BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, January 30, 2012

[Buku] Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz


“Engkau penyihir orang-orang muda!” tempik seseorang.

Orang yang ditempiknya lantas sujud ke tanah. Kemudian orang bersama (bersujud) bertanyakan, “Mengapakah tuan terus sujud ke tanah, sedangkan dia menuduh tuan seorang penyihir?”

Lantas, insan tertuduh itu tersenyum, lalu berkata, “Kerana aku menempuhi jalan yang telah dilalui oleh baginda moyangku.” Ya, moyangnya telah dicemuh. Bukan sekadar ahli sihir. Bahkan, bermacam-macam lagi tuduhan yang tidak benar lagi berasas. Kerana insan agung tersebut adalah Utusan Terakhir Allah adalah penyempurna akhlak manusia, maka ia tidak membalas sedikitpun yang diterimanya. Moyang beliau adalah Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Begitulah saya dengar daripada sahabat saya daripada Madrasah al-Khairat, Kuching yang pernah menimba ilmu daripada majlis yang disampaikan didakwa sebagai sang penyihir tadi. Siapakah orang ini?

Beliau adalah Habib Umar bin Hafiz. Beliau merupakan ulama keturunan Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w dan merupakan pengasas sebuah institusi pengajian agama Darul Mustafa. Institut tersebut mempertahankan sistem tradisi ilmuan Islam secara bersanad yang menjadi tonggak kepada kukuhnya ilmu agama berlandaskan kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Darul Mustafa terletak di sebuah tempat bernama Tarim, Hadhramaut, Yaman.

Buku Singa Podium: Biografi Habib Umar bin Hafiz telah saya beli beberapa minggu yang lepas di Mybookstore, Kuching. Bimbangkan buku ini cepat habis, maka saya segera menyambarnya tanpa banyak fikir. Buku ini diterbitkan oleh Inteam Publishing pada November 2011 yang lepas. Buku ini membentangkan pengenalan ringkas tentang sosok dakwah yang tersohor ini. Usaha menerbitkan buku seperti ini amat bertepatan sekali, iaitu dalam keadaan umat Islam perlu mengetahui figur-figur yang boleh dijadikan sebagai tauladan, terutama sekali pemuda-pemudi Islam.
Habib Umar bin Hafiz ketika berada di Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM pada Januari 2010. Oleh sebab tidak ramai hadirin menghadiri kuliah subuh beliau, maka kesemua di kalangan mereka berkesempatan untuk bersalaman dengan beliau. Walaupun saya tidak hadir, tetapi sykurlah gambar ini telah dimbil dengan kamera saya! (Huhu)

Namanya bergema di hati-hati pemuda pemudi yang beriman kepada Allah di serata dunia. Dirinya mengikut jejak langkah nenek moyangnya Sayyidina Rasulullah s.a.w. Beliau merantau ke ceruk-ceruk dunia untuk menyampaikan dakwahnya mengajak manusia kembali kepada Allah dan mencintai Rasulullah s.a.w. Saya pernah mendengar, bahawa sekali majlis sahaja di Indonesia, manusia yang hadir mencecah lebih sejuta di sebuah dataran. Dikhabarkan, beliau keluar berdakwah ke serata dunia selama 6 bulan setahun. Manakala menjelang Ramadhan, beliau kembali ke Tarim, Hadhramaut. Saya teringat kata-kata seorang kenalan:
“Kita berasa penat sekali usai pulang daripada majlis Habib Umar. Akan tetapi, sebenarnya beliau tanpa mengeluh dan rasa lelah meneruskan dakwahnya di negara-negara lain. Daripada manakah beliau beroleh kekuatan?”
Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1.Biografi ringkas hidup Habib Umar bin Hafiz
2.Pengenalan tentang Darul Mustafa
3.Intisari ceramah dan nasihat beliau ketika berada di Indonesia
4.Biografi ringas anak murid beliau, Habib Ali Jufri
Satu tradisi ulama Hadhramaut adalah menziarahi makam Nabi Allah Hud pada bulan Syaaban.
Alhamdulillah, dengan nikmat yang Allah berikan kepada saya, saya sempat mengikuti majlis bersama Habib Umar di pondok Baitul Qurra, Melaka pada Januari 2010. Pengalaman hadir dalam majlis tersebut luar biasa sekali. Dikatakan, lebih 10,000 hadirin membanjiri dataran pondok tersebut. Pengisian tausiyah beliau tidaklah lama. Tidak sampai sejam pun. Namun demikian, sentuhan ruhani beliau luar biasa sekali; saya yakin ribuan hadirin juga mengalirkan air mata ketika kami berdoa bersama-sama beliau kepada Allah.


