BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, October 24, 2012

BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH

 ALHAMDULILLAH, ZULHIJJAH DATANG LAGI…. 
“BESARKANLAH APA YANG DIBESARKAN OLEH ALLAH”

*Artikel ini merupakan petikan dari Buletin AsSofa keluaran Oktober 2011/Zulhijjah 1432, tulisan Syeikh Dato’ Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Ahmadi, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Artikel ini bersumber daripada sahabat saya sdr. Hisyamuddin bin Roslan yang 'post' perkara ini dalam komuniti facebook 'Miri Muslim Youth':


Alhamdulillah, dengan ‘Inayah dan Ri’ayah Allah pastinya, maka hari ini kita dikurniakan lagi untuk kesekian kalinya nikmat yang besar erti dan fadhilatnya iaitu bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah bukanlah bulan untuk Tetamu Allah sahaja, tetapi ia merupakan bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang prihatin dengan masa-masa yang dimuliakan Allah dan bijak mengambil peluang. Sesungguhnya pada setiap kejadian Allah itu mempunyai benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya. Di antaranya ialah Ka’abah, Hajar al-Aswad, Zam-zam, bulan Ramadhan, hari Jumaat, sepuluh terawal bulan Zulhijjah, Makkah, Madinah, Baitul Maqdis, Para Nabi, Rasul dan sebagainya. 

Kesemua perkara tersebut merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firmanNya :

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah”

Dalam bulan Zulhijjah, terdapat masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah, iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, ‘Idul Adha dan Hari Tasyriq. Sesungguhnya, Allah telah bersumpah dengan fajar ‘Idul Adha dan 10 terawal bulan Zulhijjah. Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut, sebagaimana firmanNya: 


“ Demi waktu fajar ‘Idul Adha; dan malam sepuluh Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain. Banyak hadith yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya. Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas radiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Tidak ada dari hari-hari, yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Dan tidak juga berjihad fisabilillah(lebih afdhal daripada beramal pada hari-hari ini?” Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Tidak juga berjihad fisabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid.”
Ulama’ berdalilkan hadith ini bagi menunjukkan kepada galakan atau sunat berpuasa pada Sembilan hari daripada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz ibnu Hajar radiAllahu ‘anhu. 

Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam juga bersabda :
“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang Sembilan) menyamai puasa seribu hari dan sehari puasa pada Arafah menyamai puasa 10,000 hari.”
Daripada Abu Hurairah radiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda : 


“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepadaNya daripada sepuluh hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar.”
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan qurban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya iaitu dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban. Hal ini berdsarkan hadith Ummu Salamah, bahawa Nabi sollaAllahu ‘alaihi wasallam bersabda :


“Apabila masuk hari yang sepuluh Zulhijjah, dan seseorang dari kamu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun.”

Di dalam satu riwayat :

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berqurban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya.”


Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu pemerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadith ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredhai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun alaman yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan. Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihiNya.

Insya-Allah, mari beramal! ;)


No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...