BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, April 1, 2010

Terkenangkan Tafsir ar-Rahman


Sebentar tadi pada waktu Maghrib, terbaca Surah ar-Rahmaan (surah ke-55). Entah mengapa terkenangkan tafsiran ayat surah ini ketika singgah di sebuah surau di Gombak suatu ketika dahulu. Tidak pasti ustaz manakah yang telah menyampaikan tafsir tersebut, tetapi inti tafsirannya tiba-tiba menerjah diri. Teringat di kala ustaz tersebut menafsirkan ayat ke-9 yang bermaksud:

“Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan (neraca) itu.”

Setelah membacakan ayat tersebut, ustaz itu lantas menafsirkan ayat tersebut dengan konteks emosi dan sentimen politik. Tidak lain yang dibicaranya melainkan mencela, mencari kesalahan individu dan pihak yang diyakininya salah.

“Nanti kita saman dia (pemimpin yang dicelanya) di mahkamah Allah, dengan mizan ataupun neraca timbangan Allah suatu hari kelak!”

Tidak keterlaluan saya mengatakan sudah muak dan lali mendengar kata-kata sedemikian. Bukannya menafsirkan ayat Allah untuk mencari kebenaran, membawa khalayak berjalan menuju Allah. Tetapi diguna menghentam parti politik lawan, membuka aib-aib orang lain di rumah Allah. Dan kesimpulannya, pemimpin pihak parti politik yang disokong, didokongnya itulah yang diangkat-angkat kononnya pembela Islam sebenar-benarnya.



Tidak lain yang disampaikan melainkan kebencian terhadap orang lain. Jika itu yang keluar daripada bibirnya, tidakkah itu menggambarkan yang terbuku di hatinya, kebencian terhadap orang lain? Hairan sekali apabila ada orang yang berperwarakan seperti ustaz, memanipulasikan ayat-ayat Allah demi menjustifikasikan pihaknya di luar pihaknya dengan menghentam orang lain.

Sehingga kini, diri tertanya-tanya...

1.Mereka mengangkat pihak mereka dengan mengatakan bahawa mereka berjuang berkepimpinan ulama. Mereka menganggap bahawa diri mereka membela dan memartabatkan ulama. Soalnya, “ulama” mana yang mereka angkat? Mengapakah terdapat “ulama” mereka yang memperlekeh dan menghentam ulama lain dengan cara yang biadab? Di manakah ulama mereka ketika muzakarah tertutup mufti dan para ulama pada Januari 2010 yang lepas? Di mana autoriti ulama mereka ketika nama Allah dicela? Bahkan, ada segolongan ulama mereka yang menyokong!

2.Mengapakah ada di antara pemuka-pemuka mereka yang begitu komited mempertahankan pendirian bahawa nama Allah boleh digunakan oleh agama lain? Adakah mahu meraih sokongan politik atas nama mempertahankan agama? Lihat lanjut berkenaan hal ini di, dilaporkan oleh seorang sahabat saya yang menghadiri sesi perbincangan bersama himpunan ahli politikus tersebut di pautan ini.

3.Selama tujuh tahun saya di universiti, saya mendapati corak dan sikap pemuka-pemuka mahasiswa mereka langsung tidak berubah. Prinsip power is might, might is right, end justifies the meaning merupakan method-method Machiavelli yang begitu ketara. Lihatlah yang berlaku di UIAM, KUIS dan UTP dalam pilihanraya kampus. Kempen bukan main. Tikam orang dari belakang merupakan cara yang lumrah. Setelah mendapat kuasa, tidak ada apa-apa yang berlaku. Tidak ubahnya dengan cara yang dibuat oleh senior-senior mereka yang bersepak terjang dalam arena politik luar sana. Corak, sikap dan stail seragam tanpa ragu. Sehinggakan dua tahun terakhir saya di universiti tidak mengundi kerana sudah muak dengan semua ini.

4.Adakah dapat diterima di kalangan pemuka ulama mereka yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah manusia biasa sebelum wahyu diturunkan? Hal ini menyangkut akidah dan hubungan kita dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, bukan perkara kecil. Dan adakah dapat diterima bahawa pemuka ulama tersebut mempertikaikan amalan maulid yang telah dipraktikkan oleh ulama di seluruh dunia?



Saya kira sebelum ditafsirkan ayat ke-9 surah ar-Rahmaan tersebut, ukurlah diri sendiri terlebih dahulu. Inilah bahayanya apabila pertimbangan kita dipengaruhi oleh sentimen politik. Diri terikat kepada sentimen politik. Segala yang dikatakan oleh pihak kita adalah betul dan dengan apa cara sekalipun dipertahankan, meskipun pemimpin kita terang-terang bersalah. Dan segala yang dibuat oleh lawan tetap salah, walaupun ada yang dibuatnya ada kebaikannya. Pertimbangan semata-mata kerana sentimen tersebut, tanpa mengambil kira lagi dasar ilmu dan suasana. Adakah ini namanya bijaksana ataupun taksub fanatisme melulu?

Bukalah mata, lihatlah kebenaran dengan hati kita. Bimbang nanti di akhirat, terjerat dengan kata-kata diri sendiri di dunia pada suatu masa dahulu.



Lihatlah Kebenaran dengan Mata Hatimu

Berjasa Kepada Masyarakat

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...