BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, April 5, 2010

Adab Budak Dahulu & Sekarang


“Kupohonkan kepada Allah S.W.T agar memberikan kerahmatan, kesejahteraan dan kebajikan kepada guru-guruku yang telah memberikan ilmu pengetahuan sehingga aku tidak terkena emas lancungan ataupun perak lancungan, dan intan disangka batu kelikir.” (Abdullah Munsyi, Hikayat Abdullah)


Saya terkenangkan seorang sahabat yang bekerja sebagai seorang guru sandaran di salah sebuah sekolah di Kuching. Apabila bertanyakan khabar beliau dan kerjayanya, sudah pasti ada cerita menarik akan pengalamannya di sekolah.

Menjadi guru bukanlah semudah yang disangka. Menurut cerita-cerita daripada beliau dan teman-teman saya yang lain terlibat dalam profesion perguruan, saya melihat menjadi guru sebenarnya dibeban dengan pelbagai tanggungjawab, di samping bersabar mendidik anak-anak didiknya dan terkadang karenah pengurusan sekolah yang meletihkan. Ada orang yang menjadi guru oleh sebab tidak ada pilihan kerja lagi selain menjadi guru. Tetapi menjadi guru atas sebab ingin mendidik umat merupakan pengorbanan yang cukup besar bagi seseorang individu. Itulah lumrah diperhatikan. Maklumlah, kedua-dua orang tua juga merupakan guru.


Sahabat saya ini bercerita ketika beliau mengagihkan kembali kertas-kertas ujian. Saya bersama rakan lain mendengar dengan penuh minat. Tidak silap adalah kertas matematik dan sains. Sudah pastinya adalah pelajaran tersebut dipelajari di kelas dan ujian juga adalah dalam medium Bahasa Inggeris.

Beliau menegur dan menasihat seorang pelajarnya yang gagal dalam ujian tersebut. Pelajar itu dipanggil di hadapan kelas dan menjelaskan bahawa ia tidak faham akan matapelajaran yang diajar dalam Bahasa Inggeris. Sahabat saya ini pun berlapang dada dan menasihatinya. Usai sahaja pelajar itu kembali ke tempat duduknya, sahabat saya ini terdengar celoteh kesat daripada bibir pelajarnya tadi.

Beliau bercerita, kami mendengar. Katanya, “Tahu apa yang dia kata?”

Kami pun tertanya-tanya, “Entah. Kami tidak tahu.”

“Tadi dia kata gagal ujian disebabkan dia tidak faham. Setelah dia beredar, boleh lagi dia maki saya dalam Bahasa Inggeris.”

Kami pun terlopong. Tidak menyangka tahap kebiadaban pelajar itu tidak dapat dibendung lagi. Sahabat saya menyambung, “Tahu apa yang saya buat? Saya sudah tidak tahan dengan dia. Kertas dia tadi yang masih di tangan saya, saya gulung-gulung sehingga renyuk.”

Sahabat saya berkata, “Kemudian saya panggil dia dan berkata, ‘Mari sini’.”


Kami terus mengikuti cerita beliau, “Kertas ujian budak yang tergulung di tangan saya, terus saya gunakan untuk menampar kepalanya!”

“Terus saya menegurnya, ‘Awak ini sudah keterlaluan! Awak kata ujian gagal disebabkan tidak faham Bahasa Inggeris! Tapi berani awak maki saya depan-depan dalam Bahasa Inggeris juga!’”

Aduh! Itulah secebis kisah pilu yang didengar. Seorang sahabat lagi, merupakan seorang guru pelatih di Semenanjung Malaysia juga berkongsi perkara yang hampir-hampir sama. Baginya, seolah-olah lebih senang mengajar pelajar darjah satu daripada pelajar tingkatan empat. Itupun, terpaksa menggunakan autoriti ‘garang’ seorang guru. Hendak ditegur sedikit, disaman pula guru. Dibiar pula, makin liar jadinya.


Jika dibanding dengan masyarakat dahulu kala, guru diberikan kepercayaan oleh ibu bapa. Guru mempunyai autoriti untuk mendidik anak muridnya. Walaupun kadang-kadang didikan itu keras, tetapi guru tetap dihormati. Hidup selamat dengan menghormati guru, kerana di situ ada berkatnya. Kerana kita lahir tidak serta merta pandai dalam segala macam hal. Kita kenal dunia, oleh guru. Kita kenal itu dan ini, kerana guru. Kita kenal Tuhan, siapa diri kita; siapa lagi kalau bukan berkat didikan guru.

