BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, November 16, 2008

Sejarahku Menulis (1): Rupa-rupanya 14 Tahun yang Lampau!


Apabila ditanyakan kepada saya, sejak bilakah saya mula berkarya. Maka selalu saya menjawab: tahun 2005. Pada tahun itu, saya telah mula terlibat secara tidak langsung dalam dunia penulisan; iaitu melalui artikel risalah PERKEPIS.

Kebetulan pada tahun itu juga saya membaca 1511[KOMBAT]. Saya ‘memberi respon’ kepada novel tersebut lantaran tidak berpuas hati dengan strategi peperangan yang diolah, lantas menuliskan novel pertama saya, Syuhada’ Awanan 1973 pada tahun berikutnya, iaitu pada 2006. Saya telah menghantar manuskrip itu kepada Puan Ainon, tetapi tidak diterima. Ini kerana novel saya tidak cukup tebal untuk diterbitkan. Tetapi sejak itulah bermula episod pertalian saya dengan PTS, dan alhamdulillah, dengan izin-Nya; terbitnya Galaksi Muhsinin. Tetapi dikenangkan kisah lampau, barulah saya menyedari, rupa-rupanya saya telah berkarya sejak 14 tahun yang lampau! Segala puji bagi Allah, semua ini bukannya kebetulan. Tetapi telah disusun rapi sejak azali lagi. Semoga Dia menunjuki diri ini dan umat ini agar bersyukur atas rezeki yang dikurniakan.

Perkembangan penting adalah bermula pada tahun 1994 (Tahun 3, 9 tahun), segalanya terbongkar apabila saya menjumpai ‘manuskrip-manuskrip lama' dalam sebuah kotak ketika mencari bahan untuk novel.

Saya tidak nafikan, segalanya bermula daripada rumah. Keadaan ekonomi keluarga pada waktu ini berada di tahap yang tidak berapa stabil. Hendak diminta mainan, sukar sekali. Seawal-awal ini sudah faham, meminta dibelikan mainan adalah mustahil. Tidak ada mainan HASBRO, tidak ada Transformers, tidak ada kereta kawalan jauh, tidak ada video game, apatah lagi komputer. Hanya LEGO yang ada, tetapi hanya setahun sekali. Saya tidak ada jalan lain, melainkan berangan-angan daripada buku-buku yang ada. Ke kedai mainan; hanyalah menelan air luir memegang kotak mainan.

Ibu seorang berjiwa pendidik dan tegas dalam disiplin, terutama dalam akhlak dan membaca buku pelajaran. Tetapi beliau tidak menyempitkan ruang untuk bacaan yang lain. Tetapi Ayah lain pula. Beliau sering bercerita tentang pengalaman beliau semasa kanak-kanak – seorang yang adventurous dan nakal di kampung halamannya di Limbang. Beliau bercerita beliau membeli model Tamiya (pada waktu itu $12 Dolar Brunei – sangat mahal) dengan titik peluhnya sendiri menjual aiskrim. Sejak waktu itulah perhatian saya tertarik untuk meneliti model di pasaran. Tetapi saya hanya mampu meneliti ilustrasi pada kotak untuk memuaskan hati - kerana memilikinya adalah mustahil (Junkers Ju-87 "Stuka" adalah pesawat yang paling saya minat).



Selalu meneliti ilustrasi pada kotak model mencambahkan imaginasi. Saya membayangkan; bagaimanakah pesawat itu terbang, bagaimanakah ia beraksi, bagaimanakah ia menewaskan musuh dan... tidak putus-putusnya.

Apabila Ayah membawakan saya (dan adik-beradik) ke Perpustakaan Miri, hati saya melonjak-lonjak. Kerana di sana, saya dapat membelek buku-buku pesawat tempur; terutama bertemakan Perang Dunia Kedua. Setiap kali itulah saya membawakan pensel dan sebuah buku latihan “Senarai Model” dan melukiskan pesawat-pesawat yang saya suka – dan mewarnakan apabila balik nanti. Saya hanya memahami pesawat itu melalui ilustrasi, kerana masih tidak berapa faham akan bahasa Inggeris.

