Tuesday, November 18, 2008
Sejarahku Menulis (2): Nilainya Bukan RM2
Sejarahku Menulis (1): Rupanya 14 Tahun Lampau!
1995
Hari panas terik. Loceng sekolah pun sudah berbunyi, menandakan tamatkan waktu persekolahan. Murid-murid keluar dengan gembira hari persekolahan untuk hari itu telah tamat. Seolah-olah atlet yang memecut berlari meninggalkan garisan, begitu juga anak-anak kecil ini. Mereka meluru berlari meninggalkan bilik darjah.
Sebahagian besar mereka berjalan kaki. Ada yang berjalan berkumpulan. Ada yang berbasikal. Ada juga berjalan ditemani oleh ibu. Ada yang membonceng di tempat duduk basikal ayah. Mereka adalah penduduk kampung ini. Majoriti adalah penganut agama Islam daripada suku kaum Kedayan. Lenggok bahasa mereka berlainan sedikit dengan bahasa Melayu Sarawak, bahkan dalam serumpun bahasa Limbang-Lawas-Brunei. Mereka bekerja sebagai petani, nelayan peniaga dan sektor awam.
Tidak terkecuali seorang kanak-kanak. Daripada penampilan dan wataknya dia berbeza dengan kanak-kanak lain. Dia agak asing di sini. Telah setahun ia berada di sini, masih lagi terasa dia adalah orang asing.
Tetapi dia juga punyai sifat seperti kanak-kanak lain. Ia berlari keluar menuju ke sebuah kereta Proton Saga berwarna biru muda. Di belakangnya digalas sebuah beg yang sarat dengan buku teks, buku latihan dan peralatan sekolah.
Dahinya berpeluh. Bajunya basah, jelas sekali pada tubuhnya yang gempal. Didapatinya Si Ayah terlena di kala bahang hawa tengahari dalam kereta. Ia terjaga lalu menarik kunci pintu.
“Udah tek? Ne Wani (Sudah? Di mana Wani)?” kata Ayah.
“Ya nun (Itu dia),” kata budak lelaki itu. Menyusulinya seorang murid perempuan bertocang dua. Dia berumur lapan tahun.
Si Anak duduk di kerusi hadapan Proton Saga. Kata Si Ayah, “Nah, kitak mpun.”
Si Anak terlopong tidak terkata apa. “Apa tok (Apa ini)?”
“Kitak mpun. Tanggarlah (Awak punya. Lihatlah),” kata Si Ayah. Wajah Si Ayah berpeluh. Ia memulas kunci dan menghidupkan kereta. Mereka pergi meninggalkan perkarangan sekolah, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Luak (SRK Kpg Luak).
Si Anak bagaikan tersihir, terkesima lagi terperanjat. Dia seakan-akan tidak percaya apakah ‘benda ajaib’ yang memukau perhatiannya sepanjang perjalanan ke rumahnya yang merupakan kuarters usang terletak di Tanjong Lobang. ‘Benda’ itu bagaikan terlekat di tangannya sehinggalah melangkahkan kaki di perkarangan rumah.
Segala puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Segala puji bagi-Nya, tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan-Nya, hanya kepada-Nya tempat memohon keampunan dan tempat berserah. Dialah yang menurunkan risalah buat manusia, al-Quran yang disampaikan oleh penyudah segala utusan. Dialah manusia agung yang membawa rahmat ke sarwa alam, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Segala puji bagi Allah, yang menjadikanku dan lahir daripada kedua ibu bapaku. Dialah yang menyusun hidupku dengan hikmah akan kehadiran mereka. Terima kasih Allah, terima kasih ibu dan ayah.
‘Benda ajaib’ yang memukau perhatian saya sewaktu berumur 10 tahun itu (Darjah 4) ialah majalah pertama saya. Majalah itu berjudul Take Off dalam bahasa Inggeris. Harganya adalah RM2. Ya, RM2 sahaja. Majalah itu sebenarnya dibeli dengan murah dalam keadaan tanpa kulit majalah. Majalah ini dibeli oleh Ayah sekurang-kurangnya satu dalam setiap minggu. Jika ada rezeki, kadang-kadang dua naskah dalam seminggu.
Kemunculan majalah-majalah ini menganjak karya melukis komik saya kepada satu tahap yang baru. Pertambahan banyak fakta dan pendedahan kepada ilustrasi banyak mempengaruhi cara fikir saya pada ketika itu. Ilustrasi komik Dunia Perang sebelum itu bergantung kepada koleksi luksian daripada "Senarai Model" saya pada tahun sebelumnya.
Koleksi majalah kian bertambah. Begitu juga idea. Semakin banyak pesawat baru yang muncul. Lebih menjadi perhatian saya ialah, apabila majalah tersebut mengandungi fakta berkenaan Perang Dunia Kedua. Anehnya, perhatian saya lebih tertumpu kepada teknologi ‘bukan Amerika’ ataupun ‘penentang Amerika’, terutama Jerman (Luftwaffe) dan elemen tentera udara Tentera Laut Imperial Jepun. Ini termasuk juga teknologi bangsa Rusia pasca Perang Dunia Kedua, terutama Perang Dingin.
Majalah Take Off mendominasi koleksi awal. Tetapi lama kelamaan, muncul variasi majalah yang lain. Antaranya ialah Images of War, Finescale Modeler dan juga majalah Perajurit.
Atas dan bawah: Kombinasi ilustrasi dan imaginasi...
Atas dan bawah: Lagi... lagi...
Bawah: Pengaruh komik Doraemon dalam watak seorang jeneral Nazi.
