BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, April 14, 2010

Jom ke Maulid Daiba'ie di Central Market!

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Segala puji bagi-Nya, yang telah mengutuskan sebaik-baik makhluk, manusia pilihan Kekasih-Nya, Junjungan Besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Insya-Allah, kita doakan dengan izin Allah, majlis Maulid Daiba'ie & alunan Qosidah bertemakan "Menuju Mahabbah Rasulullah s.a.w" anjuran bersama JAKIM, almawlid.blogspot.com, Click a Child dan Masjid Ghufran berjalan lancar kelak. Majlis akan dianjurkan bertempat di Pasar Seni (Central Market), Kuala Lumpur pada 17 April 2010 ini daripada pukul 10.00 pagi sehingga 10.30 malam.

Pengangkatan budaya maulid dan qosidah oleh JAKIM ke khalayak ramai merupakan satu tindakan yang bernas dan terpuji. Saya kira ini adalah hiburan alternatif masa kini yang mampu merawat penyakit kegersangan hati manusia kini. Cukuplah kita mendengar setiap hari nyanyian-nyanyian yang tidak lebih mengagungkan mabuk cinta manusia dan lalai daripada peringatan Tuhan. Ayuh kita gantikan dengan doa, zikir dan selawat dalam alunan qosidah!


Sesungguhnya maulid dan qosidah mengandungi doa, zikir dan selawat yang disusun oleh para ulama dalam rantaian bait-bait syair dan qosidah. Tidak lain, adalah manifestasi kepada kerinduan dan kecintaan yang mendalam terhadap Sayyidina Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Tetapi puji-pujian yang indah ini tidaklah sehingga tahap menyamakan Baginda sallallahu alaihi wasallam ke tahap ketuhanan. Imam Busairi, pengarang Qosidah Burdah sendiri yang mengingatkan dalam bait qosidah beliau:

"Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa a.s - iaitu jangan mengatakan bahawa Baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu mempunyai sifat ketuhanan). Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda sallallahu alaihi wasallam sesuka hati."

Persembahan maulid dan qosidah di khalayak ramai merupakan satu peluang untuk menyampaikan mesej. Iaitu mesej kecintaan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dan mesej membalas kecintaan yang mendalam terhadap Baginda sallallahu alaihi wasallam dengan selawat yang dialunkan dengan qosidah.

Saya teringat ketika PERKEPIS, YADIM, RTM, Liga Inda Muslim dan ABIM Sarawak menganjurkan Malam Penghargaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallamsecara terbuka di Waterfront Kuching pada 26 Februari 2010 yang lepas, memberikan impak kepada hadirin. Banyak pihak telah memberikan respon positif, majlis seperti ini harus dibuat dari semasa ke semasa. Bahkan, ada yang mencadangkan majlis ini dibuat setiap minggu di Waterfront!

Wajah-wajah ceria sahabat-sahabat PERKEPIS setelah tamat Malam Penghargaan Rasulullah s.a.w

Ketika raptai majlis tersebut, kami telah mengambil peluang untuk menerangkan apakah acara yang berlaku, siapakah Baginda sallallahu alaihi wasallam tanpa segan silu kepada para pelancong asing. Entah mengapa, lidah saya yang kelu ini mahu juga keluar kata-kata memperkenalkan dan memuji-muji Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dalam Bahasa Inggeris! Lebih mengharukan, saya teringat, seorang pelancong asing (orang Perancis) yang saya jemput pada sebelah petang telah datang kepada saya dan secara peribadi mengatakan terima kasih setelah selesai persembahan.



Lama sudah aku menanggung rindu,
Wahai cahaya alam yang indah!
Serta aku menyeru wahai Nabi!
Wahai punca ilmu yang pemurah!

Impianku setinggi-tinggi cita-cita,
Moga diberikan tuah dapat melihatmu,
Juga dapat melihat Bab as Salam (di Masjid Nabawi),
Wahai sesuci-suci insan!


Mari kita cari kembali permata cinta yang hilang. Mari kita gilap sinar cinta kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang telah pudar. Mari kita hubungkan kembali keseluruhan hidup kita mencintai dengan mencontohi Baginda sallallahu alaihi wasallam. Jadikanlah cinta itu sebagai mentari yang tidak akan padam. Ya, jangan izinkan cahaya itu malam, walau seluruh dunia mahu memadamnya.

Akhir kata, kita bentangkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan isnad yang hasan:

Daripada Anas bin Malik r.a, daripada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah memiliki segolongan malaikat yang mencari kumpulan-kumpulan zikir. Apabila mereka menemuinya, maka mereka akan menaunginya. Kemudian mereka menghantar ketua mereka bertemu Rabbul Izzah subhanahu wata'ala lalu berkata:

"Wahai Tuhan kami! Kami telah mendatangi beberapa orang hamba daripada kalangan hamba-hamba-Mu yang membesarkan nikmat-nikmat-Mu, membaca kitab-Mu, mengucapkan selawat atas Nabi-Mu, Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan memohon kepada-Mu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat."

Maka Allah subhanahu wata'ala berfirman:

"Selubungilah (Liputilah) mereka dengan rahmat-Ku."

Malaikat berkata:

"Ya Allah! Sesungguhnya di kalangan mereka terdapat seorang lelaki yang melakukan kesalahan dan hanya duduk di celah-celah mereka tetapi tidak ikut melakukan apa yang mereka amalkan."


Maka Allah berfirman:

"Limpahkan kepada mereka rahmat-Ku. Mereka adalah satu kaum yang tidak akan celaka sesiapa yang duduk bersama mereka."




Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad!

Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA:
Imam Abdur Rahman ibn al-Daiba'ie al-Syaibani rahimahullah (semoga Allah merahmati beliau) dilahirkan pada bulan Muharram 866H dan wafat pada hari Jumaat 12 Rejab 994H. Beliau merupakan seorang ulama besar pada zamannya. Beliau seorang sejarawan dan juga muhaddith yang telah menghafal 100 ribu hadith matan dan sanadnya. Maulid Daiba'ie merupakan bait-bait qosidah yang mengisahkan sirah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang mulia. Majlis maulid merupakan amalan para ulama di seluruh dunia, bukan hanya diamalkan pada bulan Rabiul Awal bersempena Maulidur Rasul sallallahu alaihi wasallam.



Rujukan:


1. al-Imam al-Hafiz Abdur Rahman ibn al-Daiba' al-Syaibani, (2009). Ringkasan Sirah Nabawiyah. Sofa Production: Ampang

2. Abu al-Fadl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani, (2008). Fadhilat selawat. Sofa Production: Ampang

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...