9 Muharram 1434H
7.20 pagi
Seorang insan baru sahaja 'mamai' masih dibuai kantuknya tidur. Tangannya menggapai sebiji botol air di hujung katil. Ujarnya, "Eh, sekarang sudah masuk waktu Subuh. Waktu sahur sudah lepas. Niat sahaja pun tidak apa. Asalkan tidak makan."
Fasa demi fasa waktu berlalu. Si insan tadi yang juga seorang ayah, apabila anaknya sudah bangun, turut juga sibuk bergilir tugas memerhati, melayan dan menjaga anak. Dalam perhatiannya kepada anak mereka yang berusia 9 bulan Fatimah az-Zahra', tiba-tiba Si Isteri bertanya, "Abang mahu minum apa?"
"Teh," jawabnya dengan spontan.
Maka bersarapanlah keluarga kecil ini. Fikiran Si Ayah tertumpu kepada puterinya. Ini kerana Fatimah adalah seorang yang sangat aktif, jika 'enjin sudah panas.'
Ia memprotes untuk keluar daripada kerusi bayi jika tidak disuap dengan makanan ataupun minuman. Si Ibu sedang berkejaran dengan masa untuk menghabiskan sarapan tepat pada masanya. Maka Si Ayah tadilah yang melayan anaknya. Sekali suap cebisan roti yang dicelup air, sebiji roti ditelan Si Ayah. Sehinggalah habis semuanya.
8.20 pagi
"Fatimah, mari makan!" Si Puteri ingin makan lagi. Si Ayah menyuap lagi biskut Farley lembut ke dalam lelangit puterinya. Tertinggal di jari Si Ayah, lebihan biskut itu masih terlekat. Lantas, Si Ayah pun merasakan juadah puterinya di hujung lidah.
Tiba-tiba ia teringat..... "Bukankah tadi aku berpuasa???"
Apakah nasib puasanya? Setelah kenyang tersarapan, adakah masih dikira 'tidak sengaja?' Fikir-fikirkan.
Jika anda tersarapan seperti Si Ayah, maka ada peluang untuk berpuasa sunat pada 11 Muharram. Ini kerana, sunnahnya seperti yang diamalkan oleh baginda Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w, Puasa Asyura 10 Muharram mestilah digandingkan dengan 9 atau 11 Muharram. Jika kaum Yahudi merayakan sehari sahaja pada 10 Muharram kerana kesyukuran terbebasnya daripada cengkaman Firaun, maka umat Islam, umat Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w. adalah yang paling layak meraikannya, dengan lebih sehari.
Puasa Asyura hanya sehari sekali setahun. Rebutlah ganjarannya. Selamat meraih redha Allah....
Selamat berpuasa...
No comments:
Post a Comment