Penghasilan komik Perang Dunia I rancak pada 1994 sehingga 1995. Pada penghujung 1995, komik tersebut telah dilengkapkan. Komik itu setebal 28 muka serta berwarna kesemuanya.
1996
Pada pertengahan 1996, komik kedua dimulakan, iaitu Ninja. Komik Ninja merupakan pengaruh langsung karya Akira Toriyama iaitu Mutiara Naga. Pada ‘zaman’ itu, belum ada anime ataupun manga Naruto. Seingat saya,Ninja dihasilkan setelah membaca Komik Mutiara Naga ke-5 dan ke-6. Kedua-dua komik tersebut telah dibeli di Kuala Lumpur ketika melancong bersama keluarga. Saya masih mencari 'manuskrip asal' komik ini di rumah. Ini kerana komik ini tidak difailkan. Sebaliknya disusun dalam bentuk buku (A4 dilipat dua). Oleh yang demikian, agak sukar saya mencarinya.
Dunia Perang II bermula kira-kira selepas Ninja dilengkapkan. Komik ini memperlihatkan kematangan dalam plot dan lukisan. Walaupun hanya 8 muka disiapkan, Perang Dunia II boleh dianggap anjakan baru berbanding sebelumnya.
Atas: Muka depan Perang Dunia II
Atas: Pengaruh ilustrasi majalah memberi pengaruh yang mendalam. Pelanggaran pesawat Lavochlin-5 (PVO, Kesatuan Soviet) dan Junkers Ju-88 (Luftwaffe, Jerman) ini merupakan adaptasi daripada diorama majalah Finescale Modeler.
Atas: Lavochlin La-5 daripada Take Off
Atas: Junkers Ju-88 daripada Take Off
Atas dan bawah: Lagi… lagi… lagi…
Atas dan bawah: Lagi… lagi… lagi… dan lagi?
Apabila dikenang kembali bersama Ayah, dia ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Dia seolah-olah tidak percaya, pelaburan sedikit-sedikit sekecil RM2 membawa kepada kesan yang begitu mendalam kepada hidup dan karya saya. Kesemua ini telah membantu membentuk pemikiran, imaginasi dan peribadi saya sehinggalah ke hari ini.
Atas: Sebahagian kecil daripada puluhan koleksi majalah, sejak 1995 sehinggalah 2002.
Lama kelamaan setelah majalah semakin bertambah, saya merasakan tidak perlu lagi kepada mainan. Tetapi mencurahkan idea atas kertas adalah segalanya. Tambahan lagi, saya berasa seronok ‘berkawan’ dengan majalah-majalah ini kerana tahap bahasa Inggeris saya bertambah baik. Mana tidaknya, minat untuk mengetahui kandungan majalah mengatasi fobia belajar bahasa Inggeris.
Satu perkara penting yang saya imbau kembali ialah, kecil-kecil lagi saya sudah tertanam sifat yakin diri. Saya amat mengagumi teknologi dan disiplin tentera Jepun dan Jerman. Ini tidak lain adalah mereka bangsa yang berupaya menghadapi tentera Amerika. Oleh sebab itulah, jikalau ditinjau, kita akan dapati majoriti plot adalah daripada kedua-dua pihak tersebut. Sungguhpun begitu, begitu ketara pemikiran 'orang lain lebih hebat' begitu mengakar. Pemikiran saya pada ketika itu mengagungkan 'antagonis' Amerika (dan juga British), tanpa sedar bahawa baik Jepun ataupun Jerman juga bangsa yang melanggar batas-batas manusia. Tidak hairanlah, saya sukar menerima hakikat sebenar apabila kedua-dua bangsa ini telah ditewaskan angkara dasar mereka sendiri. Lantas saya tidak terfikir memasukkan unsur pengajaran ataupun wira-wira Islam. Maklumlah, masih seorang kanak-kanak. =)
Unsur agama belum masuk dalam mana-mana karya ini, sehinggalah pada 2005. Segalanya bermula apabila saya mengenali HAMKA. Saya tertarik akan perjuangannya. Beliau seorang ulama yang memilih karya kreatif sebagai salah satu daripada saluran dakwahnya. Antara faktor penyumbang unsur agama dalam karya saya adalah penglibatan saya bersama rakan-rakan PERKEPIS dan PKPIM. Tentang ini, insya-Allah saya kisahkan pada waktu yang lain. Nyata, nilainya bukan sekadar RM2. Tetapi hasilnya berbelas-belas tahun kemudian!
Saya sebenarnya seorang yang memusuhi genre sains fiksyen ketika fasa 1994-1996, melainkan satu sebab. Tetapi, bagaimanakah saya terlibat dalam penulisan saifai? Pelik bukan? Apakah cerita selanjutnya? Insya-Allah, kita cerita lain kali!
Insya-Allah... Sejarahku Menulis (3): Aku Pernah Ditertawakan
Berjasa Kepada Masyarakat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol
"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...
-
*Artikel ini telah saya tulis sebagai alat bantu mengajar kelas KAFA untuk murid-murid Tahun 2 beberapa bulan yang lepas. Mohon teguran da...
-
Habib Mohamad bin Alwi al-Attas (kiri) dan Habib Izzuddin al-Idrus (kanan) Jika berbicara tentang dakwah, pemerhatian saya para guru A...
-
Bisikan Tanjung Lobang (1) Bisikan Tanjung Lobang (2) Bisikan Tanjung Lobang merupakan cetusan andaian ataupun simulasi kepada pertem...
No comments:
Post a Comment