkan Islam sebagai satu cara hidup," jelas Masyitah ketika sesi temu bual dengan Harakahdaily.

Kemahiran dan keilmuan yang padu tegasnya lagi, mampu menjadi senjata paling ampuh mahasiswa Borneo dalam berhadapan dengan segala cabaran.

Katanya lagi, Semangat juang yang mampan di samping kesatuan hati yang jitu pula disifatkan menjadi perisai sulit mahasiswa penggerak di Borneo. - mns_


Sekadar ingin melontar persoalan, adakah kenyataan Timbalan Pengerusi Helwani Gamis, Masyitah Ulul Azmin ini berpijak pada realiti? Apakah dasar kenyataannya berkata demikian? Adakah kenyataan ini berasaskan rasa keperihatinan umat ataupun ada agenda tersirat?

Apa rasa kitak? Apakah pandangan anda? Lihatlah kebenaran dengan mata hatimu...

"Berjasa Kepada Masyarakat"

Wassalam

Nota: Mok tauk tentang Gamis? Layari blog GAMIS

Tuesday, June 10, 2008

Resit Merah (2)

Penambang mula bergerak merentasi Sungai Kuching. “Aku harus cepat. Sebelum segalanya terlambat. Lihat, mereka bergurau!” Si Insan seakan terdesak mendepani kejadian mungkar di depan matanya.

“Resit. Ya, gunakan resit tadi!” ia mengeluarkan kertas merah berlipat empat dari poketnya.

Hatinya berdegup kencang, "Bagaimanakah harus aku mulakan?"

Suara arahan ke destinasi terngiang-ngiang di telinganya, “Naik penambang, selepas itu jalan lurus melintasi kedai-kedai kraftangan sampailah sampai di satu simpang dan bangunan berwarna ungu. Kedai itu dekat-dekat itulah.”

“Macam mana boleh gunakan resit ini untuk mulakan perkenalan? Ya Allah, boleh sahaja telefon kakak dan pergi terus.Mati akal juga.” Matanya pantas menjeling pasangan muda yang duduk sebangku dengannya.

“Ingat, sekali sudah bersemuka, mulakan perbualan dan kekalkan perbualan. Tanya tiga soalan mudah. Kemudian disusuli oleh tiga soalan yang lain.” Begitulah ilmu yang didapatnya dari satu kursus suatu ketika dahulu. Amat bermakna, terutama saat sekarang.

Pengayuh penambang kuning mengerah segala kudratnya mendayung sekuatnya. Kemudian ia berpaling sebentar. Ia menarik-narik tali di hujung atap penambang. Ditariknya berkali-kali. Rupa-rupanya sang pengayuh cuba menghidupkan enjin di bahagian belakang.

“Jikalau enjin hidup, maka komunikasi nanti mungkin terganggu. Aku harus cepat!”
Mahu tidak mahu bertindak, jantungnya bergoncang kuat. Berat hatinya tidak mahu. “Itu hanyalah nafsu!”

Tetapi digagahi jua ia mengensot badannya mendekati ‘Si Jejaka’. ‘Si ayu’ berada di sisi yang lain. Di tangan Si Insan resit merah yang masih terlipat.

Sambil tersenyum, “Assalamualaikum. Tumpang tanyak (tumpang tanya).” Ia membuka helaian resit.

“Ya?” perhatiannya terganggu.

Anehnya goncangan jantung Si Insan beransur normal. “Giney mok pegi sitok o (macam mana mahu ke sini)?” kata Si Insan sambil menunjukkan alamat kedai.

Si Jejaka seolah terpinga-pinga, “Oh.”

“Rrruummm!” enjin penambang berjaya dihidupkan.

“Tidaklah kuat sangat, boleh dengar lagi antara satu sama lain,” desis Si Insan.

“Kamek mok ke sitok. Kakak kamek mesan barang mok diambik. Lagikpun kamek baruk lagik sitok bah. Kamek dari Miri. Jadi sik brapa tauklah tek (Saya mahu ke tempat ini. Kakak saya pesan untuk ambil barang. Saya pun masih baru di sini. Saya dari Miri. Jadi, masih belum tahu sangat).”

“Oh,” kata Si Jejaka mengangguk. Di wajahnya kelihatan terkesima.

“Sori, kamek sik tauklah bang (maaf, saya tidak tahu, Abang).”

“Bena deh (betul)?” Si Jejaka membalas dengan anggukan.

