BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Thursday, April 1, 2010

Soalan Hidup Atas Pokok


Aku terkenang pada suatu hari ayahanda sedang menggunting rambutku. Seringkali beliau banyak bercerita pengalaman hidupnya ketika usia muda. Kadangkala beliau banyak berbicara soal-soal masyarakat. Maklumlah, beliau seorang pendidik. Ramai anak muridnya pada asalnya bermasalah dan tidak ada harapan lagi pada mata masyarakat, akhirnya menjadi orang yang berguna kepada orang lain.

Saya mengadu beliau bahawa mentaliti segolongan orang terhadap orang Sarawak tidak pernah berubah, terutama di Semenanjung Malaysia. Sejak saya menjejakkan kaki menuntut ilmu di sana dan dikhabarkan oleh rakan-rakan, kami berhadapan dengan ‘set soalan’ yang sama:



“Sarawak? Awak hidup dalam hutan?”

“Awak hidup di atas pokok?”

“Awak masih pakai cawat?”

“Macam manalah awak ke sini, naik kapal?”

Begitu hinanya kami terasa apabila ditanyakan sedemikian. Ya, memang soalan sedemikian tersangat sinis lagi sarkastik, tetapi lebih lucu mengapakah mereka begitu jahil dan pandang rendah tentang keadaan kami. Lebih menghairankan, set soalan ini tidak banyak berubah sejak 30 tahun yang lampau! Ayahanda bercerita:

“Heh... nang lah. Zaman bapak dolok lagik ada soalan kedak ya (Memanglah. Zaman ayah lagi sudah ada soalan seperti itu).”

Aih, mena (Betul)?”

Masa bapak USM dolok di Pulau Pinang. Masa ya orientasi. Kitak tauk apa dipadah sidak? Lagik terok daripada torang kinek tok. Kenak raging, kenak anok lagik kita urang Sarawak tok. Ne tahan mala kenak anok ajak (Waktu itu semasa ayah di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Saya dibuat sedemikian ketika orientasi. Awak tahu apa yang mereka kata? Lebih teruk daripada awak pada masa sekarang. Manalah saya tahan sentiasa dikutuk sahaja).”



“Hoi, engkau Sarawak ya? Monyet!! Tinggal atas pokok!”

Aku ketawa kecil, tidak dapat membayangkan apakah akibatnya berkata sedemikian terhadap ayahanda, kataku, “Udah... udah... cun kenak kitak lagik! Abis lah urang ya (Sudah... sudah... memang kena pada tempatnya, mengena ayahanda pula! Habislah mereka)!”

“Sidaknya pandang rendah kedak ya, siap sidak. Sekda aku ngampun (Mereka pandang rendah seperti itu, siap mereka. Tidak ada maaf bagi mereka).”

“Apalah dipolah kitak (Apa yang ayah buat kepada mereka)?”

“Sidak ya gambong gilak. Aku intei sidaknya, lekak orientasi ku kerja ku (Mereka sombong sangat. Saya intai mereka, selepas orientasi saya kerjakan mereka).”

“Abislah sidaknya kenak belasah kitak? Rami sidaknya (Habislah mereka ayah belasah)?”

“Aih, apa kitak pikei? Semua ya aku entam. Lekak ya sidak sik berani lagi ngaco mbiak Sarawak (Apa awak fikir? Semuanya saya hentam. Selepas itu, mereka tidak berani lagi mengganggu pelajar Sarawak).”

Aku hanya mampu tersenyum. Nasib baiklah bukan sifat itu yang turun kepada sang puteranya. Beliau bukanlah orang yang mudah diinjak-injak sedemikian rupa. Namun pengajaran di sebalik kisah ini ialah, mentaliti tersebut seolah-olah tidak pernah berubah, tidak ada rasa hormat langsung terhadap orang lain. Bukan setakat selama aku berada di sana menahan sabar bersama-sama rakan-rakan, baru-baru ini seorang junior yang sekembali dari PLKN di Semenanjung Malaysia telah melaporkan perkara yang sama.


Berhentilah! Kemajuan bukanlah diukur dengan materialis semata-mata, padahal akal budilah yang diutamakan. Bukalah mata, bukalah hati, ubahlah persepsi. Zaman sudah berubah.

NOTA: Diharapkan agar artikel ini dibaca dengan adil dan saksama. Saya maksudkan 'segolongan', bukan 'semua'. Harap maklum.

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...