Ayah juga membenarkan kami adik-beradik meminjam buku perpustakaan. Saya sendiri mempunyai kad meminjam; maksima sebanyak tiga buah untuk 2 minggu. Pada suatu ketika, saya telah terjumpa sebuah buku ‘Tumpasnya Inggeris di Tanah Melayu’. Lantaran terdidik bahawa Jepun adalah bangsa kuat yang mengalahkan Amerika dan Britain, maka saya dengan senang hati meminjamnya.

Saya amat menyukai buku itu. Tetapi saya sedar bahawa buku itu bukan milik saya dan akan dikembalikan kurang daripada 2 minggu. Lalu saya mengambil keputusan untuk menyalin dengan pantas. Mula-mula ditulis dengan pensel, kemudian ditulis semula dengan pen. Ilustrasi dilukis semula dengan imaginasi sendiri, berdasarkan gambar yang ada dalam buku.



Antara perkara menarik adalah ilustrasi di atas. Ilustrasi ini dilakar ketika penyalinan. Sewaktu itu, saya melukis pesawat Jepun G3N ‘Nell’ yang juga terlibat mengebom kapal HMS Repulse dan HMS Prince of Wales. Pesawat dan kapal ini saya dapati daripada lakaran-lakaran daripada buku “Senarai Model”. Saya tidak menyangka, lakaran ini hampir-hampir tepat apabila dibandingkan dengan fakta sejarah dalam buku Mitsubishi Type 1 Rikko ‘Betty’ Units of World War 2 (Osamu Tagaya, Osprey Publications) pada 2006:

Alhamdulillah, dengan menarik nafas lega, akhirnya, saya berjaya menyalin dan ‘memilki’ buku yang saya sendiri sebelum tamat tempoh (tanpa menyedari saya boleh membaharui peminjaman!). Berikut merupakan muka terakhir buku tersebut, menggambarkan tentera British menyerah kalah di Singapura (walhal latar belakang ialah Fort Margerita di Kuching yang saya ziarah beberapa ketika sebelum itu). Itulah karya saya yang pertama.

Tetapi segalanya berubah dengan mendadak apabila saya menjumpai ensiklopedia Terbang ke Awan Biru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di rumah. Melalui naskah ini, saya semakin menumpukan minat yang mendalam dalam dunia teknologi penerbangan – kerana memahami dihuraikan dalam Bahasa Melayu. Ilustrasi menarik serta huraian fakta mencetuskan ‘model’ pertama dibuat daripada tangan saya sendiri, iaitu sebuah pesawat ‘biplane’ Perancis Perang Dunia Pertama. Model itu terbina daripada kad manila yang dilukis cermat, diwarna, digunting dan dipasang (dengan selotep) serta disokong dengan keratan-keratan wayar kuprum. Saya membinanya sendiri kerana tidak ada model yang sedemikian di pasaran.

Namun saya masih rasa tidak puas. Imaginasi membuak-buak lagi melimpah-limpah. Saya nekad untuk meluahkan dengan pensel, pen dan pensel warna. Tidak cukup sekadar berangan dengan model di tangan. Dengan itu, lahirlah helaian-helaian ‘komik’ pertama saya: Dunia Perang I...


Inilah helaian pertama “Dunia Perang”. Anda lihat di tengah-tengah helaian – diselotep kerana bimbang lusuh. Betapa “Stuka” dan “model MiG” Rusia telah mempengaruhi pola pemikiran saya pada ketika itu.



Atas: Komik difailkan dan muka depan.


Atas: Semangat terpendam sudah tertanam bahawa orang Asia bukanlah orang yang mudah dipermainkan. Malah, Jepun dianggap sebagai wira yang mengalahkan Amerika.


Kesemuanya adalah daripada “Senarai Model” yang telah dikumpul sekian lama.



Komik ini telah lahir setelah memendam imaginasi kerana keadaan yang mendesak. Saya tidak mempunyai mainan untuk meluahkan idea dan perasaan. Oleh sebab itu, saya melukiskan atas kertas dengan pensel, kemudian digaris dengan pen dan akhirnya diwarnakan.

Dunia Perang I merupakan salah satu karya saya. Lukisan watak dipengaruhi oleh lukisan komik Doraemon dan kemudian Mutiara Naga (Dragon Ball). Antara karya-karya yang lain adalah komik: Dunia Perang II, Ninja, Red Alert, Perang Vietnam dan Pearl Harbor. Hanya Dunia Perang I dan Ninja (pengaruh komik Mutiara Naga) sahaja yang berjaya dilengkapkan.