Perbualan terhenti seketika. Canda mesra pasangan muda begitu juga. Entah mengapa, aneh sekali.

“Kamek Azrul. Kamek dari Miri. Kinek tok praktikal di Telekom di Bintawak ya (saya Azrul. Saya dari Miri. Sekarang sedang praktikal di Telekom di Bintawa),” perbualan harus diteruskan.

“Kitak tek eh (awak bagaimana pula)?”

“Kamek fulan. Nya tok fulanah, kazen kamek (Saya fulan. Dia fulanah, sepupu saya).”

“Kitak sekolah nak, o (awak masih sekolah, kan)?” Si Insan inginkan kepastian, bahawa mereka adalah remaja-remaja yang masih bersekolah.

“Aok.” Si Jejaka mengangguk. Si ayu menoleh ke arah yang lain.

“Kitak sekolah siney (awak sekolah di mana)?” soalan sudah lebih daripada tiga.

“Sekolah XXX. Nya pun sama juak (dia pun sama juga).”

“Oooo... paduhal. Dekat ajaklah dengan rumah kamek. Rumah kamek di Taman YYY ya.”

“Kitak sekolah XXX tek o? Kitak kenal ZZZ? Nya sekolah di sia juak (Awak sekolah di sekolah XXX kan? Awak kenal orang bernama ZZZ? Dia bersekolah di sana juga).”

Si Insan teringat juga, pengetahuan berkenaan sesuatu, seperti sekolah sangat membantu dari segi mendapatkan maklumat latar belakang sasaran dakwah.

“Aih, nya tok bah,” Si Insan cuba memberi bayangan pelajar Sekolah XXX yang pernah ia jumpa semasa program Baramij Taakhi wa Talahum di Lundu.

Namun soalannya dijawab dengan gelengan kepala. Penambang sudah ke tengah sungai. Mungkin penambang akan sampai dalam tiga minit lagi. Sang pengayuh memilih jeti yang agak jauh.

Perbualan terhenti sekali lagi. Si Insan berfikir-fikir lagi, “Apakah topik yang boleh dibawa untuk menghidupkan perbualan?”

Sekali sekala Si Jejaka bertanyakan soalan. Namun hanya dijawab dengan balasan yang ringkas.

“Sekurang-kurangnya dengan pertemuan ini, aku dapat sampaikan nilai-nilai Islam kepada kedua-dua mereka,” desis Si Insan.

“Alhamdulillah, ada idea!”

Si Insan tunduk sebentar, ia menoleh kepada sang pengayuh. Awanan berarak di langit. Angin sepai-sepoi bahasa menghembus, “Giney sehari-hari sidak idup o (agak-agak, macam mana mereka hidup)?”

Perhatian pasangan remaja teralih sebentar. “Kerjanya susah. Tanggar ajak, tambang sorang-sorang pun 30 sen ajak. Ya pun, lekak ngayoh lelah-lelah dibah matahari terit (kerja mereka susah. Lihat sahaja, tambang seorang paling banyak 30 sen sahaja. Itu pun, setelah penat-penat berkayuh di bawah terik matahari).”

Pasangan mengangguk. Mereka tidak berbual lagi, “Tanggar dirik kita. Kita senang-senang ajak, kan? Handphone kita dapat, duit mak bapak merik. Sidak? (Lihat pada diri kita. Kita ini hidup senang, bukan? Handphone kita dapat, duit mak dan ayah yang beri. Mereka?)”

“Ya lah kita tok, kenak banyak-banyak bersyukur.”

Perbualan terhenti lagi. Hanya kedengaran bunyi enjin penambang. Adakalanya juga terdengar perbualan bahasa Jerman pelancong berpakaian tidak cukup kain. Hairan. Mahu dikatakan daif, tentu banyak belanja terbang ke bumi Sarawak ini. Mungkin mereka masih jahil tentang syariat.

Penambang semakin menghampiri jeti. Sang penambang memegang dua wayar terjuntai di bahagian depan perahu. Tangannya sebelah lagi memegang dayung. Ia mencantumkan kedua-dua wayar. Lalu enjin serta merta berhenti.

“Bahaya juga, enjin dimatikan dengan cantuman dua wayar itu. Agaknya litar pintas sengaja digunakan untuk mematikan enjin. Kalau waktu hujan, bagaimana? Mahu juga kena renjatan elektrik daripada bateri,” fikir Si Insan.

“Mok pegi siney kaktok (mahu ke mana selepas ini)?” tanya Si Insan pada Si Jejaka.

