BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, October 29, 2012

Dia Duduk di Tangga




Hari Raya Idul Adha 1433H,
Miri

Ketika di rumah saudara, permata hati kami Fatimah az-Zahra' sedang menikmati sarapan paginya. Sekembali dari dapur mengambil air, ayahnya kehairanan, salah seorang saudaranya termenung di kaki tangga. 

Dia menegur, "Peliknya, kenapa abang duduk di tangga? Duduklah di sana sekali." Si Ayah menunjuk ke arah sofa ruang tamu.

Balasnya, "Saya lebih tenang duduk di sini."

"Malas mahu dengar cerita politik?"

"Begitulah. Yang di sana, pembangkang. Di sini kerajaan. Malas mahu bergaduh. Baru tadi kita membaca surah Yaasiin, bertahlil dan berdoa sama-sama. Tidak baik kita bergaduh selepas berdoa."

Dalam hati, Si Ayah tadi mengeluh. Ya, kalau yang 'di sana' berjumpa, memang tidak terlepas gosip-gosip sensasi yang tiada hujung pangkal, bahkan mereka tidak pernah terlibat pun sama sekali. 


Cerita yang diolah begitu mengujakan. Dan tentunya penuh emosi. Seringkali juga, akan terkeluar aib-aib manusia yang mereka benci. Entah benar yang mereka baca. Selalu juga terselit episod-episod lucu yang mereka reka dengan kreatif sekali.

Telinga Si Ayah seakan-akan tuli. Ia mendengar, tetapi hatinya ditutup. Tidak lebih berulang-ulang benda yang sama. Kebencian yang sama. Kemarahan yang sama. Caci-maki yang sama.  Di manakah hujungnya cerita? Tidak akan ada penghujung baginya. Baiklah coretkan idea untuk karya baru.

Ya Allah, jauhilah kami daripada fitnah, mendengar fitnah, merapati fitnah dan penyebar fitnah! Jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa menyelusuri contoh kekasih-Mu Sayyiduna Muhammad s.a.w!

                           

Teringat kata-kata Habib Izzuddin al-Idrus, dalam menyentuh sedutan kehidupan ini. Adakah ada walaupun satu dalil bahawa suatu ketika Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w membalas orang yang memusuhinya dengan caci maki, umpatan, mengadu domba, cakap belakang ataupun fitnah?

TIDAK ADA SATU PUN.

Bahkan, baginda Nabi Muhammad s.a.w. membalas dengan senyuman, adab dan hikmah. Jiwa besar baginda s.a.w. inilah contoh terpuji yang wajib kita teladani dalam kehidupan yang serba-serbi digelumuri nafsu. 

Pesan beliau lagi, jikalau kita berada di dalam satu majlis yang ada dalamnya menimbulkan aib orang lain, maka wajiblah kita berangkat pergi. Ini kerana sesorang yang sengaja mendengar fitnah, dosanya adalah setara dengan orang yang memfitnah. Ada benarnya tindakan Si Saudara duduk di tangga.

Oleh itu, siapakah yang kita ikut? 

Fikir sebelum cakap. Bukan cakap baru fikir. Fikir-fikirkan.  


"Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu"

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...