Seketika membelek kembali, saya ketawa kecil sendirian. Ceritanya pelbagai dan kadangkala melucukan. Kerana dilukis dengan pemikiran seorang kanak-kanak yang belum faham sebenarnya apakah maksud “Dunia Perang” dalam erti kata sebenarnya.

Saya cukup bersyukur zaman kanak-kanak saya tidak seperti keluarga lain. Pada pemikiran saya, saya tidak seuntung kanak-kanak lain – mereka dapat mainan yang mereka inginkan. Tetapi apabila ditenung kembali, syukur kepada Allah, di sebalik keadaan itu ada hikmah yang sangat indah. Ya, mereka dapat apa yang mereka mahu. Saya tidak mungkin memiliki seperti mereka, tetapi saya mampu mereka dan membina apa yang mereka tidak mungkin dapati! Didikan sedemikian telah mengasuh saya untuk berdikari menghasilkan idea sendiri serta tidak terlalu terpukau dengan sesuatu yang mustahil dalam genggaman.

Terima kasih, syukur kepada-Mu Tuhan. Terima kasih buat Ibu dan Ayah yang mendidik dan mendisiplinkanku dengan hikmah dan kasih sayang. Terima kasih buat ahli keluarga di sampingku!

Apakah faktor lain yang mencambahkan idea menulis pada peringkat awal ini? Ada rahsianya. Juga daripada rumah...

Insya-Allah bersambung... Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2

Berjasa Kepada Masyarakat

8 comments:

almukminun said...

Asslammualaikum saudaraku.

SUBHANALLAH,seronok kmk ke blog ktk..

MASYAALLAH, byk mgimbau kenangan2..

Teruskn usaha ktk, bjihad mlalui pena, iboh dlupa menuntut ilmu agama di dunia,sbagai bekal kitak bersama kelauarga tercinta di akhirat sana.

Jauhi fahaman wahabi tajsim lagi tashbih, syiah jua liberal..

Kekal bersama prinsip Ahlus Sunnah Wal Jamaah, bukan rujukan kpd insan, tapi berguru kpd para ulama mursyid.

al-Haqir almukminun

Khairul Anwar Shazali said...

salam...

hahahaha... really want t hold ur masterpiece in my hand... what a history ur holding... it should be wrapped up so the future cold see...

pls do me a favour, secure ur "old manuscripts"... trust me, it would be an inspiring documents for ur coming generation, knowing their ancestor is a MUJAHID all the way from 9 years old...

MasyaAllah!!!

SignsOfGod said...

salaam..
sik terkata mek maca entry tok.
MasyaAllah.
Adik mek nanyak, bleh sik minjam komik ya? mok baca. (^_^) (tp nya tgh SPM nektok).
Smg snstsa dilimpahkn kesabaran & ditetapkan di atas jln-Nya. Amien..

Azrul bin Jaini said...

Assalamualaikum...

Makseh kepada Bg Ikhram, Bg Krol & Ayat.

Makseh atas pesan kitak, Bg Ikhram. Bena, tuntut ilmu kenak seimbang; dunia & akhirat.

Makseh Bg Krol. Sebenarnya ada dalam bilit kamek "manuskrip" lamak ya. Nggak kitak sekda "penemuan". Bukannya kamek saja2 mok cerita. Untuk motivasi orang2 lain juak.

Makseh Ayat, atas kunjungan. Mok merik minjam, susah juak o. Sebab "manuskrip" ya dah lamak. Kaler pakei pensel kaler. Riso juak mun ada papa... huhu. Tanggarlah giney. Tetak ngkali mbaca ya. Sik banyak dialog =)

Suluh Hati said...

Comelnya lukisan kitak...:)

Zamri Mohamad said...

Saya cadangkan Tuan scan satu persatu sesegera mungkin. Disimpan dalam bentuk digital. Sebelum buku menjadi reput.

Ummu Fateh said...

tergamam mek nangga masterpiece ya.paduhal jiwa penulis ya udah tertanam lamak. tahniah...!! tok buk namanya sik alang2.. (^o^)

HaMas said...

touche and impressive .:)

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...