Saya masih ingat, untuk keluar lorong pondok ini memakan masa yang agak lama, kerana terlalu ramainya manusia! Walaupun tidak berkesempatan untuk mencium tangan beliau, namun saya sempat melihat manusia berduyun-duyun, berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau. Saya teringatkan perbualan saya dengan seorang sahabat, beliau mengatakan:

“Habib Umar tidak membawa sepuluh sen pun, dia dapat (menyara hidup) teruskan dakwahnya. Orang sanggup menjaga kasut beliau sehinggalah menyarungkan kasutnya ke kaki. Begitulah, orang yang begitu hampir kepada Allah, dunia di bawah telapak kakinya.”
Perwatakan beliau yang lemah lembut dan berhikmah, keluasan ilmu dan menyentuh hati-hati pendengar mengangkat wibawa beliau. Lantas, tidak hairanlah beliau menjadi sebutan di kalangan muda-mudi.

Menurut daripada kisah yang saya dengar daripada orang-orang yang pernah menuntut ataupun hadir di majlis beliau ketika di Hadhramaut, beliau merupakan seorang yang amat berpegang dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Betapa besarnya perhatian beliau terhadap ilmu, masa tidur sehari purata tidak lebih daripada sejam. Dikatakan juga, adakalanya tidur beliau hanyalah ketika terlelap seketika semasa beliau menelaah kitab pada sepanjang malam. Siangnya beliau mengajar dan berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani anak murid beliau, Habib Ali Zainal Abidin (calon PhD UIAM) ketika di Masjid al-Falah USJ9, Subang, Januari 2010. Dianggarkan dihadiri oleh 10,000 orang
Satu kekaguman yang saya dengar di kalangan penuntut beliau adalah cara beliau yang amat berhikmah mencontohi Sayyidina Rasulullah s.a.w.Beliau tidak mencela dan menghina orang lain. Sekalipun orang-orang yang berbeza aliran mazhab ataupun akidah, beliau tidak pernah menyebutkan nama-nama orang tertentu dalam majlisnya, hanya sekadar menyebutkan ciri-ciri fahaman yang menyimpang daripada agama. Saya dengar juga, tidak sedikit tokoh-tokoh Syiah dan Wahabiyah yang telah insaf dan bertukar aliran menjadi penuntut beliau menegakkan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Habib Umar bin Hafiz ditemani oleh Habib Ali Zainal Abidin yang menterjemahkan tausiyah beliau. Di Baitul Qurra', Melaka, Januari 2010.
Marilah bersama-sama kita menjadi pencinta para ulama yang merupakan rantaian dakwah daripada baginda Rasulullah s.a.w. Ulama keturunan beliau, yang digelar sebagai Habib telah bergiat cergas setiap masa dan ketika membawa manusia kembali kepada-Nya. Hakikat fakta sejarah mengatakan bahawa rantau ini telah disinari dengan cahaya Islam oleh para ulama sufi daripada Hadhramaut sejak ratusan tahun yang lampau. Syukur kepada Allah, hubungan tersebut telah disambungkan kembali oleh penerus generasi ulama Hadhramaut.
Disebutkan sebuah hadith dalam kitab Empat Puluh Hadith Kelebihan Ilmu dan Ulama susunan KH. Muhammad Syukeri bin Unus al-Banjari (diterjemah oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki), daripada Abdullah bin 'Amar bin ‘Ash radiallahu’anhuma berkata:

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang-orang yang jahil, lalu mereka ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka tersesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
Mengakhiri pengenalan buku kali ini, dalam kesempatan yang ada kita perdengarkan mutiara-mutiara hikmah daripada Habib Umar bin Hafiz. Semoga kita beroleh manfaat daripada beliau, amin.