“Pegi jalan-jalan. Ya di Jugah ya,” Si Insan mendengar dan mengangguk. ‘Jugah’ merujuk kepada kompleks membeli belah Tun Jugah di Kuching.

“Ooo... kamek pun mok ke Jugah juak. Kak ngambik barang, terus ke sia. Pegi POPULAR, lamak sik nanggar buku (saya pun mahu ke Jugah juga. Selepas ambil barang, nanti terus ke sana. Mahu pergi ke POPULAR, sudah lama tidak ‘lihat’ buku).”

“Oh,” angguk Si Jejaka.

“Jumpa sia kelak a!” kata Si Insan sambil ketawa kecil. Perahu sudah berlabuh. Sang penambang menahan perahu di jeti dengan kakinya.

Perbualan terhenti begitu sahaja. Si Jejaka terus menaiki jeti bersama pasangannya lalu membayarkan tambang.

“Maha Suci Allah. Kuatnya. Umur sudah senja. Tapi boleh tahan perahu yang sarat penumpang dengan satu kaki sahaja.”

“Oh, 30 sen.” Si Insan menyeluk syiling dalam poket seluarnya.

“Makseh (terima kasih),” dihulurnya 30 sen.

Ia terus menaiki jeti. Resit merah di tangannya dilipat kembali dan dimasukkan ke dalam poket. Sekali ia melihat kepada sang penambang tua.

“Ya Allah, tergamaknya aku beri 30 sen sahaja!” Amanah menuntut barang daripada resit merah harus diteruskan. Kedai itu akan tutup sebelum pukul lima petang.

“Tidak ada masa lain lagi. Mesti cepat. Petang ini harus melapor diri untuk KAFI di Seketariat PERKEPIS. Hujung minggu yang lain sudah tentu sangat sibuk.”

“Masalahnya tempat sebenar masih tidak pasti. Malu bertanya sesat jalan. Walau apapun, amanah mesti ditunai!”

Waterfront di hadapan. Kedai itu ada di rantau ini. Jalan bukan miliknya seorang. Banyak ragam manusia harus ditempuh. Ia cuba-cuba mencari-cari pasangan tadi.
“Itu dia!” dilihatnya si ayu bersama kelompok rakan yang lain. Manakala Si Jejaka pula menyimpang bersama teman yang lain.

“Ya Allah, bukanlah aku yang memberi petunjuk. Tetapi Engkaulah yang memberi petunjuk kepada orang yang Engkau kehendaki. Tunjukilah aku, adik-adik tadi dan adik-adikku yang lalai di tempat ini. ameen.”

Bersambung, insya-Allah

Sunday, June 8, 2008

Muhasabah


Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal diantara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, Karena takut kepada Allah. dan Allah sekali-sekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.(al-Baqarah, 2:74)

Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, ahli keluarga, para sahabat, ulamak muktabar dan orang-orang yang ikhlas menuntuni jalan mereka.

Pertama sekali mohon maaf kepada pengunjung atas “kesepian” blog ini. Sudah terlalu lama terbiar, tersadai tanpa berita. Bahkan pengunjung-pengunjung yang sangat penulis hargai kehadiran mereka tertanya-tanya, bilakah akan dikemaskini entri terbaru.

Mengatakan sesuatu yang benar terkadang pahit. Terlebih pahit adalah menjaga hati daripada penyakit yang paling bahaya: riak, ujub, takbur dan seumpamanya. Kerana apabila seseorang insan berbicara, pasti ia akan diuji sejauh manakah kebenaran kata-katanya. Adakah sekadar terpancul di bibir ataupun daripada lubuk hati yang ikhlas. Kerana dibimbangi, gara-gara merasa diri ‘hebat’ berbicara atau berbicara dengan manusia,diri tanpa sedar dimurkai oleh Allah, Tuhan yang memiliki segala-galanya;

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.(as-Saff, 61:2-3)

Semoga penulis tetap konsisten dalam jalan yang ditempuhnya, kuat hatinya dan sentiasa dipimpin Tuhan. Penulis akhiri entri ini dengan kalam yang menuntut kita muhasabah tentang kedudukan kita sebagai hamba;

Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.(as-Syams, 91:9-10)
Bersihkan hati kita. Sungguhlah beruntung orang yang melihat isi hatinya. Sungguh rugilah, orang-orang yang mensia-siakan, mencemar dan mengotori hatinya….

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...