Beberapa hari lepas, saya bersama-sama guru bermesyuarat. Ketika menjamu selera sebelum mesyuarat bermula, mereka telah membuka cerita mengimbau kenangan. Temanya ialah cerita hantu.
Para pendidik ini rata-rata berasal daripada Baling, Kedah dan sekitarnya. Apa yang menarik ialah pada zaman mereka kecil, suasana kampung klasik sekali berbanding sekarang. Mana tidaknya, kehidupan berkisar di kebun getah, bendang, rumah kampung lama (tandas jauh) dan sebagainya. Maklumlah, zaman kanak-kanak dipenuhi dengan imaginasi tinggi bayangan-bayangan cerita hantu yang mereka geruni ketika itu.
Seronok mendengar mereka bercerita, diselangi dengan gelak ketawa gelagat dan karenah mentaliti ketika kecil yang begitu menggeruni makhluk imaginasi bergelar hantu ini. Sehinggakan, seolah-olah hantu adalah benda yang paling ditakuti dalam hidup. Walhal, amat lucu jika dikenang kembali, kerana kebanyakan bayangan mereka tidak lebih kepada persepsi sahaja; tanpa menafikan makhluk halus (jin) ini sebenarnya wujud, tetapi ketakutan itu berlebih-lebihan pula.
Perkara yang sama berlaku kepada adik-adik Kampung Pujut 9. Perkataan hantu merupakan istilah puaka yang menghantui mereka. Jika setelah Isyak, mereka beramai-ramai balik ataupun beramai-ramai berlari kembali diminta berteman. Budak-budak! :)
Kembali kepada cerita tadi, salah seorang mereka berkata, "Kalau kita dahulu, kita takut kepada hantu. Tapi kalau zaman sekarang, kita takut kepada orang pula."
"Benar kata awak. Orang sekarang lebih bimbangkan ancaman daripada manusia sendiri."
Kata seorang yang lain, "Itulah, sekarang berjalan di luar pun tidak selamat. Mudah disamun dan macam-macam lagi."
Apakah puncanya? Kini kepercayaan terhadap orang lain mulai luntur, tidak seperti dahulu lagi. Kini, jika ada orang asing yang meminta pertolongan, kita terpaksa berfikir berkali-kali. Adakah benar orang itu ditimpa kesusahan? Kerana begitu banyak cerita-cerita benar ramai orang memperdayakan orang lain atas tiket belas ihsan dan kasihan. Belum lagi termasuk ragut, curi, samun, bunuh, culik dan pelbagai kegiatan jenayah yang lain. Saban hari kita mendengar ataupun membaca ada sahaja kes yang mengerikan berlaku di seluruh negara. Bangunan kita megah mencakar langit, tetapi hati hilang tenangnya diragut oleh manusia-manusia terdesak yang tidak beradab. Di manakah pangkal permasalahan ini?
Suka saya mengungkapkan kata-kata Syeikh Rohimuddin an-Nawawi al-Bentani dalam Seminar Sufi 2009 di IKIM pada tahun lalu:
"Ilmu manusia sekarang sudah sampai ke bulan. Tapi perangainya masih lagi seperti Qabil (anak Nabi Adam a.s yang derhaka)"
Sama-sama kita fikirkan...
Artikel berkaitan:
Adab Budak Dahulu & Sekarang
Berjasa Kepada Masyarakat
No comments:
Post a Comment