Habib Umar berbicara akan kasih Rasulullah s.a.w terhadap umatnya:


Habib Umar berbicara tentang ciri umat Islam yang sejahtera:


Dokumentari kembara dakwah Habib Umar di Andalusia, Sepanyol:


Allahu’alam. Wassalam.

NOTA: Khas buat orang-orang di Kuching, bersempena sambutan Maulidur Rasul 1433H ini, YADIM dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain akan mengadakan program 'Marhaban ya Rasulallah s.a.w!' yang akan dihadiri juga oleh para Habaib jemputan pada 11 Februari 2012 di Majid Darul Abidin, Astana. Anda dijemput hadir bersama keluarga, jiran-jiran dan rakan taulan. Jumpa di sana!

[Maulid 1433H] Program Maulidur Rasul 1433H


Hadir dalam majlis Maulid terutama ketika sambutan Maulidur Rasul merupakan keindahan yang tiada taranya. Itulah majlis mahabbah kecintaan yang mendalam terhadap Sayyidina Rasulullah Nabi Muhammad s.a.w. Kepada yang berhajat meraikan, hadirlah dengan seikhlas hati. Insya-Allah terbit daripadanya satu rasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata... Kita hanya tahu 'rasa' itu apabila kita sendiri yang hadir. Rebutlah peluang keemasan ini.


Terutama teman-teman dan kenalan yang berada di Semenanjung Malaysia, banyak Majlis Maulidur Rasul 1433H. Majlis Maulid Akbar adalah salah satu sambutan yang besar, menggabungkan 3 Maulid sekaligus (Simt al-Durar, ad-Dhia al-Lami' dan Daibaie). Bacaan maulid tersebut merupakan bait-bait untaian syair daripada pecinta Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w di kalangan para ulama yang muktabar. Mereka telah menukilkan penghargaan dan penghormatan yang besar terhadap Sayyidina Nabi s.a.w sebagai tanda kecintaan kepadanya.

Sebagai orang awam, kita harus yakin dan bersangka baik terhadap mereka di kalangan ulama, bahawa pujian mereka terhadap Sayyidina Nabi s.a.w adalah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak. Mereka bertindak dan bertanggungjawab dalam kehidupan mereka bersama ilmu dan menyebarkan di kalangan masyarakat. Siapalah kita yang jahil ini untuk menghukum yang mereka buat itu adalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan melampau, apatah lagi menyesatkan. Dini hari, adakah kita pernah bertanya, paling kurang adakah telah kita selesai menuntut ilmu fardhu 'ain? Jikalau itu pun belum, adakah kita sudah setaraf dengan mereka dan mengeluarkan ijtihad sendiri? Kita tepuk dada, tanyalah iman.


Manakala di Bumi Kenyalang, marilah kita raikan Maulidur Rasul ini dengan menghadiri program 'Marhaban ya Rasulallah!'. Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Abidin (Astana, Kuching), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Madrasah al-Khairat, Sukarelawan al-Falah YADIM dan Hawary Consultants pada 11 Februari 2012, Sabtu mendatang. Bawalah rakan dan taulan, sanak saudara kita bersama-sama menyemai benih kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Antara program bersempena Maulidur Rasul 1433H di Kuching adalah:

Mengakhiri entri ini, marilah kita renungkan qosidah yang indah ini yang bertajuk 'Law Kana Bainana...'[Andainya (Rasulullah s.a.w) Bersama Kami]:


Moga-moga kita meraih cinta Allah dan Rasul-Nya... amiin...

Allahu'alam.

Wassalam.

Saturday, January 28, 2012

[Maulid 1433H] Marhaban ya Rasulullah s.a.w!


Alhamdulillah, segala Puji bagi Allah Tuhan sarwa alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Penghulu segala Nabi dan Rasul, Sayyidna Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Syukur nikmat Islam dan Iman yang Allah masih berikan. Dengan nafas dan nyawa yang disambung kepada jasad, dan dengan taufik dan hidayah-Nya, masih lagi diberikan kesempatan melakukan ketaatan.

