BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Tuesday, December 18, 2012

Ulama Itu Bawa Senjata



Diceritakan oleh Ustaz Syed Izzudin bin Wan Kamaldin (dikenali juga sebagai Habib Izzudin), pernah seorang ulama di Hadhramaut, negara Yaman yang bernama Habib Muhammad bin Soleh al-Attas difitnah membawa senjata. Beliau merupakan mudir (guru besar) salah sebuah daripada banyak madrasah (seperti pondok) yang bernama Rubat Huraidhah. 


Ketika beliau memandu, beliau telah dihalang oleh sekumpulan tentera yang sedang membuat sekatan jalan raya. Ketua mereka mengarahkan supaya keretanya diperiksa bagi menyiasat dakwaan pihak yang berkepentingan. Salah seorang daripada mereka berkata, “Kami mendengar kamu membawa senjata. Di manakah senjata kamu?” askar itu menggertak.

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh
di Kpg. Segubang, Bau, Sarawak, 2010

Habib Muhammad bin Soleh al-Attas adalah seorang yang berwarakan tenang sahaja. Beliau menjawab ringkas, “ad-Du’a (Doa).”

Kata askar itu, “Apa? Di mana senjata kamu?” Sekali lagi tuan Habib digertak. Ia menjawab lagi, “Doa.”

“Di mana senjata kamu!” askar itu semakin kurang sabar. Jawabnya lagi, “Doa.”

 “Ah, sudahlah!” Keberangan, askar itu melepaskan ia pergi. Beliau tidak berbohong. Kalau senjata api, memanglah tiada. Tetapi beliau ada 'senjata' yang lain. Daripada kitab Sairus Salikin yang dikarang oleh Syeikh Abdus Samad Falimbani rahimahullah (w. 1246H / 1830M) disebutkan hadith Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w (m/s. 607):

"Doa itu senjata mukmin dan tiang agama dan cahaya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi." (Riwayat Hakim)

Ulama merupakan waris kepada anbiya’ (para Nabi). Maka ulama dengan ketinggian ilmu yang mereka miliki, mencerminkan akhlak yang tinggi. Lihatlah, mereka tenang sahaja menghadapi fitnah dan membalasnya dengan ilmu dan hikmah. Dirinya dikenali sebagai seorang yang tawaduk, mengasihi anak-anak muridnya. Pernah diceritakan oleh sahabat-sahabat kami, beliau memeriksa keretanya sendiri dan memandu sendiri. Jika ada anak muridnya yang kurang sihat, beliau sendiri yang hadir menziarahi mereka. Semoga Allah merahmati beliau dan perjuangannya.

Dua ulama...Habib Muhammad bin Soleh al-Attas (kanan)
dan Habib Mohamad bin Alwi al-Attas, mudir
Madrasah al-Khairat, Kuching ketika program dakwah di
Kpg. Segubang, Bau, Kuching, Sarawak.
Habib Muhammad bin Soleh al-Attas pernah berkunjung dalam ziarah dakwah beliau di negara ini. Syukur kepada Allah, dengan izin-Nya, beliau sempat bertandang ke Bumi Kenyalang pada tahun 2010. 

Ziarah dakwah Habib Muhammad bin Soleh al-Attas di perkampungan saudara baru, Kpg. Segubang di Bau, Kuching, Sarawak pada Jun 2010. 
Dalam rangka lawatan singkat dakwah beliau, kami bersama sahabat berpeluang berkhidmat semampu yang boleh. Bukan selalu ada ulama, terutama sekali daripada jurai keturunan Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang datang ke negeri kami ini.

Kenang-kenangan 2010... sdr. Syed Abdul Hamid bin Wan Yusuf (Abang Syed, berkain pelikat hijau) yang sekarang melanjutkan pelajaran agama di Rubat Huraidhah.
Syukur kepada Allah, yang telah mengizinkan beberapa sahabat kami yang berpeluang untuk menimba ilmu secara bertalaqqi dan bersanad di madrasah beliau di Rubat Huraidhah. Semoga mereka diberikan kekuatan istiqamah meraih ilmu dan hikmah, agar dapat dibawakan kembali, terutama ke negeri kami yang ketandusan para ilmuan yang benar. 

Mudah-mudahan ada rezeki suatu hari kelak berazam ke sana merasai suasana ilmu dan ibadah. 

Habib Izzudin al-Aidrus bersama sahabat-sahabat mengiringi pemergian
Ustaz Iman Daud (dua dari kanan) berangkat ke Hadhramaut, Yaman untuk menimba ilmu
di Rubat Huraidhah bawah kendalian Habib Muhammad bin Soleh al-Attas.
Semoga Allah meneguhkan  Tuan Habib Muhammad bin Soleh al-Attas dan sahaba-sahabat agar istqamah dalam membentuk generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan menjalankan tugas mereka sebagai khalifah Allah di muka bumi ini... Amiin. 

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...