Teringin sekali berkongsi akan catatan pengalaman seorang cendiakawan silam mengenai adab berguru dan menuntut ilmu. Hanya dalam lanjut usianya, ia sangat berterima kasih akan jasa gurunya, meskipun ia sering dihukum dek kecuian. Tokoh tersebut ialah Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (gelaran beliau Abdullah Munsyi ataupun Munsyi Abdullah), dalam karyanya Hikayat Abdullah.


Bab 3 ‘Belajar Mengaji’ merupakan bab yang paling menarik dalam Hikayat Abdullah Munsyi. Bab ini menerangkan suasana pendidikan di alam Melayu, Melaka khususnya pada zaman beliau masih kecil. Betapa pada zaman itu, ibu bapa memberi kepercayaan kepada sang guru untuk mendidik anak-anak mereka. Guru merupakan insan yang amat dihormati dan diberi sanjungan yang selayaknya. Pada zaman tersebut, ibu bapa menyerahkan anak-anak mereka kepada guru dengan dua syarat (ketika menyerahkan mereka):

“Tuan, saya minta dua perkara sahaja. Pertama biji mata budak ini, dan kedua, kaki tangannya, janganlah dipatahkan. Lain daripada itu, terserahlah kepada tuanlah.



Pada zaman tersebut, guru mempunyai autoriti yang penuh terhadap anak didik mereka. Merotan, memarahi, menggertak dan menghukum kerana kesalahan adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan. Abdullah Munsyi meriwayatkan berkenaan dengan sembilan cara hukuman para guru:

“Segala hukuman tersebut boleh dilakukan oleh gurunya di tempat mengaji. Jika anak raja ataupun anak orang kaya melakukan kesalahan, dia boleh dipukul oleh gurunya di tempat mengaji. Walaupun sampai berdarah, guru itu tidak boleh didakwa kerana tujuannya baik, iaitu untuk mengajar.”



Pada awal pendidikannya, Abdullah Munsyi banyak memprotes tindakan ayahandanya dan para gurunya. Tetapi pada lewat usianya, beliau amat berterima kasih dan berhutang budi kepada mereka setelah merasai kemanisan menuntut ilmu. Katanya dalam Hikayat Abdullah beliau:


“... Kupohonkan kepada Allah S.W.T agar memberikan kerahmatan, kesejahteraan dan kebajikan kepada guru-guruku yang telah memberikan ilmu pengetahuan sehingga aku tidak terkena emas lancungan ataupun perak lancungan, dan intan disangka batu kelikir. Kebanyakan orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan, tidak menyedari sama ada sesuatu perkara itu baik jahat ataupun salah benar.

Kini barulah aku dapat mengecap manisnya madu yang terpancar dari sarang lebah yang kutunggu sejak kecil. Disengat habis tubuhku dan bengkak-bengkil mukaku. Sekarang kurasa manisnya melebihi daripada segala perkara yang manis. Kebanyakan orang tidak menghampiri sarang lebah kerana takut disengat, tanpa mengetahui faedah madu yang dihasilkan lebah itu.”



Berbeza dengan kira-kira 20 tahun yang lepas, ayah saya merupakan pengetua sebuah sekolah swasta, iaitu Sekolah Menengah Utara. Sekolah ini dahulu terletak di Riam, Miri. Kini tapak sekolah tersebut telah berganti dengan kompleks membeli belah yang sedang dalam binaan (seberang jalan Servay Morsjaya). Beliau, seorang yang berjiwa pendidik mempunyai khazanah kenangan-kenangan yang sangat jarang didapati di tempat lain.


Sebagai pengetua sekolah swasta, ayahanda berhadapan dengan barisan para pelajar yang bermasalah. Setiap hari, ada-ada sahaja kes seperti gaduh dan vandalisme. Pernah satu ketika, ada dua orang pelajarnya bergaduh. Kes itu segera dilaporkan kepadanya. Apakah tindakannya? Beliau membiarkan sahaja. Apabila beliau tiba di tempat kejadian, kedua-dua pelaku masih meneruskan pergaduhan.

Lalu beliau bertanya, “Kamu mahu gaduh? Gaduhlah!”

Pergelutan berterusan sehinggalah kedua-dua pelajarnya itu terguling-guling ke dalam gaung. Beliau hanya memerhati dari jauh. Apabila masanya (di dalam gaung itu), beliau bertanya, “Sudah puas bergaduh? Gaduhlah lagi!”