Namun demikian, ketaatan itu pernah diajarkan oleh hamba-Nya yang mulia. Bahkan, bukan sebarangan manusia, tetapi Guru yang Agung, iaitu Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam selama-lamanya atas baginda dan ahli keluarganya di kalangan Ahlul Bait. Semoga Allah mememelihara, meneguhkan mereka dan umat Muslimin secara keseluruhannya.

Alhamdulillah, kita telah beranjak sekali lagi bertemu dengan bulan yang mulia, iaitu bulan Rabiul Awal 1433H. Bulan yang dikatakan oleh ahli sufi yang tiada rupa asalnya. Akan tetapi dengan kelahiran baginda Rasulullah s.a.w ia menjadi mulia kerananya.

Ingin saya mewar-warkan satu majlis 'Marhaban ya Rasulullah!' anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak dengan kerjasama Masjid Darul Abidin (Astana, Kuching), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Madrasah al-Khairat, Sukarelawan al-Falah YADIM dan Hawary Consultants pada 11 Februari 2012, Sabtu mendatang.

Dalam program tersebut, para hadirin akan bersama-sama meruntunkan bait-bait syair memuji Allah dan berselawat atas Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w melalui Maulid Daiba' serta qosidah-qosidah yang indah. Juga terdapat penceramah yang dijemput khas, mengutarakan akan keindahan Rasulullah s.a.w.

Oleh yang demikian, amat mustahaklah kita mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan ilmu tentang baginda Rasulullah s.a.w dengan cara yang benar, daripada guru dan ilmu yang benar. Dan juga, jadikanlah bulan ini sebgai bulan permulaan untuk kita menghayati mahabbah (kecintaan yang mendalam) terhadap baginda Rasulullah s.a.w dengan hak. Jika sesiapa yang tidak berkenan menyambut Maulidur Rasul ini, silakanlah. Tetapi usahlah membuang masa dan tenaga hanya semata-mata mengatakan ini sungguh terlarang yakni bid'ah yang boleh menjerumus kepada kesesatan.

Sesungguhnya telah terbit daripada kalam-kalam ulama muktabar yang merupakan mata rantai ilmu dan cahaya daripada baginda Rasulullah s.a.w telah mengulas dengan panjang lebar, bahawa sambutan ini adalah sambutan mulia. Jika anda berminat, saya pohon agar boleh dirujuk kitab Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya oleh yang berbahagia Ustaz Muhadir bin Joll.

Bahkan, melihat kepada umat Islam kini yang semakin hari semakin jauh daripada tauladan ulung daripada baginda s.a.w, tidak keterlaluan jika sambutan Maulidur Rasul ini sampai ke tahap wajib. Pandangan tersebut merupakan pandangan daripada seorang ulama tersohor, Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 2004), pengajar Masjidil Haram di Makkah. Perkara ini telah disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Joll dalam siaran di Radio IKIM.fm pada Jumaat, 20 Januari 2012.
Kenang-kenangan bersama Ustaz Muhadir bin Joll (tengah, berjubah biru, berselendang warna perang) ketika majlis ceramah bersempena Maulidur Rasul 1432H di masjid Kpg. Senari, Bako, Kuching.

Marilah kita mengimarahkan majlis-majlis yang mengenang, memperingati, menghayati kasih sayang baginda Rasulullah s.a.w yang bakal berlangsung menjelang tarikh tersebut. Ini kerana dalamnya terkandung zikir, selawat dan nasihat serta pengajaran daripada pecinta-pecinta baginda s.a.w. Semoga kita meraih kecintaan, mahabbah kita kepada Rasulullah s.a.w, sekaligus meraih cinta kepada Allah... Amiin.

Sebagai renungan penghayatan sambutan, kita dengar kisah tentang kecintaan kepada Rasulullah s.a.w daripada keturunan Ahlul Bait baginda, iaitu Habib Ali Jufri:



Allahu'alam.

Wassalam...

Thursday, January 5, 2012

Warkah Menanti Kelahiran...


Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat atas Junjungan Mulia Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Anakku, dengarlah bicaraku ini. Mungkin suatu masa nanti engkau mencariku sudah tiada, dapatlah engkau menatap coretku pada saat ini.


Anakku,

Dahulu nendamu pernah berbicara kepadaku. Ia mengkhabarkan kepadaku bahawa sejak awal nadimu bergerak, terasa lama benar menunggumu tiba di dunia. Maka nendamu berkata jua, tatkala masanya hampir tiba, saat itu cepat benar berlalu. Kelahiranmu kami tunggu-tunggu.

Anakku,

Benar kata nendamu yang bijaksana. Dahulu terasa bilakah kunjung tiba harinya. Namun kini detik kelahiranmu aku dan bondamu tertunggu-tunggu saat pertemuan kita. Nenda-nendamu, guru-guruku, saudara-saudaramu, taulanku, mendoakan sejahtera hendaknya engkau lahir ke dunia.


Anakku,

Ingatlah asal-usulmu. Tika ini engkaulah seperti yang dikata firman yang Allah Maha Esa dengan Kalam-Nya yang Mulia, tertera dalam Surah al-Mukminuun:

12. Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah.

13. Kemudian Kami jadikan pati itu setitis air benih di tempat penetapan yang kukuh.

14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan Allah sebaik-baik Pencipta.


Anakku,

Ketahuilah bahawa engkau diciptakan oleh Allah Tuhanmu dari asal yang hina. Dia telah mengkhabarkan asal-usulmu sejak awal lagi. Engkau wujud daripada tiada kepada ada. Suatu hari wujud engkau daripada ada kepada tiada. Akan tetapi Tuhanmu adalah Qadim dan Baqa’. Dialah yang wujud sejak azali lagi dan tetap hidup tiada mati azali selama-lamanya. Engkau pernah berjanji kepada-Nya sebelum alam rahim lagi. Engkau keluar ke dunia mengotakan janjimu. Ingat asal-usulmu itu.

Anakku,

Saat pertama aku melihat nadimu berdenyut, aku sudah tertawan akan dirimu. Engkau adalah bukti Tuhan itu Maha Esa lagi Berkuasa. Dia-lah yang Menciptakan. Dia-lah yang Menghidup dan Mematikan. Betapa takjubku melihat, ada denyut nadi nyawa berkelip-kelip dalam rahim ibumu. Kerlipan jantungmu yang sudah berentak berirama menunjukkan kewujudanmu.


Anakku,

Sungguh engkau adalah berita gembira. Syukur tidak terungkap kepada Tuhanmu Allah. Semoga engkau menjadi tali turunan yang menyambungkan amalku ketika aku di alam barzakh. Ketahuilah, tidak bermanfaat amalku kelak melainkan tiga perkara apabila aku di alam kubur. Aku harap engkaulah anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan daku dan ibumu suatu hari kelak.


Anakku,

Aku pernah mendengar daripada guruku yang mulia. Namanya Habib Mohamad bin Alawi al-Attas. Semoga Allah merahmati tuan pendidikku itu. Semoga engkau sempat bersua dengannya. Guruku pernah berkata, bahawa ahli ilmu hayat pernah berbicara. Mereka menyatakan bahawa janin itu lantas bersujud dalam rahim ibunya apabila dibacakan kalimat Tuhan yang Maha Esa. Aku pernah mendengar, daripada seorang guru yang jauh. Namanya hampir sama, iaitu Habib Mohammad al-Saqqaf. Ia berkata bahawa kalimat Tuhanmu membawa cahaya kepadamu. Engkau tahu apakah itu? Adakah engkau merasanya?


Anakku,

Kata-kata guruku itu aku turuti. Aku usap dirimu mungkin tanpa engkau rasa. Maka aku cuba menuturkan alunan ratib, zikir, selawat dan kitab Quran yang mulia kepadamu. Lantas dirimu tidak pernah cuai berolak-olak selolah-olah dirimu keriangan. Adakah benar engkau sujud kepada Tuhanmu? Adakah benar ada cahaya dalam hatimu? Adakah benar, wahai anakku?

Anakku,

Sebelum mengakhiri warkah sederhana ini, ingin aku pesan sesuatu. Harapanku, engkau ketahuilah, rangkulkanlah dan hayatilah, agar ia bermanfaat pada dirimu kelak. Aku ingin perkenalkan kepadamu seorang masyhur lagi agung teladan sepanjang zaman. Aku berharap benar engkau beriman kepadanya pada suatu hari kelak.


Anakku,

Sungguh, orang yang aku perkenalkan ini insan yang mulia. Ia juga manusia, tetapi tiadalah sama sepertimu. Janganlah engkau dengar dakwaan bahawa ia manusia biasa sepertimu jua. Sungguh, ia dalam kandungan tidak pernah menyusahkan atau membebankan bondanya yang mulia. Terpancar dari perut ibunya cahaya yang menampakkan istana-istana Syam.

Anakku,

Saat kelahiran insan itu, terpancar dari rahim ibunya cahaya yang gemilang. Lantas keluarlah seorang bayi yang suci, bersih dan wangi yang lantas bersujud kehadrat Ilahi-Nya. Ia telah berkhatan dan terpotong tali pusatnya. Api biara Majusi menyala seribu tahun terpadam. Takhta istana Kisra dan Kaisar menjadi puing-puing. Tahi bintang menembus sang pengintip menjaga perkhabaran langit. Sungguh ia istimewa daripada mana-mana bayi sekalipun. Ia adalah insan agung. Insan yang dipilih Tuhan daripada nenek moyangmu Nabi Adam. Dialah sebaik-baik makluk-Nya, juga Khatimul Anbiya, iaitu Penyudah segala Nabi. Dialah penyebar rahmat ke serata alam. Engkau tahu siapakah dia?

Anakku,

Engkau pangil ia Sayyidina Rasulullah Nabi Muhammad. Jangan engkau lalai sebutkan selawat atas nama baginda ‘sallallahu alaihi wasallam.’ Kerana engkau umatnya. Ia Penghulu di dunia ini. Semoga dia mengenalimu pada Hari Penantian nanti. Dia juga Penghulu di Alam sana. Maka engkau berimanlah kepadanya sekalipun engkau tiada pernah bersua dengannya. Agar engkau dapat meneguk Telaga Haudh ketika engkau haus pada Hari Itu. Dan engkau jangalah jemu berselawat atasnya. Semoga ia mengenalimu dan memberi syafaat pertolongan kepadamu. Ia sungguh kasih kepadamu!

Anakku,

Engkau cintailah dia sepenuh hatimu. Kerana mencintainya bermakna mencintai Allah Tuhan yang Maha Esa. Sungguh, guruku Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki pernah berkata, cinta kepada Rasulullah selawat atasnya bukanlah cinta yang semulajadi. Bahkan, cinta itu bukan sebarang cinta. Cinta itu adalah dengan usaha dan pengorbanan yang bukan sedikit. Bagaimanakah engkau meraih cinta?


Anakku,

Aku sedang mencari-cari cinta nan agung itu. Jawapan itu mungkin juga engkau terjawab suatu hari kelak. Aku mengambil pesan guruku Habib Izzuddin al-Idrus, bahawa carilah cinta itu dengan ilmu. Ilmu engkau amal menimbulkan yakin. Yakin itu menimbulkan iman. Iman itu menimbulkan taqwa. Semoga taqwa itu menghias dirimu, dan pendorong untukmu mencari cinta ulung itu.

Anakku,

Aku pohon kemaafan atas panjangnya bicaraku ini. Sekadar ingin aku dan bondamu khabarkan, saat kelahiranmu kami tunggu-tunggu. Kami doakan agar engkau selamat sejahtera lahir ke dunia yang fana ini. Semoga engkau menjadi berita gembira, cahaya mata, penyejuk hati kami berdua. Aku pohon kemaafan daripada Allah yang Maha Pemurah. Semoga Dia mengampuni kami, ibu bapa kami yang telah berpenat lelah bertarung nyawa membesarkan kami daripada kecil tapak tangan sehinggalah menjadi seorang manusia. Amiin.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...