Akhirnya kedua-dua pelajar itu mengalah dan menghentikan perkelahian. Ayahanda seorang yang dahulunya nakal, mengatasi juga dengan cara yang ‘nakal.’ Walaupun pelajarnya sedemikian, namun mereka mempunyai hormat yang tinggi terhadap guru. Kini mereka adalah kebanggaan ayahanda. Kedua-dua mereka merupakan peguam dan jurutera yang berjaya. Seringkali juga ayahanda bercerita mengenangkan kembali pelajar-pelajarnya yang ‘berolah’ (bermasalah) pada suatu masa dahulu, kini mereka orang-orang yang berjaya. Itulah nikmat seorang guru. Jasanya dikenang sepanjang hayat, dan begitu dihargai oleh anak-anak didiknya yang beradab kepadanya.

Saya sendiri mengajar mengaji, bukan mudah untuk mengawal kanak-kanak riang. Ada yang nakal mendengar kata. Tetapi ada juga yang nakal naik kepala. Terkadang tertanya-tanya; adakah mereka begitu dimanja sehinggakan hilang hormat terhadap guru ataupun orang yang lebih tua? Adakah mereka ini membesar tanpa dididik dengan teguran? Bagaimanakah keadaan mereka ketika besar nanti?


Di manakah silapnya? Di manakah cacatnya? Mengapakah budak-budak sekarang semakin cerdik, tetapi semakin hilang adabnya? Mungkin benar kata Syeikh Rohimuddin al-Bentani dalam Seminar Sufi pada Disember 2009 yang lepas, beliau mengatakan, “Manusia zaman sekarang, ilmunya masih di bulan. Tetapi jiwanya masih lagi Qabil.” Qabil adalah anak Nabi Adam a.s yang ingkar dan derhaka terhadap Allah, manusia pertama yang membunuh manusia yang lain. Hal ini disebutkan oleh Allah dalam Surah al-Ma’idah (juzu’ 6) ayat 26-31.

Saya ajukan pertanyaan ini terhadap ibu, mengapakah budak zaman sekarang sangat cepat berubah, bahkan semakin biadab pula? Orang dahulu ada yang nakal, tetapi mereka tetap hormat terhadap guru.

Ibu saya menjawab, “Orang dahulu sangat menjaga adab pergaulan, anak-anak dididik hatta ketika sejak kecil lagi apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua. Datuk kamu dahulu, apabila tetamu datang, beliau menyuruh kami masuk ke dalam.”

“Kamu dahulu ketika kecil, apabila tetamu datang, mak buat perkara yang sama.”

Saya pun berasa hairan, lalu bertanya kembali, “Mengapa ya? Hairan...”

“Itulah cara orang dahulu sangat menjaga adab. Anak-anak dididik sedemikian supaya tertanam rasa hormat terhadap orang lain. Nanti macam mana pula, menyampuk kata-kata orang tua. Kalau sejak kecil terbiasa, macam mana pula sudah besar nanti?”


“Benar juga,” balas saya. Begitu halus orang dahulu kala menjaga adab pergaulan. Sehinggakan, sekecil-kecil perkara apabila tamu datang ke rumah. Jika ya benar berkesan kata-kata ibu ini, adakah amalan ini dipraktikkan oleh ibu bapa zaman ini? Ataupun dipandang sebagai kuno dan dibiarkan ke tepi?

Di manakah berkat anak-anak zaman ini jikalau tidak ada hormat dan sanjungan terhadap guru? Apakah makna hidup ini tanpa berterima kasih kepada orang yang mendidik mereka? Bagaimanakah pula adab mereka dalam 10, 20, 30 ataupun sehingga akhir nyawa mereka?

Mungkin orang-orang dahulu tidaklah dapat berbangga dengan bangunan-bangunan besar mencakar langit, berkereta nasional, punyai parabola Astro; namun keunggulan akal, ketinggian budi dan adab mereka sukar dicari ganti, bahkan sukar sekali ditandingi. Mengapakah kita dalam era moden ini tidak terjangkau keluhuran budi seperti demikian? Mungkin kerana satu sebab yang tidak ada pada kita hari ini: keanggunan adab mereka terhadap guru.

Sama-sama kita renung....

Ya Allah, jadikan aku manusia beradab dan bersyukur terhadap pendidikku!
Ya Allah, jadikan generasi mendatang ini generasi yang beradab kepada guru-guru mereka!
Ya Allah, engkaulah yang membolak balikkan jiwa-jiwa hamba-Mu!
Maka perkenankanlah, wahai Tuhan!

Berjasa Kepada Masyarakat


Artikel ini telah direspon oleh sdr. Abdul Muntaqim bin Zulkipli di blog beliau di pautan ini, dengan tajuk Memahami Masalah Adab Pelajar.


Rujukan:

Hamzah Hamdani, (2007). Hikayat Abdullah. PTS Publications & Distributors: Gombak

4 comments:

F. said...

Salam abg Azrul.

Bg kmk sendirik, mungkin satu initiative untuk menangani and tackle benda tok perlu di-role-kan oleh guru sepenuhnya. contohnya biar respons seorang guru ya apabila berdepan dgn perkara sedemikian rupa kena pada keadaan and peredaran masa. kmk berfikiran macam tok sbb, mun kita mengharapkan org yang sik berfikiran matang ya untuk berfikiran matang maka lamak la nak nunggu suatu "imbuhan" yang matang.

aih.. giney mok explain o. kelam kabut dah ehehe. papa pun, cikgu iboh emo. bukan nak nyalah cikgu tapi dah kita tauk respons masyarakat masa sekarang lain, jadi kita pandey la main role play. mun kita mok juak stick dgn cara lamak, sik salah tapi kenak berdepan dgn banyak consequences la jwbnya.

pendek kata gitok la. orang tua selalu padah "kmk orang lok makan garam".. aok nang bena tapi masin ya sik kekal selamanya nak? rasa masin hanya dirasa time makan garam jak nak?

mun kmk silap maaf la. cuma pendapat. ehe :)

Azrul bin Jaini said...

Terimak kaseh atas komen... Mok dapat respon daripada serami yang mungkin daripada pelbagai sudut. Tok soal adab, isu yang kritikal semenjak duak menjak tok.

To understand how teachers feel, why don't try to be a teacher for a while? Perhaps we'll understand how... Hehehe :)

Ummu Fateh said...

menyempat gik kmk. curi 5 mins lok. mun ada jak kes2 cikgu dn murid, persoalan yg timbul dlm utak kmk ialah: Sebenarnya apa beza gilak zaman dolok dn kinek tok? cikgu tetap cikgu. murid tetap murid. sekolah tetap sekolah.

jawapan yang kmk ada ialah Cabaran dan prinsip Cikgu dulu dan kini berbeza.

stuju dgn kak nono, masin ya sekejap ajak. Cabaran orang2 dolok sikkan sama dengan orang2 kinek tok DAN sikkan sama juak dengan orang2 yang akan datang.

Kalah nya pendidikan kinek tok dngn zaman dolok ialah ilmu yang sidak dpt dr guru walaupun dengan kemudhn yng terhad, tetapi seiring dengan ADAB.

dan orang2 dolok toklah yang melahirkan generasi kinek tok...yang kita kata SIK BERADAB. nakkah kontra ya?? bukan nak salahkan orang dolok la...tp dr manusia dolok la ada manusia kinek tok. =) Adakah orng2 dolok yang sekarang statusnya IBUBAPA berjaya mewarisi dan mendidik anak2 kinek tok dengan ADAB yang sidak dapat dolok.???

perlu dibuka dr byk sudut sbenanya. Dengan suasana dunia, keadaan dan kemajuan semasa, faktor2 luar dan dlm negara, keadaan masyrakat, ekonomi dn lain2 lagik.

dr sudut cikgu pulak, spt yang kitak hujahkanlah, SIK SEMUA (bukan SEMUA) guru punyai hati yang murni dan ikhlas dalam mendidik murid2nya. mun niat awal udah kedak ya, gnelah ALLAH nak mudahkan pengajran sidak pada murid2nya?

teringat dgn kes2 di kuliah. isu tok tetap wujud antara lecturer dgn student. Student ya golongn bright student gik ya. kepandaian yang sik selari dngan akhlaknya.dngan lecturer yang pangkat PROF yang lebih tahu dr cdak ya..nak berkurang ajar? bukanlah nk madah dirik pun tek berakhlak bagus ka pa, tpi semua orang akan jadi kurang senang dengan bakal2 grduan kedak tok.

Jadi, graduan macam tokkah yang akan kita produce untuk dilepaskan dlam masyarakat??? graduan2 yang bakal jadi ayah, ibu atau cikgu yang punyai hubungan langsung dgn anak murid??

Fuh!! setengah jam...sekian terima kasih huhuhuhu

Naimz said...

Respon kamek:

http://akhienaim.blogspot.com/2010/04/masalah-adab-pelajar.html

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...